SETIAP kali krisis ekonomi tercetus, lazimnya dalam pusingan 10 tahun sekali dengan yang terakhir pada 1997/98, banyak negara yang terjejas dan rakyatnya pula pasti berasa perit. Memang benar kerajaan boleh memberi pelbagai insentif dan memperkenalkan dasar tertentu untuk dipatuhi semua, tetapi akhirnya semua pihak perlu bersama-sama membantu kerajaan. Misalnya, sektor perbankan dan swasta boleh memainkan peranan untuk membantu kerajaan bagi mencari jalan bagaimana mereka boleh meringankan bebanan kerajaan dan rakyat keseluruhannya pada waktu sukar sekarang. Krisis kali ini berbeza berbanding 10 tahun lalu yang cuma terhad kepada rantau ini, tetapi kini ia melanda seluruh dunia apatah lagi kesan lonjakan harga minyak baru-baru ini masih belum dapat ditangani sepenuhnya meskipun harga komoditi itu sudah turun mencecah paras AS$43 setong, terendah dalam tempoh empat tahun. Oleh itu, kita amat mengalukan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kelmarin yang mahu sektor swasta dan institusi perbankan di negara ini memainkan peranan lebih berkesan dalam membantu kerajaan memastikan negara mampu menghadapi krisis ekonomi global. Seperti dijelaskannya, komitmen daripada kedua-dua sektor berkenaan perlu kerana ia mempunyai hubung kait rapat dengan pembangunan infrastruktur serta pelaksanaan projek untuk manfaat rakyat.
Misalnya, bank bukan saja boleh memberi bantuan dalam bentuk pinjaman kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), malah pelbagai cara lain termasuk perkhidmatan yang diberikan. Kita tidak mahu pihak perbankan mengetatkan syarat pemberian pinjaman setelah melihat krisis kekangan kredit di Amerika Syarikat hingga kini merebak ke Eropah, kerana tindakan itu tidak membantu memulihkan keadaan ekonomi. Malah, mudah tunai dalam sistem perbankan tempatan sekarang adalah tinggi. Keperitan kesan krisis ekonomi sekarang akan lebih dirasai sekurang-kurangnya menjelang pertengahan tahun depan dan berlanjutan sehingga akhir 2010. Oleh itu, semua pihak perlu melakukan tindakan proaktif mulai sekarang. Antara langkah terbaik pihak bank ialah memberi khidmat nasihat seperti menjadualkan semula pinjaman jika peminjamnya, terutama di kalangan pengusaha PKS menghadapi masalah, menasihati dari segi risiko perniagaan yang diceburi dan sebagainya. Kita juga bimbang krisis kewangan global yang menyebabkan ekonomi kita berkembang lebih perlahan tahun depan akan turut memberi kesan teruk kepada penduduk luar bandar yang mengusahakan komoditi pertanian. Ini kerana krisis ekonomi kali ini akan menyebabkan harga komoditi jatuh, sekali gus memberikan kesan kepada pengusaha komoditi pertanian seperti sawit dan getah. Malah, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) merekodkan 18,000 rakyat negara ini, terutama dalam sektor perindustrian kehilangan pekerjaan atau ditamatkan perkhidmatan oleh majikan masing-masing akibat kelembapan ekonomi dunia sekarang.