Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

04 September 2009

Uniknya sambitan


Oleh Syah Rul Aswari Abdullah


SABAH mewarisi kraf warisan yang mempunyai nilai estetika tiada tolok bandingnya apatah lagi dengan 30 etnik yang bertutur dalam 80 dialek tempatan.

SABAH mewarisi kraf warisan yang mempunyai nilai estetika tiada tolok bandingnya apatah lagi dengan 30 etnik yang bertutur dalam 80 dialek tempatan.

Tidak hairan, ia memiliki empat adiguru, pengiktirafan tertinggi bagi mereka yang memiliki kepakaran dan ilmu dalam seni kraf negara.

Promosi Batik dan Tenun Sabah 2009 anjuran Kraftangan Malaysia berlangsung di Centre Atrium, 1Borneo, Kota Kinabalu, baru-baru ini mengajak orang ramai menghayati ketinggian mutu warisan seni tenunan dan pertukangan masyarakat pribumi Sabah yang kian diancam kepupusan ini.

Menghayati tenunan sambitan iaitu hasil seni kraf tangan etnik Iranun, ia biasanya dipakai pada majlis keramaian terutama di Kampung Rampayan Laut, Kota Belud, yang menjadi amalan tradisi masyarakat itu sejak lebih 100 tahun lalu.



Keunikan tenunan ini yang dihasilkan satu adiguru kraf tangan Iranun, Pandian Sulaiman, 59, pernah menarik perhatian bekas isteri jutawan terkemuka dunia, Donald Trump, Ivana ketika dipertontonkan pada Minggu Malaysia 2008 di kota London pada tahun lalu.

Malah, dek terpikat dengan seni penghasilan sambitan yang memiliki kesenian tinggi, penggemar fesyen dan bintang realiti itu juga membeli beberapa pasang fabrik tenunan warisan Iranun untuk dijadikan koleksi peribadinya.

Kepakaran adiguru itu kini dikongsi bersama anak buah di di Bengkel Kraf Tangan Tenunan Destar, sumbangan Kraftangan Malaysia di Kampung Rampayan Laut.

Di bengkel bersebelahan rumah itu, Pandian turut melatih generasi muda termasuk remaja dan lepasan Institut Kraf Negara.

Selain sambitan, Kota Belud terkenal dengan seni tenunan dastar dan mugah.

Kedua-duanya, jika digabungkan bersama tengkolok, akan menghasilkan pakaian tradisional kebanggaan Iranun.

Ketiga-tiga tenunan mungkin kelihatan serupa, namun setiap satu menggunakan teknik menuntut kepakaran berbeza.

Justeru, ada dua lagi adiguru Tenunan Iranun yang diiktiraf dalam bidang itu iaitu adiguru Dastar, Ramiah Abdullah, 75, dan pakar mugah, Sabnah Dollah, 64.

Dastar lazimnya dihasilkan dengan motif tenunan dalam bentuk geometri seperti tuarah (binatang), boras (swatika), saledap (salib), onsod (pagar), sheku (sesiku), samping gapas (keping salji) dan anunan (bunga), selain motif paling popular iaitu lelaki menunggang kuda di Kota Kinabalu.

Mugah pula pakaian tradisi yang digunakan pembesar etnik itu pada era kegemilangan kesultanan Sulu di Filipina dan Borneo Utara (nama lama bagi Sabah).

Namun, peredaran masa menyaksikan warisan itu kini boleh dipakai orang kebanyakan tanpa mengira status.

Pameran yang julung kali diadakan itu turut mengetengahkan kraf tangan asli berteraskan hiasan manik pada pakaian serba hitam warisan etnik Rungus.

Pakaian dengan manik rekaan sendiri itu dipakai pada sambutan besar seperti majlis perkahwinan, keraian, kematian selain sambutan tetamu.

Diadakan di kompleks beli-belah terbesar Borneo, ia turut mempamerkan warisan pertukangan parang Bajau dengan ukiran melambangkan budaya dan kehidupan etnik Bajau seperti motif serimpak (mahkota) pada hujung sarung parang.

Serimpak adalah aksesori pengantin perempuan pada majlis persandingan.

Namun parang itu seperti gong kini turut menampilkan sentuhan moden tanpa mengganggu gugat keaslian warisan kraf yang banyak didapati di daerah Kota Belud ini.

Antara acara lain yang berlangsung termasuk jualan barangan kraf daripada 50 usahawan seluruh Malaysia, demonstrasi kraf seperti tenunan songket dan pua, tekat, sulam canting batik dan pertunjukan fesyen batik yang pernah dipersembahkan sempena jualan di Harrods, London.

Pengerusi Kraftangan Malaysia, Datuk Seri Salleh Said, ketika merasmikan program yang pertama kali dilancarkan di Sabah itu, berkata pihaknya berharap pihak swasta terutama gedung perniagaan utama menyokong usaha kerajaan dalam mempromosikan kraf tempatan.

"Ini supaya pelancong dapat mengenali kraf tempatan dan tidak membanggakan produk kraf dari Filipina kerana produk tempatan sebenarnya lebih menarik dan berkualiti," katanya.

03 September 2009

Sumbangan pengarang Johor


Oleh Rusdi Abd Rahman


DARI KIRI; Ruzaini, Azhar, Mohamad Taufek Mahamud dan Dr Arbak ketika melapah tiga karya penulis kelahiran Johor di Muar, baru-baru ini.

Memartabatkan dunia sastera tanah air lewat karya

BICARA Karya Sastera Johor 2009 memperakukan usaha pengarang negeri itu dalam memartabatkan dunia sastera tanah air dengan memaparkan ketajaman pemikiran dan pengamatan, berusaha membentuk akal budi masyarakat Melayu dan memaparkan realiti masyarakat melalui karya.

Tiga panel pada program tahunan anjuran DBP Wilayah Selatan dan Bahagian Teori dan Kritikan Sastera DBP dengan kerjasama Panitia Kesusasteraan Melayu Daerah Muar dan Persatuan Penulis Johor (PPJ), di SMK Raja Muda, Parit Jawa, Muar, baru-baru ini, memberi tumpuan kepada karya penulis kelahiran negeri itu.


Munsyi Dewan yang juga penulis bidang bahasa dan karya kreatif, Azhar Salleh, mengiktiraf Keris Sebilah Itu memaparkan ketajaman fikiran dan pengamatan pengarang dalam meninjau persoalan masyarakat, ketika merincikan Kritikan Sosial dalam Keris Sebilah Itu - Suatu Penerapan Teori Konseptual Kata Kunci

“Pengarang banyak melontarkan pandangan jujur, ikhlas dan bernas melalui konsep yang terpadu dalam pemikirannya. Salah satu falsafah Teori Konseptual Kata Kunci ialah seseorang pengarang itu dapat dikatakan mempunyai konsep tersendiri mengenai sesuatu isu, hal, perkara, atau objek,” katanya.

Azhar menegaskan bahawa tujuan utama karya adalah untuk memberi pendidikan dan membantu pembangunan minda serta sikap, lalu dalam naskhah itu, pengarang melihat persekitarannya sambil mencungkil permasalahan mahupun kemelut yang berlaku.

“Pengarang Keris Sebilah Itu, Shapiai Mohd Ramly yang berpengalaman dalam bidang pendidikan melihat kepincangan dalam masyarakat perlu disuara dan diketengahkan,” katanya dengan menghujahkan tiga perkara utama yang berkaitan dengan teori yang dipilih iaitu prinsip kepengaruhan, prinsip pemilihan kata dan prinsip kesan.

Pensyarah Bahasa, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Arbak Othman ketika melapah Rujukan dan Tafsiran Estetik dalam Cerpen WB Rendra: Suatu Pendekatan Semiotik, memperakukan WB Rendra melalui Antologi Cerpen Mazhab Cinta berusaha membentuk akal budi dalam usaha memastikan karya kreatifnya itu bermutu.

“Rata-rata cerpen WB Rendra dalam antologi ini berkisar pada permasalahan percintaan anak-anak muda dalam proses mendewasakan perasaan, tetapi tidak sepenuhnya. Walaupun beberapa cerpen berkisar pada persoalan percintaan antara muda-mudi, kebijaksanaan pengolahan cerita terserlah,” ujarnya.

Ditambah pula, apabila persoalan cinta berhasil dikaitkan dengan perjuangan ideologi, mahupun persoalan yang berat, tetapi bukan berfungsi pada tema, tanpa menafikan mutu karya sesuai untuk golongan remaja yang tidak dapat diangkat untuk dipersoal dan diperdebat oleh perhitungan orang dewasa.

Guru Kanan SMK (P) Sultan Abu Bakar, Muar, Ruzaini Yahya yang juga penulis prolifik Johor, meletakkan Meniti Batas sebagai karya yang membawa pendekatan realiti masyarakat, ketika memperincikan Meniti Batas: Potret Realiti Masyarakat.

”Meniti Batas karya Zulkifli Khair, memiliki mutu sebuah novel relevan sekali untuk dinilai berdasarkan pendekatan sosiologi kerana ia menampilkan kisah masyarakat. Sesuai dengan kedudukan karya sastera sebagai dokumen sosial. Pengarang secara tidak langsung didorong masyarakatnya untuk merakam sesuatu mengenai mereka,” katanya.

Ruzaini Yahya berpendapat bahawa novel dewasa sulung Zulkifli itu akan mendapat kedudukan istimewa sekiranya saranan progresifnya dapat diterima serta dijadikan landasan khususnya dalam menjana ekonomi masyarakat dalam bidang perniagaan.

Program yang dihadiri 130 peserta daripada kalangan guru dan pelajar tingkatan enam dalam daerah Muar, AJK PPJ, penulis dan penggiat sastera negeri Johor itu, turut dihadiri ketiga-tiga pengarang yang dibicarakan.