Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

20 November 2008

Bahasa kebangsaan di semua kementerian


KESUNGGUHAN Kementerian Luar melalui Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang mahu mengetengahkan bahasa Melayu di negara-negara asing mulai tahun hadapan amatlah disambut baik oleh seluruh rakyat Malaysia.

Usaha murni itu tentunya akan berjalan lebih lancar dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Tentunya, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan di negara ini akan lebih dikenali, dipelajari, dihayati seterusnya dihormati warga dunia apabila 104 buah kedutaan kita di seluruh dunia berganding bahu mempromosi bahasa Melayu.

Seperti petikan daripada puisi Bahasa Bonda oleh Sasterawan Negara, Usman Awang yang berbunyi: "Seribu bahasa kita bicara, Manakan sama bahasa bonda".

Malah, tanggungjawab mengetengahkan bahasa Melayu di persada dunia sebenarnya tidak bercanggah dengan konsep pensejagatan dunia atau globalisasi yang sering diperkatakan oleh semua pihak.

Mengapa dalam era yang dipanggil dunia tanpa sempadan hari ini, masih ada rakyat Malaysia sendiri yang begitu sangsi dengan bahasanya sendiri dengan meletakkan garis sempadan terhadap bahasa Melayu untuk tidak berkembang maju dan dikenali pihak luar?

Mengapa pula hanya bahasa asing begitu didewa-dewakan sedangkan jika dilihat di negara maju lain, mereka lebih cenderung mengutamakan bahasa sendiri melalui budaya penterjemahan, alih suara dan khidmat jurubahasa?

Oleh sebab itu, penggunaan bahasa kebangsaan dalam sebarang majlis rasmi oleh semua kedutaan kita di seluruh dunia mestilah diutamakan.

Adalah memalukan jika bahasa kebangsaan tidak digunakan atau pun diucapkan pada permulaan majlis sahaja walaupun khalayak atau para hadirin sebahagian besarnya terdiri daripada rakyat Malaysia.

Jika membabitkan penyertaan delegasi atau perwakilan asing sekalipun, mengapa sukar sekali kita menggunakan pendekatan khidmat jurubahasa seperti yang diamalkan oleh negara-negara luar yang banggakan bahasanya?

Dalam masa yang sama, langkah terpuji pihak kedutaan untuk mempromosi bahasa Melayu di peringkat antarabangsa tidak bermakna jika kedudukan bahasa kita seperti hidup segan mati tidak mahu di dalam negaranya sendiri.

Menyedari hakikat itu, usaha mempromosi bahasa kebangsaan di persada dunia oleh Kementerian Luar perlu turut dicontohi seluruh 27 buah kementerian yang ada di negara ini.

Baik di dalam negara mahupun ketika di luar negara, amalan dan ketegasan kita dalam mengutamakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa komunikasi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan perlu selari dengan semangat yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.