23 November 2008

Apa itu Anugerah Merdeka?


TAHUN ini, Malaysia meraikan ulang tahun kemerdekaannya yang ke-51 dan sepanjang tempoh tersebut, banyak kejayaan yang membanggakan telah diraih oleh negara.

Berikutan kejayaan itu, Malaysia muncul sebagai sebuah negara yang sangat dihormati masyarakat antarabangsa. Sesungguhnya kejayaan ini adalah hasil kecemerlangan yang ditunjukkan oleh rakyat berbilang kaum yang berjaya menempa kehebatan dalam pelbagai lapangan.

Kecemerlangan ini juga telah membawa banyak perubahan kepada Malaysia baik dari sudut, sosial, ekonomi, pendidikan mahu pun sains. Tidak terkecuali sumbangan ini juga melibatkan pakar luar yang sama-sama mengangkat kedudukan Malaysia di mata dunia. Justeru, julung- julung kalinya bagi menghargai sumbangan tokoh-tokoh yang banyak berjasa kepada negara, Petronas menjadi perintis bersama ahli gabungannya, Shell dan ExxonMobil telah melancarkan Anugerah Merdeka.

Pelancaran yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 27 Ogos 2007 itu merupakan anugerah paling berprestij di negara ini yang meletakkan kecemerlangan sebagai penanda aras. Anugerah itu mengiktiraf dan menghargai sumbangan individu dan organisasi yang membuat sumbangan cemerlang terhadap kemajuan Malaysia dan rakyatnya.

Setaraf

Lima kategori diperkenalkan iaitu Pencapaian Ulung Akademik, Kesihatan, Sains dan Teknologi; Pendidikan dan Komuniti selain Alam Sekitar serta Sumbangan Ulung Kepada Rakyat Malaysia .

Proses pemilihan anugerah ini bermula dengan peringkat Jawatankuasa Pencalonan sebelum melalui Jawatankuasa Pemilihan yang kemudian akan menyenarai pendek calon pemenang untuk dikemukakan kepada Lembaga Pemegang Amanah.

Lembaga Pemegang Amanah kemudian menjadi pemutus dalam menentukan para pemenang yang boleh terdiri daripada individu mahu pun organisasi atau kumpulan.

Pemenang setiap kategori akan menerima hadiah wang tunai RM500,000 beserta piala dan sijil.

Bagi tempoh jangka panjang, Anugerah Merdeka akan menjadi setaraf dan berterusan seperti lain- lain program anugerah yang dihargai sama ada di peringkat serantau dan antarabangsa.

Penglibatan tiga syarikat pengeluar petroleum utama bergabung mewujudkan anugerah ini sejajar dengan kewujudan industri minyak dan gas yang telah sekian lama memainkan peranan besar di dalam kemajuan Malaysia. Anugerah itu adalah manifestasi simbolik komitmen industri ini untuk terus menjadi komponen penting dalam kemajuan negara seterusnya.

Pemenang sulung seperti yang diumumkan 21 Ogos lalu ialah Prof. Diraja Ungku Aziz bagi kategori Pendidikan dan Komuniti; Prof. Datuk Dr. Khalid Kadir dan kumpulan penyelidik virus Nipah dari Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM) yang diketuai Prof. C.T Tan bagi kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi; Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) untuk kategori alam sekitar dan rakyat British, Datuk Leslie Davidson menerima anugerah kategori Sumbangan Ulung Kepada Rakyat Malaysia.

Sementara tiada pemenang bagi Pencapaian Ulung Akademik.