24 November 2008

Terima keputusan Majlis Fatwa tanpa persoalan



KELMARIN, Majlis Fatwa Kebangsaan mengumumkan pengharaman ke atas umat Islam mengamalkan senaman yoga yang dilakukan secara sistematik dan menyeluruh kerana bertentangan dengan syariat Islam serta boleh memesongkan akidah mereka. Senaman yoga berasal daripada masyarakat Hindu yang menggabungkan tiga unsur, iaitu amalan fizikal (senaman), keagamaan serta mantera pemujaan bagi mendapatkan ketenangan, manakala kemuncaknya penyatuan diri dengan tuhan, yang boleh merosakkan akidah umat Islam. Seperti kata Pengerusinya, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin, ahli majlis itu memutuskan apa juga jenis dan bentuk amalan yang mengandungi unsur sedemikian dilarang dan bertentangan dengan syariat Islam. Beberapa pihak termasuk yang bukan Islam sejak kebelakangan ini mula mempersoalkan tindakan yang bakal dilakukan oleh majlis fatwa itu tanpa menunggu pengumuman rasmi apabila penjelasan lanjut dibuat kelmarin. Ternyata, pergerakan amalan fizikal yoga tanpa unsur keagamaan dan mantera pemujaan yang dilakukan pada zahirnya (secara luaran) tidak menjadi kesalahan, tetapi tidak digalakkan kerana ia adalah salah satu komponen daripada keseluruhan amalan yang diharamkan itu. Oleh itu, masyarakat Islam perlu berhati-hati dan berwaspada daripada melakukan perkara yang boleh menghakis dan memesongkan akidah menerusi kepercayaan atau keyakinan hati, menerusi perkataan atau pengakuan dengan lidah dan perbuatan.

Oleh itu, senaman yoga yang diperkenalkan sejak 3,000 tahun sebelum Masihi tidak sesuai bagi umat Islam kerana ada dua perkara didalamnya yang boleh menghakis akidah umat Islam iaitu kepercayaan untuk bersatu dengan tuhan dan mantera pemujaan. Dengan penjelasan itu diharap mana-mana pihak termasuk yang bukan Islam tidak mempertikaikannya kerana keputusan itu dibuat selepas menelitinya daripada pelbagai aspek. Mereka yang mempertikaikannya perlu melihat dari sudut akidah. Kita mengakui ada umat Islam yang mengamalkan senaman yoga tetapi tidak tahu matlamatnya kerana percaya ia cuma satu latihan fizikal yang tidak agresif, mudah dilakukan dan boleh dilakukan di mana saja. Dengan pengharaman itu, umat Islam hendaklah menghentikannya serta-merta. Singapura dan Mesir turut mengeluarkan fatwa melarang umat Islam di negara itu mengamalkan senaman yoga kerana memutuskan perkara itu mengandungi bidaah dan sesat kerana mengandungi unsur agama Hindu. Kita tidak mahu lagi mendengar usaha pihak tertentu mempertikaikan fatwa, seperti juga ketetapan baru-baru ini yang mengharamkan pengkid atau wanita yang menyerupai lelaki sama ada dalam bentuk penampilan atau berpakaian. Bagi orang bukan Islam, hormatilah institusi agama Islam kerana ia adalah badan sah di sisi undang-undang. Sebagaimana orang bukan Islam tidak mahu orang Islam mengganggu agama mereka, mereka juga hendaklah tidak mengganggu agama Islam apatah lagi badan itu ditubuhkan atas lunas yang sah dan diiktiraf undang-undang.