KOTA KINABALU 10 Julai - Orang ramai diingatkan supaya tidak terpedaya dengan skim cepat kaya dikenali sebagai 'Projek Usahawan Mikro 2008' yang menggunakan keratan akhbar Utusan Malaysia untuk mengaburi mangsa.
Skim itu yang dipercayai baru dimulakan awal bulan ini, menawarkan pinjaman sebanyak RM90,000 dengan hanya membayar wang pendahuluan RM20 berserta borang penyertaan.
Selain borang penyertaan dan wang tunai, skim itu mewajibkan peserta menyediakan salinan kad pengenalan, nombor akaun bank serta memperkenalkan empat orang ahli baru.
Melalui empat ahli baru itu, peserta yang memperkenalkan mereka layak menyertai perniagaan tersebut dan dijanjikan mampu memperoleh pendapatan sehingga RM2 juta.
Modus operandi skim itu ialah dengan mengedarkan risalah yang mengandungi cetakan salinan muka depan akhbar Utusan Malaysia keluaran 26 Jun dengan berita 'RM100 juta bantu golongan gaji rendah di bandar'.
Pengendali skim tersebut cuba mengaitkan tajuk dan isi kandungan berita itu dengan Skim Kewangan Mikro Bandar Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang disalurkan peruntukan tersebut.
Risalah tersebut bagaimanapun langsung tidak menyertakan alamat atau nombor telefon mana-mana individu untuk dihubungi.
Selain itu, syarat menyertai skim itu amat mudah iaitu, berumur di antara 18 hingga 56 tahun, bukan kakitangan kerajaan, malah mereka yang disenarai hitam turut dibenarkan menyertainya kecuali pelajar dan golongan bankrap.
Selain tawaran pinjaman RM90,000 itu, para peserta akan menerima pakej umrah atau melancong untuk dua orang dan sebuah komputer riba yang semuanya bernilai RM23,200.
Keistimewaan lain yang ditawarkan ialah skim insurans dan kad rawatan perubatan yang kesemuanya bernilai RM2,500.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim ketika dihubungi berkata, sehingga hari ini pihaknya masih belum menerima laporan mengenai skim itu.
Beliau bagaimanapun meminta orang ramai supaya berhati-hati dengan skim tersebut dan mereka yang tertipu perlu membuat laporan polis secepat mungkin.