SELEPAS pukul 10 pagi Khamis ini, murid-murid yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 akan dapat mengetahui keputusan peperiksaan mereka. Bagi ibu bapa pula, keputusan itu amat penting dalam erti kata itulah peperiksaan utama yang pertama bagi anak mereka yang berkenaan, lebih-lebih lagi jika anak itu anak sulung.
Namun kali ini, keputusan itu bukan sahaja menjadi perhatian ibu bapa dan para guru seperti mana biasa. Banyak pihak menunggu untuk menganalisis keputusan itu yang merupakan 'hasil' pertama UPSR setelah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mula dilaksanakan di seluruh negara pada tahun 2003.
Sungguhpun pihak Kementerian Pelajaran telahpun menegaskan bahawa keputusan UPSR itu kelak bukanlah pengukur utama dalam membuat keputusan mengenai masa depan dasar PPSMI, namun setidak-tidaknya ia boleh memberi gambaran asas kepada keberkesanaan PPSMI dalam sistem pendidikan nasional.
Selain menjadi penanda aras, sekurang-kurangnya ia boleh memberi jawapan asas yang kukuh, tanpa andaian lagi, terhadap persoalan sama ada pelaksanaan itu merupakan satu langkah betul dan tepat dari pelbagai sudut, memandangkan perdebatan mengenainya berterusan sehingga sekarang seperti tiada kesudahan.
Alasan utama pelaksanaan dasar terhadap dua subjek itu antara lain ialah bersandarkan betapa sumber maklumat Sains dan Matematik begitu kaya dalam bahasa Inggeris, yang dikenali sebagai bahasa sains dan teknologi dan digunapakai di seluruh dunia. Oleh itu, pelaksanaan itu atas kesedaran kita tidak mahu anak Malaysia tertinggal dalam arus kemajuan dan perkembangan ekonomi serta sains dan teknologi. Kerajaan mahu anak-anak Malaysia mempunyai asas yang kukuh dalam kedua-dua subjek itu dengan menguasai pelbagai konsep dan istilah yang berkaitan dalam bahasa Inggeris.
Namun begitu tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid-murid dan pelajar kita yang berbeza-beza mengikut kawasan khususnya bandar dan luar bandar serta mengikut kaum, antara lain telah membawa kepada wujud satu pemahaman ke arah 'lain sakit, lain ubatnya' terhadap PPSMI. Bersandarkan kelemahan bahasa Inggeris atau usaha memperkasakan bahasa itu di kalangan murid-murid dan pelajar, usaha dilihat perlu ditumpukan kepada pembelajaran bahasa itu sendiri, termasuklah dengan cara memperbaiki kaedah pembelajaranya serta perhatian yang lebih termasuk jumlah masa yang diperuntukan bagi subjek itu.
Bagi yang berpendirian sebegini, pelajar yang lemah bahasa Inggeris akan menjadikannya tidak dapat menguasaha kedua-dua subjek yang diajar dalam bahasa Inggeris itu. Malah, dalam melihat dari aspek tersebut juga, ada berpandangan masalah tersebut turut diakaitkan pada soal keupayaan guru dalam penguasaan bahasa tersebut bagi melaksanakan dasar tersebut.
Dalam konteks bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, ada pula pihak melihat pelaksanaan PPSMI mencerminkan satu langkah yang mengundur, setelah bahasa Melayu telah mengalami proses mobiliti dan transformasi yang cukup berkesan. Bahasa Melayu telahpun berjaya didaulatkan dan diletakkan pada tempatnya selaras dengan kedudukannya dalam Perlembagaan Negara atau akta yang meletakkan bahasa Melayu/kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara, seperti yang dapat dilihat di peringkat pengajian tinggi.
Lihat juga buku-buku pelbagai bidang ilmu yang dihasilkan dalam bahasa Melayu ataupun diterjemah ke dalam bahasa kebangsaan. Bahasa Melayu sebenarnya bukan sahaja sudahpun diiktiraf sebagai bahasa ilmu malahan ia telahpun membuktikan keupayaannya.
Penggunaan bahasa sendiri (dalam hal ini bahasa kebangsaan) dalam pelbagai ilmu bukanlah satu halangan dan ia telahpun dibuktikan oleh banyak negara. Jepun, Jerman, Perancis, Rusia tidak kelihatan tertinggal sedikitpun dalam bidang sains dan teknologi atau ilmu-ilmu lain walaupun mereka tidak beralih ke bahasa Inggeris. Jatidiri bangsa terhadap bahasa sendiri yang menjadi pegangan sebenarnya merupakan senjata berkesan mereka dalam meletakkan bangsa mereka 'sama tinggi' dengan bangsa-bangsa lain yang berjaya, yang bertutur dan menggunakan bahasa Inggeris.
Trend untuk memperleceh keupayaan dan maruah serta penurunan tahap penghayatan roh dan semangat Perlembagaan dan akta berkaitan bahasa kebangsaan semacam satu fenomena kebelakangan ini. Tidak cukup dengan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua -- yang sewajarnya dipertahankan; kita mula menggunakan bahasa-bahasa lain termasuk bahasa Mandarin dan Arab dalam hal-hal yang boleh dikaitkan dengan fenomena terbabit.
Bermula dengan pengumuman pelepasan dan ketibaan pesawat di lapangan terbang antarabangsa kita, kini merebak ke papan-papan tanda jalan pula. Alasannya amat mudah - kepentingan sektor pelancongan. Apakah Perancis gagal menarik pelancong asing melawat menara terkenalnya di Paris walaupun bahasa asing tidak didaulatkan melainkan bahasanya sendiri? Bagaimana Jepun?
Berbalik kepada PPSMI, kemelut yang timbul telah membawa kepada empat persidangan meja bulat yang khusus membicarakannya. Persidangan pertama melibatkan pegawai kanan Kementerian Pelajaran, institusi pengajian tinggi awam serta kesatuan keguruan. Wakil-wakil badan korporat, profesional, tokoh dan para guru terlibat dalam persidangan kedua manakala wakil muruid dan guru dari semua jenis sekolah bandar dan luar bandar terlibat dalam persidangan ketiga. Persidangan keempat pula melibatkan wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan serta wakil Kementerian Pelajaran Brunei Darussalam.
Alangkah baiknya jika proses empat peringkat ini diadakan pada tahun 2002 misalnya iaitu sebelum PPSMI dilaksanakan. Sejarah pelaksanaan dan perbincangan pelbagai tahap dan melibatkan pelbagai pihak itu selepas PPSMI berjalan, memberi gambaran seolah-olah PPSMI menjalani satu proses 'eksperimen'.
Sebarang dialog dan sebagainya berkaitan PPSMI selepas ia dilaksanakan, jika ada dan jika perlu, sewajarnya ke arah usaha penambahbaikan dasar itu sahaja, bukannya mengkaji balik pelaksanaannya.
Bahasa Inggeris bukanlah satu-satunya jaminan kejayaan rakyat Malaysia. Keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu telah meletakkan ramai anak Malaysia tanpa mengira kaum di mercu kejayaan. Amatlah malang, setelah 51 tahun kita hidup di bumi merdeka, perkara asas ini masih menjadi perdebatan.
Bermula Khamis ini, sudah tentu mereka yang selama ini mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam isu-isu berkaitan penggunaan bahasa Melayu/Inggeris dapat melihat jawapan awal kepada apa yang telah kita putus dan laksanakan.
Jika pola keputusan UPSR dalam dua subjek itu bagi calon-calon di kawasan bandar dan luar bandar mengikut pola tahap penguasaan bahasa Inggeris berdasarkan kawasan bandar dan luar bandar, ia tanda awal bahawa keputusan dalam dua subjek itu banyak dipengaruhi oleh keupayaan penguasaan bahasa pengantarnya.
Maknanya terdapat calon-calon UPSR yang cukup selesa dengan bahasa pengantar dalam dua subjek itu; dan pada satu pihak lagi terdapat calon-calon yang bergelut dengan pemahaman bahasa Inggeris ketika mereka diuji subjek Sains dan Matematik. Jika keadaan itu berlaku, apakah yang wajar kita lakukan?
