WALAUPUN sistem pendidikan Malaysia pada hari menuju taraf dunia, namun banyak yang perlu dikaji semula bagi memastikan perpaduan kaum terpelihara.
Sebagaimana dicadangkan oleh Datuk Mukhriz Mahathir supaya hanya satu sistem pendidikan diwujudkan maka sudah tiba masanya kerajaan menamatkan sistem persekolahan yang berbeza sekarang kerana ia menyumbang kepada masalah hubungan kaum di negara ini.
Semuanya bermula di sini. Tidak akan wujud perpaduan di dalam negara sekiranya rakyat dipisah-pisahkan sejak di peringkat sekolah lagi.
Realiti sekarang ialah sistem persekolahan telah menjarakkan jurang perpaduan di kalangan anak-anak mengikut kaum, sehingga menyebabkan mereka terpisah.
Negara kita agak 'unik' kerana mengamalkan aliran sekolah yang berbeza di peringkat asas pendidikan di sebalik sifatnya sebagai negara majmuk, yang sepatutnya menjurus kepada satu aliran sahaja.
Selama ini, bukan tidak disedari kelemahan dan kesan pelaksanaan pelbagai aliran ini terhadap pencapaian sebenar perpaduan tetapi dipendamkan kerana sentimen kaum yang tebal mengenai sistem persekolahan.
Untuk merawat perkembangan yang paling tidak sihat ini, kita memerlukan azam politik yang paling kuat. Langkah yang berani dan hebat perlu dibuat sebelum terlambat.
Kementerian Pelajaran digesa mewujudkan sistem persekolahan satu aliran dalam sistem pendidikan negara bagi meletakkan landasan yang lebih kukuh ke arah menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara ini.
Kewujudan banyak aliran telah menyebabkan tidak ada acuan khusus yang boleh digunakan untuk membentuk masyarakat yang bersatu padu.
Oleh itu kita menaruh harapan satu kajian perlu dijalankan untuk mencari satu sistem persekolahan yang menyatukan balik anak-anak Malaysia berbilang kaum di bawah satu bumbung.
Sistem yang ada sekarang semakin memisahkan generasi muda kita. Buktinya, kebanyakan anak Cina ke sekolah jenis kebangsaan Cina dan anak India ke sekolah Tamil.
Pemisahan ini pula ditambah apabila di kalangan Melayu cenderung menghantar anak-anak ke sekolah kebangsaan dan sekolah agama.
Demi masa depan negara, kita semua kena fikirkan kepentingan bersama ini. Janganlah politikkan perkara ini.
Hakikatnya, banyak pengorbanan besar yang perlu dilakukan oleh kaum-kaum di negara ini untuk merealisasikannya.
Pengorbanan paling besar ialah mengikis terus rasa cauvinis. Mungkin berat untuk melakukan pengorbanan ini, tetapi negara ini tidak mempunyai pilihan lain lagi jika kita benar-benar mahu melihat keharmonian yang berpanjangan.
Kita yakin sistem persekolahan satu aliran merupakan cara terbaik untuk memupuk perpaduan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Kita mesti mula menggerakkan usaha merealisasikan sistem persekolahan satu aliran sekarang juga.
Kita tidak nampak jalan keluar lain kecuali satu sistem pendidikan.