MINGGU ini, akhbar utama Britain banyak melaporkan mengenai masalah ekonomi yang nampaknya semakin parah di sini. The Times misalnya, melaporkan kemerosotan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang mencecah 0.5 peratus adalah kemerosotan pertama dalam tempoh 16 tahun.
Akhbar Daily Telegraph juga melaporkan kemerosotan kali ini sebagai dua kali ganda lebih teruk daripada yang dijangkakan, dengan kadar pengangguran semakin meningkat, harga rumah merudum dan keuntungan yang mengecil.
Apakah yang dimaksudkan dengan kemerosotan ekonomi? Definisi oleh Biro Kebangsaan Kajian Ekonomi di Amerika Syarikat (AS) menyatakan kemerosotan ekonomi bermaksud kemerosotan signifikan dalam aktiviti ekonomi yang merebak ke seluruh negara mencecah beberapa bulan, biasanya sehingga mempengaruhi KDNK, pendapatan sebenar, peluang pekerjaan, pengeluaran oleh industri dan penjualan gudang serta runcit.
Kemerosotan ekonomi pada 1998 di Malaysia adalah yang paling teruk sehingga KDNK misalnya menurun ke paras 2.8 peratus, keadaan terburuk sejak 13 tahun sebelum itu. Ketika itu, Malaysia tidak bersendirian menghadapi keadaan ekonomi yang tragis ini. Thailand, Indonesia, Hong Kong, Korea Selatan dan Jepun juga antara jiran yang turut mengalami pengalaman serupa.
Di United Kingdom (UK) ketika itu, kemerosotan ekonomi membabitkan kerugian hampir RM300 bilion oleh syarikat utama Britain sehingga menyebabkan harga saham merudum di seluruh dunia.
Kali ini, sekali lagi ‘putaran ganas’ ekonomi dunia menjelma, yang bakal menguji kesabaran dan kebijaksanaan isi rumah seluruh dunia. Di UK, Menteri Kewangan Britain, Alistair Darling dalam akhbar The Guardian mengingatkan seluruh warga Britain mengenai keadaan kemerosotan ini serta kepayahan yang akan dialami dalam waktu terdekat ini.
Namun, Darling juga cuba meyakinkan rakyatnya dengan kata-kata meyakinkan ‘kita akan dapat melaluinya nanti’.
Profesor Charlie Bean, Timbalan Gabenor Bank England menyifatkan apa yang dirasai penduduk Britain hari ini hanyalah kesan peringkat awal kemerosotan ekonomi yang sedang melanda. Katanya, kemungkinan besar kemerosotan kali ini adalah tragedi terburuk dalam sejarah manusia.
Menariknya kenyataan ini, walaupun agak menakutkan, ialah satu ingatan realistik kepada segenap warga Britain, yang secara tidak langsung turut membabitkan kami yang kebetulan turut berada di Britain ketika kemerosotan mula melanda bumi UK ini.
Dalam peringkat awal kemelut ekonomi dunia ini, Britain adalah negara maju pertama menyiarkan data keadaan ekonominya kepada umum serta mengharapkan agar negara maju lain juga bersedia berbuat demikian sebagai peringatan dan persiapan awal di kalangan rakyatnya.
Hakikat ini mungkin didorong oleh kemungkinan Britain dilihat sebagai negara maju yang terpaksa menghadapi keadaan ini lebih teruk berbanding negara maju lain di dunia memandangkan kombinasi hutang isi rumah dan hutang awam yang meningkat, kemerosotan perbelanjaan pengguna serta harga rumah yang turut merudum.
Rakyat Britain hari ini sering diingatkan oleh pihak kerajaan melalui media utamanya untuk bersedia dengan sebarang kemungkinan bagi menghadapi kemelut ekonomi ini. Laporan Daily Telegraph misalnya meminta supaya seluruh rakyat Britain bersiap siaga dari segi ekonomi keluarga kerana kemelut itu dijangka lebih buruk daripada kemerosotan tahun 90-an serta kesannya mungkin lebih lama berbanding sebelum ini.
Namun, masih ada pihak merasakan kenyataan dikeluarkan kerajaan Britain ini bukanlah statistik yang telus. Misalnya, kenyataan terbaru Perdana Menterinya, Gordon Brown menyatakan jumlah hutang negara itu lebih rendah berbanding sedekad lalu.
Hakikatnya, ada analisis menyatakan hal ini diumum hanya untuk melegakan hati ramai serta pastinya, tidak memburukkan lagi imej Brown di mata rakyatnya. Jumlah hutang Britain sebenarnya dikatakan mencecah sehingga 125.5 peratus daripada KDNKnya iaitu mencapai 1,866 bilion pound, jauh sekali berbeza dengan kenyataan Brown yang mendedahkan hanya 43.4 peratus atau hanya 645 bilion pound daripada KDNK.
Brown dilihat sesetengah pihak cuba melindungi dirinya daripada kecaman yang mendatang dengan cuba mengurangkan panik kemerosotan kali ini di mata masyarakat. Tindakan ini yang mungkin meredakan rakyat untuk sesuatu tempoh masa, mungkin bukan penyelesaian terbaik bagi jangka panjang. Nyata, bahang kemerosotan ekonomi yang semakin dirasai bukan hanya membebankan rakyat Britain, malah juga berimpak global.
Sering kali, putaran kemerosotan ini bukan hanya berlaku di sesebuah negara atau benua tertentu. Kemerosotan ini turut menyebabkan kemerosotan di negara lain. Hal ini tidak terkecuali dengan Malaysia.
Justeru, pengguna di Malaysia diingatkan agar bersedia dengan sebarang kemungkinan, kemungkinan yang pelbagai daripada tiada peluang pekerjaan, hilang pekerjaan, kekurangan keuntungan perniagaan sehinggalah kesukaran menjual aset. Hal ini bukan pengalaman pertama Malaysia memandangkan dulu kita juga pernah mengalami kesukaran ekonomi yang menurut pakar ekonomi adalah ‘putaran biasa’ dalam pergerakan ekonomi dunia yang turun naik.
Zaman kejatuhan ekonomi dunia dipanggil sebagai ‘putaran ganas’. Keadaan sebaliknya adalah ketika ekonomi berada dalam keadaan stabil dan makmur. Kesan paling ditakuti ketika putaran ganas melanda dunia adalah hyperinflation atau tahap inflasi yang terlalu tinggi.
Hari ini, dapat dilihat kenaikan harga barang ibarat fenomena global yang tidak dapat dibendung. Salah satu petanda kemerosotan ekonomi sudah mula menunjukkan diri. Justeru, walau apapun corak ekonomi Malaysia dalam saat-saat genting ekonomi dunia ini, kita disarankan agar beringatlah mulai sekarang, supaya andainya tiba masa itu nanti, rakyat Malaysia akan mampu menghadapinya.
Penulis ialah pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), kini melanjutkan pelajaran peringkat doktor falsafah
di Nottingham Trent University, United Kingdom.