Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

06 Disember 2008

Perubahan sosial pantas cetus teori konspirasi


Oleh Naomi Wolf


'PERGERAKAN Kebenaran 9/11' yang menekankan bahawa serangan al-Qaeda ke atas Menara Berkembar Pusat Dagangan Dunia di New York, sebenarnya adalah 'kerja dalaman'.

Manusia era kini lebih suka membuat spekulasi, dokumentasi, andaian yang disebar menerusi internet

ADAKAH dunia sekarang digelar zaman Teori Konspirasi? Begitu banyak bukti mencerminkan bahawa kita kini berada di dalam era di mana manusia lebih suka membuat spekulasi, dokumentasi dan andaian. Kebanyakannya disebarkan menerusi internet dan amat pantas disebar ke seluruh dunia.

Dalam proses ini, teori konspirasi diketengahkan selepas perdebatan hangat, dan ia sering dikaitkan dengan perbandingan peristiwa lalu - kerap muncul ketika dunia politik bergelora.

Saya belajar perkara ini secara tidak sengaja. Selepas menulis sebuah buku mengenai rampasan kuasa eksekutif di Amerika Syarikat (AS) ketika pemerintahan Bush, saya dapati dalam membuat penyelidikan mengenai perkembangan terbaru, saya 'terserempak' dengan perbualan menerusi internet yang mengandungi cerita 'manipulasi' di belakang tabir.


Wujud beberapa tema utama. Paling biasa di AS ialah 'plot' golongan elit global. Antara konspirasi dicetuskan ialah pembentukan 'satu dunia baru' yang akan dikuasai kumpulan tertentu dengan tujuan untuk mendominasi kuasa kerajaan di sesebuah negara.

Antara yang dipalit dengan teori ini ialah Kumpulan Bilderberg dan Majlis Hubungan Luar AS. Selalunya, ada cerita lebih serius akan muncul di dalam plot yang sama, sekali gus mengembangkan jumlah 'ahli' pengikut cerita ini termasuk kumpulan seperti Illuminati, Freemasion, bijak pandai Rhodes, tidak terkecuali golongan Yahudi.

Trend naratif ini amat mudah diketahui sesiapa yang mengkaji penggalian beberapa kategori cerita ketika era krisis. Secara literal, teori konspirasi ini hampir menyamai Protokol Bijak Pandai Zion, membabitkan kumpulan elit global 'sulit' yang begitu berkuasa dan mempunyai matlamat penuh muslihat.

Sejarah membuktikan, wujud kecenderungan untuk mempunyai satu jalan cerita yang sama bagi sesuatu kejadian - mencetuskan kegerunan, perubahan yang tidak mampu dikawal diketuai golongan bijak pandai atau kosmopolitan bandar.

Rakyat dari daerah Weimar, Jerman, adalah antara yang pernah menjadi mangsa teori konspirasi. Cerita perpindahan mengejut, perbandaran pantas, kacau bilau di kalangan keluarga tradisi, kelonggaran sekatan seksual dan tumbangnya sesebuah ekonomi, mematangkan ramai rakyat Jerman.

Semua kejadian dialami menjadikan rakyat Jerman antara pengikut pelbagai teori konspirasi yang dilihat memang menjadi sebab kepada kecelaruan rakyat negara itu, lebih penting ia memberikan alasan terbaik kepada penderitaan yang dialami mereka.

Begitu juga dengan 'Pergerakan Kebenaran 9/11' yang menekankan bahawa serangan al-Qaeda ke atas Menara Berkembar Pusat Dagangan Dunia di New York, sebenarnya adalah 'kerja dalaman'. Di kalangan dunia Islam, tersebar teori konspirasi bahawa Israel adalah dalang kepada serangan terbabit dan semua kaum Yahudi yang bekerja di kedua-dua bangunan terbabit, tidak bekerja pada hari berkenaan.

Selalunya, teori konspirasi muncul di daerah di mana rakyat tidak begitu berpelajaran dan amat kurang akses kepada maklumat daripada media bebas.

Persoalannya, mengapa teori konspirasi ini semakin berleluasa di AS dan turut menjejaskan negara demokrasi lain?

Ledakan teori konspirasi hari ini sebenarnya disemarakkan suasana sama yang pernah berlaku pada masa lalu - membabitkan perubahan sosial yang pantas dan ketidaktentuan ekonomi yang begitu membimbangkan.

'Musuh dengan misi khusus' yang sengaja dicipta, menjadi psikologi yang lebih selesa diterima, berbanding kacau bilau evolusi sosial, pekerjaan atau kegagalan sistem kapitalisme yang tidak terkawal.

Dan dalam pada teori konspirasi sering mempunyai corak yang tidak rasional, persoalan yang dikemukakan sering menarik, walaupun jawapan yang sering diberi tanpa sumber yang kukuh atau tidak benar.

Dalam mencari jawapan, mereka yang terbabit memberi reaksi yang rasional ke atas realiti yang sebenarnya tidak rasional. Ramai percaya bahawa media massa gagal menyiasat dan mendokumenkan penyelewengan yang berlaku. Akhbar di negara paling maju pun kini semakin melalui perjalanan sukar dan ada yang hampir ditutup dan laporan penyiasatan sering menjadi mangsa pertama 'ditutup kedai'.

Isu pemilikan media dan ketiadaan kebebasan menyebarkan maklumat, pantas menyemarakkan sikap tidak percayakan media massa, sekali gus mencipta pentas untuk rakyat melakukan penyiasatan sendiri - bagi mengisi lompang yang wujud.

Dalam era di mana pelobi korporat, bebas membentuk dasar awal, sekali lagi membuatkan rakyat percaya bahawa pegawai yang dipilih tidak lagi mewakili mereka. Justeru, naluri mereka serta merta akan percaya kepada sumber ghaib.

Malah, manusia yang rasional juga boleh menjadi penerima teori konspirasi dan sejak lapan tahun lalu, kita sebenarnya menyaksikan beberapa konspirasi yang sungguh canggih.

Antaranya, pentadbiran Bush berkomplot untuk mengetuai Amerika dan negara sekutu yang lain untuk menyertai peperangan yang tidak diiktiraf dunia dan menggunakan bukti tidak sahih untuk memulakan peperangan terbabit.

Tidakkah terfikir pada akal fikiran yang waras, mengapa begitu ramai orang cuba memahami realiti politik yang kini menjadi lebih kabur?

Justeru, apabila Suruhanjaya Penyiasat kejadian 11 September 2001 (9/11) mengumumkan kesimpulan mereka (berasaskan bukti yang diperoleh daripada penderaan ke atas mereka yang ditangkap), tidak ada siapa terkejut apabila ramai mahu penyiasatan kedua dibuat.

Lebih buruk, penggalian rakyat terhadap isu yang tercetus mencipta pelbagai teori, menyebabkan laporan yang disiarkan media perdana tidak dipedulikan.

Pada masa sama, keengganan media perdana daripada menyiasat atau melaporkan teori konspirasi yang wujud di dalam internet, turut mencerminkan sikap berat sebelah. Wartawan rasmi akan menganggap teori konspirasi sebagai melampau dan tidak beretika.

Golongan wartawan akan terus menganggap mereka yang menulis di internet sebagai penyebar khabar angin, walaupun pendedahan terbabit berjaya mencipta persoalan yang baik, kritikal dan mempunyai sumber boleh dipercayai.

Masalah sebenar teori konspirasi ialah ia boleh menyebabkan orang ramai berasa tidak tenteram tanpa sebarang bukti kukuh, serta tidak mempunyai arah konstruktif untuk disasarkan emosi mereka. Jadi, kebanyakan isu daripada sekadar perdebatan yang mencetus spekulasi di kalangan rakyat, akhirnya berubah menjadi kebencian dan paranoid.

Dalam suasana yang begitu buruk, kegagalan media atau saluran untuk memberi penjelasan, membuatkan rakyat sendiri akhirnya menjadi mangsa. Kita perlu mengubah aliran maklumat dalam era internet ini. Rakyat dunia kini lebih mudah membocorkan maklumat, mencipta berita dan memberi maklumat kepada media perdana.

Kumpulan yang berminat wajar mencipta satu entiti 'talian terus' yang baru, dan rakyat boleh membayar yuran untuk mendapatkan laporan penyiasatan secara langsung, tanpa menerima tekanan daripada mana-mana pihak.

Dan penyiasat di kalangan rakyat wajar dilatih asas kewartawanan - mencari data, mengesahkan laporan daripada sumber yang sahih, menggunakan petikan kata-kata secara bertanggungjawab dan mengelak daripada menggunakan nama samaran.

Inilah satu-satunya cara rakyat boleh menjadi penyiasat dan diterima sebagai orang yang mendokumentasi atau menyiasat sesuatu isu. Pada ketika media rasmi berbohong, cara penyiasatan yang sihat di kalangan rakyat akan menyerlah - mereka bukan lagi sekadar pencetus bahang perdebatan.

Penulis, pengarang buku 'The End of America: Letter of Warning to a Young Patriot' dan 'Give Me Liberty: A Handbook for American Revolutionaries' adalah pengasas bersama Kempen Kebebasan Amerika, satu gerakan demokrasi AS