PERSIDANGAN UMNO yang sedang berlangsung sekarang bunyinya amat kalut sekali. Tanpa segan silu semua orang dalam parti itu bercakap mengenai permainan wang. Pendek kata satu negara tahu. Orang yang kalah mengata orang yang menang, orang yang menang mengata orang yang lebih menang lagi… begitulah seterusnya. Siapa yang 'up' lebih kononnya dialah yang dapat lebih pencalonan.
Tapi benarkah fenomena itu sedang berlaku? Badan Pencegah Rasuah (BPR) pun katanya 'pening' juga kena siasat kes-kes yang membabitkan politik wang ini. Sepatutnya badan itu menyiasat kes-kes yang lebih penting lagi, tapi semua pihak kena masuk campur. Semuanya kerana gara-gara 'banyak pihak yang tidak puas hati kerana kalah atau sedang corot'. Yang menang besar, tidak bising pun. Tapi yang menariknya lagi, pihak yang sebelum ini tercorot dan buat bising mengenai 'gejala kotor' ini, kini sudah senyap kerana dia pun sudah cukup pencalonan.
Bagi kita, apa yang berlaku dalam UMNO ini merupakan perkara normal. Sebagai parti yang masih kuat dan menerajui negara, UMNO adalah umpama lombong emas yang semua orang berebut mahu melombongnya. Itu pasallah pihak pembangkang turut bertungkus lumus mahu menguburkan UMNO, kerana mereka pun mahu menjadi lombong emas seperti UMNO juga.
Sebenarnya, hanya orang yang bertanding dan beria-ia mahu menang itu sahaja yang tahu apa nikmat yang akan dinikmatinya daripada pertandingan itu. Orang biasa seperti kita hanya mampu berdoa supaya para pemimpin itu akan ikhlas berjuang untuk agama, bangsa dan negara dan bukan semata-mata untuk diri mereka sendiri. Tapi jika melihatkan 'kekalutan' pertandingan ini, cuak juga kita apa matlamat sebenarnya mereka?
Apa sekali pun, pertandingan seumpama ini akan terus berlaku dalam parti itu. Bulan Mac ini, pertandingan sebenar yang lebih besar akan berlaku. Jika di peringkat pencalonan ini pun macam-macam kalut kita dengar, kita boleh agak kekalutan yang lebih teruk akan berlaku pada bulan tiga kelak.
Persoalannya, apakah pucuk pimpinan UMNO akan mahu melihat gejala ini akan terus berlaku? Apakah langkah yang akan diambil untuk mengekangnya? Atau, satu kaedah baru perlu diperkenalkan bagi membolehkan gejala ini dibolehkan berlaku?
Dalam mana-mana pertandingan politik, waima di negara maju sekali pun, permainan politik wang turut berlaku.
Pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) turut memperlihatkan ratusan jutaan dolar digunakan untuk tujuan kempen bagi mengaut kemenangan. Tapi mungkin kaedahnya berbeza. Di sana ia dilegalkan atau dihalalkan secara perundangan. Di AS calon boleh menggunakan peruntukan yang disediakan oleh dana awam (kerajaan) bagi membiayai kempen pilihan raya. Namun, kerana semua pihak harus akur kepada had dana yang ditetapkan, sistem itu menjadi lompong. Calon-calon pilihan raya Presiden AS, Obama dan McCain tidak menggunakan dana kerajaan, sebaliknya menggunakan peruntukan kewangan sendiri melalui pungutan dana untuk membiayai kempen masing-masing. Dianggarkan rekod bagi pembiayaan pilihan raya AS kali ini, buat pertama kalinya dalam sejarah, telah mencapai satu bilion dolar.
Seperti biasa, tiada sistem yang sempurna, pelobi-pelobi yang 'melabur' kepada calon-calon itu akhirnya akan mahukan kembali habuan mereka.
Apa sekali pun, UMNO perlu mencari formula untuk memastikan had perbelanjaan kempen ditetapkan. Tiada calon yang boleh sewenang-wenangnya 'melayangkan' wang kepada para perwakilan untuk mendapatkan pencalonan atau undi.
Walaupun ada kelemahan, mungkin juga UMNO boleh meniru sistem presidential public financing atau sistem pembiayaan awam calon presiden AS (seperti yang disebut di atas) yang diperkenalkan pada 1976 ekoran Skandal Watergate, untuk membiayai kempen setiap calon Presiden dari parti Demokrat dan Republikan. Ia diperkenalkan bagi melindungi integriti calon dan kepentingan rakyat di AS. Melalui kaedah ini, setiap calon akan terlindung daripada pengaruh-pengaruh pelobi.
Mungkin juga UMNO boleh memikirkan kaedah setiap calon yang bertanding perlu mengisytiharkan 'modal' wang yang akan mereka gunakan untuk kerja-kerja kempen pemilihan masing-masing. Mungkin juga satu had deposit ditetapkan oleh UMNO bagi setiap jawatan yang akan dipertandingkan. Sebuah badan pemantau akan dibentuk bagi mengawasi jumlah perbelanjaan yang telah dibuat.
Bagi kita ia lebih baik daripada menetapkan kuota pencalonan yang perlu dipenuhi oleh calon kerana cara itu akan membuka kepada satu unsur sogokan yang tiada hadnya.
Sekali lagi, sudah sampai masanya UMNO membuat kajian terperinci bagi memastikan politik wang secara haram ini dikuburkan terus. Tidak malukah UMNO kerana setiap kali berlakunya pemilihan, maka dengusan politik wang akan terus kedengaran. Yang malangnya, dengusan itu bukan hanya didengari 'dalam kelambu sahaja' tetapi satu kampung!
Akhir sekali, ingin saya berkongsi satu sajak yang diterima melalui SMS bertajuk Sajak Memilih Pemimpin nukilan Ibnu Soleh. Renungkanlah bersama (terutama kepada seorang sahabat yang mesra dipanggil 'Dr. Beb').
Pemimpin.
Menjadi bintang bekerdipan di keheningan langit malam,
Menjadi gunung menggamit di hujung pandang,
Menjadi laut terbentang di keluasan alam,
Menjadi pepohon rendang meneduh kehidupan,
Pemimpin.
Bukan menagih sanjung pujian,
Bukan rakus penentu habuan,
Bukan berang menyatukan perbezaan,
Bukan amarah penyambut teguran,
Bukan dendam dalam tindakan,
Bukan benci dan dengki neraca keadilan,
Bukan jua diri jadi keutamaan,
Allah, Allah menjadi sandaran,
Rasul, Rasul menjadi ikutan,
Al-Quran, Kitabullah menjadi panduan.