Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

10 November 2008

Menjejak susur galur sejarah negara


SEPANJANG 1786 hingga 1957, dianggarkan terdapat 200 buah dokumen atau perjanjian yang melibatkan negeri-negeri Melayu di Semenanjung dalam hubungannya dengan British.

Jumlah itu tidak termasuk dokumen berupa laporan pegawai British kepada Kerajaan India British sehingga 1867 dan selepas itu di Pejabat Jajahan di London, dan warkah raja dan pembesar Melayu kepada British.

Sebahagian besar dokumen dan perjanjian itu merekodkan pelbagai peristiwa terutamanya dalam konteks hubungan luar dan sesetengah urusan dalaman negeri-negeri Melayu pada waktu itu, yang kemudiannya menjadi detik penting kepada pembentukan dan perjalanan sebuah negara yang bernama Malaysia seperti hari ini.

Sesuai dengan ketinggian nilai sejarahnya, dokumen dan perjanjian lama negara itu tidak mungkin dapat disingkap, ditatap dan difahami dengan mudah tanpa ada usaha membawanya merentasi era hari ini. Namun, ini yang diusahakan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) menerusi buku Perjanjian & Dokumen Lama Malaysia, 1791-1965 ini.

Buku ini merupakan satu usaha penerbitan ulung yang sangat jarang dilakukan, kerana ia satu-satunya buku yang pernah diterbitkan di negara ini dan merupakan buku keempat seumpamanya di dunia.

Atas usaha untuk membawa lipatan sejarah yang terakam dalam bentuk dokumen dan perjanjian ke dalam sebuah naskhah yang boleh dikongsi secara bersama, maka buku ini menghimpunkan 26 bahan yang dipilih berdasarkan apa yang dianggap penting, masyhur dan diketahui oleh umum.

Sebahagian daripada perjanjian dan dokumen itu berusia lebih 200 tahun. Adalah mustahil untuk mana-mana rakyat Malaysia menatap salinannya dari mana-mana sumber melainkan di Arkib Negara atau perpustakaan awam dalam dan luar negara.

Ibarat kunci kepada pintu pengembaraan ke zaman silam, buku ini mengajak pembaca menjengah peristiwa penting yang berlaku kepada negara dari zaman Kesultanan Melaka sehinggalah kepada Pemasyhuran Malaysia dan Pemisahan Singapura.

Dokumen terawal di alam buku ini bertarikh 16 Syaaban 1205 Hijrah bersamaan 1 Mei 1791, iaitu Persetiaan dengan Sultan Kedah yang ditandatangani, dimeterai dan disempurnakan di Kota Cornwallis, Pulau Pinang oleh Francis Light.

Dokumen terakhir pula ialah Akta Perlembagaan dan Malaysia (Pindaan Singapura), 1965 yang mendapat Perkenan Diraja pada 9 Ogos tahun yang sama.

Meskipun kebanyakan dokumen dan perjanjian di dalam buku ini adalah dalam bahasa Inggeris, namun usaha terjemahannya berpegang kepada prinsip mendokong bahasa Melayu sebagai bahasa dasar. Apa yang menarik dibaca ialah buku ini menemukan pembaca kepada keunikan bahasa Melayu asli yang sebahagiannya tidak lagi digunakan hari ini.

Keunikan lain yang dapat dilihat menerusi buku ini ialah bagaimana sebuah ikatan perjanjian di zaman lampau, ditaat setia berdasarkan tempoh yang dirujuk kepada fenomena alam, antaranya frasa yang berbunyi "supaya berkekalan selagi matahari dan bulan bercahaya."

Buku ini dihasilkan dengan mendapat sentuhan nama-nama besar seperti Prof. Emeritus Datuk Dr. Khoo Kay Kim dan Prof. Madya Shakila Yacob sebagai penasihat sejarah dan dokumen sumber, Mokhtar Ahmad sebagai penterjemah, Yusof Cha selaku editor serta Dr. Annabel Teh Gallop yang memimpin penerbitan buku ini dengan pandangan membina.

Menjelaskan lebih lanjut, Pengarah Urusan ITNM, Mohd. Khair Ngadiron berkata, usaha penerbitan buku ini digerakkan dengan semangat untuk menjejak susur galur sejarah negara yang terpendam dari sudut dokumentasi dan perjanjian utama.

Ia juga sangat bertepatan ketika ketuanan Melayu di Gugusan Kepulauan Melayu kini dipersoalkan oleh sesetengah pihak yang jelas buta sejarah.

Menerusi kefahaman dan kajian ke atas dokumen serta perjanjian di dalam buku ini katanya, dapat ditemukan bukti yang jelas bahawa Tanah Melayu ini secara warisannya adalah hak milik orang Melayu.

"Jika tidak, mana mungkin Raja-raja Melayu, menerusi bukti dokumen dan perjanjian seperti yang terkandung di dalam buku ini, bertindak seperti tuan dalam menentukan arah tuju hubungan diplomatik dengan kerajaan luar seperti British, Belanda dan Siam," katanya.

Namun, apa yang lebih penting tambah Mohd. Khair, usaha selama dua tahun mendokumentasikan buku ini juga bertujuan menyemai semangat kebangsaan di kalangan seluruh rakyat Malaysia dengan kembali berpegang kepada apa yang tercatat oleh sejarah.

Dalam ketika negara kini diwarisi oleh generasi baru yang hayat mereka jauh lebih muda daripada usia dokumen dan perjanjian itu sendiri, adalah satu kerugian kepada jati diri dan kedaulatan negara, sekiranya mereka dibiar membentuk identiti bangsa dan negara tanpa berpegang kepada apa yang dipertahankan oleh pejuang silam negara.

Penerbitan buku ini juga, jelas beliau, dilihat kena pada masanya ketika perdebatan mengenai isu mata pelajaran Sejarah cuba dihidupkan semula secara menyeluruh dalam kurikulum pendidikan negara.

Buku ini boleh dijadikan sebagai sumber rujukan yang paling tepat, malah tidak keterlaluan untuk diangkat sebagai salah satu sukatan mata pelajaran, kerana ketepatan fakta-fakta yang dirakamkan.

Malah, usaha itu juga barangkali lebih mudah dan meluas memandangkan penerbitan buku ini turut dijalankan secara kerjasama dengan Kementerian Pelajaran.