![]() |
Animasi Saladin antara produk tempatan dalam industri multimedia kreatif yang sedang disiapkan. |
INDUSTRI multimedia kreatif sedang mengalami proses pembangunan yang begitu pesat di seluruh dunia.
Ini adalah kerana industri ini mempengaruhi serta memainkan peranan yang penting terhadap kehidupan komuniti masyarakat dunia dan juga sebahagian besar pembangunan industri lain.
Ini dapat dibuktikan dengan melihat kepada masyarakat dunia yang seakan-akan ‘ketagih’ dengan penghasilan teknologi baru.
Semakin ramai berlumba-lumba untuk menghasilkan sesuatu yang kreatif bagi mendapat keuntungan menerusi industri ini.
Sehubungan itu, melihat kepada fenomena tersebut, Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) yang merupakan agensi yang telah diwujudkan serta dipertanggungjawabkan oleh kerajaan dalam menjadi pemangkin bagi melahirkan lebih ramai tenaga dalam membangunkan industri ini di negara ini.
Menurut Naib Presiden Multimedia Kreatif, Kamil Othman, buat masa ini, Malaysia mempunyai ramai individu yang kreatif dan ini sangat membanggakan, bagaimanapun kini kita sedang menuju ke fasa pengkomersialan produk tempatan di mata dunia.
“Cuba anda gambarkan, sehelai kertas dan sebatang pen itu merupakan teknologi, manakala kandungan yang ditulis oleh penulis itu merupakan teknologi yang baru diperoleh.
“Secara jelas didapati, kandungan yang ditulis oleh seorang penulis dari Amerika Syarikat (AS) berjaya mendapat sambutan sehinggakan berupaya untuk menerima Hadiah Nobel, walhal seorang individu tempatan yang juga mempunyai kandungan tulisan yang tidak kurang baiknya hanya sekadar meraih pengiktirafan di tempat sendiri,’’ katanya ketika ditemui di ibu pejabatnya di Cyberjaya, baru-baru ini.
Ini jelas menggambarkan bahawa tenaga tempatan nyata mampu menghasilkan kandungan yang berkualiti tetapi tidak dikomersialkan sekali gus membantutkan pembangunan penjenamaan bagi individu berkenaan dan juga negara.
Menurut Kamil lagi, tanpa saluran dan pendedahan yang tepat, golongan penggiat industri ini sukar untuk diketengahkan dan pada masa yang sama melambatkan proses pembangunan.
Ini merupakan senario yang berlaku kepada tenaga kreatif dalam dunia industri tersebut di negara ini .
Dalam pada itu, jelas Kamil lagi, salah satu faktor lain yang mempengaruhi pembangunan industri ialah kandungan yang dihasilkan juga perlu mempunyai nilai yang boleh diterima umum bukan sahaja di peringkat tempatan malah di peringkat antarabangsa.
“Contoh terbaik, cerita animasi Star Wars mendapat sambutan yang begitu hebat di seluruh dunia, mengapa ini berlaku?.
“Ini kerana karya tersebut mempunyai nilai kandungan yang mampu menarik penonton untuk menyaksikannya.
“Majoriti berpendapat, kandungan animasi tersebut boleh diterima umum kerana ia membuatkan orang ramai melahirkan perasaan ingin tahu, seperti, kewujudan makhluk asing, bagaimana rupa makhluk tersebut, bagaimana bentuk kapal angkasa? Persoalan-persoalan ini merupakan nilai yang membuatkan kandungan ini menarik dan ingin ditonton oleh kebanyakan masyarakat di seluruh dunia,’’ ujar beliau.
Oleh yang demikian, tenaga tempatan perlu menghasilkan karya serta kandungan yang mempunyai nilai bagi menjadikan ia mempunyai nilai pasaran di peringkat antarabangsa.
Justeru itu, MDeC yang berperanan menjana serta membentuk tenaga kreatif itu telah menjalankan pelbagai inisiatif termasuk memberi tunjuk ajar dan juga mendedahkan golongan tersebut terhadap industri itu di peringkat antarabangsa.
Pelbagai kemudahan infrastruktur serta program khas telah dibangunkan bagi mewujudkan lebih ramai tenaga dalam lingkungan industri.
Antaranya, kewujudan pusat inkubator yang disediakan khusus untuk mempermudahkan latihan dijalankan serta menggunakan kemudahan perkakas yang disediakan di situ.
Selain itu, MDec juga mengadakan pelbagai program untuk membantu golongan muda dan bumiputera antaranya ‘Pre-seed’, pemberian dana melalui program BITE dan Program Akademi Usahawan Tekno (TAP).
Ia merupakan program yang dijalankan bukan sahaja untuk membuka peluang kepada golongan tersebut malah membantu dengan memberi bimbingan serta modal dalam mengusahakan pelan perniagaan mahu pun prototaip untuk dikomersialkan.
Ujar Kamil lagi, tenaga kreatif yang berpotensi turut diberi peluang untuk berinteraksi dengan peneraju industri luar hasil bagi mendapatkan pengalaman serta pendedahan dalam menghasilkan kandungan bertaraf antarabangsa.
Sejajar dengan itu, MDeC telah berusaha untuk mendapatkan projek daripada syarikat-syarikat peneraju kandungan kreatif antarabangsa bagi diusahakan oleh tenaga tempatan.
Secara tidak langsung, sekiranya kandungan yang dihasilkan berkualiti serta mencapai taraf yang diminta, lebih banyak projek dan kontrak mampu diperolehi pada masa akan datang.
Pada masa yang sama, hasil kejayaan tersebut akan membentuk kepercayaan terhadap kemampuan tenaga kreatif tempatan.
Lebih membanggakan, salah satu syarikat berstatus Koridor Raya Multimedia (MSC) telah berjaya menghasilkan siri kartun animasi Nickolodeon terbitan Walt Disney dan juga siri kartun animasi Saladin, The Animated Series turut memenangi anugerah Tokyo Big Sight pada pameran animasi terbesar dunia, Tokyo International Anime Fair 2007.
Menurut Kamil, ini bukan sahaja menguntungkan individu , syarikat ataupun organisasi, malah memberi imej yang baik kepada industri tempatan di mata dunia.
Selain itu, beliau turut kesal kerana masih ada golongan yang terdiri daripada penjaga dan ibu bapa di negara ini yang berpendapat industri itu tidak mempunyai prospek kemajuan dan sekali gus menghalang anak-anak mereka untuk menceburkan diri dalam bidang tersebut.
“Ini kerana, ibu bapa atau pun sesetengah masyarakat berfikiran bahawa ia merupakan satu bidang yang remeh serta tidak menjanjikan apa-apa keuntungan pada masa akan datang.
“Golongan tersebut lebih rela untuk melihat anak mereka untuk berkerja di bank ataupun di pejabat asalkan mereka (anak) kelihatan berpakaian kemas dengan mengenakan tali leher dan kot sudah memadai,’’ tegas kamil.
Sedikit sebanyak, golongan ini secara tidak langsung akan memberi kesan kepada industri tempatan serta mengakibatkan pengurangan dalam kelahiran tenaga baru dan juga pembangunan industri secara menyeluruh.
Bagaimanapun, beliau turut menegaskan bahawa industri ini perlu mempunyai kerjasama yang kuat dari semua pihak bagi dimajukan.