Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

29 Jun 2008

Long Gafar pahlawan berpengaruh Kelantan


Oleh Mohd Azis Ngah dan Haspaizi Mohd Zain




LONG Gafar adalah seorang pahlawan yang mempunyai pengaruh dan peranan penting dalam memastikan kesinambungan pemerintahan Almarhum Long Yunus Long Sulaiman di Kelantan dari 1762 hingga 1794.

Pahlawan itu bukan saja memastikan berjaya mengembalikan tampuk pemerintahan Kelantan kepada Long Yunus selepas dirampas Long Deraman pada 1756, malah membantu Yang Dipertuan Terengganu menang dalam pertaruhannya dengan Panglima Bugis.

Putera Raja kerajaan Reman yang bersempadan dengan Perak, Kelantan dan Thailand ketika itu mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Kelantan.


Long Gafar diamanahkan menjaga kawasan Reman dan berkuasa mengutip hasil cukai serta melaksanakan undang-undang kecuali hukuman bunuh.

Menariknya, beliau mempunyai satu hobi iaitu menyabung ayam dan kegemarannya itu jugalah yang membantu kerajaan Terengganu menang dalam pertaruhannya dengan Panglima Bugis.

Ia bukan sebarang perlawanan kerana membabitkan pertaruhan negeri dan harta. Ketika Panglima Bugis yang tinggal di Pahang datang ke Terengganu, beliau membuat perjanjian pertaruhan dengan Yang Dipertuan Terengganu.

MAKAM dipercayai milik Long Gafar yang terletak di Kampung Limbat.

Pertaruhan itu membabitkan perjanjian berbunyi ‘Jika kalah ayam Panglima Bugis, maka seluruh tujuh buah jong kepunyaannya serta muatannya akan diserahkan kepada Yang Dipertuan Terengganu. Jika ayam Yang Dipertuan kalah, maka kawasan negeri Terengganu mulai dari Seberang Takir hingga ke Kuala Setiu, dan 2,000 ela ke darat akan diserahkan kepada Panglima Bugis’.

Disebabkan pertaruhan itu besar, maka Yang Dipertuan Terengganu mengarahkan panglimanya mencari ayam sabung yang gagah ke seluruh pelusuk negeri termasuk negeri jiran, Kelantan.

Selepas mendapat khabar mengenai pertaruhan itu, Long Gafar datang ke Terengganu bertemu Yang Dipertuan dan kehadirannya disambut baik.

Ayamnya diberi nama ‘Bekas Racun’ yang mewakili kerajaan Terengganu menang dalam pertarungan dengan ayam Panglima Bugis. Selepas pertandingan itu, beliau dianggap penyelamat Terengganu.

Beliau juga bertanggungjawab mengembalikan hak kuasa pemerintahan Kelantan kepada Long Yunus pada 1756. Atas sumbangan serta keberaniannya, beliau dikurniakan pangkat dan kuasa.

Berdasarkan sejarah lisan, Long Gafar yang digelar Engku Serimahraja Perdana Menteri pernah tinggal di Kampung Jeram, Pasir Puteh dan berpindah ke Kampung Limbat lalu membina istana di situ.

Kampung Limbat pula dikatakan mendapat nama sempena seekor ikan ‘Limbat’. Long Gafar pernah membina istananya di situ yang diperbuat daripada kayu serta mempunyai kelengkapan perang dan bedil.

Di dalam kota istana, terdapat kolam membela ikan Limbat serta seekor belut putih. Tapak istana seluas dua ekar (0.8 hektar) itu kini dikatakan dipenuhi kelapa dan durian. Bahkan, kubur Long Gafar juga terletak di Kampung Limbat, Jalan Pasir Puteh.

Beliau juga pernah membina Istana Galoh untuk Long Yunus dan Kampung Galoh, Pengkalan Lisir, Kampung Sireh di Kota Bharu pada 1782.

Sebagai mengenang jasa dan sumbangannya, dua sekolah ditukar nama sempena nama Long Gafar.

Menjejak makam Long Gafar di Kampung Limbat memerlukan bantuan penduduk untuk mengenal pasti lokasinya kerana tiada sebarang petunjuk mengenai pusara itu.

Tinjauan mendapati, makam pemimpin itu kelihatan terbiar tanpa sebarang penjagaan sempurna. Dalam perjalanan ke makam yang terletak kira-kira 15 kilometer dari Kota Bharu itu, dua sekolah yang terletak kira-kira tiga kilometer dari situ, dinamakan sempena nama beliau.

Sekolah Kebangsaan (SK) Long Gafar dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Gafar, melambangkan ketokohan beliau sebagai tokoh pemerintah tersohor. Sekolah menengah itu terletak kira-kira setengah batu (hampir satu kilometer) dari kubur Long Gafar.

Pengetua SMK Long Gafar, Mohamad Yang, berkata sekolah yang diasaskan sejak Januari 1965 itu asalnya menggunakan nama SMK Kubang Keranji tetapi ditukar sebagai mengenangkan jasa, Long Gafar, sebagai pemerintah yang banyak berjasa ketika memerintah kawasan itu.

“Sekolah yang dibangunkan di kawasan seluas 2.8 hektar ini sudah 43 tahun dan menyimpan banyak kenangan serta sejarah tersendiri. Ia mengalami perkembangan pesat dalam pelbagai aspek termasuk akademik.

“Kini, SMK Long Gafar setaraf sekolah elit lain di Kelantan, kejayaan yang dicipta baik di peringkat negeri dan kebangsaan amat membanggakan, selain mengharumkan nama Long Gafar,” katanya.

INFO: Long Gafar

  • Meninggal dunia pada 1783 akibat sakit tua dan dikebumikan di Kampung Limbat.

  • Dikurniakan Pangkat Mangkubumi dengan gelaran Engku Serimahraja Perdana Menteri.

  • Diberi kuasa sebagai pesuruhjaya bagi kawasan bersempadan mulai Sungai Pasir Tumbuh hingga ke laut, ke timur hingga ke Terengganu dan ke barat hingga ke Kelantan dan ke selatan hingga ke Kuala Krai.

Tuan Tulis ulama terbilang


Oleh Mohd Azis Ngah


CATATAN ringkas riwayat hidup Tuan Tulis ditulis pada papan tanda replika keris di hadapan Masjid Tuan Tulis Ismail di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

DI NEGERI SEMBILAN, tokoh agama, Ismail Hussein atau lebih dikenali sebagai Tuan Tulis dianggap antara wali Allah yang cukup terkenal khasnya di Kuala Talang, Kuala Pilah.

Tuan Tulis juga dikenali sebagai kerabat Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan kerana pernah mengubati Yang Dipertuan Besar pertama di London pada 1925, sedangkan ketika itu beliau sebenarnya sudah meninggal dunia.

Dilahirkan di kalangan keluarga miskin, beliau dikatakan sangat tekun mendalami ilmu agama walaupun dalam kesukaran. Sanggup berjalan kaki merantau hingga ke Lubuk Kawah, Temerloh, Pahang untuk berguru terutama dengan Tok Ayah Man (Tuan Guru Haji Abd Rahman).


Ketika berguru dengan Tok Ayah Man, Tuan Tulis tidak mampu membeli kitab disebabkan miskin, tetapi rajin dengan berusaha menyalin semua kitab yang dipelajari serta isu kuliah gurunya. Setiap malam beliau akan menyalin kitab yang akan dipelajari pada keesokan hari dengan meminjam buku daripada rakannya.

Tabiatnya yang rajin dan tekun menulis menyebabkan beliau digelar ‘Ismail Tulis’. Apabila tamat pengajian, orang kampung menghormatinya dengan panggilan ‘Tuan Tulis’. Usaha menulis itu dilakukan berterusan sehingga kitab yang diajar gurunya siap disalin dengan tulisan tangannya sendiri.

Banyak kitab yang disalin, antaranya Tafsir Jalalain dan 30 juzuk al-Quran yang dilakukannya ketika masa lapang. Semua kitab dan ayat al-Quran itu disalin menggunakan dakwat dibuat sendiri hasil campuran arang para dan getah limau kasturi manakala penanya dibuat daripada bilah segar kabung.

Pengkaji tokoh wali Tanah Melayu, Abdul Ghani Said dalam kajiannya menjelaskan, Tuan Tulis pernah membantu memadam kebakaran di Makkah pada 1900. Kejadian itu berlaku ketika tukang cukur masuk ke dalam rumah mengasah pisau dan terperanjat mendapati Tuan Tulis tiada di kerusinya.

Tidak lama selepas itu, beliau muncul kembali dan selepas ditanya ke mana beliau menghilang, dengan selamba Tuan Tulis mengatakan dia membantu memadam kebakaran di Makkah.

“Tuan Tulis kembali ke rahmatullah pada 1922, tetapi pada 1925, berlaku peristiwa benar di mana beliau dikatakan mengubat Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhammad ibnu Tuanku Antah di London.

“Hubungan mereka rapat kerana Tuan Tulis tinggal berdekatan dengan istana Sri Menanti di Kuala Pilah. Dalam pertemuan itu, Tuan Tulis meminta segelas air lalu dijampinya dan disapu ke tempat sakit manakala baki air itu diminum Tuanku Muhammad. Selepas itu, baginda beransur sembuh dan kemudian masuk ke dalam bilik untuk mengambil sesuatu.

“Apabila keluar, baginda menyedari Tuan Tulis sudah ghaib. Selepas itu barulah baginda sedar sebenarnya wali Allah itu sudah meninggal dunia tiga tahun sebelum kejadian itu. Beliau cuma hadir secara kerohanian,” katanya.

Antara peristiwa lain yang menunjukkan karamah Tuan Tulis yang pernah diceritakan secara lisan ialah pernah berlaku ketika beliau bersama anak muridnya mengerjakan bendang, mereka disajikan buah tamar segar seolah-olah baru dipetik, sedangkan kawasan itu memang tiada pokok tamar.

Tuan Tulis juga menternak kerbau, anehnya, binatang peliharaannya tidak pernah memakan padi penduduk, tidak seperti kerbau orang lain. Katanya, beliau pernah berpesan kepada kerbaunya ‘kamu makan rumput saja, jangan makan padi orang’.

Disebabkan itu, penduduk di situ memang mengenali kerbau Tuan Tulis dan memang tidak akan memakan padi mereka. Kerbau itu dibiarkan merayau tanpa ditambat dan orang kampung tidak akan menghalau kerbau Tuan Tulis jika masuk ke bendang mereka.

Kehalusan budinya bukan saja kepada manusia tetapi kepada binatang. Suatu hari ketika dalam perjalanan, beliau terserempak dengan sekumpulan semut yang tidak dapat meneruskan perjalanan kerana dihalang lopak air. Beliau berhenti dan membuat jambatan kecil sehingga semua semua itu melepasi lopak air.

Beliau juga tidak sanggup melihat binatang diseksa dikurung dan pernah membeli burung dalam sangkar lalu membebaskannya.

Tuan Tulis sendiri memelihara beratus ekor burung merpati tetapi dilepas bebas, diberi makan, minum dan disediakan rumah burung untuk berteduh dan bertelur. Selepas kematiannya, beratus merpati peliharaannya terbang mengiringi jenazah dan melindungi jenazahnya daripada pancaran matahari terik.

Sebaik saja upacara pengebumian selesai, semua burung itu menghilang dan tidak pulang ke sarangnya.

Rujukan: Lembaga Muzium Negeri Sembilan.

INFO: Ismail Hussein

  • Suka bergaul dengan orang jahil dan mendampingi mereka dengan tujuan berdakwah.

  • Sentiasa menjadi tempat rujuk masyarakat dan menyelesaikan permasalahan penduduk.

  • Mendirikan masjid di Kampung Kuala Talang secara gotong royong selama dua tahun dan siap pada 1922.

  • Gemar memaki kain pelikat atau seluar jerut, berbaju Melayu atau baju labuh, sentiasa berkopiah.

  • Meninggal dunia ketika sedang bertafakur selepas sembahyang Subuh kira-kira jam 7.30 pagi.

  • Tidak meninggal zuriat dan harta tetapi mempunyai anak murid yang ramai.

Datu Mustapha Bapa Kemerdekaan Sabah


Oleh Mohd Azrone Sarabatin


TUN Datu Mustapha (dua dari kiri) bersama Tunku Abdul Rahman di Kota Kinabalu.

Anak kelahiran Kampung Limau-Limauan menjadi tokoh mengembangkan syiar Islam di Negeri di Bawah Bayu

BAPA Kemerdekaan Sabah, Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun bukan saja dikenali sebagai pejuang menuntut kemerdekaan, beliau juga adalah tokoh yang berjaya mengembangkan syiar Islam di negeri kelahirannya.

Ketika menjadi Ketua Menteri Sabah pada 1967 hingga 1976, kegiatan dakwah Islamiah tersebar luas walaupun ada kritikan bahawa gerakan itu tidak diselenggara secara sistematik. Namun, tidak dinafikan ketika era pemerintahannya, Islam bertapak lebih kukuh di Sabah.


Datu Mustapha adalah pengasas Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia) iaitu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang giat menjalankan dakwah terutama di kalangan saudara baru dan golongan tidak beragama atau `pagan'.

Pertubuhan itu membawa masuk ramai pendakwah dari Semenanjung dan Indonesia untuk menyebarkan Islam sehingga populasi masyarakat Islam meningkat dan bertapak kukuh.

Usia adalah gabungan tiga persatuan berteraskan Islam yang paling berpengaruh di Sabah iaitu Persatuan Islam Sabah (PIS), Persatuan Islam Tawau (PIT) dan Persatuan Islam Putatan (PIT).

Sepupu Allahyarham, Sarip Edris Sarip Akib, 67, berkata sejak kecil Allahyarham bercita-cita untuk menuntut kemerdekaan Sabah dan menyebarkan Islam di seluruh negeri.

Katanya, semangat patriotisme dan perjuangan menegakkan syiar Islam tersemat dalam sanubari Tun Mustapha sejak kecil lagi hasil dorongan ayahnya, Datu Harun Datu Aliuddin.

Sehubungan itu, Allahyarham mendalami ilmu agama dan seni mempertahankan diri daripada tiga beradik yang juga bapa saudaranya iaitu Sallehuddin, Abu Bakar dan Ali Abdul Rahim.

"Saya adalah antara sepupu Allahyarham yang paling rapat dengannya dan ketika kecil Allahyarham sering membangkitkan semangat patriotisme kepada belia di kampung kami iaitu Kampung Limau-Limauan, Kudat supaya bersatu memerdekakan tanah air dan menegakkan syiar Islam," katanya kepada Berita Minggu di Kampung Limau-Limauan, Kudat di utara Sabah, baru-baru ini.

Gerakan dakwah yang dijalankan Datu Mustapha menerusi Usia berjaya menarik golongan `pagan' terutama masyarakat Dusun, Murut dan Rungus untuk memeluk Islam. Antara daerah paling ramai saudara baru adalah Ranau, Tuaran, Kota Marudu dan Keningau.

Tinjauan Berita Minggu di Kampung Limau-Limauan, mendapati masih ramai jurai keturunan Datu Mustapha menetap di perkampungan nelayan itu. Bagaimanapun, rumah yang menjadi tempat kelahirannya sudah tiada dan yang tinggal hanya beberapa pohon pisang.

Perigi tempat tokoh itu mendapatkan bekalan air dan mandi sudah hilang keasliannya kerana dinaiktaraf menjadi perigi konkrit menggunakan pam tangan.

Kini, Kampung Limau-Limauan memiliki rangkaian jalan raya dari persimpangan Kampung Parapat Lodong ke kampung itu, selain memperoleh bekalan elektrik sejak pertengahan April lalu. Penduduk kini hanya menanti penyaluran bekalan air bersih.

Sarip Edris berkata, Datu Mustapha juga minat bermain biola, namun beliau dan keluarganya tidak pasti di mana Allahyarham mempelajari kesenian itu. Ketika berhijrah ke Kudat, Allahyarham tidak pandai bermain alat muzik tradisional berkenaan.

"Ketika dimaklumkan mengenai kematian Allahyarham, saya pengsan sehingga tidak dapat menghadiri pengebumiannya. Selepas sedar, saya menggagahkan diri untuk menziarahi pusara Allahyarham.

"Saya kehilangan seorang abang yang berjuang untuk rakyat Sabah tanpa mengira bangsa dan agama. Beliau seorang pejuang sejati menegakkan syiar Islam," katanya.

Datu Mustapha diiktiraf Bapa Kemerdekaan Sabah kerana perjuangannya memerdekakan negeri itu daripada penjajahan British dan kemudian menyertai Malaysia. Sejak awal lagi, Datu Mustapha menonjol sebagai seorang pemimpin Sabah yang terpenting.

Biarpun pada babak akhir hidupnya, Datu Mustapha tidak lagi menguasai perkembangan politik Sabah, beliau adalah satu-satunya pemimpin Sabah yang bertanggungjawab meletakkan asas pembangunan Sabah sebagai sebuah negeri yang maju.

Beliau adalah contoh terbaik kepada golongan muda di Sabah. Memulakan kehidupannya sebagai seorang budak suruhan kepada Residen British dan berkat kegigihannya serta keazaman yang teguh, Allahyarham meningkat menjadi seorang tokoh besar Malaysia.

Ketika pendudukan Jepun, Allahyarham berjuang dalam tentera sehingga mendapat pangkat kapten dalam tentera British. Mustapha menjadi Ketua Menteri dan Yang Dipertua Negeri Sabah berikutan kemerdekaan Sabah.

Almarhum Tunku Abdul Rahman pernah menulis rencana menyatakan penghargaannya terhadap Datu Mustapha sebagai seorang teman yang sangat murah hati, yang banyak memberikan pertolongan kepada Bapa Kemerdekaan Malaysia selepas Almarhum bersara daripada politik.

Justeru, Datu Mustapha bukan saja seorang tokoh yang berjuang hingga ke titisan darah akhir untuk menuntut kemerdekaan Sabah, Allahyarham juga adalah seorang pejuang yang berjaya mengukuhkan kedudukan agama Islam di Negeri di Bawah Bayu.

INFO: Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun

  • Berketurunan Suluk dilahirkan di Kampung Limau-Limauan pada 31 Ogos 1918

  • Meninggal dunia ketika berusia 76 tahun di Pusat Perubatan Sabah di Likas, Kota Kinabalu kerana menghidap penyakit jantung.

  • Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Islam di atas sebuah bukit di Putatan, dekat Kota Kinabalu bersebelahan pusara isterinya Toh Puan Rahmah Zulkarnain seperti yang diwasiatkannya.

Wan Mat Saman Bapa Pembangunan Kedah

Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar


GAMBARAN asal Terusan Wan Mat Saman yang siap dibina pada 1896

Perdana Menteri pertama Kedah perkenal banyak idea rancakkan kegiatan ekonomi

CATATAN sejarah menunjukkan Kedah sejak beratus tahun lalu adalah negeri pertanian dengan padi menjadi tanaman utama penduduk. Ia disebabkan keadaan bentuk muka bumi negeri itu yang rendah dan pamah menjadikannya amat subur untuk tanaman padi.

Di samping pertanian, Kedah juga dikatakan unggul sebagai destinasi perdagangan di rantau ini apabila menjual bijih timah, lada hitam dan gajah untuk kenderaan dan pengangkutan.


Bagaimanapun, apabila Pulau Pinang dijajah Inggeris pada 1786, kesibukan Kedah sebagai negeri perdagangan bertukar menjadi sepi.

Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Datuk Wan Shamsudin Mohd Yusof, berkata namun selepas kelahiran Wan Muhammad Saman Wan Ismail, pada 1830-an yang kemudian dilantik sebagai Perdana Menteri Kedah yang pertama (kini jawatan itu dikenali Menteri Besar), membuka lembaran baru kepada Kedah.

Lahir di Alor Janggus, kira-kira sembilan kilometer dari bandaraya Alor Star pada 1830-an, Wan Muhammad Saman mendapat pendidikan asas dalam pengajian al-Quran ketika kecil. Sesuai dengan zaman itu, beliau juga diajar ilmu berperang dan boleh bertutur bahasa Thai.

Wan Muhammad Saman Wan Ismail, Menteri Besar Kedah yang pertama.

Kemampuan cemerlang Wan Muhammad Saman itu mendorong Sultan Kedah ketika itu, Sultan Ahmad Tajuddin III memilihnya mengiringi baginda ketika melawat Siam pada 1865 untuk meninjau pembangunan di negara Gajah Putih itu.

Melihatkan kepada keupayaan dan kemampuannya yang luar biasa, Sultan Ahmad Tajuddin III mewujudkan satu jawatan Perdana Menteri pada 1870 dan melantik Wan Muhammad Saman yang juga ipar baginda untuk menyandangnya.

Beliau berkata, dengan jawatan itu, Wan Muhammad Saman melaksanakan pelbagai perubahan dalam pentadbiran Kedah. Pertama, menyelaraskan semua pemerintahan di bawah pentadbirannya. Dalam hubungan itu, beliau menjadikan Alor Star sebagai pusat pentadbiran negeri.

Wan Muhammad Saman dikatakan berazam mahu mengembalikan kegemilangan Kedah sebagai pusat kegiatan ekonomi yang tersohor di rantau ini.

Sebuah batu peringatan mengenai terusan Wan Mat Saman di tebing Sungai Kedah.

Dibantu oleh menteri keempat, kelapan, ke-16 dan pembesar daerah, beliau sering bermesyuarat di Balai Besar, Alor Star bagi mencari idea baru membangunkan ekonomi.

Beliau juga dikatakan akan menasihatkan Sultan menyingkirkan pembesar daerah tertentu sekiranya tidak sesuai memikul tanggungjawab baru serta bertindak sebagai penasihat peribadi Sultan dalam semua aspek pembangunan.

Wan Muhammad Saman menyerahkan pentadbiran hal-ehwal orang Cina kepada kapitan Cina.

Hasil pertambahan pengalaman selepas melawat Pulau Pinang dan Siam pada 1865, beliau melancarkan pelbagai program pembangunan di Kedah. Usaha pertama ialah memberi peluang kepada orang Cina membuka kebun kopi, kebun pala dan kebun cengkih di Bukit Pinang. Usaha itu sedikit sebanyak dapat merancakkan ekonomi negeri.

Dasar pembangunan yang dibawa Wan Muhammad Saman dikatakan amat serasi dengan zaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin III yang menubuhkan sekolah Melayu pertama di Padang Lepai, Kota Setar pada 1861, membina jalan raya, memperkenalkan rawatan perubatan moden dengan mengambil seorang doktor dari Madras selain menggalakkan saudagar asing dari India dan Cina menjalankan perniagaan di Kedah.

Beliau turut membesarkan bandar Alor Star sehingga berkembang ke Anak Bukit dan Langgar. Pelbagai insentif diberikan kepada saudagar asing supaya melabur di Kedah.

Turut dibangunkan ialah jalan raya dan titi batu di Sungai Alor Merah. Pembangunan pesat itu memerlukan lebih ramai buruh dibawa masuk dari China dan India.

Dalam bidang pendidikan pula, Wan Muhammad Saman mendirikan banyak sekolah untuk rakyat. Beberapa sekolah Melayu didirikan di Changlun (1892), Kulim (1896) dan Alor Star (1898). Mata pelajaran yang diajar ialah menulis, membaca jawi, kira-kira dan ilmu alam. Guru khas mengajar Bahasa Thai juga disediakan.

Ketika melawat Siam, beliau tertarik dengan pelbagai terusan yang menjadi jalan perhubungan serta pengangkutan di Bangkok. Ini menimbulkan ilham kepadanya untuk membina sebatang terusan di Kedah bagi mengemaskan sistem tali air di negeri itu.

Wan Shamsudin berkata, iltizam yang tinggi bagi melihat hasil padi ditingkatkan, Wan Muhammad Saman mengerah penduduk kampung menggali terusan sepanjang 35 kilometer dari kaki Gunung Jerai di Kuala Muda hingga ke Tandop, Alor Star. Saliran itu lebih dikenali sebagai Terusan Wan Mat Saman dan dikatakan terusan terpanjang di dunia yang digali menggunakan tulang empat kerat.

Kerja pembinaan terusan itu dikatakan membabitkan lebih 5,000 tenaga penduduk tempatan.

Terusan selebar enam meter dan sedalam 2.5 meter itu terbukti mampu menambah hasil padi ketika itu dan hasilnya, pada 1969 tercetuslah idea untuk memperbaiki sistem saliran oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada).

Selepas melalui pelbagai kesukaran, terusan itu berjaya disiapkan pada 1896, sebelum Wan Muhammad Saman meninggal dunia dua tahun selepas itu.

Kegigihan Wan Muhammad Saman memajukan Kedah melalui pelbagai idea baru ketika itu, tidak hairanlah beliau digelar Bapa Pembangunan Kedah oleh ramai sejarawan.

INFO: Wan Muhammad Saman

  • Lahir pada 1830-an di Alor Janggus, dekat Alor Star.

  • Mendapat pendidikan agama dan al-Quran, tetapi bijak dalam merancang strategi pembangunan negeri sehingga mendapat kepercayaan Sultan Kedah ketika itu, Sultan Ahmad Tajuddin III.

  • Giatkan aktiviti ekonomi di bandar Alor Star dengan membina lebih banyak kedai dan menggalakkan kedatangan pedagang Cina.

  • Memberi sumbangan dalam membangunkan bandar Alor Star dan aspek pendidikan.

  • Membina Terusan Wan Mat Saman sepanjang 35 kilometer dari kaki Gunung Jerai di Kuala Muda hingga ke Tandop, Alor Star.
  • Wan Othman pencipta lagu patriotik


    Oleh M Hifzuddin Ikhsan


    WAN Othman menerima pingat daripada Tuan Yang Terutama Negeri Sarawak, Tun Abang Mohamad Sallehuddin pada 1994.

    Pengasas Orkestra Simfoni cipta lagu 'Ibu Pertiwi' yang menjadi lagu rasmi Negeri Sarawak

    JASA Datuk Wan Othman Wan Hamid Alkhatib, kini dikenang kerajaan dan seluruh rakyat Sarawak sebagai insan yang bertanggungjawab mencipta lagu rasmi negeri 'Ibu Pertiwiku'.

    Mendengar kembali bait-bait lagu Ibu Pertiwiku, pendengar pastinya dapat merasakan betapa Wan Othman begitu mencintai tanah tumpah kelahirannya itu sehingga setiap lirik ditulis begitu indah dan mencerminkan pengorbanan yang dilakukan rakyat negeri itu.


    Dilahirkan pada 4 Julai 1931, Wan Othman menempuh suka duka rakyat negeri ini sejak di bawah pemerintahan Rajah Brooke, penjajahan Jepun serta Inggeris sebelum pembentukan Sarawak, Sabah dan Tanah Melayu kepada Malaysia pada 16 September 1963.

    Menceritakan perjalanan hidupnya, anak sulungnya, Wan Zaleha Wan Othman, 53, menyifatkan ayahnya yang pernah menjadi pembantu kerani Majlis Perbandaran Kuching (KMC) adalah seorang pencipta lagu patriotik sehingga akhir hayatnya dan seorang yang pemurah kepada individu yang kesusahan.

    Katanya, ilham mencipta lagu arwah boleh datang pada bila-bila masa dengan beliau akan menghabiskan masa berhari-hari menggarap lagu itu malah sebelum menghembuskan nafas terakhir, ayahnya sedang menyiapkan satu lagu bagi sebuah sekolah di sini.

    WAN Othman bersama rakan lamanya, Ahmad Jais.

    Sebagai pemain 'double bass', Wan Othman menubuhkan Orkes Rayuan Pemuda Keroncong Party di bawah pimpinannya sendiri dan sering menerima jemputan membuat persembahan pada majlis kenduri kahwin sebelum menjadi pencipta lagu.

    Lulusan darjah 5 Madrasah Melayu pada 1951 ini juga memiliki Sijil Gred III Teori Muzik dari 'Royal Music Society of London' mula mencipta lagu patriotik apabila diminta menggubah lagu bagi sekolah dan jabatan kerajaan negeri yang baru dibuka selepas pembentukan Malaysia.

    Beliau kemudian bersama beberapa pemuzik anak negeri mengasaskan Orkestra Simfoni Negeri Sarawak dan pada 1961, lagu 'Juita Ku' terkenal di negeri ini malah hingga kini ia masih dinyanyikan penyanyi tempatan pada majlis rasmi negeri.

    Kemuncak kerjaya beliau apabila lagu 'Kucupan Azimat' ciptaannya dan lirik oleh Ismail Hassan yang dinyanyikan Ahmad Jais (kini Datuk) dirakamkan ke piring hitam dan mendapat sambutan hangat peminat bukan saja di Semenanjung malah Sarawak.

    Mengimbau kembali kenangan bersama ayahnya, Wan Zaleha, berkata sebagai anak sulung dia sering dibawa arwah ke studio Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sarawak bagi merakamkan lagu atau membimbing kumpulan pemuzik.

    "Arwah adalah orang yang tenang ketika memberi tunjuk ajar malah sanggup menunjukkan cara bermain alat muzik seperti biola yang betul kepada pemuzik di bawah kelolaannya sekiranya ada bahagian tertentu yang tidak memuaskan hatinya.

    "Di rumah pula, arwah mengajar kami semua bermain alat muzik sehingga setiap adik beradik saya cekap bermain biola, gitar dan piano. Namun, tiada yang menjadikan muzik sebagai kerjaya tetap mereka," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

    Dalam catatan terakhir Wan Othman, beliau sendiri menyatakan lagu ciptaannya adalah simbol penghargaannya kepada negara serta pemimpin yang banyak berjasa kepada penduduk di Sarawak.

    Lagu ciptaannya berbentuk mudah malah pendengar mampu menyanyikan semula selain merasakan kekuatan liriknya menyentuh perasaan. Lagu 'Kucupan Azimat' adalah penghargaan kepada pahlawan negara yang meninggalkan kekasih demi berjuang untuk negara dan sanggup mengorbankan diri.

    Meneliti setiap lagu ciptaan Wan Othman, adalah seperti kita membaca cerita perjuangan yang tidak akan berakhir malah setiap langkah mempertahankan negara adalah bukti kepada kesetiaan yang tiada bandingannya.

    Katanya, pencipta sekarang mencipta lagu menggunakan alat muzik seperti 'keyboard' dan komputer tetapi pencipta dulu hanya bergantung kepada ilham semata-mata sebelum nota muzik dicatatkan di atas kertas.

    "Ketika mencipta lagu, alat muzik yang saya gunakan cuma gitar dan saya jadikan kerja ini sebagai hobi atau untuk diberikan kepada pihak yang mahukannya.

    "Bagi mencipta liriknya pula, saya selalu membaca buku dan surat khabar selain mendengar kembali lagu lama yang indah liriknya," katanya dalam catatan terakhirnya.

    Jasanya sebagai insan yang mencipta lagu rasmi negeri Sarawak akan terus dikenang seluruh rakyat negeri ini bagi tatapan generasi akan datang.

    Info:

  • Mula aktif menyertai kumpulan seperti Orkes Irama Sarawak, Orkes Nirmala, Orkes AS Khaider Quintet dan Orkes Tiga Serama yang popular di Sarawak sejak usia remaja

  • Berkahwin dengan Datin Napsiah Basri.

  • Bersara dari KMC dengan jawatan terakhir sebagai Bendahari Perbandaran pada 1983

  • Menghembuskan nafas terakhir pada 24 Mac 2008 ketika berusia 77 tahun.

  • Mempunyai 10 anak berusia antara 53 hingga 29 tahun.
  • Sultan Aluddin 'raja terbuang'


    Oleh Mohd Azis Ngah


    MAKAM Sultan Alauddin Riayat Shah terletak di pekarangan masjid Kampung Raja, Pagoh.

    Peribadinya yang hebat serta kewibawaannya tidak disenangi pembesar istana

    MEMBICARAKAN sejarah kesultanan Melayu Melaka (1400-1511), pasti akan mengheret sama Sultan Alauddin Riayat Shah yang dianggap sebagai tokoh kontroversi dan sensasi.

    Berdasarkan beberapa sumber Melayu seperti Sulalat al-Salatin atau Sejarah Melayu dalam pelbagai versi, Sultan Alauddin adalah seorang Raja Melaka yang hidup pada zaman kegemilangan kerana ketika era pemerintahannya, kekayaan datang mencurah-curah ke Melaka dari seluruh dunia.


    Ketokohan dan keperibadian baginda sering disamakan dengan kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz yang keluar waktu malam meninjau kehidupan rakyatnya.

    Sayangnya, baginda memerintah Melaka selama 11 tahun saja dan mangkat pada usia terlalu muda. Makam baginda terletak di atas sebuah anak bukit di tebing sebelah kiri Sungai Pagoh di Kampung Raja, Pagoh, Muar, Johor.

    Istimewanya makam ini kerana ia adalah satu-satunya makam Diraja Melaka yang terselamat ketika berlaku ‘pembersihan’ oleh Portugis dengan alasan membina kota pertahanan, A Famosa. Ketika itu semua makam Raja lain dibongkar penjajah Portugis.

    GAMBARAN dari jarak dekat Makam Sultan Alauddin Riayat Shah.

    Dilihat kepada keadaan kemangkatan dan tempat persemadiannya, timbul persoalan menarik minat ahli sejarah sehingga sekarang iaitu selain takdir Ilahi, kenapa baginda mangkat ketika usia terlalu muda?

    Timbul juga persoalan bagaimana pemakaman diraja dilakukan di luar Melaka sehingga ke kawasan hulu Sungai Muar? Apakah istimewanya Pagoh pada kaca mata kesultanan Melayu Melaka sehingga jenazah pemerintah sebuah empayar Melayu agung disemadikan di situ.

    Pengkaji sejarah merangkap pensyarah Jabatan Pengajian Islam dan Sains Sosial, Pusat Pengajian Kemanusiaan dan Komunikasi, Universiti Tun Hussein Onn, Mohd Akbal Abdullah, berkata salasilah jelas menunjukkan baginda adalah putera kepada Sultan Mansur Shah.

    Bagaimanapun, katanya, ibunya seorang puteri berketurunan Jawa yang juga seorang daripada isteri Sultan Mansur Shah.

    “Naskhah Melayu amat berani dan berjaya menyembunyikan identiti baginda. Baginda bukanlah Raja dalam penantian, sebaliknya dipilih menggantikan Sultan Ahmad (Muhammad) yang dihalau ke Pahang oleh pembesar Melayu berpunca kes pembunuhan Tun Besar (anak pembesar Tun Perak).

    “Ketika Sultan Mansor mangkat, Sultan Alauddin Riayat Shah ditabalkan sebagai Raja di Kelang. Bagaimanapun, melalui kebijaksanaan dan seni kepengarangan Sulalat al-Salatin, Raja Kelang iaitu Raja Raden (gelaran Jawa) atau Raja Hussein atau Raja Ahmad yang didakwa mati terbunuh di Kelang itu sebenarnya baginda yang ditabalkan semula di Melaka dengan gelaran Sultan Alauddin Riayat Shah,” katanya.

    Berdasarkan Suma Oriental, iaitu satu-satunya sumber Portugis yang merakamkan maklumat lisan orang Melaka ketika istana Melaka masih terbakar, ada menyebut baginda seorang yang warak, suka beruzlah (mengasingkan diri untuk beribadah) dan digambarkan mengamalkan solat malam.

    Pengetahuan ilmu agamanya sangat tinggi, mendalam serta sering menghimpunkan putera Raja dari jajahan Melaka di istana Melaka untuk bermain sepak raga dan menghadiri ilmu agama di masjid.

    Satu ketika, baginda keluar malam bersama beberapa pemuda Melaka meninjau kehidupan rakyat dan pernah bertempur dengan sekumpulan pencuri di Melaka.

    Kesungguhan baginda menjaga keselamatan Melaka menyebabkan beberapa pembesar Melaka tergugat, khususnya Temenggong yang ditempelak hebat kerana gagal menjaga keselamatan negeri.

    Kegagalan pembesar dan kewibawaan Sultan Alauddin memberikan gambaran wujudnya persaingan antara Raja dengan Temenggong.

    Tindakan menempelak pembesar bukanlah sesuatu yang melanggar adat, tetapi dilihat mengancam kedudukan Temenggong yang sebenarnya bercita-cita tinggi. Gangguan politik tradisi Melayu ini dan kekalutan pentadbiran di kalangan pembesar menimbulkan suasana kurang harmoni.

    “Sejak peristiwa itu, Sultan Alauddin menghadapi masalah besar, antaranya ialah isu keturunan darah bukan Raja dan keturunan Melayu jati di sebelah ibunya. Sebelum itu, institusi Raja Melaka mempertahankan darah diraja dan Melayu sebagai “syarat” menaiki takhta.

    “Baginda juga diancam Sultan Ahmad di Pahang yang berusaha menuntut takhta di Melaka. Masalah paling besar ialah pentadbiran dalaman khususnya hubungan dengan Temenggong, Tun Mutahir yang bercita-cita tinggi walaupun jelas gagal menjaga Melaka,” katanya.

    Semua permasalahan itu akhirnya menjadi satu faktor utama kemangkatan baginda pada usia muda. Kedudukan makam terlalu jauh dari pusat pentadbiran Melaka memberikan hujah telah berlaku penyingkiran fizikal dan wibawa Raja berkaliber dalam sejarah Melayu Melaka.

    Ia berpunca daripada suasana dan sikap tamak, dengki, negatif segelintir masyarakatnya yang bercita-cita besar serta persaingan antara pembesar di istana.

    Makam di Pagoh juga menunjukkan keutamaan Kampung Raja, di Pagoh sebagai sebuah lokasi politik yang terletak bukan saja jauh jaraknya tetapi juga jauh di sudut hati dunia politik Melayu satu waktu dulu.

    Kebebasan Dengan Tanggungjawab


    Bersama Johan Jaaffar

    Atau Demokrasi Bermakna "Apa Saja Boleh"

    TIDAK ada wartawan yang lebih berotoriti bercakap tentang "kebebasan media" dari John Pilger. Berasal dari Australia, Pilger bukan sahaja merupakan wartawan yang membuat laporan di medan perang dan di banyak lapangan konflik tetapi beliau juga seorang penelaah dan pengkritik media yang berani. Buku terbarunya Freedom Next Time sekali lagi membuka mata kita tentang dilema pangamal media serta tanggungjawab moral mereka dalam dunia yang semakin keliru dan biadab. Sebelum ini Pilger menghasilkan Distant Voices, juga kritikan terhadap amalan kewartawanan.

    Memang tiada siapa yang dapat menafikan pengaruh media hari ini. Walaupun apa yang disebutkan "media alternatif" yang secara mudah ditafsir sebagai laporan, analisis dan berita dalam dunia siber, media tradisional masih punya taringnya. Lebih suku abad selepas Peristiwa Watergate � titik tolak penting bagaimana media dikagumi dan digeruni � dunia media sudah jauh berubah. Tetapi satu hal tidak berubah � prinsip dan etika yang mendukung dunia kewartawanan itu sendiri.


    Pilger mengingatkan kita tentang bagaimana pengamal media harus bertanggungjawab pada profesyennya. Dalam konteks yang lebih luas ialah tanggungjawab itu melebihi sekadar melapor dan membuat liputan. Berita yang dilaporkan bukan sekadar peristiwa dan sejarah. Berita punya sebab dan akibatnya selain latar belakang dan sejarahnya. Maka itu pemberitaan yang objektif tidak sekadar melaporkan sesuatu dalam konteks berita yang tertera tetapi juga rentetan peristiwa di belakang berita itu.

    Pilger menunjukkan bagaimana media sering melupakan isu yang lebih pokok apabila diseret untuk melaporkan berita semasa yang besar dan sensasi. Malah aspek mensensasikan berita inilah yang selalunya meletakkan pengamal media pada kritikan dan kecaman umum. Ada pemberitaan "pasang siap" yang tujuannya tidak lebih untuk keperluan tertentu, lengkap dengan "slant" dan "spin" yang tersendiri.

    Pilger bukan sendirian menegur hal ini. Sebelum ini kacau bilau media Amerika Syarikat (AS) dilabelkan oleh Howard Kurtz sebagai "sarkas media." Dalam Media Matters, John Friskie menegur masyarakat yang dianggapnya "gila media." Manusia menganggap sebagai betul apa sahaja yang dilaporkan pada mereka selain mengagumi tokoh-tokoh yang dibina oleh media.

    Pilger mengingatkan pengamal media bagaimana mereka kadang-kala terlupa bahawa akibat ingin kelihatan "bertanggungjawab", mereka melupakan prinsip yang menjadi teras profesion mereka. Ada "kuasa lebih tinggi" yang menguasai pertimbangan mereka. Ada kalanya kuasa itu datang dari pimpinan kerajaan, ada kalanya dari tuan punya media itu atau editor yang mempunyai kepentingan sendiri.

    Ambil sahaja contoh reaksi media AS selepas Peristiwa September 11, 2001. Media negara itu "dituntut" untuk memperlihatkan diri mereka patriotik jikalau tidak mereka dianggap tidak relevan. Malah nada patriotisme itu menguasai media arus perdana hinggakan pertimbangan lain dikesampingkan. Dalam rencana saya, "Media as Manipulator" dalam akhbar New Straits Times, 18 Disember 2001, saya menanyakan apakah benar media AS beroperasi sebagai "media yang dirancang" (a managed one) oleh tangan-tangan yang tidak kelihatan? Saya menanyakan juga tentang hancurnya hak asasi dan kebebasan sebenar dalam waktu seumpama itu. Media Barat menggunakan kata-kata dan ungkapan yang mewajarkan tindakan kerajaan mereka. Islam dilabelkan militan dan istilah "jihadist" pertama kali muncul untuk mewajarkan tindakan keganasan penganut agama Islam.

    Pilger melihat bahaya yang lain. Menurut beliau media Barat bertindak sebagai serpihan dari mentaliti penjajahan yang masih berleluasa. Andaian kolonial amat jelas apabila media AS melaporkan jumlah mangsa di dua buah menara di New York pada 11 September itu, lebih kurang 8,000 orang. Tiada siapa yang mengingat angka yang diberikan oleh Organisasi Makanan dan Pertanian PBB mengenai bilangan kematian kanak-kanak dalam sehari di dunia � 36,615 orang.

    Apabila tentera AS menyerang Baghdad, di daerah al-Shula, 62 orang terkorban akibat sasaran bom yang salah. Seperti banyak mangsa serangan AS dan sekutunya, mereka tidak lebih "collateral damage." BBC, badan penyiaran Britain yang turut terikut dengan sentimen AS membuat laporan 45 saat kejadian itu atau kurang sesaat bagi setiap mangsa. Tumpuan media Barat pada ketika itu hanya pada tindakan menghancurkan tentera Saddam Hussein � "makhluk" yang sebenarnya ciptaan AS dan sekutunya.

    Mengapakah mangsa serangan AS dan sekutunya tidak sepenting kematian beberapa orang anggota tentera mereka? Mengapakah nasib 800 juta manusia yang hidup dengan RM3.20 sehari tidak mendapat perhatian berbanding dengan pertandingan merebut jawatan Presiden AS?

    Tidak banyak orang yang tahu makna sebenar "dasar luar AS kepada kemanusiaan." Inilah dasar yang tidak mungkin berubah walaupun siapa yang memenangi Pilihan Raya Presiden kali ini � Barack Obama atau John McCain. Menurut buku Rogue State karya William Blum, di antara tahun 1945 hingga 2005, AS telah cuba menggulingkan 50 kerajaan, kebanyakannya kerajaan yang mengamalkan demokrasi, dan menghancurkan 30 gerakan popular rakyat menentang rejim yang menindas, mengebom 25 buah negara dan menyebabkan kematian berjuta-juta manusia.

    AS membelanjakan RM1.2 trilion pada tahun 2003 untuk tenteranya. Jumlah itu 33 kali ganda lebih banyak daripada perbelanjaan ketenteraan terkumpul tujuh buah negara yang dilabelkan "negara penyangak" oleh Presiden Bush. Jumlah itu meningkat lagi selepas September 11.

    Secara mudah, "orang lain" dianggap "expandable" dari kacamata media Barat yang dikelabui oleh perspektif dan wacana kolonial ini. Apalah maknanya rakyat negara-negara miskin yang saban hari mati kerana kebuluran atau Aids? Pilger menunjukkan perang untuk membasmi kemiskinan dan buta huruf di negara-negara Latin Amerika tidak pernah menarik perhatian media AS, sebaliknya perang saudara di Nicaragua menjadi isu besar.

    Kita jangan lupa, terorisme merupakan perkataan baru yang diberi makna baru selepas 11 September. Sebelum itu, AS membantu hampir semua gerakan ketenteraan dan kumpulan penentang dari Nicaragua hingga Afghanistan. Mereka wira media AS. September 11 tiba-tiba menjadikan mereka pengganas.

    Kita terlupa bahawa apabila PBB meluluskan resolusi pada tahun 1987 untuk ahli-ahlinya menentang "terorisme di mana sahaja dan oleh sesiapapun yang melaksanakannya" hanya dua negara yang menentang � AS dan Israel. Tiba-tiba AS dan sekutunya bertindak memburu sesiapa yang dilabelnya pengganas dan menyerang negara-negara yang dianggap melindungi pengganas. Mengapa berubah begitu cepat?

    Pilger mengingatkan kita bahawa "war on terror" kini menjadi "a war of terror." Tetapi tidak banyak wartawan Barat yang mahu menghujahkan hal itu. Begitu juga isu yang membabitkan nasib rakyat Palestin yang telah dinafikan hak kemanusiaan mereka selama lebih 54 tahun. Apakah pembelaan terhadap nasib mereka berbanding dengan kekejaman rejim Israel? Oleh kerana media pro-Yahudi menguasai pandangan umum, rakyat Palestin juga dinafikan gelanggang hujah dan debat.

    Demikianlah Pilger mengingatkan pengamal media tentang bahaya melihat hanya dari perspektif yang sempit. Semua pengamal media harus bercermin diri untuk melihat sejauh mana kita mendukung sesuatu pendirian atau fahaman. Dalam konteks pengaruhnya memang media boleh memutar belit dan memperdaya. Media tidak boleh membenarkan peraturan politik � dari mana-mana pihak � menentukan agendanya.

    Lagipun media banyak kaitannya dengan persepsi. Banyak orang yang melihat "perspektif yang sempit" hanya dalam konteks kononnya hanya media arus perdana negara ini yang terkawal dan tidak punya kebebasan. Tetapi realitinya apakah media milik parti pembangkang bebas dan objektif? Apakah mereka memegang prinsip kewartawanan yang sebenar? Mengapakah ada double-satandard dalam membuat penilaian?

    Pembinaan sebuah masyarakat sivil harus bertolak dari media yang bebas. Media bebas tidak datang tanpa komitmen dan prinsip. Memang kita boleh menghujahkan apa maknanya kebebasan media dan hak bersuara. Debatnya akan berpanjangan. Tetapi satu hal adalah jelas � kebebasan media harus datang dengan tanggungjawab dan bukan lesen untuk memporak peranda, merosak atau memfitnah.

    Definisi garis kemiskinan perlu dikaji semula



    Penstrukturan subsidi minyak dan harga barang menyebabkan kos sara hidup meningkat

    PEMBENTANGAN Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Dewan Rakyat, Khamis lalu, menyatakan secara terperinci kemajuan yang dicapai dalam tempoh dua tahun lalu dan sasaran yang hendak dicapai pada akhir 2010. Berbanding ketika RMK-9 diumumkan pada Mac 2006, senario sekarang jauh berbeza kerana krisis ekonomi dunia mula menampilkan diri. Antara pendekatan yang kerajaan lakukan ialah menstruktur semula subsidi minyak dalam negara menyebabkan tekanan terhadap kenaikan sara hidup serta kadar inflasi. Ini yang menyebabkan Kajian Separuh Penggal RMK-9 penting untuk diperhalusi dan difahami semua peringkat masyarakat. Ikuti temu bual wartawan Berita Minggu bersama Ahli Ekonomi Kanan Bank Islam Malaysia Bhd, Azrul Azwar Ahmad Tajudin.

    APA antara aspek penting terkandung dalam Kajian Separuh Penggal RMK-9, terutama yang menyentuh semua peringkat masyarakat?


    Menarik untuk memperkatakan bahawa dalam Kajian Separuh Penggal RMK-9 yang dibentangkan Perdana Menteri ialah satu suruhanjaya pengangkutan awam akan ditubuhkan bagi merancang dan menyelaras semua program pengangkutan awam dan inisiatif dalam negara.

    Mengikut Unit Perancangan Ekonomi (EPU), suruhanjaya itu akan bertanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan sistem pengangkutan yang lebih cekap dan bersepadu.

    Ini bermakna wujud satu pelan induk menentukan sistem pengangkutan awam di negara ini lengkap dan bersepadu serta mengambil kira semua aspek yang boleh meningkatkan kualiti perkhidmatan.

    Untuk mewujudkan sistem pengangkutan awam yang terbaik, perlu ada empat ciri, iaitu kecekapan, berdaya maju, mampu dibayar dan bersepadu.

    Dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-9, saya melihat unsur bersepadu diberi perhatian dan ini penting kerana jika kita lihat sistem pengangkutan awam seperti sistem aliran transit ringan Star, Putra dan monorel, langsung tidak bersepadu.

    Sepatutnya, ketiga-tiga sistem ini bersepadu tetapi ini tidak berlaku. Penumpang yang menggunakan Putra dan kemudian Star, terpaksa berjalan kaki keluar dari stesen dan pergi ke stesen lain. Penumpang monorel terpaksa berjalan kaki untuk ke KL Sentral jika mahu meneruskan perjalanan menggunakan Putra.

    Keadaan ini berlaku kerana tiada unsur bersepadu dalam sistem pengangkutan awam kerana dalam pentadbiran lalu, tiada pelan induk. Bagi menjamin sistem pentadbiran awam yang bermutu, empat ciri yang saya katakan tadi perlu ada.

    Selain itu, dasar pentadbiran lalu menggalakkan pemilikan kenderaan peribadi tidak lagi sesuai kerana mengabaikan faktor bahawa harga minyak dan gas akan meningkat. Ini terbukti sekarang apabila sistem pengangkutan awam yang tidak cekap menyebabkan pengguna tidak mempunyai pilihan, selain memandu kenderaan masing-masing.

    Bagaimana pula dengan aspek kemiskinan yang mencatatkan penurunan dalam hampir semua kategori?

    Membasmi kemiskinan memang adalah antara tumpuan utama kerajaan sejak merdeka dan dari semasa ke semasa, kadar kemiskinan di negara ini semakin menurun. Contoh dapat dilihat apabila kadar kemiskinan keseluruhan dikurangkan daripada 5.7 peratus pada 2004 kepada 3.6 peratus pada 2007.

    Kemiskinan tegar pula menyusut dari 1.2 peratus kepada 0.7 peratus pada 2007 selain mengurangkan jurang ekonomi antara kumpulan etnik, antara wilayah dan antara bandar dan luar bandar.

    Ketidaksamaan pendapatan purata antara Bumiputera dan Cina juga terus bertambah baik dengan nisbahnya mengecil daripada 1:1.64 pada 2004 kepada 1:1.54 pada 2007. Ini bermaksud tahun lalu, bagi setiap RM100 yang Bumiputera dapat, orang Cina pula mendapat RM154.

    Sudah tentu penurunan ini hasil pertumbuhan pesat ekonomi negara dan tindakan yang dilakukan oleh kerajaan, tetapi secara keseluruhan masih banyak boleh dilakukan

    Bagaimanapun, saya berpandangan definisi kemiskinan melalui pendapatan garis kemiskinan semasa � purata RM691 untuk seluruh negara, RM661 bagi Semenanjung, RM888 bagi Sabah dan RM765 untuk Sarawak, tidak lagi menggambarkan keadaan sebenar.

    Ini bertambah ketara dengan penstrukturan semula subsidi minyak dan harga barang makanan yang menyebabkan kos kehidupan semakin meningkat. Adakah berpendapatan RM700 bermakna kita tidak lagi miskin?

    Memang seperti kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Amirsham A Aziz, jika kita menaikkan garis kemiskinan bermakna golongan miskin di negara ini akan meningkat, tetapi persoalannya adakah garis kemiskinan sekarang benar-benar mencerminkan keadaan sebenar.

    Saya meminta kerajaan mengkaji semula definisi garis kemiskinan. Kita tidak mahu keadaan nampak baik di atas kertas, tetapi realitinya berbeza.

    Apakah yang boleh dilakukan untuk mengurangkan jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin?

    Saya berpendapat kerajaan perlu melaksanakan dasar gaji minimum hanya untuk rakyat Malaysia. Langkah ini sebenarnya boleh meningkatkan pendapatan purata rakyat ini supaya tidak jauh ketinggalan berbanding negara serantau seperti Singapura, Taiwan dan Korea Selatan. Malaysia selama ini diiktiraf oleh Bank Dunia sebagai negara berpendapatan sederhana tinggi. Dasar gaji minimum mampu membantu mempercepatkan Malaysia keluar lebih cepat daripada kelompok negara berpendapatan sederhana.

    Negara juga terlalu bergantung kepada pekerja asing yang kini boleh dikatakan berada hampir semua sektor pekerjaan. Memperkenalkan gaji minimum boleh membantu menarik rakyat tempatan menceburi bidang pekerjaan yang selama ini dikaitkan dengan gaji rendah. Rakyat tempatan sudah pasti berminat bekerja di sektor yang kini dimonopoli pekerja asing jika mereka mendapati gaji yang ditawarkan menarik.

    Ini juga dapat mengelakkan bijak pandai di negara ini berhijrah ke negara lain yang menawarkan gaji lebih lumayan.

    Bidang pendidikan sentiasa mendapat perhatian kerajaan sama ada dalam rancangan pembangunan lima tahun mahupun dalam peruntukan Bajet. Apa analisis saudara terhadap bidang ini?

    Satu perkara yang cukup menarik ialah sasaran untuk memastikan sekurang-kurang 40 peratus golongan berumur antara 17 hingga 23 tahun mendapat pendidikan pengajian tinggi pada 2010. Ini adalah sasaran yang sangat baik kerana sejajar dengan sasaran untuk mencapai negara yang menjadikan pengetahuan sebagai asas ekonomi atau K-ekonomi.

    Kadar 40 peratus ini juga hampir setanding dengan pencapaian negara maju. Ketika ini, kira-kira 21.9 peratus atau 219 daripada 1,000 orang dalam kumpulan umur ini lulusan pengajian tinggi.

    Pada masa sama, kita mahu kualiti Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan bukan hanya mementingkan angka, tetapi kualiti. Kita mahu graduan memenuhi keperluan pasaran. Saya melihat perlu ada kerjasama erat antara IPT dan industri bagi membolehkan mahasiswa mengikuti latihan atau ditempatkan pada suatu tempoh tertentu.

    Ini hanya boleh dilakukan jika IPT mempunyai hubungan erat dengan industri dan latihan atau penempatan itu perlu diwajibkan.

    Satu perkara yang tidak kurang penting ialah meningkatkan penguasaan bahasa asing, terutama Inggeris. Saya dapati penguasaan bahasa Inggeris di kalangan graduan sangat teruk dan ini sudah tentu menyukarkan mereka memasuki pasaran pekerjaan, terutama sektor swasta.

    Perdana Menteri juga menyatakan untuk membantu pelajar tercicir, pembinaan pusat GiatMARA baru akan dipercepatkan dengan 80 peratus pengambilan akan dikhaskan untuk kumpulan pelajar tercicir. Ini adalah satu usaha yang perlu dipuji.

    Dari satu segi, ini dapat mengurangkan masalah sosial kerana pelajar tercicir yang selepas mendapat kemahiran boleh mendapat pekerjaan yang sesuai dan mengelakkan mereka terjebak dalam kegiatan tidak diingini seperti mat rempit. Kumpulan pelajar tercicir yang berkemahiran juga dapat menggantikan pekerja asing.

    Saya juga meminta kerajaan memberi perhatian serius terhadap kumpulan pelajar yang terkebelakang dari segi pencapaian akademik di sekolah. Mungkin akibat latar belakang keluarga dan ketidakmampuan ekonomi menyebabkan mereka ketinggalan. Jika kita dapat membantu mereka, masalah pelajar tercicir dapat dikurangkan.

    Mereka bukan hanya di luar bandar, malah di bandar dan pinggir bandar. Kenal pasti kumpulan pelajar ini dan bantu mereka.

    Kenaikan harga beras dunia memberi pengajaran besar kepada Malaysia supaya memberi perhatian serius untuk berdikari dalam pengeluaran makanan. Adakah perhatian serius kerajaan terhadap perkara ini dicerminkan melalui peruntukan besar kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani?

    Kementerian ini mendapat peruntukan tambahan RM3 bilion bagi tempoh separuh penggal RMK-9 yang sebahagiannya akan digunakan untuk meningkatkan pengeluaran beras negara.

    Daripada jumlah itu, kira-kira RM1.5 bilion akan digunakan untuk membaiki kemudahan pengairan dan saliran di kawasan penanaman padi, manakala bakinya untuk tambahan bekalan mencukupi untuk keperluan negara seperti ternakan, sayuran dan akuakultur.

    Bagaimanapun, kerajaan juga perlu memberi perhatian serius terhadap usaha mengekalkan tanah pertanian supaya tidak dengan mudah ditukar taraf untuk tujuan pembangunan terutama perumahan dan industri. Saya dapati penukaran taraf tanah pertanian kini kelihatan agak mudah dan ini tidak baik untuk pembangunan pertanian dalam jangka panjang.

    Tanah terbiar juga perlu dimanfaatkan supaya negara mampu mengeluarkan makanan dan tidak terlalu bergantung kepada makanan import.

    Kita tidak dapat lari daripada memperkatakan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang diunjurkan sebanyak 6.1 peratus sepanjang RMK-9. Bolehkah ini dicapai?

    Sepanjang tempoh dua tahun pertama pelaksanaan RMK-9, KDNK sebenar negara berkembang 6.1 peratus setahun melebihi sasaran 6.0 peratus. Mampukah tiga tahun terakhir RMK-9, mulai tahun ini hingga 2010 juga mencatatkan sekurang-kurangnya 6.0 peratus. Dalam keadaan ekonomi dunia tidak menentu, kerajaan menghadapi cabaran besar untuk memastikan matlamat itu dicapai.

    Satu perkara yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan ialah perspektif sesetengah masyarakat yang hendak melihat 6.0 peratus itu bukan hanya angka di atas kertas, tetapi boleh dirasai mereka dalam kehidupan harian. Ada yang berpandangan bahawa walaupun 6.0 peratus, tetapi kehidupan mereka terjejas dan ini perlu diperjelaskan.

    Peningkatan harga minyak menyebabkan penggunaan tenaga yang cekap serta sumber tenaga yang boleh diperbaharui kini diberi lebih perhatian. Pandangan saudara?

    Saya bersetuju dengan dasar ini dan perlu diberi sokongan kerana sudah tiba masa sumber tenaga yang boleh diperbaharui yang lebih murah dan mesra alam digunakan menggantikan minyak yang semakin mahal. Sebenarnya ada banyak sumber tenaga yang boleh dimajukan seperti tenaga solar dan hidro.

    Bagaimanapun, penggunaan tenaga hidro tidak dipersetujui oleh pihak yang mementingkan alam sekitar kerana setiap projek hidroelektrik menyebabkan penebangan kawasan hutan secara meluas yang mempunyai kesan terhadap alam sekitar, haiwan dan juga manusia sendiri yang terpaksa dipindahkan ke tempat lain.

    Tenaga solar adalah pilihan yang baik. Cuma penyelidikan dan pembangunan perlu diperhebatkan bagi menjadikan peralatan yang diperlukan lebih murah.

    Satu pilihan lain yang terbukti murah dan selamat ialah tenaga nuklear. Banyak negara menggunakan tenaga nuklear dengan selamat seperti Perancis yang membolehkan rakyat negara itu memperoleh tenaga ini dengan kadar berpatutan.

    Memang ada kebimbangan bahawa tenaga nuklear boleh mencetuskan bencana, tetapi kali terakhir tragedi berlaku ialah di Chernobyl pada 1986.

    Sejak itu, negara yang menggunakan nuklear sebagai sumber tenaga memastikan tragedi begitu dielakkan.

    28 Jun 2008

    Buru musuh di dalam bangunan


    Oleh Fairuz Zaidan




    Kompleks Paintball Tag janjikan pengalaman menakjubkan

    SELALUNYA aktiviti paintball dimainkan di kawasan padang luas yang dikelilingi jaring besar atau setidaknya pun diadakan di dalam kawasan hutan. Berlainan pula dengan lokasi sukan paintball di Kompleks Paintball Tag di Taman Danau Desa, Off Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur. Pengunjungnya berpeluang menikmati permainan ekstrim itu.

    Biarpun pusat itu sendiri menawarkan aktiviti paintball di kawasan padang dan di dalam hutan, pastinya lebih menyeronokkan jika berpeluang mencuba aktiviti berbeza dengan perlawanan di dalam bangunan. Apa yang membuatkan permainan itu lebih dramatik ialah kerana aktiviti itu sendiri berlangsung di bekas tapak bangunan tempat letak kenderaan setinggi empat tingkat. Atas faktor itulah yang membuatkan permainan itu lebih mencabar khususnya dalam misi mencari ‘musuh’.


    Penyelia Kompleks Paintball Tag, Mohd Norizan Mat Razali, berkata pusat paintball yang mula beroperasi sejak awal 2004 itu menjanjikan pengalaman menyeronokkan bagi mereka yang menggemari sukan ekstrim, apatah lagi berpeluang pengalaman berbeza dalam aktiviti sukan lasak.

    Beliau berkata, empat aras di dalam bangunan yang menjadi lokasi sukan berkenaan pastinya memberikan cabaran tersendiri buat pengunjung kerana setiap aras menampilkan suasana cukup berbeza dalam misi memburu lawan.

    “Apa yang membuatkan cabaran di sini lebih dramatik adalah kerana setiap aras di dalam bangunan ini menampilkan set persembahan yang menonjolkan efek khas sebagai sebahagian daripada tarikan buat permainan paintball sendiri.



    “Efek yang diterapkan ini memastikan pengunjung mendapat pengalaman berbeza yang tidak diperoleh dalam permainan paintball di lapangan luar,” katanya.

    Tingkat pertama di Kompleks Paintball Tag menampilkan set binaan menyerupai sebuah stor barangan dengan suasana suram. Tingkat kedua pula menonjolkan set binaan pejabat dengan ruang khas lengkap dengan meja dan kerusi seperti dalam bangunan pejabat; aras ketiga pula menampilkan suasana seperti dalam gudang tayar pelbagai saiz yang menimbun manakala aras tertinggi pula menampilkan set seperti bengkel kenderaan yang tentunya membuatkan pengembaraan dan acara sukan paintball lebih menyeronokkan.

    Ditanya mengenai bentuk aktiviti perlawanan yang ditawarkan untuk acara paintball di dalam bangunan, Mohd Norizan berkata, pihaknya memberi peluang kepada peserta untuk menentukan bentuk permainan yang digemari seperti mengumpulkan bendera, misi menembak ketua pasukan lawan, mahupun sekadar misi memburu pasukan lawan.

    Berbanding aktiviti paintball di padang mahupun di dalam hutan, aktiviti di dalam bangunan mungkin lebih menyeronokkan kerana ia boleh dilangsungkan bila-bila masa, termasuk ketika hujan mahupun pada waktu malam.

    “Ada ketika itu, pelanggan sendiri mahukan perlawanan paintball diadakan di sebelah malam sebaik tamat waktu pejabat sebagai aktiviti riadah.

    “Sudahlah begitu, ada pelanggan yang sengaja inginkan kelainan dengan beraksi tanpa bantuan cahaya lampu elektrik, sebaliknya hanya menggunakan lampu suluh bagi menambahkan lagi debaran perlawanan di tengah malam,” katanya.

    Beliau berkata, perlawanan paintball boleh dilangsungkan jika mempunyai sekurang-kurangnya enam peserta menerusi konsep tiga lawan tiga sehinggalah kepada 10 peserta melawan 10 peserta.

    Katanya, sukan berkenaan boleh dimainkan semua orang asalkan mengikut peraturan dan memahami konsep perlawanan tanpa memberi risiko kecederaan.

    “Jika mereka mengamalkan peraturan yang ditetapkan, pasti tidak akan berlaku perkara yang tidak diingini. Paling penting, setiap peserta harus mematuhi arahan iaitu memakai topi keselamatan dan jaket penghadang untuk mengelak daripada terkena peluru yang dipanggil sebagai krono.

    “Topi keselamatan dan jaket ini wajib dipakai sebaik peserta memasuki gelanggang perlawanan bagi memastikan keselamatan peserta terjamin,” katanya menjelaskan peraturan asas permainan paintball.

    Namun, masih ramai yang takut untuk mencuba permainan ini kerana beranggapan ia membahayakan. Tidak harus berprasangka begitu, kata Mohd Norizan.

    “Sukan ini sesuai untuk semua, bukan hanya untuk mereka yang berjiwa ekstrim.

    “Kalau nak diikutkan, wanita juga semakin ramai menyertai sukan paintball ini kerana aktiviti ini sememangnya menyeronokkan apatah lagi ia membabitkan kemahiran dan taktik individu dalam setiap pasukan,” katanya.

    Mengenai kelajuan tembakan daripada pistol yang dikenali sebagai marker gun, Mohd Norizan berkata, pihaknya sendiri menetapkan kelajuan daripada kelongsong marker gun iaitu pada jarak kelajuan kira-kira 8.3 meter untuk setiap saat. Kelajuan itu katanya mengikut standard biasa iaitu tembakan selamat untuk setiap peserta.

    Bagi peserta yang ingin merasai pengalaman bermain paintball di dalam bangunan, apa kata berkunjung saja ke Kompleks Paintball Tag di Taman Danau Desa Kuala Lumpur yang dibuka setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 7 malam. Pengunjung juga boleh membuat tempahan untuk aktiviti pada tengah malam.

    Untuk aktiviti paintball di dalam bangunan, bayaran serendah RM55 dikenakan setiap seorang, termasuklah kelengkapan aktiviti paintball seperti topeng muka keselamatan, marker gun dan botol gas karbon dioksida, 50 biji bola paintball dan jaket keselamatan.


    Kenali sukan paintball

    SEJAK dua dekad lalu, sukan paintball mula diperkenalkan di Amerika Syarikat sebagai Nasional Survival Games (NSG). Pada waktu itu, permainan paintball lebih cenderung kepada simulasi peperangan dengan ciri-ciri ketenteraan seperti pakaian celoreng, taktik dan terminologi tentera dan juga penggunaan 'paint marker' yang mirip seperti senjata api.

    Daripada imej ketenteraan, paintball kini berubah wajah menjadi lebih kepada konsep pertandingan sukan. Sukan Paintball kini merupakan sukan 'outdoor' yang pesat berkembang serta mendapat tarikan yang hebat daripada peminat sukan ekstrim.

    Tahukah anda yang sukan paintball diundi di tangga ketiga sebagai sukan ekstrim paling popular di Eropah dan Amerika Syarikat dan kini dimainkan lebih 100 negara dengan pemain lebih dari 12 juta orang.

    Permainan paintball dimainkan secara berkumpulan di mana dua kumpulan akan bertanding di dalam satu perlawanan. Setiap kumpulan mempunyai bilangan ahli yang sama iaitu seramai 5 peserta atau lebih (sehingga 100 peserta).

    Secara umumnya, kedua-dua kumpulan akan ditempatkan di kawasan bertentangan di dalam sebuah kawasan terbuka, seperti padang bola. Semua peserta dilengkapi peralatan asas seperti 'Paint Marker' atau ' Paint Gun' dan peralatan keselamatan utama seperti pelindung muka(face mask).

    Objektif permainan ialah penguasaan kawasan dn kubu lawan ditawan. Objektif juga dicapai melalui proses penyingkiran iaitu dengan menumpaskan peserta dari kumpulan lawan dengan menembak bola mengandungi cecair ke anggota badan lawan menggunakan paintgun.

    Apabila terdapat kesan warna akibat terkena tembakan paintball, peserta akan terkeluar dari gelanggang perlawanan. Kebiasaannya, sesuatu perlawanan itu mengambil masa di antara lima minit hingga 20 minit, bergantung kepada saiz padang dan modul permainan.


    Senarai harga:

    • Padang dalam bangunan - RM55 setiap seorang
    • Padang luar - RM75 setiap seorang
    • Padang pertandingan - RM50 setiap seorang (hari minggu)
    • RM40 setiap seorang (hari biasa)



    LOKASI:

    • Kompleks Paintball Tag,
      Taman Danau Desa,
      Off Jalan Klang Lama,
      58100, Kuala Lumpur.
      Tel: 03-2149 1837/ 1839/ 1847
      Faks: 2144 3182
      Emel: paintball@hr.berjaya.com.my


    Laman web: www.paintball-tag.com

    Usahawan kampus

    Status penuntut tak halang cari wang tambahan

    DALAM pada sibuk mentelaah pelajaran, pada masa yang sama turut terikat dengan jadual kuliah hampir sepanjang hari, masih ada ruang yang memberi peluang segelintir pelajar berjinak-jinak menjadi usahawan kecil-kecilan di dalam universiti dan kolej.

    Mungkin masyarakat di luar kurang mengetahuinya, tetapi realitinya di sebalik kesibukan suasana di kampus dengan ribuan warganya, wujud kumpulan kecil usahawan yang dalam diam memperluaskan 'empayar perniagaan' secara kecil-kecilan.

    Manakala, golongan sasaran sebagai pelanggan utama yang menjadi penggerak kepada aktiviti keusahawanan pelajar sudah semestinya pelajar sendiri yang juga teman sekuliah serta pensyarah.

    Bentuk perniagaan yang dipilih usahawan muda itu juga tidak menentu dan bergantung kepada permintaan dan sambutan di kalangan teman sekuliah sendiri.

    Selain makanan yang menjadi antara medium paling mudah dan cepat memperoleh keuntungan, usahawan muda ini turut merebut peluang lain seperti menjual barangan cenderamata, tambah nilai kad pra bayar, kerongsang, tudung sehinggalah kepada perniagaan jualan langsung dan sebagai perunding kewangan unit teras.
    Nor Fazilahwati Yamin

    Pendek kata, apa saja yang difikir sebahagian daripada peluang perniagaan akan direbut kumpulan kecil peniaga ini untuk memperoleh pendapatan sampingan. Walaupun terpaksa membahagikan masa di antara pelajaran dan aktiviti di kampus, kesempatan untuk berniaga dilakukan sebaik mungkin.

    i-Kon yang terpanggil untuk menyaksikan sendiri aktiviti sampingan kumpulan usahawan muda ini jelas tertarik apabila menyaksikan senario bentuk perniagaan yang dikemudi kumpulan pelajar di dalam kampus di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.

    Selama beberapa ketika di luar Fakulti Undang-Undang, kelihatan deretan meja menjadi saksi kewujudan usahawan muda ini melebarkan sayap perniagaan. Kebiasaannya, meja-meja yang persis bazar jualan itu adalah antara program yang dilakukan pihak fakulti untuk mencari dana tambahan bagi menampung pembiayaan pelajar untuk program luar kampus.

    Selain kewujudan bazar itu, jika diperhatikan di sudut strategik di sekitar kampus itu sendiri akan kelihatan mini kios menjual pelbagai jenis makanan ringan dan minuman. Apa yang menariknya, mini kios itu ditinggalkan tidak 'bertuan', sebaliknya hanya diletakkan tabung kecil bersebelahan dengan bakul jualan. Difahamkan juga, tiada kejadian kecurian berlaku biarpun pemilik jualan tidak berada di situ. Bukankah menarik begitu?

    "Kebiasaannya, pelajar terbabit dalam perniagaan adalah sebahagian daripada projek untuk semester akhir bagi mengumpulkan dana dalam bentuk kewangan.

    "Selain menyempurnakan projek perniagaan itu sendiri, dana kewangan itu akan digunakan sebagai pembiayaan dan tambang sepanjang melangsungkan aktiviti luar," kata Siti Norhajar Hassan, 25 yang juga penuntut tahun akhir ijazah Pengurusan Operasi.

    Beliau yang sedang mengetuai projek 'Groom Out, Dress Up' dipertanggungjawabkan untuk menarik syarikat luar untuk membuka gerai bazar di universiti itu selama seminggu dengan memasarkan barangan kelengkapan diri dan aksesori sebagai sasaran jualan.

    Dua rakannya, Azirah Fazliana Mohd Shah, 24, dan Nur Kausar Zainal Abidin, 25, turut bersependapat yang pembabitan dalam bidang perniagaan dapat membantu pelajar mengenali selok belok berurusan dalam dunia perniagaan.

    Kata Azirah Fazliana yang turut mengambil jurusan sama, projek berkumpulan sebegitu sedikit sebanyak memberi ruang untuk pelajar tampil dengan idea dan kertas kerja sendiri, sekali gus menyaksikan hampir seratus peratus tugasan dilakukan mereka secara berkumpulan.

    "Saya sendiri dipertanggungjawabkan sebagai setiausaha dan melakukan semua kertas kerja termasuklah berurusan dengan pengeluar barangan," katanya.

    Nur Kausar yang bertindak sebagai ahli jawatankuasa projek gerai bazar sememangnya sudah biasa dengan aktiviti perniagaan sebegitu, memandangkan dia sendiri pernah menceburi perniagaan kecil-kecilan di dalam kampus ketika menduduki pengajian diploma di Institut Profesional Baitulmal Kuala Lumpur.

    Kata Nur Kausar, di UiTM dia tidak dapat memfokuskan aktiviti menjual secara langsung sebagaimana ketika di peringkat diploma dulu kerana faktor masa dan pengajian peringkat ijazah yang sedikit sebanyak membataskan peluang untuk terbabit dalam perniagaan.

    "Semasa menuntut diploma dulu, saya mengambil inisiatif dengan menjual buah-buahan potong dan roti yang diletakkan di luar pintu bilik.

    "Sambutannya ketika itu cukup menggalakkan di mana saya berpeluang memperoleh untung bersih sehingga RM75 untuk jualan roti, manakala sehingga RM40 untuk jualan buah-buahan potong," kata Nur Kausar.

    Minat berniaga turut menebal dalam diri Nor Fazilahwati Yamin, 25, yang mengambil inisiatif menjual kerongsang kepada teman sekuliah dan pensyarah.

    Walaupun agak lewat menceburi perniagaan secara kecil-kecilan sebegitu, Nor Fazilahwati yang juga penuntut tahun akhir ijazah sarjana muda kewangan UiTM berasa teruja dengan sambutan yang diterima, apatah lagi mengenangkan keuntungan yang diperoleh secara terus.

    Katanya, faktor keluarganya yang memang cenderung dalam dunia perniagaan secara tidak langsung mempengaruhinya untuk turut berniaga walaupun terpaksa membahagikan masa antara pengajian, keluarga dan perniagaannya itu.

    "Jika bukan teman sebaya di universiti dan pensyarah yang membeli kerongsang ini, saya juga memasarkan kepada jiran-jiran yang turut memberikan sambutan cukup baik," katanya yang pernah menceburi perniagaan jualan Avon ketika menuntut di peringkat diploma.

    Sememang terbit rasa kagum bila menyaksikan sendiri inisiatif aktiviti perniagaan dilakukan penuntut UiTM dalam meluaskan 'empayar' perniagaan. Biarpun secara kecil-kecilan, usaha yang ditonjolkan benar-benar menyuntik rasa bangga dengan usaha mereka menambahkan wang saku tambahan.

    Kalau hendak difikirkan, kebanyakan di kalangan pelajar yang terbabit dalam bidang perniagaan itu sendiri sebenarnya sudah mendapat peruntukan pinjaman pendidikan tetapi atas faktor minat berniaga membuatkan segelintir daripada mereka memilih untuk tetap berniaga.

    "Bukan setakat lokasi strategik menjadi taktik pelajar memasarkan barangan, ada juga pelajar yang mengambil inisiatif tersendiri termasuk melekatkan poster sebagai strategi pemasaran," kata Nor Fazilahwati.

    Sebelum melangkah pulang, sempat jugalah saya melintasi deretan bakul jualan pelajar yang menjual makanan ringan dengan harga cukup berpatutan. Di satu sudut kelihatan bungkusan emping jagung, manakala di hujung tempat tumpuan pelajar kelihatan bakul yang menempatkan kotak minuman. Gembira rasanya melihat azam dan semangat yang ditunjukkan usahawan muda ini. Syabas!

    Suara hati 3 papa


    Oleh Fairuz Zaidan


    DARI (kiri), Rashidi, Sazali dan Ahmad al Khusairi bersama permata hati masing-masing.

    Rashidi, Sazali dan Ahmad al Khusairi kongsi cerita bergelar bapa

    ESOK, setiap insan bergelar ayah, abah, papa, bapak, daddy, father mahupun walid seharusnya diberi layanan paling istimewa. Tunaikan apa saja kemahuan bapa, apakah keinginannya, selami hajat yang tersimpan dalam hati lelaki ini, sekalipun ia semudah menyajikan hidangan enak di rumah untuk dinikmatinya bersama keluarga.

    Hari Bapa datang lagi. Jika diikutkan, mengapa perlu hari khusus meraikan bapa? Bukankah hari-hari yang dilalui sewajarnya kita mengenang bapa? Namun sudah lumrah manusia gemarkan sesuatu istimewa, maka esok diterima ramai sebagai hari khas mengenang dan menyanjung insan istimewa ini. Seluruh dunia mengenang pengorbanan dan tanggungjawab ketua keluarga ini.


    Menghangatkan mood sambutan Hari Bapa, i-Kon memilih tiga jejaka bergelar bapa dari pelbagai latar belakang kerjaya, personaliti dan usia untuk berkongsi kisah seorang bapa. Dua bapa alaf moden, pelakon popular, Rashidi Ishak; jaguh bina badan negara, Sazali Samad, sudi berkongsi cerita termasuk bapa muda berusia 21 tahun, Ahmad al Khuasairi Mohd Nasir yang baru menimang cahaya mata sulung, 1 Jun lalu.

    Bukan mudah mendapatkan tiga bapa ini kerana masing-masing sibuk dengan tugasan, komitmen dan tanggungjawab sendiri. Inilah cabaran bapa moden!

    Episod pencarian bapa bermula dengan percubaan beberapa kali i-Kon mengadakan temu janji dengan pelakon utama 'Mr Mama' yang sedang hangat ditayangkan di TV3. Kebetulan, Rashidi yang juga suami kepada Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) ke-20, Vanidah Imran, masih lagi dalam tempoh berpantang kerana menjalani pembedahan kecil paru-paru.

    Namun sudah dikatakan 'jodoh', i-Kon bertemu juga Rashidi selepas beberapa masalah seperti kesukaran menentukan tarikh temu janji, lokasi dan faktor kesihatannya diselesaikan demi merakamkan aksi beliau dan dua anaknya yang comel.

    Akhirnya, hujung minggu lalu, Rashidi atau lebih mesra dipanggil Shidi bersetuju bertemu dan menjayakan sesi fotografi di Balai Berita, Bangsar, sekali gus bercerita kisah hidupnya sebagai suami dan bapa kepada Mikail, tujuh tahun, dan Maryam, empat tahun.

    "Beginilah rutin saya hujung minggu bersama anak-anak. Saya dan Vee (panggilan buat Vanidah) sebolehnya akan menghabiskan masa dengan Mikail dan Maryam. Jika Vee sibuk, saya yang mengambil alih tugas menjaga dan begitu juga sebaliknya.

    "Tetapi sebolehnya kami ingin bersama-sama setiap hujung minggu. Sabtu biasanya memang hari wajib untuk kami sekeluarga berkumpul, keluar bersama-sama mahupun beriadah.

    "Malah, produksi kami sendiri sedia maklum dengan memberi kelonggaran setiap Sabtu sebagai waktu rehat dan dikecualikan daripada penggambaran untuk memberi perhatian kepada keluarga," kata Shidi yang kelihatan segak pada usia 35 tahun.

    Sebelum sesi fotografi yang diaturkan petang itu, Shidi menemani Maryam mengikuti kelas kaedah pemahaman Jepun selama sejam setengah pada sebelah pagi. Kelas itu memerlukan ibu bapa turut serta dengan anak sepanjang tempoh pembelajaran.

    Jam tiga petang pula, Shidi membawa Mikail dan Maryam berjumpa doktor gigi bagi menjalani rutin pemeriksaan gigi setiap enam bulan. Melihatkan rutin yang dilalui Shidi, ia amat secocok dengan karektornya dalam slot drama, Mr Mama.

    Kebetulan pada hari minggu lalu, Shidi tidak ditemani Vee yang perlu menjalani penggambaran drama, ini meletakkan tanggungjawab bapa dan ibu di bahu Shidi. Nasib baik mereka mempunyai seorang pembantu yang sedikit sebanyak melicinkan urusan seharian menjaga telatah Mikail dan Maryam.

    Shidi ditanya bagaimana pengalamannya menjadi bapa selepas lapan tahun mendirikan mahligai bersama Vee.

    "Wow... seronok," kata Shidi memberi senyuman penuh makna. Sambil menyambung bait-bait ayat, Shidi menyifatkan tempoh lapan tahun berumahtangga adalah suatu perjalanan yang amat menarik, bermula daripada zaman bujang, bercinta, berkahwin dan memiliki anak.

    Kata Shidi, saat ini dia cukup bahagia dan seakan tidak percaya kerana mampu melalui detik itu sambil menggalas tanggungjawab besar selaku ketua keluarga.

    Beliau berkata, pengalaman yang ditempuh cukup menyeronokkan, sekali gus mematangkan naluri lelakinya sebagai seorang kekasih, suami dan bapa.

    "Kalau nak dikata bersediakah saya untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang bapa, terus terang saya katakan masih ada kekurangan. Ini kerana, sesiapa saja sebenarnya belum layak bergelar bapa dan harus sentiasa belajar untuk menjadi seorang bapa yang baik.

    "Pada ketika ini, saya masih lagi berusaha menjadi ketua keluarga dan bapa yang baik untuk kami sekeluarga dan proses ini takkan berhenti," ujar Shidi sambil sibuk melayani kerenah dua cahaya matanya.

    Walaupun tidak boleh renyah kerana perlu berehat panjang selama tiga bulan, naluri kebapaan yang menebal membuatkan Shidi tidak senang duduk sebaliknya sentiasa memerhati gelagat dua permata hatinya. Hubungan rapat mereka menampakkan kemesraan cukup ketara.

    Kata Shidi, anak-anaknya terlalu rapat dan manja namun sambil merendah diri, mengakui Vee lebih rapat dengan anak-anak berbanding dirinya.

    Membuktikan lagi kata-katanya, Shidee berkata, mereka masih tidur sekatil berempat kerana mahukan kemesraan dan ikatan kekeluargaan terjalin buat detik ini.

    "Mungkin ada pro dan kontranya kerana memanjakan mereka. Namun, dalam pada manja sebegini, saya dan Vee tetap garang dengan anak-anak. Malah, ada batasannya hubungan antara ibu bapa dan anak-anak.

    "Bagaimanapun, kami akan menerangkan mengapa mereka dimarahi untuk memastikan yang perkara sama tidak berulang," kata Shidi yang bakal membuat 'reunion' bersama kumpulan Deadmushroom sempena KL Indie Fest di Menara Kuala Lumpur pada 5 Julai nanti.

    Ditanya adakah beliau meraikan sambutan Hari Bapa, jelas Shidi beliau tidak pernah menyambutnya apatah lagi meraikannya kerana baginya hari lain juga amat bererti. Cuma, mereka sekeluarga hanya akan meraikan hari jadi untuk setiap anggota keluarga.

    "Banyak lagi cara boleh dilakukan selain meraikan keluarga kerana tidak semestinya tunggu waktunya untuk meraikan dengan sambutan istimewa. Hari lain pun boleh juga," kata Shidi.

    Walau apa juga pandangan serta sambutan meraikan Hari Bapa, pucuk pangkalnya terletak pada diri kita dan bagaimana kita melihat dan menghargai pengorbanan seorang bapa. Sekiranya kita masih memiliki bapa, luangkan sedikit masa bersama mereka selagi mereka ada di dunia ini. Selamat Hari Bapa!

    Anak-anak permata hati Sazali Samad

    PADA usia menjangkau 41 tahun, jaguh bina badan negara, Sazali Samad boleh berbangga dengan apa yang dikecapinya. Bukan saja pencapaian cemerlangnya mempertahankan status Mr Universe selama empat tahun berturut-turut, Sazali juga puas kerana mempunyai 'hero' dan 'heroin' yang melengkapi hidupnya.

    Kata Sazali, empat cahaya mata berusia antara 10 tahun hingga dua tahun adalah permata hati paling berharga. Biar penat manapun rutin hariannya, anak-anak adalah penghibur terbaik, kuasa ajaib membolehkan fikirannya kembali ceria.

    "Telatah mereka mengubat penat lelah saya selama ini. Dengar saja suara mereka, bagai terubat keletihan sepanjang hari. Malah, saya juga bersyukur kerana memiliki isteri yang memahami karier saya sebagai atlit negara. Isteri saya cukup sabar dan menyokong saya selama ini," kata Sazali yang mendirikan rumah tangga pada usia 30 tahun.

    Kata Sazali, pengalaman bergelar bapa berbeza berbanding zaman bujang, bercinta dan kemudian mendirikan rumah tangga. Walaupun berkahwin agak lewat, tetapi itu bukan penghalang untuknya memberi tumpuan dan kasih sayang kepada Muhammad Syahmi, 10; Muhammad Hazim, lapan tahun, dan Muhammad Hishyamuddin, empat tahun, dan Nur Sabrina Hani, dua tahun.

    Ditanya cabaran bergelar ayah, Sazali berkata, beliau tidak merasa sukar menguruskan anak-anak walaupun terpaksa bangun seawal 5 pagi untuk memandikan mereka, menguruskan pakaian dan menikmati sarapan bersama sebelum anak-anak ke sekolah.

    Sazali berkata, beliau dan isteri, Hashrine Hashim, 38, sudah biasa dan tahu dengan tugas masing-masing dalam menguruskan anak-anak.

    "Walau sibuk mana sekali pun tugas saya dan rutin latihan di gimnasium, anak-anak dan keluarga tetap menjadi keutamaan. Jika ada kelapangan dan kebetulan cuti sekolah, saya akan pastikan membawa keluarga bercuti bagi mengeratkan ikatan kekeluargaan," kata Sazali yang sedang memfokuskan misi memburu gelaran kelima Mr Universi bagi kategori 70 kilogram lightweight, Oktober depan di Bahrain.

    Ditanya sejauh mana keakraban hubungannya dengan anak-anak, Sazali berkata, semua anak-anaknya cukup rapat dan mesra hinggakan pada satu tahap, mereka berebut-rebut mahu menyuapkan sendiri pil makanan tambahan ke mulutnya.

    "Suara dan hilai tawa mereka menjadi teman setia saya. Saya memang cukup bahagia kerana memiliki keluarga yang membahagiakan saya selama ini.

    "Tiada apa yang saya inginkan termasuklah sambutan Hari Bapa kerana gelagat anak-anak dan isteri sudah cukup menggembirakan saya," kata Sazali.

    Seronok jadi ayah pada usia muda

    SUSUK tubuh dan personaliti jejaka ini langsung tidak menampakkan usianya yang baru mencecah 21 tahun. Pada usia semuda itu, Ahmad al Khusairi Mohd Nasir sudah bergelar ayah kepada Nurshasha Aidilya yang lahir pada 1 Jun lalu. Namun, anak muda ini mempunyai alasan sendiri untuk menjadi bapa ketika rakan-rakan yang lain masih meneruskan pengajian di kolej atau mula bekerja.

    "Pada pendapat saya, tidak salah bergelar bapa pada usia muda asalkan sudah bersedia dan bertanggungjawab ke atas keluarga dan masa depan anak-anak.

    "Tidak semestinya seseorang lelaki itu akan lebih matang jika berkahwin lewat kerana pucuk pangkal terletak pada diri sendiri," kata Ahmad al Khusairi yang menetap di Petaling Jaya, Selangor.

    Ahmad al-Khusairi yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan mendirikan rumah tangga tahun lalu dengan calon pilihan hati, Nurashikin Ahmad, 19, selepas enam bulan berkenalan.

    Kata Ahmad al Khusairi, beliau memang bercita-cita berkahwin awal dan memiliki cahaya mata kerana sudah cukup bersedia menempuh alam baru.

    "Saya bersyukur kerana keluarga kedua belah pihak menerima hasrat kami berdua untuk mendirikan rumah tangga. Selepas beberapa bulan berkahwin, tidak sangka pula yang isteri saya disahkan mengandung," katanya.

    Ditanya perasaan bergelar seorang bapa pada usia begitu muda, tanpa berselindung Ahmad al Khusairi berkata, beliau gembira kerana berpeluang menjadi seorang ketua keluarga pada usia remaja dan menyedari tanggungjawab makin bertambah selain perlu bekerja keras.

    Katanya, beliau tidak menolak mendapat lebih ramai cahaya mata pada masa depan kerana mahukan keluarga besar.

    "Namun, itu semua hanyalah perancangan jangka masa panjang dan tidaklah sehingga mengikut kata hati saja kerana saya juga perlu memikirkan bajet dan keperluan semasa.

    "Isteri pula tidak bekerja membuatkan kami harus merancang masa depan bersama," katanya.

    Ahmad al Khusairi berkata, beliau seakan tidak percaya bergelar bapa ketika melihat seraut wajah kecil bayi perempuannya seberat 2.5 kilogram, malah merasakan ia sebuah mimpi.

    INFO: Hari Bapa

    • Mengikut sejarah, Hari Bapa direkodkan seawal 1839 bagi mengenang kematian 123 lelaki dalam peperangan Iransop. Hari Bapa zaman moden mula diadakan pada 5 Julai 1908 di Fairmont, West Virginia, Amerika Syarikat (AS).

    • Hari Bapa digerakkan sebagai sambutan sedunia apabila Sonora Smart Dodd mengadakan sambutan ulang tahun pada 1910 bagi mengenang bapanya, William Jackson Smart, seorang veteran Perang Saudara AS yang secara bersendirian membesarkan enam orang anaknya. Tarikh yang dipilih sebagai Hari Bapa pertama diadakan secara rasmi ialah pada 19 Jun 1910.

    • Bunga ros diiktiraf sebagai bunga rasmi Hari Bapa. Warna merah dipilih untuk bapa yang masih hidup, sementara warna putih untuk bapa yang sudah meninggal dunia.

    • Hari Bapa bukan tradisi masyarakat Melayu. Hari Bapa juga bukan tuntutan dalam agama Islam. Namun begitu, umat Islam sentiasa diajar untuk terus mentaati, menghormati dan menghargai ibu dan bapa sepanjang masa tanpa mengira hari dan waktu.

    Lelaki handal memasak lebih seksi


    Oleh Diyanah Anuar




    Kebolehan tidak lagi dianggap lemah, bersifat kewanitaan

    PERSEPSI lapuk kononnya wanita tempatnya di dapur sudah tidak terpakai lagi. Ini terbukti jika anda menonton rancangan masakan di kaca televisyen, majoriti program terbabit menampilkan chef lelaki. Penguasaan lelaki dalam bidang masakan tidak lagi dianggap janggal, biarpun pada dasarnya tugas memasak secara tradisionalnya dianggap milik wanita.

    Bukan itu saja, kepakaran lelaki dalam bidang masakan yang kian komersial ini turut diperakui kerana kaum Adam dikatakan mendominasi industri masakan.


    Besarnya impak dan peranan chef lelaki masa kini hingga bila ditanya chef selebriti popular dan bertaraf antarabangsa, nama seperti Gordon Ramsay, Jamie Oliver, Anthony Bourdain, Curtis Stone tidak terkecuali di peringkat tempatan - Chef Wan, Chef Zam atau Chef Ismail, tentunya disebut.

    Ternyata minat memasak kian berkembang di kalangan kaum lelaki. Kebanyakan mereka tidak segan masuk ke dapur dan melakukan ‘kerja halus’ menghiris bawang, menumbuk cili, menumis atau menggoreng seperti yang dilakukan ibu, teman wanita mahupun gadis lain.

    Cuma mungkin ada segelintir masyarakat menganggap kurang sifat kelelakian apabila seseorang lelaki melakukan kerja yang lazimnya dibuat wanita, malah ada keluarga tidak menggalak lelaki memasak kerana tidak mahu dianggap dayus.



    Namun pada zaman di mana keterbukaan wujud dalam banyak perkara, aktiviti memasak tidak lagi dikaitkan dengan jantina, peranan atau norma sosial. Aktiviti ini seharusnya dinikmati oleh sesiapa saja yang menyukainya.

    Disebabkan itulah semakin ramai lelaki tidak segan bercerita mengenai pengalaman memasak, baik sesama rakan lelaki ataupun wanita tanpa ragu-ragu atau rasa malu.

    Malah, sebahagian besar daripada mereka cukup berbangga dengan kebolehan yang dimiliki lebih-lebih lagi bila menyedari ada di rakan wanita tidak tahu memasak!

    Ramai juga yang menganggap lelaki yang berkebolehan memasak lebih mudah menambat hati serta dihargai wanita. Lelaki yang memasak untuk teman wanita atau isteri juga dilihat seksi dan romantis.


    Namun, bagi kebanyakan lelaki, memasak bukanlah suatu tugas rutin kecuali mereka yang mencari rezeki dengan kemahiran berkenaan. Selalunya ia sekadar aktiviti suka-suka ataupun ‘bermusim’.

    Ada yang tiba-tiba tertarik memasak selepas menonton program masakan di televisyen, ada juga yang memasak sekali-sekala untuk meraikan sesuatu atau menjamu rakan. Tidak kurang pula yang menganggap aktiviti ini sebagai meditasi atau terapi di mana setiap proses mencari bahan mentah, menghiris, menyukat dan menunggu masakan siap memberi nikmat tersendiri.

    Lelaki yang rajin memasak biasanya disukai ramai kerana individu terbabit lazimnya gemar menjamu rakan dan keluarga dengan masakan istimewa. Secara tidak langsung, ia juga mampu mengeratkan hubungan antara ahli keluarga, teman dan juga insan istimewa.

    Sehubungan itu, minat atau kebolehan golongan lelaki dalam bidang masakan tidak wajar dilihat sebagai tanda kelemahan atau dikaitkan dengan sifat kewanitaan, sebaliknya kelebihan itu seharusnya dihargai kerana ia dapat mengurangkan beban tugas wanita yang bergelar ibu atau isteri.

    Kisah tiga jejaka menjadi chef

    i-Kon bertanya pandangan tiga jejaka mengenai kecenderungan lelaki memasak. Antaranya, chef program masakan Dapur Bujang di RTM2, Chef Iskandar Ishak, 27, yang memiliki pengalaman tujuh tahun sebagai cef profesional.

    Iskandar berkata, pendedahan mengenai masakan yang semakin meluas membuka minat golongan lelaki untuk belajar memasak. Ia dapat dilihat melalui pembabitan ramai lelaki dalam bidang masakan khususnya dalam sektor perhotelan.

    Menurutnya, kebanyakan lelaki lazimnya belajar memasak apabila hidup sendiri atau menetap di rumah bujang.

    “Selain membeli makanan di luar, ada masanya mereka ingin menikmati makanan mengikut cita rasa sendiri. Caranya tentulah dengan memasak.

    “Dari situ, selalunya mereka akan mempelajari resipi demi resipi dari semasa ke semasa,” katanya yang menerima pendedahan dalam bidang masakan sejak kecil kerana sering membantu ibu di dapur.

    Iskandar berkata, selain pendedahan yang diterima daripada ibu dan ketika menuntut di kolej, beliau juga gemar mencuba masakan di restoran dan menyediakannya di rumah dengan sedikit pengubahsuaian dan cara memasak.

    Bagaimanapun, beliau tidak bersetuju dengan pendapat segelintir individu yang menganggap lelaki belajar memasak untuk memikat wanita.

    “Bukan untuk memikat wanita, tapi memang berminat untuk memasak. Lagipun ia bidang yang boleh memberi pendapatan lumayan serta mampu bertahan dalam apa juga situasi ekonomi. Tambah lagi kalau tinggal di bandar seperti Kuala Lumpur ini, kalau berniaga makanan memang boleh membawa keuntungan.

    “Namun tidak dinafikan bakat memasak yang dimiliki seseorang lelaki menjadi suatu keistimewaan berbanding lelaki lain yang tidak tahu memasak. Ia mungkin secara tidak langsung menarik perhatian wanita yang sukakan lelaki yang handal memasak,” ujar beliau.

    Cita-cita asal Iskandar sebenarnya menjadi juruterbang namun disebabkan penglihatannya yang rabun, beliau gagal melepasi ujian pemilihan ke akademi penerbangan.

    Kegagalan itu bagaimanapun tidak begitu mengecewakan dirinya lantas beliau beralih ke bidang yang turut diminatinya iaitu masakan. Sempat Chef Iskandar menuntut dalam bidang ini di sebuah kolej tempatan sebelum menyambung pengajiannya lebih lanjut di Amerika Syarikat (AS).

    Selepas itu, Iskandar menimba pengalaman bekerja di dapur beberapa hotel di tanah air dan secara sambilan, beliau berlakon teater.

    Dari pentas teaterlah bakat lakonannya dikesan penerbit filem yang memberi tawaran berlakon filem kepada Iskandar. Beliau muncul dalam beberapa filem dan juga drama televisyen, antaranya Bicara Hati, Ah Lok Cafe dan SH3. Selepas itu, datang pula tawaran daripada produksi Manja Films untuk menerbitkan program masakan iaitu Dapur Bujang yang disiarkan di RTM2.

    Konsep program yang kini sudah masuk musim kedua ini agak berbeza dengan program masakan lain kerana ia menampilkan resipi ringkas dan mudah khusus untuk golongan yang hidup bujang.

    “Ketika dipelawa untuk mengacarakan program ini, saya tertarik dengan idea dan konsep yang ditampilkan. Saya percaya, rancangan seperti ini boleh memberi panduan kepada penonton yang minat memasak tapi ingin belajar hidangan mudah terlebih dulu,” katanya.

    Bagi Mohd Zackery Zainal, 20, pula, lelaki yang mahir memasak seharusnya dianggap individu berkemahiran kerana mampu ‘survive’ sendiri.

    “Selain berguna pada waktu tiada wanita yang boleh memasak, kelebihan ini membolehkan mereka menjana pendapatan lumayan sebagai chef.

    “Sekarang, sudah ramai lelaki yang handal memasak bekerja dalam bidang penyediaan makanan. Tidak keterlaluan juga kalau dikatakan ia menjadi suatu ikutan di kalangan lelaki,” katanya.

    Mohd Zackery berkata, lelaki yang pandai memasak selalunya akan menjadi suatu tarikan kepada wanita. Beliau juga menyatakan persepsi lapuk yang mendakwa lelaki memasak biasanya bersifat ‘lembut’ tidak boleh diterima pakai lagi kini.

    “Cuba lihat rancangan masakan yang sering disiarkan di televisyen, chef lelaki yang tampil dalam rancangan itu kebanyakannya ‘macho’ dan mempunyai tarikan tersendiri,” ujar Mohd Zackery yang biasanya akan memasak bila rakan berkunjung ke rumah.

    Reza Macrezal Madihi, 24, yang gemar mencuba resipi Barat khususnya masakan Itali juga berpandangan sama. Beliau berkata, lelaki yang pandai memasak mempunyai nilai tambah jika dibandingkan dengan lelaki yang hanya tahu makan.

    “Untung bila seseorang wanita mendapat pasangan yang hebat memasak kerana boleh membantu mereka di dapur.

    “Tapi, tidak wajar pula jika seseorang wanita cuba melepaskan tanggungjawab memasak bila memperoleh suami yang rajin ke dapur. Ia sepatutnya dilakukan bersama-sama kerana secara tidak langsung ia dapat mengeratkan hubungan,” ujar beliau yang selalu mencuba resipi yang diperoleh melalui internet dan sekali-sekala menjamu keluarga dengan hidangan istimewa.