Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

27 April 2009

Penulisan puisi ulama Asia Tenggara



Halaman pertama manuskrip Kitab Tafsir Puisi Hamzah Fansuri.


PADA ruangan yang lepas telah dibicarakan sebahagian ulama yang berperanan dalam penulisan puisi di Asia Tenggara, yang diambil kira pada abad ke-16, 17, 18 dan 19.

Sebahagian ulama pada abad ke-19 yang berperanan dalam penulisan ini yang telah dibicarakan ialah:

-Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani,
-Sheikh Muhammad Zainuddin al-Sumbawi,
-Sheikh Ismail bin Abdul Mutalib al-Asyi (Aceh),
-Sheikh Muhammad Azhari bin Abdullah al-Falimbani
-Sheikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga (Riau)
-Sheikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani (Pontianak).

Selanjutnya akan dibicarakan pula ulama selebihnya, iaitu Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin al-Minkabawi, Haji Muhammad Husein bin Abdul Latif al-Fathani, Haji Abdur Rauf Melaka, Sheikh Muhammad Shalih al-Fathani dan Raja Haji Muhammad Sa'id Riau.

Maklumat mengenai ulama-ulama tersebut dalam penulisan puisi akan dibicarakan dengan ringkas seperti yang berikut:

Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin al- Minankabawi

Beliau merupakan murid Sheikh Ahmad al-Fathani sewaktu belajar di Mesir. Sheikh Ahmad al-Fathani pernah memberi dua tugas kepadanya. Pertama, menyemak beberapa kitab Melayu/Jawi yang akan dicetak di Mesir. Kedua, mengetuai kerabat Diraja Riau yang belajar di Mesir, sekali gus sebagai wakil Sheikh Ismail bin Abdul Mutalib al-Minankabawi.

Puisi Sheikh Tahir Jalaluddin Minangkabau hanya dijumpai pada halaman akhir kitab Al-Manhaj al-Masyru', karya gurunya Sheikh Ahmad Khatib Minangkabau. Di bawah ini penulis muatkan contoh permulaan sebahagiannya, iaitu:

Yaqulu Muhammad Tahir orang namakan
Ke negeri Cangking orang nisbahkan
Wahai saudara sekalian tuan
Nasihat guru hendaklah dengarkan
Wahai saudara orang beriman
Jikalau bercinta syurga Adnan
Hendaklah ikut sepanjang yang kenyataan

Di Manhaj al-Masyru' guru namakan
Sebab dalamnya guru nyatakan
Syari'at Nabi guru terangkan
Sepanjang yang mazkur hendaklah amalkan
Mudah-mudahan neraka jahanam Allah jauhkan
Hendaklah fikirkan segala tolan
Dikasikan tirkah kepada kemanakan

Puisi tersebut ditransliterasi daripada tulisan Sheikh Tahir Jalaluddin Minangkabau pada halaman akhir kitab Al-Manhaj al-Masyru' karya Sheikh Ahmad Khatib Minangkabau, cetakan tahun 1311 H, Matba'ah Maimuniyah, Mesir.

Haji Muhammad Husein bin Abdul Latif al-Fathani

Ulama dan tokoh ini lebih dikenali dengan panggilan Tok Kelaba. Mendapat pendidikan awal di Pondok Bendang Daya Patani dan belajar daripada Sheikh Abdur Qadir bin Mustafa al-Fathani.

Kemudian ke Mekah dan menjadi kader Sheikh Ahmad al-Fathani. Beliau banyak menghasilkan karya dalam bahasa Arab dan Melayu. Selain menghasilkan karya yang banyak, beliau adalah tokoh dunia Melayu yang paling banyak menghasilkan salinan manuskrip.

Khusus mengenai penyalinan manuskrip dua tokoh yang bersaing banyak membuat salinan, seorang lagi ialah Tuan Guru Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf Terengganu.

Kedua-dua tokoh ini pernah penulis bicarakan dalam ruangan ini, juga turut dimuatkan dalam Jurnal Filologi Melayu, jilid 2 (1993), terbitan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).

Bahkan puisi-puisi Tok Kelaba juga dimuatkan dalam jurnal tersebut. Selama ini puisi-puisi tersebut adalah dalam bentuk manuskrip. Setelah jurnal itu diterbitkan, penulis telah menemukan pula beberapa banyak puisi Tok Kelaba.

Oleh itu, penulis simpulkan bahawa pada zamannya, Tok Kelaba adalah ulama dan tokoh orang kedua yang terbanyak menghasilkan puisi sesudah Sheikh Ahmad al-Fathani.

Kopi ramuan habbatus sawda

'

Aroma kopi sawda’ mampu memberi kepuasan kepada setiap penggemar minuman ini.




PENGGEMAR minuman kafein pastinya akan tergoda dengan keharuman aroma kopi yang mampu membuatkan hari mereka sentiasa segar dan cergas.

Kenikmatan itu terus menjadi pilihan penggemar kopi kerana kebanyakan produk yang berada di pasaran mempunyai resipi kesihatan tersendiri.

Sebuah syarikat pemasaran tempatan, Corpora Corporation Sdn. Bhd. juga tidak mahu ketinggalan menyertai kerancakan bisnes minuman berasaskan kopi dengan memperkenalkan produk kopi habbatus sawda'. Ia merupakan sejenis minuman yang dicampur dengan tumbuhan herba.

Idea untuk menggunakan ramuan itu apabila mereka kajian menunjukkan habbatus sawda' mengandungi fostat, ion, karbohidrat dan antibiotik.

Kopi itu juga ditambah dengan beberapa jenis herba dan bahan lain seperti ubi jaga, tongkat Ali, gingko biloba, krimer dan gula halus.

Meskipun baru beroperasi selama dua tahun, syarikat Corpora Corporation Sdn. Bhd. cukup menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Ini kerana pada tahun pertama bisnes itu, kopi sawda' mampu meraih jualan antara 30,000 hingga 40,000 unit kopi setiap bulan.


KOPI Sawda mengandungi pelbagai jenis herba dan ramuan terbaik.



PENGARAH Syarikat Corpora Corporation Sdn. Bhd. Mohd Hasyim Ngadiman.


"Angka itu cukup membanggakan walaupun pengguna mempunyai pelbagai pilihan jenis kopi yang lain, namun kemasukan produk kami turut mendapat perhatian.

"Selain menjual dalam bentuk kotak yang mengandungi 15 paket, kami juga menjualnya secara papan khusus untuk edaran di kedai-kedai makanan," jelas pengarah urusannya, Mohd. Hasyim Ngadiman baru-baru ini.

Menurutnya lagi, kopi sawda' bukan saja mengandungi khasiat herba habbatus sawda', malah ia juga dikisar bersama tongkat Ali yang terkenal sebagai raja herba.

Sementara itu, penggemar minuman kopi juga tidak perlu risau dengan status halal produk kopi sawda'. Ia dikilangkan di bawah Mais Food Industries Sdn. Bhd. (Mais Food) yang dikelolakan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Terbaru, syarikat tersebut mengeluarkan produk lain yang berunsurkan produk kesihatan iaitu colostrum bioactive plus dan kapsul sawda.

Hidup poyang terakhir


Kehebatan bomoh Orang Asli diakui doktor moden.


TOK ULANG cuma mahu dipanggil 'doktor kampung'.





SEBUT sahaja nama Jalan Gombak Lama, mungkin kebanyakan kita segera mengaitkan laluan itu dengan Muzium Orang Asli. Juga jalan itu menempatkan ibu pejabat Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dan pelbagai agensi di bawahnya.

Namun, laluan tersebut yang suatu ketika dahulu menjadi penghubung utama antara negeri Selangor dan Pahang turut terkenal dengan kewujudan perkampungan Orang Asli suku Temuan.

Uniknya, kawasan tempat tinggal mereka itu biarpun agak tersorok di sebalik rimbunan aneka pokok hutan tetapi mudah dicari. Ini kerana ia terletak bersebelahan dengan sebuah pusat penyelidikan biologi kendalian Universiti Malaya (UM).

“Kawasan ini masih baru diteroka. Generasi awal kami menduduki tempat ini hanya untuk membina Jalan Gombak-Bentong lebih separuh abad lalu,” jelas Mohamad Ulang, 60, membuka bicara.

Penampilan Tok Batin ini cukup sederhana. Rumah kampungnya yang dibina di hujung jalan mati di Batu 16, Hulu Gombak tidak menggambarkan jawatannya.

Bagaimanapun, beliau yang selesa membahasakan diri sebagai Tok Ulang boleh dianggap sebagai ensiklopedia hidup. Ramai penyelidik universiti datang menemuinya untuk mendokumentasi sejarah suku Orang Asli yang penuh misteri itu.

Tok Ulang malah menjadi sumber rujukan pakar asing untuk mendalami mistik dunia perubatan komuniti pribumi itu yang dikenali sebagai poyang. Poyang menyamai fungsi bomoh, pawang atau dukun dalam masyarakat Melayu tradisional.

“Secara jujur saya tidak mahu dipanggil poyang. Poyang sebenar hanya ada dalam generasi lama Orang Asli. Poyang yang pernah saya jumpa pun sudah lama tiada. Panggil saja saya ‘doktor kampung’,” tambah beliau merendah diri.

Pada umumnya poyang dianggap ketua untuk beberapa orang bomoh bertaraf amatur di bawahnya. Mereka terkenal cukup lasak sehingga sebahagian besar mereka diambil menyertai pasukan Senoi Praaq ketika zaman sebelum Merdeka.

Kehebatan unit separa tentera di bawah pasukan polis hutan itu diakui pihak penjajah sebagai sangat cekap memburu pengganas Komunis. Bayangkan mereka mampu menghidu kehadiran musuh dari jarak jauh manakala kesetiaan mereka tidak diragui.

“Mungkin sebab itu moyang saya diminta membina jalan raya dari Gombak ke Bentong yang penuh dengan jerangkap samar yang ditabur Komunis. Waktu itu Pahang dan Selangor cuma dihubungkan melalui Sungai Sempah yang bersambung dengan Sungai Gombak,” imbau beliau.

Tok Ulang bahkan masih teringat peristiwa datuknya berakit sehingga ke Bukit Nanas di Kuala Lumpur untuk membawa alat pembinaan. Di situ terdapat sebuah jeti kecil dekat Menara Berkembar Petronas hari ini sebagai pusat jualan barang basah dan bijih timah.

‘Saya baca sedikit ayat al-Quran’

Namun semasa kemuncak darurat, mereka ditempatkan di Bukit Legong, Kepong yang kini menjadi tapak Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM). Di sana Tok Ulang belajar dunia perubatan Orang Asli terus daripada datuknya.

Hakikatnya, ujar Tok Ulang, masyarakat Orang Asli merawat penyakit dengan bergantung sepenuhnya kepada hutan. Ubat mereka ialah akar dan daun kayu yang direbus sebelum diminum atau disapu di badan. Proses sampingan ialah membaca mantera.

“Itu dulu tapi sekarang saya baca sedikit ayat al-Quran dan berdoa kepada Allah agar pesakit diberi peluang hidup lama. Jika kanak-kanak, saya mohon Tuhan memberi belas ihsan supaya budak itu dijauhi daripada angkara iblis syaitan,” katanya.

Bagaimanapun, tambah Tok Ulang, mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Bagi Orang Asli, mereka banyak pantang larang ketika memasuki hutan dan percaya tentang gangguan makhluk halus di tempat tertentu seperti air terjun dan pokok besar.

Jika punca penyakit didapati dari kawasan tertentu, bomoh akan pergi semula ke situ dan meminta semangat di tempat tersebut dipulangkan kepada pesakit. Lazimnya kemenyan diasap kerana ia dipercayai mengandungi makanan roh untuk makhluk halus.

“Itu untuk kes yang serius tetapi bagi yang biasa, saya cuma guna akar kayu. Misalnya saya sendiri pernah cedera di kaki dan hampir lumpuh. Ubatnya ialah rebusan akar pokok teja dan ia memang mujarab untuk menghilangkan bisa dalam badan,” jelas Tok Ulang.

Tidak hairanlah beliau pernah berkhidmat dengan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di Kuala Lumpur selama lapan tahun pada 1970-an. Beliau juga dihantar ke Sarawak untuk mengenal pasti tumbuhan hutan yang sesuai dijadikan ubat herba.


UPACARA sewang digunakan bomoh Orang Asli untuk berhubung dengan makhluk halus.


Biarpun enggan mengakui diri sebagai poyang, kehebatannya pernah menyebabkan ramai doktor moden datang berubat pelbagai penyakit misteri. Hasilnya tidak kurang yang menghantar ‘buah tangan’ sebagai tanda terima kasih ke rumahnya.

Antara pengalaman paling tidak dapat dilupakan Tok Ulang ialah mencari pokok buluh perindu yang terkenal dijadikan sebagai ubat pengasih atau tangkal. Daun dan batang kecilnya perlu disimpan cermat di dalam bekas serta tidak boleh menyentuh tanah.

“Jumpa pun nasib tetapi apabila sudah dapat, bayangkan lipan, burung, harimau, lebah dan lain-lain ikut saya pulang. Haruman baunya menyebabkan haiwan liar ‘berkampung’ di luar rumah saya selama beberapa hari,” katanya ketawa.

Bercerita mengenai masa depan, Tok Ulang hanya mampu tersenyum. Beliau berharap ilmunya itu diwarisi generasi muda. Tanpa mengharapkan apa-apa balasan, beliau tidak jemu berkongsi rahsia alam dengan mereka yang masih berminat.

Ancaman utama air mentah


Hutan konkrit, sungai yang kotor, pembuangan sampah sarap ke dalam sungai, pembalakan tidak terkawal dan kegiatan pelancongan semuanya menyumbang kepada kehilangan sumber air.




BERBILION ringgit dijangka dibelanjakan untuk membersihkan Sungai Klang yang panjangnya 120 kilometer. Jumlah itu dilaporkan adalah sebahagian daripada RM10 bilion yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri Selangor untuk membangunkan semula Klang, Petaling Jaya dan Kajang.

Tanpa perlu dizahirkan, sungai yang sihat amat bergantung kepada persekitaran kawasan tadahan airnya. Namun, berapa ramai di antara kita yang menghargai kenyataan ini atau memilih untuk berlaku jahil atau mengabaikannya?

"Hutan di tepian sungai menerima sejumlah besar air hujan, di samping diserap tumbuhan, selebihnya akan menyerap ke dalam bumi untuk memulihkan kelembapan tanah. Proses semula jadi ini memungkinkan air dalam bumi dilepaskan ke sungai di dalam hutan dalam bentuk semula jadi.

"Sewaktu musim tengkujuh, hutan ini bertindak sebagai span dengan menyerap sejumlah besar air hujan dan mengurangkan jumlah air yang mengalir ke sungai. Ketika musim kering pula, hutan secara perlahan-lahan akan melepaskan air dari dalam tanah ke dalam sungai menerusi proses graviti," jelas Dr. Chan Ngai Weng, Profesor Bahagian Geografi, Universiti Sains Malaysia (USM).

Hutan konkrit

Menurut Dr. Ngai Weng, menerusi proses transpirasi (pengewapan air), sebatang pokok yang bersaiz sederhana kehilangan lebih 200 liter air sejam ketika cuaca panas.

Sejumlah besar pengewapan air akan naik ke atmosfera untuk membentuk awan, yang akhirnya akan menghasilkan hujan, katanya.

Dengan mengambil Pulau Pinang sebagai contoh, beliau berkata, pulau itu kehilangan sumber transpirasi kerana kebanyakan hutannya lenyap disebabkan memberi laluan kepada hutan konkrit.

"Serupa juga dengan Kuala Lumpur. Sekiranya hutan konkrit menggantikan hutan tepian sungai, banjir kilat akan berlaku dengan lebih kerap kerana ketidakmampuan untuk menyerap air hujan.

"Tanpa hutan, air akan lebih tercemar kerana tiada penurasan semula jadi," kata Ngai Weng yang juga Presiden Water Watch Penang (WWP).


MAKETAB mengambil contoh air di kawasan tadahan air Sungai Terla, Cameron Highlands.


WWP ialah pertubuhan bukan berbentuk keuntungan yang ditubuhkan pada November 1997 sebagai sebahagian daripada Inisiatif Kelestarian Pulau Pinang di bawah Institut Penyelidikan Sosio-Ekonomi dan Alam Sekitar (SERI) Pulau Pinang.

Ngai Weng juga memberitahu, sungai-sungai di Pulau Pinang secara umumnya masih kotor.

"Berdasarkan hasil tinjauan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan penilaian kami sendiri, kualiti sungai di Pulau Pinang tidak berubah seperti yang diharapkan. Malah, keadaannya semakin merosot sejak tahun-tahun kebelakangan ini kerana sikap buruk orang ramai yang membuang sampah ke dalam sungai," jelasnya.

Bukit Larut

Menjadikan sungai sebagai tong sampah, lama-kelamaan ia akan membunuh ekosistem sungai tetapi jika kebersihannya dijaga ia adalah situasi menang-menang, kata Piarapakaran Subramaniam, Pengurus, Bahagian Alam Sekitar, Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca).

"Sekiranya kita menjaga kebersihannya, ia menjadi sumber air dan menyediakan juga hidupan akuatik sebagai sumber makanan untuk kita.

"Kita disarankan supaya tidak mengeksploitasinya secara berlebihan. Eksploitasi sumber sungai yang terlalu banyak boleh mencetuskan impak negatif, bersamaan juga dengan melakukan pencemaran," kata Piarapakaran.

Piarapakaran yang juga Pengarah Eksekutif Forum Air Malaysia (MWF) memberitahu, tidak ada banyak lagi kawasan tadahan air yang bersih di Malaysia.

Bukit Larut, Perak sebagai antara jumlah kecil yang masih ada, beliau berkata, pembuangan sampah merata-rata akibat kegiatan pelancongan yang semakin meningkat memberi impak ke atas kawasan tadahan air itu kepada tahap yang membimbangkan.

"Membuang sampah merata-rata secara langsung akan mencemarkan punca air yang bersih. Kita dapat lihat sebahagian besar mereka yang bersantai di Bukit Larut juga minum air daripada punca air yang ada di kawasan itu.

"Kami tidak menggalakkan perkara ini memandangkan pembuangan sampah berlaku di merata-rata tempat dan banyak lagi punca pencemaran yang sedang berlaku di kawasan berkenaan," katanya.

Menurut beliau, terdapat tujuh sungai yang menyumbang kepada punca air minuman di sekitar banjaran bukit-bukau kawasan Bukit Larut.

"Kawasan tadahan air utama meliputi kawasan seluas 21.53 km persegi dan sudah tentunya kawasan tadahan sekunder lebih besar.

"Akibat kegiatan manusia yang semakin meningkat dan cadangan projek kereta kabel di Bukit Larut, bukit itu menghadapi risiko untuk kehilangan segala-galanya. Malah, sekarang pun sudah ada tangki septik individu dibina di kawasan peranginan bukit dan air sisa mengalir terus ke air terjun," kata Piarapakaran.


KAWASAN-KAWASAN tadahan berfungsi seperti span yang menyerap air hujan ketika musim tengkujuh.


Menurut Profesor Madya Dr. Maketab Mohamed dari Institut Alam Sekitar dan Pengurusan Sumber Air (IPASA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sebalik semua pengetahuan teknikal yang ada, pengurusan kawasan tadahan air di negara ini secara relatifnya masih lemah berbanding negara maju.

Katanya, dalam Akta Kualiti Alam Sekitar (EQA) 1974, Akta 127, pembuangan sebarang efluen di hulu punca air adalah lebih ketat berbanding di hilir, tetapi pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) masih membenarkan kawasan industri dan perumahan dibina di hulu punca air.

"Impak kumulatif tidak diambil kira. Membina satu unit mungkin tidak mengapa tetapi bagaimana pula jika bilangan kawasan perumahan yang banyak ditambah dengan kawasan industri, semuanya di hulu? Satu contoh klasik ialah Sungai Skudai yang kini diletakkan di bawah Public Utilities Board (PUB) Singapura tetapi akan diserahkan balik kepada negeri Johor.

"Kawasan tadahan di situ mempunyai banyak perbandaran di hulu sungai (Senai, Saleng, Kulai, Kulaijaya) dan banyak industri. Sewaktu musim hujan, air sungainya keruh, sementara pada musim kering, takat pengambilan air banyak kali terpaksa ditutup kerana kandungan ammoniacal nitrogen yang tinggi (penunjuk pencemaran kumbahan/organik)," kata beliau.

Maketab menjelaskan, di sesetengah negeri di Amerika Syarikat (AS) termasuk New York dan juga di negara-negara Scandinavia, pembangunan dihadkan di kawasan tadahan air yang kritikal.

"Malahan ladang tidak dibenarkan beroperasi di hulu kawasan tadahan air yang penting. Di Jepun juga, dengan kawasan tanah yang terhad, pembangunan di kawasan tadahan air yang penting dikawal dengan peraturan yang ketat ke atas pelepasan efluen.

"Sebagai contoh, Tasik Biwa yang membekalkan air ke Kyoto dan Osaka dan kebanyakan Dataran Kansai, mempunyai keperluan pelepasan efluen yang ketat," katanya.

Cameron Highlands

Pada awal 2008, Maketab menjalankan kajian kebersihan (sanitari) ke atas bekalan air di Cameron Highlands termasuk Sungai Terla, satu daripada tiga kawasan tadahan air penting di tanah tinggi itu.

Dua lagi kawasan tadahan utama di Cameron Highlands ialah Ulu Sungai Bertam dan Sungai Burung.


SEORANG penduduk melihat air bukit bercampur tanah merah dan diesel yang mengalir masuk ke kawasan tadahan yang kemudian digunakan oleh penduduk tempatan di Jeli, Kelantan. - Gambar hiasan


Menurut beliau, loji rawatan air Sungai Terla menyediakan sekitar 80 peratus keperluan air yang boleh digunakan untuk Cameron Highlands, dengan demikian menjadikan lebih kritikal untuk melindungi kawasan tadahan air berkenaan.

Kata Maketab, di samping kewujudan ladang di hulu loji rawatan air Sungai Terla, terdapat juga ladang baru dibenarkan dibuka, menyebabkan penggondolan hutan di hulu takat pengambilan air.

Beliau berkata, ladang-ladang itu kini menjadi ancaman utama kepada mutu air mentah dalam bentuk jumlah pepejal terampai (TSS) di samping najis dan bakteria coliform yang berpunca daripada kegiatan manusia serta penggunaan baja organik daripada sumber haiwan seperti tahi ayam.

Maketab yang begitu khuatir dengan hasil penemuannya berkata, bahagian hulu kawasan tadahan Sungai Terla lebih mudah dilalui dengan pembukaan jalan menghubungkan Simpang Pulai ke Cameron Highlands dan Gua Musang.

"Selaras dengan amalan yang biasa dibuat dalam pengurusan kawasan tadahan air untuk tujuan bekalan air minuman, sebarang ladang atau kediaman manusia tidak sepatutnya dibenarkan dalam lingkungan kawasan tadahan Sungai Terla.

"Tidak ada lagi kompromi untuk keselamatan air mentah Sungai Terla. Ladang-ladang lama dan baru perlu ditutup dengan segera demi faedah penduduk Cameron Highlands dan pelancong yang melawat tanah tinggi itu," tegasnya sambil menjelaskan bahawa salinan kajiannya sudah dihantar kepada pihak berkuasa yang berkaitan.

Pengajaran daripada pilihan raya Afrika Selatan


PILIHAN raya Afrika Selatan yang baru berlangsung begitu menarik. Negara itu adalah pengamal demokrasi yang masih 'muda' kerana baru terlepas dari cengkaman dasar aparteid 15 tahun lalu.

Pilihan raya pertama Afrika Selatan era pasca aparteid diadakan pada 1994. Parti Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) yang dipimpin oleh ikon penentang aparteid, Nelson Mandela memperoleh 63 peratus undi.

Ia keputusan menakjubkan jika diambil kira itulah pertama kali rakyat Afrika berkulit hitam diberi peluang mengundi.

Mandela dan ANC dianggap sinonim dengan perjuangan menentang dasar aparteid, mendapat sokongan padu rakyat Afrika Selatan berkulit hitam.

Pilihan raya 2004 ketika ANC dipimpin oleh Thabo Mbeki mempamerkan sokongan hampir 100 peratus rakyat kulit hitam kerana ANC memperolehi 70 peratus undi.

Tetapi pilihan raya kali ini memberi cabaran yang amat getir. Bukan sahaja kepada ANC tetapi kepada rakyat Afrika berkulit hitam.

Tidak syak lagi ANC akan memperoleh undi majoriti tetapi ramai penganalisis sangsi keputusan pada 2004 akan berulang.

Memang tidak dapat dinafikan pemimpin ANC, Jacob Zuma akan dilantik sebagai Presiden Afrika Selatan pada pemilihan presiden bulan depan memandangkan Dewan Perwakilan Kebangsaan dikuasai oleh parti ANC. Ketika ini dewan itu mempunyai 490 kerusi.

Namun ANC yang dianggap sebagai ikon antiaparteid kini berdepan dengan kesukaran untuk mendapat kekuatan dua pertiga majoriti Dewan Perwakilan Kebangsaan.

Ada beberapa faktor yang menyebabkan perkara itu berlaku kepada ANC walaupun lebih 80 peratus penduduk Afrika Selatan berkulit hitam. Penduduk kulit putih hanya 10 peratus dan bakinya berdarah campuran.

Perselisihan dalaman ANC adalah faktor utama perpecahan di kalangan pengundi kulit hitam. Perselisihan antara Mbeki dan Zuma memburukkan lagi keadaan. Zuma berdepan tuduhan rasuah. Dua minggu sebelum pilihan raya, tuduhan tersebut digugurkan dengan alasan terdapat campur tangan politik dalam kes itu.

Perbalahan Mbeki dan Zuma tidak terhenti setakat tuduhan rasuah sahaja kerana apabila Mbeki ditewaskan oleh Zuma pada pemilihan ANC tahun lalu, parti serpihan Kongres untuk Rakyat (COPE) ditubuhkan untuk mencabar dominasi ANC di kalangan penduduk kulit hitam.

Walaupun COPE tidak memperoleh banyak undi pada pilihan raya kali ini tetapi keputusan awal menunjukkan kewujudan COPE telah mengurangkan jumlah undi ANC sehingga lapan peratus.

Kehadiran COPE juga menyukarkan ANC memperolehi majoriti dua pertiga seperti yang dikuasai pada pilihan raya 2004.

Perpecahan undi kulit hitam itu menguntungkan pembangkang yang disokong oleh pengundi kulit putih dan berdarah campuran. Parti Perikatan Demokratik (DA) setakat ini telah memperolehi 16 peratus undi - keputusan terbaik parti itu dalam era pasca antiaparteid.

Jika sebelum ini ANC menguasai kesemua sembilan wilayah Afrika Selatan, tetapi DA kini dilihat mampu menguasai wilayah West Cape. Ia dijangka begitu kerana 70 peratus penduduk wilayah tersebut berkulit putih atau berdarah campuran. Datuk Bandarnya, Helen Zille adalah pemimpin DA.

Walaupun perpecahan rakyat berkulit hitam dilihat sebagai punca utama kegagalan ANC dan COPE, faktor pengundi muda juga patut diambil kira. Pilihan raya kali ini menyaksikan pengundi muda pasca generasi aparteid menggunakan kuasa mereka.

Tidak dinafikan warna kulit masih memainkan peranan penting di Afrika Selatan. Kemenangan DA yang memperjuangkan aspirasi kulit putih di West Cape jelas mempamerkan fenomena itu.

Seperti negara lain yang mempunyai pengundi golongan muda pasca merdeka, agak sukar untuk menyelami perasaan dan keinsafan mereka terhadap kepayahan usaha memerdekakan negara.

Afrika Selatan juga mengalami fenomena serupa. ANC dan COPE yang berkempen atas landasan antiaparteid didapati sukar menarik undi golongan tersebut.

Banyak yang boleh dipelajari daripada keputusan pilihan raya Afrika Selatan. Walaupun rakyat berkulit putih mempunyai pendapatan 10 kali lebih baik daripada mereka yang berkulit hitam, undi golongan tertindas itu tidak semestinya pergi kepada ANC atau COPE yang memperjuangkan hak mereka.

Keputusan pilihan raya Afrika Selatan 2009 jelas membuktikan faktor pengundi muda (pasca aparteid) penting untuk diambil kira. Aspirasi golongan itu perlu difahami.

Keadaan yang sama juga perlu diguna pakai di Malaysia dalam situasi politik semasa.

AZMI HASSAN

Universiti Teknologi Malaysia

Pulihara sejarah demi masa depan


KATA orang, tiada yang lama maka tiada yang baru. Patah tumbuh hilang berganti. Tetapi tinggalan sejarah, jika tidak dipulihara, akan hilang untuk selama-lamanya. Ia tidak akan tumbuh semula.

Hakikat inilah yang cuba disedarkan oleh Jabatan Warisan Negara (JWN). Jabatan itu kini giat memulihara bangunanbangunan lama. Bukan sahaja kerana ia berusia ratusan tahun tetapi disebabkan nilai-nilai sejarahnya.

Baru-baru ini, JWN membawa sekumpulan wartawan menyusuri sejarah Perak meliputi Ipoh, Kuala Kangsar dan Taiping bagi melihat kerja-kerja pemuliharaan.

Perak dianggap istimewa kerana wujud sejak zaman prasejarah. Ia dihuni manusia oleh zaman batu sejak 400,000 hingga 8,000 tahun Sebelum Masehi.

Asal usul negeri yang kaya dengan hasil bijih timah ini dikaitkan dengan pelbagai cerita. Sebelum dikenali sebagai "Perak", ia pernah ingin dinamakan sebagai "Melaka".

Tetapi disebabkan Melaka telah wujud ketika itu, hasrat tersebut dibatalkan dan akhirnya negeri ini dinamakan sempena Bendahara Tun Perak.

Kaitan antara Ipoh, Kuala Kangsar dan Taiping ialah ketiga-tiga tempat ini menjadi tumpuan ketamadunan berikutan kedudukannya sebagai pusat pentadbiran ketika itu. Tidak dinafikan, Perak kaya dengan sejarah. Justeru banyak bangunan lama boleh ditemui di sini. Malangnya, ada yang rosak dan reput begitu sahaja.

"Ini yang kadangkala orang salah faham. Bangunan-bangunan lama ini bukan semua milik kerajaan. Kami tidak boleh buat apa-apa jika tuan punya tiada kesedaran dan tidak mahu beri kerjasama," kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Konservasi dan Arkeologi JWN, Mat Nasir Baba.

Menurut Mat Nasir, pihaknya akur bahawa bangunan yang mempunyai nilai sejarah perlu dipulihara sebaik mungkin namun ia juga wajar mendapat sokongan masyarakat. Pada masa sama, kerajaan negeri berhak menentukan sama ada mahu memulihara peninggalan sejarah itu atau sebaliknya kerana ia tertakluk di bawah bidang kuasa mereka.

Ketika ini sebanyak 11 projek pemuliharaan atau konservasi bangunan bersejarah dilakukan di seluruh negara iaitu empat di Perak; dua di Selangor dan masing-masing satu di Pulau Pinang, Melaka, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Di Perak, bangunan yang dipulihara ialah pejabat pos lama di Ipoh; masjid lama Kampung Kuala Dal, Padang Rengas di Kuala Kangsar; bangunan lama Majlis Perbandaran Taiping (MPT) serta Muzium Perak - kedua-duanya di Taiping.

Bangunan pejabat pos lama Ipoh dibina pada 1913 dan siap pada 1916. Selain sebagai pejabat pentadbiran di waktu penjajahan British, ia juga pernah dijadikan ibu pejabat polis daerah sebelum ditinggalkan terbiar. Reka bentuk bangunan ini bercirikan seni bina Roman dan Renaissance yang menonjolkan perincian pada tiang dengan hiasan Greek dan Roman.

Masjid Lama Kampung Kuala Dal pula dibina pada 1936. Sejarahnya bermula apabila Sultan Iskandar Shah, Sultan Perak ke-30 berniat untuk membina sebuah masjid jika anakanda baginda yang sering mandi di sungai kawasan itu sembuh daripada gering.

Bangunan lama MPT yang dibina pada 1892 adalah pejabat topografi pertama di negara ini. Ia menonjolkan ciri-ciri kolonial Inggeris di samping gabungan seni bina tempatan. Malangnya, sebelum kerjaerja pemuliharaan dijalankan, fungsinya bertukar sebagai sebuah kedai perabot.

Sementara itu, projek pemuliharaan dijalankan di bangunan Muzium Perak kerana ia merupakan muzium pertama di Tanah Melayu. Idea penubuhannya dicetuskan oleh Residen British di Perak ketika itu, Sir Hugh Low.

Tegas Mat Nasir, kesungguhan kerajaan dalam usaha menjayakan misi menyelamat warisan negara jelas dengan kewujudan Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Akta ini meliputi warisan budaya yang dipecahkan kepada warisan ketara (tangible heritage) dan warisan tidak ketara (intangible heritage); warisan semula jadi (natural heritage) serta warisan budaya bawah air (underwater cultural heritage).

"Sifatnya saling melengkapi dan memperkukuh tetapi tidak menghapuskan perundangan sedia ada berkaitan warisan termasuk kuasa yang ada pada kerajaan negeri, kecuali Akta Benda Purba 1976 (Akta 168) dan Akta Harta Karun 1957 (Akta 542).

"Ia juga dapat memberikan mekanisme baru terutama yang berkaitan dengan pelaksanaan kerja pemulihan, pemuliharaan dan pemeliharaan, khususnya mengikut piawaian yang diguna pakai di seluruh dunia. Selain itu, satu tanda aras juga diwujudkan dalam mengemaskinikan prosedur berkaitan penjagaan warisan negara," ujar beliau.

Apa yang penting, semua pihak perlu bersama-sama memelihara sejarah.

Pengorbanan seluas samudera



KAPAL selam pertama milik Tentera Laut Diraja Malaysia, KD Tunku Abdul Rahman ini akan meningkatkan keupayaan angkatan itu untuk menjadi antara yang terbaik di rantau ini.


USIA 75 tahun bukanlah tempoh yang singkat. Bagi angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), tempoh sepanjang itu ditempuhi dengan pelbagai cabaran selain berdepan dengan laluan berliku yang penuh pahit-getir.

Pada masa yang sama, banyak perubahan telah berlaku dalam angkatan lautan samudera itu. Sama ada melibatkan pucuk pimpinan, aset-aset berkaitan, kemahiran dan pelbagai lagi.

Satu ketika dulu mungkin tidak terlintas bahawa Malaysia sebagai sebuah negara 'kerdil', mampu memiliki kapal selam serta aset-aset ketenteraan yang canggih. Tetapi itulah antara perubahan yang berlaku dalam TLDM.

Tidak keterlaluan jika dikatakan rakyat dan dunia harus memberi "tabik hormat" kepada TLDM di atas segala pencapaian dan juga pengorbanan yang dicurahkannya.

Pengorbanan TLDM bukan sahaja untuk negara, malah meliputi keselamatan antarabangsa seperti penghantaran kapal serta anggota ke Teluk Aden bagi menangani ancaman lanun.

Perlulah diingat, ia melibatkan kos yang amat tinggi namun demi keselamatan kapal-kapal dagang milik Malaysia dan negara lain, langkah itu tetap diambil.

Walaupun diiktiraf oleh negara dan dunia luar, TLDM tidak pernah mendabik dada dan jauh sekali berpuas hati dengan kejayaan yang dicapai.

Bagi angkatan itu, perkembangan dalam TLDM harus berterusan menerusi anjakan paradigma bagi mengekalkan kewibawaannya.

Sempena Jubli Intan TLDM, Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Seri Abdul Aziz Jaafar mengingatkan setiap pegawai dan anggotanya agar tidak terleka dalam menjaga keselamatan negara.

Beliau mengakui TLDM sentiasa merancang untuk lebih maju sama ada secara jangka pendek mahupun jangka panjang.

"Kita akan pastikan warga TLDM mendapat kepakaran yang mencukupi dan relevan. Berdasarkan perkembangan teknologi serta perolehan aset seperti kapal selam, pegawai dan anggota terlibat akan mendapat latihan secukupnya supaya mahir mengendalikan aset tercanggih di rantau ini.

"TLDM juga mempunyai peruntukan untuk memastikan pegawai dan anggota dihantar menjalani kursus-kursus pengendalian sistem di atas kapal perang," katanya.

Abdul Aziz juga menegaskan, angkatan itu akan meneruskan kerjasama bagi mewujudkan persefahaman dengan angkatan laut negara jiran seperti Singapura, Indonesia, Thailand dan negara lain.

Sementara itu, antara pencapaian TLDM dalam mengharumkan nama negara ialah pelayaran mengelilingi dunia dan menyertai pertandingan peringkat antarabangsa, Tall Ships Races.

Pelayaran selama 410 hari oleh KLD Tunas Samudera telah merentasi banyak kawasan termasuk Lautan Hindi, Atlantik dan Pasifik. Kemampuan itu memperlihatkan bahawa warga TLDM benar-benar mampu bergelar "angkatan samudera biru" dan bersedia pada bila-bila masa.

Menjawab pertanyaan, Abdul Aziz menegaskan, pemilikan kapal selam merupakan aset strategik kepada pertahanan negara.

"Ia mempunyai faktor yang menyumbang kepada peningkatan keupayaan pertahanan negara. Justeru, sudah tentu kapal selam diperlukan oleh TLDM bagi melengkapkan keupayaannya dalam semua dimensi peperangan maritim," katanya.

Pemilikan kapal selam serta aset-aset lain di samping peranan TLDM sendiri, adalah sejajar dengan konsep Malaysia sebagai sebuah negara maritim. Bila disebut sebuah negara maritim, bermakna tanggungjawab menjaga keselamatan dan kedaulatan wilayah perairan, sempadan dan keamanan negara adalah amat berat dan rumit.

Ia melibatkan pengawasan garisan sempadan bagi mengelak berlaku pertikaian ke atas sesebuah kawasan perairan dengan negara jiran. Abdul Aziz menambah, pemilikan aset-aset seperti kapal selam juga telah meningkatkan keupayaan TLDM secara drastik.

"Ia seiring dengan hasrat TLDM untuk mewujudkan angkatan laut yang lebih kredibel dan berwibawa dalam mendukung Dasar Pertahanan Negara," katanya.

Sempena Jubli Intan TLDM juga, Abdul Aziz berkata, banyak perubahan telah berlaku dalam TLDM sejak zaman awal penubuhannya, pertengahan dan selepas 75 tahun ini.

Bagi beliau, perkembangan angkatan itu turut dipengaruhi oleh perubahan semasa seperti aspek geopolitik, ekonomi, sosial, dasar dan perundangan di peringkat dalam negara, serantau mahupun antarabangsa. Keadaan itu telah melibatkan pertambahan aset bagi memenuhi keperluan sebuah angkatan laut seperti TLDM.

Angkatan yang ditubuhkan pada 1934 itu pada mulanya lebih menumpukan kepada kerjasama dengan Tentera Laut Diraja British bagi mempertahankan Malaya dan negara jajahan Britain.

Beberapa tahun kemudian, dengan peningkatan aset seperti kapal ronda pesisiran pantai dan warganya, pelaksanaan tugas difokuskan kepada keselamatan dalam negara. Selepas merdeka dan tertubuhnya Malaysia, TLDM telah menerokai era pesisiran pantai kepada era laut dalam bagi menjamin kedaulatan pelantar dunia negara sesuai dengan keperluan Zon Ekonomi Eksklusif negara.

Kini, TLDM telah memiliki armada yang dilengkapi keupayaan perang tiga dimensi iaitu permukaan, udara dan bawah air.

"Justeru, armada masa depan adalah angkatan laut yang seimbang dalam keupayaan tiga dimensi itu. TLDM akan meneroka, membangun, menguji dan mengguna pakai konsep dan teknologi terkini sebagai rangka kerja untuk transformasi apabila berurusan dengan keupayaan sistem pertahanan maritim masa depan," katanya.

Menurut Abdul Aziz, TLDM sentiasa menetapkan visi untuk menjadi "Tentera Laut yang berkualiti". Sementara misi angkatan itu ialah "menyedia dan mengatur gerak angkatan laut untuk melindungi kepentingan maritim Malaysia semasa aman dan memastikan kemenangan ketika perang".

Kedua-dua visi dan misi ini telah dilancarkan pada 2004 dan ia masih kekal hingga sekarang. TLDM juga telah berjaya ditransformasikan kepada angkatan yang dilengkapi peralatan serba canggih dan berteknologi tinggi.

"Ini sejajar dengan visi dan misi angkatan. Perkembangan ini memberi keyakinan bahawa TLDM mampu mempertahankan kedaulatan negara," katanya.

Di samping itu menurutnya, tenaga manusia yang profesional dan berintegriti tinggi merupakan aset utama kepada organisasi tersebut. Tidak ada ertinya sebuah angkatan dengan aset yang canggih dan berteknologi tinggi tetapi modal insannya tidak berkeupayaan mengguna, menyelenggara dan memanfaatkan aset-aset tersebut dengan baik.

Sehubungan itu, pemilikan aset moden perlu sejajar dengan pembangunan modal insan yang menguasai kemahiran dan pengetahuan tinggi. TLDM juga akan memperluaskan promosi kerjaya ke sekolah-sekolah untuk menarik minat golongan muda menyertai angkatan tersebut.

"Kita mahu belia yang bersemangat tinggi menyertai TLDM dan menjadikannya sebagai kerjaya pilihan nombor satu," katanya.

Meritokrasi usah jejas hak peribumi lonjak kemakmuran



PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu rakyat Malaysia menggunakan budaya kecemerlangan dan prinsip meritokrasi kerana ia adunan yang diperlukan untuk memaksimumkan potensi negara ini. Beliau menjelaskan meritokrasi bukan saja satu prinsip mulia, malah satu prinsip yang diperlukan untuk memacu Malaysia ke arah kejayaan lebih hebat. Meritokrasi adalah satu daripada nilai utama 1Malaysia. Mungkin ada yang berpendapat negara kita yang masih belum mencapai tahap negara maju, masyarakatnya belum bersedia untuk menerima pendekatan konsep meritokrasi kerana bantuan kerajaan masih diperlukan. Sebagai contoh, kemasukan ke universiti awam memerlukan kuota Bumiputera dan begitu juga dalam bidang ekonomi, melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang memperuntukkan 30 peratus bagi Bumiputera. Tanpa bantuan khusus seperti itu kata mereka, sukar untuk pelajar Bumiputera memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan menceburi bidang perniagaan. Sebenarnya, apa yang dimaksudkan oleh Najib ialah supaya rakyat kita sama ada Bumiputera atau bukan Bumiputera, mengamalkan budaya kecemerlangan dan prinsip meritokrasi, bukan untuk mengkaji semula keistimewaan Bumiputera dalam pelbagai sektor yang sudah termaktub dalam Perlembagaan dan kontrak sosial. Meritokrasi adalah sistem sosial yang menyanjung tinggi kedudukan seseorang kerana kebolehannya. Inilah yang dimahukan Perdana Menteri supaya kita semua mengutamakan kecemerlangan dan apabila Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020, rakyatnya tidak terperangkap atau berada dalam dilema kerana sudah bersedia mulai sekarang dengan amalan kecemerlangan itu.

Malah, meletakkan sasaran tinggi dalam sesuatu penilaian pencapaian juga akan mendorong seseorang berusaha lebih gigih dan memberikan yang terbaik daripada dalam diri masing-masing. Inilah elemen penting dalam membangunkan sesebuah organisasi, termasuk negara kita. Itulah juga rasanya perkara yang mahu diperjuangkan Najib. Kita mengakui semua orang tahu makna perkataan meritokrasi dan prinsip meritrokrasi, tetapi ia tidak boleh dilaksanakan dalam erti kata yang sebenar kerana ada masanya kita perlu mempertimbangkan faktor tertentu yang lain. Contohnya, mereka yang kekurangan atau masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman, estet dan perkampungan baru yang berada di luar arus perdana masyarakat yang lebih dinamik, sudah pasti memerlukan pertimbangan khas. Meritokrasi juga menuntut supaya rakyat tidak terlalu mengharapkan sesuatu tanpa usaha. Misalnya, bagi mendapatkan kontrak, memerlukan bukan saja bidaan terendah, malah kebolehan kontraktor untuk melakukan sesuatu kerja, bukan lagi mendapat sokongan 'pintu belakang', tetapi tiada kebolehan melakukan kerja yang akhirnya menjadi 'alibaba'. Hakikatnya, meritrokrasi adalah satu prinsip mulia yang boleh memacukan pembangunan rakyat dan negara pada tahap yang lebih tinggi.


Tabik kepada armada tentera laut


Oleh Jalal Ali Abdul Rahim

KETIBAAN kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman pada 25 Julai ini, ibarat hadiah paling berharga dan tiada tolok bandingnya buat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang meraikan ulang tahun ke-75 penubuhannya, hari ini.

Ketibaan kapal selam jenis Scorpene yang kini menjalani latihan dengan dikendalikan sepenuhnya krew TLDM di perairan Perancis serta sebuah lagi, KD Tun Abdul Razak bakal tiba tahun depan, mampu meningkatkan keupayaan pasukan itu dalam menjaga kedaulatan perairan negara, sesuai dengan perubahan semasa geopolitik, ekonomi, sosial, dasar dan perundangan negara, serantau dan antarabangsa.

Dalam konteks negara serantau, Malaysia adalah negara ketiga memiliki kapal selam selepas Indonesia dan Singapura.


Apa yang pasti, pembelian kapal selam antara paling canggih daripada jenis diesel-elektrik di dunia pada masa ini, mempamerkan iltizam kerajaan dan TLDM melaksanakan modenisasi pasukan itu, bermula era kapal kayu dihadiahkan Kerajaan Britain ketika penubuhannya hingga kini menjadi pasukan disegani serta dilengkapi aset berteknologi tinggi.

Tanggungjawab TLDM turut menjadi buah mulut ramai melalui pembabitannya dalam misi Ops Fajar bagi membebaskan dua kapal MISC, MV Bunga Melati Dua dan MV Bunga Melati Lima serta krewnya yang ditawan lanun Somalia di Teluk Aden, akhir tahun lalu.

Tugas itu tidak bernoktah di situ, sebaliknya TLDM terus menempatkan kapalnya mengiringi kapal dagang MISC bagi memastikan tidak lagi menjadi sasaran lanun.

Sehingga kini lima kapal TLDM ditugaskan di Teluk Aden iaitu KD Lekiu, KD Sri Inderapura, KD Mahawangsa, KD Sri Inderasakti dan terakhir KD Hang Tuah, yang masih lagi beroperasi di perairan itu.

Beberapa perkembangan lain yang sudah dan akan disempurnakan hari ini, termasuk Pentauliahan dan Penamaan Pasukan Khas Laut (Paskal), iaitu pasukan elit TLDM sebagai KD Panglima Hitam; pengisytiharan bandar Lumut, Perak sebagai Bandar Tentera Laut; pelancaran buku Jubli Intan, jurnal, setem dan syiling kenangan serta perasmian Pusat Sumber Maritim dan Sejarah TLDM, pelancaran buku Brown to Blue bagi menggambarkan evolusi TLDM, menyemarakkan lagi pengiktirafan tanggungjawab TLDM dan sambutan ulang tahun pasukan itu.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Seri Abdul Aziz Jaafar selaku 'nakhoda' TLDM, gembira melihat perubahan TLDM yang kini memiliki armada yang dilengkapi keupayaan perang tiga dimensi, iaitu permukaan, udara dan bawah air.

TLDM juga sudah beranjak ke pentas antarabangsa yang dibuktikan dengan bantuan kemanusiaan akibat tsunami, bantuan keselamatan di Timor Leste dan operasi di Teluk Aden sendiri.

"Dalam erti kata lain era 'Blue Water Navy' sudah bermula. Armada TLDM sudah dilengkapi dengan kapal ronda NGPV (Kapal Peronda Generasi Baru) serta sokongan udara daripada skuadron helikopter Super Lynx dan Fennec. Kini, keupayaan TLDM bakal dipertingkatkan lagi dengan kehadiran kapal selam.

"Armada masa depan ialah angkatan laut yang seimbang dalam keupayaan dimensi peperangan permukaan, udara dan bawah air yang berkesan.

"Justeru, TLDM akan menerokai, membangun, menguji dan mengguna pakai konsep dan teknologi terkini sebagai kerangka untuk transformasi apabila berurusan dengan keupayaan sistem pertahanan maritim masa depan," katanya.

Abdul Aziz mengaku kewangan, khususnya ketika kegawatan ekonomi menjadi kekangan utama bagi pasukan menukar aset lama kepada baru dan meningkatkan teknologi, tetapi ia bukan alasan kepada TLDM untuk tidak meningkatkan kesiapsiagaan, sebaliknya menghadapi cabaran itu dengan memastikan aset sedia ada dioperasikan secara optimum menerusi perancangan, budaya penyelenggaraan rapi serta latihan berterusan bagi mempersiapkan warga TLDM berkemahiran tinggi mengendalikan aset sedia ada, mahupun yang bakal diperoleh.

Justeru, pembangunan keupayaan warga tentera laut berkualiti menjadi satu agenda utama TLDM.

Abdul Aziz menegaskan, dengan aset dan kemampuan sedia ada, TLDM mampu menempatkan aset utamanya di Selat Melaka, perairan Pantai Timur Semenanjung, pantai barat Sabah, Laut Sulawesi dan kawasan Gugusan Semarang Peninjau (GSP) pada setiap masa.

Mengenai penambahan kapal selam, beliau mengakui ia tidak boleh dilakukan dalam jangka masa terdekat kerana TLDM memerlukan masa untuk menimba pengalaman serta kemahiran di dalam bidang ini bagi memastikan kapal selam TLDM dapat dioperasikan dengan selamat dan berkesan.

"Kehadiran aset 'Force-multiplier' kapal selam ini akan meningkatkan keupayaan TLDM secara drastik. Ia seiring hasrat TLDM mahu mewujudkan angkatan laut yang lebih berkemampuan dan berwibawa dalam mendukung Dasar Pertahanan Negara," katanya.

21 April 2009

Lubang gergasi bumi


Kewujudan lubang-lubang berdiameter besar dengan kedalaman hingga beratus-ratus meter sering dianggap fenomena luar biasa.


RONGGA bumi yang digelar Devil's Sinkhole di Texas, Amerika Syarikat kini diwartakan sebagai taman negara.


PASTI ramai di kalangan pengguna Internet pernah dikejutkan dengan e-mel rantaian yang menunjukkan gambar-gambar pelik dan ngeri tentang kejadian lubang gergasi di atas muka bumi.

Bagi yang curiga, kesahihan gambar seperti itu segera disangkal dengan tanggapan ia dimanipulasi perisian suntingan imej.

Dalam mencerna kesimpulan, manusia perlu mengambil kira banyak penjelasan terutama dari sudut ilmu geologi.

Antaranya adalah seperti kejadian hakisan batu kapur, pergerakan air bawah tanah ataupun impak meteor yang terjadi ratusan atau ribuan tahun sebelumnya.


LOKASI lombong berlian di bandar Mirna, Siberia ini membentuk lubang yang dilihat jelas dari angkasa.


China, misalnya, mempunyai lubang gergasi atau rongga bumi terbanyak di dunia, iaitu kira-kira 50 kesemuanya. Rekod penemuan fenomena landskap alam itu dalam istilah tempatan dipanggil tiankeng.

Senarai rongga bumi di China didahului tiankeng Xiaozhai. Ia mempunyai kedalaman 660 meter dan berkapasiti 119 juta meter kubik dan dikatakan mengumpul sumber air hingga berkemungkinan menjadi punca aliran Sungai Yangtze.

"Anda boleh menyembunyikan beberapa Bangunan Empire State di dalamnya. Rakyat China sendiri tidak mengetahui tentangnya hinggalah ia didedahkan media 15 tahun lalu.

"Laluan belantara dan ketiadaan infrastruktur menyukarkan sesiapa untuk sampai ke lokasi ini," ulas pakar geologi dari Pennsylvania State University, Prof. William White.


PENENGGELAMAN tanah di Guatemala City ini berpunca daripada kebocoran sistem paip bawah tanah.


White membentangkan penemuan tiankeng Xiaozhai selepas mengikuti pelawaan ekspedisi ke lokasi terpencil itu pada tahun 2005 oleh pakar dari Institut Geologi Guilin, Zhu Xuewen.

"Ciri rongga bumi sangat unik. Faktor utama yang perlu diberi perhatian adalah kemungkinan wujudnya aliran sungai bawah tanah. Ia kelihatan seperti lembah, namun jika diteliti, 'lembah' itu tidak mempunyai jalan keluar," ujar White.

Di Texas, Amerika Syarikat, rongga bumi yang digelar Devil's Sinkhole sudah dijadikan destinasi pelancongan ekstrem yang amat popular.

Penerokaannya dari sudut komersial telah menjadikan tempat itu boleh dikunjungi mereka yang mahu mencuba aktiviti seperti menuruni cenuram batu dan merentas lereng.

Paling menggemparkan adalah tentang kejadian lubang gergasi yang mengorbankan tiga mangsa di Guatemala City pada 23 Februari 2007.

Diameter lubang ini mencapai ukuran 20 meter sementara berkedalaman 204 meter. Kerosakan sistem pengaliran air banjir bawah tanah dikatakan menjadi punca bagi tragedi yang meninggalkan landskap kekal itu.

Selain lubang yang terbentuk secara alami atau tanpa diduga, terdapat juga lubang besar yang dibuat oleh manusia atas agenda perlombongan.


TIANKENG Xiaozhai tidak diketahui rakyat China sendiri sehingga ia didedahkan media 15 tahun lalu.


Sebagai contoh, lombong berlian di di Mirna, Siberia meninggalkan lubang bersaiz 525 meter dalam dan berdiameter 1.25 kilometer. Saiz berbentuk kawah itu sangat jelas dikesan daripada rakaman satelit.

Impak meteor juga dipercayai menyebabkan rongga besar di dasar Laut Caribbean.

Digelar sebagai Great Blue Hole, ia merupakan sebahagian daripada Rizab Terumbu Karang Belize iaitu sebuah tapak warisan dunia seperti yang diisytiharkan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Air membentuk kaviti

Menurut pensyarah geologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Che Abdul Aziz Ali, fenomena itu juga pernah berlaku di Malaysia tetapi tidak ketara saiznya.

"Seperti lubang berbentuk kawah bulat yang ditemui di Pulau Langkawi, ia dipercayai adalah tinggalan impak meteor suatu masa dahulu. Tenaga dan sudut hentaman itu menentukan jenis dan bentuk lubang yang terhasil pada muka bumi," terangnya.

Selain meteor, kemungkinan kes penenggelaman mengejut pada kawasan tertentu juga disumbangkan punca-punca seperti penurunan mendadak paras air bawah tanah akibat kemarau, aktiviti perlombongan, kebocoran sistem pengairan, dan tekanan beban di permukaan.


IMPAK meteor yang 'melubangkan' dasar samudera di Laut Caribbean ini diiktiraf tapak warisan UNESCO.


Air, menurut Abdul Aziz, menjadi penyebab utama jika mengulas tentang proses kaviti yang membentuk rongga dalam batu kapur.

Pembentukan Gua Mulu, Sarawak dan Batu Caves, Selangor adalah contoh terbaik tentang penyusutan atau perubahan formasi batu kapur yang disebabkan oleh aliran air di bukit batu kapur.

Kalau bukan kerana kaviti yang membentuk gua, permukaan atas batu kapur boleh mengalami penenggelaman lalu membentuk lubang yang besar. Itulah misteri alam yang manusia sendiri tidak tahu bila akan terjadi.

"Air hujan adakalanya mengandungi asid yang memiliki keupayaan menghakis batu dari semasa ke semasa. Untuk jangka masa panjang, perubahan struktur akan berlaku," ujarnya yang turut memberitahu bahawa 40 peratus daripada muka bumi Kuala Lumpur terbentuk di atas batu kapur.

RazakSat sensitif suhu


Lima juruterbang TUDM berbangga menyertai misi khas 22 jam membawa satelit mini kedua negara ke tapak pelancaran di Lautan Pasifik.


LIMA juruterbang dan pembantu juruterbang yang terlibat dalam misi penghantaran RazakSat ke tapak pelancaran di Pulau Guam di Lautan Pasifik. Dari kiri, Kapten Zeti Haryani Ismail, Mejar Hezri Hassan, Leftenan Kolonel Raja Mohar Raja Bahari, Kapten Nazlan Shah Zainal dan Kapten Khairill Anuar.






SATELIT mini RazakSat sangat sensitif terhadap perubahan suhu.


BAGI Leftenan Kolonel Raja Mohar Raja Bahari, satelit mini kedua negara RazakSat yang akan dilancarkan di Pulau Kwajalein, Amerika Syarikat (AS) Selasa ini memberi kebanggaan tersendiri kepada beliau.

Pegawai Pemerintah 14 Skuadron Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berpangkalan di Labuan ini bertanggungjawab membawa satelit mikro seberat 180 kilogram itu.

Dengan pesawat pengangkut C-130 milik TUDM yang berusia 14 tahun, Raja Mohar mendapati kargo ringannya itu bukan calang-calang muatan. Malah ia dibawa dengan pembungkusan khas oleh treler syarikat pengangkutan Kontena Nasional.

"Secara jujur, biarpun 'penumpang' kami tidaklah besar sangat tetapi untuk mengangkut RazakSat seumpama membawa VVIP (orang paling penting) malah kami cukup berhati-hati," katanya.

RazakSat bahkan dibalut dengan lapisan kusyen tebal meninggalkan ruang kurang 90 sentimeter dari dinding pesawat. Dibantu empat juruterbang berpengalaman dan 18 krew TUDM, kerja pemunggahan perlu bergerak pantas.

"Satelit ialah objek yang sangat sensitif terutama pada perubahan suhu, malah semasa kami berlepas dan mendarat pun kami kena 'berlembut' untuk mengelakkan gegaran daripada merosakkan komponennya yang bernilai RM150 juta," jelas beliau.

Justeru, pasukan juruterbang terbaik TUDM yang terdiri daripada lima individu dipilih dengan Ketua Penerbangan Taktikal 20 Skuadron berpangkalan di Subang, Mejar Hezri Hassan dilantik Timbalan Komander Misi itu bagi membantu Raja Mohar.

Mereka juga dibantu seorang lagi juruterbang iaitu Ketua Bahagian Operasi 14 Skuadron berpangkalan di Labuan, Kapten Nazlan Shah Zainal. Pembantunya ialah Kapten Khairill Anuar dan seorang krew tunggal wanita, Kapten Zeti Haryani Ismail.

Misi khas itu mendapat kerjasama Astronautic Technology (M) Sdn. Bhd. (ATSB), sebuah syarikat Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Satelit mikro kedua selepas TiungSat itu dibina sejak tahun 2000 dan siap pada 2004.

RazakSat menjalani proses ujian selama tiga tahun sehingga tahun lalu. Ia memiliki kamera resolusi tinggi yang mampu merakam gambar dengan fokus dari udara bagi pemantauan sumber hutan, hidupan liar dan aktiviti pertanian negara.

Mendarat di Pulau Kwajalein

"Pengalaman paling mencabar ialah sewaktu mendaratkan pesawat di Pulau Kwajalein dekat Guam. Ia sebuah gugusan daripada terumbu karang macam Pulau Layang-layang di Sabah dan tahap kesilapan kami mestilah sifar," tegas Raja Mohar.

Bayangkan mereka perlu mendarat secara tepat di landasan dan tidak boleh terbabas awal atau selepas tempat titik ditetapkan. Mujur proses pendaratan pesawat empat enjin Hercules buatan Amerika itu berjaya.

Di pulau kecil beriklim tropika itu, kumpulan enam jurutera ATSB yang dibawa bersama kemudian ditinggalkan untuk mengiringi RazakSat ke tapak pelancaran dengan menggunakan kenderaan pelancar Falcon-1 milik SpaceX dari AS.

Menjelang pukul 1 petang (bersamaan 11 pagi 22 Mac), pesawat TUDM itu berlepas balik ke Guam. Menurut Raja Mohar, kerja pemunggahan RazakSat mengambil tempoh tiga jam dengan bantuan krew lapangan terbang Kwajalein sendiri.

"Lazimnya untuk punggah keluar barang cuma makan masa dua jam tetapi sebab satelit sensitif dengan suhu, ia perlu dibawa perlahan dan mujur kebanyakan petugas Kwajalein ialah bekas tentera AS yang biasa dengan kerja berat sebegini," jelasnya.

Ibarat telur di hujung tanduk, RazakSat akhirnya disahkan dalam keadaan selamat tanpa 'cedera' sedikit pun. Namun satelit itu dan peralatan sokongannya turut diinsuranskan dengan nilai berjumlah AS$8 juta (kira-kira RM28.8 juta).

Menariknya, Raja Mohar dan krew TUDM yang lain sempat 'melancong' seketika apabila terkandas di Guam. Ini kerana salah satu komponen pesawat C-130 didapati bergegar dan mereka perlu membaik pulih sebelum dibenarkan berlepas.

Guam dengan penduduk lebih 170,000 orang dan keluasan seperti Pulau Langkawi tidak asing di kalangan komuniti tentera udara dari serata dunia. Malah 30 peratus daripada keseluruhan tanah di pulau pentadbiran AS itu juga ialah markas tentera.

Meskipun lebih dikenali sebagai pangkalan transit tentera udara AS di Lautan Pasifik, Guam amat popular sebagai destinasi pelancong Jepun. Bahkan berada di situ seumpama berjalan di Jepun kerana 90 peratus pelawat asing ialah warga Jepun.

Belaian nafsu budak sekolah


Maizura yang menjadi mangsa pelajar lelaki kasanova kini mahu mencuci segala dosa lalu.


PONTENG sekolah dan melakukan maksiat merupakan aktiviti harian Maizura suatu ketika dahulu.


PERTEMUAN dengan gadis berusia 16 tahun bernama Maizura ini cukup menginsafkan. Ceritanya berkisar mengenai realiti masalah sosial yang berlaku di kalangan pelajar sekolah.

Maizura seharusnya fokus kepada persekolahannya. Tetapi hidupnya hampir hancur hanya kerana seorang pelajar lelaki yang sebaya dengannya dan masih bergantung hidup dengan keluarga walaupun untuk sesuap nasi.

Dia berperwatakan menarik, comel, berkulit putih dan pendiam. Maizura menceritakan dia bukan seorang yang gemar untuk memiliki teman lelaki kerana kebanyakan masanya dihabiskan bersama keluarga dan aktiviti kokurikulum.

"Rakan lelaki saya hanya anggap sebagai teman persekolahan. Tapi lelaki 'sundal' bernama Faizal merubah segalanya. Kerana perwatakannya yang menarik, saya pantas tergoda.

"Mana tidaknya, Faizal seorang yang berbadan sasa, kacak dan menjadi rebutan ramai pelajar perempuan.

"Dia aktif dalam sukan sekolah terutama bola lisut serta bola sepak. Pujuk rayunya senang membuatkan gadis cair.

"Dua bulan saja misi dia 'mendapatkan' saya berjaya. Selepas itu kami selalu keluar 'dating' di taman dan juga melepak di rumahnya di Rawang, Selangor. Malah dengan rela hati saya menyerahkan mahkota kegadisan saya kerana cinta kepadanya," kata Maizura,

Ujarnya, aktiviti yang acapkali dilakukan semasa berjumpa ialah melakukan hubungan seks. Perjumpaan bagaikan tidak sempurna jika tidak membuat kerja terkutuk itu.

Kerap ponteng

Maizura bijak menyembunyikan episod cinta terlarang itu daripada pengetahuan keluarganya.

"Saya kata pergi ke sekolah tetapi ketika dalam perjalanan, pakaian akan segera ditukar kerana di dalam beg tersimpan baju T serta seluar jean.

"Nasib baik saya tidak pernah mengandung. Alangkah bodohnya masa itu. Rasa marah dan berdosa timbul tetapi terus tewas dengan pujuk rayu Faizal. Inilah cinta monyet yang memudaratkan diri," katanya jujur.







Namun bangkai gajah tidak dapat ditutup dengan nyiru. Keluarga Maizura mula mengesan perubahannya kerana sering pulang lewat ke rumah atas alasan aktiviti sekolah sedangkan keputusan peperiksaan merosot teruk.

"Tetapi saya tetap mempertahankan cinta dengan Faizal malah sanggup mengikutnya lari dengan tinggal di rumahnya.

"Peliknya sepanjang dua minggu bersama aktiviti bersekedudukan kami tidak dapat dikesan kerana kesibukan keluarga berniaga siang dan malam.

"Ini menyebabkan mereka membuat laporan polis kerana menyangka saya telah diculik. Selama dua minggu, kami melakukan seks berkali-kali dalam sehari. Makan, minum serta pakaian pula disediakan oleh Faizal," katanya.

Dikurung dengan kaki diikat

Namun Maizura dapat juga dikesan oleh keluarganya.

"Kerana tidak tahan dengan sikap saya, apabila saya pulang ayah telah mengurung saya di dalam bilik serta tangan dan kaki digari.

"Meskipun begitu, mereka tetap memberi makanan dan minuman, mandi dan juga menukar pakaian saya. Bagaimanapun saya dapat mencuri kunci bilik dan lari ikut tingkap.

"Pada masa itu, saya tekad untuk lari dari rumah bersama Faizal dan membina hidup bersama. Kami lari ke Seremban selama dua hari dan tidur di stesen bas.

"Selepas itu kami ke Kelantan dan tinggal dengan nenek Faizal. Akhirnya kami dapat dikesan oleh keluarga. Mereka mengikat tangan saya sebelum membawa pulang ke rumah," ceritanya.

Maizura kemudian dihantar ke Perak sebelum ke Kedah untuk dijaga oleh saudara-mara. Namun Faizal terus mencarinya dan episod cinta nafsu mereka berulang.

Malah dua pusat pemulihan tidak berjaya menginsafkan Maizura hanya disebabkan dua perkara iaitu cinta dan juga gelora nafsu seks.

"Keluarga telah hilang punca dengan sikap saya. Namun sudahnya saya tahu rupa-rupanya Faizal seorang kasanova.

"Ramai perempuan yang telah diperdayakan sehingga ada yang mengandung anak luar nikah. Diri ini hanya dijadikan tempat memuaskan nafsu buasnya.

"Di Pusat Jagaan Baitul Islah di Shah Alam ini, saya betul-betul ingin berubah. Menyesal air mata darah sekali pun tidak berguna kini," katanya.

Ujarnya lagi, dia ingin menyambung persekolahan yang tertangguh serta berhasrat menjadi seorang guru.

"Biar apabila menjadi guru nanti saya akan menceritakan pengalaman yang dilalui agar anak murid tidak mengikut jejak langkah saya.

"Kata orang, manusia belajar daripada pengalaman dan realiti. Ini kisah benar yang berlaku kepada saya. Saya mahu mencuci semua dosa lalu," katanya.

Hanya fikirkan anak-anak


Anak-anak adalah segala-galanya bagi ibu tunggal, Rosni Abdullah. Biar sebanyak mana orang datang untuk mengambil mereka sebagai anak angkat, Rosni sesekali tidak akan menyerahkannya. Baginya, hanya anak-anak memberi kebahagiaan kepadanya walaupun dia hidup tanpa wang.




KETIKA temu bual ini diadakan, genap 39 hari kisah penderitaan ibu tunggal, Rosni Abdullah disiarkan di muka hadapan akhbar Kosmo!.

Dua hari selepas penyiaran berita Kosmo! kepayahan hidup Rosni, 43, membesarkan 15 orang anak di sebuah pondok tanpa dinding di dalam hutan dekat Kampung Sepial, Jerantut, Pahang, disiarkan pula di sebuah rancangan di stesen televisyen swasta.

Ekoran pendedahan itu, maka muncul pihak-pihak tertentu menghulurkan pelbagai bentuk sumbangan sama ada dalam barangan mahupun wang tunai.


HAMPIR semua kelengkapan rumah disumbang oleh UMNO Jerantut.



NORHAFIZAH selesa mengulang kaji pelajaran di Kuaters JKR, Jerantut, Pahang.


Detik khabar tentang bantuan tersebut diterima membuatkan hati Rosni mekar berbunga, apatah lagi anak-anaknya kini dapat hidup selesa di sebuah rumah yang dibiayai sewa bulanan oleh syarikat Able Build Sdn. Bhd.

Namun bunga-bunga yang mekar di hati Rosni kala ini seperti semakin layu dimamah masa. Ini kerana sumbangan dan bantuan kewangan yang dijanjikan masih belum diterima sebagaimana yang diluahkannya kepada penulis pada tarikh temu bual ini diadakan di Kuarters JKR, Batu 1, Jerantut, Pahang pada 11 April lalu.

"Memang bersyukur sangat sebab dapat banyak bantuan. Rumah tempat berteduh ini pun, ada yang bayarkan sewa bulanannya. Terima kasih kepada semua yang menghulurkan sumbangan.

Belum terima RM450

"Tetapi sehingga hari ini, saya hanya terima bantuan bulanan yang dahulu iaitu RM70 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Saya difahamkan, tambahan bantuan daripada RM70 kepada RM450 sebulan sudah diluluskan tetapi petang kelmarin, saya pergi ke bank (BSN), saya tengok...belum masuk lagi duitnya...,'' kata Rosni perlahan.


KUARTERS JKR di Batu 1, Jerantut, Pahang kini menjadi tempat berteduh buat Rosni sekeluarga.



NORSUHADA ALIA pernah diminta oleh seseorang untuk dijadikan anak angkat.


Memikirkan dirinya tidak lagi bekerja sebagai pencuci pinggan kerana mahu mengurus anak-anak sepenuh masa, Rosni begitu berharap agar bantuan kewangan yang dijanjikan itu dapat diberi dalam waktu terdekat ini.

Sungguhpun begitu, Rosni masih boleh menarik nafas lega kerana individu dan pihak tertentu masih tidak putus-putus memberi sumbangan.

"Banyak dah...pakaian terpakai. Memang itu juga diperlukan tetapi untuk meneruskan hidup, saya memerlukan sumber pendapatan yang tetap.

"Memang ada anak-anak yang telah bekerja. Tetapi sebagai pekerja kilang, banyak mana sangatlah gaji mereka. Cukup lepas diri sendiri sahaja. Sesekali ada juga yang menghulurkan RM50 untuk belanja,'' ujarnya yang terkilan kerana kemiskinan menyebabkan dia tidak dapat memberi pendidikan yang sempurna untuk kesemua anak-anaknya.

Namun begitu, Rosni tekad untuk memastikan lapan anak-anaknya yang masih bersekolah cemerlang dalam pelajaran.


SEBAHAGIAN daripada permata hati Rosni.


Mengulas jumlah anak yang ramai, Rosni memberitahu, dia pernah berusaha mengehadkan jumlah kelahiran anak.

"Mungkin ada orang bertanya kenapa saya melahirkan banyak anak dalam keadaan hidup yang begitu miskin. Saya pernah makan pil perancang tetapi kesan sampingannya menjadikan saya lemah. Perut terasa 'keras', tak selesa dan akhirnya saya berhenti. Doktor pernah suruh saya masukkan alat tetapi saya takut. Saya reda dengan apa yang Tuhan beri,'' ujarnya yang sedih dengan tanggapan orang ramai terhadapnya itu.

Rosni kini menanggung lapan anak-anak yang masih bersekolah manakala dua lagi anak-anaknya yang belum bersekolah ialah Mohd. Amizan Mukhriz, 5, dan anak bongsu, Norsuhada Alia, 3.


INILAH pondok yang dihuni Rosni sekeluarga selama lebih dua bulan sebelum dipindahkan ke kuarters JKR Jerantut.


Janji Rosni adalah dia akan berusaha memastikan kesemua anak-anaknya itu mendapat pendidikan yang sempurna.

Kerja membanting tulang

Berkahwin pada usia 19 tahun, Rosni mengakui dia tidak pernah berasa kesenangan hidup memandangkan keluarganya juga miskin sepertinya. Rosni dibawa berpindah ke Felda Sungai Tekam Utara dekat Jerantut, Pahang ketika berusia enam tahun.

"Saya sekolah setakat darjah satu. Boleh baca dan tulis. Tak sambung sekolah sebab adik-beradik ramai dan kami miskin. Sejak berusia 11 tahun, saya sudah mula bekerja. Macam-macam kerja saya buat, antaranya ambil upah menyangkul rumput, jadi pengasuh budak dan kerja-kerja biasa yang lain,'' ujar anak kesembilan daripada 11 orang adik-beradik ini.

Membayangkan kehidupannya susah kerana tiada pelajaran, membuatkan Rosni sanggup membanting tulang untuk memastikan kesemua anak-anaknya dapat ke sekolah. Menurutnya, dia tidak pernah menyuruh anak-anaknya berhenti sekolah, sebaliknya apa yang berlaku ialah ada dalam kalangan anak-anaknya tidak mahu ke sekolah kerana tidak sanggup berjalan kaki jauh dan tiada wang saku.

"Pernah sekali, ketika saya berbasikal balik dari menoreh, seorang guru menahan saya di tepi jalan untuk memaklumkan saya mengenai seorang anak saya tidak hadir ke sekolah selama beberapa hari.

"Saya menangis mendengarnya kerana tidak sangka ada anak saya yang ponteng sekolah. Namun, saya tidak menyalahkannya kerana dia mungkin tertekan kerana kemiskinan yang kami lalui,'' ceritanya mengimbas kisah itu.

Rosni menambah: "Alhamdulillah, selepas berpindah ke rumah baru ini, barulah dia mahu ke sekolah. Sekarang, semua anak-anak saya kembali ke sekolah dan itulah yang paling menggembirakan saya.''


WALAUPUN hidup tanpa wang, Rosni tidak sanggup berpisah dengan anak-anak.





Terkini, paling menggembirakan Rosni apabila anak keduanya, Yong Azua, 23, memulakan kerjaya sebagai seorang eksekutif perakaunan mulai hari ini (20 April) di syarikat Touch Matrix Sdn. Bhd., di Kuantan, Pahang.

"Dialah harapan saya dan menjadi contoh kepada adik-adik supaya rajin belajar. Walaupun kami miskin dan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, Yong tidak peduli semua itu. Sebaliknya, dia nekad untuk terus belajar sehingga ke menara gading dan berjaya memperoleh segulung ijazah,'' cerita Rosni kembali ceria.

Tiga hari makan kanji

Bercerita tentang soal makan dan minum, wajah Rosni kembali muram. Katanya, kesempitan hidup yang dialaminya memaksanya mengikat perut, asalkan anak-anak dapat makan.

"Paling tidak dapat saya lupakan apabila kami sekeluarga terpaksa makan kanji (bubur nasi) selama tiga hari berturut-turut.

"Ketika saya mengacau kanji di atas dapur, tanpa disedari air mata saya menitis masuk ke dalam periuk. Saya berasa sungguh sebak memikirkan hanya itulah yang saya mampu sediakan untuk anak-anak selama tiga hari,'' ceritanya sambil tidak dapat menahan kelopak matanya daripada digenangi air mata duka.

Menurut Rosni, kanji yang dimasak itu dimakan bersama kepala ikan bilis goreng. Ketika itu, katanya, dia kehabisan wang kerana tidak dapat keluar menoreh memandangkan hujan tidak berhenti selama berhari-hari.

Kini, semua keperitan itu sudahpun berakhir dan dengan kehidupan yang lebih baik, Rosni bercerita.

"Alhamdulillah, kini sudah ada tempat berteduh yang selesa. Hampir semua kelengkapan di rumah ini disediakan oleh UMNO Jerantut. Ada televisyen, peti sejuk, katil, tilam, bantal, dapur gas dan pinggan mangkuk.

"Syukur anak-anak dapat berteduh di rumah ini. Kalau duduk di pondok, usah mimpilah nak dapat semua ini. Bila hujan...tempias. Air dan api (elektrik) tak ada. Nak masak dan minum, saya angkut air dari loji air Mela. Pakai gelen, usung naik basikal..., susahnya Tuhan sahaja yang tahu,'' ujar ibu kelahiran Malim Nawar, Perak itu.

Rosni juga memberitahu, dia tidak pernah bercerita tentang kemiskinan hidupnya dengan adik-beradik.

Ini kerana, kesemua adik-beradiknya juga hidup susah dan ibunya yang sakit kini dijaga oleh seorang abangnya di Felda Sungai Tekam Utara.

"Saya sedih kerana jarang dapat jenguk mak kerana tak cukup duit tambang untuk balik kampung,'' katanya yang berharap dapat sentiasa melawat ibunya selepas detik hitam hidupnya sebagai seorang rakyat termiskin berakhir.

Sudah berusia 482 tahun


Pelabuhan ini sudah dikenali sejak abad ke-12 dan ketika itu, ia merupakan pelabuhan terpenting Kerajaan Sunda yang beribu kota di Pajajaran.




APABILA kaki mencecah tanah sebaik melangkah turun dari bas, raut wajah penulis terus disapa bayu laut dari muara Sungai Ciliwung, sebuah lokasi yang menempatkan pelabuhan Sunda Kelapa.

Deretan puluhan kapal kayu tersusun elok di tepi sungai tersebut seolah-olah menyambut ketibaan kami yang kebanyakannya baru pertama kali berada di Jakarta, ibu negara Indonesia.

Terletak di Jakarta Utara, pelabuhan pertama dan tertua di Indonesia itu kini telah pun berusia 482 tahun sejak mula dibuka pada tahun 1527.

Pada zaman dahulu, Sunda Kelapa dimiliki oleh Kerajaan Sunda yang ibu negerinya terletak di Pakuan Pajajaran atau kini dikenali sebagai Bogor.




Menurut pemandu pelancong kami yang berkulit agak gelap tetapi pandai berbahasa Inggeris, Pak Ali, meskipun hari lahir kota Jakarta ditetapkan pada abad ke-16, namun sejarah Sunda Kelapa sudah bermula lebih awal iaitu ketika zaman pemerintahan kerajaan Tarumanagara.

"Sebelum diperintah oleh Kerajaan Sunda, Tarumanagara terlebih dahulu menguasai daerah ini. Kerajaan Tarumanagara pernah diserang dan ditakluk oleh Kerajaan Sriwijaya dari Sumatera.

"Jika diselak lembaran sejarah dahulu kala, pelabuhan Sunda Kelapa memang terkenal sejak abad ke-12. Ia adalah pelabuhan terpenting Kerajaan Sunda pada zaman tersebut.

"Kemudian, apabila agama Islam mula bertapak di sini, diikuti kehadiran penjelajah dari Eropah, Sunda Kelapa terus menjadi perebutan antara kerajaan-kerajaan Nusantara dan Eropah," jelas Pak Ali yang mempunyai begitu banyak pengetahuan mengenai negara tercintanya, Indonesia.

Sewaktu zaman gah pelabuhan ini, banyak kapal-kapal besar dari China, Jepun, India Selatan, negara-negara Timur Tengah dan sebagainya sering berlabuh di sini dengan membawa barang-barang dagangan.


PELABUHAN Sunda Kelapa pada zaman dahulu.


Antara barang dagangan yang popular adalah pinggan mangkuk porselin, sutera, kopi, pewangi, buah-buahan seperti anggur, pewarna serta kuda yang kemudian ditukar dengan rempah-ratus yang menjadi komoditi dagangan ketika itu.

Kemasyhuran pelabuhan Sunda Kelapa saat itu memang tidak dapat dinafikan. Malah, pengembara dan pelaut terkenal dari Portugis, Tom Pires yang pernah mengunjungi pelabuhan-pelabuhan di pantai utara Pulau Jawa antara tahun 1512 hingga 1515, menggambarkan betapa hebatnya pelabuhan tersebut (Sunda Kelapa).

Dalam catatannya, beliau menyatakan pelabuhan Sunda Kelapa sering disinggahi pedagang-pedagang luar yang membawa bersama hasil dagangan mereka untuk dijual atau ditukar mengikut sistem tukar barang (barter).

Menurut catatan dalam buku yang bertajuk Suma Oriental itu lagi, antara barangan yang banyak diperdagangkan di Sunda Kelapa adalah lada, beras, asam, haiwan, emas, sayur-sayuran dan banyak lagi.


PARA pekerja sibuk memunggah barang dagangan ke dalam lori.


Bagaimanapun, pada abad ke-19 iaitu sekitar tahun 1859, situasi mula berubah di pelabuhan Sunda Kelapa apabila ia semakin kurang didatangi kapal-kapal besar untuk berlabuh.

Semuanya berpunca daripada paras airnya yang semakin cetek sekali gus menyebabkan kapal-kapal tidak dapat berlabuh. Akibatnya, barang-barang yang dibawa perlu diangkut menggunakan perahu yang berkayuh hingga ke tengah laut.

Disebabkan masalah itu, maka sebuah pelabuhan baru yang diberi nama Tanjung Priok dibangunkan untuk menggantikan Sunda Kelapa dan berfungsi sehingga kini. Ia terletak kira-kira 15 kilometer ke arah timur dari pelabuhan Sunda Kelapa.

Kini, kawasan di sekitar pelabuhan tersebut diiktiraf sebagai kawasan pelancongan atau wisata kerana ia mempunyai nilai sejarah yang tinggi terutama di daerah Jakarta.


TEMBOK batu di pintu masuk pelabuhan tertera nama Pelabuhan Sunda Kelapa.


Untuk itu, pelabuhan Sunda Kelapa diselenggarakan oleh sebuah organisasi yang disebut sebagai PT Pelindo II. Bagaimanapun, pelabuhan ini tidak mempunyai sijil International Ship dan Port Security kerana fungsinya yang tidak menyeluruh seperti dahulu kala.

Sebaliknya, kapal-kapal di sini hanya digunakan untuk menghantar atau mengangkut barangan dari pulau ke pulau yang berada di kawasan sekitarnya.

Ketika ini juga, pelabuhan Sunda Kelapa mempunyai keluasan daratan sebanyak 760 hektar dan luas perairan iaitu 16.470 hektar. Ia meliputi dua pelabuhan utama dan pelabuhan Kalibaru.

Panjang keseluruhan pelabuhan utama adalah 3.25km dan luas kawasan perairan pula kira-kira 1.2km. Dengan jarak ini, ia mampu menampung 70 buah perahu layar motor.


KAWASAN muara Sungai Ciliwung yang dipenuhi dengan kapal dan tongkang.


Pelabuhan Kalibaru pula, panjangnya 750m dengan luas daratan 343.399 meter persegi dan luas kolam 42.128 meter persegi. Ia mampu menampung sekitar 65 buah kapal kecil penghantar barang dan memiliki lapangan pengumpulan barang seluas 31.131 meter persegi.

Dalam aspek ekonomi, kedudukan pelabuhan ini amat strategik kerana berhampiran dengan pusat perniagaan di Jakarta seperti Glodok, Pasar Pagi dan Mangga Dua yang terkenal sebagai antara pusat beli-belah terbesar di kota tersebut.

Tidak jauh dari pelabuhan ini, terdapat Muzium Bahari yang mempamerkan peninggalan sejarah kolonial Belanda yang pernah menjajah Indonesia serta barang-barang dalam dunia maritim republik itu.

Menurut pihak berkuasa tempatan, kawasan pantai di pelabuhan itu akan dibesarkan untuk membangunkan sebuah terminal multi fungsi Ancol Timur seluas 500 hektar.

Bagi penduduk tempatan, projek tersebut diharap dapat membangunkan pelabuhan itu yang semakin dilupakan generasi muda masa kini dan secara tidak langsung membantu meningkatkan sumber pendapatan mereka.


PEMANDANGAN kawasan kediaman penduduk yang dapat dilihat sebelum sampai ke pelabuhan Sunda Kelapa di Jakarta Utara, Indonesia.


Namun, tidak kira apa sekali pun, pelabuhan Sunda Kelapa sememangnya satu warisan sejarah Indonesia yang begitu berharga. Ia perlu dipulihara sebaik mungkin agar pemodenan yang mahu dilaksanakan di kawasan tersebut tidak menghilangkan signatur pelabuhan itu yang mempunyai nilai estetika tersendiri.

Seharusnya, rakyat Indonesia harus berbangga kerana mempunyai sebuah pelabuhan yang pernah dikenali sejak abad ke-12, seperti mana juga penulis dan rakyat Malaysia yang berbangga atas pencapaian Melaka satu ketika dahulu yang pernah menjadi tempat persinggahan pedagang dari seluruh dunia.

Memacu kedinamikan ekonomi Malaysia


BARU-BARU ini, ekonomi kapitalis anjuran Amerika-Yahudi musnah setelah beberapa institusi kewangan gergasi dunia jatuh lumpuh. Antara punca kejatuhan ekonomi Amerika-Yahudi adalah disebabkan industri institusi kewangan terlalu mudah meluluskan kemudahan kredit individu; kos kehidupan seharian yang tinggi kerana kenaikan harga minyak dunia; rakyat gagal memenuhi komitmen kredit; syarikat-syarikat pelaburan membeli terlalu banyak opsyen kadar bon-bon terbitan institusi kewangan sehingga menjejaskan pembayaran balik apabila panggilan terhadap komitmen bon-bon tersebut dibuat; dan banyak lagi.

Kita akui bahawa struktur sub-ekonomi kapitalis bukan sahaja disokong dengan rapi dari segi pelaksanaannya malahan diiktiraf dan diguna pakai oleh seluruh dunia. Ini terbukti melalui kewujudan Pertubuhan Perdagangan Bebas (FTO); pusat bebas cukai dunia seperti di Cayman Islands dan Bermuda; lambakan pelbagai mekanisme pelaburan dan tukaran mata wang seperti derivatif, jualan pendek dan panjang, opsyen, urus niaga kadar tukaran dan banyak lagi.

Memang jelas bahawa teori kapitalis anjuran Amerika-Yahudi ini menghalalkan cara agar 'wang terus membuat wang' tanpa sandaran nilai sebenar yang kukuh.

Bagi saya, kesan ekonomi kapitalis ini adalah sama seperti buih kecil yang terus membesar tanpa dapat dikawal lagi sehinggalah ia meletup baru-baru ini. Menurut laporan, kos untuk menangani krisis ekonomi Amerika sahaja tidak termasuk Eropah dan negara-negara sedunia, sudah menjangkau AS$3 trilion.

Dari perspektif positif, Malaysia selaku salah satu unit ekonomi gergasi Asia perlu merebut peluang untuk membentuk semula dan menentukan hala tuju struktur ekonomi baru bagi menggantikan ekonomi kapitalis anjuran Amerika-Yahudi yang sekian lama menguasai dunia.

MENGUKUHKAN KEMBALI KEDUDUKAN

Malaysia yang ekonominya peringkat awal berasaskan pertanian, kemudiannya perladangan dan seterusnya perindustrian, agak 'terkebelakang' apabila hala tuju ekonomi diasaskan kepada industri asas tani.

Hari ini, alasan bahawa ekonomi tersebut adalah kebal dari mana-mana krisis ekonomi juga tidak tepat kerana rata-rata harga barangan makanan masih tinggi.

Sejarah membuktikan bahawa Semenanjung Malaysia dengan kedudukan lokasinya yang strategik sejak awal lagi merupakan sebuah laluan pusat perdagangan antara tersibuk di dunia yang menghubungkan India, China, Jepun dan Australasia.

Kepentingan laluan dagangan ini juga diguna untuk membentuk empayar kerajaan seperti Kerajaan Funan (Segenting Kra), Kerajaan Kedah Tua, Kerajaan Gangga Negara di Beruas, Empayar Srivijaya yang pernah berpusat di Kota Gelanggi Johor, Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka pada kurun 15, Kerajaan Johor-Riau pada kurun 17 dan disusuli dengan Portugis, Belanda dan Inggeris sehingga tahun 1957.

Menyedari hakikat ini, seiring dengan pertumbuhan ekonomi China sebagai pusat tenaga buruh termurah dunia yang kini diiktiraf sebagai 'negara pengilang antarabangsa' dan Jepun terus gagah dengan kuasa ekonomi dunia, Malaysia perlu mengukuhkan kembali kedudukannya sebagai laluan dagangan utama timur-barat.

Usaha ini ternyata penting kerana ia dipandang serius oleh Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial bagi Asia dan Pasifik PBB (UNESCAP) dalam memajukan Projek Keretapi Rentas Asia (Trans-Asian Railway), sebuah projek yang menghubungkan Singapura dan Guongzhou, China.

Negara kita, yang dilengkapi dengan pelbagai kekuatan infrastruktur; ditampung pula oleh firma gergasi dunia seperti Petronas dan Sime Darby Plantations; disokong oleh puluh ribuan modal insan yang dihasilkan oleh lebih 100 institut pengajian tinggi setahun; dikukuhkan pula dengan kedudukan pusat kewangan Islam dunia, sebenarnya sudah lama bersedia untuk melaksanakan ekonomi berasaskan perkhidmatan perdagangan antarabangsa melalui perkhidmatan logistik, pergudangan, 'entrepot' dan sebagainya.

Malaysia sudah pun bersedia memposisikan kedudukannya sebagai pusat perdagangan dunia setaraf dengan Rotterdam atau setidak-tidaknya, mengambil alih kedudukan Pelabuhan Keppel, Singapura.

Kita perlu menggemblengkan kekuatan infrastruktur sedia ada seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas Johor yang sebahagiannya dimiliki oleh Maersk-Sealand International (syarikat kontainer perkapalan terbesar dunia), Lapangan Terbang Senai sebagai Pusat Kargo Udara Serantau, Projek 968 km Electrified Double Track (EDT) dari Johor Bahru-Padang Besar dengan kelajuan keretapi penumpang-kargo selaju 160 km/jam dan MISC Berhad, syarikat perkapalan terbesar negara dengan 190 buah kapal kesemuanya.

Pada masa yang sama, kita juga perlu mencari jalan untuk tumpukan usaha ke arah merealisasikan 'Jambatan Indah Johor Bahru-Singapura' yang lama tertangguh.

Dengan terbinanya jambatan tersebut maka lengkaplah jaringan infrastruktur yang akan memacu Malaysia ke arah pertumbuhan ekonomi pesat mendahului negara-negara jiran serantau dalam menyediakan pelbagai peluang pekerjaan, perniagaan, perkilangan, pembangunan yang melimpah-ruah sekali gus memberi anjakan kepada nilai hartanah dan modal insan negara.

Saya yakin pertumbuhan ekonomi berasaskan perkhidmatan perdagangan antarabangsa ini akan bertindak sebagai 'pemangkin' kepada pelaburan asing langsung (FDI) yang Malaysia dambakan sekian lama.

FERIZ OMAR adalah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)

Somalia perlu pendekatan kemanusiaan


WASHINGTON baru-baru ini mengumumkan pelan empat perkara bagi memerangi kegiatan lanun di perairan Somalia, termasuk mendakwa lanun-lanun yang ditangkap serta membekukan aset mereka dengan bantuan sekutu-sekutunya di peringkat antarabangsa.

Pelan yang diumumkan oleh Setiausaha Negara AS, Hillary Rodham Clinton pada 15 April lalu itu dilihat sebagai langkah terbaru negara kuasa besar itu bagi menangani kegiatan lanun di perairan tersebut yang semakin berleluasa.

Walaupun, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Kesatuan Eropah (EU), AS dan negara-negara sekutu seperti Jepun, Korea Selatan, India malahan China dan Rusia telah menghantar tentera lautnya di perairan itu, tetapi tindakan ketenteraan nampaknya gagal membendung kegiatan lanun di perairan itu.

Malahan, tindakan ketenteraan oleh AS baru-baru ini untuk membebaskan seorang kapten kapal warganya yang ditawan lanun di perairan itu, walaupun berjaya tetapi lanun-lanun tersebut memberi amaran akan membalas dendam bagi membela tiga rakannya yang terkorban dalam operasi itu.

Walau apa pun reaksinya, AS kali ini bersungguh-sungguh untuk menjayakan pelan tersebut. Hillary menyatakan bahawa AS akan menghantar seorang duta ke persidangan penderma Somalia di Brussels pada 23 April ini bagi membantu melaksanakan pelan berkenaan.

Langkah terbaru AS itu juga seolah-olah mengetepikan usaha untuk membasmi kemiskinan dan menamatkan huru-hara di Somalia yang menjadi punca sebenar kegiatan lanun di perairan tersebut, walaupun Hillary menafikan dakwaan berkenaan.

Sukar untuk menilai sama ada langkah terbaru AS untuk memerangi lanun itu akan berjaya atau tidak, kerana AS telah terbukti gagal membendung kegiatan keganasan di peringkat global, walaupun langkah serupa mengenakan sekatan ke atas aset kumpulan pengganas telah dilaksanakan selepas tragedi 11 September.

Penganalisis melihat isu lanun di perairan Somalia hanya boleh diatasi sekiranya masyarakat dunia kembali memberi tumpuan kepada isu utama yang dihadapi oleh negara tersebut. Kembalikan kerajaan yang stabil di Somalia sejak 1991 apabila Presiden ketiga negara itu, Mohamed Said Barre digulingkan oleh kumpulan pemberontak Kongres Bersatu Somalia (USC), yang diketuai Mohamed Farrah Aidid.

Keadaan politik yang tidak menentu dan pertelingkahan kaum menyebabkan penduduk Somalia hidup dalam kemiskinan, berlaku kebuluran, wabak penyakit, kemelesetan ekonomi, selain bencana kemarau yang memburukkan lagi keadaan ekonomi negara itu.

Sehubungan itu, AS perlu menilai semula dasarnya berhubung isu lanun di perairan Somalia. AS dan sekutunya perlu menukar pendekatan kekerasan kepada pendekatan kemanusiaan di Somalia untuk menangani isu lanun di perairan itu.

AS boleh menggunakan dana besar untuk operasi ketenteraannya di Iraq dan Afghanistan bagi menjayakan rundingan damai antara puak-puak yang bertelagah di Somalia dan membantu membangunkan semula ekonomi Somalia.

Selagi isu domestik di Somalia tidak ditangani, maka isu lanun di perairan itu tidak akan dapat diselesaikan dan kos operasi ketenteraan akan meningkat, selain mengugat urusan perdagangan antarabangsa yang melibatkan urusan niaga bernilai berbilion-bilion dolar.

Budaya membaca trend negara maju


LAUTAN pengunjung dan ulat buku yang hadir di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 yang dijangka mencecah sasaran 2.5 juta pelawat tahun ini. Dengan jumlah hampir 10 peratus daripada penduduk Malaysia, ia membuktikan rakyat negara ini sememangnya masyarakat yang cintakan buku.

Perkembangan ini mampu memberi impak positif kepada industri dan pasaran buku dalam memupuk minat membaca yang tinggi di samping menjadi momentum penting kepada tahap literasi negara pada masa hadapan.

Ini dikuatkan lagi dengan perangkaan terkini Jabatan Statistik Negara 2008 bahawa kadar literasi atau celik huruf rakyat Malaysia adalah tinggi berbanding negara Asia Tenggara lain.

Bagaimanapun usaha berterusan perlu ditingkatkan bagi meningkatkan kadar literasi rakyat agar setanding dengan negara maju lain di dunia.

Berdasarkan kepada statistik tersebut, ia menunjukkan kadar literasi rakyat negara ini yang berumur 15 tahun ke atas ialah 93.2 peratus. Ia merupakan satu kejayaan kepada negara.

Statistik ini berkemungkinan besar berkait rapat dengan transformasi sistem pendidikan negara yang sedang dilaksanakan. Di samping itu, kewujudan Dasar Buku Negara (DBN) turut meningkatkan amalan dan tabiat membaca rakyat Malaysia.

Ia merupakan perkembangan memberangsangkan berbanding laporan dan kajian akademik sebelum ini. Pada 2005, profil pembaca mendapati rakyat Malaysia berumur di bawah 40 tahun kurang membaca. Iaitu sekadar dua buah buku sahaja setahun.

Sementara itu, bagi kumpulan berumur 10 tahun dan ke atas pula, daripada 85 peratus rakyat yang membaca, 77 peratus hanya membaca akhbar. Tiga peratus membaca majalah dan buku manakala 1.6 peratus yang lain membaca komik.

Perkara ini jelas menunjukkan rakyat negara ini masih lagi cenderung membaca bahan bacaan ringan. Berbanding rakyat negara maju, mereka lebih gemar membaca bahan bacaan lebih berat dalam bentuk buku. Ia termasuk generasi muda yang seawal sekolah rendah lagi.

Oleh itu, tabiat ini perlu diperbaiki dari semasa ke semasa melalui dasar sedia ada yang lebih menyeluruh dan dipertingkatkan seiring dengan tahap literasi rakyat negara ini.

Ini kerana menurut Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, objektif pengembangan budaya membaca di kalangan rakyat wajar dilihat dari aspek memperkasa agenda nasional. Ia dilaksanakan secara bersepadu dengan proses pembinaan tamadun negara, bangsa dan pembangunan modal insan tanpa kompromi.

Kadar literasi yang tinggi di kalangan penduduk di negara ini juga menunjukkan lebih banyak bahan bacaan tradisional seperti buku dan lain-lain. Ia termasuk kerancakan aktiviti penterjemahan serta penerbitan diperlukan bagi menampung peningkatan indeks celik huruf di negara ini.

Usaha ini perlu digiatkan walaupun lambakan bahan bacaan digital secara percuma begitu meluas serta mudah diakses di internet.

Kehadiran aplikasi e-book, blog dan sebagainya tidak menggugat industri penerbitan bahan bacaan bercetak bahkan merancakkan lagi budaya membaca serta tradisi ilmu di negara kita.

Laporan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) 2007/2008 menunjukkan kadar literasi rakyat Malaysia berada di belakang negara maju seperti Jepun, Britain, Amerika Syarikat, Australia dan Jerman yang mempunyai kadar literasi tinggi sehingga 99 peratus.

Lazimnya semakin negara menempah kemajuan, rakyatnya lebih banyak dan kuat membaca. Ini kerana budaya membaca menjadi trend dan tradisi masyarakat negara maju sejak dahulu lagi.

Tambahan pula kedudukan Malaysia dalam Indeks Pembangunan Pendidikan Untuk Semua meningkat ke tangga 45 daripada 129 negara yang terlibat dalam kaji selidik Laporan Pemantauan Global 2009 berbanding kedudukan 56 yang dicapai pada tahun 2008.

Ini menunjukkan bahawa kerajaan komited menuju negara maju tidak lama lagi dan pencapaian itu bermakna Malaysia sebagai antara penyokong kuat Agenda Pendidikan Untuk Semua (EFA) menjelang 2015 bagi merealisasikan misi buta huruf sifar.