Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

26 Oktober 2008

Nisriwani himpun kisah legenda puteri Melayu


JIKA dilihat secara luaran, tiada apa yang membezakan beliau dengan wanita-wanita lain yang pernah penulis temui sebelum ini. Mempunyai wawasan, bercita-cita tinggi dan mengimpikan sebuah kehidupan sempurna dan bahagia.

Namun, selepas hampir sejam menemu bual tuan punya badan, Nisriwani Yahaya, ada sesuatu yang berbeza dan menarik dalam dirinya yang mungkin sudah terhakis dalam diri sesetengah wanita lain- keinginan mempertahan dan memartabatkan warisan dan sejarah bangsa Melayu.

Bukti kepada kesungguhan tersebut termasuklah usaha menulis dan menyiapkan sebuah buku berjudul 101 Puteri Dunia Melayu - Sejarah dan Legenda pada tahun 2003. Buku tersebut menghimpunkan kisah puteri-puteri Melayu dari abad ketujuh hingga ke-20, termasuk Cik Siti Wan Kembang, Puteri Saadong dan Puteri Gunung Ledang.

Secara peribadi kata wanita kelahiran Seremban, Negeri Sembilan ini, buku yang dihasilkan bersama penulis Syed Zulfida SM Noor, antara yang memberi kepuasan sepanjang hidupnya.

Ini kerana, buku itu bukan sahaja bertujuan memberi penghormatan dan menghargai jasa serta pengorbanan mereka, lebih penting sifat-sifat terpuji yang dimiliki puteri-puteri ini boleh diteladani wanita lain.

“Biarpun tidak mendapat sebarang penajaan dan terpaksa mengeluarkan belanja sendiri ketika menulis buku tersebut, saya benar-benar bersyukur dan berpuas hati kerana pada akhirnya buku tersebut dapat juga dihasilkan,” ujarnya secara jujur ketika ditemui di pejabatnya, di Plaza Pantai, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Anggun berpakaian tradisional lengkap sepersalinan berwarna kuning bersulam emas pada bahagian dada, bagaikan memahami apa yang bermain dalam fikiran penulis, Nisriwani dengan senang hati menjelaskan kisah di sebalik pakaian yang digayakannya itu.

Beliau mengakui, ia merupakan hadiah daripada waris ketujuh, salah seorang puteri yang dipaparkan dalam buku tulisan beliau iaitu, Cut Nyak Dhien dari Acheh (1856-1908), sebagai tanda penghargaan kepada usaha beliau menulis tentang sejarah keturunan mereka.

Bercerita lanjut mengenai usahanya itu kata Nisriwani, segala-galanya bagai telah ditentukan oleh Tuhan.

Jika dilihat latar belakang pendidikan dan cara beliau dibesarkan, mungkin agak menyimpang daripada apa yang diperjuangkan hari ini.

Namun, keinginan untuk menulis kisah-kisah puteri sebagai rujukan kepada generasi akan datang bagaikan membuak-buak dalam dirinya.

Selepas mendapat ilham untuk menulis buku seumpamanya, beliau dipertemukan dengan Syed Zulfida yang banyak mengumpul bahan-bahan berkaitan.

Untuk menghasilkan buku berkenaan beliau mengambil masa kira-kira dua tahun termasuk membuat penyelidikan dan pembacaan sebelum kandungan ditulis.

Beliau dan Syed Zulfida turut membaca sekurang-kurangnya tiga buku berkaitan bagi setiap srikandi agar tulisan yang dihasilkan menyeluruh dengan merangkumi setiap latar belakang sejarah dan mitos, selain menyelidik melalui buku cerita, buku rakyat dan apa saja bentuk penulisan termasuk syair serta seloka yang pernah menyebut mengenai puteri ataupun srikandi tertentu.

Hidup dalam dunia Melayu

“Mungkin kita tak sedar sebenarnya satu ketika dulu ada ramai wanita yang pernah mengetuai pemerintahan sesebuah negara atau jajahan. Sebagai contoh, Cik Siti Wan Kembang yang pernah memerintah Tanah Serendah Sekebun Bunga atau negeri Kelantan.

“Malah, daripada 101 srikandi yang kita angkat di dalam buku ini, 52 daripadanya adalah ratu dan 22 pernah menjadi pemerintah jajahan besar suatu ketika dulu.

“Walaupun tiada catatan sejarah yang menulis mengenai mereka, penyelidikan yang dijalankan menunjukkan sebahagian besar daripada mereka ada tercatat dalam salasilah kerajaan tertentu,” katanya.

Di samping penulisan, buku itu turut menyingkap pakaian, salasilah dan amalan tradisi yang diamalkan masyarakat tertentu ketika hayat setiap srikandi berkenaan dari abad ketujuh hingga ke-18.

Bagi memudahkan pembacaan, buku yang boleh dibeli Muzium Negara itu mengklasifikasikan 101 puteri atau srikandi terpilih kepada lima kategori, iaitu kepemimpinan, sokongan dan sumbangan, berprinsip teguh, mitos dan disentuh keadaan atau wanita yang popular kerana kejadian tertentu.

Secara jujur juga kata Nisriwani, sikap dan keperibadian puteri-puteri yang ditulis sedikit sebanyak mempengaruhi dirinya secara tidak langsung baik melalui tutur kata mahupun tindakan dalam kehidupannya.

Kebanyakan puteri yang dipaparkan dalam buku tersebut hidup dalam dunia Melayu yang luas tanpa sempadan, minda yang terbuka, semangat yang kental dan perpaduan yang teguh sehinggalah kedatangan bangsa-bangsa kolonial Barat yang menyekat, memecah belah dan menyempitkan fikiran.

“Saya percaya jika kita berpegang kepada pada tekad dan semangat srikandi para puteri pada zaman silam, pasti kita akan mendapat iktibar, sumber inspirasi untuk membangun dan memperkasakan diri serta mempertingkatkan nilai murni dan peradaban bangsa kita,” ujarnya penuh makna.

Cik Siti Wan Kembang

Kesinambungan kepada usaha beliau itu tidak berakhir begitu sahaja, sebaliknya bagaikan sudah ditentukan sama seperti beliau mendapat ilham menulis dan menghasilkan buku tersebut, begitu juga dengan penubuhan Yayasan Dunia Melayu.

Pertemuan dengan bekas Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Tan Sri Kamal Salih yang kini Pengerusi Yayasan Dunia Melayu secara tidak langsung meniup semangatnya untuk terus memartabatkan seni, budaya, warisan dan sejarah bangsa.

Dilantik sebagai Pengarah Eksekutif di yayasan tersebut sejak 2004, memberi lebih peluang kepada beliau untuk meneruskan usaha -usaha memartabatkan seni warisan bangsa.

Pameran Royals & Arts serta Majlis Malam Amal Seni Diraja anjuran bersama Pertubuhan Pereka Bumiputera (BDA) yang pertama kali diadakan di ibu negara baru-baru ini juga antara usaha yayasan yang tidak boleh dipandang sebelah mata. Kejayaan acara ini adalah juga atas kerjasama dan sokongan yang amat baik dari kerabat-kerabat diraja dari sembilan buah negeri beraja di Malaysia.

Pameran hebat julung kali diadakan itu bagaikan menyingkap kisah di dalam istana diraja yang sarat bersama koleksi tidak terkira tinggi nilai kualiti, sejarah, nostalgia malah teringin benar diketahui rakyat yang melihat kepunyaan golongan yang menjadi keagungan Melayu.

Manakan tidak, sejak zaman silam, kerabat diraja memainkan peranan dalam mempelopori penggunaan dan penggalakan pembuatan produk kesenian dan kebudayaan menjadikan rakyat sentiasa dahaga dan berminat mengenai segala apa yang dilakukan dan dimiliki kerabat diraja.

Mengakui cukup mengagumi semangat juang dan keperibadian kesemua puteri Melayu itu terutama, Cik Siti Wan Kembang, bagi Nisriwani wanita tersebut disifatkan bukan sahaja seorang individu yang cantik menawan, halus budi bahasa, kuat beribadat tetapi juga mempunyai ilmu, keteguhan iman dan takwa.

Jika sebelum ini beliau merancang menghasilkan sebuah filem epik mengenai Cik Siti Wan Kembang dengan kerjasama sebuah syarikat penerbitan, bagaimanapun terpaksa menangguhkan hasrat tersebut memandangkan kos yang agak tinggi.

Bagaimanapun, beliau tidak berputus asa untuk terus menonjolkan kehebatan wanita tersebut dengan hanya menghasilkannya dalam bentuk teater biarpun terpaksa mengambil masa agak lama.

“Sekurang-kurangnya saya masih berpeluang meneruskan usaha-usaha mengangkat serta mempertahankan warisan bangsa biarpun terpaksa mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit.

“Saya berkeyakinan, jika usaha ini berjaya ia akan memberi satu dimensi dan semangat baru kepada semua wanita di negara ini,” ujarnya.

Masa mengubah rejim kewangan dunia


Johan Jaaffar

ZAMAN Kemelesetan Dunia tahun 1927 dan 1929 terbayang lagi: Gambaran pasaran yang merudum, nilai mata wang yang mengecil, pembuangan kerja beramai-ramai dan sistem kewangan yang hancur. Cuma masa itu, dunia belum dihuni oleh manusia seramai sekarang, nilai kekayaan tidak sebesar mana, planet ini masih belum terbuka luas sempadannya dan globalisasi masih impian peramal masa depan.

Hari ini globalisasi dan dunia tanpa sempadan mencorakkan dunia moden. Maklumat datang sepantas cahaya. Sistem kewangan dunia berangkai sifatnya dan apapun yang berlaku di satu penjuru dunia akan terasa kesannya di tempat lain. Maka itu implikasi dari merudumnya bursa-bursa utama dunia pada awal bulan ini pasti mempunyai implikasi luar biasa pada ekonomi dunia, sistem kewangan global dan masyarakat manusia seluruhnya.

Dalam masa dua hari - pada 6 dan 7 Oktober - kerugian di pasaran saham dunia bernilai AS$6,500,000,000,000 ($6.5 trilion atau RM21.4 trillion). Di Bursa Malaysia sahaja anggaran kerugian dalam masa seminggu dijangka RM57 bilion. Pada 19 Oktober sahaja, nilai kerugian di pasaran saham kita dijangka RM25 bilion. Dalam sehari itu, kita boleh membina lima buah Menara Berkembar Petronas atau tiga buah Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS). Begitulah buruknya keadaan pasaran saham yang sekali gus menjejaskan syarikat dan manusia yang bekerja di dalamnya.


Sudah terlalu lama pasaran saham bermaharajalela di atas prinsip kapitalisme yang mulai dipersoalkan. Malah inilah masanya orang mulai menanyakan tentang sistem kapitalisme itu sendiri, serta segala salah lakunya. Masalahnya, atas nama pasaran terbuka atau free market, pertimbangan yang dibuat selalunya bukan atas landasan kukuh atau fundamental yang sebenar. Spekulasi, andaian, khabar angin malah persepsi mencorakkan pasaran. Selalunya keutuhan syarikat, amalan kewangan yang terpuji, amalan tadbir urus yang baik dan nilai etika tidak pernah diberi perhatian.

Hero kapitalisme merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang membuat pulangan ratusan juta ringgit pada syarikat. Ada kalanya mereka menipu angka, memutar belit kenyataan dan menyalahgunakan kuasa. Tembelang mereka hanya terbongkar kemudian. Sebelum itu mereka diberikan ganjaran besar dengan bonus luar biasa dan kemudahan percuma yang terlalu banyak. Banyak syarikat yang menjadi senama dengan tokoh-tokoh ini. Memang tidak ada salahnya hal itu. Syarikat dan pemilik serta CEO memang menjadi sebahagian daripada imej malah jenama syarikat berkenaan. Ada kalanya mereka menjadi sebahagian daripada “branding” syarikat berkenaan. Mereka dewa baru kapitalisme.

Memang banyak daripada syarikat ini yang menjadi raksasa yang nilainya lebih besar dari banyak negara di dunia. Tidak menghairankan nilai syarikat raksasa multinasional (MNC) melebihi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) banyak negara di dunia. Mereka merupakan penakluk atau penjajah baru di dunia hari ini menggantikan penjajahan kolonial. Mereka menggaji ratusan juta manusia selain membayar cukai berbilion ringgit pada kerajaan yang menjadi tuan rumah. Bayangkan sekiranya syarikat-syarikat ini bermasalah.

Selain daripada itu manusia moden memulakan tabiat baru yang dianggap fesyen dan melambangkan status mereka - berhutang. Kemudahan pinjaman membolehkan mereka hidup melebihi kemampuan. Budaya berhutang tidak dicemuh, sebaliknya disanjung. Kemewahan dan hutang menjadi sama ertinya. Semakin banyak hutang semakin bergaya. Atau untuk bergaya, banyakkan lah berhutang. Ungkapan orang Melayu, biar papa asal bergaya, menjadi mantra baru masyarakat moden.

Di AS, setiap isi rumah secara purata mempunyai 13 kad kredit. Kad kredit menjadi lambang gaya baru dan membawakan prestij yang tersendiri. Rakyat AS banyak berhutang. Hutang bagi isi rumah di AS kini mencecah RM46.2 trilion dari hanya RM2.2 trilion pada tahun 1974. Di AS, dasar untuk membolehkan setiap orang memiliki rumah menyebabkan syarikat peminjam memberikan insentif yang begitu hebat. Ada yang menawarkan pinjaman tanpa bayaran mula atau tanpa bayaran balik selama 24 bulan. Setiap orang membeli rumah. Pinjaman perumahan tidak terkawal menjadi punca krisis kewangan di AS masa kini. Apabila peminjam gagal membayar, banyak syarikat pinjaman menghadapi masalah besar. Banyak yang jatuh bankrap.

Pada keseluruhannya AS merupakan negara berhutang. Pada tahun 1900 hutang negara pada tahap RM10 trilion dan jumlah menjadi dua kali ganda pada tahun 2000. Hari ini angka itu dipercayai mencecah RM33.6 trilion. Apa yang dilakukan oleh AS ialah mencetak lebih banyak duit atau meminjam lebih banyak lagi. Untuk memodali perang dan pengekalan kuasa sekutunya di Afghanistan dan Iraq, AS terpaksa meminjam lebih banyak lagi. Ini perang yang memakan belanja RM3.3 trilion setakat ini.

AS selama ini enggan mengenakan kadar faedah yang tinggi bagi mengekang pinjaman. Ubat pahit tidak baik untuk AS - itulah pendirian mereka. Maka itu wang dibuat di atas angin, kadangkala cagaran juga tidak dapat dipegang. “Leverage” digunakan sebagai makna lain bagi “hutang” - selalunya atas harta atau sumber yang belum tentu boleh dipegang atau punya nilai. Kita semua tahu ekonomi AS berkembang dengan “mengalih-alihkan” sumber sedia ada.

Hukum alam yang mengatakan berhutang mengikut kemampuan tidak diguna pakai lagi dalam kehidupan moden hari ini. Malaysia tidak terkecuali. Penggunaan kad kredit misalnya sudah sampai pada tahap yang membimbangkan. Begitu juga tabiat meminjam yang melampau menjadi budaya yang satu hari nanti akan menjerat leher peminjamnya. Sehingga krisis terjadi, pelanduk selalu melupakan jerat.

Moral ceritanya dunia harus mengubah cara. Satu rejim kewangan baru harus disediakan bagi menangani isu ini. Disiplin fiskal yang baru diperlukan. Begitu juga sikap baru Rizab Persekutuan AS, Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia bagi mengelakkan hal ini dari berulang. Pada waktu yang sama negara-negara G7 harus bersedia membuat perubahan besar sikap dan cara. Minggu lalu wakil dari 180 buah negara berkumpul di Washington DC. bagi menghadiri mesyuarat tahunan IMF dan Bank Dunia. Mereka harus sedar bahawa kali ini punca gempa bumi krisis ekonomi 2008 ialah di AS. Oleh kerana AS merupakan ekonomi yang terbesar di dunia dan menjadi pengguna terbesar banyak bahan mentah dari seluruh dunia, maka kesannya pada ekonomi global akan begitu dirasakan. AS juga membeli dari banyak negara membangun, banyak negara ini akan juga menghadapi masalah.

Lebih penting lagi ialah perlunya amalan baru dalam pengurusan kewangan di AS. AS menjanjikan pelan bantuan melebihi RM2.3 bilion untuk membantu syarikat-syarikat bermasalah. Sekiranya duit satu dolar AS disusun, jumlah sebanyak itu akan menjadi setinggi 80 kilometer. Kerajaan United Kingdom (UK) juga menjanjikan RM3 bilion bagi menambah modal lapan buah banknya yang bermasalah. Ibu negara UK, London, kini menguasai 36 peratus pasaran pertukaran mata wang dunia dan lebih separuh perniagaan dalam ekuiti asing. Hari ini juga London menjadi tuan rumah pada 254 bank asing. Tidak hairanlah kerajaan UK perlu melindungi banknya sendiri.

Memanglah awan tebal sedang menyelubungi ekonomi dunia. Tetapi itu tidak bermakna kita membayangkan kehancuran ekonomi atau bencana kemelesetan tahun 1907 dan 1929 berulang. Tindakan pantas dan drastik yang diambil setakat ini akan mengembalikan kestabilan pasaran. Masa depan berbilion manusia bergantung pada keberanian pembuat dasar agar bencana ini tidak menjadi lebih buruk atau berulang.

Sel stem arnab bantu rawat sindrom down


Oleh Hafizah Iszahanid

BARU-BARU ini, sebuah syarikat, BCRO Stem Cell Transplantation Sdn Bhd, mendakwa sel stem daripada fetus arnab berupaya membantu perkembangan pesakit sindrom down.

Justeru, ramai ibu bapa mahu anak mereka yang menghidap sindrom down menjalani rawatan xenotransplan sel stem yang dibangunkan BCRO.

Namun, kefahaman dan penjelasan mengenai xenotransplan sel stem dan bagaimana ia membantu pesakit sindrom down perlu difahami terlebih dulu.


Pengarah Perubatan BCRO Stem Cell Transplantation Sdn Bhd, Datuk Dr Abdul Halim Jalil, berkata umumnya, pesakit sindrom down lahir dengan ciri hampir sama, wajah yang rata, lidah yang lebar dan mata atas yang kelihatan berat (slanting eyes). Mereka juga selalunya mengalami masalah jantung dan sukar belajar.

“Rawatan yang dilakukan kepada pesakit sindrom down sebelum ini adalah rawatan komplikasi penyakit. Misalnya kalau dia mengalami masalah jantung, itulah yang dirawat. Begitu juga dia dia berhadapan dengan masalah usus atau leukemia.

“Perlu diingat, buat masa ini penyakit sindrom down tidak boleh dirawat kerana ia adalah penyakit genetik berkaitan lebihan kromosom,” katanya.

Sebagai penyakit yang dikaitkan dengan faktor genetik, sindrom down adalah penyakit seumur hidup. Tiada rawatan boleh menyembuhkannya dan saintis masih giat menjalankan penyelidikan bagi mencari kaedah menangani sindrom down atau sekurang-kurangnya membantu memperbaiki kesihatan penghidapnya.

Justeru, katanya, rawatan yang dilakukan oleh BCRO menerusi sel stem daripada fetus arnab (teknologi yang disebut sebagai Xenotransplan stem sel) adalah mengembalikan sebahagian kecil fungsi kemanusiaan pesakit itu.

“Misalnya, jika kanak-kanak berkenaan kurang tumpuan, selepas menjalani terapi sel stem mungkin ia membantu meningkatkan tahap tumpuan. Atau jika dulu, pesakit lemah dari segi pergerakan motor, selepas terapi sel stem mungkin berlaku sedikit peningkatan.

“Namun, untuk memulihkan pesakit daripada sindrom down sepenuhnya seperti yang dipercayai oleh kebanyakan ibu bapa, adalah tidak benar. Xenotransplan sel stem tidak berupaya melakukannya,” katanya.

Xenotransplantation adalah pemindahan sel, organ atau tisu haiwan kepada manusia. Berbanding pemindahan organ haiwan kepada manusia, pemindahan sel (disebut xenotransplan atau xenograft) kurang dikenali walaupun didakwa sudah 70 tahun dijalankan. Kebanyakan kajian dan penerbitan mengenainya dilakukan dalam bahasa Russia dan Jerman.

BCRO menjalankan prosedur xenotransplan bersandarkan kajian dan hasil kajian oleh Prof Dr Franz Schmid di Jerman pada awal 1950-an yang mendakwa 62 peratus daripada 3,000 kanak-kanak sindrom down yang dirawat pada usia muda dapat menghadiri tabika awam dan 27 peratus dapat ke sekolah biasa bersama kanak-kanak normal lain.

Berbanding xenotransplan sel stem, kajian dan eksperimen mengenai xenotransplan yang membabitkan organ haiwan kepada manusia dimulakan secara saintifik sejak 1960 dan berterusan hingga kini. Misalnya, pada 1993 sum-sum tulang dan buah pinggang seekor babun dilakukan di Pittsburgh, Amerika. Namun, penerimanya berhadapan dengan jangkitan 26 hari kemudian.

Xenotransplan organ sangat mengujakan kerana secara umum, dunia perubatan barat merekodkan 10 orang meninggal dunia kerana kegagalan mencari ganti organ yang bermasalah. Justeru, untuk saintis, kemungkinan haiwan menjadi penderma organ kepada manusia adalah berita paling menggembirakan.

Sehingga kini, binatang yang dianggap paling sesuai sebagai ‘lubuk organ gantian’ adalah babi. Sehingga kini juga, banyak kajian dan penyelidikan mengenainya dilakukan

Bagaimanapun dalam konteks xenotransplan sel stem pula, BRCO memperoleh sumber sel stem daripada koloni arnab yang dibiak secara tertutup.

Justeru, kata Dr Abdul Halim, sel stem daripada janin arnab ini tidak sama dengan sel stem embrionik manusia atau pun darah tali pusat.

Sel stem janin arnab ini katanya, berpotensi merangsang pertumbuhan semula tisu yang rosak. Dalam konteks pesakit sindrom down pula, ia berupaya menghilangkan ciri wajah mongoloid selain membantu perkembangan motornya.

Sel stem yang disuntik kepada pesakit itu pula adalah mengikut jenis sel pada tisu atau organ yang rosak. Justeru, wujud kemungkinan pesakit memerlukan suntikan lebih daripada satu jenis sel untuk penyakit yang membabitkan kerosakan beberapa jenis sel badan.

“Pesakit sindrom down berhadapan dengan masalah pertumbuhan saiz badan yang lebih kecil berbanding rakan seusia mereka dan perkembangan kognitif yang lembap.

“Justeru, rawatan sepatutnya dimulakan pada peringkat awal (antara usia 0 hingga 12 bulan),” katanya.

Katanya, mungkin hanya satu sel (satu suntikan) diperlukan bagi kanak-kanak pada usia 0 hingga 12 tahun tetapi bagi kanak-kanak yang berusia dua ke tiga tahun setengah, mereka mungkin memerlukan dua suntikan.

“Satu sel bersamaan satu suntikan pada bahagian punggung manakala kos untuk satu suntikan adalah RM27,000 dan prosedur itu dijalankan di Malaysia oleh BCRO,” katanya.

Kata Dr Abdul Halim, kesan terhadap kanak-kanak secara umumnya akan dilihat antara dua ke empat bulan selepas suntikan. Jika tiada kemajuan, mungkin satu lagi sesi diperlukan.

Walaupun hampir semua pesakit sindrom down memiliki ciri-ciri yang sama, mereka berbeza personaliti. Justeru, semua faktor itu diambil kira selain usia memulakan rawatan dan tahap kerosakan sel otak.

“Sel terapi digunakan memperbaiki fungsinya setara manusia sihat bukan untuk memulihkan sindrom down. Ia penyakit yang tiada ubat setakat ini kerana sindrom down masalah genetik,” katanya.

Mengapa fetus arnab? Dr Abdul Halim berkata, haiwan lain berhadapan dengan pelbagai penyakit misalnya lembu dengan penyakit lembu gila, tetapi tidak pada arnab apatah lagi arnab yang dibiak khas dalam koloni yang tertutup sejak beberapa generasi.

Tambahan lagi, katanya, penerima sel stem janin arnab tidak perlu mengambil ubat anti penolakan seperti yang perlu dilakukan oleh penerima organ.

Teknologi yang dibangunkan BCRO mungkin baik, namun satu hakikat yang tidak boleh ditolak, sel stem belum dibuktikan secara saintifik sebagai ubat ajaib yang boleh menyembuhkan semua jenis penyakit.

Malah, keberkesanan sel stem dari darah tali pusat bayi juga masih diperdebatkan manfaatnya. Justeru, apabila ada pihak mendakwa sel stem (walau daripada mana sumbernya) boleh menangani pelbagai penyakit, ia adalah dakwaan yang kurang tepat.

Sehingga kini, keberkesanan sel stem dalam menyembuhkan penyakit masih pada peringkat kajian. Belum ada bukti klinikal yang diiktiraf dunia perubatan antarabangsa mengenai keberkesanan sel stem.

Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Chua Soi Lek sebelum ini meminta orang ramai mendapatkan pengesahan dan pandangan kedua sebelum menjalani rawatan penyakit menggunakan sel stem.

Katanya, belum ada kajian dan bukti sainstifik dalam bidang perubatan mengenai keberkesanan penggunaan sel stem untuk merawat pelbagai penyakit termasuk diabetis dan sindrom down.

Serikandi Bahasa Melayu


Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my




Nik Safiah Karim jadi pakar bahasa Melayu walaupun mendapat pendidikan Inggeris sepanjang zaman persekolaha

BERBICARA mengenai tokoh bahasa, Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim, tidak banyak yang perlu diulas, kerana masyarakat umum sudah tahu dirinya, kelebihan, semangatnya dalam memperjuangkan bahasa.

Soal sumbangannya dalam bidang bahasa tidak perlu dipersoalkan kerana anugerah sebagai Profesor Emeritus oleh Universiti Malaya (UM) serta anugerah Pingat Emas Tun Fatimah yang disampaikan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Siti Aishah pada 2002 sudah menggambarkan segala-galanya.


Jika dihitung anugerah atau pencapaian dirinya, terlalu banyak yang boleh dihuraikan, hinggakan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KEKKWA) mengeluarkan sebuah buku mengenai hidupnya berjudul ‘Nik Safiah Karim - Meniti Dua Zaman’ hasil tulisan Nurhafilah Musa.

Cuma mungkin ramai yang tidak mengetahui, tokoh wanita berusia 68 tahun ini sebenarnya tidak pernah mengikuti pengajian di sekolah Melayu dan mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu sepanjang zaman persekolahannya sehingga ke peringkat universiti.

Bagaimana ini boleh berlaku sedangkan beliau adalah pakar bahasa. Inilah suatu yang menarik untuk dikongsi mengenai kelebihan yang dimiliki anak bongsu daripada lima beradik dan kini bergelar nenek kepada 11 cucu.

Nik Safiah bersama suami Mohd Zain Omar di rumah mereka di Taman Tun Dr Ismail.

Beliau sebenarnya hidup di dua zaman, dilahirkan sebelum merdeka, membesar dan menyumbang dalam zaman selepas merdeka dan kini menikmati hidup selepas 51 tahun negara merdeka.

Pada usia kanak-kanak, beliau cukup bertuah kerana dilahirkan dalam keluarga yang mementingkan pendidikan tanpa mengira jantina. Ketika itu, anak perempuan tidak begitu digalakkan ke sekolah dan dianggap cuma layak berada di dapur.

Namun, bapanya, Abdul Karim Abdul Malek iaitu anak seorang ulama tersohor Kelantan dikenali sebagai Tok Malek Sungai Pinang yang berkahwin dengan seorang lagi anak ulama, Haji Che We (Ismail), Nik Mas (Ibu Nik Safiah) memang dikenali sebagai seorang yang mementingkan pendidikan.

Ketika kecil, Nik Safiah sering menghabiskan masa di rumah membaca buku koleksi bapanya dalam bahasa rumi dan jawi. Sebagai anak bongsu, beliau sering ditinggalkan abang-abangnya dan dibiarkan bermain sendirian di rumah dan buku menjadi teman hidupnya.

Ringkasnya, beliau dihantar ke Sekolah Inggeris Perempuan Kerajaan (GGES) di Kota Bharu, Kelantan untuk mendapat pendidikan Inggeris pada 1948 sebelum melanjutkan pelajaran ke Kolej Perempuan Melayu (MGC), Kuala Lumpur pada 1953.

Kemasukannya ke MGC adalah pilihan guru besar sekolah rendah, Miss Leicester yang memilihnya sebagai calon tunggal murid perempuan Kelantan untuk dihantar ke sana yang ketika itu terletak di Kuala Lumpur sebelum dipindahkan ke Negeri Sembilan dan dikenali sebagai Kolej Tunku Kursiah (TKC).

Sepanjang tempoh itu, bekas gurunya itu sentiasa memantau dan bertanyakan perkembangan dan kemajuannya di MGC sehingga menduduki peperiksaan Sijil Sekolah Cambridge pada 1957.

Ketika di MGC, beliau mula menulis puisi dalam Bahasa Inggeris yang tersiar dalam majalah sekolah yang memperlihatkan kecenderungannya terhadap bahasa melalui penulisan.

Setahun kemudian, beliau melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Enam di St Francis Institution, Melaka sebelum menjadi guru sementara di Sekolah Inggeris Redang, Kampung Banggol.

Sepanjang tempoh itu hingga melanjutkan pelajaran di UM pada 1960, beliau tidak pernah mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu tetapi mengikuti kesusasteraan Inggeris.

“Memang ini berlaku dalam sejarah pendidikan saya yang tak pernah ke sekolah Melayu. Ketika di Tingkatan Enam, sekolah itu tidak menyediakan mata pelajaran Bahasa Melayu. Sekolah itu hanya tawarkan mata pelajaran Bahasa Inggeris, Sastera Inggeris, Ekonomi, Sejarah dan Geografi.

“Apabila masuk universiti, barulah saya mengambil kursus Pengajian Melayu tetapi saya sebenarnya mengikuti pengajian ekonomi. Pada tahun kedua dan ketiga, barulah saya membuat pengkhususan dalam Bahasa Melayu.

“Memang agak pelik kerana saya cukup berminat dengan Bahasa Melayu walaupun tak pernah belajar pada peringkat sekolah. Alhamdulillah, saya boleh lulus dengan baik dan mampu menjadi pakar dalam bidang ini,” katanya.

Persoalannya ialah bagaimana keadaan ini boleh berlaku kerana beliau mempunyai latar belakang pendidikan Inggeris dan banyak didedahkan buku tulisan karyawan Inggeris seperti Shakespeare, Wordsworth dan Keats.

Jelasnya, ketika di sekolah menengah, beliau dididik seorang guru sastera Inggeris yang sangat pandai mengajar dan pendedahan itu ditambah lagi dengan kehadiran seorang lagi guru drama Inggeris.

“Cantuman guru sastera dan drama Inggeris itu dapat memupuk keupayaan mengungkap mengenai sastera dalam Bahasa Inggeris. Saya menjadi pandai melalui bahasa, apabila belajar Bahasa Inggeris, saya juga tertarik dengan Bahasa Melayu.

“Mata pelajaran pengajian Melayu adalah ilmu linguistik yang amat teknikal tetapi boleh dipelajari melalui buku. Walaupun saya tidak mendapat pendedahan sebelumnya, saya anggap ia sebagai ilmu baru yang sangat menarik.

“Sebab itulah saya katakan, jika hendak belajar bahasa, kena belajar sastera tanpa mengira bahasa apa pun. Saya terdedah kepada sastera Inggeris tetapi dapat belajar dan menghayati sastera Melayu. Konsepnya hampir sama dan ramai orang tidak faham mengenai hal ini.

“Sastera ialah kelahiran buah fikiran dan perasaan melalui rasa, kalau tak pandai bahasa, kita tak boleh hasilkan bahan sastera yang baik,” katanya.

PROFIL: Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim

Suami: Mohd Zain Omar, 69.

Ibu: Nik Mas Ismail.

Bapa: Abdul Karim Abdul Malek

Adik beradik:
1) Allahyarhamah Nik Fatimah (pensyarah)
2) Allahyarhamah Nik Zainab (pensyarah)
3) Dr Mohd Zin, 72,
4) Nik Mustafa, 73, (polis)
5) Nik Safiah, 68.

Anak:
1) Dr Nik Norsuzet, 42,
2) Nik Izham, 40, (jurutera)
3) Puan Seri Sazlina, 38, (peguam)
4) Dr Nik Saliza, 37, (doktor gigi)

Sejarah pendidikan:

  • 1948: Sekolah Inggeris Perempuan Kerajaan (GGES) di Kota Bharu, Kelantan

  • 1953: Kolej Perempuan Melayu (MGC), Kuala Lumpur

    * 1958: St Francis Institution, Melaka.

  • 1960-1963: Universiti Malaya (Ijazah Sarjana Muda Sastera)

  • 1963: Ijazah Sarjana Sastera dan menjadi tutor di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

  • 1972 - 1976: Melanjutkan pengajian ke peringkat kedoktoran di Ohio University, Amerika Syarikat.

    Kegiatan luar dan akademik:

  • 1977: Terbabit dalam penubuhan Persatuan Linguistik Malaysia

  • 1979: Bersama rakan-rakan mengasaskan Persatuan Siswazah Wanita Malaysia

  • 1982: Dilantik sebagai Presiden Persatuan Linguistik Malaysia dan bertugas selama 18 tahun.

    : Wanita pertama dilantik sebagai Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya.

  • 1983: Dilantik sebagai Ketua Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

  • 1986: Penerbitan Buku Tatabahasa Dewan Jilid 1.

  • 1990: Dilantik sebagai Profesor Kursi Pengajian Melayu dan penubuhan Akademi Pengajian Melayu serta dilantik sebagai presiden pertama.

  • 2002 - Menerima Anugerah Profesor Emeritus dari Universiti Malaya

    - Menerima anugerah Pingat Emas Tun Fatimah disampaikan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Siti Aishah.

    - Menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Persuratan dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

  • 2004 - Dianugerahkan Tokoh Pejuang Bahasa oleh Persatuan Linguistik Malaysia

  • 2005 - Menerima Anugerah Tokoh Ibu Cemerlang-Ibu Akademik anjuran Avon Cosmetics

  • 2006 - Dilantik Karyawan Tamu, Akademi Pengajian Melayu. Naib Presiden NCWO (Zon Tengah) .

  • 2007 - Menjadi Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (YADIM).

  • Buku biografi wanita yang ditulis bersama Azizah Mokhazani

    1) Tun Siti Hasmah (1999).

  • Buku biografi wanita yang ditulis bersama Dr Rokiah Talib:

    1) Ibu Enjah (Ibu Mithali Pertama) 2001.

    2) Tun Fatimah Hashim (2003).

    3) Hajah Wan Mas (Ibu Mithali Kedua) 2004.

    4) Tan Sri Zaleha Ismail (2005).
  • 25 Oktober 2008

    Ronda-ronda 3 bandar


    Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin




    Kuantan, Kuala Terengganu dan Kota Bharu unik, istimewa

    PELUANG menyertai program ala Amazing Race yang dianjurkan Maxis Communications Bhd (Maxis) baru-baru ini memberi peluang penulis mengenali lebih dekat keistimewaan tiga bandar popular di pantai Timur, iaitu Kuantan, Kuala Terengganu dan Kota Bharu.

    Walaupun turut mengambil bahagian dalam pertandingan berkonsep perlumbaan yang memerlukan peserta bergerak pantas, penulis sempat mencuri masa mendekati keunikan serta kelebihan tiga bandar yang menjadi ibu negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan itu,


    Dalam tempoh singkat, banyak keistimewaan Kuantan, Kuala Terengganu dan Kota Bharu boleh diteroka. Apa yang pasti, semua lokasi itu terkenal dengan keindahan pantai memutih yang pastinya sesuai untuk seisi keluarga bersantai sambil menikmati keenakan makanan laut segar.

    Selasa
    8.40 pagi : Penulis menaiki penerbangan 40 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah, Kuantan Pahang.

    Ketibaan penulis dan jurugambar disambut mesra kakitangan Maxis yang menunggu dari awal. Kami kemudian dibawa ke lokasi penginapan, Hotel Hyatt Regency. Kedudukan hotel di lokasi strategik berhampiran pantai Telok Chempedak menyajikan pemandangan indah. Ketika berjalan ke bilik penginapan, pemandangan dua kolam renang yang berlatarkan biru laut membiaskan rasa cukup mendamaikan ditambah pula kesegaran taman menghijau.

    PELBAGAI destinasi menarik boleh dilawati di Kuantan, Kuala Terengganu dan Kota Bharu.

    12 tengah hari : Selepas berehat, kami menikmati makan tengah hari ala masakan Cina di Restoran New Horizon Garden di bandar Kuantan bersama beberapa rakan media dan kakitangan Maxis. Bagi mereka yang gemar masakan tomyam dan makanan laut, jangan lepaskan peluang mengunjungi restoran ini kerana anda pasti sukar melupakan kelazatan dan keaslian hidangannya yang tentunya 'umph'! Selesai makan, kami bersiar-siar di sekeliling hotel sambil menikmati keindahan dan hembusan angin pantai.

    6 petang : Sebagai persediaan menyertai perlumbaan esok, kami diberi taklimat ringkas mengenai perjalanan, destinasi dan corak permainan sebelum menikmati makan malam di restoran hotel. Selepas menjamu selera, kami bersiar-siar di tepi pantai sambil menghirup udara segar dan menghayati keindahan malam. Asyik berbual dengan rakan dari media lain yang baru dikenali, tidak sedar jarum jam sudah menginjak ke angka 10 malam dan kami pulang ke bilik masing-masing untuk berehat mengumpul tenaga.

    Rabu
    7.30 pagi : Memulakan hari dengan bersarapan bersama rakan media di kafe hotel sebelum memulakan perlumbaan. Pelepasan lapan pasukan yang menaiki pelbagai kenderaan berwarna merah dilengkapi logo Hotlink, disempurnakan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Datuk Azizan Ahmad bersama Ketua Pemasaran Pelanggan Maxis Communications Bhd, Tan Lay Han. Semangat terus membara bersama tiga lagi rakan sekumpulan untuk merebut hadiah utama TV LCD 40 inci.

    9.30 pagi : Selepas membuat persiapan terakhir, peserta dilepaskan dan kami menuju ke lokasi pertama iaitu Kemaman Kopitiam, tidak jauh dari bandar Kuantan.

    PESERTA menguji kemahiran membuat keropok lekor.

    10.25 pagi : Sebaik tiba, kami diberi tugas merakamkan gambar di hadapan Kemaman Kopitiam dan membuat panggilan video menggunakan khidmat 3G Maxis ke pusat panggilan ditetapkan. Seterusnya kami diminta segera mencari kulit ketam untuk dibawa ke destinasi akhir di Kota Bharu. Kafe ini adalah antara kopitiam terkenal pada era 1980-an dan 1990-an. Kewujudan pelbagai kafe lain yang berciri lebih moden menyebabkan kopitiam ini seolah-olah dilupai. Namun ia masih mendapat sambutan di kalangan masyarakat setempati. Selesai tugasan, kami bergegas ke destinasi kedua iaitu Pusat Penerangan dan Santuari Penyu di Rantau Abang.

    12 tengah hari : Kami tiba di Pusat Penerangan dan Santuari Penyu Rantau Abang. Kami diberi tugasan lain iaitu merakamkan gambar di hadapan pintu masuk dan batu tanda lokasi itu, sebelum menyempurnakan tugasan dengan menghantar MMS ke talian ditetapkan. Di pusat ini, pelbagai maklumat mengenai penyu boleh didapati. Pantai Rantau Abang berhampiran pusat ini terkenal sebagai antara lokasi utama pendaratan pelbagai spesies penyu terutama penyu belimbing yang semakin pupus. Pantai ini yang indah dan bersih, amat sesuai menjadi lokasi pelepas lelah sambil menghirup udara laut. Sejurus selesai tugasan di sini, kapten pasukan kami segera memecut kenderaan menuju lokasi seterusnya, Kedai Keropok Lekor 007 Chendering.

    1.15 petang : Terkejut apabila tiba di lokasi ketiga, kami menerima sampul tugasan tertulis 'anda dikehendaki menyediakan keropok lekor terpanjang'! Keropok lekor menjadi makanan tradisi Terengganu yang enak dan keaslian ramuannya sukar ditemui di tempat lain. Tidak sangka, selama ini hanya tahu makan saja, kali ini penulis dan tiga rakan lain terpaksa menguli sendiri keropok terpanjang. Di Terengganu, ada banyak gerai menyediakan makanan tradisional ini dan bagi pelancong, ia boleh dibawa pulang sebagai buah tangan.

    Sepanjang perjalanan dari Rantau Abang, Dungun menuju ke kedai keropok lekor ini, anda akan melalui Pantai Perangingan Kelulut. Makanan laut di sini terutama ikan bakar menjadi menu istimewa dan menarik ramai pengunjung. Menjamu selera dengan hidangan popular sotong dan ikan celup tepung sambil membasahkan tekak dengan air kelapa ditemani bayu dan desiran ombak membangkitkan emosi cukup menyegarkan.

    2 petang : Kumpulan kami tiba di destinasi keempat, Felda Chalok Barat dengan tugasan mengaktifkan pelan 'Kampung Zone' diperkenalkan Hotlink yang menyediakan kadar panggilan serta khidmat pesanan ringkas (SMS) yang lebih murah. Perjalanan ke destinasi seterusnya diteruskan ke Pasir Puteh, Kelantan.

    2.50 petang : Selepas memecut mengejar masa, kami tiba di lokasi terakhir di kedai pengedar komunikasi Hotlink dan Maxis di Pasir Puteh. Di sini, setiap peserta diwajibkan merakam nyanyian lagu Negaraku di hadapan kedai dan menghantar salinan video ke talian Maxis. Inilah kali pertama penulis menjejak kaki di bumi Kelantan. Menurut beberapa rakan, Pasir Puteh terkenal dengan pantainya yang bersih. Di sini juga letaknya Jeti Tok Bali yang terkenal sebagai tempat pendaratan ikan terbesar di Pantai Timur di mana orang ramai boleh membeli ikan dan hasil laut segar secara terus.

    Berdiri di atas jambatan merentangi Terusan Semerak yang melengkung dan tinggi membolehkan pengunjung melihat kawasan pesisir pantai yang terkenal kerana pasirnya yang memutih. Bagi peminat sukan berkuda, mereka boleh melakukannya dengan selesa kerana bentuk geografi pantai Tok Bali yang landai, panjang dan dianggarkan kira-kira 40 kilometer bermula dari Pantai Bisikan Bayu di Semerak sehingga berakhir di Pantai Telong, Bachok.

    3.30 petang : Kami tiba ke destinasi terakhir iaitu ibu negeri Kelantan, Kota Bharu dan terus ke lokasi penginapan di Hotel Renaissance yang cukup cantik di tengah bandar ini. Selesai menyerahkan semua hasil tugasan, kami naik ke bilik untuk berehat sebelum berkumpul semula pada sesi makan malam dan sesi pengumuman pemenang. Walaupun tidak dikelilingi suasana pantai atau pemandangan indah, keselesaan menginap di hotel ini sudah cukup membuat penulis leka sehingga terlena.

    8 malam : Sambil menikmati makan malam bersama rakan media dan kakitangan Hotlink di dewan hotel, segelintir rakan media yang berasal dari Kelantan tidak berhenti menceritakan keistimewaan negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Selesai makan malam dan majlis penyampaian hadiah, seorang rakan mengajak penulis dan sekumpulan rakan wanita mengunjungi Wakaf Che Yeh. Tempat ini umpama Petaling Street di Kuala Lumpur yang menjual pelbagai jenis barangan dari aksesori wanita, pakaian, makanan, cenderamata, haruman, beg tangan, kasut yang semuanya datang dari Siam. Berjalan-jalan mencuci mata di sini hingga tidak sedar hari sudah larut malam. Kota Bharu juga terkenal dengan Pasar Siti Khadijah yang menjual pelbagai variasi barangan pada harga sangat rendah. Sesuailah jika hendak membeli belah cenderahati di sini.

    Sembahyang juga boleh rawat penyakit kritikal


    Oleh Ziauddin Sharuddin


    Prof Dr Wan Abu Bakar (kanan) bersama Dr Fatimah dan Ng Siew Chok bersama buku mengenai rahsia solat dari segi sains.

    HASIL kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya mendapati setiap gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh.

    Berita Minggu mendapatkan pandangan setiap pengkaji mengenai hasil kajian masing-masing.

    Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas - Aktiviti Otot


    Beliau yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu sentiasa melakukan regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat apabila selalu digunakan.

    Katanya, hasil kajian mendapati solat yang membabitkan gerakan tubuh seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman ringan.

    “Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam beruntung kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh,” katanya.

    Dr Fatimah meneliti kertas bacaan ujian yang keluar dari alat analisis penyepadanan bio.

    Malah, katanya solat sama seperti terapi fizikal yang jika dilakukan secara berterusan dan betul menghasilkan kesan positif terhadap tubuh.

    Beliau berkata, kajian lebih teliti sedang dilakukan untuk mengenap pasti otot yang aktif ketika solat.

    Ng Siew Chok - Isyarat Otak

    Beliau berkata, perubahan kimia berlaku apabila otak aktif. Proses kimia yang menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas elektrik boleh diukur menggunakan elektrod yang diletakkan pada kulit kepala. Sejenis alat, iaitu EEG (Electroencephalography) digunakan untuk mengukur isyarat otak daripada aktiviti elektrik.

    “Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan tenang,” katanya

    Walaupun bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian yang dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur.

    “Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan berdiri seketika sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat. Saya bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan itu adalah tamakninah,” katanya.

    Ketika itu, katanya isyarat alfa meningkat secara mendadak yang menunjukkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang.

    Siew Chok berkata, solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak.

    Sehubungan itu, katanya solat membolehkan seseorang itu menyediakan otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu dihadapinya dalam aktiviti harian.

    Dr Fatimah Ibrahim - Komposisi Tubuh

    Beliau berkata, komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama, iaitu tisu aktif, tisu tulang, komponen air dan lemak.

    Beliau berkata, ada beberapa kaedah untuk mengukur komposisi tubuh, tetapi kajian itu menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang menghasilkan keputusan tepat, pantas dan selamat, berbanding pengambilan darah.

    “Teknik ini tidak digunakan secara meluas di hospital negara ini, tetapi di Amerika Syarikat, teknik ini digunakan untuk menilai status penyakit seperti Aids, diabetes, demam denggi dan pelbagai penyakit kritikal lain,” katanya.

    Dalam kajian ini, katanya model untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima kali sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahyat akhir.

    Dr Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik.

    Katanya, kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian.

    “Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh.

    “Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas negatif,” katanya.

    Katanya, ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang.

    Dr Fatimah berkata, solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan dan ini terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan.

    Sebelum Ramadan bermula, katanya komposisi badan diukur dan selepas 21 hari berpuasa, komposisi tubuh yang diukur semula mendapati keadaan tubuh sihat seperti kolesterol rendah akibat kadar pembakaran lemak yang meningkat serta paras glukos rendah.

    Selain itu, katanya posisi tubuh (posture) dalam solat dapat mengubat sakit pinggang. Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh melakukan senaman seperti berdiri dan membongkokkan tubuh yang menyamai gerakan solat.

    Beliau berkata, keputusan positif itu adalah berdasarkan ukuran saintifik dengan meletakkan beberapa sensor (pengesan) di tulang belakang pesakit untuk melihat isyarat otot.

    Katanya, hasil kajian mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit pinggangnya berkurangan.

    “Ini membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit pinggang. Kita akan menerbitkan buku kedua terapi solat yang bukan saja sesuai untuk wanita normal, tetapi untuk wanita mengandung. Bukan Islam juga boleh mengikuti terapi ini dengan melakukan senaman sama seperti gerakan solat,” katanya.

    Jangan terkejut kerana solat boleh merawat Erektil Disfungsi (ED) atau lebih dikenali sebagai mati pucuk, masalah kesihatan yang lelaki amat takut.

    Untuk lelaki normal, keupayaan seksual adalah tiga kali penegangan ketika tidur dan volum ketika ketegangan mesti lebih 200 peratus.

    “Kajian dilakukan dengan mengukur zakar (pesakit diajar melakukan ukuran). Pada bulan pertama, tiada ketegangan langsung, tetapi selepas melakukan terapi selama dua bulan iaitu dengan melakukan solat tambahan, sudah ada ketegangan dan volum mencapai tahap normal,” katanya.

    Beliau berkata, terapi adalah dengan cara melakukan solat sunat sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat atau kira-kira 30 minit

    Selain itu, katanya antara hasil kajian yang menarik perhatian pakar sakit jantung ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama ini, kajian saintifik lain menyatakan bahawa kadar denyutan jantung paling rendah adalah ketika berbaring.

    “Kajian mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar denyutan paling rendah dan lebih baik berbanding ketika baring. Ini menunjukkan posisi tubuh ketika solat adalah bagus,” katanya.

    Sehubungan itu, katanya kajian akan dilakukan dengan lebih meluas untuk melihat sama ada posisi tubuh ketika solat boleh merawat sakit jantung.

    Katanya, pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu kerana boleh memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk melakukan senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan senaman selama 30 minit setiap hari.

    Muar oh Muar!


    Oleh Junita Mat Rasid


    BOT pelancong menyusuri Sungai Muar di hadapan Masjid Jamek Sultan Ismail.

    Sate, mi bandung, Gunung Ledang serlah imej Bandar Maharani

    EKO pelancongan, juadah istimewa, tempat bersejarah dan keindahan alam sering menjadi tarikan berkunjung ke sesuatu lokasi. Bagi bandar popular Muar, daerah ini menawarkan pakej percutian lengkap walaupun pernah digelar bandar pencen.

    Siapa tidak pernah mendengar kelazatan asam pedas, sate dan mi bandung Muar? Deretan bangunan zaman kolonial dan keseronokan di Dataran Tanjung Emas juga menggamit pengunjung termasuk pelancong asing.


    Kunjungan ke Muar tentunya menjanjikan pengalaman berbeza dengan keunikan tersendiri. Tentunya keenakan pelbagai juadah eksotik mengujakan kami bertandang ke Muar selain terpukau dengan keindahan Gunung Ledang.

    Sabtu

    7 pagi : Teruja mendengar cerita sarapan istimewa di Muar ialah sate dan mi bandung, kami bertolak dari Kuala Lumpur pada awal pagi dengan perut kosong.

    SATE dan Mi bandung Muar antara sajian yang popular.

    Perjalanan hanya mengambil masa kira-kira dua jam melalui Lebuhraya Utara Selatan dan keluar di laluan Plaza Tol Tangkak.



    9 pagi : Setibanya di Muar, kami merentasi Jambatan Sultan Ismail yang merentangi Sungai Muar. Pemandangan mengasyikkan dengan deretan bangunan di tebing serta jeti nelayan. Kami tidak melepaskan peluang bersarapan mi bandung dan sate Muar yang menjadi menu wajib bagi sesiapa saja yang berkunjung ke sini. Katanya, tidak lengkap kunjungan jika tidak menikmati kedua-dua juadah ini. Pilihan kami semestinya kedai Abu Bakar Hanifah di Jalan Abdullah yang sentiasa mendapat sambutan, termasuk dari pelancong asing dan kenamaan.

    BELAYAR menyusuri Sungai Muar amat menyeronokkan.

    10 pagi : Kami memulakan pengembaraan meneroka Muar dengan melalui Jalan Muar-Batu Pahat. Banyak rumah lama dilihat di sepanjang jalan. Kami singgah sebentar di jeti nelayan Parit Jawa iaitu kira-kira 15 kilometer dari bandar untuk melihat aksi burung hijrah yang berkampung di jeti ini. Kawanan burung ini dikatakan sudah hampir pupus iaitu burung botak atau nama saintifiknya, Leptotilos Javanicus. Kami kemudian meneruskan perjalanan ke Kolam Air Panas Sungai Gersik yang terletak kira-kira 40 kilometer dari bandar. Setibanya di kolam air panas ini, kami berehat dan mengambil kesempatan berendam meregangkan urat kaki dan badan.



    1 petang : Dalam perjalanan pulang ke bandar Muar, kami singgah menikmati makan tengah hari di medan selera di Parit Jawa. Juadah istimewa yang menanti tentulah asam pedas Muar. Anda boleh memilih sama ada mahukan ikan sembilang, kembung, siakap, merah dan mayong. Ikan ini sungguh lazat kerana masih segar dan diperoleh sejurus didaratkan di jeti berhadapan medan selera.



    3 petang : Selesai menjamu selera, kami bertolak ke lokasi penginapan pilihan iaitu Hotel Muar Traders yang terletak di tebing Sungai Muar. Hotel ini menyajikan pemandangan indah Sungai Muar dan Gunung Ledang dari kejauhan.



    6 petang : Selepas berehat, kami mengambil kesempatan menikmati keindahan Sungai Muar dengan menaiki bot persiaran dari Jeti Tanjung Emas berhampiran hotel penginapan. Pengalaman ini mengasyikkan apatah lagi memandang ke arah masjid berkembar iaitu Masjid Jamek Sultan Abu Bakar dan Masjid Sultan Ismail berhadapan kedua-dua tebing. Pemandu pelancong memberi maklumat mengenai keistimewaan bandar dan Sungai Muar, selain berkongsi pelbagai lokasi menarik di daerah ini. Kami diberitahu Sungai Muar adalah terpanjang di Johor dan hulunya mencecah Negeri Sembilan dan Pahang.



    9 malam : Menunaikan hajat hati, kami menjamu selera dengan menu ikan bakar dan makanan laut segar di Medan Ikan Bakar Sabak Awor yang terletak di jeti nelayan iaitu hanya kira-kira lima kilometer dari bandar. Keenakan dan kesegaran ikan bakar di sini tidak kalah dengan lokasi popular lain seperti Umbai di Melaka.

    Selesai menjamu selera, kami menikmati hembusan bayu Selat Melaka di kawasan Rekreasi dan Dataran Tanjung Emas. Suasana malam di bandar Muar agak sunyi berbanding Kuala Lumpur yang tetap 'hidup' sehingga ke pagi.



    Ahad



    9 pagi : Memulakan hari dengan menikmati sarapan pagi di Kafe Kopi 434 berhadapan Perhentian Bas Bentayan yang terkenal dengan kopinya yang enak selain roti bakar yang rasanya cukup berbeza.



    10 pagi : Gamitan Gunung Ledang yang dilihat daripada jendela hotel menyebabkan kami teruja berkunjung ke pusat rekreasi ini untuk berkelah dan menikmati air terjun yang sejuk dan menyegarkan. Kejernihan air terjun pasti menawan sesiapa saja, apatah lagi apabila berpeluang menikmati kedinginan airnya yang tidak tercemar.

    Legenda Puteri Gunung Ledang yang menjadi idaman hati Sultan Mahmud pada zaman Kesultanan Melayu Melaka menjadi antara hikayat sejarah yang sering disebut-sebut malah tidak lapuk ditelan zaman.

    Seperti hebatnya kisah puteri jelita itu, begitulah juga indahnya kawasan percutian Gunung Ledang. Bagi mereka yang gemarkan cabaran dan memiliki stamina tinggi, bolehlah mendaki Gunung Ledang yang mencatatkan ketinggian 1,276 meter. Gunung ini adalah gunung tertinggi di selatan Semenanjung. Tentunya anda boleh menikmati keindahan flora dan fauna antara lain lebih 100 spesies pokok serta paku pakis yang sukar ditemui di tempat lain.



    3 petang : Sebelum pulang ke Kuala Lumpur, kami mengunjungi Tangkak yang menjadi pusat perniagaan tekstil hingga mendapat jolokan 'syurga kain'. Apa lagi, penulis dan rakan-rakan memborong pelbagai jenis kain yang dijual pada harga berpatutan. Kami kemudian meninggalkan Muar dengan kenangan manis dan hajat berkunjung lagi!



    FAKTA

  • Bandar Muar dibuka pada 1884 dan dikenali sebagai Bandar Maharani. Nama Muar berasal dari perkataan ‘muara’ berikutan kedudukan bandar itu di kuala sungai.

  • Sungai Muar mempunyai banyak catatan peristiwa bersejarah termasuk pada zaman kesultanan Melaka dan kesan serangan komunis di Bukit Kepong.

  • Pelbagai bangunan lama termasuk Masjid Jamek Sultan Abu Bakar, Bangunan Sultan Abu Bakar, Kubu Bentayan, Bangunan Kastam Diraja, Mahkamah Tinggi/Sesyen, Pejabat Cawangan Polis Trafik Muar dan Sekolah Tinggi Muar masih terpelihara.

  • Kesan Kubu Bentayan yang menjadi lokasi terakhir kerajaan Melaka selepas serangan Portugis pada tahun 1511 juga boleh dilihat. Peminat sejarah juga boleh mengunjungi Muzium Bukit Kepong yang mencatat serangan komunis di lokasi kira-kira 80 kilometer dari bandar Muar.

  • Sebelum pulang, pastinya anda ingin membeli cenderahati untuk keluarga dan teman. Kopi 434 yang didatangkan dengan bungkusan menarik sesuai dijadikan ole-ole atau perencah Mi Bandung Muar segera. Pelbagai kerepek tempatan juga boleh didapati di pasar atau di tepi jalan. Dalam perjalanan pulang sebelum tiba di Plaza Tol Tangkak, deretan gerai buah-buahan tempatan boleh disinggahi.

  • Terapi solat


    Oleh Ziauddin Sharuddin




    KAJIAN saintifik tiga pensyarah Universiti Malaya membuktikan solat yang diwajibkan kepada umat Islam setiap hari, bukan hanya amalan kerohanian tetapi terbukti mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental terutama meningkatkan tahap kesihatan manusia.

    SOLAT sebagai rukun Islam yang wajib dilakukan setiap umat Islam sudah banyak dikaji dari sudut kerohanian.

    Bagaimanapun, pernahkah kita berfikir mengenai pengertian setiap gerakan solat seperti qiyam, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud serta tahiyat awal dan tahiyat akhir.


    Adakah gerakan itu hanya sekadar gerakan tubuh yang tidak mempunyai makna?

    Kajian sains moden mendedahkan bahawa amalan yang dilakukan lima kali setiap hari bukan hanya suatu amalan kerohanian yang mendekatkan hamba kepada penciptanya. Kehebatan solat ternyata memanfaatkan tubuh manusia.

    Hasil kajian saintifik membuktikan kewajipan terhadap setiap umat Islam mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental manusia.

    Ng Siew Chok memakaikan topi elektrod untuk mengkaji gelombang otak.

    Lebih membanggakan bukti itu diperoleh hasil kajian anak tempatan, termasuk seorang bukan Islam. Mereka adalah pensyarah Jabatan Kejuruteraan Biomedikal di Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) yang diketuai Profesor Madya Dr Fatimah Ibrahim bersama Profesor Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok.

    Penggerak kajian ini ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan melalui geran Jabatan Perdana Menteri (JPM), kajian itu bermatlamat menentukan nilai terapeutik solat terhadap mereka yang melakukan solat, termasuk dari segi sistem kardiovaskular, komposisi tubuh, isyarat otak dan aktiviti otot.

    Dr Wan Abu Bakar ketika memperjelaskan kajian itu berkata, mereka adalah jurutera bioperubatan yang mengkaji tubuh manusia dari segi kejuruteraan.

    Katanya, kajian itu cuba melihat apa yang sebenar berlaku kepada fizikal dan mental manusia ketika melakukan solat.

    SOLAT terbukti mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental manusia.

    “Kajian dibahagikan kepada beberapa bahagian, iaitu saya mengkaji aktiviti otot, Siew Chok mengkaji isyarat otak, iaitu apa yang berlaku kepada gelombang otak ketika solat. Dr Fatimah mengkaji komposisi tubuh,” katanya.

    Beliau berkata, hasil kajian mendapati bahawa ada banyak perkara positif apabila seseorang melakukan solat dan ini dimuatkan dalam buku `Solat: Kebaikan Dari Perspektif Sains’ terbitan Jabatan Kejuruteraan Biomedikal. Buku ini mempunyai dua versi, bahasa Melayu dan Inggeris.

    Setakat ini, kajian itu adalah yang pertama dilakukan secara saintifik di negara ini. Bagaimanapun, sudah ada beberapa kajian yang sama, tetapi tidak menyeluruh dan lengkap seperti yang dilakukan UM.

    Seorang doktor perubatan dari Indonesia, Prof Dr Moh Sholeh, melakukan kajian khusus terhadap solat tahajud.

    Beliau mengambil sampel darah, hormon tekanan (stress) dan imuniti dalam badan. Selepas tiga bulan melakukan solat, sampel diambil lagi dan didapati imuniti meningkat dan hormon tekanan menurun. Rumusannya solat tahajud boleh merawat barah.

    Kajian lain dilakukan oleh tiga doktor perubatan dari Universiti Hokkaido di Jepun, iaitu Mohammed Faruque Reza, Yuji Urakami dan Yukio Mano, yang mendapati bahawa posisi tubuh (posture) solat boleh merawat warga tua yang sakit tulang.

    Dr Wan Abu Bakar berkata, kajian sepatutnya berakhir tahun ini, tetapi jabatan mempunyai beberapa cadangan baru bagi memperluaskan kajian itu.

    Memperjelaskan kajian lanjutan itu, Dr Fatimah yang mengetuai kajian berkata antara bidang baru yang akan dikaji ialah mengenai perbezaan solat antara orang biasa dan ulama.

    “Kajian itu akan mengkaji isyarat otak ulama dan orang biasa ketika bersolat. Adakah isyarat otak orang alim adalah lebih tenang berbanding orang biasa kerana kita menjangka mereka memahami bahasa al-Quran,” katanya.

    Bagaimanapun, katanya sukar untuk mendapat ulama secara sukarela menyertai ujian ini. Beliau memberi jaminan bahawa identiti mereka yang menyertai ujian dirahsiakan dan hanya dinyatakan sampel adalah dari kumpulan tertentu.

    Berbanding kajian awal yang mengesahkan solat memberi banyak kebaikan kepada kesihatan manusia, katanya kajian lanjutan memperjelaskan proses solat merawat pelbagai penyakit.

    Mengambil Erektil Disfungsi (ED) atau mati pucuk sebagai contoh, katanya kajian awal yang dilakukan mengesahkan bahawa solat memberi kesan positif untuk merawat ED, tetapi mereka ingin mengkaji cara gerakan solat merawat penyakit itu.

    Keterbukaan ciri penting pemimpin pelbagai kaum



    MALAYSIA yang sudah terbentuk dan merdeka sejak setengah abad lalu adalah antara negara paling unik di dunia kerana rakyatnya pelbagai kaum merangkumi puluhan etnik meskipun Melayu, Cina dan India adalah kaum utama. Sesiapa saja yang menjadi pemimpin sama ada dalam arena politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau organisasi sosial lain, perlu memahami hakikat ini. Oleh itu, majoriti rakyat negara ini tidak suka kepada sebarang bentuk sikap perkauman yang melampau dan sebagainya kerana mereka lebih suka kepada kehidupan harmoni dan kesejahteraan. Berdasarkan hakikat ini juga, setiap parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) perlu lebih peka apa yang berlaku di sekeliling mereka. MIC sebagai parti kaum India misalnya, juga perlu mengambil tahu apa yang berlaku dalam masyarakat Melayu dan Cina. Begitu juga bagi Umno dan MCA serta parti lain di Sarawak dan Sabah. Oleh itu, kita amat mengalukan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kelmarin bahawa Umno perlu melangkaui amalan politik berasaskan perkauman untuk membolehkannya mewujudkan kepemimpinan yang dapat diterima semua kaum jika mahu terus menerajui negara dan kekal memegang kuasa. Timbalan Presiden Umno itu berpendapat sudah sampai masanya parti itu menyedari hakikat bahawa ia harus boleh diterima segenap lapisan masyarakat pelbagai kaum membabitkan mereka yang bukan ahli Umno dan bukan Melayu.

    Jika diperhatikan selama ini, sebahagian ahli politik bukan saja dalam Umno, malah MIC dan MCA terutama pada peringkat bawahan lebih cenderung untuk menjaga kepentingan ahli parti masing-masing. Benar, parti itu menjaga hal ehwal kaum masing-masing tetapi keadaan semasa memperlihatkan seseorang, terutama yang memegang jawatan pada peringkat bahagian hendaklah lebih terbuka, melangkaui fahaman politik kepartian. Dalam pemilihan Umno peringkat bahagian sekarang ini misalnya, mereka yang berkempen dan berhasrat menyandang pelbagai jawatan dalam sesuatu bahagian hendaklah dipilih di kalangan mereka yang bersikap terbuka. Inilah sebenarnya landasan untuk melatih mereka menjadi pemimpin masa depan negara dan daripada awal lagi perlu disuntik unsur sentimen pelbagai kaum, bukan seseorang yang berfikiran sempit dan tertutup kepada kaumnya saja. Bagi ahli Umno, masanya sudah tiba untuk mereka berfikiran jauh dan menyedari bahawa jika mahu kekal berkuasa, mereka mesti dapat memenuhi kehendak khalayak lebih besar meliputi setiap lapisan masyarakat, termasuk mereka yang bukan ahli Umno serta orang bukan Melayu. Seperti kata Najib, jika sudah dipilih sebagai Ketua Umno bahagian, bukan itu saja kesudahannya. Sebaliknya, ia adalah permulaan tanggungjawab bukan hanya terhadap ahli Umno, malah turut membabitkan orang ramai secara umum. Umno perlu berubah mulai sekarang dan bukan terus berada dalam kongkongan kaum sendiri.



    Sikap tidak menghormati Yang Dipertua


    KALAU ahli Parlimen veteran sendiri tidak dapat menghormati Yang Dipertua Dewan Rakyat dengan menuduh beliau 'main-main' serta tidak serius bagaimana hendak mendidik ahli-ahli Parlimen muda ataupun yang pertama kali bergelar Yang Berhormat menghormati Yang Dipertua.

    Berdasarkan kepada persidangan Penggal Pertama Parlimen Ke-12 ini, nampaknya rasa hormat terhadap Yang Dipertua berada pada paras yang rendah.

    Bayangkan setiap kali bersidang, pelbagai usaha dilakukan oleh Yang Dipertua Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan dua timbalannya, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Datuk Ronald Kiandee, memastikan persidangan berjalan dan mengikut peraturan.

    Pelbagai peraturan mesyuarat digunakan untuk memastikan ahli-ahli Parlimen bersidang sebagai Yang Berhormat, malangnya perkataan-perkataan yang tidak harus disebut seperti samseng, Orang Utan, babi hutan, kurang ajar dan pelbagai bahasa kasar terpacul keluar.

    Apabila Pandikar Amin dan dua timbalannya bertegas, mereka pula digelar dengan pelbagai perkataan seperti Guru Besar yang sepatutnya tidak harus diungkapkan.

    Paling memualkan ialah semasa celahan-celahan tidak bertauliah iaitu ketika seorang ahli Parlimen sedang berbahas, mereka yang tidak mendapat kebenaran Yang Dipertua terus bangun dan mencelah, Perbuatan yang paling tidak menyenangkan apabila mereka yang tidak dibenarkan mencelah mengeluarkan katakata ugutan seperti penakut.

    Cuma janganlah sampai ada ahli Parlimen yang dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen yang membolehkan individu berkenaan digantung untuk tempoh yang lama seperti mana yang dialami oleh Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) dahulu.

    Namun persoalannya sampai bilakah persidangan Dewan Rakyat akan berterusan begini dan bilakah persidangan akan mengikut peraturan serta ahli Parlimen menjalankan tugas seperti yang diharapkan. Tugas ahli Parlimen ialah mengutarakan masalah rakyat dan melobi bagi meluluskan dasar-dasar untuk membangunkan negara dan rakyat.

    Mungkin mustahil untuk mendapatkan persidangan yang berjalan sempurna di mana semua ahli Parlimen mengikut peraturan tetapi sekurang-kurangnya hormatilah Yang Dipertua serta Timbalan Yang Dipertua apabila diarahkan mematuhinya.

    Seperkara lagi adakah wajar ahli-ahli Parlimen mempersoalkan kuasa Pandikar Amin yang menolak usul-usul daripada dibahaskan di Dewan Rakyat berdasarkan kepada peraturan mesyuarat serta usul tersebut didapati melanggar undang-undang.

    Inilah yang berlaku apabila Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) yang mahu mempersoalkan pelantikan Ketua Hakim Negara sedangkan ia dilarang keras dibangkitkan berdasarkan Perkara 27 Perlembagaan Persekutuan.

    Soal Salahuddin, sampai bila peruntukkan undang-undang ini harus digunakan untuk menghalang ahli-ahli Parlimen daripada membahaskan soal kelakuan dan sikap hakim-hakim.

    Namun ahli Parlimen Kubang Kerian itu perlu menyedari bahawa membahaskan secara terbuka kelakuan dan sikap hakim-hakim boleh menjatuhkan imej badan kehakiman negara. Jika ahli Parlimen ingin menegur, seboleh-bolehnya buatlah secara tertutup. Mungkin ahli Parlimen boleh mengadakan dialog dengan Ketua Hakim Negara yang baru, Tan Sri Zaki Tun Azmi.

    Menolak

    M.Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) pula mempersoalkan mengapa usul beliau mengenai Hindraf ditolak di bawah Perkara 18(7) dan dibacakan sekali dengan Perkara 18(8) yang memberi kuasa kepada Yang Dipertua untuk menolak usul yang tidak perlu disegerakan.

    Namun penghormatan perlu diberikan kepada ahli-ahli Parlimen dari Sarawak dan Sabah yang jelas memahami tugas sebenar sebagai wakil rakyat iaitu mengutarakan masalah rakyat.

    Ahli-ahli Parlimen ini membangkitkan pelbagai isu dari sebesar-besar sehingga sekecil-kecil masalah seperti kenaikan harga barang, tidak ada jalan raya, tidak ada klinik kesihatan, tidak mendapat biasiswa, peruntukan tidak mencukupi dan undang-undang yang tidak dikuatkuasakan dengan sempurna hinggalah masalah kad pengenalan.

    Apa yang membanggakan, ahli Parlimen yang terlibat dalam perbahasan terus mengutarakan permintaan rakyat walaupun ia telah disuarakan hampir 10 tahun lalu dan diulang setiap kali semasa perbahasan bajet.

    Sikap inilah yang perlu ditunjukkan oleh semua ahli Parlimen iaitu memperjuangkan hak rakyat yang diwakili dan bukannya membawa perjuangan sempit seperti apa yang dibawa oleh Kulasegaran. Beliau hanya ingin membahaskan isu Hindraf yang telah diharamkan dan kononnya pasport antarabangsa salah seorang pemimpin pertubuhan haram itu telah dibatalkan.

    Sedangkan Hindraf tidak pernah didaftarkan dan sememangnya sebuah pertubuhan haram serta isu pasport pemimpin pertubuhan itu pula tidak pernah dibatalkan malahan boleh digunakan sepenuhnya seperti pasport-pasport antarabangsa milik rakyat Malaysia lain.

    Penolakan usul-usul ini oleh Yang Dipertua mungkin ada kewajaran tetapi pasti ada jalan keluar dalam menyelesaikan masalah ini.

    Minggu depan, menteri-menteri akan menggulung perbahasan dan sudah tentu ramai akan ternanti-nanti jawapan yang diberikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam beberapa isu seperti tender Eurocopter, pembelian Bank Internasional Indonesia (BII) dan Projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB)

    Rawatan terapi tradisional


    RAWATAN terapi tradisional masih diamalkan oleh pelbagai golongan masyarakat bagi mengubati bermacam-macam jenis penyakit sekiranya rawatan moden tidak begitu serasi dan berkesan.

    Rawatan ini bukanlah jenis pengubatan yang menggunakan khidmat bomoh sebaliknya menggunakan kaedah urutan pada bahagian tertentu tubuh yang memerlukan rawatan diiringi dengan doa agar Allah menghapuskan penyakit yang dihidapi oleh pesakit.

    Walaupun rawatan di Shadira Post Natal & Beauty House lebih menjurus kepada ibu bersalin namun ada juga yang mendapatkan khidmat rawatan bagi masalah seperti terseliuh, angin bisa dalam badan dan penyakit-penyakit lain.

    Rawatan yang diberikan merupakan proses detoksifikasi, iaitu satu proses pengubatan membantu membuang darah kotor, ketulan angin bisa yang terkumpul dan boleh menjadi toksin di dalam tubuh.

    Rawatan ini juga membantu mengelak sebarang penyakit yang kemungkinan dialami oleh wanita.

    Kebaikan Rawatan Terapi Tradisional

    lMembantu menghilangkan pening dan migraine.

    lMelegakan pernafasan dan sistem perkumuhan.

    lMembantu mencegah kebas kaki dan meredakan serangan angin ahmar.

    lMengeluarkan angin dan darah toksik serta melancarkan peredaran darah yang tersumbat.

    lMembantu meringankan tubuh dan menajamkan penglihatan.

    lMembantu memecahkan lemak, kolesterol, mengeluarkan peluh dan melegakan demam.

    lMembantu melegakan ketegangan urat leher, stres, belikat, pinggang dan urat sendi di kaki.

    Kaedah Rawatan:

    lMemulakan rawatan, jari-jari kaki bermula dengan ibu jari diurut bagi mengetahui jenis penyakit yang dihidapi oleh seseorang itu.

    lSetelah itu keseluruhan kaki diurut menggunakan minyak urut sambil digolek dengan limau purut.

    lDoa dibaca memohon keizinan Allah bagi menyembuhkan penyakit. Kemudian kepala pesakit akan diurut.

    lSelesai urutan di kepala, tukang urut akan mengurut di tangan pula.

    lAkhir sekali rawatan diselesaikan dengan mengurut kaki semula.

    Aerobik elak nyanyuk


    PERGERAKAN aerobik, iaitu senaman yang memerlukan tahap kecergasan tinggi, lazimnya menjadi pilihan golongan muda dalam usaha mereka untuk kekal sihat dan cergas.

    Begitu pun, berita baik bagi golongan warga emas terutama yang berdepan dengan gejala-gejala penuaan seperti nyanyuk, apabila kajian terbaru yang disiarkan dalam edisi terbaru British Journal of Sports Medicine, mendapati latihan aerobik yang kerap bukan saja menghindari penurunan fungsi otak disebabkan peningkatan usia, bahkan juga membantu mengembalikan kecergasan otak.

    Melalui laporan kajian oleh Drs. Arthur F. Kramer dan Kirk I. Erickson, dari University of Illinois Beckman Institute, Urbana, penurunan fungsi otak disebabkan peningkatan usia membuatkan tugas-tugas eksekutif seperti merancang, kerja-kerja yang memerlukan seseorang berfikir dan mengingati sesuatu dan melakukan pelbagai kerja dalam satu masa, menjadi lebih sukar.

    Bagaimanapun, satu kajian penting ke atas tubuh menunjukkan tugas-tugas ini adalah proses yang sangat berkait rapat dengan latihan fizikal.

    Bagi individu yang sama ada mempunyai atau tidak ada tanda-tanda nyanyuk atau alzheimer, aktiviti fizikal yang sederhana tetapi kerap dan cukup untuk meningkatkan degupan jantung, terbukti bukan saja mampu membuatkan fikiran lebih tangkas dan tajam, bahkan menambah jumlah tisu otak sekali gus meningkatkan fungsi otak.

    Sebagai contoh, dalam kajian selama enam bulan yang dijalankan oleh Kramer dan rakan-rakannya, menunjukkan bahawa warga emas berusia antara 60 hingga 75 tahun yang bersenam dengan berjalan selama 45 minit sehari tiga kali seminggu bukan saja meningkatkan tahap kecergasan fizikal bahkan mental terutama keupayaan untuk melakukan tugas-tugas eksekutif, berbanding dengan kumpulan yang hanya melakukan senaman bukan aerobik seperti regangan dan sebagainya.

    Keputusan kajian ini menunjukkan bahawa latihan aerobik yang sederhana dan kerap boleh mengurangkan penurunan keupayaan kognitif akibat peningkatan usia dan otak terus mengekalkan kapasitinya untuk berkembang biarpun pada usia tua.

    Penyelidikan lain juga mendapati bahawa, warga emas yang lebih cergas dari segi fizikalnya terbukti kurang mengalami tanda-tanda penurunan keupayaan otak berbanding rakan mereka yang kurang cergas dari segi fizikal.

    "Banyak persoalan yang masih belum terjawab berhubung kesan senaman terhadap otak. Bagaimanapun, kami percaya bahawa gaya hidup yang aktif dengan aktiviti aerobik yang sederhanan akan meningkatkan kognitif dan fungsi otak. Ia juga mengurangkan penurunan keupayaan saraf yang biasa dilihat pada orang tua," kata Kramer dan Erikson. - Reuters

    Hala tuju program angkasa


    INDIA sememangnya sebuah negara yang begitu menakjubkan kerana berlatar belakangkan kemiskinan melampau rakyatnya, tetapi masih mampu mencapai kemajuan yang hebat dalam bidang teknologi tinggi.

    Tidak perlu diperkatakan mengenai kehebatan India dalam bidang perisian dan teknologi maklumat, kerana India sememangnya dalam kelas yang tersendiri.

    Beberapa hari lepas, India sekali lagi mencatat sejarah dalam bidang angkasa lepas dengan pelancaran misi pertamanya ke bulan melalui pesawat tanpa angkasawan yang dinamakan Chandrayaan-1 yang membawa maksud 'Kenderaan Bulan'.

    Kejayaan India menghantar pesawat ke bulan adalah yang ketiga bagi rantau Asia iaitu selepas China dan Jepun melaksanakan misi yang serupa pada tahun lepas melalui pesawat yang dinamakan Chang'e dan Selene.

    Tetapi apa yang menarik perhatian mengenai misi Chandrayaan-1 ialah perbelanjaan keseluruhannya adalah jauh lebih rendah dengan apa yang telah dibelanjakan untuk melancarkan pesawat China Chang'e atau Selene milik Jepun.

    Kos keseluruhan misi Chandrayaan-1 hanya AS$80 juta berbanding dengan China dan Jepun masing-masing telah membelanjakan AS$187 juta dan AS$480 juta untuk misi yang serupa.

    Bukan hanya kos misi India yang jauh lebih murah menarik perhatian dunia, tetapi kemampuan Pertubuhan Penyelidikan Angkasa Lepas India (ISRO) melaksanakan misi tersebut dengan kekangan yang pelbagai adalah begitu mengagumkan.

    Berhadapan dengan kekangan sekatan pemindahan teknologi tinggi Amerika Syarikat (AS) yang dikenakan ke atas India setelah New Delhi mengadakan ujian ledakan nuklear pada tahun 1974, ISRO membangunkan teknologi angkasa lepas mengunakan hampir seratus peratus kemampuan saintis dan jurutera tempatan.

    Kekangan kewangan yang diperuntukan bagi memajukan bidang angkasa tidak pernah membantutkan usaha ISRO, malah dijadikan pemangkin untuk menjadi lebih maju. Secara keseluruhannya India hanya memperuntukan perbelanjaan sebanyak AS$1 bilion untuk kegunaan bidang angkasa lepas.

    Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) AS umpamanya mempunyai peruntukan AS$10 bilion sementara Pentadbiran Nasional Angkasa Lepas China (CNSA) mempunyai peruntukan dua kali ganda berbanding ISRO.

    Malaysia mempunyai dua agensi yang dikatakan berkait rapat dengan bidang angkasa lepas iaitu Agensi Angkasa Negara (Angkasa) dan Remote Sensing Malaysia di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Malaysia juga mempunyai cita-cita yang tinggi dalam bidang angkasa lepas.

    Wujudnya Majlis Angkasa Malaysia (MAC) yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri menunjukkan kesungguhan negara menerokai bidang yang penuh mencabar ini.

    Mungkin tidak adil untuk membandingkan kejayaan ISRO dengan apa yang telah dicapai oleh Angkasa atau Remote Sensing Malaysia kerana ISRO telah lama berkecimpung dalam bidang tersebut.

    Semenjak ditubuhkan 35 tahun yang lepas, ISRO telah berjaya melakukan pelancaran satelit sebanyak 26 kali di pusat pelancaran Sriharikota dan sehingga hari ini India mempunyai 11 satelit kegunaan Remote Sensing.

    Dalam kategori yang sama Malaysia hanya mempunyai satelit TiungSat1 dan kemungkinan besar akan melancarkan satelit RazakSat pada penghujung tahun ini.

    Apa yang menarik mengenai program angkasa lepas India ialah mereka tidak pernah menggunakan alasan kekurangan peruntukan sebagai kekangan untuk memajukan bidang tersebut. Hala tuju ISRO adalah jelas dan hari ini dunia telah memperakukan kehebatan India dalam bidang pelancaran satelit dan Remote Sensing.

    Malaysia dikatakan masih terkial-kial untuk mencari hala tuju sebenar dalam bidang angkasa lepas kerana setakat hari ini masih tidak mempunyai dasar mengenai angkasa lepas yang jelas.

    Kedua-dua agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi iaitu Angkasa dan Remote Sensing Malaysia dari segi strukturnya adalah organisasi besar yang mampu memainkan peranan memajukan bidang tersebut. Tanpa dasar angkasa yang jelas, kadangkala kelihatan terdapat pertindihan dan percanggahan bidang tugas kedua-dua agensi kementerian tersebut yang sudah tentu akan merugikan negara.

    Setahun selepas angkasawan pertama Malaysia berjaya melawat Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), masih tidak diketahui apakah nasib program tersebut. Apakah program tersebut akan diteruskan atau akan digantikan dengan program baru masih belum diputuskan oleh mereka yang bertanggungjawab.

    Memang benar kos untuk meneruskan Program Angkasawan adalah terlalu tinggi kerana besar kemungkinan akan menelan belanja sehingga RM100 juta. Bagi sebuah negara seperti Malaysia ia sudah tentu merupakan satu perbelanjaan yang besar.

    Tetapi rakyat Malaysia perlu akur bahawa penceburan dalam bidang angkasa lepas memerlukan perbelanjaan yang besar dan kemahuan politik yang lebih besar. India umpamanya dikatakan berjaya mengikis tentangan program angkasa kerana kemahuan politiknya mengatasi segala-galanya.

    Bayangkan hampir satu pertiga rakyat India yang kehidupan mereka umpama kais pagi makan pagi tetapi masih mempunyai kekuatan untuk membelanjakan lebih dari AS$1 bilion setiap tahun untuk program angkasa lepas mereka.

    Bukan hanya kerana India mempunyai dasar angkasa lepas yang jelas tetapi apa yang lebih penting adalah mereka yang bertanggungjawab melaksanakan program tersebut mempunyai kekuatan politik untuk menjalankan tugas mereka.

    Memang benar Malaysia perlu menilai kembali program angkasa lepas negara dan ini termasuklah Program Angkasawan Negara itu sendiri. Tetapi satu perkara perlu difahami dan tidak dapat dielakkan, peruntukan yang besar adalah diperlukan jika Malaysia serius menceburi bidang tersebut. Di sinilah kemahuan politik yang kuat memainkan peranan yang penting untuk menjayakan misi tersebut.

    Bantu lelaki awet muda


    PELAKON watak legenda James Bond, Pierce Brosnan muncul sebagai jurucakap produk rangkaian L'Oréal Men Expert sesuai dengan karisma dan daya tarikan beliau sebagai ejen 007 sejati.

    Brosnan yang berasal dari Ireland merupakan antara pelakon berusia yang berkarisma, mempunyai daya tarikan semula jadi dan sifat menggoda - kombinasi unik membuatkan beliau dipilih sebagai jurucakap paling ideal untuk rangkaian penjagaan kulit Men Expert.

    Beliau menggambarkan kesempurnaan kepada falsafah Men Expert iaitu "Masa depan kulit anda, berada di tangan anda".

    Seperti Brosnan yang berusia lingkungan 50-an, kulit wajah menjadi semakin kendur manakala kedutan bertambah terutama di hujung mata, dahi dan tepi bibir lebih jelas kelihatan.

    Untuk lelaki, kesannya lebih ketara apabila sering terdedah kepada keletihan melampau, gangguan luaran dan faktor cuaca yang tidak menentu.

    Justeru, L'Oréal Paris menerusi rangkaian produk Men Expert memperkenalkan krim pelembap Vita Lift khusus untuk kulit lelaki dengan dua rumusan eksklusif bagi tindakan intensif ke atas kesan penuaan.

    Ia mempunyai kesan dwi-aksi melendut tepu yang berfungsi menegangkan kembali kulit muka dan leher dengan gel diperkaya Pro-Tensium serta krim intensif anti-kedutan dengan Pro-Retinol VX agar kulit lebih tegang dan bertenaga.

    Vita Lift juga mengukuhkan sistem pertahanan semula jadi kulit iaitu Active Defense System (ADS) dengan kandungan aktif berasaskan tumbuhan seperti ekstrak daun pudina yang diperkaya dengan polyfenol.

    Molekul aktifnya turut mengurangkan sensitiviti kulit dengan bertindak terus kepada iritasi kulit terutama kemerah-merahan, rasa berdenyut dan bengkak) sekali gus menambah keselesaan kulit wajah dan mengurangkan tanda-tanda iritasi.

    Kajian ke atas lebih 100 lelaki Asia berusia antara 25 dan 45 tahun selama empat minggu mendapati penggunaan sebanyak dua kali sehari (pagi, selepas bercukur dan malam) pada kulit muka dan leher selama empat minggu berturut-turut mendapati kulit terasa lebih licin, nampak lebih tegang dan kedutan berkurangan.

    Produk L'Oréal Paris Men Expert Vita Lift Intense Double Action Care akan dipasarkan di seluruh negara bermula November ini.

    Lain-lain rangkaian produk L'Oréal Men Expert terdiri daripada pencuci muka Revitalizing Cleansing Foam yang membersih secara mendalam, krim pelembap Complete Anti-Aging dan Intensive Double Action Re-Tightening serta gel pelembap Pure & Matte untuk kulit berminyak.

    Sementara pencuci muka, gel krim pelembap dan krim mata Hydra Energetic sesuai untuk kulit kusam, manakala cecair pelembap dan pencuci White Active pula untuk mencerahkan kulit.

    22 Oktober 2008

    Melayu bagai payung etnik


    MASYARAKAT Malaysia tidak sama dengan yang terdapat di negara bangsa klasik tua. Di negara itu masyarakatnya terdiri daripada satu suku bangsa yang mempunyai satu bahasa, satu budaya dan satu agama. Contoh yang terbaik adalah Jerman, Thailand, Perancis, China dan lain-lain.

    Suku etnik lain yang berhijrah ke negara itu tidak akan diterima sebagai warganegara walaupun sudah bergenerasi mereka tinggal di negara itu. Dasar pembinaan bangsa dalam negara itu adalah berbentuk asimilasi.

    Kumpulan penghijrah ke negara itu mesti menerima bahasa, budaya dan agama suku bangsa berkenaan dan melenyapkan identiti etnik asal mereka. Inilah sebabnya hampir tidak ada sekolah rendah dan menengah di negara berkenaan yang menggunakan bahasa pengantar etnik minoriti atau penghijrah.

    Masyarakat di Malaysia juga tidak sama dengan yang terdapat di negara bangsa pelbagai budaya yang terbentuk apabila kelompok manusia berhijrah ke satu kawasan baru dan membina komuniti mereka hingga menguasai tanah, sektor ekonomi, sistem pentadbiran dan politik negara itu.

    Dengan kedatangan komuniti hijrah baru ke kawasan mereka, jumlah mereka yang kecil dan pemilikan teknologi perang yang terbatas telah menyebabkan mereka kalah dalam persaingan dan terpaksa berpindah ke pinggir tanah air mereka sendiri dan diletakkan di tanah-tanah rizab.

    Kumpulan hijrah yang dominan ini akan menentukan bahasa, budaya, agama dan suku kaum yang boleh mencorakkan setiap aspek masyarakat setempat itu.

    Walaupun akhir-akhir ini kumpulan hijrah dominan ini sudah memperakui komuniti watan yang mereka pinggirkan dengan memperakui budaya, bahasa dan kepimpinan anak watan, ia lebih bersifat sejarah dan simbolik sahaja.

    Di Kanada kumpulan hegemoni penghijrah ini adalah 'Anglo-Perancis', di Amerika Syarikat 'Anglo-Saxon' berkulit putih Protestan dan di New Zealand serta Australia 'Anglo-Celtic'. Etnik kumpulan hijrah inilah yang akan menentukan kepimpinan, dasar dan pembangunan negara setempat. Masyarakat watan hanya menjadi bahan sejarah.

    Selain daripada dua jenis negara tersebut, ahli sosiologi Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr. Mansor Mohd. Noor pula memperkatakan mengenai negara bangsa payung etnik. Negara dalam kategori ini memiliki pelbagai etnik. Penghijrahan komuniti lain berlaku sebelum negara itu mencapai kemerdekaan dan dirancang oleh penjajah bagi menjadi tenaga buruh di dalam kegiatan-kegiatan ekonomi seperti perlombongan, pembangunan ladang-ladang komersial yang berskala besar dan pembangunan prasarana awam negara itu.

    Identiti

    Di negara bangsa payung etnik ini masing-masing etnik dibiar dan dibenarkan mengekalkan identiti kumpulan mereka. Mereka akan tinggal di kawasan yang sama, bercakap dan belajar dalam bahasa ibunda mereka, bekerja di dalam kegiatan ekonomi yang sama dan diurus oleh satu pentadbiran dengan kepimpinan kaum tersendiri berdasar struktur sosial komuniti mereka yang asal.

    Dalam negara bangsa payung etnik, komuniti dominan dan signifikan wujud tetapi kerana jumlah penduduk yang seimbang dan kuasa politik dan ekonomi yang berbeza telah lahirlah masyarakat yang memiliki struktur sosial yang tidak jelas. Ketegangan antara kaum boleh berlaku pada bila-bila masa dan masyarakat itu terdedah kepada konflik dan pertumpahan darah. Payung itu boleh koyak pada bila-bila masa.

    Malaysia bolehlah dikatakan sebagai negara bangsa payung etnik. Dan bagi mengelakkan dimensi bahasa, budaya, agama dan etnik dimanipulasi oleh mereka yang berkepentingan, Malaysia telah melancarkan dan mengamalkan pelbagai rancangan seperti Rukun Negara, Rukun Tetangga, Kursus Perhubungan Etnik di universiti, dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) untuk memastikan perbezaan-perbezaan dapat diurus dan ditangani dengan jayanya.

    Tidak pernah ada Perdana Menteri di negara kita yang tidak bercakap mengenai betapa pentingnya perpaduan. Acuan pembangunan negara dan keharmonian rakyat pelbagai budaya yang menjadi amalan negara ini sentiasa menekankan hal ketahanan negara.

    Demokrasi yang diamalkan berbentuk 'perkongsian kuasa' bukan ala demokrasi Barat. Pertumbuhan ekonomi diagihkan di kalangan mereka yang terabai bukan dengan mengutamakan kumpulan kaya semata-mata. Ekstremis etnik dan agama diurus dan ditangani segera walaupun ia datang daripada keluarga dan kaum sendiri.

    Malaysia boleh dijadikan sebuah negara contoh yang berjaya mengurus dan menangani dimensi sensitif dan kontroversi dalam lapangan bahasa, budaya, agama dan etnik. Rata-rata rakyat menolak tuntutan satu-satu kaum secara melampau. Sesungguhnya, hanya hubungan kaum yang harmonis sahaja yang boleh menjamin kestabilan politik dan kemakmuran negara.

    Setiap kita, sebagai rakyat bertanggungjawab, perlu menyumbang kepada mewujudkan perpaduan.

    Pembangunan negara selama ini telah dirancang dengan baik dan kemajuan bangsa Malaysia telah berlaku dengan aman dan makmur.

    Seiringan dengan ini, nilai-nilai tradisi dan kebudayaan penduduk Malaysia turut hilang dalam arus pemodenan negara. Dalam erti kata lain, cara hidup masa silam telah berubah. Sebagai contoh, pertalian antara ahli-ahli komuniti telah berubah menjadi jauh dan tidak lagi rapat.

    Pada masa dahulu, penduduk di Malaysia adalah rapat di antara satu sama lain. Mereka tanpa mengira bangsa dan agama, suka melawat jiran-jiran yang sudah lama dikenali dan sering bertegur sapa.

    Masyarakat kini lebih mementingkan diri dan tidak mengenali jiran-jiran. Keadaan ketara ini dapat dilihat di kawasan perumahan sekarang terutamanya bagi penduduk yang tinggal di kawasan perumahan elit. Jurang perhubungan di antara manusia pada masa kini terlalu kaku dan jauh.

    Masyarakat telah berubah daripada bentuk organisasi sosial yang berdasarkan kesatuan pemikiran, kepercayaan dan tingkah laku kepada yang berdasarkan kesatuan individu yang terikat oleh tanggungjawab atau kerja yang menuntut tenaga dan waktu yang banyak. Falsafah hidup kita lebih kepada Barat yang mementingkan gaya, individualistik, dan budaya 'makanan segera'.

    Dengan mengamalkan gaya hidup seperti inilah yang menjadikan kita hilang akarnya. Kita lupa tentang falsafah hidup, seni, ajaran moral, dan pemikiran yang diwariskan oleh nenek moyang kita. Terserahlah kini kepada kita untuk menggemblengkan tenaga dan fikiran agar ekstremis dalam bentuk apa sekali pun dapat dihapuskan dan dibanteraskan hingga ke akar umbi bukan dengan secara kekasaran, paksaan atau pertumpahan darah, tetapi dengan menggunakan segala kekuatan intelektual, diplomasi dan kebijaksanaan.

    Jika kita berjaya bermakna pembangunan dan ekonomi negara akan dijjamin bertambah baik dan semua rakyat Malaysia dapat mengecapi nikmatnya. Mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, dalam blognya pada 22 September 2008 ada mengatakan seperti berikut: Multi racial countries have to face race relation problems. With the need to handle racial problems, the management of the economy becomes extremely difficult.

    Depan sawah tanam keledek

    Keledek merah rasanya manis

    Sopan dijaga santun dididik

    Membentuk warga hidup harmonis.

    Ibu angsa ditimpa batu

    Carik bulunya luka berdarah

    Utuh bangsa kerana bersatu

    Runtuh negara membawa padah.