SEJAK dilaksanakan, dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mendapat kritikan demi kritikan pelbagai pihak yang tidak bersetuju dengan pelaksanaannya. Malah ada yang berpendapat ramai pelajar Melayu luar bandar bakal menjadi mangsa kepada dasar itu.
Menurut Menteri Pelajaran, Datuk Hishammuddin Tun Hussein pencapaian calon-calon UPSR tahun ini sekurang-kurangnya menafikan tuduhan liar lagi beremosi yang dibuat pelbagai pihak. "Dasar ini tidak menjejaskan masa hadapan kita dan ia menunjukkan dasar yang dibuat ini tidak merugikan".
Ini bermakna, masih ada ruang untuk pelbagai pihak khususnya pengkritik memberi buah fikiran, membuat kajian dan analisis supaya pada akhirnya keputusan yang diambil sebagai dasar PPSMI tidak akan memperjudikan nasib anak bangsa kita.
Kesediaan Kementerian Pelajaran untuk membawa hasil kajian dan pandangan masyarakat mengenai PPSMI ke persidangan meja bulat membuktikan bahawa kerajaan sentiasa mengamalkan keterbukaan demi melihat sesuatu dasar itu memberi kebaikan khususnya kepada pelajar sekolah.
Seperkara yang menarik daripada paparan media massa menunjukkan dalam kalangan yang cemerlang itu ialah pelajar kurang upaya, anak yatim, anak Orang Asli, anak tukang kebun dan anak nelayan.
Kita percaya mereka itu datangnya dari keluarga yang hidup dalam kepayahan dan kesusahan serta tinggal di luar bandar. Ini menunjukkan dasar PPSMI mungkin bukan halangan besar kepada pelajar untuk cemerlang walaupun mereka dari golongan yang dikhuatiri akan menghadapi masalah.
Benarlah kata pepatah Melayu, 'dimana ada kemahuan di situ ada jalan'. Walaupun hidup serba kekurangan ditambah dengan PPSMI, tetapi atas usaha yang gigih akhirnya kejayaan dikecapi.
Adalah diharapkan supaya prestasi cemerlang itu dapat diteruskan apabila mereka melangkah ke sekolah menengah kelak. Ini kerana mereka merupakan generasi yang bakal menjadi modal insan yang akan memajukan bangsa dan negara pada masa hadapan.
Kepada kumpulan pelajar yang mendapat keputusan yang tidak memuaskan itu bukan bermakna mereka gagal tetapi masih belum berjaya. Ini bermakna kumpulan pelajar ini perlu meningkatkan usaha supaya mencapai keputusan yang lebih baik pada masa hadapan.
Dengan belajar lebih tekun dan rajin, dibimbing oleh guru-guru yang berdedikasi serta dipantau oleh ibu bapa, mereka mungkin memperolehi keputusan cemerlang pada peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) kelak.
Oleh itu, calon-calon yang lemah pencapaiannya tidak harus berasa kecewa kerana UPSR hanyalah langkah permulaan dalam meniti dunia pendidikan yang masih panjang dan berliku untuk dilalui. Ujian sebenar ialah lima tahun dari sekarang iaitu peperiksaan SPM yang menjadi penentu hala tuju dan masa hadapan kerjaya pelajar.
Pihak sekolah menengah yang bakal menerima kumpulan itu tahun hadapan harus memberi perhatian lebih kepada mereka agar tidak terus tercicir dalam persaingan dengan pelajar cemerlang lain.
Ibu bapa pula berperanan memantau perkembangan pelajaran anak-anak yang rendah pencapaian UPSR. Jika berkemampuan hantarlah anak-anak ke pusat tuisyen bagi meningkatkan pencapaian dalam pelajaran.
Kepada pihak kerajaan, teruskan usaha membantu pelajar-pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan menghadiri kelas tuisyen melalui skim yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lepas.
Mereka ini umpama rebung yang masih boleh dilentur. Usaha melentur mereka akan dapat diketahui selepas lima tahun iaitu apabila keputusan SPM diumumkan. Mungkin ada dalam kalangan mereka itu mencapai keputusan yang cemerlang.
Satu lagi isu yang menarik untuk diperkatakan ialah mengenai peluang belajar di sekolah-sekolah berasrama penuh (SBP), Kementerian Pelajaran. Memandangkan tempat yang disediakan oleh kerajaan agak terhad, maka tidak semua calon yang cemerlang akan diterima.
Beberapa institusi pendidikan bukan di bawah Kementerian Pelajaran seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), sekolah berasrama di bawah kerajaan negeri dan Kolej Yayasan Saad turut menyediakan tempat kepada lulusan UPSR yang bercita-cita belajar di SBP.
Mulai tahun ini, MRSM akan mengambil pelajar cemerlang untuk mengikuti program agama yang akan ditempatkan di Kota Putra, Besut, Terengganu. Maklumat MRSM menunjukkan selain mata pelajaran teras, mata pelajaran yang akan diperkenalkan ialah Pengajian al-Quran (Hafazan), Bahasa Arab serta bahasa lain termasuk Bahasa Mandarin dan Jepun.
Permohonan untuk program itu terbuka kepada semua calon Bumiputera yang mendapat 5A dari sekolah kebangsaan, sekolah rendah agama negeri dan sekolah rendah agama rakyat. Walaupun diwujudkan program baru itu, tempat yang ada di SBP masih tidak dapat menampung puluhan ribu pelajar yang cemerlang. Difahamkan pada kali ini SBP menyediakan sebanyak 6,000 tempat sementara MRSM hanya 5,100. Bermakna hanya 23.8 peratus pelajar cemerlang dengan semua A berpeluang ke SBP dan MRSM tahun hadapan.
Manakala, selebihnya harus meneruskan persekolahan di tingkatan satu di sekolah harian kerajaan yang turut mempunyai kemudahan yang baik termasuk guru-guru yang berkualiti serta kemudahan fizikal yang lengkap yang tidak kurang hebatnya berbanding SBP dan MRSM.
Kekurangan SBP memang disedari kerajaan. Oleh itu, dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM9.7 bilion dan tambahan RM2.6 bilion seperti yang terkandung dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 untuk meningkatkan keperluan pendidikan termasuk membina lebih banyak SBP dan menaikkan taraf sekolah-sekolah luar bandar.
Pada dasarnya, pengambilan ke SBP memberi keutamaan kepada pelajar miskin yang cemerlang akademik dan kokurikulum khususnya dari luar bandar supaya dapat belajar dalam suasana lebih selesa.
Langkah itu bertujuan memastikan kumpulan pelajar miskin yang cemerlang dapat belajar dalam suasana lebih kondusif seterusnya, mampu mengekalkan kecemerlangan di peringkat PMR dan SPM kelak.
Diharapkan dasar itu tidak disalah guna dengan memberi tempat kepada pelajar cemerlang dari golongan berada dan berkemampuan.
Jika berlaku maka tertutuplah pintu peluang pelajar miskin yang cemerlang untuk bersaing sebaliknya perlu meneruskan pelajaran mereka dalam suasana penuh kesulitan akibat kemiskinan.