23 November 2008

Saya dapat bonus setiap hari


MINGGUAN: Boleh Prof. berkongsi pengertian anugerah sebesar ini kepada diri Prof. sendiri?

KHALID: Saya memang terharu setelah dipilih untuk menerima anugerah ini kerana saya anggap diri saya ini bukanlah penyelidik yang begitu terkenal. Selama ini saya menumpukan kajian terperinci dalam penyakit kencing manis dan masalah tekanan hidup serta hubungan antara hormon dan tekanan di dalam pelbagai jenis tisu manusia.

Apa yang lebih penting ialah pemberian anugerah ini dapat memberi galakan kepada doktor-doktor baru untuk membuat lebih banyak penyelidikan bagi mencari penemuan atau ubat-ubatan baru kepada segala macam jenis penyakit. Ia bertujuan bagi memberi penyelesaian lebih baik dalam bidang perubatan kerana sekarang ini adalah amat sukar untuk memujuk doktor muda menjadi penyelidik, apatah lagi mencari ahli akademik untuk meneruskan budaya mewariskan dan mengembangkan ilmu pengetahuan pada masa depan.

Walaupun sudah menghidap leukimia sejak 20 tahun lalu, saya akan terus memberi tunjuk ajar kepada anak muda kerana ingin berkongsi pengalaman dan ilmu pengetahuan untuk melatih barisan pelapis bidang penyelidikan perubatan untuk mengambil alih kerja-kerja saya apabila saya sudah tiada lagi.

Apakah doktor-doktor muda hari ini bersikap materialistik?

KHALID: Mereka bukan mementingkan kebendaan dan wang ringgit, cuma anak-anak muda terpelajar hari ini sukar untuk mengikut jejak langkah penyelidik dan ahli akademik yang harus mengorbankan banyak masa dan tenaga untuk menjalankan penyelidikan, sebaliknya ramai antara mereka memilih untuk menjadi pakar dalam bidang tertentu dan menggunakan ilmu merawat pesakit.

Perbezaan antara pakar perubatan dengan ahli akademik yang juga menjadi penyelidik ialah pakar hanya merawat pesakit tetapi ahli akademik dan penyelidik akan menurunkan segala ilmu yang ada kepada pelapis akan datang serta menjalankan kajian bagi mencari ilmu-ilmu baru untuk menyanggah ilmu-ilmu terdahulu bagi mendapatkan ubat atau penyelesaian lebih baik dalam dunia perubatan.

Bolehkah kita menganggap pemberian anugerah berprestij ini sebagai pengiktirafan negara atau lebih tepat masyarakat tempatan terhadap kemajuan bidang penyelidikan perubatan yang sering kali dilupakan kerana tidak sepopular bidang-bidang lain?

KHALID: Terus-terang saya katakan tidak begitu pasti mengenainya kerana pihak penyelidik seperti kami menjalankan penyelidikan atas dua tujuan. Pertama saya mengkaji pelbagai aspek mengenai hormon dan rembesannya sehingga menyebabkan terhasilnya sesuatu penyakit. Sebab kedua ialah memberitahu dan menggalakkan masyarakat mengenai keperluan dan kepentingan mengamalkan gaya hidup yang sihat kerana pada zaman sekarang, terdapat kes-kes di mana orang mendapat penyakit pada usia yang terlalu muda berbanding dahulu, sebelum umur mencecah 40 tahun sudah terkena penyakit itu dan ini berbanding orang terdahulu.

Prof. mengidap penyakit yang digeruni oleh semua orang. Apakah yang memberi kekuatan kepada Prof. untuk meneruskan penyelidikan?

KHALID: Saya dikesan menghidap leukimia sekitar tahun 90an, ketika itu masih di tahap tidak agresif dan saya boleh meneruskan gaya hidup seperti biasa. Menurut pendapat pakar pada masa itu, saya hanya boleh hidup untuk 10 tahun lagi tetapi sehingga hari ini, saya telah mendapat bonus untuk hidup lebih lama dari jangkaan.

Setiap pagi, selepas bangun dari tidur dan nampak cahaya matahari, saya akan katakan kepada diri sendiri bahawa saya mendapat satu hari 'bonus' untuk meneruskan kehidupan. Ini memberi semangat untuk melatih lebih ramai tenaga baru dalam bidang penyelidikan perubatan dan selagi hidup, saya akan terus menjalankan penyelidikan.

Apakah yang akan Prof. lakukan dengan wang hadiah anugerah ini?

KHALID: Sejajar dengan niat saya untuk melahirkan lebih ramai ahli akademik dan penyelidik dalam bidang ini, saya akan melabur dana tersebut untuk penyelidikan selain menggalakkan kelahiran penyelidik muda bagi menghasilkan penemuan baru menerusi Hadiah Khalid Kadir yang saya tubuhkan untuk tujuan berkenaan.

Saya juga mengasaskan Hadiah Khalid Kadir untuk penuntut perubatan dan kesihatan di Universiti Kebangsaan Malaysia, sebuah institut pengajian yang sebati dengan saya selama 26 tahun bagi membantu mencapai cita-cita untuk melihat lebih banyak kajian mengenai hormon dan tekanan di negara ini.