01 November 2008

Tabung Haji buktikan kecekapan urus jemaah ke Makkah



ULAI kelmarin, jemaah haji dari Malaysia mula berlepas secara berperingkat untuk menunaikan ibadat haji di Makkah. Kumpulan pertama 355 jemaah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin dan selamat tiba di Madinah, diikuti seramai 710 lagi semalam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas di Pulau Pinang dan KLIA. Penerbangan Malaysia membuat lebih 180 penerbangan pergi dan balik menggunakan pesawat Boeing 747-400 dan 777-200 sepanjang musim haji kali ini, termasuk dari Kuala Terengganu, Senai (Johor), Alor Star (Kedah), Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuching (Sarawak). Kumpulan pertama yang berlepas kelmarin dijangka pulang pada 13 Disember ini, manakala kumpulan terakhir yang dijadualkan bertolak pada 1 Disember ini akan pulang pada 14 Januari tahun depan. Ibadat haji mengandungi pelbagai hikmah, ia adalah perhimpunan ummah yang mewujudkan semangat penyatuan dan persaudaraan seperti dituntut agama. Islam menjadikan haji sebagai salah satu rukunnya untuk memberikan keinsafan kepada umat bahawa mereka adalah sama di sisi Allah dan perlu saling bantu-membantu serta sayang-menyayangi. Ikatan persaudaraan dan perpaduan yang kukuh pada musim haji ini sepatutnya dijadikan amalan berterusan oleh umat Islam.

Bagi rakyat Malaysia yang beragama Islam, kita bersyukur kerana dapat menunaikan Rukun Islam kelima itu apatah lagi diuruskan oleh Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) yang kecekapannya terpuji. Di kebanyakan negara lain, tidak ada agensi seperti Tabung Haji untuk menguruskan jemaah haji bermula daripada menabung, membuat persiapan, segala keperluan ketika di tanah suci sehinggalah pulang dengan selamat ke tanah air. Di Pakistan, kebanyakan rakyatnya tidak dapat menunaikan fardu haji musim ini apabila krisis kewangan global memaksa syarikat penerbangan kebangsaannya, Pakistan International Airlines (PIA) menaikkan tambang ke Arab Saudi kepada Rs105,000 (RM4,550) daripada Rs53,000 (RM2,275) dua bulan lalu. Kita bersyukur kerana tambang haji pada musim ini masih kekal RM9,800 walaupun kos keseluruhan termasuk penerbangan, penginapan dan makanan kini mencecah RM12,400 seorang. Ini bermakna Tabung Haji terpaksa memberi subsidi RM2,600 bagi setiap jemaah. Bagi mereka yang sudah berdaftar tetapi belum mendapat tempat untuk menunaikan haji pada musim ini meskipun sesetengahnya sudah beberapa tahun mendaftarkan diri, diharap dapat bersabar. Secara purata 35,000 jemaah berdaftar dengan Tabung Haji setiap tahun, tetapi berdasarkan kuota ditetapkan kerajaan Arab Saudi, Malaysia hanya boleh menghantar 27,000 jemaah setiap musim. Kita juga berharap jemaah haji Malaysia sentiasa menjaga imej dan maruah negara ketika berada di tanah suci. Mereka juga perlu sentiasa menjaga kesihatan diri dan bersabar dalam melaksanakan segala rukun haji yang ditetapkan agar dapat kembali semula ke tanah air dengan haji yang mabrur.