Rakan seangkatannya yang juga dramatis terkenal, Ahmad Tarmimi Siregar berkata berita itu sesuatu yang mengejutkan dan menganggap ia kehilangan besar dalam dunia seni tanah air.
“Memang saya dan arwah Syed cukup rapat kerana sama-sama terbabit dalam teater. Arwah ada memaklumkan untuk mementaskan semula teater Tok Perak dengan memanggil semula pelakon asalnya.
“Kali terakhir kami bertemu ialah sekitar awal bulan lalu. Begitupun, saya kerap bertanyakan khabar melalui panggilan telefon. Beberapa hari lalu saya ada menghubungi arwah namun panggilan berkenaan tidak dijawab. Kemudian saya cuba menghubungi anaknya (Norsham) namun tidak juga dapat dihubungi memandangkan kerap kerja di luar daerah. Perkara ini membuatkan saya risau.
“Kemudian semalam (kelmarin) saya menghubunginya sekali lagi sebelum mendapat tahu berita kematian daripada anaknya. Memang saya terkejut apabila dimaklumkan mengenai keadaan dan cara kematian beliau.
“Sepanjang perkenalan arwah tidak pernah memaklumkan mengenai sebarang penyakit yang dihidapinya. Arwah Syed seorang yang berterus terang dan sangat komited terhadap kerjanya. Arwah juga sangat kreatif dan produktif dalam bidang kerjanya,” katanya.
Syed Alwi pernah bekerjasama mementaskan drama televisyen Desaria, selain pementasan teater muzikal, Desa Mat Som.
Aktivis teater, Fauziah Nawi juga terharu apabila dimaklumkan rakan artis, Elly Suriati mengenai berita kematian bekas gurunya itu.
Bagi Fauziah, walaupun tegas Syed Alwi seorang cikgu yang baik ketika menjayakan pementasan Members of The Club dan Tok Perak di bawah bimbingannya.
Malah, di bawah bimbingan beliau, Fauziah turut terpilih mewakili negara ke Festival Teater Asean pada 1998.
|
“Arwah seorang yang garang dan tegas ketika bekerja. Waktu bekerja arwah memang serius. Arwah antara cikgu yang bagus. Beliau banyak memberi galakan kepada saya untuk terbabit dalam bidang teater.
|
|
“Bukan hanya saya, malah semua rakan artis terkejut apabila dimaklumkan mengenai berita kematian itu. Saya simpati apabila mengenangkan akhir hayat beliau. Sebelum ini, arwah pernah dimasukkan ke hospital penghujung tahun lalu kerana sakit darah tinggi. Walaupun pernah dianugerahkan Seniman Negara 2002, beliau hanya menjalani rawatan di kelas dua, Hospital Kuala Lumpur.
“Apabila dimaklumkan arwah meninggal dunia dalam keadaan begitu, saya dan rakan memang terkejut,” katanya.
Sementara itu, Seniman Negara keenam, Abdul Rahman Abu Bakar atau Rahman B yang pernah bekerja dengan Syed Alwi juga terharu apabila mendapat tahu mengenai berita itu.
Rahman yang baru bertemu dengan Syed Alwi ketika menghadiri mesyuarat Warisan di Kuala Lumpur, bulan lalu mengakui berita kematian itu cukup menyedihkan.
“Saya mengenali arwah ketika sama-sama terbabit dalam bidang teater. Ketika itu arwah Syed aktif dalam pementasan teater, saya pula aktif mementaskan teater bangsawan. Kami saling bekerjasama. Walaupun tegas beliau masih boleh berunding. Beliau juga sentiasa teliti dengan kerjanya.
“Ketika hayat arwah sentiasa menyokong dan memberi galakan kepada saya untuk mengangkat kembali teater bangsawan pada tahap yang lebih tinggi. Arwah Syed memberitahu teater bangsawan perlu ditonjolkan dengan lebih meluas memandang ia antara teater yang banyak mencerminkan adat dan budaya Melayu,” katanya.
Allahyarham Syed Alwi terkenal dengan drama Alang Rentak Seribu dan Tok Perak dilahirkan di Pondok Tanjung, Perak dianugerahkan Seniman Negara pada 2002 berdasarkan sumbangan besarnya mengangkat martabat drama dan skrip dalam bahasa Melayu dan Inggeris ke tahap yang lebih baik.