MASIH dalam suasana raya. Pastinya masih ada yang belum puas bergembira. Tidak mengapa, teruskan keseronokan anda berhari raya.
Pada masa yang sama, luangkan masa menghayati catatan saya ini.
Minggu ini ingin saya berkongsi cerita menarik mengenai seorang wanita yang teramat marah kepada bekas suaminya kerana menghilangkan diri setelah melafazkan talak satu kepadanya dua tahun lalu.
Kini tinggal dia dan dua anak meneruskan hidup tanpa nafkah anak seperti yang wajib dibayar oleh bekas suaminya.
Kami bertemu ketika saya mengunjungi sebuah salon di pinggir bandar. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Faten (bukan nama sebenar).
Dalam usia baru mencecah lewat 20-an, Faten sudah bergelar ibu tunggal.
Kata Faten kebanyakan lelaki zaman sekarang tidak boleh memikul tanggungjawab mereka dengan baik.
"Saya hairan kenapa ada suami yang tidak boleh berlaku adil dalam kehidupan berkeluarga.
"Percaya atau tidak jika dikatakan 85 peratus lelaki yang sudah berkahwin mempunyai kekasih?'' tanya Faten.
Saya tidak menjawab tetapi meminta dia memberi penjelasan. Kata Faten, dia ada membaca satu rencana mengenai tingkah laku lelaki selepas perceraian. Jawapannya menjadikan saya terdiam.
"Bukan itu sahaja, ada juga orang bujang menjerat isteri orang untuk menumpang kasih dan hidup senang. Semuanya gara-gara pasangan tidak sehaluan dalam rumah tangga.
"Saya berani katakan lelaki juga yang menjadi punca kenapa wanita sekarang tidak setia kepada suami,'' tambahnya.
Itu bukan kata-kata saya tetapi luahan perasaan Faten.
"Memang ada yang begitu tetapi tidak semua lelaki sama, ada juga yang baik,'' saya memintas kata-katanya.
Faten terus membebel, katanya sekarang ini di Malaysia banyak pusat-pusat hiburan seperti dangdut, karaoke dan disko dibuka, pelayannya semua cantik-cantik dan seksi.
Pastinya apabila ke tempat-tempat tersebut lelaki yang bergelar suami ini disajikan dengan wanita cantik yang seksi menggoda. Tentulah mereka akan cair.
Saya tersenyum lagi mendengar komen Faten. Biasalah suara wanita. Dalam marah tetapi bersahaja. Yang pasti Faten benar-benar serius.
"Memang betul suami sekarang sekali ditolong terus lepas tangan. Lupa tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak.
"Kebanyakan suami yang isterinya bekerja mengambil kesempatan ini. Kalau sekali isteri tolong, mereka akan terus buat-buat tidak ingat.
"Kalau kita bagi tahu nak duit untuk selesaikan bil dan membayar itu ini, mereka kata bayar dulu, nanti tuntut kemudian. Bunyinya macam ikhlas tapi akhirnya lenyap begitu sahaja.
"Ada sesetengahnya pula duit poket dia pun kita kena sediakan. Apabila tidak tahan dibuli suami, mereka minta cerai, itu sebabnya ramai perempuan muda dah jadi janda. Majoritinya berkata, daripada bersuami menyeksakan hidup lebih baik hidup seorang,'' sambung Faten tegas.
Seronok tengok wajah Faten merah padam apabila suaranya meninggi, emosi sungguh.
Bagi saya amat mudah mengeluarkan kata-kata tetapi benarkah kehidupan menjadi lebih mudah jika seorang wanita hidup seorang diri dengan memegang status ibu tunggal atau janda?
Kalau yang tidak ada anak memang sesuai tetapi bagaimana dengan mereka yang mempunyai anak? Nafkah, pendidikan dan keperluan hidup mereka, siapa yang nak tanggung?
Itulah masalah yang akan timbul sehingga mencetus krisis kewangan yang hebat untuk membesarkan anak-anak. Sedangkan kaum suami dan bapa terus mendiamkan diri.
"Oleh kerana masalah itulah saya terpaksa bekerja sambilan untuk mendapatkan belanja sampingan. Janji dapat duit. Tapi kena hati-hati jangan salah bawa, bimbang terjerat. Itulah dunia sekarang,'' kata Faten mengeluh.
Saya memandang mukanya. Patut pun dia mengeluh sebab semua dia kena buat seorang diri untuk memberi makan dan membesarkan anak-anak.
"Mula-mula berpisah dengan suami saya yakin boleh hidup sendiri membesarkan anak-anak. Tapi bila sudah berpisah lain pula ceritanya.
"Semua perkara, daripada sewa rumah, perbelanjaan dapur, sekolah anak dan lain-lain lagi semua saya yang kena pikul. Mula-mula itu seronok hidup sebagai janda. Tak gaduh nak layan suami. Nak buat apa semua boleh, tak ada yang melarang.
"Lama kelamaan mula terasa bebannya. Kita seorang nak jaga dua orang anak tambahan pula sumber kewangan semakin susut.
"Nak harapkan gaji mana nak cukup. Bekas suami pula buat tak faham. Naik turun mahkamah dah jemu, macam itu juga. Kita pun naik bosan, dah tak larat.
"Saya hanya bertawakal kepada Allah. Walaupun orang pandang serong saya selalu keluar malam, tapi saya kerja ikhlas nak cari belanja tambahan, tidak lebih daripada itu,'' tambahnya.
Menurut Faten ketika muda dan masih kuat dia akan terus bekerja untuk menyimpan wang demi masa depan anak-anaknya.
Bukan tidak ingat masa depan anak-anak. Ingat tapi buat masa ini saya kena kerja keras dulu, kumpul duit seberapa banyak yang boleh untuk simpanan pendidikan mereka.
"Nak harapkan bekas suami, macam saya cakaplah. Tak ambil berat langsung. Tambahan pula sekarang sudah ada isteri baru, terus lupa anak-anak.
"Saya berdoa agar hidup saya dan anak-anak bahagia. Niat saya hanya memberi pendidikan kepada mereka sebaik mungkin demi masa depan mereka. Doakan kami kak,'' kata Faten menamatkan ceritanya.
Saya tidak terus memberi komen terhadap apa yang telah Faten luahkan. Selesai urusan di salon saya mempelawa Faten minum di sebuah restoran berhampiran.
Sambil sembang-sembang saya cadangkan agar dia berniaga kecil-kecilan... Lebih mudah dan terurus hidupnya dan anak-anak.
Pada mulanya Faten seperti tersinggung, tetapi setelah saya jelaskan alasan saya baru dia tersenyum.
Kata saya banyak faedah yang kerajaan sediakan untuk ibu tunggal dan kaum wanita masa kini. Rebutlah peluang itu untuk menjana ekonomi keluarga lebih mantap.
Pada masa yang sama saya nasihatkan Faten terus menuntut nafkah anak-anaknya daripada bekas suami. Kalau dibiarkan bekas suami akan terus lepas tangan. Jangan putus asa, selagi boleh, tuntut hak anda dan anak-anak. Ini soal tanggungjawab bukan perkara main-main. Kalau tidak laksanakannya di akhirat nanti akan dihitung.
Terpulang kepada Faten menimbang mana yang baik untuk dia dan anak-anak. Saya mendoakan agar Faten diberi kekuatan untuk terus melangkah meniti kehidupan yang lebih cemerlang.
Menutup kata, pesanan telus saya, Orang yang dijiwanya tidak ada keindahan, pasti tidak akan tahu menghargai keunikan sesuatu yang berharga miliknya kerana keindahan itu adalah luaran dan dalaman hati nurani seorang manusia.