Kesamarataan yang sering dikumandangkan oleh sesetengah pihak, khususnya PKR dan DAP, yang menjadi komponen terpenting dalam Pakatan Rakyat (PR), adalah satu istilah yang boleh membawa pandangan, lantas perjuangan, yang baru dalam politik Malaysia.
Ini kerana dalam pakatan Barisan Nasional ( BN), kesamarataan tidak menjadi agenda utama, melainkan keharmonian dan perkongsian kuasa antara pelbagai kaum yang terdapat di dalamnya. Melalui proses keharmonian dan perkongsian inilah maka usaha-usaha untuk menaikkan taraf, lantas kesamarataan, pelbagai kaum dirancang dan dilaksanakan, seperti dalam DEB, antara bumiputera dan bukan-bumiputera.
Bagaimanapun nyanyian kesamarataan yang didendangkan oleh PR, adalah lebih mirip tuntutan ke arah mewujudkan suatu negara yang bersifat egalitarianisme. Ertinya, jika boleh, keseluruhan rakyat di Malaysia dilihat menikmati kehidupan yang sama rata, sama taraf, sama status, dan sama dalam segala-galanya.
Dengan itu, tidak akan ada lagi ketidakadilan sosial, diskriminasi dan sebagainya, bahkan merupakan suatu manifestasi hak asasi manusia secara totalnya. Oleh itu, dapatlah kita saksikan betapa tuntutan supaya hak bumiputera, khususnya keistimewaan Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan, didesak supaya diberikan juga kepada kaum-kaum lain.
Tuntutan ini, bagaimana pun, dilihat sebagai berat sebelah dan tidak adil, kerana apa yang ada pada bukan bumiputera pada hari ini tidak pula dianjurkan supaya dibuka, dibubar, atau dikongsi bersama dengan kaum-kaum lain, seperti ekuiti dalam sektor swasta. Ini kerana jika tawaran sebegini di buat, maka langkah untuk menyamaratakan pelbagai kaum di Malaysia akan lebih sempurna. Malangnya, ini tidak diperdengarkan.
Sememangnya, egalitarianisme, setakat ini, hanya wujud dalam ruang falsafah atau ideologi politik. Ini berlaku kerana pelbagai faktor yang melitupi negara-negara terbabit, terutamanya di negara maju. Sungguh pun begitu, sebahagian ciri-ciri egalitarianisme itu wujud.
Terkini ialah permohonan maaf Amerika Syarikat terhadap golongan kulit hitam di dalam sejarah perhambaan negara, yang selama ini tidak pernah dapat diungkapkan. Walau pun diskriminasi warna kulit telah pun dikanunkan, namun, pencapaiannya adalah terhad dan terbatas.
Keupayaan Barack Obama, yang berkulit hitam, untuk dicalonkan presiden Amerika, mewakili Demokrat, ternyata membawa satu lagi 'keghairahan' kepada pejuang kesamarataan. Lagi pun, kesamarataan banyak mempunyai sifat-sifat meritokrasi dalam asas perjuangan mereka.
Ini menimbulkan persoalan: apakah 'unity in diversity' (perpaduan dalam kepelbagaian), sebagaimana yang ditaja oleh MCA, atau perkongsian kuasa oleh UMNO, tidak lagi relevan untuk rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum, dan mengamalkan sistem demokrasi itu?
Dalam menggarab persoalan ini, seseorang itu perlu berhati-hati agar tidak menyamakan kelemahan atau kegagalan MCA atau UMNO atau BN dalam pentadbiran negara, atau kekurangan majoriti di Parlimen selepas PRU-12, sebagai petanda atau petunjuk.
Misalnya, bila Pas yang mendakwa memperjuangkan Islam di Malaysia dan bila diminta supaya mewujudkan dokumen mengenai 'negara Islam' fahamannya, ternyata mereka tidak dapat melakukannya.
Ini belum lagi meminta contoh Perlembagaan untuk Malaysia yang berteraskan pada al-Quran dan Sunnah. Hari ini, apa yang dilakukan oleh Pas, ialah bergabung dengan parti yang tidak sehaluan - DAP - yang turut menentang menjadikan Malaysia sebagai sebuah 'negara Islam'.
Mungkin, Pas merasai mereka boleh melakukan sedemikian kerana dalam gabungan UMNO, yang turut memperjuangkan Islam, berkongsi dengan parti yang menolak undang-undang Islam dilaksanakan di Malaysia seperti MCA.
Apabila menjurus kepada objektif perbincangan, maka tidak dapat tidak, satu lagi tatacara kehidupan perlu diberi pertimbangan yang sewajarnya. Ini ialah, tidak lain tidak bukan, tatacara Islam, yang telah menentukan supaya setiap bangsa itu berkenalan dan saling menghormati antara satu sama lain.
Barangkali ada sesetengah pihak yang melihat tatacara ini dari perspektif prinsip hidup, falsafah, ideologi, atau sebagainya, namun yang penting ialah, berkenalan dan penghormatan itu difahami sedalam-dalamnya.
Tatacara Islam perlu diberi pertimbangan sewajarnya, bukan sekadar membandingkan dengan isme atau falsafah Barat, kerana Islam juga adalah untuk seluruh manusia, lebih-lebih lagi bagi mereka yang menganutnya sebagai sebuah agama dunia - akhirat.
Bila keutamaan diletakkan pada berkenalan dan penghormatan, apakah Islam tidak menitikberatkan pada kesamarataan? Ada! Tetapi kesamarataannya ialah dalam 'penerimaan' taraf dan status pada bangsa-bangsa yang dikenali, dan diberikan penghormatan itu. Kegagalan menerima kesamarataan ini, bererti titik perkenalan sudah tamat, dan jika diteruskan juga, bakal mengundang pertelingkahan.
Begitu juga jika penerimaan telah pun wujud, yakni sudah mengenal, yang seterusnya memasuki ruang penghormatan, tetapi penghormatan yang sewajarnya pula tidak diberikan. Ini juga bakal mengundang ketegangan. Masalah akan menjadi lebih kalut bila perkenalan (penentuan taraf) dan penghormatan (penentuan status) dikatakan sudah pun diberikan dengan sewajarnya, sedangkan apa yang berlaku adalah sebaliknya.
Contohnya, akta ISA yang diluluskan oleh Parlimen, dikatakan kejam, tidak adil dan bersifat draconian, lalu dituntut dihapuskan. Dari sudut manakah pertimbangan yang sewajarnya dilaksanakan? Ideal keadilan atau cabaran kehidupan, atau tugas sebuah kerajaan? Apakah hal ini boleh diselesaikan melalui majlis dialog dan perdebatan? Sesungguhnya, adalah lebih senang ditakwil daripada menjalankan tugas mengekalkan keamanan, kestabilan dan sebagainya.
Ini membawa kepada persoalan kefahaman. Begitulah juga perlu difahami mengapa Islam mengajar manusia dan Muslim supaya mengenali dan menghormati satu sama lain. Sebabnya, mudah. Manusia yang berbangsa-bangsa itu adalah ciptaan Allah, dan Muslim pula adalah mereka yang mendapat petunjuk dari Allah.
Jadi bila bangsa itu perlu dikenali, maka maksudnya ialah mengenali sifat-sifatnya, adatnya, bahasanya dan sebagainya. Bila diminta dihormati pula, maksudnya ialah mengiktiraf hak masing-masing, yakni status. Misalnya, setiap bangsa manusia itu diberikan wilayah eksklusifnya masing-masing, dan ini adalah menjadi hak mutlaknya. Jika hak ini dinafikan - biasanya daripada kalangan kaum pendatang seperti yang berlaku di Amerika, Israel, bahkan di Malaysia pun - maka ketidakadilan akan berlaku dan bakal mengundang krisis.
Terdapat juga kaum Muslim yang tersalah hormat bangsa lain sehingga sanggup, seperti, berkongsi wilayah, kuasa dan sebagainya. Perkongsian sebegini hanya boleh bertahan beberapa waktu saja, kerana situasi pasti berubah. Dalam waktu perubahan inilah bakal timbul pelbagai ideologi, falsafah, yang kononnya untuk menyelesaikan segala persengketaan yang ada, sedangkan pada masa yang sama, mereka mengundang persengketaan yang baru!
Sebab itulah dalam Islam, ruang untuk perubahan terdapat dalam prinsip syariah (al-murunah dan at-taghayur), sama ada untuk makluman (tentunya untuk manusia seluruhnya), atau tindakan yang sewajarnya (tentunya untuk muslim, tanpa mengira bangsa.
Adalah jelas, dan tegasnya, ajaran atau 'konsep' Islam yang berteraskan pengenalan dan penghormatan, lebih nyata, menepati fitrah manusia, dan mampu membawa bangsa-bangsa manusia ke era yang lebih stabil dan harmonis. Dan perlu diingat bahawa penegasan ini adalah di ruang falsafah, bukannya realiti dunia sebagaimana yang terdapat dalam ilmu sejarah, yang menunjukkan juga kegagalan umat Islam dalam menjaga kawasan eksklusifnya.