Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

04 September 2008

Asean jalin integrasi ekonomi ke arah pasaran terbuka


Oleh Abdul Halim Yusoff


SEPAKAT: Menteri Ekonomi negara anggota Asean berpegang tangan ketika bergambar pada majlis perasmian Mesyuarat Menteri Ekonomi Asean (AEM) di Singapura.

Rundingan dengan rakan dialog baru beri ruang negara anggota tingkat kerjasama serantau

DI SEBALIK kebuntuan yang melingkari rundingan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) pada peringkat Pusingan Doha bulan lalu, Asean membuktikan sebaliknya apabila perkumpulan 10 negara itu segera mengorak langkah memasuki era pembukaan pasaran lebih meluas dengan rakan dialog di rantau Asia dan Pasifik.

Menteri Ekonomi Asean (AEM) yang bermesyuarat di Singapura, minggu lalu mencatat kemajuan besar dalam merumus hala tuju dan tumpuan ke arah penambahbaikan integrasi ekonomi sesama anggota dan paling penting, isu ekonomi yang berkaitan kerjasama dengan rakan dialog menerusi rangka kerja Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA).


Sepanjang lima hari mesyuarat AEM dan mesyuarat berkaitan dengan rakan dialog terawal iaitu China, Korea dan Jepun, Asean sudah mencapai matlamat penting dalam hubungan meluas itu apabila ekonominya sudah dapat disepadukan menerusi FTA dengan rakan dialog baru iaitu India, Australia dan New Zealand.

Sementara AEM menganggap penyelesaian rundingan FTA dengan India bagi membolehkan pergerakan bebas barang sebagai satu pencapaian penting sesudah melalui fasa rundingan sengit selama enam tahun, penyelesaian rundingan FTA dengan New Zealand dan Australia (AANZFTA) pula adalah kejayaan paling manis.

Seperti dikatakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengetuai delegasi Malaysia dalam mesyuarat itu, perjanjian dengan New Zealand dan Australia adalah model FTA terbaik.

"AANZFTA adalah model FTA terbaik yang dimeterai Asean setakat ini terutama dari aspek isi kandungan perjanjian yang bukan saja bersifat menyeluruh, malah rundingan itu dibuat dengan bersandarkan semangat kerjasama dan kefahaman kedua-dua negara berkenaan terhadap kemampuan setiap negara anggota Asean," katanya.

AANZFTA akan membuka jalan bagi meningkatkan integrasi ekonomi serantau dan menjadi pemangkin bagi mendalam dan melebarkan perdagangan serta pelaburan antara 12 negara terbabit. Ia adalah perjanjian komprehensif membabitkan dagangan barang, perkhidmatan profesional, perkhidmatan kewangan, telekomunikasi, dagangan elektronik, pergerakan sumber manusia, harta intelek, dasar persaingan dan kerjasama ekonomi.

FTA Asean dengan India, New Zealand dan Australia akan dimeterai pada Sidang Kemuncak Asean ke-13 di Bangkok, Disember ini dan mula dikuatkuasakan mulai Januari 2009.

Sehubungan itu, dalam konteks perdagangan sejagat, penyelesaian rundingan FTA dengan India, New Zealand dan Australia adalah isyarat jelas bagi menandakan kepentingan pakatan serantau itu di tengah-tengah pudarnya harapan ke arah pembentukan sebuah rejim perdagangan global seperti diperjuangkan menerusi Piagam WTO.

Asean sebelum ini sudah memeterai perjanjian untuk menghapuskan halangan perdagangan barang dan perkhidmatan secara berperingkat dengan China dan Korea Selatan serta memeterai kerjasama ekonomi dengan Jepun yang turut merangkumi pergerakan modal.

Sementara usaha perluasan hubungan ekonomi dengan rakan dialog diperluaskan, tumpuan juga diberikan untuk menyemarakkan lagi integrasi ekonomi di kalangan anggota Asean sendiri walaupun perkumpulan itu sudah pun menjadi sebuah kawasan perdagangan bebas apabila hampir 90 peratus barang didagangkan dalam rantau ini dikenakan tarif import antara sifar hingga lima peratus saja sejajar dengan skim Kawasan Perdagangan Bebas Asean (Afta).

Untuk itu, AEM juga sudah menyempurnakan rundingan memperluaskan skim Kawasan Perdagangan Asean dengan memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Barangan Asean (Atiga) serta Perjanjian Pelaburan Komprehensif Asean (Acia), bertujuan menjadikan Asean sebagai hab atau pusat pelaburan di Asia.

Selepas liberalisasi produk dan barang pengeluaran menerusi Afta yang dimuktamadkan pada 2003, Asean memasuki fasa liberalisasi baru dalam sektor perkhidmatan.

Komitmen itu diterjemahkan menerusi perjanjian Peraturan Pengiktirafan Bersama (MRA) bagi tiga bidang perkhidmatan profesional iaitu akauntan, pakar perubatan dan doktor gigi. MRA itu akan memudah cara pergerakan bebas profesional Asean untuk menawarkan perkhidmatan di rantau ini.

Seiring peranan sektor swasta sebagai enjin pertumbuhan ekonomi di negara serantau, AEM juga mendapat maklum balas sektor swasta mengenai langkah memudahkan lagi integrasi ekonomi serantau dan dengan rakan dialog.

Majlis Penasihat Perniagaan Asean (AseanBAC-Malaysia) dalam sesi rundingannya dengan AEM, komited untuk mempercepatkan pelaksanaan Sistem Laluan Hijau ke arah pergerakan bebas perjalanan darat kargo bagi empat negara iaitu Thailand-Malaysia-Singapura dan wilayah Batam, Indonesia.

Projek perintis sistem itu dijangka dapat dimulakan sebelum 2015 iaitu tempoh pelaksanaan menyeluruh integrasi pasaran Asean menerusi piagam dikenali Komuniti Ekonomi Asean (AEC).

Begitupun, AEC bukanlah usaha Asean untuk menyatakan kepada dunia bahawa ia sedang membentuk sebuah blok perdagangan baru kerana ia hanya membabitkan pergerakan bebas barang, modal dan sumber manusia tanpa membabitkan dasar luar dan pertahanan.

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, pada perasmian AEM sekali lagi menegaskan bahawa Asean tidak mahu menjadi blok ekonomi, tetapi piagam AEC umpamanya hanyalah proses Asean menawarkan kepada pasaran sejagat sebuah pasaran serantau dengan lebih 550 juta penduduk dan mempunyai sistem perdagangan dan pelaburan seragam.

Keterbukaan dan betapa dinamiknya Asean ke arah pasaran terbuka lahir daripada semangat setia kawan dan saling mempercayai yang sudah terpahat begitu lama di kalangan anggotanya.

Keadaan itu membuatkan Setiausaha Agung Asean yang baru mengetuai pertubuhan itu awal tahun ini, Dr Surin Pitsuwan, memang tidak lekang dengan senyuman. Baginya, kemajuan ditunjukkan Asean terutama untuk bersetuju menyelesaikan rundingan FTA dan memperkukuhkan lagi kerjasama mereka sesama sendiri adalah satu pencapaian memuaskan.

"Biarpun dalam rundingan kita sering berdepan kesukaran dan gagal mencapai persetujuan atas satu perkara, tetapi biasanya selepas mesyuarat berhenti rehat, kita dapati pemimpin Asean masuk semula ke dewan untuk bersetuju dengan tolak ansur sesama mereka.

"Inilah sandaran untuk kita meluaskan lagi rundingan pembukaan pasaran, mungkin dengan Kesatuan Eropah (EU) selepas ini, biarpun kita akui dengan pendekatan yang agak berbeza memandangkan wujudnya kepelbagaian ketara di kalangan anggota EU, begitu juga kepelbagaian di kalangan anggota Asean sendiri," katanya.