Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

11 Mac 2009

Membida artifak sejarah


Dua arca gangsa kepala arnab dan tikus serta barangan peribadi milik Gandhi yang dilelong baru-baru ini dianggap sebagai satu penghinaan besar kepada negara China dan India.




BARAT dan Timur bercakaran lagi baru-baru ini. Walaupun pertelagahan itu, tidak melibatkan permainan senjata atau laungan propaganda, namun ia mungkin berupaya meruap sentimen dalam hubungan dua hala. Semuanya berkisar daripada insiden yang barangkali dilihat kecil iaitu lelongan.

Ada dua peristiwa lelongan yang menjadi kontroversi dalam beberapa minggu ini. Satu melibatkan lelongan dua arca gangsa yang berasal dari era Dinasti Qing di China oleh rumah lelong Christie di Paris, Perancis dan satu lagi melibatkan barangan peribadi pemimpin kemerdekaan India, Mahatma Gandhi yang dilelong di Antiquorum, Amerika Syarikat (AS).

Kedua-duanya dianggap oleh kerajaan China dan India, sebagai lelongan penghinaan. Asasnya mudah, lelongan itu sendiri boleh berubah membawa konotasi yang kurang baik jika barang yang dilelong adalah barangan yang amat berharga dan sungguh bermakna kepada sesebuah bangsa.


LELONGAN barangan peribadi milik Mahatma Gandhi terus diadakan di Antiquorum, Amerika Syarikat walaupun mendapat bantahan dari kerajaan India.



CAPAL yang pernah dipakai oleh Mahatma Gandhi turut dilelong.


Lelongan dua arca gangsa berupa kepala arnab dan tikus dari Dinasti Qing itu sudah pun berlangsung pada 26 Februari lalu walaupun kerajaan China telah menyuarakan bantahan. Barangan peribadi Gandhi menerima nasib yang sama apabila acara lelongan yang berlangsung semalam tetap diteruskan walaupun ditentang oleh kerajaan India.

Barangan peribadi Gandhi yang dilelong itu adalah kaca mata bulat, capal, jam poket dan pinggan mangkuk yang pernah digunakan tokoh India tersebut.

Sementara itu, dua arca gangsa berupa kepala arnab dan tikus itu dipercayai dirampas oleh tentera British dan Perancis dari Istana Musim Panas, China kira-kira 150 tahun yang lalu semasa era Perang Candu.

Dua arca itu dipercayai sebahagian daripada sedozen arca kepala haiwan zodiak Cina yang dicipta khusus untuk taman diraja semasa pemerintahan Maharaja Qianlong pada kurun ke-18.

Menurut BBC, arca-arca itu dipamerkan sebagai kepala air pancutan atau clepsydra, jam penentu masa menerusi air di istana yang dikenali sebagai Yuanmingyuan. Arca-arca itu dipercayai telah dirampas apabila istana tersebut dimusnahkan oleh tentera pakatan Anglo-Perancis pada 1860.


RAKYAT China menunjukkan protes terhadap acara lelong dua arca gangsa dari Dinasti Qing di Hong Kong.



MAHATMA GANDHI


Buat masa ini, hanya lima yang berjaya dibawa kembali ke China, antaranya kepala harimau, kepala babi, kepala kerbau dan kepala monyet. Terima kasih kepada jutawan Macau, Stanley Ho yang mendapatkan semula sebahagian daripada arca tersebut dengan jumlah bidaan yang amat besar dalam beberapa acara lelongan sebelum mendermanya kepada muzium di China antara tahun 2000 hingga 2007. Arca-arca itu kini dipamerkan di Muzium Beijing.

Dalam lelongan baru-baru ini, arca berupa kepala arnab dan tikus itu dinamakan sebagai milik pereka fesyen terkenal Perancis, mendiang Yves Saint Laurent yang meninggal dunia pada tahun lalu bersama rakan kongsinya, Pierre Berge.

China mengecam keras acara lelongan itu kerana menyifatkan arca-arca tersebut sebagai barangan curi dan memberi amaran kepada rumah lelongan Christie bahawa rumah itu akan 'menerima akibatnya'.

"Pentadbiran Warisan dan Kebudayaan China (SACH) dengan tegas membangkang dan mengutuk semua lelongan artifak yang diambil secara haram. Christie perlu bertanggungjawab terhadap akibat lelongan tersebut," menurut agensi berkenaan dalam satu kenyataan.

"Setiap orang tahu yang objek itu merupakan harta yang dicuri oleh tentera Anglo-Perancis semasa Perang Candu dan telah berada di luar China selama bertahun-tahun lamanya," kata jurucakap kementerian luar China, Jiang Yu.

Bintang filem terkenal Hong Kong, Jackie Chan turut mengecam lelongan itu dengan menyifatkannya sebagai amat memalukan.

"Perbuatan ini amat memalukan. Ia tetap harta rampasan, tidak kira anda jual kepada siapa. Sesiapa sahaja yang mengambilnya dari China adalah pencuri. Ia harta rampasan semalam dan tetap harta rampasan hari ini," katanya kepada The Telegraph.

Bukan setakat itu, tindakan undang-undang turut diusahakan oleh para peguam di China.

Seorang peguam di Beijing, Liu Yang menyifatkan peristiwa Istana Musim Panas yang telah dimusnahkan oleh tentera Anglo-Perancis semasa Perang Candu Kedua pada 1860, masih menjadi parut berdarah bagi masyarakat China.

"Keengganan Christie memulangkannya kepada negara China amat melukai hati dan perasaan rakyat China," katanya yang turut mendakwa tindakan lelongan itu salah mengikut konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1995 yang mengarahkan semua barangan kebudayaan yang dicuri dipulangkan ke negara berkenaan.


DUA arca gangsa yang berasal dari era Dinasti Qing yang berbentuk kepala tikus (kiri) dan kepala arnab yang dilelong di Grand Palais, Paris, Perancis baru-baru ini.


China sebenarnya sebelum ini telah meminta supaya kedua-dua artifak tersebut dipulangkan. Bagaimanapun kerajaan Perancis memberitahu mereka tidak menerima sebarang permohonan rasmi dan mahkamah di Paris menolak supaya artifak berkenaan tidak dilelong.

Sesetengah pihak turut melihat apa yang berlaku antara Perancis dan China itu sebagai rentetan persengketaan atau melambangkan pendirian sebenar Perancis ke atas China.

Pada tahun lalu, Beijing berang terhadap tindakan protes larian obor Olimpik Beijing di Paris berikutan tindakan Beijing ke atas Tibet. China juga membatalkan lawatan rasminya ke Paris setelah Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy menemui pemimpin Tibet, Dalai Lama yang disifatkan Beijing sebagai orang buangan pada Disember lalu.

Namun begitu, ramai pakar berkata, China tidak mungkin berjaya membuat tuntutan kerana objek gangsa tersebut telah dirampas lebih seabad yang lalu.

Patty Gerstenblith, seorang profesor undang-undang di Universiti DePaul di Chicago, Amerika Syarikat yang merupakan pakar dalam isu hartanah kebudayaan berkata, Perancis tidak pernah mengakui konvensyen PBB itu dan jika pun mereka mempersetujuinya, ia tidak melibatkan objek yang dirampas sejak berkurun lamanya.

"Pada pandangan saya, ia merupakan barangan rampasan dan sukar untuk diperoleh kembali secara sah. Namun, kerana signifikan sejarahnya yang besar, ia sepatutnya dipulangkan," kata Gerstenblith. Konvensyen itu terhad untuk objek yang dicuri dalam tempoh 50 tahun.

Gerstenblith mencadangkan solusi terbaik ialah dengan Pierre Berge berunding dengan China dan menawarkan harga yang munasabah.

Christie dan Pierre Berge pula bertegas, lelongan berkenaan adalah sah.

"Kami kekal percaya bahawa jualan menerusi lelongan awam merupakan peluang terbaik untuk melakukan pemulangan kerana ia menyasarkan seluruh dunia," kata Christie.

Dalam pada itu, ada sesetengah pihak menempelak, kerajaan China sewajarnya menyerlahkan kebanggaannya terhadap barangan berharganya dengan sanggup 'berhabis' duit bagi mendapatkan semula barangan yang dianggap khazanah berharga bagi negara mereka.

Menurut agensi berita Xinhua, dianggarkan terdapat lebih satu juta objek bersejarah China yang berharga di seluruh dunia melibatkan 27 buah negara.

Walaupun menerima bantahan, acara lelongan dua arca gangsa itu tetap berlangsung dan telah diadakan di Grand Palais, Paris pada pertengahan minggu lalu. Setiap satu arca gangsa itu telah dilelong pada harga AS$20.3 juta (RM75.6 juta).

Menariknya, seorang lelaki yang mendakwa dirinya merupakan pembida tertinggi bagi lelongan itu merupakan seorang rakyat China.

Bagaimanapun, lelaki itu yang merupakan pengumpul barangan antik China, Cai Mingchao mendakwa dia adalah pembida tertinggi misteri menerusi telefon dan enggan membayarnya.

"Saya percaya, mana-mana rakyat China akan berusaha membawa pulang barangan berharga milik negara. Saya cuba menunaikan tanggungjawab saya ini," katanya.

Setakat artikel ini ditulis, sebab mengapa dia enggan membayar atau membelinya tidak dimaklumkan. Mungkin dia tidak mempunyai wang mencukupi atau tanda protes atau barangkali juga kerana dia berpegang kepada kata-kata Pengarah Jabatan Muzium SACH, Song Xinchao.

"Membeli barangan itu semula seakan kita mengiktiraf apa yang telah mereka ambil dari negara kita sebagai sah. Membeli barangan itu seolah-olah kita berkompromi kepada perkara yang salah dan bersifat jenayah," kata Xinchao.

Sementara itu, pelelong barangan Gandhi, Antiquorum di New York turut memalu gendang alasan yang hampir sama dengan rumah lelongan Christie tentang mengapa mereka meneruskan lelongan tersebut. Jika Christie menyatakan tidak mendapat sebarang permohonan rasmi dari negara China, Antiquorum pula memberi alasan tiada pihak tampil menghubunginya.

Jurulelong, Julien Schaerer dengan nada seakan-akan ego berkata, tentangan yang disuarakan kerajaan India sebelum ini membuatkan lebih banyak pihak berminat mendapatkan barangan peribadi Gandhi.

"Secara zahirnya, sebarang bentuk publisiti adalah publisiti yang baik," katanya.

Cicit Gandhi, Tushar Gandhi, sebelum ini berkata, lelongan barangan peribadi moyangnya itu sebagai satu penghinaan serius. Kerajaan India turut mengumumkan usaha untuk membawa balik barangan Gandhi tersebut.

Derita gajah Thailand


Hanya untuk beberapa dolar, sekumpulan gajah di Bangkok terpaksa berjalan ke hulu dan ke hilir di jalan raya di kawasan bandar untuk menjana pendapatan tuannya.


SEORANG gembala gajah menunjukkan aksi kepada jurugambar bahawa dia tidak mahu gambarnya dirakamkan.


SEORANG pelancong yang mabuk berulang kali menjatuhkan beg makanan gajah yang dipegangnya di tepi jalan raya Soi Cowboy, Bangkok. Di bawah cahaya lampu neon yang menerangi kegelapan malam, lelaki itu mempermainkan gajah berusia dua tahun itu yang cuba mengambil batang tebu daripada tangannya yang menggeletar.

Akhirnya, gajah tersebut 'meraung' bagaikan rasa teraniaya sebelum penjaganya membawa ia berjalan pergi ke satu lagi kumpulan pelancong yang bersedia untuk membayar. "Haiwan ini kerap dipukul kerana letih berjalan sehingga pukul 1 pagi," ujar Soraida Salwala yang mengendalikan sebuah pusat kebajikan yang menyelamatkan gajah seperti itu.

Kawanan gajah mula tiba di Thailand kira-kira empat dekad lalu apabila Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand membawa beberapa ekor haiwan tersebut ke Bangkok bagi menjayakan sebuah pameran untuk menarik pelancong asing. Sebaik pemilik haiwan tersebut menyedari keuntungan yang diperoleh, mereka singgah ke kawasan bandar secara kerap.

Pada tahun 1993, kira-kira 10 ekor gajah merayau di jalan raya di Bangkok. Namun hari ini, Soraida menjelaskan, hampir 100 ekor gajah telah 'berhijrah' ke Bangkok. Lebih daripada 1,000 ekor gajah digunakan oleh pemiliknya untuk mencari pendapatan. Permintaannya begitu tinggi sehingga ada laporan yang menyatakan bahawa wujud kes penyeludupan gajah dari negara luar.

Sebuah laporan yang dikemukakan oleh pihak kebajikan hidupan liar Traffic pada bulan lalu mendedahkan bahawa lebih daripada 250 ekor haiwan telah diseludup dari negara jiran seperti Myanmar dalam beberapa dekad yang lalu. Perbuatan tersebut bukan sahaja melanggar peraturan setempat tetapi juga di peringkat antarabangsa.

"Gajah betina dan muda biasanya mendapat permintaan yang tinggi daripada sektor pelancongan di Thailand," ujar Chris Shepherd, seorang pegawai program kanan di Traffic. Soraida yang menubuhkan Friends of the Asian Elephant (FOAE) pada tahun 1993 berkata, buat masa ini hanya terdapat kira-kira 4,600 gajah liar dan tahanan di negara ini berbanding dengan 40,000 ekor lebih 50 tahun yang lalu.

Asap kereta dan laluan jalan raya yang sempit seringkali meninggalkan kesan buruk pada haiwan terbesar di daratan itu terutama mata yang kabur dan risiko mendapat kecederaan di bahagian kaki, keluh Soraida yang kadangkala merawat haiwan tersebut di sebuah hospital yang diasaskan di utara wilayah Lampang.

Bagaimanapun, kebanyakan pemilik gajah tersebut mempertahankan tindakan mereka dengan menjelaskan ia adalah periuk nasi mereka. Muang Salangam, 59, dari timur laut wilayah Surin berkata, gajah berusia 29 tahun yang dimilikinya menyumbang pendapatan sebanyak RM106 (AS$29) dengan berjalan sejauh 12 kilometer dalam sehari.

Upah tersebut bersamaan dengan purata gaji bulanan yang diberi kepada pekerja kilang iaitu sekurang-kurangnya 7,329 baht atau AS$200 (RM732) pada suku tahun terakhir 2007, berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Pejabat Statistik Kebangsaan. "Saya terpaksa membawa gajah saya ke Bangkok kerana saya tidak mempunyai duit," ujar Muang di tapak khemah yang terletak di belakang sebuah tempat parkir kereta di sebuah lebuh raya utama di Bangkok.

"Ada yang mengutuk saya kerana membawanya ke sini tetapi jika kami kekal di sana, kami (Muang dan gajah) akan kebuluran. Tidak ada makanan di tempat asal," katanya.


ADA gajah terpaksa berjalan mengharung kesesakan lalu lintas di jalan raya sekitar Bangkok sejauh 12 kilometer sehari.


Dia sempat melahirkan kekesalan terhadap kekurangan bantuan daripada kerajaan bagi menangani masalah yang dihadapi individu seperti mereka.

Laporan Traffic menjelaskan, walaupun kajian mereka mendedahkan aktiviti yang berlaku di sempadan Myanmar, namun tiada pemindahan atau perdagangan gajah hidup dilaporkan kepada Konvensyen Perdagangan Antarabangsa terhadap Spesies Haiwan Terancam oleh kedua-dua negara Myanmar dan Thailand.

Sementara itu, lebih sedozen undang-undang wujud bagi memantau dan menghukum pemilik gajah yang bersalah atau juga dikenali sebagai gembala gajah. Ia meliputi isu pengangkutan sehinggalah kesihatan. Begitupun, sebuah badan khas polis yang ditubuhkan pada 2006 gagal menghalang kumpulan gembala itu untuk kembali bermaharajalela setelah dihalau.

Dua usaha yang diambil oleh kerajaan bagi menghantar pulang haiwan itu ke kawasan pedalaman atau tempat asal turut menemui jalan buntu. Satu daripadanya ialah projek menggalakkan pemilik dan gajah bekerja sebagai duta kecil di Taman Negara. Projek itu gagal kerana kekurangan dana kewangan pada tahun 2002. Satu lagi projek pada tahun 2006 juga gagal untuk menggalakkan gembala gajah supaya pulang ke Surin dengan tawaran upah sebanyak 12,000 baht (RM1,232). Ini kerana, kata Soraida, penggembala tersebut menyewa gajah yang dimiliki kepada orang lain. Jadi, mereka tidak berpeluang untuk menikmati seluruh amaun tersebut.




Walaupun tidak mengharapkan perubahan tetapi Soraida berikrar untuk berjuang mengeluarkan gajah-gajah itu dari jalan raya di kawasan bandar.

"Kerajaan tidak begitu ambil peduli tetapi kita tidak boleh membiarkan masalah ini berlarutan," katanya.

Mengenang Zubir Ali


Sama ada tunjang mesejnya adalah ketuhanan, kemanusiaan mahupun keamanan sejagat, Allahyarham Zubir Ali memastikan dia sentiasa ‘hidup’ dalam setiap rangkap puisinya.


ALLAHYARHAM ZUBIR ALI





DIA tidak mahu mendabik dada dengan label pejuang sastera dan puisi. Sebaliknya insan ini lebih senang jika sekadar diingati sebagai penyambung generasi puisi. Setidak-tidaknya itu menjadi pedomannya di atas pentas persembahan, lebih-lebih lagi dirinya pernah menyuarakan kerisauan tentang atmosfera penghayatan puisi yang semakin lenyap dalam arus semasa.

Atas sebab itulah Zubir Ali tidak putus kecenderungannya untuk berkarya atas nama genre itu. Rangkaian frasa dan rangkap ciptaannya pun akhirnya menjadi lebih terkesan dalam ingatan ramai lantaran terjalin enak dengan melodi.

Pendek kata, komposer dan penyanyi ini berjaya mempertemukan elegan bahasa dengan keindahan gubahan muzik.

Mungkin ramai yang mengingati langkah mula Zubir. Semenjak kemunculannya dalam trio Harmoni pada tahun 1973, mereka telah berpeluang merakamkan tiga buah album yang berjudul Penantian, Nyanyian Ombak dan Sewaktu Hujan Berbisik.

Seiring reputasi Harmoni yang menjayakan banyak persembahan di seluruh negara, Zubir secara solo juga pantas mendapat pengiktirafan lisan dan tepukan hormat yang mengiyakan bahawa dialah antara 'penghulu' lagu-lagu puisi.

Tidak hairan jika hari ini terdapat ramai peminat yang mudah melantunkan lirik lagu Doa, Penantian dan Balada Seorang Gadis Kecil di bibir.

Sepanjang usia kerjayanya, Zubir tidak hilang daripada ingatan peminat. Dia pernah menyertai projek Roslan Aziz Production (RAP) yang lantas menjadikannya relevan dalam arus kontemporari, lebih-lebih lagi apabila lagu Ikhlas Tapi Jauh mencetuskan fenomena.

Pernah menyandang jawatan Timbalan Pengarah Kebudayaan, Pembangunan, Perkhidmatan dan Kegiatan Pusat Kebudayaan, Universiti Malaya selama dua tahun, Zubir terus berkongsi perspektifnya sebagai pensyarah pula di ASWARA.

Hidup gengster Melayu


Hashim taiko gengster patah gigi buka botol arak.







MULANYA Hashim Atong, 62, enggan ditemu bual kerana kesibukan menguruskan perniagaan kedai makanan yang diusahakan bersama isteri di Lembah Subang, Sungai Way, Petaling Jaya, Selangor.

Malah pertemuan yang cuba diatur menghampiri solat Jumaat juga menyukarkan keadaan.

Tetapi penulis bernasib baik kerana perkenalan dengannya lebih setahun lalu banyak membantu, menyebabkan Hashim akhirnya ‘tewas’ dan bersedia untuk ditemui.

Segak berpakaian baju Melayu, kain pelekat, serban dan memakai gelang dan cincin perak, Hashim masih selesa dengan trademark dirinya yang bercelak serta misai tebal yang terjaga rapi. Kacak sikit, ujarnya.

Beliau membuka perbualan dengan kisah kehidupan ‘gelap’ yang pernah dilalui tidak lama dahulu. Sejarah awal hidupnya diselubungi aktiviti mengedar dadah, gengsterisme dan minuman keras.

“Malah saya pernah digelar sebagai bapa gengster. Ia mungkin berpunca daripada persekitaran hidup saya. Saya menetap bersama keluarga di Sungei Way yang majoriti penduduknya kaum Cina. Saya pula bekerja sebagai pemungut tiket di sebuah pawagam lama di sini.

“Kawan-kawan banyak jadi gengster. Itu membuatkan kita kadang-kadang pukul orang yang enggan bayar tiket. Disebabkan saya satu-satunya Melayu dalam kumpulan itu, saya digelar taiko gengster Melayu,” ujarnya yang boleh bertutur dalam bahasa Cina dan Inggeris dengan baik.

Dua botol sekali gus

Hashim juga mengaku dia dahulu merupakan seorang pemabuk, kaki perempuan dan kaki pukul.

“Saya buka botol arak menggunakan gigi sahaja. Malah dua botol besar arak boleh dihabiskan sekali gus. Saya minum pakai straw dan minum bersama 20 biji telur mentah.

“Sampaikan orang yang biasa minum arak pun terkejut dan menggelar saya taiko arak. Tabiat itu menyebabkan sebatang gigi sebelah kanan saya patah,” katanya sambil menunjukkan gigi palsu yang dipakainya sekarang.

Tambah Hashim, aktiviti sosial di kelab malam sudah menjadi acara wajibnya hampir setiap malam.

“Adakalanya saya berjoget sampai ke pagi hingga kepala jadi pening. Perempuan usah cakap.

“Duit pula sentiasa ada hasil peras ugut orang dengan minta wang perlindungan. Tapi semua itu tidak kekal sebenarnya. Banyak duit tapi hidup tidak pernah aman dan sentiasa ketakutan,” katanya yang tidak habis bersekolah rendah.

Bagaimanapun, kenangan hidup sebagai seorang gengster paling tidak dapat dilupakan Hashim.

Dia mengaku bergaduh dengan hanya menggunakan kekuatan fizikal tanpa senjata walaupun lawannya menggunakan parang, pisau dan senjata tajam lain.

“Lawan lima orang sekali gus pun saya tidak takut. Ini kerana saya belajar silat dan mampu mempertahankan diri walaupun susuk badan saya kecil.

“Sebenarnya kita perlu gunakan helah dan ketawa semasa berlawan. Pelik bukan? Tapi jika kita emosi, kita banyak tumbuk angin dan tidak fokus untuk menyerang bahagian yang lemah pada tubuh seseorang.

“Saya juga pakai helah dengan menyembur serbuk lada atau melempar pasir ke arah mata musuh. Masa dia tak nampak apa-apa, saya pukul cukup-cukup. Tapi kalau dah ramai sangat, lari sajalah. Saya tunggu hari lain untuk balas dendam,” katanya.


PEKAN Sungei Way di Petaling Jaya pernah berada di bawah 'taklukan' Hashim suatu waktu dahulu.


Tidak tenteram

Setelah puas bergelumang dengan dunia gelap yang menjadikan hidupnya sempit dan sentiasa tidak tenteram, Hashim berfikir sampai bilakah dia terus begitu.

“Ya, sampai bila hidup ini asyik diburu. Tengok orang pun takut. Jalani hidup seharian dengan ketakutan.

“Arwah ibu menjadi sebab saya berubah. Doa ibu mustajab walaupun dia telah lama meninggal dunia. Saya tidak dapat melupakan saat mak memandikan saya dan memberi minum air limau nipis bagi ‘membuang dosa’ minum arak dan dadah,” katanya dalam nada sedih.

“Saya juga tertangkap dan dihantar ke Pulau Jerejak di Pulau Pinang selama dua tahun pada awal 1970-an kerana kegiatan jenayah yang saya lakukan.

“Pengalaman di sana cukup memeritkan. Bayangkan anda bekerja setiap hari tanpa henti. Berada di pulau yang sepi, kita bagai telah mati. Seksanya waktu itu,” katanya sambil air mata mengalir membasahi pipinya.

Selepas Pulau Jerejak, Hashim telah dibuang daerah ke Bukit Payung, Kuala Terengganu. Dia membawa bersama isteri dan anak-anaknya.

“Saya menangis melihat isteri dan anak-anak. Adakah mereka perlu terus dikeji kerana kesilapan saya. Hidup tidak menentu dan mulai saat itu saya bertekad mengubah diri,” katanya.

Kini Hashim bersyukur kerana masyarakat mula menerimanya kembali dan berjaya membuka kedai makan hasil usahanya dengan isteri.

“Perit juga, pelbagai ujian datang. Dahulu saya berniaga tepi jalan sahaja sampai berapa kali kena saman pihak berkuasa tempatan.

“Modal tidak banyak. Jika peralatan berniaga kena rampas, perit untuk mengumpul modal lagi.

“Sekarang saya juga menjadi penasihat kepada bekas penagih dadah yang menubuhkan sebuah syarikat jualan cenderamata di Puchong, Selangor.

“Memang sukar untuk masyarakat menerima saya pada mulanya. Tapi jika kita ikhlas lama-kelamaan orang akan sedar. Ibarat kita ketuk pintu rumah seseorang, pada mulanya dia tidak buka tetapi kalau berulang kali akan dibuka, bukan,” katanya.

Kini Hashim hidup bahagia di samping 14 orang anak hasil daripada dua perkahwinannya dan 11 cucu yang amat disayanginya.

Kota-kota Rasulullah


Selusuri sejarah junjungan mulia, Nabi Muhammad s.a.w. menerusi kota-kota yang dijejaki baginda.




MENYELUSURI sirah Nabi Muhammad s.a.w. selama 63 tahun hayat baginda, kita dapati junjungan mulia ini telah menjejaki beberapa kota sama ada atas tujuan dakwah, hijrah, perjalanan mukjizat mahupun perniagaan.

Sempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini, barangkali menjadi sesuatu yang menarik andai kita dapat mengimbas kembali kehidupan baginda bukan sahaja dari sudut keperibadiannya, bahkan juga mengekori jejak perjalanannya.

Mengenali lebih dekat kota-kota yang pernah baginda jejaki pastinya akan menambahkan penghayatan kita dalam mendalami sejarah hidup baginda.

Kota pertama yang begitu sinonim dengan Nabi Muhammad s.a.w tentulah kota kelahirannya iaitu Mekah. Nabi Muhammad telah diputerakan di Mekah, Arab Saudi pada hari Isnin, 12 Rabiulawal bersamaan 20 April 571 Masihi.

Kelahiran putera kepada Abdullah dan Aminah ini membawa lentera ke seluruh pelosok tanah haram dan diriwayatkan penduduk Mekah, mereka melihat sinaran cahaya yang sungguh menghairankan dan menggirangkan saat baginda dilahirkan. Kala itu, api-api yang disembah kaum Majusi turut terpadam.

Dengan kelahiran junjungan mulia itu, bertambah terkenal kota Mekah yang berpasir dan berdebu.

Kini, kota Mekah, tempat terbinanya Kaabah menjadi tumpuan umat Islam seluruh dunia bagi menunaikan ibadat haji, Rukun Islam kelima. Mekah atau Makkah al-Mukarramah terletak kira-kira 73 kilometer (km) dari timur Jeddah, ibu kota Arab Saudi di ketinggian 277 meter (910 kaki) dari paras laut.

Bandar raya ini terletak di antara gunung-ganang yang telah ditakrifkan sebagai pengembangan kontemporari bandar raya itu. Ia berpusat di sekitar Masjid al-Haram.

Dianggarkan sejumlah 3.5 juta umat Islam membanjiri tanah suci Mekah khususnya pada bulan Zulhijjah setiap tahun ketika musim haji.

Kota kedua yang dijejaki Nabi Muhammad s.a.w ialah Bosra di Syam (kini, Syria) ketika mengikuti bapa saudaranya, Abu Talib. Ketika itu, baginda berusia 12 tahun. Abu Talib yang amat menyayangi Nabi Muhammad merupakan penjaga baginda setelah bapa, ibu dan datuknya, Abdul Mutalib wafat.

Semasa pemergian baginda ke kota itulah, sifat kenabian Nabi Muhammad s.a.w berjaya dikesan oleh seorang pendeta Nasrani, Bahira. Antaranya, Bahira menyaksikan kelompok awan yang menaungi rombongan perniagaan Abu Talib ketika perjalanan dan ia tidak pernah berlaku sebelum ini. Bahira adalah insan pertama yang meminta agar Abu Talib benar-benar menjaga Nabi Muhammad s.a.w kerana jika diketahui kewujudan baginda, pasti orang Yahudi akan menghapuskannya.

Bosra kini merupakan satu bandar bersejarah mengandungi kota-kota era Rom, Byzantine dan Islam yang telah musnah. Ia telah diiktiraf sebagai kawasan warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).


MEKAH kini menjadi tumpuan umat Islam seluruh dunia untuk menunaikan haji manakala Madinah, Baitulmuqaddis dan Euthopia terus dikenang sebagai kota yang kaya dengan sirah Rasulullah.


Nabi Muhammad s.a.w direkodkan pernah ke Syam sekali lagi ketika membantu memperdagangkan barangan hartawan wanita, Siti Khadijah Khuwailid yang kemudiannya menjadi isteri baginda. Siti Khadijah terpikat dengan keluhuran akhlak dan sifat amanah yang dimiliki baginda yang terkenal dengan jolokan al-Amin dalam kalangan masyarakat Arab Quraisy.

Setelah diangkat menjadi Rasul ketika berusia 40 tahun, Nabi Muhammad s.a.w mula menyebarkan dakwah. Antara kota yang pernah dijejaki Rasulullah untuk berdakwah ialah Ta'if yang merupakan sebuah bandar dalam negara Arab Saudi dan terletak kira-kira 97 km dari kota Mekah.

Nabi Muhammad s.a.w memilih kota itu kerana menyangkakan kota subur itu lebih mudah menerima Islam setelah baginda menerima tentangan hebat daripada kaum musyrikin Mekah.

Namun kedatangan baginda telah diejek dan dihina oleh penduduk Ta'if dengan balingan batu sehingga tubuhnya berdarah. Keadaan itu menyebabkan malaikat Jibril turun dan bertanyakan kepada Nabi Muhammad s.a.w, adakah baginda mahu malaikat menghancurkan kota itu dengan menghempapkan gunung. Namun Nabi Muhammad s.a.w menolak dan sekadar berdoa moga-moga Ta'if melahirkan zuriat yang menyembah Allah yang Esa. Doa baginda dimakbulkan apabila kota Ta'if kemudiannya menerima Islam.

Begitulah terpujinya akhlak Nabi Muhammad s.a.w. Biar seteruk mana tentangan yang diterima, baginda tidak menyimpan dendam dan tidak akan membalas perbuatan yang jahat dengan kejahatan.

Ta'if kini merupakan satu daerah yang cukup terkenal dengan tanaman anggur dan madu. Padang pasirnya juga ditumbuhi kaktus. Berpopulasi penduduk 521,273 orang, majoriti penduduknya adalah Islam bermazhab Sunni.

Selain itu, Nabi Muhammad s.a.w juga menjejaki masjid al-Aqsa di kota Baitulmuqaddis (Jerusalem) di Palestin menerusi satu perjalanan mukjizat yang dinamakan Isra' Mikraj. Masjid al-Aqsa disebutkan dalam al-Quran sebagai tempat transit baginda sebelum dimikraj ke langit dalam peristiwa yang berlaku pada 27 Rejab 620 Masihi.

Kini, Baitulmuqaddis adalah sebuah kota yang kaya dengan tamadun dan budaya. Kota lama Baitulmuqaddis (juga dikenali sebagai Baitulmuqaddis Timur) dikelilingi dengan tembok yang dibina sejak kurun ke-15 lagi. Kota lama ini terbahagi kepada empat kawasan iaitu Islam, Kristian, Yahudi dan Armenia.

Sehingga hari ini, status semasa kota itu masih menjadi konflik dan terus dipertikaikan.

Sebelum berhijrah ke Madinah, Nabi Muhammad s.a.w meminta sebahagian pengikutnya berhijrah ke Habsyah (kini Euthopia) untuk mendapatkan perlindungan rajanya, Raja Najasyi yang diketahui tidak berlaku zalim. Najasyi mengalu-alukan ketibaan mereka dan tidak membenarkan mereka diserah kepada penguasa di Mekah.


NABI MUHAMMAD pernah ke Syam atau kini Syria untuk berdagang bersama bapa saudaranya, Abu Talib.


Walaupun Nabi Muhammad s.a.w tidak turut serta dalam hijrah itu, namun peristiwa penghijrahan sekumpulan umat Islam Mekah ke Habsyah tetap menjadi sejarah.

Peristiwa hijrah ke kota Madinah atau nama asalnya, Yathrib pula berlaku pada 622 Masihi. Ketika itulah bermulanya permulaan kalendar hijrah. Penghijrahan ini berlaku bukan kerana umat Islam takut ancaman puak Quraish Mekah tetapi kerana jemputan penduduk Madinah sendiri.

Selepas tiba di Madinah, Nabi Muhammad s.a.w. merangka sebuah perlembagaan bagi menyatupadukan penduduk Madinah. Perlembagaan itu dipersetujui oleh semua penduduk Madinah dan dikenali sebagai Piagam Madinah.

Di Madinahlah terletaknya masjid pertama dalam Islam iaitu Masjid Quba'. Di kota itu jugalah terletaknya Masjid an-Nabawi yang mana terdapat makam Nabi Muhammad s.a.w, kawasan yang dibina di atas tapak rumah baginda.

Nabi Muhammad s.a.w wafat di Madinah pada tahun 632 Masihi.

Jerat bomoh temberang


Ramai diperdaya pelbagai rahsia penipuan bomoh palsu.


RAMAI rakyat Malaysia masih mempercayai bomoh walaupun 95 peratus daripada mereka dikatakan bomoh palsu. - Gambar hiasan





SABAN malam, Mbah (nama panggilan popular) tidak 'menang tangan' apabila terpaksa melayan puluhan pelanggan yang datang untuk berubat. Teratak buruknya di Kampung Janda Baik, Pahang sudah umpama sebuah klinik kesihatan desa.

Biarpun bomoh berasal dari Batam, Indonesia itu bergigi rongak, pelanggannya tidak jemu-jemu menunggu giliran. Mereka datang dengan aneka hajat daripada merawat sakit, mencari jodoh, tangkal pelaris hinggalah kepada mendapatkan nombor ekor judi.

Namun di sebalik kehebatan Mbah yang tidak berpelajaran tinggi, ramai yang tidak menyedari bahawa mereka telah ditipu hidup-hidup. Apa tidaknya, segala macam rawatan yang dilakukan sebenarnya adalah palsu. Kaedah rawatan itu boleh dipelajari sesiapa sahaja.

Sinopsis tipikal yang dipaparkan itu adalah antara beberapa babak menarik yang disiarkan program Hipotesis menerusi Channel 99 Debar. Penonton dapat mengikutinya secara eksklusif hanya melalui siaran televisyen Internet terbaru Hypp.TV.

Realitinya ada ribuan 'Mbah' atau bomoh palsu di negara kita. Malangnya, bomoh temberang seperti 'Mbah' masih lagi dipercayai oleh sesetengah orang.

"Secara kasar dianggarkan 95 peratus daripada bomoh atau pawang atau dukun di Malaysia hari ini adalah palsu. Lebih teruk, ada yang tergamak mencabul atau memperkosa wanita yang menjadi pelanggan mereka," kata Syed Abdullah Hussien.

Mengetuai pasukan penyelidik paranormal terkenal, PSI Seeker, Syed Abdullah mengakui ada juga bomoh tulen tetapi bilangannya tidak ramai. Bahkan bomoh asli kurang dikenali kerana mereka tidak gemar mencari publisiti atau membangga diri.

Mahir rawat tulang patah

Pada umumnya bomoh ‘betul’ cuma mengkhusus kepada satu jenis perkhidmatan. Misalnya, jika mahir dalam merawat tulang patah, itulah sahaja yang dia tahu. Ironinya bomoh palsu mendakwa diri mereka pakar dalam serba-serbi.

“Sejak usia 20-an saya sudah berkawan dengan ratusan bomoh tradisional di seluruh Malaysia sehingga mereka meninggal dunia. Nyata ada banyak perbezaan antara mereka dengan bomoh moden yang muncul akhir-akhir ini,” kata Syed Abdullah mengimbau pengalamannya.

Katanya, bomoh zaman dulu didapati suka berdamping dengan dua atau tiga jin sebagai pembantu. Mereka hidup sederhana dan ada juga yang miskin. Bomoh zaman dulu berbeza dengan bomoh sekarang yang tinggal di banglo dan memandu kereta mewah.


TELUR merupakan alat perbomohan paling lazim di negara ini.


Lebih pelik, bomoh moden yang kononnya mampu mengubat pelbagai jenis penyakit itu mengenakan bayaran untuk rawatan. Malah untuk membuat temu janji pun ada caj tersendiri dan pesakit perlu datang berkali-kali bagi sesi rawatan tertentu.

“Walhal seingat saya pada tahun 1960-an, pesakit yang datang berjumpa bomoh sekali sahaja sudah sembuh. Bayarannya pula cuma memberi sekuntum bunga bagi pesakit perempuan atau sebiji buah berongga jika pelanggannya lelaki,” jelas Syed Abdullah.

Tidak hairanlah bomoh dulu cukup disegani tetapi mereka masih merendah diri.

Syed Abdullah pernah bertemu bomoh yang mampu menjadikan keris berdiri dan terbang tetapi pada zahirnya penampilan bomoh itu seperti orang kebanyakan.

Sambil menyifatkan bomoh moden sebagai tidak ubah bomoh dalam filem komedi Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, beliau kesal kerana kerjaya bomoh kini tidak lagi dihormati.

“Sesiapa saja boleh menjadi bomoh asalkan tahu pelbagai teknik helah ala silap mata.

“Ini menyebabkan masyarakat tidak percaya untuk berjumpa bomoh kerana bimbang ditipu atau lebih malang menjadi mangsa jenayah seksual. Padahal kita masih ada bomoh jujur yang sedia membantu tanpa mengharapkan apa-apa balasan,” tegasnya.

Kuasa pekerja ilmu


Pekerja ilmu yang sebenar akan mewarnai ekonomi bentuk baru yang berteraskan pengetahuan atau juga dikenali sebagai k-ekonomi.


GOLONGAN bekerja dan ahli profesional dalam firma perkongsian tidak menganggap kemahiran mereka sesuatu yang luar biasa, tetapi sebagai kenyataan hidup. - Gambar hiasan


"KERJA bukan sekadar pekerjaan," kata mahaguru pengurusan tersohor, Charles Handy dalam bukunya yang klasik, The Future of Work.

"Pada masa lalu, perniagaan menjadi majikan kepada semua mereka yang ingin bekerja. Pada masa depan, akan terdapat banyak pelanggan tetapi tidak banyak pekerjaan," ujar Handy yang tidak menjangka syarikat akan menjadi sebuah organisasi kebajikan.

Tugas sebarang perniagaan adalah untuk menjadi seberapa berkesan yang boleh tetapi beliau menjangka harapan dan amalan kerja akan mengalami perubahan asas.

Tujuan utama sesebuah syarikat bukanlah membuat untung semata-mata. Tujuannya membuat untung adalah supaya dapat terus melakukan sesuatu, berbuat dengan lebih baik dan lebih banyak.

Keuntungan mestilah menjadi cara untuk mencapai matlamat lain dan bukannya matlamat itu sendiri. Handy menegaskan betapa perlunya organisasi dan manusia memupuk kesedaran tentang kesinambungan, hubungan dan haluan sebagai satu ciri penting dalam dunia pekerjaan yang diwarnai oleh bentuk ekonomi baru.

Pandangan Handy juga menegaskan kepada kita bahawa jika organisasi, pola kerja dan sikap orang terhadap kerja akan berubah, maka kehidupan mereka di luar dunia pekerjaan akan turut berubah.

Dengan bilangan pekerja sepenuh masa semakin berkurangan, tanggungjawab yang perlu dijalankan adalah menghasilkan portfolio kerja.

Orang yang ragu-ragu boleh mengatakan portfolio itu berkemungkinan pekerjaan sambilan yang rendah upahnya. Bagaimanapun, Handy percaya kita perlu mendukung kemungkinan yang lebih positif. Portfolio kerja termasuk kerja yang dapat dibahagikan kepada lima kategori utama iaitu kerja berupah dan kerja berbayar (yang mendatangkan wang), kerja rumah, kerja hadiah, dan kerja belajar (yang tidak mendatangkan wang).

Bagi kebanyakan orang, pembahagian itu dirasakan idealistik. Namun cara itulah lebih fleksibel dan lebih teratur untuk mengenal pasti unsur dalam kebanyakan kehidupan kita. Fleksibeliti sebegini sukar dihadapi oleh mereka yang bekerja untuk organisasi besar yang menyediakan laluan kemajuan kerjaya, gaji bulanan tetap dan faedah istimewa.




Bagaimanapun, kefleksibelan itu sesuai dengan dunia yang dialami oleh banyak golongan bekerja sendiri yang biasa dengan tekanan dan barangkali keseronokan dalam mencari jalan untuk mendapatkan wang bagi membeli sesuatu.

Jika mereka mahu komputer baru, mereka tahu mereka perlu mencari jalan 'imaginatif lain' untuk mendapatkan wang bagi membelinya, bukan sekadar menelefon jabatan teknologi maklumat untuk memesan sebuah komputer baru.

Golongan bekerja sendiri, di samping ramai lagi dalam perniagaan kecil dan ahli profesional dalam firma perkongsian, tidak menganggap hal seumpama itu atau kemahiran mereka sebagai luar biasa, tetapi sebagai kenyataan hidup.

Ini merupakan satu portfolio tersendiri buat mereka. Dengan kata lain, lebih ramai pekerja sepenuh masa akan mengambil pendekatan ini jika mereka ingin membina portfolio mereka.

Langkah Handy membangunkan konsep portfolio menjadi jawapan kepada gagasan masyarakat senang-lenang. Handy berpendapat masyarakat tersebut adalah idealisme semata-mata.

Manusia tidak dijadikan untuk menghabiskan waktu lapang dengan bersenang-senang sahaja. Sebaliknya, waktu lapang perlu dilihat sebagai sebahagian portfolio seimbang yang berupa minat dan aktiviti yang mendatangkan hasil sama ada wang atau ganjaran lain.

Gambaran Handy menjadi realiti apabila manusia boleh bekerja secara formal atau informal dengan berada di mana-mana saja berkat teknologi informasi dan komunikasi.

Gambaran itu juga menjelaskan rupa bentuk organisasi masa depan seperti mana yang dibayangkan oleh Wiliam Davidow dan Michael Malone dalam buku The Virtual Corporation.

"Organisasi masa depan nampaknya 'tidak bertepi' dengan hubungan yang telus dan sentiasa berubah antara syarikat, pembekal dan pelanggan. Dari dalam firma, apa yang dilihat juga tidak tentu bentuknya kerana pejabat, jabatan dan bahagian operasi yang tradisional sentiasa dibentuk semula mengikut keperluan," ulas buku itu.

Idea tentang hierarki formal dan kaku berasaskan kriteria beku tidak lagi berlaku. Apa yang penting adalah kemahiran teknikal, saintifik atau artistik serta kebolehan untuk mewujudkan hubungan dengan pelanggan.

Hierarki fungsional digantikan oleh apa yang disebut oleh Thomas Stewart dalam Intellectual Capital: The New Wealth of Organizations sebagai kuasa kepintaran atau modal intelektual iaitu kuasa yang ada pada pekerja untuk mencipta dan mengawal stok aset yang tidak nampak (intangible) seperti data, imej jenama, idea, pengetahuan teknologi dan modal tenaga.

Apa yang disebut oleh Stewart juga bertepatan dengan apa yang diramalkan oleh Peter Drucker tentang kemunculan 'satu jenis' golongan pekerja yang dikenali sebagai pekerja ilmu atau Knowledge Workers.

Pekerja ilmu sebenarnya akan mewarnai ekonomi bentuk baru yang berteraskan pengetahuan atau juga dikenali sebagai k-ekonomi.

Pekerja ilmu akan mempunyai aset berharga berbentuk modal intelektual, suatu bentuk modal yang tidak nampak, namun memberi sumbangan besar pada kekayaan organisasi.

Pekerja ilmu sama ada berkerja di organisasi atau bekerja secara persendirian (self-employed) akan mencipta pelbagai bentuk atau jenis kerja yang lazim atau tidak lazim, yang tradisi atau konvensional, yang lama atau baru dan kesemuanya itu bermodalkan pengetahuan dan maklumat.

Inilah bentuk masa depan pekerjaan yang sedang dan bakal kita lalui. Orang tidak perlu lagi ke pejabat, cukup sekadar beroperasi di rumah atau di mana saja yang disukai, dan hanya perlu memanfaatkan modal intelektual yang ada pada diri mereka serta mempunyai sentuhan menggunakan mesin-mesin digital serta keupayaan melayar dunia Cyberspace.

Dengan kata lain, dunia pekerjaan masa depan sebenarnya berada pada kebolehan dan kemampuan kita untuk memanipulasi peluang yang berada di dunia Cyberspace.

Kaitkan sastera dengan sains


Pengajian sastera Melayu di negara kita sedang menuju ke umur setengah abad, bermula dengan Pengajian Melayu di Universiti Malaya (UM) pada tahun 1960-an. Kemudian pengajian sastera ditawarkan di beberapa buah universiti seperti di Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM). Pengajian sastera di peringkat yang lebih rendah iaitu di peringkat sekolah menengah bermula apabila ditawarkan kertas peperiksaan untuk kesusasteraan.

Dewasa ini, pengajian sastera di peringkat universiti masih dijalankan di beberapa buah universiti awam seperti di UM, USM, UKM dan UPM. Di peringkat sekolah, penawaran mata pelajaran sastera juga diadakan iaitu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Namun jumlah calon semakin merosot dan jumlah kelas yang menawarkan mata pelajaran sastera Melayu turut mendukacitakan.

Mata pelajaran sastera Melayu sudah tidak laku lagi dan sudah jadi mata pelajaran kelas dua. Pelajar-pelajar yang mengambilnya adalah pelajar-pelajar yang tercorot prestasi akademiknya. Sedangkan pelajaran sastera memerlukan pelajar yang cerdas untuk berfikir bagi membuat analisis teks yang dikaji. Pengajian sastera di sekolah mendapat persepsi yang buruk dari semua lapisan; pembuat dasar, pentadbir, ibu bapa dan pelajar sendiri. Mengambil mata pelajaran sastera tidak ada masa depan bagi mereka.

Di peringkat universiti, program pengajian sastera samaada sastera Melayu atau Inggeris masih gah tetapi dengan sejarah lamanya. Nama dan institusinya masih dipertahankan kegemilangan sejarahnya dalam pengajian sastera. Pengajian sastera dalam kotak yang lama iaitu yang bersifat tulen masih menjadi keutamaan. Masing-masing mengaku bahawa mereka menawar pengajian sastera yang terbaik tetapi realitinya tidak semanis itu.

Tanggapan terhadap pengajian sastera sudah lama merudum dan terus menjunam. Mereka yang berada di dalam pengajian sains dan teknologi melihat pengajian sastera itu sebagai tempelan sahaja. Di Malaysia, pengajian sastera Inggeris masih boleh bertahan kerana bahasa Inggerisnya. Maka mengikuti pengajian sastera Inggeris lebih terjamin berbanding dengan sastera Melayu. Walau bagaimanapun, di dalam konteks yang lebih umum, pengajian sastera tulen tidak mendapat sambutan yang baik daripada pelajar-pelajar berbanding dengan pengajian sains dan teknologi atau pengajian sastera praktis seperti komunikasi dan pengurusan.

Keadaan yang hampir sama berlaku di luar negara. Pengajian sastera tulen semakin terpinggir. Dana untuk operasi pengajian ini terus dipotong dan bilangan pensyarah semakin mengecil kerana ramai yang berhijrah atau menukar atau mengubah bidang. Manakala yang pergi tidak diganti. Misalnya, terdapat sebuah institusi pengajian dan penyelidikan yang terkenal di Belanda iaitu The Royal Netherlands Institute of Southeast Asian and Carribbean Studies atau lebih dikenali sebagai KITLV yang memberi perhatian kepada antropologi, seni, ekonomi, sejarah, linguistik dan sastera di Asia Tenggara dan Carribbean, tidak lagi mendapat jumlah pelajar seperti dahulu di dalam bidang sastera dan bahasa.

Di institut ini juga kita mempunyai sebuah Kursi Pengajian Melayu yang disandang oleh mereka yang pakar dalam sastera dan bahasa Melayu. Di sini, bukan sahaja pelajar tempatan tetapi juga pelajar antarabangsanya semakin mengecil. Justeru itu, mereka terpaksa mengadakan satu skim fellowship untuk menarik pelajar-pelajar luar untuk belajar di sana. Pelajar-pelajar di Belanda dan juga di Eropah umumnya lebih berminat dengan pengajian China dan Jepun berbanding pengajian Melayu termasuklah sastera dan bahasa Melayu.

Sebahagian pensyarahnya terpaksa meninggalkan institut ini untuk mencari pekerjaan di tempat lain seperti di Singapura. Mereka yang keluar ini telah mengubah paradigma mereka di dalam pengajian sastera untuk disesuaikan dengan tuntutan universiti yang baru ini seperti mewujudkan kursus sastera Melayu dan media baru.

Pengajian sastera di Malaysia perlu berubah, sesuai dengan tuntutan keadaan. Boleh dikatakan hampir tidak ada langsung pengajian sastera diwujudkan di universiti atau kolej universiti awam yang baru muncul di Malaysia, jauh sekali di universiti dan kolej swasta. Mereka kini memberi perhatian kepada sains dan teknologi. Kita sering berkata, orang sains perlu juga sastera supaya dimensi seni dan manusianya hidup dan seimbang dengan sains dan teknologi. Namun sastera yang macam mana dan pakej yang macam mana yang kita tawarkan?

Kita banyak bercakap tetapi sebenarnya kita diserkup dengan kotak fikiran yang idealistik. Namun dari segi praktikalnya, kita lambat bertindak dan bekerja untuk ke arah itu. Fikiran kita terus di awang-awangan dan tidak mahu berjejak ke bumi, bimbang kepakaran kita tidak lagi relevan dan kita sebenarnya membohongi diri kita.

Silibus pengajian sastera perlu dirombak dan paradigma pensyarah sastera perlu diajakkan supaya dapat mencerminkan realiti dan tuntutan keadaan. Perubahan yang diperlukan tidaklah mengorbankan fungsi asas penubuhan sesebuah universiti iaitu untuk mengembangkan ilmu pengetahuan. Fungsi universiti juga perlu untuk memenuhi keperluan tenaga kerja bagi sesebuah negara. Maka pengajian sastera jangan sampai hanya dapat mengembangkan ilmu tentang sastera tetapi mengabaikan keperluan graduannya mendapat pekerjaan.

Memang betul untuk mendapatkan sesuatu pekerjaan itu tidak hanya bergantung kepada kursus yang diambil, banyak faktor lain diambil kira.

Namun jika pengkhususan itu tidak lagi laku, maka apa yang dapat diharapkan oleh para graduan dari pengajian sastera?

Pengajian sastera perlu berubah untuk menghasilkan graduan yang boleh melamar pekerjaan dengan mudah.

Jangan berfikiran bahawa graduan pengajian sastera masih boleh menjadi guru sekolah. Sekarang ini, graduan pengajian sastera juga sudah tidak laku untuk diambil menjadi guru. Guru sastera di sekolah sudah tepu, kata mereka.

Pengajian

Pengajian sastera tidak boleh lagi menjadi sebuah pulau yang terpisah daripada disiplin-disiplin yang lain. Pengajian sastera tulen sudah lapuk dan merugikan pelajar untuk mencari pekerjaan. Pengajian sastera mesti membuka dirinya kepada disiplin ilmu yang lebih luas termasuklah sains dan teknologi. Sastera bukan sahaja bahasa tetapi sastera juga visual dan persembahan. Hubungan sastera dengan seni yang lain perlu dimantapkan bukan dijadikan subjek tempelan. Misalnya kursus sastera dan filem perlu dibangunkan secara serius dan berkesan. Begitu juga dengan kursus sastera dan media baru serta multimedia perlu diberi perhatian.

Pengajian sastera dengan industri kreatif perlu diadakan di universiti supaya arus perdana ini dimanfaatkan secara optimum dan terancang. Jangan ada lagi universiti yang melihat hubungan sastera dan industri kreatif bersifat trendy tetapi ia perlu dilihat sebagai perkembangan yang akan berpanjangan dan akan menjadi semakin canggih pada masa depan.

Tuntutan perubahan ini tidak bermakna dasar atau asas pengajian sastera itu diabaikan. Perkara-perkara ini perlu diteruskan tetapi dalam paradigma yang berbeza. Pensyarah-pensyarah lama jika perlu diberi pendedahan baru dalam bidang ini supaya mereka dapat menyumbang dengan lebih berkesan kepada kedinamikan pengajian sastera.

Pengajian sastera juga perlu dihubungkan dengan pengajian budaya yang lebih luas. Sastera dan budaya tidak dapat dipisahkan. Jika kita perhatikan pengajian sastera Jepun di luar negara seperti di Amerika Syarikat, kursus-kursus yang menghubungkan sastera dengan budaya Jepun diwujudkan. Maka kursus seperti ini menarik perhatian pelajar untuk mengambilnya. Mereka belajar dua perkara di dalam satu masa. Pakej begini sangat digemari oleh pelajar-pelajar di Barat.

Sebenarnya, tidak boleh dipisahkan di antara sastera dan budaya. Sastera Melayu dan budaya Melayu berkaitan dan mempelajari sastera dalam kerangka ini lebih hidup dan menarik. Lantaran itu, elok difikirkan untuk menukar pengajian sastera menjadi pengajian sastera, budaya dan media. Mungkin telah ada universiti-universiti di Malaysia yang menawarkan pengajian sastera dalam kerangka yang baru ini. Namun kesungguhan itu tidak menyerlah dan pengajian sastera masih dalam tempurung fikiran yang konservatif. Apabila pengajian sastera mempunyai struktur kursus yang baru dan relevan maka kita perlu mendapat pelajar yang bermutu. Kita tidak mahu lagi menjadi tempat pembuangan para pelajar yang kurang cemerlang.

Perubahan pengajian sastera di peringkat universiti perlu juga diselaraskan dengan perubahan pengajian sastera di peringkat sekolah. Di sekolah, pengajian sastera masih menggunakan paradigma yang lama semenjak zaman Inggeris lagi. Sudah lebih daripada 50 tahun, pengajian sastera di sekolah termasuk di dalam program Komsas berada di dalam mekanisme yang sama. Perkara yang telah basi seperti meneliti aspek intrinsik karya sastera seperti tema dan plot masih menjadi asas mempelajari sastera.

Kita masih tertanya-tanya mengapa pihak Kementerian Pelajaran masih berada di dalam kepompong fikiran usang dan mereka yang terlibat dengan penggubalan kurikulum pengajian sastera sangat cetek cara melihat pengajian sastera. Maka dengan fikiran mereka ini pengajian sastera menjadi ketinggalan zaman dan tidak nampak relevan dengan pembinaan negara bangsa Malaysia yang sedang bergerak ke depan. Justeru itu, pengajian sastera hanya untuk mencukupi mata pelajaran dan untuk pelajar yang bengap sahaja. Malang nasib pengajian sastera dari sekolah hingga ke universiti. Ada desas desus, silibus pengajian sastera di sekolah akan berubah, namun entah bila hendak menjadi nyata. Mungkin tahun 2020.

Sudah tiba masanya, pengajian sastera perlu diubah kurikulumnya dan cara berfikir mereka yang terlibat secara langsung dengan perkara ini perlu dianjakkan. Kita mesti ada visi dan misi untuk menjadikan pengajian sastera sebagai satu ilmu dan pada masa yang sama sebagai satu peluang para pelajarnya melamar pekerjaan dan mampu melihat pengajian sastera masih relevan dan setara dengan pengajian lain yang sedang pesat berkembang.

Psikologi melalui makanan


Rekaan makanan mampu membawakan dimensi ketiga di atas meja.


MAKANAN yang baik adalah satu sumber keseronokan yang tiada penghujung.


MEMBIARKAN anak-anak bermain dengan makanan mungkin satu perkara yang tidak dibenarkan oleh kebanyakan ibu bapa.

Tetapi kini pereka sofa, lampu dan pinggan mangkuk meja turut bermain dengan barang tersebut yang membuatkan kita terus hidup dan seronok.

Seperti psikologi kontemporari yang percaya bermain dengan makanan boleh membantu individu yang fobia atau cerewet memilih makanan, rekaan makanan mampu membawakan dimensi ketiga di atas meja.

"Dapur merupakan padang permainan yang amat luar biasa," kata Marc Bretillot, salah seorang daripada pereka makanan baru di Perancis.

"Bermain dengan makanan ialah satu keperluan untuk keseimbangan kami. Mengupas kulit kentang adalah satu perbuatan kembali ke alam semula jadi. Melalui pemakanan, ia menghidupkan kesemua lima deria rasa dalam satu-satu masa."

Namun, disebabkan pada asasnya makan melibatkan soal hidup dan mati, makanan direka ada batasannya.

"Bayangkan menelan lumut hijau yang melitupi sandwic. Sebelum meletakkan sesuatu di dalam mulut, lampu secara tidak sedar harus menukarnya kepada hijau.

"Orang selalunya lebih rela mati daripada merasai perkara baru. Hari ini kita mempunyai sains untuk menentukan sama ada makanan itu beracun atau tidak," jelas Bretillot lagi.

Melepasi had terhadap sebanyak mana kreativiti yang boleh kita telan ialah nama permainan Bretillot seperti coklat kapsul, telur hijau yang diisi dengan dadih mangga dan santan kelapa atau coklat yang dibubuh di dalam picagari yang dinikmati sewaktu makan tengah hari bulan ini.

"Semuanya mengenai eksplorasi dunia kulinari, memecahkan kod tetapi ia juga mesti mempunyai rasa yang hebat," katanya.

Makanan yang baik sememangnya satu sumber keseronokan yang tiada penghujung. Justeru, seorang pereka di Paris mengambil langkah tambahan dengan menerokai kaitan antara gastronomi dan seks.

Bekerja dengan firma terkenal seperti pengeluar kristal Baccarat atau pengeluar perak Christofle, begitu juga kepakarannya sebagai chef berkarisma, pereka Philippe Di Meo telah melancarkan variasi makanan istimewa sempena Hari Valentine di pameran rumah terbesar, Maison & Object akhir bulan lalu.

Antara rekaan istimewa Di Meo ialah coklat putih stiletto dalam bentuk kasut tumit tinggi marzipan yang menyamai saiz sepasang kasut sebenar, kotak gincu perak yang mengandungi strawberi merah Lolita bersalut coklat dan boleh didapati di kedai runcit mewah, Fauchon atau champagne Dom Ruinart yang dihiasi gabus kristal untuk menyegarkan badan dengan sentuhan buih di beberapa lokasi sensitif pada tubuh.

"Makanan dan seks memang tidak boleh dipisahkan sejak zaman prasejarah. Malah, kita boleh merasa erotik apabila menyaksikan seseorang menikmati hidangan yang tersedia di dalam pinggan," katanya.


DAPUR pada pandangan pereka makanan Perancis, Marc Bretillot merupakan padang permainan yang amat luar biasa.


Ketika ramai pereka makanan dengan jelas meneruskan survival dalam bidang ini, Edouard Malbois telah puas meneroka dunia dalam menghasilkan dan mencipta makanan daripada pinggan eksotik yang kerapkali mendominasi rak-rak pasar raya Barat sejak empat tahun lalu.

Daripada roti rumpai laut 'berbicara' yang dihiasi dengan hiasan guru Heston Blumenthal (sebuah Restoran Fat Duck di Britain) yang menghasilkan bunyi seperti pasir dan camar apabila dikunyah, kepada inspirasi India yang lembut di mana ia menggabungkan mangga, lobak dan halia untuk menghasilkan Cargill gergasi, Malbois memberitahu, rekaan mampu memberi nilai tambahan kepada pinggan.

"Kami memberi keutamaan kepada warna, kehendak, emosi, cara baru menghiris dan memotong makanan serta cara baru untuk makan sesuai dengan gaya hidup zaman sekarang.

"Tidak ada sempadan antara seni reka dalaman, perabot, rekaan dan makanan," kata Malbois, pemilik syarikat Enivrance yang telah menjual 23 jilid pangkalan data makanan jalanan seluruh dunia kepada sedozen syarikat makanan terkenal.

Terpukau dengan gaya makan dan minum rakyat Amerika dan Britain yang sentiasa berubah, Malbois misalnya telah menukarkan sandwic kepada kepingan-kepingan kecil yang dijual dalam bentuk tiub untuk rangkaian makanan sihat Britain (BGF).

Prototaip terbaru yang dihasilkan ialah burger yang diilhamkan melalui gaya Mexico berwarna hijau mengandungi sekeping keju yang diletakkan bersama daun buah pir muda yang senang dikunyah.

"Apa yang pasti, ketamakan untuk mencipta hiasan dalam setiap hidangan tidak mempunyai sempadan," ungkapnya mengakhiri bicara. - AFP

Srikandi Hospis tempat luah perasaan


Oleh Nurul Adlina Kamaludin


Jururawat di Hospis Malaysia diberikan latihan yang secukupnya.

"BIARLAH saya mati. Tiada gunanya hidup kalau hanya menyusahkan anak-anak. Apa gunanya hidup kalau jadi beban pada semua."

Sepantas kilat, luahan rasa warga emas, Lim Gok Kee, 67, yang juga penghidap barah rektum disambut usapan lembut Faezah Ali, 31, yang membelai rambut Lim sambil mengucapkan kata-kata semangat.

"Kenapa macam ini, auntie. Kita semua mesti hidup gembira. Apa yang penting auntie ada anak, cucu dan menantu yang sayangkan auntie. Saya pun sayangkan auntie yang 'leng' (cantik dalam bahasa Kantonis)," kata Faezah sambil mencubit manja pipi cengkung Lim yang terus tertawa.


Wartawan Berita Minggu dan jurugambar yang turut berada di dalam bilik tidur sebuah rumah di pinggir Kuala Lumpur, ketika mengunjungi Lim, baru-baru ini, turut tersentuh dengan dialog dan aksi bersahaja dua insan ini.

Dua wanita yang hakikatnya berbeza agama, bangsa, latar belakang serta usia tetapi masih mampu berkongsi sedih, tawa, derita dan air mata hasil pertalian unik sebagai pesakit dan jururawat sebuah badan kebajikan, Hospis Malaysia yang memberi tumpuan kepada bidang paliatif atau penjagaan pesakit kronik.

Berbanding jururawat di hospital yang lengkap mengenakan pakaian seragam, jururawat Hospis ini sebaliknya tidak mengenakan sebarang seragam. Mereka menemui pesakit di rumah bagi tujuan pemeriksaan asas seperti tekanan darah, degupan jantung, pengurusan ubat serta paling penting memberi sokongan moral kepada pesakit serta keluarga.

Noridayu memeriksa tekanan darah pesakit di bawah jagaannya.

Ringkasnya, mereka perlu menjadi insan serba boleh - srikandi yang terpaksa menjadi jururawat, doktor, pakar, kaunselor, ahli farmasi dan penyayang pada satu masa serentak.

Lim, anak jati Batu Kikir, Negeri Sembilan, ini mengenali Faezah yang berasal dari Labuan, Sabah, selepas dirinya dirujuk kepada pihak Hospis pada 2007. Penyakit barah serta kencing manis yang dihidapinya itu menyebabkan Lim terpaksa melakukan beberapa pembedahan termasuk melencongkan laluan najisnya ke dalam beg plastik menerusi tebukan di kiri perutnya.

Jika dulu beliau mampu berjalan pantas, tetapi kini Lim, ibu lima anak yang pernah bekerja menjaga wanita bersalin dan tukang jahit ini di kampung asalnya, terpaksa dibantu untuk berjalan. Kebanyakan masa yang ada, dihabiskan dengan berbaring di dalam bilik tidur.

Luahan hatinya termasuk rimas dengan beg plastik yang tergantung di perut, sukar makan dan tidur hinggalah ke juadah yang mahu dimasak untuk Faezah, dikongsi bersama jururawat terlatih itu apabila bertemu dua atau tiga kali seminggu.

Bagi Faezah, Lim bukan sekadar pesakit tetapi seperti saudaranya sendiri.

"Sebagai jururawat Hospis, kami diajar untuk melayan pesakit lebih daripada sekadar menguruskan soal pemeriksaan. Kami diajar untuk menjalin hubungan rapat dengan pesakit dan menyelami perasaan mereka yang mungkin diselubungi kerisauan kerana penyakit dialami.

"Mungkin kerana itu, kami memang rapat dengan pesakit. Kami mahu pesakit meluahkan apa juga perasaan mereka kerana sokongan moral seperti inilah yang amat mereka perlukan," kata ibu dua anak yang bertugas dengan Hospis Malaysia, lebih empat tahun lalu.

Seperti sembilan rakannya lain yang bertugas mengikut kawasan tertentu sekitar Lembah Klang, Faezah diberi tanggungjawab menguruskan pesakit di sekitar kawasan Shah Alam dan Petaling Jaya.

Hubungan akrab itu turut dikongsi bersama penghidap barah payu dara, Siti Hajar Mohd Hassan, 46, dengan seorang lagi jururawat, Noridayu Mohd Rashid, 29.

"Saya amat bertuah kerana dirujuk kepada pihak Hospis, tahun lalu. Sudah banyak bantuan mereka kepada saya seperti layanan mesra, mendidik soal pengurusan ubat selain katil untuk kemudahan diri ini.

"Paling terharu, kehadiran jururawat ini membantu saya mengatasi masalah kudis di belakang badan kerana baring terlalu lama. Masalah itu mungkin kecil bagi kebanyakan orang, tetapi ia satu penderitaan bagi saya," katanya yang disahkan menghidap barah itu pada Julai 2007 dan terpaksa menjalani rawatan kemoterapi sebanyak lapan kali.

Beliau yang terpaksa melepaskan jawatan tinggi di sebuah syarikat, reda dengan ketentuan dihadapinya itu.

"Saya terkilan kerana pada usia ini saya yang sepatutnya membantu menjaga ibu, bukan sebaliknya. Mujurlah saya menerima sokongan moral daripada keluarga dan orang luar seperti jururawat Hospis," kata Siti Hajar yang menangis sambil dipeluk ibunya, Zabedah Ismail, 65 tahun.

Wanita tabah ini turut akur dengan keadaan dirinya dan yakin setiap yang berlaku ada hikmahnya. Paling tidak pun, ia memberi peluang untuk mendekatkan diri dengan anak-anak kesayangan.

"Suka atau tidak, saya perlu menerima hakikat penyakit barah tiada penawarnya ketika ini. Kita boleh menghantar manusia ke angkasa lepas, tetapi ada perkara lain yang sukar diatasi, termasuk soal barah dan penyakit kronik lain. Saya cuma mampu reda dengan ketentuan Ilahi," katanya

Bagi Noridayu, ketabahan pesakit seperti Siti Hajar, menjadi antara alasan beliau meneruskan tugasnya itu selain mendapat sokongan daripada suami tercinta, Marzuki Nanyan, yang cacat penglihatan.

"Air mata sudah menjadi sebahagian tugas kami. Hampir setiap hari kami menangis, tetapi ia lahir daripada hati ikhlas selepas menyelami penderitaan pesakit. Kecekalan hati pesakit itu memberi kepuasan tersendiri kepada kami," katanya.

Misteri tapak kaki 1.5 juta tahun


Oleh Nurul Adlina Kamaludin


Penyelidik, Prof Mathew Bennet menunjukkan kesan tapak kaki di Ileret, Kenya.

Kesan ditemui di utara Kenya dipercayai kedua tertua di dunia

KAWASAN pesisiran Tasik Turkana, Ileret di utara Kenya menjadi tumpuan ramai baru-baru ini berikutan penemuan bersejarah tapak kaki manusia awal dipercayai berusia 1.5 juta tahun yang menyingkap misteri antara fasa terawal evolusi manusia.

Tapak kaki dipercayai milik seorang manusia yang mempunyai ketinggian kira-kira enam kaki itu adalah yang kedua tertua di dunia selepas penemuan sepasang tapak kaki di Tanzania tidak lama dulu yang dikatakan berusia jauh lebih lama iaitu 3.7 juta tahun yang ditemui pada 1978.


Namun demikian, penemuan tapak kaki di Kenya itu menjadi bukti tertua membuktikan manusia prasejarah sebenarnya berjalan menegak atau berdiri.

Biarpun penemuan dua tapak kaki berlainan era ini pada tempoh berbeza, ia mempunyai persamaan iaitu membabitkan kesan yang ditemui pada kedalaman lima meter dalam tanah.

Paling penting, ia menjadi bukti penting yang manusia pada ketika itu sememangnya berjalan menegak dan bukannya membongkok. Ini sekali gus dapat menyanggah Teori Evolusi Charles Darwin yang mendakwa manusia berasal daripada monyet - teori yang biarpun berusia lebih 100 tahun, tetapi masih hangat diperdebatkan kalangan saintis moden sehingga ke hari ini.

Penemuan bersejarah tapak kaki di utara Kenya itu adalah hasil gigih sekumpulan ahli arkeologi antarabangsa daripada Muzium Negara Kenya, Universiti Bournemouth (Britain), Universiti George Washington (Amerika Syarikat), Universiti Rutgers dan Universiti Cape Town di Afrika Selatan.

Kejayaan kumpulan arkeologi itu juga hanya menambahkan lagi bukti kewujudan era prasejarah di bumi Afrika.

Kalangan penyelidik itu menyifatkan penemuan tapak kaki itu membuktikan manusia zaman itu melalui proses evolusi dan menyamai fungsi seperti manusia hari ini.

“Bagi kami, penemuan seperti ini sememangnya amat jarang berlaku dan ia sememangnya amat bernilai bukan saja dari segi arkeologi tetapi juga mendedahkan peradaban awal manusia," kata salah seorang penyelidik, Prof Brian Richmond, ketua saintis dari Universiti George Washington yang menyertai ekspedisi berkenaan.

Tapak kaki itu ditemui di kawasan lapisan mendapan tanah liat di Ileret. Malah tanah liat itu dikatakan menjadi antara sebab tapak kaki itu masih mampu terpelihara dengan elok biarpun sudah berusia lebih sejuta tahun lamanya.

Ia ditemui dan disahkan kumpulan penyelidik itu yang menggunakan kaedah tiga dimensi bagi menganalisis tapak kaki lama serta membandingkannya dengan tapak kaki manusia hari ini.

Permukaan tanah yang dipijak pemilik tapak kaki misteri itu disahkan berusia antara 1.51 hingga 1.53 juta tahun. Berpandukan data ini, kumpulan saintis itu membentuk model cetakan digital tiga dimensi (3D) yang menepati kiraan pecahan bagi setiap milimeter.

Kumpulan saintis itu akhirnya membuat rumusan yang tapak itu berkemungkinan besar milik Homo erectus - satu spesies manusia yang diketahui hidup di utara Kenya pada era prasejarah berkenaan.

Homo erectus atau Homo ergaster ini sememangnya dikenali sebagai manusia pertama yang mempunyai ciri berkaki panjang dan bertangan pendek, sama seperti Homo sapiens atau manusia moden.

Bukti paling ketara kaitan rapatnya tapak kaki milik manusia prasejarah itu dengan manusia moden adalah ibu jari kaki beserta jari kaki lainnya selain mempunyai buku lali serta tulang kaki.

Berikutan itu, mereka percaya tapak kaki awal yang ditemui di Tanzania itu dimiliki spesies manusia dikenali Australopithecus afarensis, spesies awal manusia yang diketuai mendiami kawasan timur Afrika kira-kira tiga hingga lima juta tahun dulu.

Hasil analisis saintifik saintis yang menggunakan teknologi imejan 3D dan butiran saintifik lain, membuktikan perbezaan tapak kaki di Kenya dengan yang ditemui di Tanzania.

Apa yang pasti, penemuan terbaru di Kenya itu membuktikan manusia awal sememangnya tidak jauh bezanya dengan manusia hari ini dan ia pasti menjadi antara bukti penting bagi menyanggah teori Darwin yang mengaitkan manusia dengan binatang.

Ia juga membuktikan, kemajuan teknologi hari ini bukan setakat mampu mengesan lokasi fosil penting manusia lama, tetapi dapat memberi butiran seperti usia serta peradaban ketika itu. Paling penting, ia mendedahkan satu lagi bukti bagi menyingkap satu demi satu misteri peradaban manusia terawal dunia.

INFO: Sejarah penemuan tapak kaki

  • 2009 - Tapak kaki manusia 1.5 juta tahun di Kenya
  • 2008 - Tapak kaki haiwan 570 juta tahun dipercayai tertua di dunia, di Nevada, Amerika Syarikat.
  • 2007 - Tapak kaki manusia 2 juta tahun di gurun di barat Mesir
  • 1978 - Tapak kaki 3.7 juta tahun ditemui di Tanzania

Kemaruk ubat kuat


Oleh Nurul Adlina Kamaludin




Lelaki Malaysia tidak sedar bahana ubat kuat

"GAGAH, besar dan perkasa. Sekali kena, mesti nak lagi." Ini bukanlah iklan bangunan mercu tanda, projek bernilai berjuta-juta ringgit atau makanan kesihatan sebaliknya kata-kata tarikan iklan ubat atau produk perangsang tenaga batin bagi lelaki.

Ubat yang sebaliknya menjerat dan mengundang padah lebih besar - semakin ramai lelaki negara ini kemaruk ubat kuat, seperti diakui pakar perubatan.


Katakan saja di mana, baik di kaki lima, di muka pintu, di corong radio, televisyen, warung kopi di kampung, pasar gelap serta di internet, semuanya sudah mampu dibolosi iklan produk seperti pil, kapsul, minuman didakwa mengandungi Tongkat Ali, serbuk, minyak sapu dan krim. Iklan dari mulut ke mulut pula lazimnya membabitkan rawatan tradisional seperti urut, susuk dan memasukkan bebola besi pada kulit zakar itu atas alasan menjadikannya kuat.

Ketika kita tersenyum lebar mendengar iklan kopi yang namanya menggambarkan kejantanan, tidak ramai yang menyedari padah akibat 'penaklukan' ubat kuat yang berlambak di pasaran ini. Padah yang menunjukkan semakin ramai lelaki termasuk intelektual serta yang masih bergelar penuntut universiti sanggup berbelanja bagi memastikan kekuatan tenaga batin biarpun ada produk yang berisiko menjejaskan kesihatan, termasuk menyebabkan mereka mengalami mati pucuk atau Disfungsi Erektil (ED).

Data Kementerian Kesihatan menunjukkan rakyat negara ini membelanjakan kira-kira RM27 juta untuk membeli ubat perangsang seks seperti Viagra dalam tempoh Mac 2007 hingga Mac 2008.

SEBAHAGIAN produk atau ubat kuat yang dirampas pihak berkuasa. Kawasan kaki lima turut jadi tumpuan peniaga produk ini.

Malah, ini menjadi antara faktor semakin banyak syarikat pengeluar makanan dan minuman berlumba-lumba menghasilkan produk didakwa mengandungi herba penguat tenaga batin itu selain kebanjiran produk dari India, Indonesia dan China termasuk yang diharamkan.

Namun, sejurus diharamkan, sepantas kilat ia dengan mudahnya dijual di pasaran gelap menerusi ejen atau 'kaki' yang tanpa segan silu mengiklankannya menerusi internet. Pengaruh ubat kuat ini bukan lagi soal tepuk dada tanya selera, tetapi sebegitu mudah diperoleh menerusi sentuhan di hujung jari mendail nombor telefon terpampang di kaki lima hinggalah di internet.

Selamat atau tidak produk itu, haram atau halal, mahal atau murah serta sakit atau tidak kaedahnya bukan lagi keutamaan lelaki ini yang mengutamakan nafsu daripada segala-galanya.

Persoalannya, mengapakah lelaki tempatan sebegitu kemaruk dengan produk ini? Pakar Perubatan Sakit Tuan, Dr Ismail Tambi, mengakui sikap kemaruk itu bukan saja dihidapi mereka sudah berusia yang lebih sinonim dengan masalah mati pucuk, sebaliknya lebih membimbangkan apabila ia turut membabitkan lelaki muda, termasuk remaja.

HERBA tradisional didakwa boleh menguatkan tenaga batin.

"Semakin ramai lelaki sebegitu kemaruk dengan apa saja produk penguat tenaga batin. Inilah hakikat berdasarkan pengalaman saya sejak bertahun-tahun lamanya mengendalikan kes ini yang bukannya semakin berkurangan tetapi meningkat.

"Mereka ini sanggup berbuat apa saja demi kepuasan diri. Hubungan kelamin bukan lagi rahsia suami isteri, sebaliknya menjadi lambang kebanggaan kekuatan atau kuasa si lelaki. Ini diburukkan lagi dengan kegiatan seks rambang pasangan belum berkahwin dan turut berlumba-lumba mendapatkan produk ini," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Apa menyedihkan, kata Dr Ismail, beliau merawat pesakit yang pada akhirnya berdepan masalah mati pucuk akibat tindakan mengambil produk ubat kuat ini.

"Produk ini pula ada yang bukannya buatan tempatan, sebaliknya dibawa masuk dari negara jiran. Produk diharamkan di Indonesia, China dan India ini turut mendapat sambutan hangat di pasaran tempatan. Malah, saya sendiri terpaksa membuat laporan polis apabila ada pihak tidak bertanggungjawab menggunakan nama saya untuk mengiktiraf produk tertentu."

Dr Ismail berkata, beliau tidak segan mendedahkan masalah ini kerana menyedari tanggungjawabnya menyampaikan bahaya akibat pengambilan ubat kuat ini.

"Mereka mengambilnya tanpa mengira risiko kesihatan. Saya yakin tidak ramai menyedari bahana pengambilan produk ini. Anak muda yang mengambilnya boleh berdepan risiko mati pucuk walaupun pada usia 20-an. Malah ada satu kes itu, mangsa mengalami ereksi selama dua hari dan selepas itu alat sulitnya tidak berfungsi langsung. Bayangkan apa akan jadi pada generasi kita yang berdepan masalah seperti kesukaran mendapat anak akibat tindak tanduk sendiri."

Katanya, tidak kurang yang sanggup menderita apabila memilih memasukkan bebola besi yang menyakitkan ke dalam kulit zakar lelaki.

"Bagi mereka, kekuatan tenaga batin menjadi kunci kebahagiaan. Kaedah tradisional seperti susuk dan bebola besi ini memang menyakitkan bukan saja kepada lelaki itu tetapi isterinya juga. Tetapi beliau tidak peduli kerana apa yang penting, nafsu dirinya diutamakan.

"Banyak kes yang dirujuk kepada saya membabitkan masalah yang mana kulit zakar lelaki itu rosak. Sakit memang sakit, tetapi lelaki jenis ini sanggup menderita. Ini yang menyedihkan kita," katanya.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Muhammad Shaani Abdullah, menyalahkan sikap pengguna yang terlalu mengutamakan produk penguat tenaga batin ini sebagai punca barangan itu berlambak di pasaran.

"Ramai pengguna tidak sedar mereka sebenarnya terpedaya dengan pelbagai dakwaan palsu syarikat pengeluar produk herba dan ubat kuat yang mahu melariskan jualan mereka. Berapa ramaikah pengguna bertanyakan apakah produk itu benar-benar mengandungi bahan Tongkat Ali dan Kacip Fatimah seperti diakui pada label produk itu?

"Apakah produk dan syarikat itu boleh dipercayai dan benarkah ia mampu memberi hasil seperti didakwa? Jawapannya, tiada siapa pun boleh memberi jaminan keaslian mahu pun kemujaraban produk itu. Akhirnya, pengguna menjadi mangsa ketika pengeluar mencatat keuntungan berlipat ganda di atas produk yang tidak mengandungi sebarang keajaiban itu," katanya.

Shaani yang berpengalaman luas dalam bidang penghasilan produk herba sebelum menyertai Fomca berkata, berdasarkan pengalamannya sendiri, tidak banyak produk di pasaran yang mengandungi bahan didakwa penguat tenaga batin itu.

"Permintaan terhadap Tongkat Ali memang besar. Tetapi pengeluarannya dalam negara ini juga amat terhad dan tidak mungkin dapat memenuhi permintaan tinggi. Berikutan itu, tidak mungkin ada syarikat yang boleh mencampurkan kandungan tinggi Tongkat Ali dalam produk mereka. Saya berani jamin," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya peka dan mengutamakan hak sebagai pengguna apabila membuat pilihan bagi mana-mana produk, terutama yang membabitkan makanan.

Tiada kajian saintifik kandungan herba kuat

SEJAUH manakah produk ubat kuat ini benar-benar mengandungi bahan perangsang seks seperti herba popular Tongkat Ali?

Hakikat ini sukar dibuktikan berikutan tiada satu kajian saintifik yang benar-benar menyeluruh mengenai kebenaran dakwaan itu atau pun kaedah penyediaan serta cara ekstrak bahan itu diperoleh.

Mengikut kajian saintifik, setiap pengambilan kopi didakwa mengandungi Tongkat Ali perlu mengandungi sekurang-kurangnya 1 mg ekstrak herba itu dan daripada kandungan itu, hanya lima peratus ekstrak dapat diserap oleh badan.

Namun, kenyataan dua institusi penyelidikan tempatan sebelum ini sedikit sebanyak boleh memberi gambaran persoalan ini.

Kajian Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) membabitkan 10 jenama kopi Tongkat Ali popular di pasaran pada 2007, mendapati tujuh daripadanya mengandungi hanya 0.25 peratus hingga 1.6 peratus ekstrak herba itu yang didakwa tidak cukup untuk memberi manfaat kesihatan atau faedah seperti digembar gemburkan.

Penyelidikan itu mendapati kandungan bahan aktif herba itu di dalam minuman berkenaan pula hanya antara 0.0039 peratus hingga 0.0246 peratus atau 7.8 nanogram (ng) hingga 49.3ng, jauh daripada paras yang dapat memberi manfaat kesihatan.

Manusia normal yang berhasrat memperoleh khasiat herba itu perlu mengambil sekurang-kurangnya satu miligram (mg) bahan aktif Tongkat Ali bagi setiap kilogram (kg) berat badannya atau tidak lebih 3 mg bagi setiap kg berat badan, sehari. Atau lebih tepat lagi, individu yang mempunyai berat badan 80kg memerlukan minimum 80 mg ekstrak herba itu sehari jika mahu memperoleh faedah herba itu.

Satu lagi kenyataan memetik institusi penyelidikan, Loji Pandu Kejuruteraan Kimia (CEPP) Universiti Teknologi Malaysia yang mendakwa pengambilan kopi kuat yang mengandungi kurang 0.05 mg bahan aktif Tongkat Ali atau Kacip Fatimah, tidak mendatangkan kesan dari sudut kesihatan.

Malah jika benar mengandungi ekstrak Tongkat Ali, kopi yang diminum berasa pahit. Ada yang meminumnya mengakui lebih bertenaga tanpa menyedari ia disebabkan kandungan gula yang tinggi dalam paket dan boleh mendedahkan mereka kepada masalah kesihatan lain seperti kencing manis jika diambil berterusan dalam tempoh beberapa tahun.

INFO: Ubat kuat

  • Data Kementerian Kesihatan menunjukkan rakyat negara ini membelanjakan kira-kira RM27 juta untuk membeli ubat perangsang seks seperti Viagra dalam tempoh Mac 2007 hingga Mac 2008. Selain Viagra, ubat perangsang seks paling laris adalah Cialis dan Levitra.

  • Bagi tempoh Januari hingga Jun tahun lalu, RM1.4 juta ubat perangsang seks berjaya dirampas dan Selangor mencatat nilai rampasan tertinggi iaitu RM1.1 juta.

  • Sekurang-kurangnya 90 ubat tradisional penguat tenaga lelaki dan wanita, makanan tambahan dan kosmetik keluaran syarikat di Indonesia dilabelkan kerajaan negara itu tidak selamat.

  • Antara kes padah ubat kuat termasuk seorang lelaki Singapura maut akibat pengambilan ubat kuat 'Urat Madu' ketika melanggan pelacur di Batam, awal tahun ini. Pada 2007, tiga lelaki dari Pulau Pinang yang membeli ubat kononnya dihasilkan daripada zakar buaya di Chow Kit pada harga RM50 bagi 20 kapsul. Seorang daripada mangsa mendakwa mengalami kebas dan kejang badan selepas memakan dua kapsul sebelum melakukan hubungan intim dengan isterinya. Alat kelaminnya juga gagal berfungsi menyebabkannya terpaksa merujuk nasihat pakar. Seorang lagi terpaksa dirawat di hospital selama dua hari selepas memakan ubat itu

Buluh madu berkualiti jadi tanaman komersial


Oleh Mohd Rifaat Abd Hamid


AHMAD melihat pekerjanya, Baharom Hamid mencungkil tunas buluh madu untuk dijadikan semaian.

BULUH adalah antara tumbuh-tumbuhan yang dicipta mempunyai 1001 guna. Sejak zaman awal kehidupan manusia, buluh digunakan secara meluas dalam kehidupan seharian.

Sebagai contoh, masyarakat kuno sebelum terciptanya peralatan logam menggunakan buluh sebagai senjata tajam seperti tombak untuk melawan musuh, selain sembilu yang tajam turut digunakan untuk memotong sesuatu seperti pisau. Bentuk fizikal buluh yang beruas dan berlubang di dalamnya turut membolehkan ia digunakan untuk memasak nasi atau lemang.

Ia juga dijadikan bahan binaan utama untuk membuat kediaman masyarakat dulu kala dan kini ia masih digunakan Orang Asli, sama ada tiang, lantai, dinding dan alang bumbung. Bagi pengangkutan pula, beberapa batang buluh yang diikat boleh dijadikan rakit oleh penduduk yang tinggal di pinggir sungai atau laut.


Buluh juga digunakan dalam sektor pembuatan kraf tangan yang kini semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat, walaupun pada zaman moden ini menyaksikan pelbagai bahan baru dicipta.

Namun, peredaran masa, kemajuan dan perkembangan teknologi yang pesat menyebabkan buluh semakin terpinggir dan di sesetengah kawasan ia agak sukar ditemui kerana pupus.

Di negara ini, buluh terdiri daripada pelbagai jenis dan ia berbeza mengikut saiz dan ketebalan mahupun warna kerana ada di antaranya yang hijau dan ada yang kuning.

Kebanyakan generasi muda kini tidak mengetahui buluh sebenarnya menjadi sumber makanan penting, iaitu rebungnya atau anak buluh yang masih muda.

Rebung buluh adalah sayuran yang kaya dengan pelbagai nutrien, termasuk iaitu vitamin B, vitamin C, protein, serat dan karbohidrat.

Bagi seorang penduduk Kampung Perik, Kuala Nerang di Kedah, Ahmad Daud, 66, beliau menjadikan buluh sebagai tanaman komersial yang menjadi sumber pendapatan di atas tanahnya seluas sehektar.

Namun buluh yang ditanam bukan jenis yang biasa ditemui di hutan, sebaliknya buluh madu yang saiznya lebih kecil dan dikatakan berasal dari Thailand.

Tidak dapat dipastikan kenapa ia dipanggil buluh madu kerana rebungnya tidak berasa manis.

Ahmad mengusahakan tanaman buluh madu untuk mendapatkan rebungnya yang dikatakan berkualiti tinggi dan enak jika dimasak sama ada secara segar atau dijeruk terlebih dulu.

Beliau memulakan usaha itu di atas tanah seluas 0.5 hektar, dua tahun lalu tetapi apabila mendapati permintaan amat menggalakkan Ahmad menambah keluasannya kepada satu hektar.

"Buluh madu tidak memerlukan penjagaan rapi dan boleh mengeluarkan hasil selepas empat hingga lapan bulan ditanam.

"Rebungnya juga mudah tumbuh menyebabkan ia amat sesuai ditanam untuk menghasilkan makanan," katanya yang keberatan untuk mendedahkan pendapatan daripada hasil jualan rebungnya itu.

Namun beliau menyifatkan usahanya itu berbaloi dan menguntungkan.

Ahmad akan menebang rebung yang setinggi hampir satu meter selang sehari dan ia akan dijual secara segar atau dijeruk terlebih dulu.

"Rebung mentah atau jeruk dijual dengan harga RM4 sekilogram dan setiap minggu saya mampu membekalkan antara 120 hingga 150 kilogram rebung kepada peraih.

"Selain dari Alor Setar, ada juga tempahan saya terima dari Perak, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur dan setakat ini bekalan tidak mencukupi," katanya.

Beliau berkata, untuk memastikan rebung masih muda dan boleh dimakan ia boleh dihiris dengan pisau seperti kita memotong sayur dan jika sudah tua pula ia agak sukar dihiris.

Ahmad yang terpaksa bertongkat selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya tidak lama dulu tidak sendirian dalam usahanya itu kerana dia dibantu isterinya, Indah Irinaningsih.

Katanya, selain rebung, beliau turut menjual anak pokok buluh madu yang siap disemai di dalam `poli beg' untuk ditanam sebagai penyeri lanskap.

INFO

Buluh


  • Tergolong dalam spesies `Gramineae' iaitu sekeluarga dengan jenis rumput termasuklah rumput-rampai, padi, jagung dan tebu.

  • Di Malaysia taburan buluh biasanya boleh didapati di kawasan ketinggian kurang 1000 meter dari paras laut.

  • Buluh hidup subur di kawasan yang mempunyai saliran yang baik khususnya yang mempunyai keasidan pada tahap pH5.0-6.5.

  • Pokok buluh yang mengeluarkan bunga adalah tanda ia akan mati.

  • Rebung hanya diambil di bahagian yang masih lembut dan kulit arinya dibuang.

  • Rebung dijeruk menggunakan air yang dicampur garam dan tanpa bahan pengawet kerana ia boleh disimpan beberapa bulan.
  • Padi Hybrid berkualiti


    Oleh Fazallah Pit


    PADI Hybrid dijangka ditanam secara meluas di seluruh negara bagi menggantikan benih sedia ada tidak lama lagi.

    Penanaman benih tahan penyakit secara meluas mampu tingkatkan pengeluaran ke tahap optimum

    KEPALA BATAS: Padi Hybrid, sejenis benih padi yang digunakan secara meluas di China sejak pertengahan 70-an dijangka meningkatkan pendapatan petani di negara ini, tidak lama lagi.

    Ini kerana padi itu yang diuji Unit Penyelidikan Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (Mardi) selama tiga tahun di Perlis, dikenal pasti sebagai benih yang berpotensi.


    Pegawai Penyelidik Mardi, Dr Othman Omar, berkata sepanjang tempoh ujian, benih padi ditanam secara plot untuk diuji keberkesanan dan kualitinya yang menunjukkan hasil memberangsangkan.

    Daripada beberapa benih padi Hybrid, Mardi mendapati dua daripadanya amat sesuai ditanam di Malaysia iaitu Hz1 dan Hs9 bagi menggantikan padi MR219 dan MR220.

    Kedua-dua benih padi Hybrid yang genetiknya mempunyai ketahanan tinggi, diyakini sesuai dengan keadaan dan kesuburan tanah di negara ini.

    PADI Hybrid mampu meningkat pengeluran hasil sawah.

    Katanya, MR219 dan MR220 yang digunakan sejak 15 tahun lalu didapati mempunyai daya tahan melawan penyakit yang semakin lemah dan hasil pengeluarannya agak terhad.

    "Ini berbeza dengan padi Hybrid yang memiliki ketahanan penyakit yang tinggi termasuk melawan penyakit karah yang kerap menjadi punca pengeluaran padi tidak maksimum," katanya ketika ditemui di sini.

    Dr Othman berkata, kajian yang dijalankan sejak 2006 mendapati pengeluaran padi Hybrid bagi sehektar melebihi 1.5 hingga dua tan bagi keluasan sama berbanding padi biasa.

    Ia berikutan saiz biji padinya lebih besar dan penuh di setiap urat tangkai yang lebih banyak bilangannya dan tidak mudah patah, berbanding padi biasa.

    PADI Hybrid bakal menggantikan MR219 dan MR220 pada masa depan.

    “Masalah padi hampa juga jauh berkurangan berbanding padi biasa. Pendek kata, penghasilan biji padi di tahap optimum," katanya.

    Sementara itu, Pengurus Projek Puncak Kaji Sdn Bhd, Abdul Karim Yahaya, pemilik hak paten benih padi Hybird, berkata pengeluaran padi sebelum ini kira-kira 4.5 tan semusim dijangka bertambah hampir sekali ganda dengan benih padi baru.

    Beliau juga yakin Malaysia mungkin tidak lagi perlu mengimport beras pada masa depan apabila penanaman padi Hybrid dijalankan secara lebih meluas.

    "Apabila sekurang-kurangnya lebih 30 peratus petani tempatan menanam padi Hybrid, pengeluaran padi dijangka mencukupi untuk keperluan negara," katanya.

    Syarikat itu sudah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Mardi kira-kira dua bulan lalu untuk membekalkan benih padi kepada petani.

    Seorang petani, Sabri Saad, 45, dari Pinang Tunggal di sini, yang mengerjakan sawah selama 15 tahun, menganggap pengeluaran padi Hybrid ada banyak kelebihan.

    Dia yang dipilih Mardi untuk melaksanakan penanaman padi itu mendapati tempoh penuaian singkat iaitu kurang 100 hari berbanding 125 hari, selain tahan penyakit.

    "Hasil padi juga lebih banyak. Dulu serelung hanya dapat 3,600 kilogram (kg) tetapi dengan padi Hybrid, penghasilannya lebih 4,000 kg walaupun menggunakan baja sama," katanya.

    02 Mac 2009

    Sebuah kisah bahasa Melayu


    "Kenapa mutu bahasa Melayu di sini agak lemah? Susah bagi saya untuk bercakap bahasa Melayu sebab banyak orang cakap bahasa Melayu campur Inggeris. Siaran TV3 yang saya terima di Seoul pun susah saya hendak faham sebab tidak ada dalam bahasa Melayu yang saya belajar di Universiti Malaya dulu." Demikian rungut seorang teman, Profesor Koh dari Korea Selatan lebih kurang dua tahun lalu ketika kami bertemu di Kuala Lumpur.

    Saya mula mengenali Koh semasa beliau menyiapkan pengajian peringkat Ph.D di Universiti Malaya tahun 1986 dulu. Ketika berjumpa sejak dulu lagi Koh akan bercakap dalam bahasa Melayu yang sangat baik, jauh lebih baik daripada saya sendiri. Beliau selalu menegur saya apabila tersasul menggunakan bahasa Inggeris padahal ada maksud dalam bahasa Melayu. Koh kini adalah profesor di Jabatan Pengajian Bahasa Indonesia, Universiti Hankuk di Seoul.

    Pertanyaan beliau yang sangat jujur itu sebenarnya membuatkan saya terperangkap. Seorang yang bukan rakyat negara ini begitu mengambil berat tentang bahasa kebangsaan negara kita. Disebabkan beliau belajar bahasa Melayu maka beliau menjangka boleh mudah berhubung dalam bahasa Melayu dengan orang di negara ini. Tetapi yang berlaku kepada beliau adalah sebaliknya.

    Katanya di universiti tempat beliau bertugas, mereka mendapat siaran TV3 menerusi satelit. Tujuannya untuk membantu pelajar-pelajar beliau menguasai bahasa Melayu menerusi sebuah stesen televisyen dari Malaysia. Beliau begitu berminat untuk mengetahui apakah yang membuatkan penggunaan bahasa Melayu lemah di negara ini sedangkan beliau boleh membentangkan kertas kerja dalam bahasa Melayu yang baru dipelajari dengan baik?

    Saya percaya Koh tidak memahami cara orang kita membangunkan negara. Saya dengan berat hati memberitahu beliau bahawa Malaysia mahu menjadi negara maju pada tahun 2020 dan bahasa Melayu tidak boleh menjadi pemangkin kemajuan yang diharapkan. Tetapi saya tegaskan juga bahawa ini bukanlah kenyataan saya tetapi kenyataan demi kenyataan yang saya kutip daripada sekian banyak pemimpin. Kenyataan siapa kita hendak dengar kalau bukan pemimpin?

    Koh datang dari sebuah negara yang jauh lebih maju daripada negara ini dalam bidang teknologi dan industri. Sejak kecil mereka ditekankan bahawa bahasa kebangsaan yakni bahasa Korea adalah pemangkin dalam bidang teknologi.

    Di Korea Selatan, bahasa Korea digunakan dalam semua sektor; pendidikan, industri, teknologi malah perundangan. Korea Selatan juga mempergiatkan usaha menterjemah buku-buku asing dalam semua bidang dalam bahasa Korea dan hasilnya bahasa Korea boleh menjadi bahasa ilmu dalam semua bidang.

    Barangkali orang Korea agak kolot berbanding kita kerana tidak mengiktiraf bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu. Tetapi Koh dan generasi sebelum dan selepasnya telah membuktikan Korea Selatan memacu kejayaan dalam bidang teknologi. Malah mereka patriotik, lihatlah nama kereta keluaran Korea Selatan semuanya diangkat daripada istilah Korea.

    Kepada Koh saya memanjangkan kenyataan demi kenyataan pemimpin-pemimpin kita bahawa bahasa Melayu akan memundurkan negara ini. Siapa lagi saya hendak percaya dan yakin kalau bukan pemimpin kita sendiri? Moga-moga dengan memartabatkan bahasa Inggeris kita boleh menjadi negara maju mengatasi Korea Selatan atau Jepun. Apa salahnya kita korbankan bahasa ibunda? Kalau salah tentulah sejak dulu lagi semua peringkat mempertahankan bahasa Melayu.