Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

29 November 2008

Proses pindah ilmubantutkan kefahaman murid


PENGAJARAN dan pembelajaran subjek Matematik dan Sains (PPSMI) dalam bahasa Inggeris di sekolah-sekolah tidak putus-putus menerima teguran, rungutan dan pandangan.

Teguran yang disampaikan banyak yang membantah penggunaan pendekatan tersebut.

Yang terbaru pandangan bernas oleh Prof. Dr. Awang Sariyan. Alasan yang diberikan untuk menolak penggunaan PPSMI kerana mengetepikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan. Saya amat bersetuju kerana pada hemat saya proses pemindahan ilmu membantutkan kefahaman murid.

Pandangan lain pula mengatakan kebimbangan ibu bapa dan ahli forum yang mengirim pendapat ke akhbar Utusan Malaysia kerana peratus pelajar luar bandar lebih ramai gagal berbanding dengan pelajar kawasan bandar.

Untuk renungan pembaca, berikut saya menulis semula situasi pertama temu ramah dengan ibu bapa yang mempunyai anak di luar bandar, terutama di Kelantan. Ibu bapa pelajar tersebut mempunyai pendidikan dalam bahasa kebangsaan.

''Ambo (saya) tidak boleh tolong ajar anak. Tak faham gapo satu (apa-apa) - merujuk pada istilah matematik dan sains dalam buku teks dan buku kerja. Saya bukan bodoh sangat matematik, kalau setakat darab, bagi, tolak, campur mudah sangat. Ilmu itu ada tetapi (main) maksudnya menggunakan bahasa orang putih kita tidak faham langsung. Bulih kelih (tengok) sahaja. Tengok anak saya dapat 2B merujuk pada mata pelajaran Matematik dan Sains''.

Situasi yang kedua juga di Kelantan. Kali ini ibu bapa pelajar berkenaan tidak mempunyai pendidikan langsung. "Anak abe (Abang) dapat 2B - merujuk pada subjek Matematik dan Sains.'' "Dulu kakak dan abang dia pandai belaka. Dapat A. Main (belajar dalam bahasa Inggeris) dengan belajar dalam bahasa orang putih anak kita tidak boleh gi (tidak faham).''

"Abang hendak bantu anak-anak tidak faham juga. Harap cikgu ajar di sekolah dengan kelas tambahan. Orang kampung macam abang, hendak beli buku latihan tidak mampu, padan (cukup) beli beras dengan gas, bayar api, beli ikan habis pitis (wang). Abang kerja kampung. Lainlah dengan anak pegawai''.

Memandangkan kesedihan yang menyelinap di wajah mereka yang pada hemat saya mewakili puluhan ribu ibu bapa yang lain, pihak berkenaan yang berhasrat untuk terus melaksanakan PPSMI patut turun ke bawah membuat penyelidikan.

Jika benar ingin diteruskan kerana bimbang rakyat Malaysia yang bakal menjadi negara maju akan ketinggalan, sediakan satu alat pengajaran dan pembelajaran yang situasinya memihak secara adil terutama kepada penduduk di luar bandar.

Jangan harap sangat dengan akuan guru subjek berkenaan dalam borang soal selidik, tetapi lihatlah sama pencapaian murid dalam peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun yang dikendalikan oleh pihak sekolah. Merah atau biru warnanya? Ukurlah baju di badan sendiri, kalau murid-murid belum mampu jangan salahkan badan tetapi salahkan akal yang membuat keputusan.

Selain itu, pada hemat saya Jabatan Pelajaran negeri mempunyai data, sekolah mana yang mempunyai murid yang lemah pencapaian dalam mata pelajaran berkenaan.

Bawalah guru yang terbaik yang pernah mengajar dan berjaya menghasilkan berpuluh-puluh murid cemerlang ke sekolah berkenaan nanti.

Pindahkan guru tersebut ke sekolah yang lemah pencapaian murid-murid dalam mata pelajaran Matematik dan Sains. Terkial-kial juga guru berkenaan.

Kata seorang kawan, bawalah profesor yang pandai sekalipun, kalau sistem penyampaian tidak difaham oleh murid apalah gunanya.

Macam tikus tengok besi, boleh mengajar tetapi apa yang diajar sepatah haram pun murid tidak faham.

Umpama kita mendengar khutbah dalam bahasa asing, cukup rukun tetapi apa yang dikhutbahkan kita tidak dapat jadikan pengajaran kerana tidak memahami bahasa yang digunakan. Lepas itu kita buat soalan dan meminta jawapan. Fikirlah.

WAKIL BAPA MERANA

Masa terbaik untuk melabur


PENGUMUMAN Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk menawarkan jualan tambahan satu bilion unit Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020) merupakan peluang terbaik untuk rakyat negara ini sama ada bumiputera atau bukan bumiputera menambah pelaburan dan meningkatkan simpanan masing-masing.

Langkah PNB mengehadkan pembelian maksimum sebanyak 10,000 unit sahaja semasa tempoh tawaran bermula 27 November hingga 3 Disember ini bagi setiap akaun membolehkan ASW 2020 dilanggan secara menyeluruh melalui penyertaan lebih ramai pelabur.

ASW 2020 memperuntukkan kuota sebanyak 51 peratus untuk pelabur bumiputera dan selebihnya untuk bukan bumiputera. Melalui cara ini, peluang untuk melabur terbuka untuk semua lapisan masyarakat.

Strategi menetapkan had maksimum yang diamalkan oleh PNB itu amat dialu- alukan kerana ia memberi peluang kepada lebih ramai pelabur terutama pelabur baru untuk turut serta melabur dalam ASW 2020.

Ia adalah selaras dengan matlamat penubuhan PNB untuk membudayakan amalan menabung terutama di kalangan masyarakat bumiputera.

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu seperti yang berlaku pada masa ini, saham amanah berharga tetap seperti ASW 2020 merupakan pilihan terbaik kepada pelabur terutama pelabur kecil seperti remaja dan penuntut institusi pengajian tinggi. Ini kerana, risiko melabur dalam ASW 2020 adalah sangat minimum dan mampu mengelakkan pelabur mengalami kerugian.

Sejarah cemerlang PNB dalam menguruskan pelaburan saham amanah merupakan satu bukti kukuh bahawa melabur dalam ASW 2020 adalah cara terbaik untuk mempelbagaikan portfolio pelaburan selain meningkatkan simpanan masing-masing.

Kejayaan PNB menjual semua kuota bukan bumiputera bagi ASW 2020 semasa menawarkan jualan tambahan satu bilion unit saham amanah tersebut dalam tempoh 27 minit pada 1 September 2006 menunjukkan keyakinan rakyat terhadap kemampuan PNB.

Justeru peluang yang terbuka luas ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh semua lapisan masyarakat. Tabungan melalui skim ASW 2020 bukan sahaja memberikan kebaikan kepada pelaburnya malah secara tidak langsung akan meningkatkan kedudukan ekonomi negara.

MOHAMAD JAFRI AHMAD

Kuasai BI demi kemajuan


MUNGKIN Profesor Dr. Awang Sariyan lebih arif di universiti tetapi bukan di sekolah rendah dan menengah serta lebih mengetahui di dunianya sahaja (Pengajian Bahasa Melayu).

Adalah sewajarnya kita mengakui akan peri pentingnya bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa dan kita tidak sepatutnya berlagak pandai dan hanya mengagungkan bahasa Melayu.

Janganlah kita mahu ke belakang lagi dan mahu menyorok di dalam tempurung tanpa lebih berinovatif dan mahu maju seperti bangsa lain. Sedangkan bangsabangsa lain hatta bangsa Cina di China sekalipun berebut-rebut belajar menguasai bahasa Inggeris di samping bahasa ibunda mereka sebagai bahasa harian.

Mahu tidak mahu, kita perlu menguasainya demi kemajuan dan pengetahuan mendalam dalam sains dan matematik.

Kita perlu mantapkan pengetahuan kita dan membina serta mencipta kemajuan tersendiri dan mencipta kamus menyeluruh BI kepada BM. Itupun setelah kita maju dan benar-benar faham akan reka cipta dan teknologi sains dan matematik, barulah kita boleh pasarkan reka cipta kita dalam panduan bahasa Malaysia/Melayu.

Saintis-saintis seperti Jepun mahupun Korea juga bermula dengan bahasa Inggeris, mengkaji dan mempelajari serta memahaminya kemudian barulah dialih ke bahasa ibunda mereka. Tentunya Malaysia menerusi Dr. Mahathir ketika itu juga berpandangan dan bermatlamat seperti itu.

Ada ke saintis-saintis kita yang berjaya menggondol anugerah antarabangsa menggunakan bahasa Malaysia sebagai panduan dalam memahami sains atau bidang yang mereka kaji? Tentu tidak.

Berbalik kepada BI dalam Sains dan Matematik, saya mendapati kesannya ketika ini begitu positif. Pelajar-pelajar di luar bandar sekalipun sudah banyak menguasai BI dalam kehidupan mereka.

Mereka tidak lagi kekok berbahasa Inggeris. Malah pencapaian akademik mereka jauh lebih baik daripada kita sebelumnya. Mereka lebih membuka minda untuk mengetahui dan memahami lebih jauh lagi akan sains dan matematik dan bagaimanakah untuk mengaplikasikannya dalam kehidupan.

Mereka jauh lebih bijak daripada kita dahulu. Era 80an-90an, kita begitu malu untuk berbahasa Inggeris sehingga kita begitu merasa merendah diri bila berhadapan dengan masyarakat yang fasih berbahasa Inggeris.

Kita begitu naif, rendah diri dan langsung tidak memahami kepentingan sains dan matematik dalam kemajuan kehidupan kita. Kita beranggapan matematik cuma untuk pandai kira duit dan bisnes sahaja. Apatah lagi sains. Secara tidak langsung, saya berpendapat matlamat Dr. Mahathir ialah untuk menjadikan kita bangsa yang bangga pada diri kita sendiri dan dibanggai oleh orang luar dengan keyakinan dan pencapaian cemerlang.

Malah slogan 'Malaysia Boleh!' begitu gah dilaungkan hingga kini di mana-mana sahaja. Itulah matlamat Dr. Mahathir yang mungkin kita tidak begitu faham atau ketahui.

Nilai yang paling berharga ialah sikap 'semuanya boleh' dan 'tidak mustahil' yang perlu dipupuk dalam diri. Itulah perjuangan beliau. Lagipun, bagaimana boleh kita meminggirkan bahasa Melayu/Malaysia kita sendiri sedangkan ia bahasa harian kita.

ZAFRI

Kesederhanaan Razali buat beliau disenangi


BERITA kematian Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail kira-kira 6.30 petang semalam memang mengejutkan. Tiada tanda-tanda ahli Parlimen Kuala Terengganu yang berusia 59 tahun itu akan menghela nafas terakhirnya petang Jumaat di Institut Aminuddin Baki, Genting Highland.

Ini kerana sehingga kelmarin, Allahyarham Razali masih aktif menyempurnakan tugasnya sebagai Timbalan Menteri Pelajaran dengan keutamaan beliau untuk merapatkan jurang pendidikan di antara pelajar bandar dan luar bandar.

Razali juga terkenal dengan kesungguhannya untuk menyelesaikan isu kenaikan pangkat guru-guru yang tertangguh sejak lama dulu. Malah itu adalah antara agenda utama beliau apabila dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelajaran pada 18 Mac 2008 selepas menang kerusi Parlimen Kuala Terengganu menewaskan calon Pas, Mohamad Sabu; dan calon Bebas, Maimun Yusuf.

Antara pengumuman minggu-minggu terakhir Razali melaksanakan tugasnya termasuk langkah kerajaan memperkenalkan mata pelajaran Teknik dan Vokasional bermula daripada tingkatan satu hingga tingkatan empat di sekolah di seluruh negara menjelang 2010.

Begitu juga dengan langkah kerajaan memperkenalkan kurikulum baru Sekolah Agama Rakyat yang telah diambil alih oleh Kerajaan Pusat.

Hakikatnya bidang pendidikan amat sebati dengan anak kelahiran Kuala Berang itu. Latar belakang pengajian tingginya menunjukkan bahawa Razali pernah menerima Diploma Pendidikan dari Universiti Malaya pada tahun 1973 dan kemudiannya melanjutkan ijazah sarjana juga dalam bidang pendidikan di University of Birmingham pada tahun 1986 dan 1987.

Pengalaman sebagai seorang pendidik, pensyarah dan Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, di Kementerian Pelajaran banyak membantu Razali menjadi seorang pemimpin yang boleh diterima oleh seluruh masyarakat terutama di kawasan Allahyarham bertanding dalam pilihan raya untuk dua penggal berturut-turut.

Memang tidak dinafikan pengalaman tersebut banyak membantu Allahyarham mendekatkan diri dengan masyarakat dan seterusnya menjadi seorang wakil rakyat yang sederhana dan disenangi semua orang.

Ketika menjadi Pengarah Pelajaran Terengganu, beliau sering mengadakan lawatan ke sekolah di awal pagi sebelum memasuki pejabat dan rutin itu diteruskan apabila menjadi Ahli Parlimen Kuala Terengganu selepas pilihan raya umum 2004.

Jiwa pendidik sememangnya tidak boleh dipisahkan dari hati Allahyarham dan motivasi kepada pelajar menjadi salah satu aktiviti untuk memastikan lonjakan pendidikan di Kuala Terengganu khasnya.

Justeru, adalah menjadi visi beliau untuk memastikan nilai tambah dalam pembangunan dan peluang pekerjaan kepada golongan remaja serta belia di samping meningkatkan pendapatan rakyat.

Allahyarham juga pernah memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sejak 2004 hingga awal tahun ini.

Keprihatinan beliau terhadap tanggungjawab peminjam membayar balik pinjaman daripada tabung tersebut amat jelas.

Razali mahu kitaran pinjaman PTPTN berterusan bagi membolehkan lebih ramai peminjam mendapat manfaat. Perkara itu hanya boleh dilaksanakan dengan adanya rasa tanggungjawab di kalangan peminjam untuk melunaskan hutang mereka.

Sebab itu beliau tampil dengan beberapa idea yang agak kontroversi termasuk mencadangkan bayaran pinjaman balik mulai dua bulan dari tarikh pinjaman dikeluarkan serta memperkenalkan caj 3 peratus bagi pinjaman PTPTN.

Bagaimanapun kedua-dua cadangan itu akhirnya ditarik balik selepas menerima bantahan banyak pihak.

Razali juga pernah mencadangkan kepada peminjam yang telah bekerja membayar menerusi kad kredit serta mengesyorkan majikan membayar separuh hutang bekas peminjam yang bekerja dengan mereka.

Biar pun dilihat kontroversi namun hakikatnya niat Allahyarham membentangkan cadangan tersebut hanya satu iaitu supaya peminjam tidak berlengah dan memandang serius setiap sen yang telah mereka pinjam.

Walaupun baru dua penggal berkhidmat sebagai wakil rakyat dan merupakan orang baru dalam politik, namun peranan Allahyarham membangunkan Kuala Terengganu menampakkan hasil.

Kejayaan beliau dalam memperjuangkan pembangunan ekonomi, infrastruktur dan pendidikan bagi memenuhi keperluan masyarakat yang berbilang kaum termasuk Melayu, Cina dan India membuktikan kemampuannya sebagai wakil rakyat untuk semua kaum.

Ini kerana sebagai ibu negeri, pembangunan di Kuala Terengganu yang baru diisytiharkan sebagai sebuah bandar raya perlu dilaksanakan bagi memenuhi keperluan seluruh golongan masyarakatnya.

Nilai tambah dalam bidang pembangunan termasuk infrastruktur sama ada dalam bidang pelajaran dan latihan kemahiran adalah penting dalam usaha melahirkan rakyat yang bestari serta kreatif.

"Apabila rakyat telah memberikan mandat sebagai wakil rakyat, kita seharusnya memperjuangkan hak mereka dengan sebaik-baiknya''. Itu antara pegangan Allahyarham Razali.

Personalitinya yang sederhana dan cukup mesra membuatkan beliau mudah diterima oleh semua golongan masyarakat.

Allahyarham meninggalkan balu Toh Puan Nooraini Lob Yusoff dan lima orang cahaya mata. Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama orang yang soleh.

Keistimewaan tanah tinggi!


Ainal Marhaton Abd Ghani




Cameron Highlands janji percutian nyaman, aktiviti menarik

CAMERON Highlands cukup terkenal sebagai pusat peranginan tanah tinggi di Malaysia. Terletak di barat daya Pahang, pusat peranginan ini kaya dengan khazanah semula jadi serta keunikan flora dan fauna. Keindahan Cameron Highlands tidak pernah pudar malah terus memukau siapa saja.

Cameron Highlands mendapat nama selepas seorang pegawai Inggeris, William Cameron menemui tanah tinggi itu ketika sedang melakukan tinjauan pemetaan pada 1885.


Tanah tinggi ini juga terkenal dengan pengeluaran hasil pertanian seperti teh, buah-buahan, sayur-sayuran dan bunga-bungaan. Malah ada antara produk pertanian ini termasuk rangkaian flora sukar diperoleh di tempat lain.

Awal bulan ini, penulis bersama 20 rakan media dijemput membuat liputan dua program pelancongan di Tanah Rata yang menjadi pusat pentadbiran daerah ini.

Media dijemput membuat liputan majlis pelancaran Zoom! Cameron Highlands dan larian Taman Negara Eco Challenge (TNEC) 2008 dari Tanah Rata ke Kuala Medang, Lipis.

Kedua-dua acara disempurnakan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Berada di puncak tanah tinggi mencabar ketahanan mental dan fizikal penulis yang tidak tahan dengan suasana dingin mencucuk tulang terutama di waktu malam. Mujur program diadakan sebelah petang dalam keadaan cuaca nyaman.

Rabu

8 pagi :
Sarapan pagi dengan hidangan roti bakar, kentang goreng, hot dog dan teh kosong di Century Pines Resort cukup menyegarkan.

Masih terbayang keseronokan tiba di resort ini yang menjadi tempat penginapan media, lewat petang semalam. Suasana ketika itu cukup dingin hingga alat penghawa dingin tidak disediakan di bilik tidur.

9 pagi : Kumpulan media dibawa melawat Brincang yang menjadi antara lokasi tumpuan pelancong di Cameron Highlands. Ada banyak gerai menjual sayur-sayuran, buah-buahan dan cenderamata menggunakan van di sini. Penulis dan rakan mengambil kesempatan membeli sedikit cenderahati untuk dibawa pulang.

Ketika melawat ladang strawberi, penulis teruja melihat buah strawberi yang ranum di tangkai pokok tetapi tidak dibenar memetiknya kecuali membayar RM20 bagi setengah kilogram buah. Tidak sanggup pula membazirkan wang kerana penulis hanya mahu merakamkan gambar buah strawberi.

12 tengah hari : Selepas menikmati pemandangan serba menghijau di tanah tinggi ini, kami bergegas ke hotel untuk menikmati makan tengahari sebelum menghadiri majlis perasmian program yang disusun.

1.30 petang : Kami dibawa ke Taman Agro Teknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) untuk majlis perasmian dan menandatangani plak Zoom! Cameron Highlands yang disempurnakan Tengku Abdullah.

Hadir sama di majlis itu, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif dan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk S K Devamany.

3.30 petang : Tengku Mahkota Pahang menandatangani plak Zoom! Cameron Highlands sebelum dibawa melawat ladang sayuran, herba, bunga dan strawberi di Taman Agro Teknologi Mardi (TATM) diiringi Pengarah Mardi, Datuk Abdul Shukur Abd Rahman.

Jelas tergambar riak gembira pada wajah Tengku Mahkota yang teruja melihat buah strawberi bergayutan di sekeliling pasu, sayur-sayuran dan bunga-bungaan segar yang menggoda setiap mata yang memandang.

5 petang : Selesai majlis dan sesi minum petang kami bergegas mencari pusat internet untuk mengejar masa menulis dan menghantar berita. Tugas selesai satu setengah jam kemudian.

7.10 malam : Menghadiri sesi taklimat untuk Taman Negara Eco-Challenge (TNEC) di hotel Cool Point sebelum menikmati makan malam ala barbeku.

9.30 malam : Sekali lagi meronda di sekitar Tanah Rata sambil menikmati kedinginan malam yang belum pernah dirasai sebelum ini. Jelas, keramahan penduduk Cameron

Highlands melayan tetamu begitu terasa tidak kira mereka pekedai, pekerja hotel atau penduduk tempatan.

11 malam : Masing-masing berehat dan dan tidur menantikan esok yang menjanjikan keseronokan.

Khamis

7.10 pagi :
Menikmati sarapan pagi dengan sepiring kuey teow goreng, kentang goreng, roti bakar dan teh O.

8.20 pagi : Menuju ke Hotel Cool Point tempat perasmian dan pelepasan peserta TNEC 2008 yang disempurnakan Tengku Mahkota Pahang. Seramai 80 peserta dari 21 pasukan termasuk lima pasukan media tidak sabar memulakan larian sejauh 170 kilometer menuju Kuala Medang, Lipis. Penduduk tempatan turut memberi sokongan kepada peserta.

9.10 minit : Ketibaan Tengku Mahkota diiringi tarian tradisional tiga kaum utama, Melayu, Cina dan India oleh pelajar Sekolah Kebangsaan (C), Cameron Highlands, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cameron Highlands dan 25 kanak-kanak Tadika Winlon.

9.40 pagi : Tengku Mahkota melepaskan peserta TNEC 2008 dan menuju ke Ladang Teh Boh di Brincang untuk sesi lawatan ladang teh.

10.20 pagi : Tiba di ladang teh terbesar milik Boh Plantations dan penulis bersama rakan media teruja melihat 'gelombang' pokok teh yang berusia kira-kira 80 tahun.

Pokoknya masih rendang dengan daun teh yang merimbun. Penulis tidak melepaskan peluang bergambar di celah pokok. Seumur hidup, inilah kali pertama menyentuh daun teh segar di pokok.

11.05 pagi : Kumpulan pertama TNEC 2008 dari pasukan komando Kem Sungai Udang, Melaka tiba dan disambut meriah oleh Tengku Mahkota yang setia menanti untuk memberi semangat kepada peserta yang terpaksa berlari menuruni lembah teh menuju ke Sungai Relong.

11.25 tengahari : Melawat kilang memproses teh milik Boh Plantations sambil menikmati hidangan teh pelbagai perisa dan sandwich yang begitu menyelerakan. Penulis kemudian bergegas pulang ke hotel penginapan untuk menyiapkan berita dan makan tengahari.

5.20 petang : Selepas semua selesai termasuk menyerahkan kunci bilik, kami berkemas untuk pulang. Sempat juga singgah sebentar di Brincang untuk membeli cenderamata.

6.30 petang : Penulis mengucapkan selamat tinggal Cameron Highlands dan membawa pulang memori indah.

INFO:

  • Cameron Highlands berkeluasan 71,218 hektar dengan populasi penduduk melebihi 32,000 orang.
  • Mencapai ketinggian 1,230 meter dari aras laut dengan suhu purata 19.8 darjah selsius.
  • Puncak tertinggi terletak di Gunung Brincang dengan ketinggian 2,000 meter dari aras laut.
  • Bandar utama Tanah Rata (pusat pentadbiran), Brincang dan Kea Farm (kawasan tumpuan pelancong), Ringlet, Tringkap, Kuala Terla serta Kampung Raja (kawasan ladang).
  • Penempatan kaum Melayu pertama, Kampung Taman Sedia di lembah antara Tanah Rata dan Brinchang menawarkan pakej penginapan homestay.


Tarikan:
  • Taman Agro Teknologi Mardi (TATM).
  • Gunung Lumut, Taman Flora, Hutan Lipur Parit Fall.
  • Ladang teh: Brincang dan Sungai Palas.
  • Taman bunga Cactus Point iaitu 500 meter dari Kea Farm, Rose Centre, Rose Valley.
  • Kebun buah strawberi dan taman rama-rama.
  • Aktiviti redah hutan.
  • The Smoke House, The Lake House dan Strawberry Park.
  • Homestay Kampung Taman Sedia, Tanah Rata.

Jawi alaf baru


Oleh Shamshul Azree Samshir




MobileJawi tarikan Ekspo GoMobile 2008 di PWTC, Kuala Lumpur

KETIKA meraikan Syawal dua bulan lalu, apakah anda menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) dari teman yang mengucapkan selamat hari raya serta maaf zahir dan batin dalam tulisan jawi? Setuju atau tidak jika dikatakan SMS dalam tulisan jawi lebih istimewa, unik dan meninggalkan kesan lebih mendalam?

Namun keseronokan menghantar atau menerima SMS dalam tulisan jawi ketika ini agak terbatas. Ini kerana bukan semua antara kita memiliki telefon bimbit canggih terutama yang dilengkapi aplikasi Java bagi ‘membaca’ SMS dalam tulisan jawi.


Tidak hairanlah, jika ada telefon bimbit gagal memperakui motif atau objek tulisan jawi, sebaliknya hanya muncul kotak-kotak atau dalam istilah pasar, bahasa Jerman pada skrin telefon bimbit sebaik SMS dibaca. Kekangan ini tentunya menyekat kita berseronok menghantar SMS dalam tulisan jawi, lebih-lebih lagi di kalangan generasi muda yang mungkin tidak pernah mengenali tulisan jawi.

Sasaran menggalak orang ramai terutama generasi muda ‘bermain’ dengan tulisan jawi melalui SMS boleh dicapai. Ini kerana mengikut Laporan Kaji Selidik Pengguna Telefon Bimbit (HPUS) 2007 yang dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) baru-baru ini, lebih separuh daripada 21 juta pengguna telefon bimbit di negara ini menggunakan SMS sebagai medium berkomunikasi.

Kaji selidik itu mendapati mendapati 50.4 peratus daripada 21 juta pengguna telefon bimbit di Malaysia menghantar lebih lima SMS atau khidmat pesanan multimedia (MMS) sehari pada tahun lalu, berbanding 46.1 peratus pada 2006, 41.8 peratus (2005) dan 31.7 peratus (2004). Statistik ini tentu membuka pasaran besar bagi SMS dalam tulisan jawi berkembang di Malaysia.



Bagi menyahut seruan menghidupkan semula tulisan jawi di Malaysia, syarikat tempatan, Murasu Systems Sdn Bhd mengambil langkah proaktif melakukan kejuruteraan semula platform tulisan jawi dengan membangunkan perkhidmatan kandungan tulisan jawi, MobileJawi dalam telefon bimbit.

Jika anda berminat melihat lebih dekat projek yang dirancang Murasu Systems, apa kata berkunjung ke acara gaya hidup berasaskan produk mudah alih atau mobile terbesar di Malaysia, GoMobile 2008 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur. Acara hebat yang mengandungi tiga segmen berasingan ini bermula Khamis lalu hingga esok.

Bercerita lebih lanjut projek MobileJawi, Pengasas dan Ketua Arkitek Teknologi Murasu Systems, N Muthu, 47, berkata nilai unik tulisan jawi yang boleh dianggap antara warisan tertua negara mendorong syarikatnya membangunkan khidmat kandungan tulisan jawi dalam telefon bimbit.

“Sesetengah kandungan SMS lebih menarik dan menyeronokkan jika dibaca dalam tulisan jawi... Ia mempunyai sentuhan unik.

“Namun tidak banyak yang dapat dilakukan pengguna sekarang. Dengan produk MobileJawi yang kita bangunkan, ia membolehkan kita membekalkan kandungan terutama kandungan bersifat keagamaan dan kebudayaan yang ada tarikan tersendiri jika dibaca dalam tulisan jawi,” katanya kepada Sabtu.

Muthu berkata, beliau sendiri meminati tulisan jawi malah mengambil inisiatif mempelajarinya sewaktu kecil dulu.

“Saya seronok mempelajari skrip tulisan jawi walaupun terpaksa mengambil masa lama untuk menguasainya. Saya belajar jawi ketika di sekolah dan melalui pergaulan dengan rakan-rakan Melayu,” katanya yang juga berminat mengkaji skrip tulisan kuno negara di rantau Asia Tenggara termasuk India.

Muthu berkata, belajar menguasai jawi ketika ini berbeza berbanding zaman dulu.

“Keadaan sudah berubah di mana kita sekarang boleh menggunakan perkakasan multimedia untuk menguasai jawi... Sekarang, kita belajar jawi mengikut apa yang difahami komputer atau perisian yang diprogramkan.

“Disebabkan itulah kita perlu berhati-hati terutama dalam menentukan huruf dan bunyi dalam menentukan perkataan jawi,” katanya berkongsi keseronokan menguasai tulisan jawi.

Muthu berkata, melalui projek MobileJawi, pihaknya meningkatkan keupayaan aplikasi Jawi selepas Celcom melancarkan kemudahan itu pada 2006.

“Prototaip pertama aplikasi mudah alih tulisan jawi diperkenalkan pada 2006. Ketika itu, versi ini hanya menyediakan kemudahan pesanan ‘peer to peer’.

“Ini bermakna, seseorang boleh menulis mesej jawi dan menghantarnya sebagai SMS. Namun, kedua-dua pihak iaitu penghantar dan penerima perlu terlebih dulu memuat turun aplikasi jawi dalam telefon bimbit masing-masing,” katanya.

Muthu berkata, ketika Celcom melancarkan perkhidmatan tulisan jawi dua tahun lalu, sambutan diterima daripada pelanggan cukup menggalakkan, malah hampir 200,000 permintaan memuat turun aplikasi ini diterima syarikat itu.

“Namun, banyak isu dihadapi dalam usaha memastikan perkhidmatan lancar. Isu terbesar ialah kurangnya telefon bimbit yang boleh menggunapakai aplikasi jawi ketika itu,” katanya.

Beliau berkata, pada akhir tahun lalu, pihaknya mula mengkaji semula produk tulisan jawi dalam telefon bimbit dan membangunkan perkhidmatan kandungan.

“Kita perlukan landasan teknologi yang boleh menyediakan kemudahan mencipta dan membangunkan kandungan dalam bentuk tulisan jawi kepada telefon bimbit.

“Pada masa sama, kami berinovasi dengan matlamat meningkatkan tahap penggunaan aplikasi itu supaya ia cukup mudah untuk digunakan pemilik telefon bimbit,” katanya yang memperoleh geran pembangunan kandungan rangkaian dari SKMM bagi menjayakan projek MobileJawi.

Muthu berkata, MobileJawi membolehkan pengguna menulis dalam bentuk tulisan rumi dan teknologi mengubah perkataan yang ditaip dalam bentuk tulisan jawi.

“Dengan cara ini, pengguna bebas menulis apa saja yang ada dalam fikiran dan hasil tertera pada SMS ialah tulisan jawi. Lama kelamaan aplikasi ini membolehkan mereka menguasai tulisan jawi walaupun secara terjemahan dari rumi ke jawi,” katanya.

Muthu berkata, pihaknya menjangka MobileJawi sedia dipasarkan secara komersial dalam tempoh beberapa bulan akan datang selepas semua perancangan termasuk landasan dan aplikasinya siap.

“Namun kemudahan aplikasi jawi secara ‘peer to peer’ boleh didapati dari pembekal sekarang. Malah, Maxis dan Digi juga menawarkannya daripada portal WAP mereka.

“Bagi kandungan MobileJawi, kita jangka ia akan sedia dipasarkan beberapa bulan lagi,” katanya.

INFO: Apa yang anda perlu tahu mengenai acara gaya hidup mudah alih terhebat di Malaysia, GoMobile 2008?

  • Acara gaya hidup mudah alih pertama dianjurkan di Malaysia merangkumi Ekspo GoMobile; Persidangan M-Learning dan Edutainment 2008 serta Anugerah Mobile World Star dan majlis makan malam.

  • Penaja utama GoMobile 2008 ialah Maxis Communications Bhd (Maxis) manakala MSC Malaysia dan Open University of Malaysia (OUM) adalah rakan strategik.

  • GoMobile 2008 dianjurkan oleh LTT Global Communications Sdn Bhd dengan kerjasama majalah Mobile World.

  • Ekspo GoMobile 2008 diadakan sejak semalam hingga esok. Pengunjung boleh melihat produk mudah alih terbaru di pasaran keluaran syarikat telekomunikasi terkemuka dunia dan yang dibangunkan syarikat tempatan. Selain itu, perkhidmatan telefon bimbit merangkumi pelbagai aplikasi dan eksesori hebat termasuk notebook dan ultra-mobile personal computer (UMPC) boleh ditemui di ekspo ini.

  • Empat zon khas menanti pengunjung Ekspo GoMobile 2008 iaitu akesori dan perkakasan; inovasi; pembelajaran dan hiburan.

  • Maxis membuka ruang pameran terbesar di Ekso GoMobile 2008. Syarikat ini antara lain mempamerkan produk mudah alih terbarunya termasuk pakej pra bayar dan pasca bayar; jalur lebar dan perkhidmatan data mudah alih.

  • Apa yang menarik, pengunjung boleh memuat turun aplikasi istimewa, GoMobile Insider yang antara lain memberi panduan mengenai pameran ini termasuk mengambil bahagian dalam acara mencari harta karun, GoHunt dengan menggunakan telefon bimbit.

  • Maklumat dari siaran akhbar penganjur menyebut, hadiah telefon bimbit dan pelbagai hadiah lain akan diberi secara rawak setiap jam sepanjang ekspo tiga hari itu.

  • Sepuluh iPod Shuffles akan diberi kepada pemenang bertuah peraduan harian yang dianjurkan Maxis sepanjang ekspo ini.

  • 50 pengunjung pertama yang melanggan majalah Mobile World akan diberi hadiah telefon bimbit LG setiap hari.

  • Peraduan tarian hip hop anjuran Nokia menawarkan hadiah RM2,000 kepada juara kumpulan.

  • Satu lagi produk dibangunkan syarikat tempatan, Bl@st iaitu aplikasi bluetooth keluaran Lambda Mobile Apps Sdn Bhd boleh dilihat di ekspo ini. Bl@st dijangka mula dipasarkan bulan depan.

  • Persidangan M-Learning dan Edutainment 2008 yang berlangsung kelmarin dan semalam antara lain membincang isu inovasi kandungan, peluang dan cabaran alaf baru dalam sektor mudah alih.

  • Anugerah Mobile World Star mengiktiraf individu yang memberi sumbangan dalam membangunkan sektor mudah alih termasuk melakukan inovasi kandungan dan aplikasi. Maxis mengiktiraf lima individu melalui anugerah Maxis In-Ovations.

28 November 2008

Sejauh mana gagasan pelestarian menjadi iltizam


Prof Datuk Zaini Ujang

SEJAK harga minyak di pasaran dunia meningkat mendadak melepasi AS$100 awal tahun ini, pelbagai inisiatif dilakukan untuk mengurangkan pergantungan kepada minyak sebagai sumber tenaga utama. Selain mengenal pasti alternatif kepada bahan api fosil seperti minyak, gas dan arang batu yang dijangka kehabisan dalam tempoh tidak melebihi 50 tahun lagi, banyak teknologi baru dibangunkan untuk menggunakan tenaga secara lebih efisien dan murah.

Sehingga kini, walaupun harga minyak sudah kembali ke paras jauh lebih rendah, inisiatif itu nampaknya masih mengekalkan momentumnya. Hal ini dapat kita lihat menerusi pelbagai laporan dan kajian disiarkan pelbagai agensi berita dan penerbitan.

Sebagai contoh, dalam edisi terkini bertarikh 17 November lalu, majalah Fortune memberi fokus kepada 'tenaga hijau' mengenai pelbagai alternatif tenaga yang bukan saja terbukti berpotensi menggantikan minyak, malah lebih bersih dan mudah diperoleh dengan lebih murah.


Majalah Newsweek bertarikh 3 November pula mengetengahkan iltizam hijau baru di kalangan pemimpin dunia untuk membangunkan sistem 'ekonomi hijau' untuk memastikan program pembangunan lebih lestari. Dengan penyertaan pemimpin kuasa besar termasuk Barrack Obama, Perdana Menteri Britain, Gordon Brown dan Presiden Perancis Nicolas Sarkozy, iltizam hijau baru yang dipelopori Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-Moon itu mempunyai dokongan politik yang mantap dan meluas.

Semua perkembangan ini menunjukkan bahawa krisis tenaga yang dialami lebih setahun lalu membuka mata dunia bahawa faktor pelestarian (sustainability) menjadi semakin penting dalam proses dan program pembangunan global.

Pelestarian memang bukan suatu istilah dan gagasan baru dalam pembangunan. Sejak diperkenalkan sebagai satu gagasan ideal oleh Suruhanjaya Dunia Mengenai Alam Sekitar dan Pembangunan menerusi laporan berjudul Our Common Future pada 1987, konsep pelestarian sudah diguna pakai dengan meluas di seluruh dunia dalam hampir semua dokumen perancangan ekonomi dan program pembangunan infrastruktur.

Di Malaysia misalnya, gagasan pelestarian dalam konteks pembangunan negara mula diperkenalkan menerusi Rancangan Malaysia Keenam (1990-1995) lagi. Menerusi gagasan pelestarian, maka usaha perlu diseimbangkan agar program dan projek pembangunan mengambil kira kepentingan alam sekitar, kemasalahatan masyarakat dalam konteks lebih holistik dan keperluan sumber untuk kegunaan generasi akan datang.

Itulah sebabnya banyak instrumen baru diperkenalkan untuk menyokong pelaksanaan gagasan pelestarian itu, selain menerusi penguatkuasaan keperluan menjalankan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA). Memang dimaklumi, EIA bukan penyelesai segala masalah dan jauh sekali memastikan pelestarian sudah dilaksanakan terhadap alam sekitar, penggunaan tenaga, pengoptimuman sumber apatah lagi gaya hidup.

EIA hanya instrumen berbentuk kajian untuk mengenal pasti impak atau kesan sesuatu pembangunan terhadap alam sekitar, sosioekonomi, budaya dan sumber asli. Selepas menjalankan kajian impak, cadangan terkandung dalam EIA perlu pemantauan berterusan terhadap aktiviti pembangunan yang dijalankan.

Sekadar catatan, saya mengikuti perkembangan dan komitmen terhadap gagasan pelestarian ini sejak lebih 20 tahun lalu. Pada akhir 1980-an, tidak banyak laporan mengenai konsep pelestarian, isu alam sekitar dan pembangunan holistik dibincangkan dalam media massa.

Setiap kali isu sedemikian disiarkan, saya menyimpan keratan akhbar atau majalah, sama ada dalam bahasa Melayu atau Inggeris. Hal seperti itu berkembang pesat sehingga pada akhir 1990-an, saya tidak mampu lagi berbuat demikian kerana hampir setiap hari ada saja isu dan artikel mengenainya tersiar. Malah dalam konteks media antarabangsa menjadi fokus utama dan paparan muka hadapan.

Selepas 20 tahun, persoalannya kini ialah sejauh mana tahap iltizam dan penghayatan untuk melaksanakan gagasan terbabit dalam kehidupan harian, sistem perundangan, kaedah pengeluaran dan penghasilan produk? Dari satu segi, pelestarian memang sudah menjadi suatu mantera yang digunakan seluruh kalangan. Pengeluar kereta, syarikat petrokimia, pembekal kertas dan penggubal dasar sering kali menggunakan 'hijau' dan 'lestari' sebagai satu ramuan wajib.

Malah ahli politik � malangnya hal ini masih belum ketara di Malaysia � menjadikan iltizam hijau sebagai isu besar untuk memikat pengundi.

Pada hemat saya, iltizam lestari terserlah menerusi empat tindakan pada peringkat individu, organisasi atau negara, iaitu:

  • Pertama; menghayati cara hidup lestari seperti menggunakan sumber dengan optimum, kitar semula, elakkan pembaziran, konsumerisme berdasarkan 'keperluan' dan bukan 'kehendak'.
  • Kedua; mengurangkan tapak ekologi (ecological footprint) dengan melakukan pelbagai perkara mengambil kira faktor penggunaan sumber, penghasilan sisa dan penjanaan semula sumber asli.
  • Ketiga; menerusi peningkatan keefisienan dalam penggunaan sumber tenaga, air dan bahan mentah lain, dan
  • Keempat; tidak melakukan pencemaran alam sekitar.
Komitmen ini boleh diukur menerusi pelbagai cara, termasuk penggunaan Indeks Pencapaian Alam Sekitar (EPI) sebagaimana yang diperkenalkan oleh Universiti Yale dan Universiti Chicago sejak empat tahun lalu. Selain itu, tapak ekologi dan indeks pelestarian juga boleh digunakan.

Namun, asasnya ialah gagasan pembangunan lestari. Dalam konteks ketika gagasan ini sering kali juga diungkapkan sebagai 'pembangunan karbon neutral' yang bersifat holisitik yang tidak lagi terbatas kepada agensi khusus atau bidang yang secara langsung berkait dengan alam sekitar seperti perkhidmatan pembetungan, pengairan dan saliran, pembangunan industri dan pengurusan hutan.

Malah perlu diserlahkan dalam seluruh skop serta dimensi kehidupan dan pembangunan, termasuklah bidang pertanian, pentadbiran, keselamatan, perdagangan, pendidikan, pengangkutan dan sukan.

Prof Datuk Zaini Ujang ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia dan Timbalan Presiden Persatuan Air Malaysia

27 November 2008

Cara terbaik mengenang jasa Tun Abdul Razak


SAYA tertarik untuk mengulas laporan yang disiarkan oleh akhbar ini pada 25 November 2008 mengenai cadangan warga Jengka supaya nama Felda Jengka di Pahang diubah kepada Felda Tun Abdul Razak. Cadangan tersebut telah diusulkan sebagai satu usaha untuk mengenang jasa dan pengorbanan Allahyarham Tun Abdul Razak dalam membuka dan membangunkan Jengka. Cadangan ini timbul setelah beberapa tahun nama Bandar Jengka diubah kepada Bandar Tun Abdul Razak Jengka oleh kerajaan negeri yang bertujuan untuk mengenang jasa negarawan ulung itu.

Cadangan untuk menukarkan nama Felda Jengka kepada Felda Tun Abdul Razak perlu diteliti semula supaya ia tidak menimbulkan kesan pada masa depan. Penukaran nama Jengka kepada satu nama lain atas apa tujuan sekalipun dikhuatiri akan menghakis nama Jengka yang telah diguna sejak lebih 40 tahun lalu. Nama Jengka sudah dikenali oleh segenap lapisan rakyat negara ini sebagai kawasan pembangunan Felda yang terbesar di negara kita.

Menukar nama Jengka kepada satu nama lain juga akan menyebabkan nilai Jengka dari sudut sejarah akan terjejas. Kita dapat lihat bahawa penukaran nama sesuatu bandar kepada nama lain akan menyebab sejarah sesuatu bandar itu akan dilupakan. Penukaran nama Sungai Ujong kepada Seremban misalnya menjadi punca generasi pada hari ini lupa bahawa Seremban adalah lombong bijih utama negara pada suatu ketika dahulu. Semua orang tahu bahawa Sungai Ujong adalah lombong bijih utama di Negeri Sembilan tetapi tidak ramai yang tahu bahawa Sungai Ujong itu adalah Seremban yang kita lihat pada hari ini. Penukaran nama Jengka kepada satu nama lain akan menyebabkan nama Jengka itu akan dilupakan orang dan sejarahnya juga sudah pasti hanya akan tinggal dalam lipatan sejarah serta tidak dikenang lagi.

Penukaran nama Felda Jengka kepada Felda Tun Razak juga akan berlakunya kekeliruan terutama kepada orang luar. Jika dirujuk kembali penukaran nama Bandar Jengka kepada Bandar Tun Abdul Razak pada suatu masa dulu, ia menimbulkan kekeliruan kerana namanya hampir sama dengan Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur. Selain itu, Pahang juga memiliki satu lagi Bandar Tun Razak iaitu kawasan Felda dalam daerah Rompin. Kewujudan terlalu banyak bandar yang menggunakan nama Tun Abdul Razak sudah tentu akan menimbulkan kekeliruan di kalangan pengunjung.

Masih terdapat banyak cara untuk kita mengenang jasa Tun Abdul Razak atas usahanya membuka penempatan Felda termasuk Jengka. Kita sepatutnya memikirkan cara terbaik untuk membangun Jengka sebagai bandar ulung untuk bumiputera di negara ini. Bandar Jengka masih ketinggalan dari segenap sudut terutama dari segi pembangunan ekonomi.

Peluang-peluang ekonomi dan perniagaan perlu diwujudkan dengan lebih banyak di Jengka supaya pembangunan kawasan Felda ini akan menjadi lebih pesat. Ini akan menyediakan pelbagai peluang pekerjaan baru dan akan mengurangkan penghijrahan generasi muda Jengka ke ibu kota. Penghijrahan besar-besaran generasi muda Felda ke bandar-bandar lain akan menyebabkan ekonomi Jengka berada di takuk lama dan akhirnya menjadi bandar mati. Tiada gunanya kita menukar nama sesuatu kawasan atau bandar jika akhirnya penduduknya sendiri berhijrah ke tempat lain untuk meneruskan kehidupan.

Kerajaan negeri, Felda dan warga Jengka perlu berusaha gigih untuk memajukan Jengka supaya hasrat Tun Abdul Razak yang mahu melihat orang Melayu maju akan terlaksana. Menjadikan hasrat Tun Abdul Razak sebagi satu kenyataan sebenarnya adalah cara yang terbaik untuk mengenang jasa beliau yang begitu gigih membangunkan Felda.

MOHAMAD JAFRI AHMAD

'Bahasa sumber ilmu bukan masalah besar'


PANDANGAN bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Wacana Dilema Melayu anjuran Gapena baru-baru ini bahawa Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) patut diteruskan tidaklah memeranjatkan.

Ini kerana beliaulah pencetus, pemutus dan pelaksananya. Dr. Mahathir masih dengan dengan sikap biasanya yang tidak sesekali berubah atau berpatah balik apabila telah membuat keputusan.

Isunya ialah bahawa hujah Dr. Mahathir merupakan hujah yang tergelincir daripada hakikatnya. Dalam laporan Bernama, beliau mengatakan bahawa PPSMI penting agar anak-anak Melayu menguasai Sains dan Matematik dan sekali gus meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris. Ketika beliau membuat keputusan untuk melaksanakan PPSMI, tiada kajian yang dibuat yang menunjukkan bahawa kelemahan penguasaan Sains dan Matematik di kalangan pelajar Melayu (jika benar anak-anak Melayu begitu lemah dalam kedua-dua subjek itu) disebabkan oleh pengajarannya dalam bahasa Melayu. Kita malah sebenarnya telah melahirkan ribuan sarjana dalam bidang sains dan teknologi yang berwibawa dan bertaraf antarabangsa melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan yang berteraskan bahasa Melayu.

Adakah Dr. Mahathir bermaksud bahawa Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang digubal dan dilaksanakan oleh kerajaan sejak merdeka merupakan dasar negara yang silap? Jika benar, adakah kesilapan itu patut diatasi dengan suatu keputusan yang bersifat ad hoc, dengan membuat keputusan pada tahun 2002 dan terus melaksanakannya pada tahun 2003?

Dr. Mahathir menekankan bahawa bahasa Inggeris patut dijadikan bahasa penghantar Sains dan Matematik kerana bahan ilmu kedua-dua bidang itu banyak tertulis atau terbit dalam bahasa Inggeris. Fakta itu tidak cukup kuat untuk kerajaan mengetepikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar Sains dan Matematik kerana bahasa Inggeris itu sendiri asalnya hanya bahasa vernakular, bukan bahasa yang diturunkan dari langit sedia sempurna. Sebelum bahasa Inggeris menjadi bahasa besar, orang Eropah bergantung pada bahasa Latin dan bahasa Perancis dalam bidang ilmu, pentadbiran, undang-undang dan ekonomi.

Demikianlah maka bahasa Melayu perlu diberi waktu untuk menjadi mantap semula sebagai bahasa ilmu, termasuk dalam bidang sains dan teknologi. Amat malang halnya apabila kita sendiri tidak mempunyai perancangan dan kesediaan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa sains dan teknologi, dan cukup sekadar puas hati menyaksikan bahasa Melayu menjadi bahasa percakapan, seperti yang dibanggakan oleh Dr. Mahathir tentang kebolehannya menggunakan bahasa Melayu walaupun belajar di sekolah Inggeris.

Membezakan

Kita perlu membezakan taraf bahasa ilmu daripada bahasa perhubungan sehari-hari jika kita mengimpikan bahasa Melayu menjadi bahasa besar pada masa hadapan. Tentulah aib bagi bangsa Melayu yang berhasrat menjadi bangsa besar di dunia tetapi hanya memiliki bahasa perhubungan sehari-hari dan untuk hal ehwal ilmu dan budaya tinggi terpaksa menggunakan bahasa asing.

Hujah Dr. Mahathir bahawa bangsa Arab menjadi maju kerana mempelajari bahasa Greek untuk menguasai sains dan teknologi juga ternyata meleset. Mempelajari bahasa asing dan menggunakan bahasa asing untuk mengembangkan ilmu kepada masyarakat atau bangsa merupakan dua hal yang sama sekali berbeda. Maka itu tidak ada pejuang bahasa manapun yang menolak hakikat pentingnya kita mempelajari dan menguasai bahasa asing sebagai jambatan ilmu dan tamadun. Namun, PPSMI bukan program pembelajaran bahasa asing, sebaliknya program pengembangan ilmu kepada bangsa kita dalam bahasa asing!

Pada hakikatnya, orang Arab yang mempelajari dan menguasai bahasa Greek ialah para sarjananya, sementara ilmu kepada masyarakat dan bangsanya dikembangkan dalam bahasa Arab.

Memindahkan ilmu

Hal yang sama dilakukan oleh bangsa-bangsa Barat yang memperoleh pelbagai disiplin ilmu daripada sarjana Arab. Mereka mempelajari dan menguasai bahasa Arab untuk memindahkan ilmu dalam bahasa Arab ke dalam bahasa mereka sendiri. Oleh itu bangsa Barat tidak menggunakan bahasa Arab untuk mengembangkan ilmu kepada bangsa mereka, tetapi sebaliknya menggunakan bahasa mereka sendiri. Itulah hakikat jalan sejarah perkembangan tamadun di dunia. Seluruh bangsa dan negara yang besar dan maju di dunia sekarang ini pun masih tetap memajukan bangsa dan negara mereka dalam bahasa masing-masing. Angkasawan kita yang ditumpangkan dalam Soyuz Rusia pun terpaksa beberapa bulan mempelajari bahasa Rusia untuk mengikuti misi ke angkasa lepas. Kekuatan bahasa Inggerisnya rupa-rupanya belum cukup melayakkan dia untuk diterima mengikuti misi tersebut!

Dr. Mahathir turut menggunakan contoh yang silap apabila mengatakan bahawa buku panduan atau manual telefon bersel yang dicetak dalam bahasa Inggeris oleh pengeluar menyebabkan ilmu sains yang diajarkan dalam bahasa Melayu menjadi tidak berguna. Bukankah buku panduan itu dapat diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, atau pelajar kita yang diajar dengan baik bahasa Inggerisnya dapat memahami buku panduan dalam bahasa Inggeris itu. Mungkin Dr. Mahathir belum pernah melihat adanya telefon bersel yang panduannya ditulis dalam bahasa Melayu pada perisian telefon itu sendiri! Pokoknya, apabila sesuatu bangsa berilmu, bahasa sumber ilmu itu bukanlah masalah yang besar.

Sebagaimana pendukung PPSMI yang lain, Dr. Mahathir mengulang lagu lama bahawa penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik bukan langkah meminggirkan bahasa Melayu. Namun, dengan terang di hadapan mata kita bahawa apabila bahasa Melayu akan hanya berfungsi pada sekitar 40 peratus atau kurang di sekolah dan sekitar 30 peratus atau kurang di IPT, maka amat jelas bahawa bahasa Melayu memang terpinggir dan tidak berperanan sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara, sebagaimana yang ditetapkan dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1961 dan Akta Pendidikan 1996.

Pada hemat saya, manfaatkanlah pepatah kita yang berbunyi "Sesat di hujung jalan balik ke pangkal jalan". Kita belum pun sesat sehingga di hujung jalan, maka tidaklah sulit untuk kembali ke pangkal jalan, iaitu melaksanakan semua program pembangunan negara dengan berlandaskan dasar-dasar negara yang telah difikirkan, dirancang dan dilaksanakan dengan jayanya selama ini. Usahlah kita mengalami nasib "Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran". Ingatlah juga kata orang tua-tua "Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya".

PROF. DR. AWANG SARIYAN
Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia - China
Universiti Pengajian Asing Beijing

Jangan jadikan sekolah butik pakaian


SEHINGGA kini, sudah banyak dilakukan oleh kerajaan bagi membantu golongan miskin untuk maju ke hadapan. Dengan pembentangan Bajet 2009 atau selalu disebut sebagai bajet prihatin banyak yang membantu golongan ini.

Saya bukan ingin menyentuh mengenai bajet ini secara menyeluruh, namun apa yang ingin saya persoalkan di sini ialah mengenai pentadbiran sekolah yang tidak selari dengan bajet ini.

Anak saya yang belajar di sebuah sekolah di bandar Seri Iskandar, Perak telah dimaklumkan mengenai undang-undang baru persekolahan pada tahun hadapan.

Pada tahun hadapan, semua pelajar sekolah itu tidak lagi dibenarkan membawa pakaian berlebihan dan pakaian yang tidak mempunyai lambang sekolah.

Pihak sekolah telah mengarahkan pelajar sekolah ini membeli pakaian yang dijual di koperasi sekolah. Sekiranya baju yang dijual di koperasi sekolah berharga murah, tidak mengapa.

Tetapi anak saya mengatakan bahawa pihak sekolah akan menjual baju berjenama seperti Nike dan Adidas. Bukankah harganya mahal? Apakah salah pelajar membawa baju-T dari rumah?

Difahamkan pihak sekolah tidak membenarkan pelajar membawa baju-T lain kerana baju yang dibawa dari rumah mempunyai corak yang tidak elok di pandang.

Kalau begitu, pihak sekolah boleh membuat peraturan membawa baju-T yang dibenarkan coraknya. Sekiranya satu helai baju berharga RM25 dan ibu bapa hendak membeli dua helai, sudah tentu terpaksa membayar RM50.

Adakah pelajar hendak memakai dua helai baju-T sahaja sepanjang tahun. Hal ini belum lagi dicampur dengan kes kehilangan baju di sekolah.

Bagi ibu bapa berpendapatan RM1,000 ke bawah, mampukah mereka menanggung perbelanjaan ini ditambah lagi dengan yuran asrama, yuran makanan, yuran itu dan ini yang berjumlah hampir RM600.

Sekiranya mereka mempunyai lebih kurang tiga orang anak, dua daripadanya bersekolah asrama, adakah mereka mampu menanggung kesemua kos tersebut?

Adakah pihak sekolah hendak menjadikan koperasi sekolah sebagai sebuah butik? Ini kerana pelajar perempuan di sekolah ini juga diwajibkan membeli pakaian untuk kelas persediaan yang entah berapa harganya.

Sebelum ini mereka hanya memakai baju kurung dan saya dapati anak saya tiada masalah untuk belajar. Baju yang dijual juga hanya jubah perempuan dan anak saya memilikinya. Cuma jubah yang dijual pihak sekolah berwarna ungu dan jubah anak saya berwarna lain.

Apakah peranan PIBG sekolah ini demi menjaga kebajikan ibu bapa berserta pelajar. Ketahuilah bahawa bukan kesemua pelajar di situ daripada keluarga berpendapatan tinggi seperti cikgu sekolah itu yang hampir kesemuanya memakai kereta besar.

Sekiranya guru di sekolah itu hendak menampung perbelanjaan ibu bapa yang berpendapatan rendah ini, tidak mengapalah juga.

Apa yang saya keliru di sini, kenapa hanya pakaian pelajar sahaja dititikberatkan. Sebelum ini pelajar sekolah itu pun mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan awam tanpa perubahan yang dari segi pakaian.

Selain itu, pelajar juga diwajibkan membeli dua helai baju-T rasmi sekolah berwarna jingga dan hijau berharga RM17 sehelai. Adakah pihak sekolah ingin berniaga dengan mengaut keuntungan atau mengajar anak kami?

Terpaksa

Sekiranya diwajibkan membeli dua helai pakaian tersebut dan dua helai lagi baju-T yang disebut di atas berapakah anggaran jumlah kesemuanya? Bukankah kesemuanya berharga RM84. Sekiranya baju anak ini hilang, ibu bapa terpaksa membelinya lagi.

Adakah pihak sekolah ingin mengambil kesempatan dengan bajet prihatin dan penurunan harga minyak pada masa sekarang dengan menyusahkan lagi ibu bapa yang terpaksa menyediakan wang yang lebih untuk perkara seperti ini.

Tidakkah guru terfikir akan kesempitan yang melanda ibu bapa berpendapatan rendah. Alhamdulillah kerana saya masih mampu menanggung perkara ini. Namun di mana rasionalnya pihak sekolah membuat undang-undang ini.

Mungkin pihak sekolah mengatakan jika ibu bapa mahu beli, beli sahajalah jika tidak mahu, janganlah beli. Namun sekiranya sudah dilarang membawa baju-T yang tiada lambang sekolah, sudah tentu kami terpaksa membelinya.

Mungkin dalam mesyuarat guru-guru mereka mahu pelajar sentiasa tampak kemas, berdisiplin dan seragam. Mereka juga berpendapat bahawa cara ini dapat menaikkan imej sekolah serta populariti di mata masyarakat.

Adakah pihak sekolah ingin mengejar populariti atau mahu menaikkan prestasi kecemerlangan pelajar sekolah. Bukannya imej sekolah tidak dapat dinaikkan dengan prestasi kecemerlangan.

Adakah dengan memakai baju-T bukan berlambangkan lencana sekolah, pelajar tidak nampak kemas, tidak berdisiplin dan tidak seragam. Jika pihak sekolah mahu pelajar kelihatan seragam, cukup sekadar dengan membeli baju-T sekolah berwarna jingga dan hijau itu, mengapa harus ditambah lagi?

Kesimpulannya, diharap pihak sekolah dapat membuat pertimbangan akan perkara ini. Bagi ibu bapa di luar sana, mereka juga mungkin bersetuju dengan keluhan saya ini.

Diharap juga pihak Kementerian Pelajaran dapat mengambil tindakan ke atas perkara ini. Tolong jangan jadikan sekolah pusat butik pakaian.

ZAIED

Penurunan harga barang pinggir penduduk kampung


Oleh Jami'ah Shukri

KERAJAAN melancarkan beberapa strategi untuk merangsang ekonomi negara dan mengurangkan beban rakyat termasuk penyaluran pakej rangsangan ekonomi dan penurunan harga minyak buat kali kelima hingga harga petrol kini RM2 seliter.

Tetapi kita belum lagi mendengar pengumuman dibuat sektor perniagaan untuk menurunkan harga barangan dan perkhidmatan. Apabila harga minyak naik sebelum ini, bermacam-macam alasan diberikan, untuk 'menghalalkan' mereka menaikkan harga barang, tetapi berdiam diri atau mengambil masa lama apabila harga minyak diturunkan.

Cuma beberapa pasar raya besar seperti Giant, Tesco dan Carrefour baru-baru ini mengumumkan penurunan harga pelbagai jenis barangan makanan dan keperluan harian pada kadar sekurang-kurangnya 30 peratus sejajar dengan penurunan harga minyak di pasaran dunia dan tempatan bertujuan meringankan beban masyarakat yang turut menerima tempias kelembapan ekonomi global.


Tetapi pasar raya besar itu terletak di bandar, dan masyarakat desa dan ceruk pedalaman masih tetap setia membeli barangan daripada kedai runcit dan pasar raya kecil, dengan harga masih sama seperti beberapa bulan lalu.

Pergilah minum dan makan di restoran atau kedai kopi sama ada di bandar atau kampung, harganya masih sama. Apakah tindakan kerajaan untuk menurunkan harga itu? Lihatlah harga ikan dan sayur di pasar, sesetengahnya terus melambung tanpa peduli harga minyak sudah diturunkan beberapa kali.

Pihak berkuasa termasuk menteri rasanya tidak boleh lagi cuma meminta peniaga menurunkan harga. Pemantau amat perlu dan pergilah periksa harga di kedai makan, restoran dan kedai runcit bagi melihat sendiri harga jualan.

Jika pun tidak boleh turunkan harga dengan mendadak, lakukan beransur-ansur dan sekarang kita lihat pasar raya besar sudah bertindak ke arah itu. Pengusaha pasar raya besar sudah membuktikan harga barang boleh dikurangkan, maka peniaga di kedai biasa juga perlu berbuat demikian.

Bermula dengan Giant yang menyaksikan penurunan 1,200 jenis barangan keperluan sehingga 30 peratus daripada harga asal diikuti Tesco, dua hari kemudian bagi 50 jenis barang keperluan harian sehingga 47 peratus seperti ikan, daging, ayam, sotong, tomato, beras, bawang kecil, bawang besar dan sayur-sayuran, ia sekurang-kurangnya memberi sedikit kelegaan kepada pengguna yang masih menghadapi tekanan berikutan kenaikan harga minyak dan bahan makanan dunia.

Langkah menurunkan harga itu sekali pandang mempamerkan keprihatinan pasar raya terbabit terhadap keperitan ditanggung pengguna. Kerjasama Giant dan Tesco yang terawal melancarkan kempen penurunan harga berjaya menarik minat beberapa lagi pasar raya lain termasuk Carrefour dan Mydin untuk melakukan perkara sama dan sedang berunding dengan pihak berkuasa untuk menyertai kempen itu. Selain itu, Jaya Jusco turut digesa mengikut langkah pasar raya terbabit demi kepentingan pengguna.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad, menyifatkan perkembangan itu sebagai fenomena positif kerana penurunan harga barang didapati berlaku lebih awal sebelum kementerian mengadakan pertemuan dengan pengeluar, pembekal, peniaga dan persatuan pengguna untuk membincangkan kaedah menurunkan harga, pada bulan ini.

Penurunan harga bahan makanan pasti meringankan beban pengguna dalam suasana kerajaan mahu melihat berlaku penurunan harga bagi bahan keperluan harian.

Ketua Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata penurunan harga barangan di pasar raya itu dianggap sebagai langkah sementara untuk mengurangkan beban kepada pengguna.

Sambil menegaskan, penurunan harga barangan makanan dan keperluan harian itu dianggap tidak menyeluruh kerana hanya dinikmati penduduk bandar yang mudah mengunjungi pasar raya itu, manakala penduduk luar bandar tidak mempunyai peluang membeli-belah di tempat seumpama itu.

Jika dilihat, penurunan harga barangan itu dilakukan secara bermusim dan bukan satu perkara baru sebaliknya pernah dilakukan sebelum ini dan dianggap sebagai kempen ulangan saja.

"Bagi pengguna berpendapatan rendah dan sederhana yang tinggal di kota, ia sekurang-kurangnya dapat mengurangkan sedikit bebanan, tetapi bagi penduduk luar bandar mereka tidak merasainya kerana hanya membeli barangan keperluan harian di kedai runcit selain pasar raya kecil.

"Justeru, Fomca mencadangkan supaya kerajaan mengadakan perundingan dengan mendesak peniaga dan pengeluar syarikat multinasional yang menghasilkan produk untuk keperluan dalam negara turut menurunkan harga barang.

Bagaimanapun, Fomca berpendapat penurunan harga barangan itu bersifat sementara untuk tempoh tertentu dan apabila kenaikan harga minyak dan bahan makanan di pasaran dunia ia turut memberi kesan kepada harga barangan tempatan.

Negara masih bergantung kepada makanan import untuk kebanyakan jenis barangan makanan utama. Ini sudah pasti memberi impak sekiranya berlaku kenaikan harga di pasaran dunia, sedangkan penduduk tempatan membelanjakan kira-kira 50 peratus daripada pendapatan untuk makanan berbanding negara maju hanya 14 peratus.

Sehubungan itu, kerajaan perlu menyediakan strategi jangka pendek dan panjang sebagai langkah selamat memastikan rakyat tidak terasa beban dengan sebarang kenaikan harga barangan makanan pada masa depan.

Bagi Fomca, kerajaan perlu memperluaskan Sistem Rangkaian Runcitan seperti yang pernah dilakukan Pernas Edar yang menjadi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi menjadi pemborong barangan keperluan utama untuk memastikan bekalan makanan itu dipasarkan dengan harga berpatutan.

Selain itu, Sistem Rangkaian Runcitan itu boleh dijadikan penanda aras mengawal harga barang di pasaran, manakala pengguna pula mempunyai pilihan dalam berbelanja.

Dengan penurunan harga minyak di pasaran dunia iaitu AS$60 setong pasti memberi perkhabaran gembira kepada rakyat. Sejak kenaikan harga minyak tiga bulan lalu, rakyat gelisah kerana terpaksa memperuntukkan perbelanjaan tinggi untuk minyak sehingga memaksa kerajaan melakukan penstrukturan semula harga.

Mohd Yusuf berkata, jalan terbaik adalah dengan menyediakan sistem pengangkutan awam yang cekap dan mengurangkan penggunaan kenderaan sendiri, selain insentif membabitkan golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang banyak menggunakan minyak dan petrol.

PPSMI era kematian bahasa Melayu


Oleh Salbiah Ani

PENGAJARAN dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) akan mengakibatkan bahasa Melayu mati di negara yang mendaulatkannya sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi negara meskipun ia dilindungi oleh pelbagai akta dalam Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan Presiden, Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Kamal Shukri Abdullah Sani, demi masa depan bahasa Melayu yang sudah digunakan sejak 1972 hingga 2002 di sekolah rendah sehingga ke universiti pada semua peringkat, ia perlu diselamatkan segera.

“Bila semua mata pelajaran yang berkaitan dengan sains dan teknologi diajar dalam bahasa Inggeris, maka ia adalah saat kematian pada bahasa Melayu dan pemimpin perlu tengok bahaya daripada dasar PPSMI. Pemimpin Melayu perlu ingat perkara ini kerana bukan pelajar saja yang teraniaya.


“Justeru PLM menyokong keputusan Pena agar PPSMI dirujuk kepada Sultan dan cadangan Yayasan Karyawan agar isu itu dibawa pada Perhimpunan Agung Umno Mac 2009, malahan pada Majlis Raja-raja Melayu,” katanya ketika menghubungi Sastera.

Beliau yakin bahawa langkah terbabit perlu kerana hampir semua pemimpin Melayu tidak peduli pada kematian bahasa Melayu sebagai bahasa sains dan teknologi sedangkan penggunaannya sudah terbukti tidak menyekat sesetengah kursus di universiti awam mendapat pengiktirafan antarabangsa.

“Saya masih ingat lagi Ijazah Pergigian di Universiti Malaya (UM) mendapat pengiktirafan badan antarabangsa di United Kingdom pada zaman UM diterajui Prof Datuk Dr Hashim Yaacob dan ini adalah pengiktirafan kepada bahasa Melayu juga,” katanya.

Kementerian Pelajaran diingatkan agar tidak tenggelam dalam hasil ‘kajian’ ala pembesar lewat cerita Maharaja dengan Baju Baru yang memberi kata-kata muluk bagi menyedapkan hati pemimpin

sehingga sanggup membiarkan orang atasan mereka berbogel di khalayak ramai.

Apa juga keputusan UPSR 2008, hakikatnya dua bahasa iaitu Melayu dan Inggeris digunakan untuk PPSMI oleh sesetengah guru khususnya di sekolah kawasan pinggir dan luar bandar kerana mereka sendiri tidak mampu mengajar dalam bahasa Inggeris.

PLM berharap pemimpin peka dengan kematian bahasa Melayu kerana hakikatnya bahasa terbabit sudah digunakan sejak 30 tahun lalu dan ia seiring dengan usaha penciptaan istilah baru dalam pelbagai bidang ilmu yang diamanahkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Malah, penciptaan istilah baru ini perlu ditingkatkan lagi dan jika tidak digunakan dalam pengajaran, maka tiada keperluan untuk badan berkanun terbabit untuk mencipta dan menerbitkan buku sains dan teknologi dalam bahasa Melayu seperti ditangani DBP dan Penerbit Universiti

“Untuk benar-benar memperkasakan bahasa Melayu, kita perlu guna bahasa ini dalam semua bidang ilmu. Rujuk kepada teras satu, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan di institut pengajian tinggi dalam usaha membina negara bangsa iaitu bangsa Malaysia dan negara Malaysia.

“Ia mesti berteraskan bahasa kebangsaan sebagai jati diri negara dan tiada bahasa lain yang boleh mengambil alih teras kepada bangsa di Malaysia. PLM tidak menolak pembelajaran bahasa asing dan berasa kesal serta sedih dengan sikap pemimpin Melayu berdolak-dalik,” tegasnya.

PLM kesal banyak pemimpin Melayu yang tidak bersedia memenuhi permintaan majoriti berhubung perkara ini demi menyelamatkan kedudukan politik peribadi dan bukan bangsa demi bangsa mahupun bahasa Melayu.

“Ini bukan soal emosi. Ini soal jati diri, teras dan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam konteks lebih luas. PPSMI akan mengakibatkan bahasa itu terus digunakan di IPT dan ini mengakibatkan bahas Melayu akan terpinggir,” katanya.

Pandangan Tun Dr Mahathir berhubung PPSMI selepas Wacana Dilema Melayu Sabtu lalu, disifatkan Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia, Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU),

Prof Dr Awang Sariyan, sebagai hujah yang tergelincir daripada hakikat.

“Ketika Tun Mahathir membuat keputusan untuk melaksanakan PPSMI, tiada kajian yang dibuat bagi menunjukkan bahawa kelemahan penguasaan Sains dan Matematik di kalangan pelajar Melayu disebabkan oleh pengajarannya dalam bahasa Melayu,” katanya yang mengulas perkara itu melalui kiriman e-mel kepada Sastera.

Prof Awang mengingatkan Tun Mahathir bahawa negara sebenarnya sudah melahirkan ribuan sarjana berwibawa dalam bidang sains dan teknologi selain bertaraf antarabangsa melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan yang berteraskan bahasa Melayu.

“Adakah Tun Mahathir bermaksud Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang digubal dan dilaksanakan oleh kerajaan sejak merdeka adalah dasar negara yang silap? Jika benar, adakah kesilapan itu patut diatasi dengan keputusan bersifat ad hoc?” soalnya.

Prof Awang berkata, bahasa Inggeris asalnya hanya bahasa vernakular, bukan diturunkan dari langit sedia sempurna dan sebelum menjadi bahasa besar, orang Eropah bergantung pada bahasa Latin serta Perancis dalam bidang ilmu, pentadbiran, undang-undang mahupun ekonomi.

“Demikianlah maka bahasa Melayu perlu diberi waktu untuk menjadi mantap semula sebagai bahasa ilmu, termasuk dalam bidang sains dan teknologi. Amat malang apabila kita sendiri tidak mempunyai perancangan dan kesediaan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa sains dan teknologi.

“Kita sekadar berpuas hati menyaksikan bahasa Melayu menjadi bahasa percakapan, seperti yang dibanggakan oleh Tun Mahathir mengenai kebolehannya menggunakan bahasa Melayu walaupun belajar di sekolah Inggeris,” ujarnya.

IPT perlu utama nilai murni, persaingan global



USAHA melahirkan graduan berkualiti memerlukan gandingan dan kerjasama pelbagai pihak. Sehubungan itu, institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan yang menjadi wadah pelajar menimba ilmu seharusnya menilai kembali program pengajian supaya turut memberi penekanan kepada unsur pembentukan nilai murni dan jati diri pelajar, bagi membolehkan mereka dibekalkan ilmu dan pengalaman mencukupi sebelum melangkah ke pasaran kerja dan berbakti kepada masyarakat. Nilai berkenaan amat perlu diterapkan bagi mengukuhkan modal insan yang menjadi aspek penting pembangunan negara. Ini bermakna nilai murni yang diterima masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini, boleh digarap dalam semua program yang ditawarkan di IPT bagi melahirkan pelajar yang bukan saja cemerlang dalam bidang akademik tetapi mempunyai sahsiah tinggi dan mampu bersaing dalam apa juga bidang yang diceburi. Kita menyokong saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kelmarin yang mahukan IPT mengisi komponen tertentu dalam setiap program dan kurikulum pengajian bagi memupuk nilai murni, membina kemahiran dan memperkasakan keyakinan diri pelajar. Ini perlu bagi memastikan selepas tamat pengajian, graduan dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat, alam pekerjaan dan seterusnya berkhidmat untuk kepentingan diri, keluarga dan negara.

Usaha mengemaskini sistem pendidikan kebangsaan dengan memperbaiki kurikulumnya diharap mampu membawa masyarakat dan negara berhadapan cabaran global. Dengan memasukkan komponen kemahiran berkomunikasi, penggunaan teknologi maklumat, pemikiran kritis dan kreatif serta asas pengurusan di dalam program pengajian yang ditawarkan, sahsiah pelajar dapat dibentuk selari dengan kehendak pembangunan modal insan negara. Dalam pada itu, nilai murni termasuk jujur, amanah, hormat menghormati serta patuh kepada agama dan undang-undang negara dapat membentuk jati diri pelajar yang seimbang dari segi rohani, jasmani dan emosi. Dengan memasukkan elemen berkenaan, kita percaya apabila pelajar ini keluar kelak, mereka bukan saja mampu membantu membangunkan negara mengikut acuan yang kita sasarkan, malah mempunyai kecemerlangan tersendiri.

Kita tidak mahu melihat IPT kita hanya menjadi kilang untuk mengeluarkan tenaga kerja bagi memenuhi pasaran kerja dan industri, sebaliknya pusat pengajian tinggi berkenaan seharusnya menjadi tempat pelajar membina sahsiah diri. Asas sebenar ketika melanjutkan pelajaran di IPT iaitu menuntut ilmu sebagai persediaan memasuki alam pekerjaan selari dengan bidang masing-masing selain membuat penyelidikan dan meneruskan pengajian untuk menjadi tenaga pengajar di universiti. Apa yang lebih penting ialah menjadi manusia bertanggungjawab kepada diri, masyarakat, agama dan negara. Kita bimbang tanpa penerapan nilai murni dan kemahiran diri, pelajar yang keluar mudah terdedah kepada pelbagai cabaran termasuk anasir yang boleh mengeruhkan lagi perpaduan yang menjadi isu utama masyarakat dan negara masa kini. Kini, sudah menjadi tanggungjawab IPT memastikan puluhan ribu pelajar yang menamatkan pengajian setiap tahun menjadi tenaga modal insan yang memenuhi syarat yang diperlukan untuk bersama-sama membangun dan memajukan negara.



Ruang bernafas untuk ekonomi tempatan


Malaysia tidak dapat lari daripada turut menerima kesan daripada kegawatan ekonomi yang melanda Amerika Syarikat dan Eropah.

Walaupun kita sudah mempunyai pengalaman mengharungi krisis ekonomi sejak beberapa tahun lalu, tetapi kita perlu faham bahawa keadaan sekarang adalah berbeza dengan kemelesetan pada tahun 1984-1986 dan kegawatan ekonomi 1997-1998.

Tahun ini, ekonomi negara tetap tumbuh namun perkembangannya agak perlahan.

Meskipun bahang sebenar kemelesetan belum lagi 'membakar' tetapi keperitan sudah mulai menyelinap dalam kehidupan seharian masyarakat negara ini dan ia tidak sukar untuk dirasai sekarang.

Sebab itu langkah menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang diumumkan oleh Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz bertujuan memberikan sokongan tambahan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Hakikatnya, keseluruhan rakyat sebagai pengguna perlu bersiap sedia menangani krisis ekonomi global, malah bertanggungjawab memulihkan keadaan ekonomi di negara ini.

Isnin lalu ekoran daripada BNM menurunkan OPR, beberapa buah bank turut bertindak mengurangkan kadar pinjaman asas (BLR).

Dalam menghadapi krisis, jika BLR dinaikkan oleh institusi kewangan ia hanya membebankan para pengguna. Sebaliknya, langkah bank-bank tempatan menurunkan kadar faedahnya akan memberikan 'ruang bernafas' bagi ekonomi tempatan.

Menurunkan BLR kini menjadi satu alat kewangan yang diterima oleh Bank Dunia sebagai penawar pemulihan bagi negara-negara yang terjejas oleh kemelesetan ekonomi.

Kita percaya penurunan kadar faedah akan menyebabkan lebih banyak pinjaman diberikan bagi perniagaan di samping pada waktu yang sama ia menambah mudah tunai dalam sistem perbankan.

Keputusan Bank Negara ini dibuat kerana prospek pertumbuhan ekonomi global terus terjejas dan beberapa negara maju sudah mengalami kemelesetan susulan daripada keadaan buruk sistem kewangan masing-masing.

Kemerosotan permintaan global yang ketara, kejatuhan harga komoditi yang besar dan penurunan harga ekuiti yang nyata memberi tekanan terhadap prospek pertumbuhan ekonomi serantau.

Dalam persekitaran itu, inflasi global mula menurun dan keadaan ini dijangka berterusan dan ia mendorong pihak berkuasa menyediakan sokongan kecairan secara besar-besaran kepada pasaran kewangan dan mengambil langkah rangsangan fiskal serta melonggarkan dasar kewangan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi.

Kita percaya langkah yang diambil ini adalah betul dan tepat. Oleh itu, kita minta kerajaan supaya terus memastikan kadar faedah tidak dinaikkan.

Malaysia masih memerlukan pendekatan yang pragmatik dan bijaksana dalam mengimbangi cara mentadbirkan kadar faedah.

Kita sedar, untuk memperbaiki sebarang ekonomi bukan satu kerja yang mudah. Ia lebih mencabar apabila diambil kira berdasarkan kepada keadaan tempatan dan kebimbangan serantau serta seluruh dunia ketika ini.

Hentikan budaya momokan Jumaat


malam Jumaat yang penuh kemuliaan untuk umat Islam semakin dicemari. Daripada momokan mitos, cereka layar panggung hinggalah ke kaca televisyen, sentimen malam Jumaat sering disalah ertikan. Malam barakah yang sepatutnya dihiasi dengan amal ibadah, yasin dan tahlil, tampak lebih mesra di kalangan umat Islam khususnya Melayu sebagai malam yang seram lagi menakutkan.

Bergenerasi lamanya mungkin datuk, nenek kita telah menjadikan cerita-cerita seram berkaitan malam Jumaat ini sebagai mekanisme untuk menakut-nakutkan kita yang nakal semasa kecil dulu. Sedar atau tidak, cerita-cerita ini semakin mengakar dalam hidup orang Melayu, hatta hendak melintas pokok besar pun masih hendak meminta izin pada 'datuk' yang menjaganya.

Syarikat-syarikat produksi filem yang mengeluarkan lambakan cerita-cerita 'hantu' dan seram kepada syarikat televisyen perdana juga menyumbang kepada budaya negatif ini.

Menambahkan lagi perisa dan rencah kepada 'penghayatan' cerita ini, sudah tentu slotnya ditayangkan pada malam Jumaat, malam yang kononnya amat 'misteri' bagi penggemar-penggemar alam mistik. Amat malang sekali apabila malam yang sepatutnya diisi dengan fadilat kebesaran hari Jumaat, siri-siri diskusi ilmiah dan slot-slot tazkirah diganti dengan pengisian mitos dan melalaikan.

Makhluk

Islam tidak pernah menafikan akan kewujudan makhluk halus dan alam ghaib. Islam dari awal lagi telah meletakkan garis yang jelas untuk kita percaya akan kewujudannya dan dalam masa yang sama melarang kita takut kepadanya. Ketakutan kita yang paling hakiki hanyalah mutlak kepada Allah SWT.

Minat yang mendalam kepada perkara ghaib ini jelas berlaku di kelas-kelas agama di sekolah, bila membincangkan tentang bab alam ghaib dan makhluk halus, yang menjadi perhatian pelajar adalah bagaimana rupa bentuk makhluk yang mengerikan itu (khususnya jin dan syaitan) dan bukannya kepada hal-hal yang memberitahu kenapa Allah SWT menjadikan 'mereka' dan perihal bahawa 'mereka' juga wajib beriman kepada-NYA.

Kecenderungan inilah juga yang dipercayai menjadi penyelesaian mudah bagi guru-guru menayangkan 'sajak kematian' kepada pelajar naif semuda 7 tahun di beberapa buah sekolah baru-baru ini.

Kesan langsung akibat pendidikan dan rangka bina kehidupan seseorang yang selama ini diisi dengan elemen-elemen seram dan tahyul, tidak dapat tidak akan melahirkan generasi yang penakut.

'Ketakutan buatan' inilah yang menjadikan generasi muda kita pada hari ini seakan-akan takut mencuba, takut gagal, takut ke depan, hatta mahu memberi cadangan pun takut.

Justeru, budaya memomokkan anak bangsa kita dengan ketakutan wajar dihentikan segera. Ia harus bermula dengan kesedaran ibu bapa yang mendidik anak-anak dengan kasih sayang dan ketegasan dan bukannya dengan momokan ketakutan dan tahyul.

Pihak Kementerian Penerangan juga wajar mengeluarkan arahan tegas agar setiap syarikat televisyen menghentikan menyiarkan tayangan berunsur seram pada setiap malam Jumaat demi menghormati hari yang mulia itu.

Tidak dinafikan 'hit' atau respons penonton muda terhadap rancangan seperti ini memang tinggi, serta slot iklan di celah-celah cerita seram itu juga menyumbang kepada 'pengayaan' dana syarikat televisyen gergasi negara. Sedarlah, setiap satu saat tayangan yang sarat dengan budaya negatif ini akan memberi kesan langsung kepada pembentukan akhlak generasi muda kita.

Bukan Islam jangan pertikai fatwa


PENGUMUMAN Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai amalan senaman yoga baru-baru ini amat jelas. Tiada yang mengelirukan jauh sekali perlu disimpulkan sebagai menyinggung perasaan mana-mana pihak.

Keputusannya juga mudah. 'Amalan senaman yoga secara sistematik iaitu membabitkan gerakan fizikal, bacaan mentera dan matlamat penyatuan diri dengan tuhan adalah bertentangan dengan syariat Islam'.

Justeru yang diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan ialah amalan yoga secara sistematik kerana dibimbangi akan menghakis akidah umat Islam jika pengamalnya meneruskan amalan itu ke peringkat lebih tinggi.

Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin yang juga Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan menegaskan, amalan fizikal iaitu senaman dalam yoga tanpa unsur-unsur mentera dan pemujaan pada zahirnya tidak menjadi kesalahan.

Klausa seterusnya berbunyi, bagaimanapun ia tidak digalakkan kerana dikhuatiri boleh menghakis akidah seseorang Muslim memandangkan ia merupakan salah satu komponen daripada keseluruhan amalan yang diharamkan itu.

Lebih penting lagi, pengharaman itu hanya terpakai kepada orang Islam di negara ini, manakala penganut agama-agama lain bebas untuk beryoga sama ada secara sistematik atau senaman biasa.

Tiada tuntutan jauh sekali paksaan kepada orang bukan Islam untuk mematuhi keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan kerana seperti yang diketahui umum keputusan tersebut hanya mengikat umat Islam di negara ini.

Seperti mana jika ada keputusan yang dibuat oleh majlis agama Buddha, Hindu atau Kristian, maka ia hanya terpakai kepada penganut agama tersebut serta mengecualikan umat Islam. Dan umat Islam pun tidak pernah campur tangan jauh sekali mempersoalkan hak mereka untuk mengamalkan kepercayaan mereka. Sebab itu Malaysia yang berbangga dengan status negara Islamnya juga terkenal dengan sambutan Thaipusam antara terbesar di dunia. Itulah toleransi agama di Malaysia yang berasaskan kepada penduduk pelbagai kaum justeru hak setiap kaum sentiasa dipelihara dan dihormati.

Seperkara lagi biarpun keputusan mengharamkan amalan senaman yoga telah diputuskan di peringkat kebangsaan tetapi umat Islam masih boleh 'menepuk dada, tanya selera'. Seperti mana di dalam al-Quran secara terang-terangan mengharamkan arak, tetapi masih ada kalangan umat Islam yang berbangga meneguk minuman tersebut.

Pengharaman arak, babi misalnya tidak sedikit pun bertujuan menyinggung perasaan penganut agama lain, malah kesemuanya itu diterima secara terbuka.

Tetapi tidak dalam kes fatwa mengenai yoga. Keputusan yang mudah lagi nyata telah diputarbelitkan dari pelbagai sudut sehingga menimbulkan persoalan mengapa orang bukan Islam beria-ia menunjukkan bantahan sedangkan pengharaman itu langsung tidak membabitkan mereka.

Majlis Fatwa Kebangsaan telah berusaha melaksanakan fungsinya untuk menasihatkan umat Islam tentang amalan yoga bagi memelihara akidah mereka.

Selebihnya terpulang kepada individu untuk menerima pakai fatwa tersebut sementelah Majlis Fatwa sendiri tidak ada kuasa untuk meletakkan notis di pusat-pusat yoga bahawa umat Islam dilarang memasuki tempat seperti itu.

Dan jika benar amalan yoga di negara ini tidak mempunyai unsur-unsur sesat lagi menyesatkan, maka tidak sepatutnya timbul kebimbangan di kalangan pengusaha pusat senaman yoga bahawa keputusan itu bakal meranapkan perniagaan mereka.

Namun hampir setiap hari ada sahaja pihak yang mempertikaikan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan, kononnya mengguris hati kumpulan tertentu biar pun tidak diketahui dari sudut mana mereka terguris.

Laporan akhbar terutama media asing menanggapi pengharaman itu secara keseluruhan sedangkan ia telah diperincikan oleh Majlis Fatwa satu persatu. Perkara itu langsung tidak diberi perhatian.

Mengapa tinjauan pendapat kalangan pengamal yoga bukan Islam diperbesar-besarkan sedangkan mereka tidak disekat jauh sekali dilarang daripada meneruskan amalan tersebut.

Begitu juga kepada orang Islam yang 'percaya' serta 'yakin' bahawa amalan yoga (tanpa mantera, aktiviti fizikal dan matlamat penyatuan diri dengan tuhan), tidak akan memesongkan akidah mereka maka ia boleh saja diteruskan sambil mengingati nasihat supaya mereka berhati-hati.

Selepas menunjukkan bantahan secara terbuka terhadap keputusan Majlis Fatwa, timbul pula isu kononnya keputusan tersebut ditolak di peringkat negeri.

Laporan tersebut dibesar-besarkan, kononnya ada negeri yang menangguhkan pengharaman yoga dengan menggunakan perkataan tidak bersetuju dan sebagainya.

Sedarkah orang yang menulis itu bahawa keputusan mengenai fatwa yoga yang dilakukan pada muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke-83 di Kota Bharu Kelantan pada 22 hingga 24 oktober lalu disertai oleh wakil mufti dari setiap negeri.

Cumanya, oleh kerana hal ehwal Islam adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri maka keputusan fatwa mesti dibincangkan pula di peringkat jawatankuasa negeri dan kemudian dirujuk kepada Raja masing-masing.

Oleh itu seperti yang ditegaskan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Islam Malaysia (Jakim), tidak ada perbezaan pendapat pada peringkat negeri berhubung keputusan pengharaman senaman yoga.

Cuma pihak-pihak tertentu bekerja keras menonjolkan kononnya ada perbezaan pendapat berhubung pengharaman tersebut tanpa diketahui apakah matlamat mereka yang sebenar.

Datuk Wan Mohamad Datuk Sheikh Abdul Aziz turut menjelaskan bahawa rungutan pelbagai pihak mengenai fatwa bukan bermakna ada perbezaan pendapat tetapi lebih kepada prosedur pelaksanaannya di bawah enakmen setiap negeri.

Ini kerana sama ada pandangan muzakarah akan dijadikan fatwa yang diwartakan, itu terpulang kepada kerajaan-kerajaan negeri.

Adalah wajar bagi umat Islam dan bukan Islam melihat apa sebenarnya tujuan fatwa dan apa perbezaan keputusan fatwa yang diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dengan fatwa yang dikeluarkan di peringkat negeri.

Portal e-fatwa yang menjadi rujukan rasmi fatwa di Malaysia menawarkan penjelasan panjang lebar iaitu 'keputusan fatwa' adalah keputusan mengenai sesuatu hukum yang dikeluarkan selepas sesuatu persidangan atau muzakarah sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan.

Manakala 'fatwa' adalah keputusan fatwa yang telah diwartakan oleh kerajaan negeri.

Keputusan fatwa dari segi bahasanya ialah memberi jawapan/penjelasan bagi sesuatu masalah agama. Manakala dari segi istilahnya pula penjelasan mengenai hukum syarak oleh Mufti bagi sesuatu masalah agama berdasarkan dalil syarak sebagai jawapan kepada sesiapa yang bertanya, baik secara sendirian atau berkumpulan.

Manakala fatwa ialah keputusan fatwa yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Mufti dan telah diwartakan oleh kerajaan negeri bagi proses penguatkuasaan undang-undang.

Proses mengeluarkan jawapan dilakukan secara berjemaah sama ada di peringkat negeri ataupun di peringkat kebangsaan.

Islam mensyariatkan umatnya bertanya kepada orang yang berilmu sekiranya mereka mendapati sesuatu masalah itu tidak jelas hukumnya.

Hakikatnya fatwa adalah satu unsur penting dalam kehidupan masyarakat Islam. Kemajuan sains dan teknologi yang dinamik di Malaysia telah menimbulkan beberapa persoalan baru yang memerlukan huraian menerusi fatwa.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam akan mengundang pihak tertentu mengikut bidangnya untuk berbincang dalam usaha menyelesaikan sesuatu permasalahan.

Para cendekiawan yang berpengalaman juga merupakan ahli di dalam jawatankuasa itu bagi tujuan memperluaskan perbincangan dan sebagai usaha menjadikan mereka pelapis di masa hadapan.

Prosedur bagaimana fatwa dikeluarkan.

Perlu dikaji dan dibentangkan di dalam jawatankuasa.

Lazimnya mengikut pendapat muktamad dalam mazhab Syafie.

Jawatankuasa Fatwa berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Mengikut kaedah fiqh Al-Aulawiyyat iaitu meletakkan sesuatu pada kedudukan yang sewajarnya sama ada dari segi hukum, nilai mahupun pelaksanaannya. Perkara atau amalan yang lebih utama hendaklah didahulukan berdasarkan penilaian syariat dan akal.

Jawatankuasa fatwa akan merujuk kepada pendapat-pendapat sahabat, tabiin, imam-imam mazhab dan fukaha dengan mengadakan penelitian dalil-dalil dan implikasinya.

25 November 2008

Krisis terkini ekonomi dunia bukti kegagalan IMF


Oleh Jamhariah Jaafar

DUNIA sekali lagi terjerumus dalam sistem kapitalisme melampau dan 'pemikiran kolot'. Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) juga gagal mengesan lebihan belanja keterlaluan dalam sistem kewangan antarabangsa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menggunakan pentas Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) untuk meluahkan tempelakan Malaysia kepada agensi kewangan dunia yang enggan menerima cadangan Malaysia sejak 10 tahun lalu - supaya membuat pembaharuan kepada struktur sistem kewangan yang dikawal selia oleh IMF dan institusi Bretton Woods lain.

Krisis kewangan yang berulang dalam skala dan impak lebih, seperti kata Najib membuktikan pemikiran kolot IMF sudah tidak lagi relevan - sistem kewangan yang ada sekarang sudah gagal untuk diguna dalam ekonomi dan dagangan baik dalam negeri atau antarabangsa.


Keputusan Bretton Woods selepas Perang Dunia Kedua ialah semua mata wang negara di dunia ditentukan nilainya mengikut nilai tukaran dengan mata wang Amerika Syarikat.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, adalah satu-satunya pemimpin dunia ketika krisis kewangan 1997/98 yang berani menyanggah cadangan Bank Dunia dan IMF, dan menggunakan formula untuk mengawal Ringgit Malaysia dengan tidak diniagakan di luar negara.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Husni Hanadzlah adalah antara rakyat Malaysia pertama membidas IMF dan Bank Dunia kerana gagal mewujudkan satu arkitektur kewangan antarabangsa yang mantap, dalam usaha mengelak daripada berulangnya kemelesetan ekonomi yang kini semakin pantas memuramkan ekonomi global.

"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, IMF lebih berminat menggaris peraturan dana Kekayaan Kedaulatan; tanpa langsung menghiraukan desakan negara Asia supaya menumpukan perhatian kepada pengawasan Dana Lindung Nilai yang menjadi punca utama krisis kewangan Asia pada 1998.

"Dan krisis terkini terbukti IMF gagal untuk memberi amaran kepada negara dunia mengenai kemungkinan berlaku krisis," tegasnya ketika menyertai Persidangan Kesatuan Antara Parlimen yang diadakan di Geneva, baru-baru ini.

Menyedari kekurangan kedua-dua badan utama kewangan dunia, Husni meminta semua Parlimen dunia mendesak supaya perubahan dilakukan di peringkat kepimpinan Bank Dunia dan IMF.

"Hari ini kita semua tidak tahu sama ada krisis kewangan yang berlaku sudah berada di tahap paling serius, di pertengahan atau baru bermula. Kerana itu, dunia memerlukan kepimpinan lebih berkesan dan mantap di peringkat global... kita mesti mendesak supaya perubahan dilakukan di Bank Dunia dan IMF.

"Kami mahu Bank Dunia dan IMF menjadi institusi paling kukuh bagi menghadapi cabaran hari ini dan masa depan," katanya.

Institusi Bretton Woods diwujudkan selepas Perang Dunia Kedua bagi menangani pelbagai masalah untuk membina semula ekonomi dunia yang musnah. Perubahan dunia terlalu pantas, sedangkan sistem yang digunakan tidak berubah mengikut peredaran masa.

Desakan supaya konsep Bretton Woods dikaji semula semakin lantang, apa lagi selepas dunia mengalami krisis kewangan yang hampir melumpuhkan beberapa negara dunia pada akhir abad lalu dan dekad pertama abad 21 ini pula menghidangkan pelbagai masalah yang jauh lebih kronik.

Husni berkata, Bank Dunia dan IMF perlu insaf bahawa tugas mereka adalah untuk berkhidmat kepada masyarakat dunia tanpa sebarang perasaan bimbang atau berpihak - bukannya menjadi alat kepada satu atau dua kuasa dunia.

"Amat memualkan apabila IMF mengeluarkan kenyataan yang menumpukan perhatian kepada isu membabitkan pengurusan kewangan dengan mendesak negara yang mempunyai lebihan simpanan semasa, kebanyakannya di Asia, supaya menilai semula mata wang mereka � sedangkan tugas utama mereka adalah mengawasi isu pengurusan kewangan," bidas Husni.

Pengarah Urusan IMF, Dominique Strauss-Kahn, ketika bercakap kepada Lembaga Pengarah IMF di Mesyuarat Tahunan IMF-Bank Dunia, bulan lalu, mengakui hakikat bahawa dunia kini sedang mengalami krisis kewangan paling serius sejak era kemelesetan paling buruk pada 1930-an.

Justeru, kata Husni usaha terakhir untuk memulihkan keyakinan dunia kepada kedua-dua badan kewangan dunia ini beberapa langkah drastik perlu diambil dan mendahului semua usaha itu ialah pembentukan arkitektur kewangan global yang mampu untuk memberi layanan lebih adil dan saksama kepada semua negara dunia.

"Pada masa yang sama, kerajaan Amerika Syarikat mesti dipertanggungjawabkan terhadap krisis kewangan dunia yang berlaku hari ini. Kerajaan AS mesti menyediakan pakej kewangan yang kukuh untuk memulihkan kembali pasaran kewangan kepada normal bagi menyelamatkan negara lain yang turut menerima padah daripada krisis yang dicetus AS," kata Husni yang menjadi ketua delegasi Ahli Parlimen Malaysia ke mesyuarat itu.

Husni berkata, Malaysia bernasib baik kerana tidak ada institusi kewangannya terbabit dengan jenis pelaburan yang menjadi amalan kuasa dunia itu. "Tapi jika kita melihat jauh, kita perlu memastikan nasib seluruh negara dunia tidak diletakkan di dalam tangan hanya sebuah negara," katanya mengenai kesan domino krisis kewangan AS terhadap pasaran dunia.

Semua kerajaan yang terbabit dalam krisis kewangan ini mesti segera menangani masalah masing-masing, kerana krisis kewangan global yang berlarutan akan memberi impak besar ke atas ekonomi dan masyarakat dunia.

Selain itu, dunia mesti mendesak WTO (Pertubuhan Perdagangan Dunia) untuk kembali ke meja rundingan. Peraturan perdagangan yang kukuh dan adil akan meningkatkan dagangan dunia dan ia boleh mengurangkan kesan krisis kewangan ini.

Bank Dunia, IMF dan negara kaya mesti tampil untuk membantu kerajaan negara miskin, yang semakin menderita berikutan lonjakan harga minyak dan makanan.

"Rakyat bergantung kepada kerajaan dan kerajaan negara miskin yang tidak memiliki sumber kewangan kukuh untuk diagih kepada rakyat tidak mempunyai pilihan, bergantung kepada Bank Dunia, IMF dan negara kaya. Jadi, jangan ambil masa terlalu lama untuk menyalur semua bantuan ini," katanya.