Oleh Abdul Rahman Sulaiman
MAJLIS Tertinggi Umno dalam mesyuaratnya kelmarin memutuskan untuk mewujudkan satu mekanisme bagi membincangkan isu sensitif tanpa melukakan perasaan pihak lain. Presiden Umno merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mengumumkan perkara itu selepas mempengerusikan mesyuarat MT di Kuala Lumpur, berkata butir lengkap berhubung mekanisme berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat akan datang.
Katanya, perbincangan isu yang menyentuh kepentingan pelbagai kaum secara terbuka seperti yang berlaku selama ini sering menimbulkan reaksi di kalangan pemimpin dan rakyat berbilang kaum di negara ini.
Walaupun Abdullah tidak menjelaskan secara khusus kesan buruk boleh ditimbulkan oleh polemik sedemikian, semua orang tahu bahawa jika tiada usaha konkrit diambil untuk memberhentikannya, kegiatan ini yang nampaknya kian menjadi-jadi selepas pilihan raya umum Mac lalu, lambat laun membawa negara ke ambang kehancuran.
Adalah sesuatu yang mungkin boleh dianggap lumrah, kalau isu yang dikatakan sensitif ini dibangkitkan parti pembangkang kerana secara umumnya memang sudah menjadi kebiasaan mereka untuk meraih sokongan. Tetapi apabila perkara itu ditimbulkan parti komponen Barisan Nasional (BN) sendiri dan ia dibuat secara bertubi-tubi pula, tentulah ini menimbulkan banyak tanda tanya. Apakah tujuan sebenar perkara sedemikian ditimbulkan, lebih-lebih lagi secara terbuka sedangkan parti berkenaan adalah sebahagian daripada parti yang memerintah dan mempunyai banyak saluran lain untuk menyuarakan pendapat?
Apakah mereka sudah hilang keyakinan terhadap sistem perkongsian kuasa yang jelas mampu mengekalkan keamanan dan memajukan negara ini sejak lebih 50 tahun lalu. Kalau ini yang menggusarkan fikiran mereka, kenapa tidak berterus terang saja? Sekurang-kurangnya rakyat tahu pendirian mereka dan dengan demikian memudahkan rakyat khususnya pengundi menilai hati budi mereka.
Sepanjang minggu ini saja, rakyat yang cintakan keamanan jelas gelisah dengan pelbagai kerenah pemimpin parti komponen BN. Mula-mula rakyat dikejutkan dengan kenyataan Timbalan Presiden MCA yang baru dipilih, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, mempersoalkan konsep ketuanan Melayu.
Kemudian Presiden Parti Progresif Rakyat, Datuk M Kayveas, pula mengancam untuk mengeluarkan partinya daripada BN sekiranya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak dipinda atau dihapuskan menjelang pilihan raya umum akan datang.
Sebagai ingatan, PPP bukanlah satu-satunya parti komponen yang mengancam untuk keluar BN. Sebuah lagi komponen, Parti Gerakan Rakyat Malaysia atau Gerakan juga pernah berbuat demikian berikutan prestasi buruk calon mereka pada pilihan raya umum Mac lalu.
Walau apa pun alasan yang diberikan, tiada siapa boleh menafikan bahawa keghairahan mengungkit isu seperti hak istimewa orang Melayu, kedudukan Raja-Raja Melayu, kontrak sosial dan perkara lain yang sudah diterima dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, didorong rasa kecewa yang melampau. Kekecewaan ini, sama ada disedari atau tidak, menyebabkan mereka hilang pertimbangan rasional walaupun mereka tahu perbuatan mereka itu tidak akan mengubah keadaan kecuali perlembagaan yang sedia ada dipinda dengan jumlah undi dua pertiga di Dewan Rakyat dan diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja Melayu.
Hakikat bahawa Majlis Raja-Raja Melayu sendiri sebagai tonggak kuasa dan kedaulatan negara rasa kurang senang dengan trend ini seperti yang dijelaskan melalui kenyataan khas pada 17 Oktober lalu langsung tidak dipedulikan.
Sebaliknya, pemimpin tertentu dalam komponen BN, parti pembangkang dan NGO bukan Melayu terus menerus memperkatakan isu serupa seolah-olah mereka mahu mencabar Raja-Raja Melayu.
Parti komponen BN bukan Melayu pula seakan-akan menyalahkan Umno atas prestasi buruk BN pada Pilihan Raya Umum ke-12 tanpa mengakui kelemahan diri sendiri sedangkan mereka tahu prestasi Umno dan parti Bumiputera lain adalah jelas lebih baik daripada mereka.
Perkembangan ini sebenarnya menimbulkan kemarahan di kalangan anggota dan kepemimpinan Umno peringkat pertengahan serta NGO yang didokong orang Melayu walaupun ia tidak ditunjukkan secara ketara selaras dengan sifat semula jadi orang Melayu yang penyabar dan sentiasa bersedia untuk bertolak ansur.
Tetapi ada juga di kalangan pemimpin Melayu yang berpendapat bahawa untuk proses tolak ansur berlaku, ia perlu ada sikap sedia 'memberi' untuk 'menerima' sesuatu. Dalam keadaan sekarang ramai yang melihat orang bukan Melayu hanya mahu 'menerima' tetapi tidak sanggup memberi.
Sebenarnya dalam konteks inilah kenyataan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir berhubung cadangannya supaya sistem pelajaran di negara ini disatukan dengan penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar, perlu dilihat. Langkah itu, katanya akan menyumbang ke arah menyatupadukan rakyat di negara ini pada masa hadapan.
Malangnya, cadangan beliau itu dianggap sebagai berbau perkauman dan mengandungi elemen hasutan, sedangkan kenyataan berhubung kontrak sosial, ketuanan Melayu, kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan agama Islam dan sebagainya tidak dianggap menghasut.
Maka ramailah pemimpin bukan Melayu, termasuk ketua parti komponen BN menyelar Mukhriz sedangkan orang Melayu disebabkan sifat penyabar dan sentiasa mahu bertolak ansur tadi diam seribu bahasa. Ada juga orang Melayu turut menyelar Mukhriz.
Dalam hubungan ini, keputusan MT Umno menubuhkan mekanisme yang dicadangkan itu perlu dilihat sebagai satu komitmen yang positif. Tetapi sekali lagi, inisiatif itu nampaknya hanya datang daripada orang Melayu yang diwakili Umno. Apa pula langkah akan diambil kaum lain?
Datuk Rahman Sulaiman ialah bekas Ketua Pengarang Bernama