Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

28 Mei 2009

Didik bahaya komunis menerusi TV


AGAKNYA mungkin telah ditakdirkan nama Chin Peng akan sentiasa menjadi sebutan. Memang wajar sekiranya bekas Setiausaha Agung, Parti Komunis Malaya (PKM) itu diperkatakan orang.

Bagaimanapun bagi yang pernah hidup di zaman PKM bermaharajalela, mereka pastinya mahu nama itu disebut dalam bentuk cemuhan. Peranan Chin Peng dalam memporakperandakan negara bukannya sedikit. Kesengsaraan yang dihasilkan oleh Chin Peng dan PKM cuba dipadam dan dia diangkat sebagai hero. Kononnya sebagai nasionalis penentang penjajahan British.

Keadaan itu membuktikan masih ramai yang buta sejarah. Atau mungkin juga doktrin komunisme masih melekat di minda segelintir masyarakat. Atau fahaman itu ditiupkan secara diam-diam menerusi gerakan rahsia.

Sejarah tidak boleh dibohongi. Alasan apa pun tidak boleh membasuh dosa PKM kepada rakyat Malaysia. Persoalannya adakah betul Gerakan Pulau Pinang buta sejarah? Atau mereka sekadar membutakan mata? Siapakah Chin Peng kepada mereka?

Tetapi sekiranya betul unsur buta sejarah membelenggu rakyat kita - khususnya generasi muda - sesuatu perlu dilakukan dengan kadar segera.

Langkah pertama ialah menerusi pendidikan. Jika sukatan pelajaran Sejarah ketika ini tidak merangkumi semua pelajar atau kisah kekejaman PKM tidak disebar secara meluas, ia perlu diberi perhatian dan diperkemaskan.

Cadangan agar Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan semula kisah kekejaman PKM dan Chin Peng, perlu diberi perhatian. Usul yang disuarakan oleh Setiausaha 1, Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Madya Dr. Zainal Abidin Borhan memang ada rasionalnya.

Memang betul katanya, filem, drama atau dokumentari mengenai kesengsaraan rakyat akibat kekejaman komunis boleh menjadi antara medium terbaik menyedarkan masyarakat mengenai bahaya komunisme.

Bagaimanapun, usaha tersebut tidak sepatutnya dipikul oleh RTM semata-mata. Memanglah badan itu adalah wadah utama penyaluran maklumat oleh kerajaan. Namun tanggungjawab menyedarkan masyarakat sepatutnya dipikul bersama oleh stesen-stesen televisyen milik Kumpulan Media Prima dan juga Astro.

Ketika bahaya komunis hangat diperkatakan, amat wajar untuk RTM, Media Prima dan Astro berganding bahu. Pastinya kerajaan menerusi Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan tidak mempunyai masalah untuk berkongsi bahan siaran demi kepentingan rakyat.

Selain berkongsi bahan yang berada dalam simpanan RTM, usaha tersebut juga boleh digembleng dengan kerjasama Filem Negara Malaysia dan Arkib Negara.

Kerjasama semua stesen televisyen untuk mendidik rakyat mengenai bahaya komunis adalah penting kerana bukan semua orang memilih untuk menonton TV1 atau TV2.

Biarkan penonton mempunyai banyak pilihan rangkaian dan biarkan mereka memilih stesen kegemaran mereka. Sebagai memenuhi tanggungjawab sosial dalam konteks ini, ketepikan seketika matlamat untuk bersifat 'eksklusif.' Apa salahnya berkorban sesekali demi kesejahteraan negara.

Apa yang penting ialah memenuhi agenda untuk mendidik rakyat, khususnya mereka yang membesar di era selepas Perjanjian Damai di Hatyai, Thailand pada 1989. Kumpulan sasar itu perlu mendapat gambaran sebenar mengenai kekejaman komunis dan bahaya yang boleh dicetuskan oleh pengaruh komunisme.

Pelukis blog kartun


Sebagai seorang blogger, Emila mengakui idea asal bloggingnya tidak terarah kepada motif mengaut keuntungan. Namun, siapakah yang tidak tertarik pada kartun RSS Dolly comel lukisannya?


TANPA sebarang kelayakan sijil, Emila berjaya membuktikan hasil lukisannya juga ada kredibiliti tersendiri.


KANAK-KANAK perempuan itu comel dan bertocang dua. Berwajah bujur dan berseluar dalam di luar. Pada wajahnya terpampang satu perasaan puas. Dia puas mungkin kerana dapat meniru gaya idola hati iaitu Superman.

Di atas bajunya tercatat Kapten Emot. Ya, inilah Adik Emot cetusan idea kecil pelukis sambilan, Nor Emila Yusof, 41.

Emila ketika ditemui di kediamannya di ibu negara baru-baru ini memberitahu, bakat melukis sudah lama mengalir dalam darahnya.

"Emot dan seorang lagi watak, Nora, yang berambut panjang mengurai ialah dua karakter ciptaan dan kegemaran saya. Apabila saya membandingkan gaya lukisan dahulu dan sekarang, memang ada banyak perubahan. Jika dahulu kebanyakan karakter bermata besar dan kepala kecil, sekarang mereka lebih cenderung ke arah mata kecil," katanya sambil tertawa besar.

Seingat Emila, satu-satunya pendidikan formal subjek seni yang pernah diperoleh setakat ini hanya di sekolah rendah dan menengah. Tetapi, dengan berbekalkan kelayakan kredit dalam subjek Pendidikan Seni sewaktu peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM), kerjaya Emila dalam bidang seni bermula.

Selama lebih sedekad bekerja dalam unit grafik dunia korporat, hati kecil Emila terdetik, sampai bilakah dia ingin terus duduk menghadap komputer, mereka letak bahan yang sama?

Persoalan itu akhirnya menemui jawapan apabila dia membuat keputusan meninggalkan segala-galanya dan menjadi 'bos' sendiri.

"Pada Ogos 2007, saya berhenti kerja dan melakukan kerja sambilan. Keputusan itu juga diambil supaya saya mempunyai masa untuk menjaga anak," katanya yang pernah melakukan pelbagai kerja sebelum menceburi bidang seni.

Jelas Emila, biarpun bekerja sambilan, memiliki kemahiran membina hubungan sangat penting. Pengalaman bekerjasama dengan agensi tertentu termasuk dengan pihak percetakan telah melancarkan kerja-kerja ilustrator sambilan sepertinya.

Justeru, sebelum berhenti daripada kerjaya korporatnya, dia sudah mula memanfaatkan kelebihan blog sebagai platform membina rangkaian kenalan.

Blog berjudul Emila's Illustrated Blog (http://emilayusof.com/) ini biarpun baru berusia lebih dua tahun, tetapi sudah ada himpunan peminatnya sendiri.

Buktinya, bilangan pengunjung dalam talian telah pun mencecah lebih daripada 236,000 setakat ini. Ia satu angka yang cukup menterjemahkan populariti tuan empunya badan.


EMOT melambai gembira bersama lebah.


Namun, Emila dengan rendah diri mengucapkan terima kasih setiap kali lukisannya menerima pujian. Malah, dia juga tidak kedekut berkongsi pengalaman saat ditanya teknik-teknik lukisannya.

Gemar menggunakan cat air berwarna lembut untuk kebanyakan karakternya, dia biasanya akan memberikan sentuhan akhir dengan penggunaan pensel warna.

"Itulah gaya seni saya. Contohnya, lepas sapu cat air untuk warna latar dan dibiarkan kering, saya akan guna pensel warna bagi memberi tekstur pada rambut, baju dan sebagainya," katanya yang meminati warna oren dan biru.

Sebagai seorang blogger, Emila mengakui idea asal bloggingnya tidak terarah kepada motif mengaut keuntungan. Namun, siapakah yang tidak tertarik pada kartun RSS Dolly comel lukisannya?

"Kawan-kawan terpesona dengan Dolly dan syorkan agar saya buat bisnes daripadanya. Jadi, awalnya saya cuma kenakan bayaran AS$2 (RM7) setiap satu dan responsnya cukup memberangsangkan. Setakat ini, lebih daripada 150 kartun Dolly telah dilukis," katanya sambil memberitahu harga setiap Dolly telah dinaikkan sehingga AS$5 (RM17.70) sejak awal tahun ini.

Pelanggannya datang dari serata dunia dengan sebilangan besarnya dari Malaysia, Amerika Syarikat dan Britain.

Jelas Emila, untuk mendapatkan satu Dolly yang dibuat khas (custom-made), pelanggan hanya perlu mengirimkan gambar mereka secara e-mel. Ini bagi membolehkannya menentukan karakter dan wajah Dolly yang mereka inginkan.

Biarpun kecanggihan teknologi membolehkan dia menerima tempahan merentasi benua, katanya, pelanggan luar negara lazimnya boleh dipercayai. Tidak timbul soal ditipu.

Sebaliknya, pengajaran terbesar pernah diterima Emila sepanjang bergelar seorang freelancer adalah apabila dia ditipu oleh kawan baik sendiri.

Berusaha melupakan insiden hitam itu, pelukis serba boleh ini juga seorang jurugambar berbakat. Anak kelahiran Raub, Pahang ini sering merakamkan gambar bagi keperluan rekaan kulit buku yang dikomisenkan kepadanya.

Antara yang memberinya 'mandat' mereka kulit buku termasuklah syarikat Wira Bukit Sdn. Bhd., agensi milik sasterawan negara, Datuk A. Samad Said.

Sebelum memutuskan gaya persembahan kulit buku yang ingin disampaikan, Emila lazimnya akan membaca manuskrip terlebih dahulu.

"Saya perlu dapatkan perasaan itu dahulu. Lepas itu, baru rancang rekaan kulit buku dan pergi ambil gambar. Misalnya, buku Keledang dan Dari Salina ke Langit Petang, semua ini bertemakan alam sekitar. Memandangkan Pak Samad pun harapkan tema alam, saya beri motif yang diperlukan," jelasnya yang mengagumi karya pelukis seperti Beatrix Potter, Helen Oxenbury dan Cicely Mary Barker.

Pada tahun depan, Emila akan menjengah ke Bologna, Itali untuk menghadiri Pameran Buku Kanak-kanak.

Merancang kewangan keluarga


Pada tahun 2009 tugas wanita untuk merancang bajet keluarga mungkin lebih mencabar.


"ORANG ramai masih boleh berbelanja, tetapi biarlah berpada-pada."


IBU kepada empat orang cahaya mata, Fazuliana Wari Dali, 36, tidak pernah gagal daripada tanggungjawab menguruskan perbelanjaan keluarganya.

Meraih pendapatan yang diperoleh daripada perniagaan lukisan, dia tahu cara yang betul menguruskan kewangan.

Menyedari anak-anak semakin membesar dan sesi persekolahan juga bakal bermula tidak lama lagi, Fazuliana lebih selesa menabung untuk kegunaan pada saat diperlukan.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, dia masih membeli tiga pasang seragam dan kasut sekolah untuk tiga orang anaknya yang bersekolah. Sungguhpun isu kegawatan ekonomi sudah mula diuar-uarkan, Fazuliana masih belum merancang mengurangkan perbelanjaan isi rumah dan sekolah anak-anak.

Sebaliknya, dia sentiasa menasihati anak-anak agar sentiasa menjaga perilaku supaya kelengkapan sekolah boleh digunakan sepanjang tahun. Menerusi kaedah ini, dia boleh berjimat tanpa perlu membeli baju sekolah yang baru.

"Amalan berjimat cermat ini perlu diamalkan memandangkan harga barang kini semakin naik. Memang terasa apabila melihat harga barang tidak menentu. Jika sebelum ini peruntukan RM100 dapat memenuhi troli tetapi kini untuk mendapatkan barang yang sama, saya perlu berbelanja sebanyak RM250.

"Situasi ini bukan sahaja berlaku di pasar raya besar malah perang harga juga boleh dilihat di pasar borong. Jika masalah ini berterusan saya akan mengurangkan sedikit perbelanjaan supaya peruntukan perbelanjaan yang diberi suami setiap bulan sentiasa mencukupi," luahnya yang menjalankan perniagaan melalui Internet.


"SETIAP individu wajar mengamalkan sikap suka menabung."


Pengalaman selama 14 tahun bekerja di bank membuatkan Fazuliana memahami cara terbaik untuk menguruskan kewangan peribadi.

Tahun ini penuh dengan berita kurang enak mengenai ekonomi dunia. Malaysia dikatakan tidak terkecuali merasai tempias itu.

Menyedari perkembangan tersebut, kerajaan menyarankan supaya masyarakat mengambil langkah berjimat cermat. Pengguna perlu hanya membeli barangan yang diperlukan bukan kerana didorong hawa nafsu.

"Benar, jika diperhatikan di Internet dan media, kebanyakan berita yang disajikan menyatakan negara kita bakal menempuh situasi ekonomi yang tidak menentu pada tahun ini. Tapi, orang ramai jangan mudah panik dan bimbang kerana semuanya bergantung pada gaya hidup anda sendiri.

"Sekiranya amalan jimat cermat sudah diamalkan sejak dulu lagi dan menabung, maka isu kegawatan ekonomi bukanlah suatu masalah yang besar. Malah, tatkala krisis berlaku pun kita tidak akan terasa keperitan itu," jelas Pengarah Urusan Life Specialist Financial Planners Sdn. Bhd., Laila Johari yang menyatakan setiap individu wajar mengamalkan sikap menabung.

Justeru, Laila menyifatkan tahun ini merupakan tahun yang paling sesuai untuk orang ramai belajar menabung.




Jika sebelum ini sejumlah wang diperuntukkan membeli barangan berjenama, melancong ke luar negara atau menikmati hidangan di restoran adalah lebih wajar kita mengubah tabiat sedemikian.

Orang ramai masih boleh berbelanja, tetapi biarlah berpada-pada. Sebaik-baiknya bertukarlah membeli produk tempatan dan mengunjungi destinasi percutian dalam negara. Daripada membazirkan wang yang banyak untuk makan di luar, lebih baik sekiranya wang itu digunakan membeli bahan mentah dan makan di rumah. Dengan cara ini, sambil berjimat kita dapat meningkatkan keharmonian keluarga.

Selain menghakis sikap boros, obses menggunakan kad kredit juga harus dikawal.


"PENGGUNA perlu membeli hanya barangan yang diperlukan bukan kerana didorong hawa nafsu. - Gambar hiasan"


Elakkan memiliki kad kredit lebih daripada satu kerana penggunaan kad kredit bakal membuatkan si pengguna terpaksa membayar hutang yang tinggi.

"Saya juga tidak bersetuju sikap pengguna yang gemar membayar hutang kad kredit sebanyak lima peratus pada setiap bulan. Hutang yang selebihnya tertunggak dan beralih pada bulan seterusnya. Semakin banyak hutang kad kredit, semakin tinggilah kadar faedahnya.

"Bagi golongan ibu bapa yang memakai kad kredit, disarankan supaya mereka menggunakan kad itu untuk hal-hal kecemasan atau kesihatan yang melibatkan ahli keluarga saja. Elakkan membeli barang menggunakan kad kredit kerana kesannya amat buruk," ujarnya kepada Kosmo!.


FAZULIANA (tengah) sentiasa menasihati anak-anak supaya bijak menjaga kelengkapan sekolah.


Laila mengakui sistem pengurusan kewangan keluarga terletak pada kebijaksanaan isteri dalam merancang perbelanjaan setiap bulan.

Potensi ekonomi Islam


DALAM 10 tahun kebelakangan ini, amalan perbankan dan kewangan Islam mengalami pertumbuhan ketara. Jumlah institusi kewangan Islam meningkat melebihi 300 buah dan berkembang meliputi 75 negara.

Ia membabitkan nilai urus niaga yang mencecah sehingga AS$300 bilion (RM1.05 trilion) dengan pertumbuhan pada kadar sehingga 15 peratus setahun. Statistik itu secara tidak langsung memberi gambaran bahawa perbankan Islam berkembang dengan progresif.

Ia juga dilihat mempunyai potensi besar bagi menggantikan sistem konvensional bagi tempoh lima hingga 10 tahun akan datang. Ini kerana sistem kewangan Islam amat menekankan aspek keadilan apabila menggariskan prinsip dan nilai yang wajib diikuti dalam memastikan aktiviti ekonomi berjalan dengan baik.

Sebagai contoh, Islam mengharamkan aktiviti riba yang bermaksud setiap urusan hutang tidak boleh mempunyai elemen faedah atau nilai tambah. Prinsip ini jelas berbeza dengan sistem kapitalisme dalam dua perkara iaitu mengharamkan pinjaman dengan amalan faedah (riba). Pada masa yang sama, ia turut menegah sebarang bentuk spekulasi berunsur penindasan.

Sebagai alternatif, pembiayaan boleh dilakukan secara jual beli atau sewaan yang bersandarkan kepada aset sebenar. Sekiranya bank ingin membiayai pembelian rumah, ia tidak boleh memberikan wang dan mengaut keuntungan melalui hutang. Sebaliknya perlu membeli aset tersebut dan menjualnya kepada pelanggan dengan harga yang mengambil kira keuntungan kepada bank.

Sistem ekonomi Islam juga menekankan aspek perkongsian untung dan rugi yang memerlukan bank terlibat secara langsung dengan aktiviti ekonomi pelanggan.

Ia secara tidak langsung dapat mendisiplinkan aktiviti ekonomi kerana bank harus melakukan penelitian rapi bagi setiap projek yang dibiayai. Ini kerana sistem perekonomian Islam menyokong perkongsian risiko antara pihak institusi kewangan dan pelanggan dengan membawa prinsip menang-menang bagi semua pihak.

Sistem kewangan Islam juga mengharamkan aktiviti jual beli hutang kerana adanya elemen yang tidak pasti. Oleh itu, sistem ini dengan sendirinya mempunyai daya tahan terhadap krisis kegawatan ekonomi.

Sebagai sebuah negara Islam, perkembangan pesat sektor kewangan dan perbankan negara memberi kelebihan kepada sistem ekonomi Islam untuk berkembang.

Potensi itu turut disedari oleh sebuah firma guaman, Khairul Group Of Associates (Khairul Group). Ia melihat sektor ekonomi Islam boleh memberi kelebihan kepada pihak yang terbabit secara langsung dalam sistem ekonomi, lebih-lebih lagi kaum Bumiputera.

Pengerusinya, Khairul Anwar Selamat berkata, sejak beroperasi pada 2004, firmanya telah mengendalikan transaksi perbankan korporat bernilai lebih RM100 juta dengan lebih 70 peratus pelanggan memilih sistem perbankan Islam.

Kecenderungan itu dijangka berterusan bagi tempoh lebih panjang dan stabil berikutan prinsip kewangan syariah yang diyakini lebih adil, telus dan berwibawa. Pertumbuhan pesat juga dicatatkan dalam urus niaga berteraskan syariah seperti al-mudharabah, al-musyarakah, bai' bithamin ajil dan al-ijarah.

"Menariknya sistem kewangan Islam bukan sahaja menjadi pilihan di kalangan orang Islam, malah semakin ramai bukan Islam mula tertarik untuk menyertainya," ujar beliau.

Bagaimanapun secara keseluruhannya, masih ramai yang ragu-ragu untuk mengaplikasikan sistem perbankan Islam. Ia disebabkan kurangnya pendedahan dan salah faham terhadap konsep kewangan syariah yang sebenar.

Kerana itu juga Khairul Anwar mencadangkan, perlu ada penjelasan dan usaha yang berterusan untuk memperkenalkan produk perbankan Islam seperti sukuk dan pasaran bon Islamik. Kegawatan ekonomi yang disebabkan oleh kelemahan kewangan konvensional juga dilihat peluang terbaik untuk menonjolkan sistem itu.

Sebagai sebuah negara Islam, Malaysia dilihat mempunyai kapasiti daripada sudut kemahiran dan kemampuan untuk melaksanakannya. Untuk itu, Khairul Anwar menggesa lebih banyak pihak yang terbabit secara langsung dalam sistem kewangan dan perbankan meningkatkan aktiviti berasaskan sistem Islam.

Peningkatan minat itu juga merupakan kelebihan kepada Bumiputera terutamanya orang Melayu yang pastinya lebih arif dan memahami konsep kewangan Islam. Beliau sendiri menerusi firmanya, akan terus mengukuhkan usaha menggalak dan meyakinkan pelanggan untuk menjalankan urus niaga berdasarkan sistem perbankan Islam.

Ia berasaskan keyakinan bahawa inilah sistem terbaik dan berdaya maju serta menguntungkan kedua-dua pihak sama ada pelanggan mahu pun institusi kewangan.

"Sudah tiba masanya kita tidak lagi terpengaruh dengan pengamal Barat yang mendefinisikan sistem kewangan Islam sebagai alternatif.

"Hakikatnya, prinsip kewangan berlandaskan syariah adalah satu-satunya sistem yang utama dan terbaik," katanya.

Khairul Anwar turut melihat proses liberalisasi sistem kewangan Islam seperti yang diumumkan kerajaan baru-baru ini merupakan satu pendekatan yang positif.

Ia diyakini dapat meningkatkan penyertaan asing dalam institusi kewangan selain pengurusan dana dan firma pembrokeran saham asing.

Malah, Khairul Group juga merancang untuk mengeksport kemahiran perkhidmatan mereka ke luar negara. Ketika ini terdapat permintaan kepakaran dari beberapa buah negara terutamanya di Asia Barat.

Negara-negara seperti Singapura, Indonesia, Jepun dan Hong Kong pula menunjukkan minat yang mendalam terhadap sistem perbankan Islam, katanya.

Khairul Group juga menjadi rujukan para pelanggan korporatnya dalam hal melibatkan undang-undang berkaitan sistem perbankan Islam, penstrukturan pinjaman serta pinjaman korporat dan komersial.

Mereka yang mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan yang ditawarkan oleh firma Khairul Group boleh menghubungi talian 03-41428944 atau menerusi e-mel di alamat krulco@yahoo.com.

Dilema pelancongan Artik


Setiap kapal persiaran yang berlabuh di Ny-Aalesund, Norway menyebabkan pertambahan pengeluaran karbon dioksida.


PADA hari-hari tertentu dalam musim panas, antara 2,000 hingga 3,000 pelawat berkunjung ke Artik sambil menggalas peralatan kamera di bahu masing-masing.


BERDEPAN dengan ribut salji dan beruang polar merupakan sebahagian daripada rutin harian dalam kalangan penyelidik di Artik. Tiada apa yang dibimbangkan mengenainya.

Namun, apa yang menjengkelkan penyelidik-penyelidik tersebut ialah kehadiran segerombolan pelancong yang tiba dengan kapal persiaran yang memancutkan diesel walaupun mereka membawa wang yang banyak.

Di Ny-Aalesund, sebuah stesen penyelidikan antarabangsa yang terletak di kepulauan terpencil Svalbard, utara Norway, terma menuju persamaan memang terkenal tetapi ia tidak bermakna saintis mudah melanggarnya.

"Lebih ramai pelancong bermakna lebih banyak wang diperoleh dan juga lebih banyak pencemaran," kata Bendiks Eithun Halgunset, penasihat penyelidik untuk syarikat Kings Bay yang menguruskan tapak tersebut.

Pada hari-hari tertentu dalam musim panas, antara 2,000 hingga 3,000 pelawat datang ke sana sambil menggalas peralatan kamera di bahu masing-masing.

Kebanjiran pelancong seperti itu mengganggu ketenangan kawasan tersebut dengan satu-satunya bunyi yang biasa didengar ialah enjin kereta salji yang menderum melalui kawasan berkenaan.

Ia memberi sedikit masalah kepada 180 penyelidik yang bekerja di bahagian paling utara di planet Bumi.

"Situasi tersebut agak di luar realiti. Secara tiba-tiba anda mempunyai masa yang sama banyak seperti pelancong dan saintis di sini," kata Dorothea Schulze, seorang jurutera Jerman di Institut Polar Norway.

Setiap kapal persiaran yang berlabuh di Ny-Aalesund menyebabkan pertambahan pengeluaran karbon dioksida sekali gus menjadikan peralatan mengukur atmosfera di stesen tersebut tidak menentu.

Dalam sehari, kapal-kapal boleh membebaskan lebih banyak pencemaran berbanding pengeluaran diesel yang dijalankan oleh stesen kuasa di bandar tersebut dalam tempoh setahun.


KEBANJIRAN pelancong di Artik mengganggu ketenangan kawasan itu. Satu-satunya bunyi yang biasa didengar di Artik ialah enjin kereta salji.


"Pelawat itu memang tidak menjejaskan penyiasatan saintifik secara langsung tetapi kapal mereka agak mencemarkan," ujar Marchus Schumacher, ketua institut penyelidikan Perancis-Jerman, Avipev yang menjalankan kajian atmosfera.

"Ini membuatkan kami sukar untuk mentafsirkan data," tambahnya.

Selain itu, agak sukar untuk memerhatikan dan mengawasi pelancong walaupun mereka dibatasi dengan had peraturan bandar tersebut.

Pelancong, biasanya pesara dari Amerika Syarikat atau Eropah, kadangkala meninggalkan perasaan yang berbeza. Ada yang mempunyai tanggapan yang salah mengenai dunia di Ny-Aalesund.

"Ada pelancong memberikan kami beberapa biji buah epal," ujar Halgunset sambil menerangkan bahawa pelancong tersilap memikirkan bahawa bandar ini benar-benar terputus dari dunia luar.

"Atau mereka memberi makan serigala polar atau menyentuh peralatan yang bernilai jutaan dolar. Mereka juga akan mengambil atau menyembunyikan beberapa barangan lama untuk dibawa pulang," tambahnya.

Di Ny-Aalesund, semua orang tahu bahawa tiada seorang pun yang mengunci pintu depan kabin mereka yang mana selalunya ia bukan satu idea yang baik.

"Pernah terjadi, kami terpaksa membawa pelancong ke bilik tidur dan mengambil gambar atas permintaan mereka," imbas Halgunset mengenai pengalaman yang dilalui.

Bagaimanapun, wang yang dibelanjakan oleh pelancong amat diperlukan. Ia mewakili 4.0 juta kroner daripada bajet operasi tahunan sekitar 37 juta kroner (4.3 juta euro atau RM20.6 juta).

"Satu jalan penyelesaian yang mungkin boleh dilakukan adalah mengharamkan kapal-kapal besar berlabuh di sini dan hanya menerima kapal ekspedisi yang lebih kecil tetapi dipenuhi orang yang dahagakan pengetahuan.

"Tetapi, risikonya sekali lagi mungkin kapal-kapal besar ini akan berlabuh di mana-mana tempat lain di Svalbard. Mungkin lebih buruk, kami tidak berada di sana untuk memerhatikan dan mengawal mereka," tambahnya. - AFP

26 Mei 2009

Nostalgia mesin jahit antik


DALAM banyak-banyak koleksi barangan antik yang dimiliki oleh Lim Cheng Hoe, mesin jahit Singer adalah barangan yang paling disayanginya. Mengapa?




SINGER, satu jenama yang sudah lama dekat di hati ramai suri rumah sejak tahun 1906. Seteguh batu di lautan, Singer tetap menonjol dalam kelas tersendiri sejak berdekad lamanya, biarpun pada zaman milenium ini muncul pelbagai jenama baru di pasaran.

Menyebut jenama Singer kepada nenek atau ibu-ibu kita, gambaran pertama yang menjenguk di fikiran adalah sebuah mesin jahit tua yang berfungsi dengan menggunakan pedal.


MESIN jahit antik berusia 132 tahun ini masih berfungsi dengan baik.


Ramai daripada kita mungkin pernah mengenakan sehelai pakaian yang dijahit oleh ibu menggunakan mesin jahit Singer. Ingat lagi pada lagu korporatnya yang berbunyi '...Singer, Menawan Keluarga Bahagia.'.

Cukup nostalgik, bukan? Bagi Lim Cheng Hoe, 50, apresiasinya terhadap mesin jahit Singer melampaui kata-kata. Dia merupakan pemilik kepada lima buah mesin jahit antik Singer dengan tiga daripadanya dihasilkan sekitar tahun 1870-an.


LIM CHENG HOE


Antara tiga mesin jahit tersebut, salah satu daripadanya telah mengharumkan nama beliau pada tahun 2006 apabila dipilih sebagai mesin jahit antik Singer yang tertua dan masih berfungsi di Malaysia. Diperbuat pada tahun 1877, mesin jahit antik Singer yang cukup bernilai ini berwarna hitam dengan kemasan hiasan emas yang signifikan pada ketika itu.

Berusia 132 tahun pada tahun ini, mesin jahit antik Singer itu tidak mempunyai nombor siri tetapi memiliki kod yang berhuruf ringkas. Keunikan itu hanya ada pada mesin jahit Singer yang dikeluarkan lama dahulu termasuk mesin kelas 15 seperti yang dimiliki oleh Cheng Hoe.

Menurutnya, beliau memperoleh mesin jahit itu dari sebuah kedai antik di Pulau Pinang kira-kira 15 tahun lalu. Dibeli dalam lingkungan harga RM2,000, Cheng Hoe dengan serta-merta mampu menghargai nilainya sebaik sahaja matanya 'melekat' pada objek kecil itu.

"Manakan tidak, Singer adalah jenama mesin jahit yang terawal bertapak di negara ini. Malah, kemungkinan besar mesin jahit yang berusia lebih seabad ini dibawa masuk oleh orang British.


PENGURUS Besar Singer (M) Sdn. Bhd., Ng John Kit menunjukkan potret kegemilangan mesin jahit Singer.


"Jika terlepas, pasti menyesal kemudian hari," ujarnya yang menambah ia datang dengan bekas membulat yang diperbuat daripada kayu dan merupakan satu lagi ciri utama yang menjadi kebanggaan sulung di seluruh dunia.

Dahulu, mesin jahit Singer juga adalah satu-satunya jenama pengeluar yang dijual dengan bekas membulat yang mempunyai logo tertera di ruang hadapan. Hari ini, aspek-aspek itu dianggap sebagai penambah nilai kepada kualiti dan mutunya yang tiada tandingan.

Percaya atau tidak, kesemua mesin jahit antik Singer yang dimiliki oleh Cheng Hoe masih berfungsi dengan baik. Tidak kira sama ada untuk memperbaiki seluar yang terlucut benangnya atau menjahit sehelai langsir. Isteri Cheng Hoe, Wong Yin masih menggemari mesin jahit tersebut.

Bagaimanapun, setelah memenangi mesin jahit Quantum Futura daripada unit rangkaian terbaru Singer bersempena dengan kemenangan suaminya dalam pertandingan yang disertai pada tahun 2006, Wong Yin buat pertama kali 'berpindah' tangan.


DAHULU, roda ini dipusing dengan tangan untuk menjahit.


Namun, menurut Cheng Hoe, isterinya mendapati mesin jahit tua itu lebih mudah dikawal, tidak mengelirukan dengan butang dan teknologi yang canggih dan yang paling penting, ia mengimbau kembali seribu satu kenangan manis buat seisi keluarga.

"Bagi saya, mesin jahit antik Singer adalah sebuah model yang sangat cantik. Ramai yang cuba tawar-menawar dengan nilai yang dianggap berpatutan tetapi saya menolak dengan baik.

"Bayangkan, jika saya setuju dan sebaik sahaja terima bayaran, model berusia 132 tahun ini akan lenyap dari pandangan saya untuk selama-lamanya. Saya tidak sanggup kehilangannya!" ujar Cheng Hoe dengan penuh sentimental.

Mesin jahit antik Singer ini begitu utuh sehinggakan ia tidak pernah mengalami kerosakan atau baik pulih yang menelan belanja besar. Jika adapun, hanya jarum penjahit yang patah.

Bagi memastikan keluarganya mengetahui nilai sebenar mesin-mesin jahit antik Singer, Cheng Hoe tidak pernah menyembunyikan harga yang dibayar ketika membelinya dan harga pasaran semasa. Malah, beliau tidak keberatan memberinya kepada anak-anak jika mereka berkongsi keghairahan yang sama.


WALAUPUN telah berusia, namun mesin jahit ini masih tahan lasak dan berfungsi seperti biasa.


Selain itu, minat Cheng Hoe mengumpul barangan antik sejak 20 tahun lalu, membolehkan beliau memiliki pelbagai jenis barangan mekanikal yang disimpan di rumah abang dan bapanya, selain di rumahnya sendiri di Taman Sri Gombak, Batu Caves, Selangor.

Mesin taip, telefon, jam dinding, radio, dan pemain piring hitam adalah sebahagian daripada koleksi berharga yang disamakannya dengan nilai sebuah banglo.


ANTARA hasil yang diperoleh daripada mesin jahit Singer.


"Biasanya, saya suka mengunjungi kedai antik semasa bercuti di dalam atau luar negara. Setiap kunjungan menemukan saya dengan barangan antik yang baru berbeza dengan tempat-tempat pelancongan yang serupa selepas beberapa tahun.

"Secara peribadi, saya cepat tertarik kepada sesuatu barangan yang masih bergerak atau berfungsi walaupun telah berusia ratusan tahun. Sudah tentu bahan dan alat ganti yang diguna pakai ketika itu sangat lasak dan tahan lama," ujarnya yang sanggup menabung sekiranya tertarik pada sesuatu barangan antik.


STRUKTUR mesin jahit Singer yang terawal.


Lagipun, apa sahaja yang berkaitan dengan antik akan mengungkapkan aktiviti pelaburan yang berbaloi.

Cheng Hoe yang telah bersara sebagai pengurus dalam sektor kargo dan pengangkutan enam tahun lalu, berkata, beliau akan meneruskan hobi itu.

"Ramai yang mengumpul mesin jahit antik Singer kerana ia ringan, mudah diangkut dan disimpan dengan selamat."

Satu lagi mesin jahit antik Singer yang dibawa bersama pada sesi fotografi adalah mesin jahit yang bertatahkan Mother of Pearl atau mutiara mewah. Mesin jahit ini dibeli dari Munich, Jerman.

Ditanya apakah nasihatnya kepada pengumpul yang berpotensi mencari barangan antik seperti mesin jahit, Cheng Hoe berkata: "Baca sejarah pembuatan dan selok-belok keunikannya dan bandingkannya dengan unit atau jenama lain."

Profesion ibu tumpang


Dengan ganjaran lebih daripada RM50,000 apabila bersetuju meminjamkan rahim untuk pasangan yang inginkan anak, ia satu berita gembira buat gadis-gadis miskin di China.


NISBAH satu daripada enam pasangan dijangka tidak subur di China berikutan gaya hidup moden yang semakin meluas.


SEMAKIN China berkembang maju, bilangan pasangan tidak subur yang mencari ibu tumpang untuk mengandungkan anak mereka juga kian bertambah.

Sebelum ini, pihak berkuasa tidak mengambil peduli tentang industri 'rahim untuk disewa' secara haram yang dilihat mencabar undang-undang memiliki anak yang ketat di China.

Kini, kerajaan mula ingin mengawalnya dengan memaksa ibu-ibu tumpang menggugurkan kandungan mereka. Namun, ada yang melihat cara pihak berkuasa itu terlalu keras.

Di bandar Guangzhou, tiga orang ibu tumpang muda yang hamil buat kali pertama berjaya dikesan di sebuah rumah flat kongsi.

Tidak lama kemudian, pegawai Keselamatan dan Perancang Keluarga Daerah menyerbu flat tersebut dan wanita berkenaan dibawa ke hospital berhampiran.

"Kami dipaksa masuk ke wad bersalin," cerita ibu-ibu itu kepada Reuters.

"Saya menangis dan tidak mahu melakukan semua ini," kata seorang gadis bernama Xiao Hong, 20, yang mengandung anak kembar berusia empat bulan.

"Tetapi mereka tetap menarik saya dan mencucuk perut saya dengan jarum," ceritanya tentang penderitaan yang dialaminya lewat Februari lalu apabila dipaksa menggugurkan kandungan.

Gadis yang enggan memberitahu nama penuhnya kerana bimbang dikenakan hukuman memberitahu, seorang lelaki memaksanya menurunkan cap jari di atas borang keizinan sebelum dia menjalani proses pengguguran.

Seorang lagi ibu tumpang dari sebuah kampung di wilayah Sichuan menceritakan bagaimana dia dipaksa oleh para pegawai untuk mengambil pil dan mengeluarkan janinnya yang berusia tiga bulan menerusi pembedahan ketika dia tidak sedarkan diri.

"Saya sangat takut," katanya yang berusia 23 tahun.


GADIS-GADIS muda yang menjadi ibu tumpang dipaksa menggugurkan kandungan mereka di China.


Jurucakap Suruhanjaya Perancang Keluarga Daerah Guangdong, Zhong Qingcai enggan ditemuramah oleh Reuters, tetapi menyatakan pihak berkuasa sedang menyiasat aduan-aduan tersebut.

Akhbar rasmi Guangzhou Daily memetik para pegawai perancang keluarga daerah dengan menyatakan semua wanita itu tidak berkahwin dan bertindak selaku ibu tumpang haram.

Ia turut menambah tiga orang ibu tumpang itu 'bersetuju' untuk menjalani 'rawatan' yang mematuhi undang-undang.

Tetapi ketua agensi yang menjaga kebajikan ibu-ibu itu meraguinya.

"Ini adalah jenayah yang nyata," kata Lu Jinfeng, pengasas laman web China Surrogate Mother beralamat www.aa69.com sejak lima tahun lalu.

Katanya, beliau tidak pernah berdepan dengan masalah sebegini sebelum ini.

"Memaksa orang untuk menjalani pengguguran adalah tindakan kejam yang melanggar undang-undang dan hak asasi manusia,"ujarnya.

Sejak insiden itu, banyak laporan media arus perdana menyifatkan margin keuntungan perniagaan ibu tumpang ini 'lebih menguntungkan daripada aktiviti penjualan dadah'.

Kenyataan itu membuatkan para pemerhati menjangka pemantauan lebih ketat pada masa akan datang dilaksanakan.

"Apabila anda membaca laporan sebegini, ia seakan-akan satu bentuk pendidikan kepada masyarakat dan menjadi petunjuk bahawa kerajaan akan melakukan sesuatu," kata pakar isu perancangan keluarga China dari Universiti Baptist Hong Kong, Siu Yat-ming.

"Orang ramai semakin peka dengan situasi ini. Banyak agensi (yang mengendalikan ibu tumpang) menjana pendapatan tinggi seperti satu industri yang terancang," tambah Yat-ming.

Rangkaian haram antara ejen ibu tumpang, hospital dan doktor telah merebak sejak tahun-tahun kebelakangan ini, berikutan pasangan yang tidak subur mencari wanita untuk mengandungkan bayi mereka.

Ibu-ibu tumpang ini biasanya disembunyikan di rumah-rumah flat pada hampir sepanjang tempoh mengandung bagi mengelak daripada dikesan.

Nisbah satu daripada enam pasangan di Amerika Syarikat kini dijangka tidak subur dan kadar yang sama dapat dilihat di China berikutan gaya hidup moden yang semakin meluas.

Keadaan ini membuatkan agensi-agensi ibu tumpang mula merekrut gadis yang biasanya datang dari daerah miskin untuk mengandung bagi pihak ibu bapa kaya dan fenomena itu dilihat kian bertambah.

Sukar untuk menyatakan angka atau saiz sebenar industri tersebut. Tetapi laporan terkini akhbar Southern Metropolis Weekly menganggarkan terdapat sekitar 25,000 orang anak yang dikandung oleh ibu tumpang telah dilahirkan.

Akhbar itu menyatakan angka tersebut diperoleh daripada laman web agensi ibu tumpang yang diberi oleh pihak berkuasa perancangan keluarga.

Ratusan agensi ibu tumpang disenaraikan secara terbuka dalam enjin carian seperti Baidu. Laman web ini menarik minat para pelanggannya dengan imej-imej ibu mengandung dan pop-up windows yang membolehkan mereka berbual secara langsung.

Dalam beberapa laman web, ibu-ibu tumpang ini dipilih secara terbuka dan dibayar antara 50,000 hingga 100,000 yuan (sekitar RM51,275).

Ini sekali gus menjadikannya satu profesion lumayan buat anak-anak gadis dari keluarga miskin di negara yang purata pendapatan perkapita tahunannya (penduduk luar bandar) hanya sekitar AS$600 (RM21,000).

Ketika komplikasi emosi, etika dan perundangan menjadikan ibu tumpang satu topik yang enggan dibincangkan di banyak negara, trend itu sebenarnya semakin berkembang di seluruh dunia. India misalnya telah menjadi hab mendapatkan ibu tumpang bagi pasangan tidak subur dan gay di negara barat.

"Ada jutaan manusia di luar sana yang mahukan anak tetapi tidak mampu," kata seorang pakar bio-etnik dari Pusat Perubatan Universiti Columbia New York, Robert Klitzman.

Kesan ekonomi pada kanak-kanak


Di Amerika Syarikat, ramai kanak-kanak pada usia semuda 10 tahun terpaksa bekerja untuk membantu menyara keluarga mereka.


DENGAN tujuan membantu keluarganya, Demetri Wolfe-Maris bekerja mengira duit syiling.


KRISIS ekonomi yang melanda masa kini bukan hanya memberi impak yang besar kepada golongan dewasa di Amerika Syarikat (AS), malah kanak-kanak turut merasai tekanannya.

Demetri Wolfe-Maris, yang baru berusia 10 tahun menjadi antara contoh kanak-kanak yang terpaksa bekerja.

"Dia bekerja mengira duit syiling dengan jiran kami. Mendapat RM18 sejam, anak saya berasa bangga kerana tidak perlu meminta wang daripada saya," kata ibu kanak-kanak itu, Abebi Wolfe, 34, yang telah menganggur sejak setahun lalu.

Pada bulan lalu, selepas Demetri mengetahui ayahnya tidak tinggal bersama keluarga itu dan kehilangan pekerjaannya, kanak-kanak yang belajar di gred lima itu pergi bertemu kaunselor di sekolahnya.

"Kaunselor tersebut memberitahu kami bahawa Demetri datang dengan hati yang berat dan berkata beliau mahu mendapatkan pekerjaan untuk membantu keluarganya," ujar Wolfe.

Kanak-kanak itu telah merancang segala-galanya. Dia akan pergi ke restoran McDonald's yang terletak enam blok dari rumahnya kerana yakin mampu menyediakan burger dan kentang goreng yang terbaik.

Tetapi pada usia yang menghampiri 11 tahun, kaunselor tersebut menjelaskan kepada kanak-kanak itu, bahawa di bawah undang-undang AS, Demetri terlalu muda untuk bekerja.

Di bandar Pueblo, Colorado yang kebanyakannya terdiri daripada penduduk kelas pertengahan, seorang kaunselor sekolah, Nancy menganjurkan satu kutipan dana untuk membantu empat adik-beradik yang berusia antara lima hingga 10 tahun selepas beliau sedar mereka datang ke sekolah dalam kelaparan dan penat.

"Ibu mereka kehilangan kerja dan kanak-kanak tersebut terpaksa berjaga sehingga lewat malam untuk membantu beliau membuat barangan yang akan dijual bagi membeli makanan.

"Saya mendapatkan sumbangan wang daripada orang ramai dan kami membeli mereka barangan rumah untuk sebulan. Sumbangan ini cukup untuk membantu mereka sehingga ibu kanak-kanak itu mendapat pekerjaan baru," kata Nancy.

Pada satu perkembangan lain, katanya, semakin ramai kanak-kanak mengambil peluang sarapan percuma di bawah sistem sekolah awam di Pueblo.

"Ramai kanak-kanak mendapat tamparan hebat ekoran krisis ekonomi ini. Ia sesuatu yang mengejutkan...,sedangkan AS merupakan salah sebuah negara terkaya dunia," ujar Nancy.

Menurutnya, dalam era maklumat pantas serta mempunyai capaian laporan media terhadap peningkatan kadar pengangguran dan kepayahan hidup masa kini, kanak-kanak kini sedar tekanan yang dialami oleh keluarga masing-masing.

"Demetri yang menonton berita dan terdengar mengenai statistik pembuangan pekerja, tidak benar-benar memahami apa yang dimaksudkan.

"Apa yang dia faham adalah dua insan yang paling dikasihinya telah kehilangan pekerjaan," kata Wolfe.

"Kanak-kanak mampu merasakan bahawa diri mereka turut bertanggungjawab terhadap tekanan yang dialami oleh ibu bapa di rumah apabila mereka kehilangan pekerjaan," kata pula Wendy Blome, seorang profesor di Pusat Pengajian Perkhidmatan Sosial, Universiti Catholic, Washington.

"Kebimbangan kanak-kanak yang lebih besar mungkin dapat dilihat dalam cara berbeza seperti mereka berkata, 'Saya akan mendapatkan kerja atau kita akan berjimat," katanya.


PENINGKATAN tahap tekanan di rumah akibat kegawatan ekonomi masa kini mempengaruhi emosi kanak-kanak di Amerika Syarikat.


Diamond Patterson, 16, baru-baru ini mendapat pekerjaan separuh masa di tempat permainan kanak-kanak dan restoran di kawasan subbandar Washington.

"Keadaan ekonomi semakin teruk. Ibu saya perlu menjelaskan bil-bil yang ada dan saya mahu membantunya sebaik mungkin, sungguhpun ibu sering menegaskan bahawa satu-satunya tugas saya adalah pergi ke sekolah," kata remaja itu.

Terdapat juga remaja yang berhenti terus dari sekolah sungguhpun diploma sekolah tinggi merupakan syarat minimum untuk 'memastikan kejayaan masa depan' dalam zaman kesuraman ekonomi ini, menurut satu laporan yang dikeluarkan oleh Pusat Pendidikan Penyelidikan dan Polisi Rennie.

Laporan tersebut, yang melihat kadar pemberhentian sekolah di wilayah timur laut Massachusetts di mana satu dalam lima pelajar tidak melengkapkan pembelajaran di sekolah menengah, berkata, sebab yang sering kali diberikan oleh pengetua terhadap mengapa pelajar tersebut berhenti sebelum mendapatkan diploma mereka adalah 'isu rumah atau keluarga'.

"Maksud sebenar pengetua-pengetua itu adalah remaja tersebut terpaksa berhenti sekolah kerana mereka perlu membantu menyara keluarga masing-masing," kata Jill Norton, Pengarah Eksekutif Pusat Rennie.

Blome juga berkata, ekonomi yang semakin teruk ini juga bermakna kanak-kanak berada pada risiko yang lebih besar terhadap penderaan dan diabaikan oleh keluarga mereka.

"Kita tahu dari segi sejarah, penderaan dan pengabaian kanak-kanak biasanya seiring dengan kadar pengangguran," katanya.

Sungguhpun kesan perkara tersebut tidak dapat dilihat pada masa ini, Bloom menambah, ia masih menjadi satu kebimbangan yang besar.

Karya pemikir pengurusan



ADAKAH seorang eksekutif atau pengurus benar-benar memahami maksud sebenar pengurusan? -Gambar hiasan


BIDANG pengurusan adalah satu bidang yang menyentuh setiap aspek dimensi kehidupan manusia berorganisasi sama ada ia seorang pengurus kecil atau seorang pengurus besar.

Persoalannya, adakah seseorang yang bergelar pengurus atau eksekutif itu benar-benar faham maksud pengurusan?

Banyak perbincangan tentang kepimpinan dan cabarannya pada masa depan dikupas dan sentiasa menarik ramai perhatian pengkaji sarjana, pengurus, konsultan pengurusan dan sebagainya.

Antara nama-nama besar yang banyak membincangkan persoalan-persoalan tersebut khususnya dalam zaman dunia tanpa sempadan ini termasuklah Peter F. Drucker, Charles Handy dan Stepehen R. Covey.

Namun, tidak semua pengurus dan eksekutif berkesempatan untuk membaca karya-karya para pemikir pengurusan dalam masa yang singkat. Apatah lagi untuk mendapatkan intipati dari lontaran pemikiran tersebut.

Bukan senang juga untuk mengumpul sejumlah para pemikir pengurusan yang bertaraf dunia untuk mengupas intisari pemikiran mereka dalam satu buku yang mampu dinikmati semua.

Mengugah pemikiran

Daripada pemerhatian ini, maka lahirlah buku-buku pengurusan yang sentiasa menggugah pemikiran dan memberi semacam anjakan paradigma kepada persoalan-persoalan yang dibahaskan.

Kelahiran buku The Leader of the Future: New Visions, Strategies and Practices for the Next Era merupakan usaha terpuji yang mengumpulkan para pemikir pengurusan. Buku ini menyajikan satu perspektif khas tentang kepemimpinan.

Diusahakan oleh Yayasan Peter F. Drucker, iaitu sebuah yayasan yang ditubuhkan untuk mengenang sumbangan Peter F. Druker. Buku tersebut disunting oleh Frances Hesselbein, Marshall Goldsmith dan Richard Beckhard.

Ia merupakan satu pandangan unik menuju masa depan dan secara bersama-sama buah fikiran mereka membentuk suatu wawasan dan pengetahuan yang sangat bernilai.

Semua esei yang terkumpul dalam buku ini tidak pernah diterbitkan sebelumnya. Malah, ia merupakan panduan yang cukup baik bagi pengurus dan eksekutif dalam melihat cabaran pada masa depan.


PETER F. DRUCKER pemikir pengurusan yang disegani.


Menurut kata pendahuluan buku The Leader of the Future, para penyunting menyatakan: "Inilah buku tentang masa depan iaitu tentang kualiti kehidupan, perniagaan dan masyarakat kita pada masa depan serta kepemimpinan yang diperlukan untuk menggerakkan kita memasuki sebuah dunia ketidaktahuan yang luar biasa."

Hari-hari terus berlalu dan semakin hari kita semakin dekat dengan awal abad mendatang.

Di antara kita ada yang melihat dan menghadapi awal abad ke-21 ini dengan sebanyak mungkin serta mendekatkan diri pada masa lalu. Mungkin dalam kalangan kita akan memasuki masa depan seperti kembali ke masa lalu dengan perasaan cemas.

Sementara itu ada juga di antara kita yang menyongsong masa depan dengan penuh rasa kepercayaan diri, melengkapi diri mereka dengan sejumlah perancangan, blueprints dan akhirnya menyedari bahawa peralatan atau persiapan yang mereka bawa tidak memenuhi keperluan untuk sesuatu tujuan.

Ada juga di antara kita yang mengambil risiko melakukan lompatan besar memasuki ketidaktahuan dan menghadapkan nasib mereka pada kenyataan.

Pemimpin yang pada akhirnya berhasil dalam membentuk masa depan adalah mereka yang telah menyusuri jalan bahkan jauh melampaui horizon. Buku ini adalah untuk mereka.

Buku ini menghimpun esei para pemikir pengurusan seperti Peter M. Senge, Stephen R. Covey, Leonard A. Schlesinger dan lain-lainnya. Buku ini tidak perlu dibaca secara berurutan bahkan kita boleh membaca dari mana-mana saja tajuk yang disukai.

Cabaran pemimpin masa depan

Sebaik-baiknya, mulailah dengan esei penulis yang kita minati dan kemudian cubalah menggali pandangan penulis lainnya yang mungkin belum pernah kita kenali atau memahami pandangannya.

Peter F. Drucker, mahaguru pengurusan tersohor, sebelum meninggal dunia sempat memberi kata pengantar dalam buku ini dengan tajuk, Not Enough Generals Were Killed.

Kata pengantar ini merupakan intisari pengamatan Drucker tentang kepemimpinan selama bertahun-tahun dan ia mengakhiri dengan memberi cabaran kepada pembaca.

Beliau mengungkapkan: "Kepemimpinan harus dipelajari dan untuk itulah buku ini ditulis dan patut digunakan sebagai bahan untuk belajar."

Perkara utama yang disentuh ialah sepak terajang pemimpin masa depan yang menghuraikan tindakan, keterampilan dan strategi yang diperlukan pemimpin untuk memelihara keunggulan persaingan di era yang bergerak terlalu pantas di masa depan.

James Kouzes dan Barry Posner adalah pelopor yang memperkasai penganalisaan tentang once-in-a-lifetime success stories yang membincangkan kepimpinan pengurusan cemerlang.




Manakala Leonard Schlesinger, pemikir dari Harvard Business School pula membincangkan penciptaan budaya kerja yang tinggi.

Aspek lain yang turut dibahaskan ialah mengenai belajar memimpin untuk menyongsong masa depan yang memfokuskan pembahasan pada bidang pengembangan kepemimpinan.

Para penyumbang dalam bahagian ini menghuraikan beberapa topik tentang bagaimana menggerakkan seorang pemimpin ke arah mana sebenarnya diperlukan. Dalam hal ini, Stephen Covey berhasil menerapkan pengajaran daripada konsep kuno dengan cara yang sangat positif dan implikasinya kepada kehidupan manusia pada masa depan.

Caela Farren dan Beverly Kaye adalah pencipta dalam bidang perencanaan kerjaya yang memiliki orientasi masa depan. Sementara itu, perencana terakhir, Richard Leider pula mengembangkan pendekatan baru tentang hidup dan kepemimpinan untuk diri sendiri dengan dunia maya masa depan yang sedang kita terokai dan lalui sekarang.

Banding harga 50 barang di Internet


PUTRAJAYA - Orang ramai kini berpeluang membuat perbandingan harga barangan tanpa perlu lagi keluar rumah pada setiap hari dengan syarat mereka mempunyai kemudahan Internet.

Apa yang mereka perlu lakukan ialah klik pautan pada portal www.smartconsumer.my atau www.pricewatch.kpdnhep.gov.my untuk membuat perbandingan harga 50 jenis barangan keperluan di pasar-pasar raya besar dan pasar basah utama di seluruh negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kemudahan itu disediakan bagi membantu orang ramai memilih premis yang menawarkan harga lebih murah.

"Ia juga menggalakkan persaingan sihat di kalangan penjual untuk berlumba-lumba menurunkan harga barang," katanya pada pelancaran kedua-dua perkhidmatan dua portal tersebut di sini semalam.

Bagi mendapatkan input harga barang, kementerian itu menggunakan khidmat 1,600 pemantau harga di seluruh negara bagi mengemaskini data secara harian.

Antara barangan yang tersenarai ialah barangan kering, beras, bahan minuman, minyak masak, susu dan tepung.

Guna loji tenaga nuklear 2025


TERENGGANU - Tenaga Nasional Bhd., (TNB) menetapkan sasaran memulakan operasi loji tenaga nuklear pertamanya menjelang 2025, jika kerajaan memutuskan untuk menjadikan nuklear senagai opsyen tenaga yang boleh diterima.

Ketua Unit Tenaga Nuklear TNB, Dr. Mohd. Zamzam Jaafar berkata, TNB tidak dapat mengetepikan tenaga nuklear ketika berlaku ketidaktentuan bekalan tenaga untuk masa depan dan harga bahan api fosil yang turun naik, selain sumber-sumber gas.

"Bagi memastikan bekalan elektrik boleh dipercayai dan harga yang munasabah, opsyen nuklear bebanan asas yang sudah terbukti, tidak boleh dinafikan," katanya pada talimat media mengenai pelan masa depan tenaga TNB, di Pulau Perhentian Besar, sebuah resort kepulauan di sini.

Dr. Mohd. Zamzam berkata, menjelang tahun 2019, sumber bekalan tenaga alternatif akan menjadi kritikal memandangkan sumber-sumber gas akan susut pada masa itu.

Harga arang batu katanya juga sentiasa turun naik.

Penggunaan tenaga TNB meliputi gandingan gas (kira-kira 50 peratus), arang batu (35 peratus), hidro (14 peratus dan minyak (lebih daripada satu peratus).

Menerusi pembukaan loji nuklear pertama di Malaysia, katanya, TNB akan menyertai senarai negara-negara yang sudah membuka loji tenaga nuklear seperti Kanada, Perancis, Jerman, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Jepun dan China.

Melindungi enggang hutan


Selain melindungi habitat penting spesies burung-burung ini, Persatuan Pencinta Alam Malaysia juga mahu perlindungan yang lebih menyeluruh terhadap kompleks hutan Belum-Temengor.




KOMPLEKS hutan Belum-Temengor yang terletak di Perak berusia lebih 130 juta tahun iaitu lebih tua daripada Hutan Amazon dan Congo.

Laporan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) pada tahun 2005, menunjukkan kompleks hutan tersebut dilihat sebagai salah satu kawasan hutan terpenting di Semenanjung Malaysia yang memberi perlindungan kepada pelbagai flora dan fauna dunia yang terancam.

"Ini menjadikan kawasan hutan seluas kira-kira 266,170 hektar itu satu kawasan keutamaan yang harus dipelihara," ujar Pegawai Pemuliharaan Projek Pemuliharaan Burung Enggang MNS, Ravinder Kaur, ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Ravinder berkata: "MNS telah menganjurkan dua ekspedisi saintifik di kompleks hutan Belum-Temengor pada 1994 dan 1998 untuk merekodkan biodiversiti yang ada.

"Hasil daripada itu telah mencetuskan hasrat persatuan untuk menjadikan hutan yang penuh dengan khazanah alam itu sebagai sebuah hutan yang terlindung."

Semasa ekspedisi tersebut, MNS telah menyaksikan ribuan burung enggang hutan daripada spesies Aceros subruficollis yang kini terancam, terbang secara berkumpulan melalui hutan tersebut.

"MNS telah memulakan sebuah projek usaha sama jangka masa panjang untuk memulihara kompleks hutan Belum-Temengor yang dikenali sebagai Projek Pemuliharaan Burung Enggang MNS sejak lima tahun lalu," katanya sambil memaklumkan bahawa Hutan Belum-Temengor dikenali di serata dunia sebagai Kawasan Penting Burung (IBA).

Projek Pemuliharaan burung enggang MNS itu turut ditaja oleh Sime Darby Plantations Sdn. Bhd.




Burung enggang merupakan salah satu burung terbesar di hutan tropika Asia Tenggara. Sungguhpun mudah dikenali, namun burung yang tergolong dalam famili Bucerotidae itu masih belum dikaji dengan mendalam.

Di Asia, terdapat 31 spesies burung enggang daripada lapan genera yang telah dikenal pasti.

"Daripada jumlah tersebut, 10 spesies burung enggang dikenal pasti daripada enam genera yang boleh ditemui di hutan Malaysia.

"Menariknya, kesemuanya boleh dijumpai di kawasan Taman Negeri Diraja Belum dan hutan simpan Temengor yang dirujuk sebagai kompleks hutan Belum-Temengor," kata Ravinder yang telah terlibat selama tiga tahun dalam projek tersebut.

Burung enggang hutan yang telah dinamakan sebagai spesies fokus utama di kompleks hutan Belum-Temengor itu pernah digambarkan secara saintifik oleh Blyth pada tahun 1843.

Ravinder turut memberitahu bahawa burung tersebut sering kali dikelirukan dengan enggang gunung yang kelihatan hampir sama.

Sungguhpun sukar, tetapi perbezaan boleh dilihat di bahagian paruh dan kantung yang terdapat pada burung berkenaan.

Muncul di Perak

Pada mulanya spesies ini dipercayai tidak didapati di Malaysia, tetapi buat kali pertama pada tahun 1993, ia telah ditemui hinggap di sebuah tasik di Perak dan dipercayai mengunjungi kawasan itu secara bermusim semasa pokok Parkia berbuah pada bulan Ogos sehingga September.

Merujuk laman web www.orientalbirdclub.org yang menerbitkan jurnal hasil pemerhatian Ho Hua Chew dan Sutari Supari, spesies burung enggang yang ditemui di tepi Tasik Kenering, Perak telah disahkan sebagai burung enggang hutan oleh peneraju penyelidikan burung istimewa itu, Dr. Pilai Poonswad.

"Dengan bunyi keh-kek-kehk yang lebih kuat dan nyaring, burung ini berhijrah dari Myanmar dan Thailand ke Malaysia pada musim buah.

"Dari bulan Jun sehingga September, kita dapat melihat ribuan burung ini terbang di sekitar tasik," ujar Ravinder.


RAVINDER memaklumkan pemantauan terhadap kepelbagaian spesies enggang di kompleks hutan Belum-Temenggor dilakukan dengan teliti.


Laman web BirdLife International memaklumkan pada tahun 1993, populasi burung enggang hutan dianggarkan kurang 1,000 ekor.

"Walaupun demikian, penemuan satu lokasi hinggap yang dikunjungi kira-kira 900 ekor burung ini di kawasan selatan kedua-dua negara tersebut telah mencadangkan bahawa nilai tersebut perlu diimbas semula.

"Beberapa ribu ekor burung telah mengunjungi satu atau dua lokasi sarang di sebelah utara Malaysia dan kawasan ini jelas menunjukkan bahawa ia menyokong populasi penting burung tersebut," katanya.

Menggemari kawasan hutan hijau, khususnya yang bertanah rendah dan bukit yang mempunyai ketinggian sehingga 1,000 meter, spesies tersebut mempunyai diet yang pelbagai.

"Makanan utamanya bukan sahaja buah-buahan, tetapi juga haiwan invertebrata dan vertebrata kecil. Ia akan bersarang dari bulan Januari sehingga Jun di dahan pokok yang besar dan tinggi," jelas Ravinder.


FORMASI terbang berbentuk huruf ‘V’ burung enggang hutan.





Sungguhpun membiak di Thailand, tambah wanita tersebut, kawasan Belum-Temengor merupakan kawasan penting bagi spesies berkenaan.

"Kami mendapati kawasan Belum-Temengor penting kerana faktor makanan yang ada di hutan tersebut,"tambahnya.

Dengan formasi terbang berbentuk huruf V, Ravinder berkata, corak terbang itu sama setiap kali burung-burung tersebut berhijrah ke Perak.

"Sekiranya burung ini tidak dilindungi, habitat pentingnya akan musnah dan lama-kelamaan, ia akan hilang dari muka bumi."

Dalam usaha memelihara spesies penting itu, Ravinder berkata, MNS turut bekerjasama dengan penduduk Orang Asli di Belum dan Temengor, Jabatan Perhilitan, Jabatan Perhutanan dan beberapa pihak lain.

"Kerja-kerja pemeliharaan melibatkan bancian untuk menentukan penyebaran, status, saiz populasi dan keperluan sebenar dalam setiap habitat.

"Burung ini memerlukan pokok besar untuk tinggal. Oleh itu, tidak menghairankan jika kita nampak lebih daripada beberapa ekor burung bersarang pada sebatang pokok besar," jelas Ravinder.

Sehubungan itu, katanya, peranan penting yang dimainkan oleh pokok-pokok besar dengan kehidupan burung enggang perlu diberi perhatian.

"Lubang pada pokok besar merupakan sarang burung-burung ini. Sekiranya bilangan pokok-pokok besar berkurangan akibat aktiviti pembalakan, maka populasi burung enggang hutan turut menerima kesan."

Dalam pemantauan yang dilakukan pada tahun lalu, sebanyak 3,261 ekor burung enggang spesies berkenaan telah dicatatkan.

"Melalui program sukarelawan kami, bancian dilakukan dengan beberapa individu berada di atas sebuah bukit tinggi dan melihat arah yang berbeza.

"Untuk mengelakkan kiraan yang berulang, kami telah meletakkan garis had," jelas Ravinder.

Menyebarkan benih

Burung enggang amat penting dalam penyebaran benih. Kehadiran mereka menyebabkan hutan sihat. Mereka seperti 'petani hutan'.

Burung enggang, kata Ravinder lagi, merupakan burung yang berdedikasi.

"Burung enggang betina akan mengurung diri mereka dalam lubang sarang untuk mengeram telur dan membesarkan anaknya, sementara burung jantan akan keluar mencari makanan

"Si ibu tidak akan meninggalkan anaknya sehingga ia matang dan mampu terbang sendiri. Ada pihak mengatakan sekiranya si bapa mati, keluarga itu juga akan mati," kata Ravinder yang tidak menafikan adakalanya disebabkan keadaan benar-benar terpaksa, burung betina akan keluar dari sarangnya untuk mencari makanan.

Beliau menambah: "Bermula dengan penumpuan pada burung enggang hutan, kini projek pemeliharaan itu telah berkembang dengan turut melibatkan aktiviti pemantauan terhadap sarang-sarang spesies lain burung tersebut.

"Setakat ini, dengan kerjasama Orang Asli di hutan sekitar Belum-Temengor, kami berjaya mengesan 10 sarang dengan empat daripadanya masih aktif.

"Sungguhpun demikian, populasi burung enggang didapati berkurangan dengan pantas disebabkan aktiviti pemburuan haram dan pemusnahan hutan di habitatnya," ujar Ravinder.

Beliau memaklumkan bahawa kumpulan projeknya masih belum berjaya menemui lokasi tepat sarang burung enggang hutan sungguhpun tinjauan udara dan tanah telah dilakukan.

"Ini disebabkan keadaan hutan yang tebal dan juga pokok tinggi yang dijadikan sarang, menyukarkan kita menemuinya," jelas Ravinder.


BURUNG enggang hutan menggemari pepohon besar dan tinggi.


Wanita berusia 27 tahun ini berkata: "Matlamat kami adalah untuk memelihara kompleks hutan Belum-Temengor kerana peranan besar yang dimainkannya dalam ekosistem flora dan fauna.

"Kami berharap dapat membangunkan kajian burung enggang dan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan burung istimewa ini kepada ekosistem hutan di Malaysia.

"Bukan hanya itu, MNS juga berharap perlindungan yang lebih menyeluruh terhadap kompleks hutan Belum-Temengor dapat dilakukan."

24 Mei 2009

LTTE benci penduduk Islam Sri Lanka


Oleh Nurul Adlina Kamaludin


MAYAT penduduk Muslim yang maut dalam letupan bom oleh LTTE di luar sebuah masjid di Matara, pada awal tahun ini.

Ramai penduduk Muslim jadi sasaran kekejaman Tamil Eelam sepanjang 25 tahun perang saudara

KEMENANGAN tentera Sri Lanka mengalahkan kumpulan gerila Harimau Tamil Eelam (LTTE) Ahad lalu, tidak hanya menamatkan perang saudara yang berlanjutan lebih 25 tahun lamanya, tetapi turut mengakhiri trauma dan kesengsaraan penduduk Muslimnya.

Apa tidaknya, bumi kecil yang dihuni 20 juta penduduk dengan etnik Sinhala kumpulan majoriti sebanyak 74 peratus, Tamil (18 peratus) dan Muslim (8 peratus), perang saudara itu sebenarnya tidak hanya menyaksikan pertikaian antara kerajaan dengan LTTE atau penduduk Sinhala dengan Tamil, tetapi turut sama mengheret penduduk Muslimnya.


Malangnya, derita dan kesengsaraan kira-kira 1.5 juta penduduk Muslim yang sebahagian besar bertumpu di wilayah utara dan timur yang juga kawasan konflik, serta di selatan, tidak diketahui ramai.

Ketika media tempatan dan antarabangsa lebih banyak menghebahkan laporan dan gambar penduduk Tamil dan Sinhala menjadi pelarian dengan wajah sugul berjalan membawa beg atau sehelai sepinggang akibat konflik itu, sebaliknya tidak banyak kelibat penduduk Muslim dipaparkan sebagai subjek utama.

Jika masyarakat dunia masih belum dapat melupakan wajah mayat pemimpin LTTE, Vellupillai Prabhakaran yang mati dalam serangan beberapa hari lalu, hakikatnya tidak ramai yang mungkin dapat mengingati atau pun tahu mengenai ribuan jenazah penduduk Muslim yang terbujur kaku di dalam rumah, masjid, sekolah serta di kaki lima akibat kekejaman LTTE yang berlaku hampir sepanjang tahun.

Hakikatnya, LTTE bukan sekadar kumpulan pemisah biasa, sebaliknya berstatus kumpulan pemberontak profesional, mempunyai kerajaan dan bala tenteranya sendiri termasuk pasukan penyerang bunuh diri menggunakan lilitan bom. Ia turut menjadi kumpulan militan pertama menggunakan wanita dalam serangan mereka, selain dikenali kerana tindakan ‘gila’ pengikutnya yang memakai rantai kapsul racun sianida bagi membolehkan mereka membunuh diri serta-merta jika tertangkap.

Tidak hairanlah ia mampu melancarkan lebih 200 serangan bunuh diri dan mencetuskan perang saudara yang meragut lebih 70,000 nyawa. Operasi kejamnya turut melangkaui bumi Sri Lanka dan dikaitkan dengan pembunuhan bekas Perdana Menteri India, Rajiv Gandhi pada 1991.

Namun, mangsa sebenar dan berterusan kekejaman LTTE itu adalah penduduk Muslim yang disifatkan sebahagian usaha pembersihan etnik penduduk Islam di Sri Lanka. Kebencian yang bukan saja disebabkan perbezaan etnik dan agama, tetapi faktor perebutan wilayah di timur dan utara negara itu yang juga menjadi kubu kuat kumpulan gerila berkenaan sebelum ini.

Dari segi ekonomi, penduduk Muslim jauh lebih berjaya berbanding masyarakat Tamil, manakala aspek politik pula menyaksikan parti politik Muslim memegang status sebagai ‘broker’ kuasa dan penentu kerajaan yang memerintah Sri Lanka. Ini disebabkan biarpun minoriti, tetapi pecahan kerusi dimenangi parti Muslim berperanan sebagai penentu penguasaan parti politik utama di Parlimen.

Kejayaan dan kelebihan itulah yang disifatkan penganalisis sebagai ramuan yang menyebabkan kebencian LTTE terhadap Muslim meluap-luap. Kemuncak kekejaman LTTE terhadap penduduk Muslim ketara pada 1990-1991 dan terbukti berterusan hingga Mac lalu.

Tarikh 30 Oktober 1990 disifatkan detik hitam bagi masyarakat Muslim, apabila LTTE yang menguasai wilayah di utara, iaitu Semenanjung Jaffna, memberi kata dua kepada penduduk Muslim di situ - keluar dari kawasan itu atau dibunuh.

Lebih kejam lagi, arahan itu perlu dipatuhi dalam masa 24 hingga 48 jam, seperti dilaporkan media antarabangsa.

Namun hakikatnya, hampir 90,000 penduduk Muslim diusir dalam masa dua jam! Malah kejadian itu disifatkan penganalisis tempatan, AJC Mohideen, sebagai pembersihan etnik paling cepat dalam sejarah moden dunia kerana penduduk Muslim diusir dalam masa dua jam hanya atas alasan wilayah itu adalah tanah tumpah dan milik masyarakat Tamil.

Penulis sendiri yang pernah mengunjungi beberapa wilayah Sri Lanka, beberapa tahun lalu dalam lawatan anjuran kerajaan negara itu bagi melihat proses damai, berkesempatan menyelami perasaan hiba segelintir penduduk Muslim di Jaffna yang mengakui tempoh dua jam itu ibarat neraka dunia bagi mereka apabila dipaksa meninggalkan harta benda sambil kepala diacukan senjata api dan parang oleh anggota LTTE.

Imam Masjid Jamek Jaffna ketika itu, Abdullah Marlim, turut menitiskan air mata menceritakan bagaimana ramai keluarga Muslim terpisah, anak kecil menjadi yatim piatu dan wanita menjadi balu serta janda dalam sekelip mata.

“Masyarakat Islam dan Tamil dapat hidup aman damai di Jaffna sebelum ini. Tetapi kekejaman LTTE menghancurkan segala-galanya, keluarga porak peranda dan terpisah, masjid dimusnahkan dan harta benda kami dirampas.

“Selain sehelai sepinggang, kami cuma dibenarkan membawa kira-kira 75 rupee (RM3). Kami diberi kata dua - keluar atau dibunuh. Dengan berat hati, kami melangkah keluar untuk bergelar pelarian di tanah air sendiri,” katanya.

Selepas keadaan diberitakan selamat, beliau dan beberapa penduduk Muslim memberanikan diri kembali ke Jaffna beberapa bulan kemudian, tetapi disambut pandangan yang memilukan. Hanya satu daripada 13 masjid dapat digunakan akibat bedilan bom tentera LTTE dan daripada kira-kira 100,000 penduduk Muslim di Jaffna, jumlahnya cuma mencecah lebih 1,000 orang manakala lebih 50,000 masyarakat Muslim yang tidak berani kembali, terus mendiami kem pelarian sehingga ke hari ini.

Terbukti kekejaman itu tidak terhenti apabila sebulan selepas itu, LTTE meneruskan kekejaman melancarkan serangan di sebuah masjid di Kathankudy. Seramai 172 Muslim yang khusyuk bersolat ketika itu, maut serta merta. Gambar pembunuhan kejam itu dengan mayat, termasuk budak lelaki yang masih lengkap mengenakan kopiah serta sejadah dipenuhi darah, bergelimpangan kaku dan terpampang di dada akhbar antarabangsa.

Seperti lazimnya, reaksi masyarakat dunia hanyalah dalam bentuk kecaman yang diibaratkan ‘angin lalu’ tanpa meninggalkan kesan atau menghentikan kekejaman LTTE yang terus mengganas membunuh penduduk Muslim di kawasan jajahan mereka.

Pada 10 Mac lalu, LTTE yang tidak cukup menjadikan masjid di utara dan timur Sri Lanka sebagai sasaran utama, bertindak menyerang perarakan sempena Maulidur Rasul di Akuressa, di kawasan selatan, yang meragut 15 nyawa.

Jurugambar sempat merakam peristiwa tragik dan mengerikan itu apabila barisan penduduk Muslim, berpakaian serba putih, berlatar belakang percikan letupan bom di belakang mereka. Dalangnya sudah semestinya pihak LTTE dan hanya dua perkataan yang layak menggambarkan tindakan tidak berperikemanusiaan itu - kejam dan zalim.

Kini selepas tumpasnya LTTE dan kematian Prabhakaran, mungkin ada yang menganggap doa masyarakat Muslim yang selama ini sengsara, sudah pun terjawab.

Namun apakah ini menjadi titik noktah kepada kesengsaraan penduduk Muslim ini? Apakah ada sinar bahagia bagi mereka dengan diberikan hak sepatutnya untuk hidup sama sama seperti bangsa Sinhala di Sri Lanka?

Apa yang pasti, setakat ini, sebahagian besar penduduk Muslim yang miskin ini masih bergelar pelarian dan hanya masa menentukan sama ada mereka dapat kembali ke rumah masing-masing dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

Apakah mungkin peranan mereka sebagai penyumbang ekonomi dan penentu kuasa politik, mendapat pengiktirafan sewajarnya daripada kerajaan pimpinan Presiden Sri Lanka, Mahinda Rajapakse.

Namun lebih penting, masyarakat serta pertubuhan Islam antarabangsa perlu sama-sama menjadi pihak pemantau bagi memastikan penduduk Muslim Sri Lanka tidak lagi menjadi mangsa di tanah air sendiri selepas berkuburnya LTTE.

INFO: Muslim Sri Lanka

  • Mewakili tiga etnik iaitu Moors yang berketurunan pedagang Arab, kumpulan etnik Jawa dan Melayu yang berasal dari Indonesia dan Malaysia serta India Muslim.

  • Setiap kumpulan itu mempunyai sejarah dan tradisi masing-masing. Masyarakat Moor adalah asalnya pedagang Arab yang yang datang pada abad kelapan dan berkahwin dengan wanita tempatan, sambil menyebarkan Islam. Mereka mewakili kumpulan majoriti penduduk Muslim Sri Lanka.

  • Ketika penjajahan Belanda dan Inggeris, ramai penduduk Kepulauan Jawa dan Melayu dari Malaysia dihantar ke Sri Lanka dan penduduk kumpulan etnik ini mencecah kira-kira 50,000 orang ketika ini.

  • Kumpulan lain Muslim berasal dari India dan Pakistan yang datang mencari peluang pekerjaan. Sebahagian besar berasal dari Tamil Nadu dan Kerala di selatan India.
  • Troli Tenom


    Oleh Hassan Omar




    9 kampung putus hubungan: 2,000 penduduk sukar pasarkan hasil pertanian dan sayur-sayuran di pekan Tenom

    JIKA di bandar, masyarakat mudah menikmati pengangkutan persendirian atau awam. Hakikatnya nun di pelosok pedalaman, pengangkutan adalah antara rencam kehidupan yang amat memeritkan.

    Bagi penduduk di pedalaman Tenom, Sabah, kereta api diesel yang beroperasi sejak 1970 adalah nadi kehidupan mereka setiap kali mahu ke pekan Tenom. Kereta api yang menggunakan enjin Hitachi 5101 milik Jabatan Kereta Api Negeri Sabah (JKNS) itu adalah satu-satunya pengangkutan awam yang membawa mereka keluar dari kawasan dikelilingi hutan.


    Setiap kali kereta api memulakan perjalanan dari Stesen Kereta Api Tenom ke Stesen Kereta Api Beaufort sejauh 49 kilometer, penduduk kampung di sepanjang landasan berkenaan tidak melepaskan peluang untuk menggunakannya untuk ke pekan Tenom atau Beaufort.

    Bagaimanapun, tragedi pada jam 3 petang, 9 April 2008 menyebabkan mereka tidak lagi menikmati perkhidmatan itu. Dua terbunuh manakala 24 lagi cedera, termasuk tiga parah apabila kereta api yang mereka naiki terjunam ke dalam Sungai Padas di Kampung Tenom Lama.

    Selama enam bulan, mereka tidak dapat menaiki kereta api berikutan kerja membaik pulih landasan yang dilaksanakan JKNS.

    Penduduk kampung di sepanjang landasan dari Stesen Kereta Api Tenom-Kampung Rayoh terpaksa menggunakan troli untuk berulang alik ke pekan Tenom.

    Dalam tempoh itu, mereka terpaksa berjalan setiap kali ingin ke pekan Tenom atau Beaufort. Bagaimanapun, berdasarkan rayuan penduduk, JKNS memulakan semula perkhidmatan kereta api dari dua arah, iaitu Stesen Kereta Api Tenom-Kampung Rayoh dan Stesen Kereta Api Beufort-Kampung Halogilad.

    Bagaimanapun, mereka sekali lagi dihimpit kesukaran apabila JKNS menghentikan perkhidmatan kereta api Stesen Kereta Api Tenom-Kampung Rayoh berikutan tebing Sungai Padas mengalami hakisan teruk akibat banjir pada Disember lalu.

    Landasan yang bergerak seiring dengan tebing Sungai Padas perlu dibaik pulih, manakala tebing sungai yang terhakis perlu diperkukuh melalui kerja pembaikan.

    Sejak Januari lalu hingga kini, kira-kira 2,000 penduduk di sembilan kampung terpaksa mencari alternatif pengangkutan untuk membawa hasil pertanian seperti getah, pisang, koko dan pelbagai jenis sayur-sayuran untuk dipasarkan di pekan Tenom.

    Penduduk terpaksa mengangkat troli ketika melalui landasan yang terputus dan dibaik pulih untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Stesen Pangi.
    Terdesak dengan ketiadaan alat pengangkutan, mereka menggunakan kreativiti sendiri dengan membina troli untuk digerakkan di landasan kereta api.

    Penduduk Kampung Tenom Lama, Masisilau, Pangi Seberang, Motolob, Stesen Pangi, Kelandos, 78, 75 dan Rayoh yang terputus hubungan dengan dunia luar, terpaksa menggunakan troli untuk ke pekan Tenom.

    Meskipun terpaksa bermandi peluh dan menahan lenguh, penduduk yang rata-ratanya hidup di bawah paras kemiskinan terpaksa mencipta troli diperbuat daripada papan berukuran 2.17 x 2.17 meter dengan jarak antara roda dengan roda 0.89 meter untuk menyambung kehidupan.

    Di atas troli itulah, mereka menujah kayu ke tanah untuk membolehkan troli meluncur di landasan bagi perjalanan di antara tiga hingga 15 kilometer (km) dari Stesen Kereta Api Tenom ke destinasi terakhir iaitu Kampung Rayoh.

    Mereka tidak pernah menikmati kemudahan jalan berturap, apatah lagi jalan raya. Dengan mengumpul kudrat empat kerat, mereka menguatkan tekad menolak troli dengan peluh menyimbah di bawah terik matahari.

    Bagi perjalanan dari Stesen Kereta Api Tenom ke sembilan kampung itu, mereka mengerah tenaga selama kira-kira dua jam meniti landasan menuruni bukit. Keperitan itu kian menghimpit setiap kali mereka mendaki bukit sebelum tiba di pekan Tenom dalam tempoh tiga jam.

    Perit-jerih mendaki bukit menyebabkan mereka terpaksa turun dari troli untuk menolak alat pengangkutan itu. Setiap kali bertembung dengan pengguna troli dari arah bertentangan, diplomasi dan kesabaran tahap tertinggi dituntut supaya tiada yang berkecil hati.

    Pengguna troli yang tidak membawa barang, penumpang anak kecil atau warga emas, harus mengalah untuk turun dari troli dan mengangkat papan beroda itu bagi memberi laluan kepada pengguna lain.

    Dengan troli itulah, mereka membawa getah keping atau sekerap, selain hasil pertanian yang lain ke pekan Tenom. Selesai menjual getah atau hasil pertanian, lazimnya mereka membeli barangan makanan untuk dimuatkan di atas troli.

    Keringat yang membasahi tubuh setiap kali menolak troli adalah rencam kehidupan masyarakat jauh di pedalaman Tenom. Walaupun terpaksa mengharungi kesukaran dan penderitaan, hidup mesti diteruskan. Jauh di sudut sanubari mereka mengharapkan agar kerja membaiki landasan oleh JKNS segera disiapkan.

    Eksentrik pemindah kubur


    Shun Feng mengakui tidak pernah gentar berdepan dengan benda ghaib mahupun roh kerana percaya hantu dan roh jahat tidak dapat menjejaskan individu yang berniat baik.


    DENGAN menggunakan peralatan biasa seperti cangkul dan bakul rotan, mereka menggali tanah, pasir dan simen yang dibina untuk si mati yang dipercayai seorang individu kaya.


    WONG Shun Feng menyatakan pengalaman melihat hantu, mengalami fenomena luar biasa dan dinasihati dewa-dewa merupakan sebahagian asam garam dalam pekerjaannya.

    Dikenali dengan panggilan Tua Ya Pek iaitu nama dewa kematian dalam kalangan rakan-rakannya, Shun Feng adalah seorang penggali kubur yang bertugas memindahkan mayat ke kawasan perkuburan baru di Singapura bagi memberi ruang pada pembangunan di negara itu.

    Menurut kepercayaan Taoisme, Shun Feng adalah antara orang yang perlu memberi penghormatan kepada si mati sebelum mereka meneruskan perjalanan ke liang lahat yang baru.

    Tugas yang dijalankannya adalah menghantar mereka (roh-roh) ke satu tempat rehat baru untuk memberi ruang bagi pembangunan jalan raya, perumahan dan perkhidmatan awam.

    Bagaimanapun, menurut Shun Feng, kerja menggali kubur menjadi sukar kerana roh si mati enggan berpindah dan tidak mahu jasad mereka diganggu.

    "Saya pernah melihat roh-roh melayang di sebelah saya apabila menggali kubur mereka dan ada juga yang berbisik dengan berkata, Ah Tee (pemuda), jangan pindahkan saya," kata Shun Feng sambil mengimbas peristiwa itu secara tepat.

    Menurutnya, bukan semua roh berkelakuan baik.

    Lelaki yang berusia 53 tahun dan mempunyai pengalaman menggali kubur selama lebih daripada 30 tahun itu berkata, pernah sekali, sebatang pokok berhampiran sebuah kubur yang digalinya bergoncang walaupun tiada angin bertiup.

    Dia juga pernah 'dihukum' oleh roh-roh kerana tidak menghormati mereka apabila bersumpah di tanah perkuburan.

    "Pada sebelah petang setelah selesai menggali, tangan kiri saya terasa lumpuh kerana mencarut di kawasan kubur. Saya kembali pulih pada keesokan harinya," ujar Shun Feng.


    ADA KALANYA kerja-kerja menggali kubur menjadi sukar kerana roh si mati enggan berpindah dan tidak mahu jasad mereka diganggu.


    Shun Feng mengakui tidak pernah gentar berdepan dengan benda ghaib mahupun roh kerana percaya bahawa hantu dan roh jahat tidak dapat menjejaskan individu yang berniat baik.

    Bagaimanapun, dia risau kemungkinan besar masyarakat tempatan memandang rendah terhadapnya kerana menganggap pekerjaan itu ketinggalan zaman.

    "Orang ramai menganggap pekerjaan ini bercanggah dengan pantang larang keagamaan, namun saya selesa dengan pekerjaan ini," katanya.

    Dalam pada itu, seorang lelaki pendek tekun melukis pelbagai jenis tatu di atas badan Shun Feng. Tatu yang dilukis itu memaparkan imej-imej Tua Ya Pek dan Li Ya Pek dan ia merentasi dada dan belakang badan Shun Feng.

    Katanya, imej dua dewa Taoisme itu bertanggungjawab menjaga roh-roh dan bukan dilukis sebagai bahan hiasan diri.

    "Saya memuja dan menghormati tuhan, jika tidak mengapa saya hendak mencacah mereka pada badan saya," kata Shun Feng yang turut mendakwa beliau pernah melihat penjelmaan tuhan dan mendapat pengajaran tentang kehidupan menerusi pekerjaannya.

    Kerja-kerja menggali yang diselia oleh pihak berkuasa tanah di Singapura untuk memindah dan membersihkan tanah perkuburan yang terletak di utara negara itu, memerlukan khidmat Shun Feng dan tiga orang rakannya yang menggali hampir tiga jam sebuah lubang sempit sedalam empat meter (12 kaki).

    Dengan menggunakan peralatan biasa seperti cangkul dan bakul rotan, mereka menggali tanah, pasir dan simen yang dibina untuk si mati yang dipercayai seorang individu kaya.




    Mengumpil penutup keranda, Shun Feng dan seorang lagi penggali kubur mengumpul tulang-tulang dan mencucinya dengan air beras sebelum menyerah ketulan tulang itu kepada kaum keluarga yang memberi sampul merah mengandungi wang sebagai tanda penghargaan.

    Sampul-sampul tersebut menjadi sumber pendapatan penggali-penggali kubur berkenaan kerana bayaran sebanyak AS$65 (RM227) untuk setiap penggalian hanya boleh dimiliki seorang individu sahaja maka penggali tersebut memperoleh sampul itu secara bergilir-gilir.

    "Pendapatan yang diterima tidak tetap. Ia bergantung pada sikap murah hati kaum keluarga yang menyediakan sampul merah itu," ujar Shen Fung.

    Memandangkan pekerjaan itu tidak stabil, dia terpaksa mencari pendapatan sampingan dengan melakukan kerja-kerja seperti mengecat rumah dan membaik pulih.

    Bagaimanapun, buat masa ini, tangannya 'penuh dengan wang' kerana tanah perkuburan Guang Xiao Shan seluas 7,000 meter persegi yang terletak berhampiran sempadan Malaysia memerlukan khidmatnya untuk menukar wajah kawasan itu sebagai gudang kereta api.

    Fasa pembangunan di Singapura memberi pengertian bahawa di antara tahun 1970 dan 1998, lebih daripada 240,000 buah kubur yang terletak di 100 tanah perkuburan telah digali.

    Menurut Shun Feng, kesemua si mati termasuk mereka yang menjadi 'ahli' baru mesti ditenteramkan.

    "Hantu sama seperti manusia. Mereka juga memiliki perasaan. Bagaimana emosi anda jika terpaksa berpindah selepas tinggal di sesuatu tempat selama 50 tahun?"soalnya.

    Apabila ditanya mengenai hari terakhirnya sebagai penggali dan pemindah kubur, Shun Feng mengangkat bahu dan menuding pada tatu yang menunjukkan imej dewa Li Ya Pek tersenyum dengan tenang.

    "Saya belum berfikir mengenai perkara tersebut. Lihatlah apa yang dikatakan oleh 'abang besar' saya," ujarnya sambil ketawa.

    Zahra si penakluk selat



    PERAIRAN Lumut, Perak, menjadi lokasi Zahra Masoumah berlatih.


    SIAPA sangka di sebalik senyuman manis yang terukir pada wajah gadis berusia 18 tahun ini, tersimpan satu iltizam menggunung yang hanya mampu dikecapi dengan seribu satu keberanian dan kecekalan.

    Bagi Zahra Masoumah Abdul Halim, misi berenang merentasi Selat Inggeris yang dijadualkan awal Julai ini merupakan langkah pertamanya sebelum menyahut cabaran renangan jarak jauh yang lebih mencabar.

    Katanya, peluang mengekori kejayaan dua rakyat Malaysia yang sebelum ini berjaya mengharungi badai ombak selat sejauh 34 hingga 37 kilometer (km) itu adalah sesuatu yang sangat bermakna lebih-lebih lagi bagi perenang remaja sepertinya.

    "Kejayaan Datuk Abdul Malik Maidin dan Lennard Lee merentasi Selat Inggeris sememangnya mengagumkan namun apa yang bakal saya lakukan pada 3 hingga 6 Julai nanti, bukanlah untuk menyaingi mereka.

    "Sekiranya berjaya menamatkan cabaran merentasi selat itu dari Dover, selatan United Kingdom ke Calais, utara Perancis, saya berhasrat menakluk empat lagi selat berlainan benua dalam tempoh beberapa tahun dari sekarang," katanya.




    Sebelum ini pada Ogos 2003, Abdul Malik berjaya berenang merentasi Selat Inggeris dengan catatan masa 17 jam 35 minit. Manakala setahun selepas itu, Lee, seorang pelajar jurusan perubatan di Universiti Cambridge, berjaya melakukannya dalam masa 9 jam 45 minit.

    Tidak pernah bersua muka dengan dua perenang terbabit, Zahra Masoumah bagaimanapun mengakui sangat menghormati Abdul Malik dan Lee.

    "Catatan masa mereka sangat hebat dan dalam mengharungi misi ini, soal masa bukanlah keutamaan. Paling penting, saya mampu melaksanakannya tanpa gagal," katanya.

    Zahra Masoumah dijangka akan dipertemukan dengan Lee di United Kingdom yang difahamkan turut membantu persiapan misi berkenaan di sana.

    Sekiranya beliau berjaya dalam misinya itu, Zahra Masoumah bakal melakarkan sejarah tersendiri sebagai perenang wanita Islam di dunia yang berjaya melepasi selat itu.

    Bakal berlepas ke United Kingdom pada 27 Mei ini bersama adik lelakinya, Salman Ali Shariati, 11, diiringi jurulatih peribadi, Arof Osman, Zahra Masoumah optimis latihan intensif yang diharunginya khususnya di perairan Lumut dan Selat Dinding sejak setahun lalu mampu membantunya menjayakan misi tersebut.

    "Saya akan berada di sana lebih sebulan bagi membiasakan diri dengan keadaan suhu air laut yang sejuk.

    "Walaupun jarak renangan Selat Inggeris adalah lebih pendek daripada renangan yang pernah saya lakukan sebelum ini, cabaran besarnya adalah cuaca sejuk sehingga 15 darjah Celsius selain arus air laut yang kuat," katanya.

    Jelasnya, setiap perenang Selat Inggeris perlu melepasi syarat kelayakan iaitu mampu berada dalam air sekurang-kurangnya enam jam tanpa henti.

    Tinjau khazanah Tasik Kenyir


    Selain bersuka ria di pekarangan resort, ada yang memilih untuk memancing, meredah keluasan tasik, meneroka gua ataupun bersendirian atas penginapan bot.




    KALI ini persinggahan EKSTRA ialah Tasik Kenyir, Terengganu. Terpegun dalam pesona, nyata sekali kawasan takungan air seluas 260,000 hektar itu telah menyuburkan warisan alam semula jadi yang ada di sekelilingnya.

    Tidak hairan jika sudah bertahun-tahun lokasi itu memukau hati ramai pengunjung hanya kerana pandangan kali pertama.


    DI SEBALIK ketenangan air Tasik Kenyir, siapa sangka di dalamnya terdapat lebih 300 spesies ikan.


    Tidak dapat dibayangkan bagaimana kawasan yang luas dan berbukit-bukit akhirnya berubah menjadi beratus-ratus buah pulau gara-gara ditenggelami air.

    Didorong prospek pelancongan yang menggalakkan, sebahagian daripada pulau itu kini telah dibangunkan dengan kemudahan penginapan dan juga tarikan pengembaraan lain.


    KENALI proses formasi batu dan hubungan biologi kehidupan di dalamnya.


    “Tasik Kenyir adalah untuk mereka yang gemar pada ketenangan alam. Begitu juga dengan yang gila memancing.

    “Saya sendiri kalau tidak bertugas atau beristirehat di pulau peranginan di perairan laut, akan menghabiskan masa berkhemah di pinggir tasik ini,” ujar Pengarah Urusan Ayu Mayang Resort di Pulau Redang, Yap Chuan Bin.


    KETENANGAN yang menanti di sudut terlindung jaringan sungai.


    Begitu sekali tarikan kawasan akuatik di utara bumi Darul Iman ini. Dengan panggilan 340 buah pulau di tengah tasik, 14 air terjun, beberapa jeram serta sungai, Tasik Kenyir sememangnya menyimpan ribuan khazanah alam yang berharga.

    “Orang sepatutnya menghargai simfoni semula jadi seperti bunyi unggas dan serangga, kesegaran udara dan juga kedamaian yang dipersembahkan kepada semua. Hormatilah alam yang indah ini,” tambah Yap.


    GAYA hidup atas bot boleh dicuba bagi yang mahukan kelainan.



    LALUAN pejalan kaki dalam Gua Bewah telah dipermudahkan untuk pengunjung.



    SELAIN meredah tasik, tetamu Tasik Kenyir boleh menyertai aktiviti memancing, berkayak, meredah hutan atau melawat santuari kelah.



    JETI singgah yang menyambut kedatangan pengunjung ke mulut Gua Bewah.





    Sama seperti pejuang alam sekitar yang lain, lelaki yang ditemui ini kurang bersetuju dengan pengusaha pelancongan atau resort yang mengganggu aturan itu dengan operasi karaoke, pusat hiburan dan ekspedisi pacuan empat roda yang melampau.

    Memang benar, hutan hujan yang menyumbangkan kesegaran oksigen di Tasik Kenyir turut menjadi habitat bagi pelbagai hidupan flora dan fauna.

    Pasti seronok para pencinta alam jika menemui spesies pokok pakis yang jarang ditemui, anggerik eksotik, atau unggas dan haiwan seperti enggang, gajah, cempelai dan juga harimau kumbang.

    Mengikut brosur promosi pelancongan yang dipetik daripada rekod Jabatan Perhilitan, Tasik Kenyir dan belantara di sekelilingnya menjadi rumah bagi lebih daripada 8,000 spesies bunga, 2,500 spesies pokok dan tumbuhan termasuk 800 spesies orkid dan 300 spesies kulat.

    Bagaimana agaknya aksi dan cabaran menaikkan baung, lampam, toman dan kelah di sini? Kajian terkini mendapati terdapat kira-kira 300 spesies ikan air tawar membiak di dalam Tasik Kenyir.

    Kalau belum menandakan lokasi ini dalam rencana kunjungan akan datang, mungkin statistik itu membuatkan jantung si kaki pancing berdegup lebih kencang!

    Bersiar dengan bot, berkayak, merentas hutan, ekspedisi pacuan empat roda dan panggilan padang golf adalah antara senarai riadah dan rekreasi yang popular di sekitar tasik yang menjadi pintu masuk ke Taman Negara melalui Tanjung Mentong ini.

    Jika kawasan perkhemahan dan trek merentas hutan mudah disertai di sepanjang Sungai Saok, Lasir, Cacing, Lawit, Petang, Terenggan, Tembat dan Pulau Poh, aktiviti rentas hutan yang ekstrem pula menanti di trek laluan ke puncak Gunung Gagau.

    Tidak ketinggalan ialah aktiviti meneroka gua. Selain Gua Taat, Gua Bewah sangat diingati kerana kisah kehidupan manusia prasejarah banyak diceritakan sepanjang usia kewujudannya.

    Kedua-dua gua itu antara yang masih boleh dikunjungi ‘isi perutnya’ kerana tidak ditenggelami air sejak pembinaan Empangan Kenyir.

    Di Tasik Kenyir, pengunjung tidak perlu khuatir akan soal penginapan. Di sini terdapat pilihan penginapan bertaraf tiga bintang yang masing-masing bersaing menawarkan kemudahan bernilai tambah.

    Paling popular dan mungkin menghampakan pengunjung yang terlewat menempah pada musim tertentu tentunya penginapan gaya calet tradisional.

    Baik yang dibina di atas pulau, gaya terapung seperti rumah bot ataupun yang terperosok sedikit ke dalam redup rimba, semuanya sedia dihuni.

    “Antara perkara yang menjadi faktor dalam membuat keputusan penginapan ialah kemudahan dalam bilik, panorama persekitaran, arah matahari terbit, lokasi memancing, aspek privasi dan juga jarak perjalanan dari Jeti Gawi,” kata Azmi Mohd., dari agensi pelancongan Ping Anchorage Travel & Tours Sdn. Bhd.

    Memetik perancangan kerajaan negeri melalui kenyataan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said tahun lalu, Tasik Kenyir dijangka muncul dengan tarikan baru iaitu aktiviti jelajah pulau.

    Sebanyak 10 buah pulau kecil yang terdapat di bahagian utara Tasik Kenyir akan dibangunkan mengikut tema tertentu.

    Projek yang dilaksanakan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) itu akan menyaksikan pembinaan Taman Eko-Kenyir seluas 61 hektar di Pulau Selimbar, Pulau Tekak Kecil dan Pulau Kuala Tekak.

    Khabarnya taman orkid, taman tropika, taman rama-rama dan taman burung akan dibangunkan di beberapa lokasi berhampiran.

    Biar apa pun tujuannya, jangan pula terjadi apa-apa yang boleh mengorbankan keindahan yang sudah sedia ada di Tasik Kenyir. Datanglah ke sini dan alamilah sendiri!