04 Julai 2008

Tangguh projek bukan hukuman


Bersama Abdul Rahman Sulaiman

Kerajaan Pusat tiada niat balas dendam kalah pilihan raya lima negeri

KEPUTUSAN kerajaan menangguhkan pelaksanaan beberapa projek mega untuk memberi keutamaan kepada projek yang lebih berteraskan rakyat atau untuk memenuhi keperluan yang lebih mendesak seperti diumumkan dalam laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang sedang dibahaskan di Dewan Rakyat, nampaknya menerima reaksi berbelah-bahagi pelbagai pihak.

Sebahagian besar rakyat memahami dan menerima rasional kerajaan di sebalik keputusan itu, namun ada juga pihak yang marah-marah lalu melemparkan pelbagai tuduhan yang tidak berasas kononnya kerajaan sengaja menangguhkan projek tertentu sebagai hukuman kepada rakyat yang tidak mengundi parti pemerintah pada Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac lalu.


Dua projek yang amat menarik perhatian media dan tokoh politik pembangkang ialah projek monorel dan Jalan Raya Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR) yang masing-masing dianggarkan bernilai RM2.5 bilion dan RM1.5 bilion.

Kedua-dua projek itu terletak di Pulau Pinang. Secara kebetulan kerajaan Barisan Nasional (BN) dikalahkan oleh parti gabungan Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum lalu. Lantas kerajaan negeri baru di bawah pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng terus menyifatkan keputusan menangguhkan kedua-dua projek itu sebagai perbuatan membalas dendam kepada rakyat Pulau Pinang kerana menolak BN.

Kalau dinilai semata-mata daripada perspektif dan logik politik, hujah itu tentulah mudah diterima ramai, terutama mereka yang gemar menilai segala sesuatu dari sudut politik. Tetapi satu perkara yang harus disedari semua pihak ialah hakikat bahawa dalam amalan yang diguna pakai di negara ini sejak sekian lama, perancangan projek kerajaan dibuat oleh pegawai manakala kerajaan menentukan dasar.

Menerusi kekangan perundangan, birokrasi di negara ini dilarang sama sekali untuk membenarkan diri mereka dipengaruhi mana-mana kepentingan politik dalam membuat sebarang keputusan.

Di samping itu, mereka juga dilatih dan dituntut untuk sentiasa memelihara integriti dan mengamalkan tahap profesionalisme yang tinggi dalam mengendalikan urusan harian masing-masing untuk memenuhi amanah dan aspirasi rakyat yang menjadi 'tuan' mereka sementara mereka sendiri hanyalah 'hamba' atau pemberi khidmat kepada rakyat.

Di bawah sistem politik yang diamalkan di Malaysia sekarang, amanah dan aspirasi rakyat itu sebahagian besarnya disampaikan melalui peti undi pada pilihan raya empat atau lima tahun sekali.

Berdasarkan kepada mandat rakyat itu, kerajaan yang dipilih membentuk dasar bagi kepentingan rakyat untuk dilaksanakan oleh birokrasi mengikut keutamaan dan kemampuan kewangan semasa dan akan datang.

Pada pilihan raya umum lalu, rakyat terus memberi mandat kepada kerajaan sedia ada untuk kekal memerintah pada peringkat Persekutuan.

Kedua-dua projek yang dipersoalkan itu hanyalah sebahagian daripada beberapa projek besar yang ditangguhkan akibat kenaikan kos yang berlipat ganda berikutan krisis harga minyak dan makanan dunia yang dihadapi sekarang.

Sebenarnya, projek monorel dan PORR yang diheboh-hebohkan itu hanyalah sebahagian daripada projek besar yang ditangguhkan buat sementara kerana meneruskannya bukanlah satu pilihan bijak dari segi pengurusan ekonomi dan kewangan berdasarkan situasi semasa.

Ada program dan projek lain yang perlu didahulukan untuk mengurangkan beban rakyat yang lebih tertekan di tengah-tengah kenaikan harga minyak dan makanan sekarang. Bagaimanapun, ini tidak bermakna bahawa kedua-dua projek itu tiada kaitan untuk kepentingan rakyat. Yang ditekankan di sini ialah keutamaan dan jumlah kumpulan sasar yang akan mendapat faedah sesuai kehendak dan keperluan majoriti.

Projek lain yang juga turut menjadi korban dalam penyusunan semula keutamaan ini ialah Pusat-Pusat Pentadbiran Baru di Kelantan, Sarawak dan Pahang yang anggaran asalnya bernilai RM290 juta, Mount Kiara Public Park (anggaran asal RM250 juta), memorial (RM38 juta) dan lain-lain.

Penduduk Pulau Pinang seharusnya bersyukur kerana sekurang-kurangnya projek jambatan kedua, walaupun harganya sudah meningkat berlipat ganda daripada anggaran asal, akan tetap diteruskan.

Di samping itu, seperti yang dijelaskan Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop baru-baru ini, kerajaan tidak membatalkan projek itu sama sekali. Projek itu mungkin dikaji semula dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh yang akan dilancarkan dua setengah tahun daripada sekarang.

Kerajaan juga, katanya, tetap komited dalam memastikan rakyat Pulau Pinang menikmati sistem pengangkutan awam yang lebih selesa.

Jumlah bas untuk perkhidmatan RapidPenang juga akan ditambah daripada 150 kepada 250 buah untuk memastikan seluruh penduduk pulau itu, termasuk yang tinggal di luar bandar, menikmati kemudahan pengangkutan awam yang lebih selesa.

Berdasarkan komitmen ini, anggapan penangguhan dua projek yang menjadi persoalan itu sebagai satu hukuman politik bukan saja tidak adil tetapi jelas menggambarkan sikap mementingkan diri sendiri daripada kepentingan orang lain.

Lagi pun, keputusan dasar berhubung penyenaraian semula keutamaan projek diumumkan lama sebelum pilihan raya umum pada 8 Mac. Secara kebetulan, penterjemahan keputusan dasar itu, dimaklumkan secara terperinci selepas tarikh pilihan raya.

Hakikat yang perlu difahami semua pihak tanpa sebarang prasangka ialah dalam menterjemahkan apa-apa keputusan kerajaan yang memerintah, pegawai tidak pernah dan tidak akan membiarkan diri mereka dipengaruhi oleh sebarang kepentingan politik kepartian.

Apa yang sentiasa menjadi asas pertimbangan ialah kepentingan rakyat majoriti dan kemampuan kerajaan dari setiap segi untuk merealisasikan rancangan yang diputuskan itu. Ada kalanya rancangan yang sudah memasuki fasa pelaksanaan pun boleh gagal akibat pelbagai halangan yang tidak diduga.

Datuk Abdul Rahman Sulaiman, bekas Ketua Pengarang Bernama, ialah Pengarah Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri.