24 November 2008

Anugerah Merdeka pencetus patriotik


Manja Ismail

BANGSA yang maju bukan saja tidak pernah melupai sejarah kemerdekaan, menghargai sumbangan pejuang dan pengisinya, malah akan sentiasa mendorong sesiapa saja untuk mengejar kecemerlangan yang kesannya dapat dinikmati rakyat dan negara untuk satu waktu yang panjang. Anugerah Merdeka, yang dilancarkan sempena sambutan 50 tahun kemerdekaan negara tahun lalu dengan penganugerahan sulungnya diadakan malam ini, adalah antara usaha murni memupuk rakyat pelbagai kaum menghargai sumbangan kecemerlangan individu dan pertubuhan dalam bidang masing-masing walaupun ada antara mereka tidak menonjolkan diri.

Syabas kepada penerima sulung Anugerah Merdeka - Profesor Diraja Ungku Aziz bagi Kategori Pendidikan dan Komuniti; Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) untuk Kategori Alam Sekitar; Kumpulan Pengkaji Ensefalitis Nipah Fakulti Perubatan Universiti Malaya dan Profesor Datuk Dr Khalid Kadir (penerima bersama bagi Kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi) dan Datuk Leslie Davidson (Sumbangan Ulung Kepada Rakyat Malaysia).

Tahniah juga diucapkan kepada gabungan pengasas anugerah ala Hadiah Nobel ini, Petronas, ExxonMobil dan Shell. Hakikat bahawa anugerah ini dirintis oleh Petronas serta disokong oleh dua syarikat minyak antarabangsa menjadikan Anugerah Merdeka sebagai usaha mengiktiraf dan memberi penghargaan kepada kecemerlangan dan inovasi yang paling berprestij di negara ini. Lebih penting lagi, individu dan mereka yang menjadi anggota pertubuhan yang menerima anugerah ini mengutamakan kepentingan golongan sasar lebih daripada kepentingan peribadi. Kerana itulah, nama kebanyakan calon-calon penerima anugerah tidak dikenali seperti rakyat mengenali ahli politik dan selebriti.


Kecuali Ungku Aziz, nama dua lagi individu yang menjadi penerima sulung anugerah ini memang kurang dikenali oleh mereka yang bukan dalam bidang berkenaan. Bagaimanapun, kesan kecemerlangan mereka dalam bidang masing-masing membantu jutaan rakyat di negara ini. Tentu ramai yang masih ingat bagaimana Ungku Aziz tinggal bersama nelayan di Kuala Kemaman selama berbulan-bulan kira-kira 30 tahun lalu untuk menyiapkan kajiannya mengenai kemiskinan, khususnya di kalangan nelayan dan Melayu di luar bandar. Hasil kajiannya itu membantu kerajaan memperkenalkan dasar bagi memperbaiki taraf hidup golongan berkenaan. Begitu juga buah fikiran Ungku Aziz kepada penubuhan Tabung Haji dan pergerakan koperasi. Ini belum termasuk sumbangan beliau dalam bidang pendidikan khususnya ketika menerajui Universiti Malaya.

Dr Khalid, pemenang bersama bagi kategori kesihatan, mengabadikan separuh daripada usianya membuat penyelidikan dalam bidang berkaitan penyakit kencing manis (diabetes), kaitannya antara hormon serta tekanan dalam pelbagai jenis tisu. Anak pasangan Allahyarham Tan Sri Abdul Kadir Yusuf dan Tun Fatimah Hashim ini menghasilkan hampir 300 artikel dan kertas kerja mengenai penyelidikannya untuk dijadikan rujukan serta mendidik masyarakat mengenai penyakit itu dan merawatnya. Hasil pelbagai kajiannya itu bukan saja dapat mengenal pasti mengenai sejarah dan rawatan yang perlu dilakukan terhadap penghidap diabetes, malah ia menjadi titik tolak kepada keprihatinan hospital dan poliklinik dalam menyediakan pusat khas bagi merawat kencing manis.

Bagi Davidson, walaupun seorang warga British, kesungguhannya membangunkan ladang kelapa sawit berskala besar di negara ini menjadikan komoditi itu sebagai sumber utama ekonomi Malaysia selepas minyak serta meningkatkan taraf hidup berpuluh ribu pekebun kecil sawit. Hasil kajiannya terhadap pendebungaan menggunakan serangga ke atas kelapa sawit menyebabkan peningkatan besar dalam pembangunan dan hasil tuaian ladang, yang membawa kesan positif bukan saja kepada ekonomi negara tetapi juga kepada kehidupan mereka yang terbabit dalam industri ini, daripada pekebun kecil hinggalah kepada pengeksport sawit.

MNS, persatuan alam sekitar tertua di Malaysia, memenangi Kategori Alam Sekitar atas dedikasi dan usaha tanpa hentinya terhadap pemuliharaan Hutan Simpan Belum-Temenggor di Perak, manakala 15 pengkaji Ensefalitis Nipah dari Fakulti Perubatan Universiti Malaya dinamakan penerima bersama Kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi atas usaha mereka menemui punca, kesan dan kawalan jangkitan viral Ensefalitis Nipah yang menggemparkan negara satu ketika dulu.

Kehadiran Anugerah Merdeka, walaupun selepas setengah abad kita mengecap nikmat kemerdekaan, mampu menyuntik semula semangat patriotik generasi muda yang dilihat semakin terhakis akibat keselesaan hidup kesan kemajuan sebuah negara merdeka. Dalam kata lain, walaupun majoriti rakyat kini lahir selepas merdeka dan hanya mendengar kisah perjuangan menuntut kemerdekaan daripada bapa atau datuk mereka, ia tidak bermakna perjuangan sudah selesai. Tanggungjawab besar generasi muda kini ialah mengisi kemerdekaan dan untuk berbuat demikian ia tidak semestinya melalui bidang politik.

Barangkali penganjur anugerah ini perlu membukukan kisah pengorbanan, kecemerlangan dan sumbangan penerima anugerah untuk dijadikan sebagai teks subjek sejarah atau diselitkan dalam mana-mana mata pelajaran di peringkat sekolah rendah. Dengan itu, anak-anak di awal persekolahan bukan saja didedahkan dengan pejuang menuntut kemerdekaan, malah mereka yang mengisi kemerdekaan. Biarlah mereka disuntikkan dengan semangat jati kemerdekaan dalam konteks kebebasan minda sejak dari rebung supaya mampu mencapai potensi sebenar insan ke arah kecemerlangan.