Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

23 Februari 2009

Nostalgia kolong


Oleh Mohd Azis Ngah


(gambar atas) Lubang angin yang membekalkan udara segar ke dalam lombong. dan (gambar bawah) Bekas tapak kilang.

Lombong bijih timah Sungai Lembing terus dilupakan selepas berjasa kepada ekonomi England

UMPAMA memasuki bilik kecil yang dipasang penghawa dingin 24 jam tanpa henti, begitulah sejuknya udara di dalam terowong bijih timah ketika memasuki bekas lombong di Sungai Lembing, Pahang, kira-kira 40 kilometer dari Kuantan.

Tanggapan awal mungkin suhu di dalam lombong itu panas disebabkan kedudukannya jauh ke dalam bukit dan ke dalam tanah jauh meleset kerana kawasan perlombongan yang wujud sejak lebih 100 tahun dulu sebenarnya sudah dilengkapi sistem penghawa dingin menggunakan alam semula jadi.


Memang menarik menyaksikan sendiri kehebatan teknologi pada masa itu yang membuatkan bandar Sungai Lembing cukup masyhur di merata dunia, bahkan digelar 'El-Dorado Timur' di Tanah Melayu hinggakan wujudnya sebuah perkampungan Inggeris yang istimewa di Lembah Sungai Kenau.

Di situlah British membawa pulang kekayaan dan keuntungan untuk menyelamatkan England yang ketika itu dilanda kemerosotan ekonomi dan tidak hairanlah Sungai Lembing juga dianggap 'Penyelamat Mahkota Ratu England'.

Berbicara soal kemasyhuran Sungai Lembing sudah kerap diutarakan, namun generasi masa kini seharusnya belajar mengenai teknologi yang diguna pakai ketika ini membuatkan pelombong yang mencari gali hingga kedalaman 12,000 kaki boleh bekerja dengan tenang dan selesa.

Sharif menunjukkan enjin jana kuasa terbiar.

Beberapa lubang angin yang disalut konkrit di dalam terowong itu masih kukuh dan sama sejak dikorek lebih 100 tahun dulu. Saiznya yang boleh memuatkan badan orang dewasa menghala ke puncak bukit sudah membayangkan bagaimana sistem itu berfungsi.

Lubang angin itu disambungkan ke terowong utama di permukaan sebelum disambungkan ke terowong menegak ke bawah tanah. Ia bertujuan memastikan udara panas di dalam terowong sentiasa bertukar ganti dengan udara baru yang masuk secara automatik melalui lubang di puncak bukit.

Jika sistem pengudaraan di dalamnya teruk, sudah pasti beribu pelombong yang bekerja di situ akan sesak nafas. Situasi sekarang jauh berbeza kerana ada pelombong dibekalkan tabung oksigen bagi kes kecemasan tetapi kemudahan itu masih belum wujud pada ketika itu.

Kayu yang digunakan sebagai penahan hakisan di terowong daripada jenis kayu cengal juga masih kukuh dan menurut beberapa bekas pelombong, kayu itu masih boleh bertahan hingga 50 tahun lagi.

Lokomotif membawa bijih keluar dari lombong.

Satu fakta penting ialah Sungai Lembing adalah bekas lombong tertua, terpanjang dan paling dalam di dunia pada waktu itu, iaitu sedalam 971 meter (2,400 kaki). Sehingga tahun 1915, keseluruhan kawasan pembangunan meliputi kawasan seluas 40 batu dan lombong paling dalam iaitu 'Nicholsons Shaft' telah sampai ke aras 12,000 kaki dari permukaan.

Mungkin ramai yang beranggapan hanya terdapat satu lombong bijih timah di Sungai Lembing yang dikendalikan oleh Pahang Consolidated Company Limited (PCCL), hakikatnya dalam lingkungan lapan batu persegi Sungai Lembing terdapat sembilan lombong berasingan.

Jika diambil kira jarak perjalanan jalan darat dari Kuala Lumpur ke Kuantan, Pahang, dianggarkan lebih 300 kilometer (km). Ini bermakna, sejak lebih 100 tahun dulu, sudah ada laluan terowong bawah tanah yang sama panjangnya dengan laluan itu yang berpangkalan di Sungai Lembing.

Ketika ini, jika memasuki bekas tapak lombong yang terletak di kawasan bukit, pengunjung akan menemui dua pintu masuk dipanggil Muka Lombong yang turut menempatkan bekas tapak rumah jurutera di atasnya tetapi laluan itu ditutup kerana dianggap tidak selamat.

Bersebelahan dengannya terdapat bekas bilik kecil di dalam bukit yang menempatkan ruangan mengisi granit, sejenis bahan letupan memecahkan batuan. Bilik itu juga mempunyai satu sistem lubang angin dan mempunyai dua lapisan pintu bagi tujuan keselamatan.

Agak menyedihkan, ketika ini, bekas lombong yang pernah menjadi lubuk rezeki kepada lebih 30,000 pekerja, penduduk tempatan dan sekitar kawasan itu boleh dikatakan tidak terjaga sepenuhnya. Cuma tinggal sebuah muzium, tinggalan bangunan lama, bekas tapak kilang yang hampir musnah dan rumah kongsi serta deretan kedai lama.

Ketika zaman kegemilangan perlombongan bermula tahun 1886 selepas orang Eropah menguasai aktiviti di situ, British telah merancang bandar Sungai Lembing dengan sempurna termasuk menyediakan hospital muatan 85 katil pesakit, wad bersalin dan kanak-kanak.

Pada 1966, kira-kira 85,000 pesakit luar mendapatkan rawatan di hospital itu termasuk bukan kakitangan syarikat. Rumah kongsi dibina untuk kakitangan dan bekalan air serta elektrik disediakan dengan sempurna dan percuma.

Pada 1948, sebuah sekolah rendah Inggeris, sekolah menengah Inggeris dan sebuah sekolah persendirian Cina dibina oleh syarikat bagi menampung kira-kira 2,000 orang murid di situ, bahkan di era kemuncaknya sekitar 1950-an hingga awal 1980-an, pekan Sungai Lembing mempunyai lebih 40 deretan bangunan kedai yang sentiasa sibuk dengan kegiatan harian.

Pekan itu menjadi pusat perdagangan dan perniagaan terpenting di Pahang ketika itu dengan menjual pelbagai barangan keperluan, termasuk barangan bebas cukai. Tinggalan sejarah menggambarkan kepentingan bandar ini di zaman kegemilangannya. Kepentingan bandar ini mewujudkan satu sistem pengangkutan yang baik dengan bandar Kuantan.

Berdasarkan situasi sekarang, yang ada cuma deretan kedai lama yang masih dikekalkan sebagai tarikan sejarah manakala bekas tapak kilang langsung tidak terurus. Laluan masuk melalui 'muka lombong' disahkan tidak selamat dan pelawat terutama pengkaji dan pihak berkuasa tempatan hanya dibenarkan masuk melalui pintu belakang.

Agak menyedihkan, tinggalan itu termasuk bekas generator menjana kuasa elektrik untuk seluruh bandar Sungai Lembing dibiarkan begitu saja, bangunan kilang masih kukuh tetapi tidak mustahil dalam tempoh 10 tahun, ia akan terbenam dalam runtuhan kerana kedudukannya di lereng bukit terdedah kepada hakisan.

Ia sepatutnya dijaga dan dijadikan tarikan pelancongan, bukan setakat melihat kesan tinggalan di muzium tetapi lebih menarik jika pengunjung dibawa masuk ke dalam terowong dengan kemudahan asas seperti bekalan elektrik disambung ke dalam laluan.

Info: 9 lombong di Sungai Lembing.

  • Lombong Willinks: paling besar dan penting, terbahagi kepada 3 bahagian iaitu: i. Willinks Kabang, ii. Willinks Simons dan iii. Willinks Myah
  • Lombong Gunung.
  • Lombong Pollocks.
  • Lombong Teagues.
  • Lombong Jeram Batang.
  • Lombong Semeliang.
  • Lombong Lama Gagak.
  • Lombong Creek Gakak.
  • Lombong Watet Fall.
  • Lombong Hiltop.
Lombong ini dihubungkan dengan Sungai Lembing melalui jalan raya dan jalan kereta api.

Lombong bijih tinggal nostalgia

SELEPAS Perang Dunia Kedua, beberapa perkembangan drastik berlaku di Tanah Melayu termasuk pengisytiharan kemerdekaan pada 1957. Pajakan lombong di Sungai Lembing juga berakhir pada 1968.

Satu perundingan dijalankan antara Pahang Consolidated Company Limited (PCCL) dengan Kerajaan Negeri dan Persekutuan untuk mendapatkan satu pajakan baru dan PCCL berjaya mendapat satu konsesi baru selama 21 tahun bermula 1 Julai 1965.

PCCL terus menjalankan operasinya dengan memperkenalkan beberapa pembaharuan seperti pemodenan 'rumah kuasa', memperbaiki sistem aliran udara, menggunakan pam yang lebih baik dan kabel elektrik bertekanan tinggi.

Bagaimanapun, pada 1987 operasi perlombongan diberhentikan secara rasmi akibat kejatuhan harga bijih timah dunia.

Akibat penutupan itu, penduduk mula berhijrah dan bermulalah detik Sungai Lembing menjadi sebuah bandar yang sunyi. Ia banyak mengubah wajah dan suasana, daripada sebuah pekan yang sibuk kepada sebuah pekan yang sepi.

Kemegahan Sungai Lembing yang dulunya dikenali sebagai pekan termoden hanya tinggal nostalgia dan menjadi kenangan kepada bekas pekerja lombong bijih timah dan penduduk asal kawasan ini.

Kini, Kerajaan Pahang berusaha membangunkan kembali bandar Sungai Lembing menjadi Bandar Warisan yang bakal memberikan tarikan kepada pelancong. Ini disebabkan bandar ini banyak meninggalkan kesan sejarah dalam aktiviti perlombongan bijih timah.

Ketua Unit Pengurusan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) Sungai Lembing, Ishak Zaidin, berkata secara keseluruhannya, taraf perkhidmatan sosial, awam dan kemudahan infrastruktur agak rendah dan tiada pengurusan yang rapi sejak kegiatan perlombongan Sungai Lembing ditutup.

"Semua kemudahan ini memerlukan peningkatan dan pembaikan semula supaya bandar Sungai Lembing boleh dijadikan sebagai satu kawasan kediaman selesa. Penutupan aktiviti perlombongan bukan saja membekukan pembangunan infrastruktur malah ia juga menjadi punca kawasan ini terabai.

"MPK menjadikan kawasan Sungai Lembing sebagai zon pelancongan yang berasaskan 'Historical Park' kerana terdapat banyak bekas lombong bijih timah dan terowong lama. Ia memang dalam perancangan kita menghidupkan semula bandar ini," katanya.

Ketika Berita Minggu memasuki kawasan itu, laluan utama ke bandar itu juga sedang dibina sebuah pintu gerbang sebagai mercu tanda pengunjung sebenarnya memasuki kawasan yang pernah tercatat dalam sejarah dunia.

Selain itu, MPK juga merancang menjadikan Sungai Lembing sebagai kawasan Pusat Pertumbuhan Utara Pantai Timur menjelang 2020.

Bekas pekerja lombong, Mohamad Sharif Mohamad, 60, dan rakannya, Mohamadd Din Ibrahim, 63, menyifatkan Sungai Lembing sebagai 'Pekan Kecil Bertamadun' dan menyimpan seribu kenangan kepada mereka dan penduduk tempatan.

Mohammad Sharif berkata, terlalu berat membuat keputusan untuk berpindah ke tempat lain selepas lombong ditutup kerana hatinya sudah jatuh cinta dengan kenangan, kemeriahan, kebanggaan sebagai penghuni di situ.

Info: Kaedah perlombongan Sungai Lembing

  • Melombong bawah tanah dijalankan secara menggerudi batuan menggunakan bahan letupan. Kaedah 'cut and fill' paling lazim digunakan.
  • Lokomotif berkuasa bateri dan diesel digunakan menarik gerabak berisi ketulan batu ke kilang memproses terletak berhampiran kawasan lombong.
  • Pusat stesen kuasa yang terletak berhampiran dengan Lombong Willinks mempunyai enam set jana kuasa enjin diesel dan setiap satu unit berkuasa 1,500 kuasa kuda.
  • Kilang pemprosesan syarikat PCCL mempunyai lapan dandang stim berkuasa 1,515 kuasa kuda, enam peratus daripada kuasa elektrik digunakan untuk mengepam air dari lombong Willinks dan Myah.
  • Stesen mengepam air mempunyai enam buah pam yang berkuasa 350 kuasa kuda yang mampu mengepam sebanyak 600 gelen air seminit pada paras setinggi 385.5 meter.

Menangani bencana alam angkara manusia


Oleh Ibrahim Komoo

SEJAK beberapa bulan terakhir ini, Malaysia kelihatan seperti sebuah negara yang berada dalam zon bencana alam serius. Apa tidaknya, bermula dengan beberapa tragedi tanah runtuh di Selangor, termasuk Bukit Antarabangsa, batuan runtuh di Ipoh, tanah runtuh di Miri, dan banjir besar di beberapa daerah, termasuk di Sabah dan Sarawak. Walhal, Malaysia sebetulnya boleh dikategorikan sebagai negara yang 'hampir bebas' daripada bencana alam.

Malaysia pada umumnya bukan sebuah negara yang bergunung-ganang, dengan ramai penduduk tiada pilihan, melainkan terpaksa tinggal di kawasan pergunungan yang berisiko tanah runtuh. Sungai kita tidak terlalu panjang dan berdataran banjir yang luas sehingga penempatan yang sesuai untuk membina kawasan perumahan amat terhad.

Negara kita juga jauh daripada 'jalur lingkaran api', di mana bencana gempa bumi, tsunami dan letusan gunung berapi � berada pada tahap risiko yang sangat rendah. Begitupun, negara kita begitu prihatin dengan rakyatnya yang ditimpa bencana alam.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika menyampaikan bantuan kepada mangsa tanah runtuh dan banjir di Miri baru-baru ini, antara lain menyatakan negara kita terkehadapan dan sering diteladani dalam konteks respon kepada mangsa bencana. Kerajaan menyediakan peruntukan lebih RM200 juta setahun untuk membantu rakyat ditimpa bencana, dan beberapa tahun terakhir ini, negara sudah membelanjakan hampir RM1 bilion setiap tahun untuk membantu dan membaikpulih infrastruktur akibat bencana banjir dan tanah runtuh.

Bencana alam adalah isu yang sangat kompleks dan bersifat rentas sektor. Sangat sukar meramalkan bila, di mana, dan magnitud sesuatu kejadian bencana. Banyak kejadian bencana, hanya jelas dapat dilihat impaknya selepas berlaku, selepas mengorbankan nyawa dan harta benda. Oleh itu, tidak hairanlah kebanyakan negara membangun lebih banyak memberikan tumpuan dan membuat persediaan untuk respon apabila bencana menimpa rakyatnya.

Walaupun, respon sangat perlu � menyelamatkan nyawa, mengawal kerosakan yang lebih besar dan mententeramkan keresahan masyarakat awam, pada hakikatnya respon hanya satu usaha terakhir yang mesti dilakukan untuk menangani bencana. Mengurus bencana secara lebih efektif ialah dengan menyediakan rancangan jangka panjang berstrategi bagi mengurangkan risiko bencana.

Proses pengurangan risiko bencana yang paling asas ialah penyelidikan dan pengumpulan maklumat mengenai bencana secara berterusan. Apabila kita mempunyai maklumat mengenai cirian curahan hujan untuk 500 tahun terakhir, kita akan dapat meramal dengan kepercayaan yang tinggi mengenai corak curahan hujan untuk 500 tahun akan datang.

Apabila kita peta dengan terperinci kawasan di landa banjir, kedalaman air banjir, kelakuan curahan hujan, jenis pembangunan ketika itu dan impaknya, sebetulnya kita sudah mempunyai maklumat penting untuk berdepan risiko bencana banjir pada masa akan datang.

Begitu juga dengan kejadian tanah runtuh, sama ada ia mengorbankan nyawa atau tidak, pengetahuan mengenai kedudukan, saiz, mekanisme kegagalan, faktor penyebab dan pencetus, dan impaknya adalah maklumat paling penting untuk membolehkan kita meramal potensi dan risiko kejadian tanah runtuh akan datang.

Lebih banyak dan tepat maklumat terkumpul, lebih mudah dan jelas bagi kita meramalkan dan merancang tindakan yang boleh diambil untuk meminimumkan impaknya kepada masyarakat dan harta benda. Pendekatan pengurangan risiko bencana yang paling efektif ialah dengan mewujudkan dasar dan perancangan pengurusan bencana secara bersepadu dan jangka panjang. Ada tiga situasi kawasan berisiko bencana ditangani dalam konteks perancangan.

Pertama, kawasan yang sudah dibangun berada pada zon berisiko bencana. Kawasan seperti ini memerlukan perhatian serius dan tindakan pengurangan risiko bencana secara berterusan. Penilaian dan pemantauan terperinci mengenai risiko bencana diperlukan, dan keputusan perlu dicapai sama ada kerja membaikpulih atau pengukuhan boleh dilakukan bagi mengelak kejadian bencana, atau tindakan drastik mesti diambil untuk memindahkan komuniti yang terperangkap dengan risiko bencana yang tinggi ke kawasan lebih selamat.

Ada kalanya proses pemindahan boleh dilakukan menerusi proses perancangan secara beransur-ansur melalui konsep 'pembaharuan bandar', dan secara jangka panjang sesuatu kawasan berisiko bencana dijadikan zon guna tanah baru yang tidak menimbulkan risiko bencana kepada masyarakat.

Kedua ialah kawasan yang sudah ditetapkan sebagai zon pembangunan tetapi berdepan risiko bencana yang tinggi. Sebahagian daripada tapak sudah diperuntukkan untuk pembangunan tertentu dan sebahagian lagi masih dalam proses perancangan. Dalam situasi begini, Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu mempunyai 'kekuatan politik' untuk membuat keputusan baru bagi mengelak kawasan berkenaan terus dibangunkan lantas berhadapan risiko bencana. Proses pendidikan awam, perbincangan sehingga membuat keputusan menang-menang, dan tindakan tegas perlu diambil untuk keselamatan awam.

Ketiga, kawasan milik kerajaan atau awam yang sememangnya sudah diisytiharkan sebagai hutan simpan atau kawasan pertanian, dan berada dalam zon berisiko bencana tinggi. Kawasan begini seharusnya dikekalkan dalam zon guna tanah sedia ada dan diisytiharkan juga sebagai kawasan berisiko bencana alam yang tidak harus dibenarkan untuk di ubah-guna menjadi kawasan pembangunan atau penempatan yang boleh menimbulkan masalah keselamatan awam pada masa akan datang.

Pendekatan paling berkesan untuk mengurangkan risiko bencana ialah pendidikan awam atau komuniti. Apabila masyarakat memahami dan menghayati konsep risiko bencana di sekitarnya, mereka boleh membuat keputusan sama ada untuk terus berdepan dengan risiko bencana atau bertindak dengan lebih bijak untuk memilih tinggal di tempat lebih selamat.

Pendidikan awam perlu dilakukan secara berterusan, pengetahuan mengenai bencana perlu diterapkan dalam sistem pendidikan formal di sekolah dan universiti, dan pendidikan tidak formal melalui pelbagai cara, terutama bagi kawasan yang dikenal pasti berisiko bencana. Salah satu cara paling berkesan ialah menyediakan pusat maklumat, galeri atau muzium khas di kawasan yang pernah mengalami bencana besar, dan ini akan terus mengingatkan komuniti serta pengunjung di kawasan terbabit bahawa bencana pernah berlaku, dan boleh berlaku lagi pada masa depan.

Kesedaran dan penghayatan komuniti mengenai risiko bencana penting sebagai 'ejen perubahan'. Apabila wujud desakan masyarakat, akan wujud pula dasar dan keprihatinan kerajaan untuk memberikan perhatian serius mengenai risiko bencana. Akhirnya, pihak pemaju atau swasta terpaksa akur dengan kehendak masyarakat umum.

Malaysia bukanlah negara yang berdepan bencana serius dan sukar dibendung. Kejadian bencana alam paling meluas ialah banjir sungai � komuniti yang terbabit sudah mampu menyesuaikan diri dengan bencana. Bagaimanapun, usaha berterusan perlu dilakukan untuk mengurangkan risiko bencana dan pada masa sama, memastikan lebih ramai komuniti dibebaskan daripada terus berdepan risiko bencana banjir ini.

Banjir kilat di kawasan perbandaran seperti Kuala Lumpur adalah banjir angkara manusia. Negara perlu membelanjakan wang yang banyak untuk menangani kesilapan yang kita lakukan pada masa lalu. Bencana tanah runtuh pula mula menjadi semakin serius di kawasan perumahan dan perbandaran disebabkan kerakusan pemaju yang ingin mengaut keuntungan tanpa memberi perhatian serius mengenai keselamatan awam.

Langkah jangka panjang yang paling efektif ialah usaha menghindar dan mengurangkan risiko bencana, bukannya tertumpu kepada aktiviti respon saja apabila berlaku bencana.

Prof Datuk Dr Ibrahim Komoo ialah Pengarah Institut Kajian Bencana Asia Tenggara (SEADPRI), UKM

Bangga jadi 'penjaga tali hayat'


Oleh Mohd Azis Ngah


Mohamad Din (kanan) dan Shariff di terowong bekas lombong.

Kegemilangan aktiviti perlombongan di Sungai Lembing buat bekas pekerja bangga kerana menjadi sebahagian daripada sejarah gemilang

MESKIPUN sesetengah pihak menganggap peranan penjaga atau pengawal lif kecil dan berwatak sokongan atau pembantu, tetapi di era kegemilangan industri perlombongan bijih timah Sungai Lembing, Pahang, mereka layak digelar 'penjaga tali hayat'.

Mohamadd Din Ibrahim, 63, Mohamad Sharif Mohamad, 60, dan Abdul Latif Ngah, 55, adalah antara bekas penjaga tali hayat di lombong Sungai Lembing yang masih hidup dan kini menetap di bandar berkenaan yang mereka anggap sebagai bandar kecil bertamadun.


Bagi mereka, kegemilangan yang dicipta hasil aktiviti perlombongan membuatkan mereka bangga kerana menjadi sebahagian daripada sejarah negara dan dunia walaupun kini semuanya tinggal kenangan.

Lebih menarik, mereka yang cuma berpendidikan rendah belajar bagaimana menggunakan teknologi yang boleh dianggap canggih pada ketika itu dan sudah digunakan sejak lebih 100 tahun lalu.

Mohamadd Din yang berasal dari Sungai Lembing mula bekerja di situ pada 1965 ketika berusia 19 tahun. Kerjanya sebagai pemandu Q (lif) selama 21 tahun memberi pengalaman, ilmu baru bagaimana pentingnya bekerja pada tahap disiplin tinggi.

Lif pekerja lombong Sungai Lembing.

"Kami banyak belajar soal pengurusan contohnya, kami cuma dibenarkan bekerja satu syif (lima jam) sehari bertujuan memastikan kami sentiasa dalam keadaan cergas, sihat dan tidak cuai. Sedikit kecuaian akan membawa maut kerana lif yang dikawal membawa pekerja ke dalam lombong," katanya.

Tugasnya dilihat cukup mudah menaikkan dan menurunkan barang atau pekerja ke dalam lombong tetapi ia sebenarnya cukup sukar. Peranannya ialah memastikan lif itu sampai ke tingkat yang dikehendaki hanya berdasarkan kod loceng khas.

Satu contoh mudah ialah kod 3,10, 2 yang membawa maksud ada orang di dalam lif yang perlu diturunkan ke tingkat 10 dan bersedia diturunkan. Kod 3 mewakili orang, 10 bermaksud tingkat dan 2 pula menunjukkan sedia turun.

Bagi kod 4,10,2, ia mewakili barang di dalam lif yang perlu dinaikkan ke tingkat 10 kerana kod 1 bermaksud naik. Kod tambahan iaitu 8 bermaksud kerja menaik atau menurunkan sudah selesai.

"Jika kami tidak mendengar kod loceng dengan jelas, pemandu Q tidak akan menggerakkan lif, kerana kami perlu pastikan maklumat itu tepat. Ia membabitkan soal keselamatan.

"Jika ada pekerja yang sengaja bergurau dengan menekan kod sembarangan, kami tidak akan melayan dan mereka akan tersangkut kerana lif tidak akan bergerak. Sepanjang saya bekerja, belum pernah ada yang bermain-main dengan kod loceng," katanya.

Lif yang membawa pelombong ke kolong bawah tanah memuatkan maksimum lapan orang pada satu masa yang terpaksa berdiri tegak dan berhimpit. Lif bersaiz 6 kaki persegi itu dilitupi penghadang atau pagar setinggi paras pinggang lelaki dewasa.

Ketika memulakan kerja, Din cuma diberikan tugas sebagai penyapu minyak pada kabel lif selama lima tahun sebelum dinaikkan pangkat sebagai pemandu Q. Dengan bayaran gaji RM4.49 sehari dan gaji terakhir RM18.60 sehari, beliau cukup berbangga kerana ia lebih daripada mencukupi pada ketika itu.

"Kami menerima bonus dua bulan gaji setiap tahun, kemudahan air, elektrik disediakan percuma 24 jam sehari. Tempat lain tak dapat kemudahan ini. Kerja di sini langsung tidak tertekan sebab British sudah susun jadual kerja secara sistematik," katanya.

Rakannya, Mohamad Sharif pula bertindak sebagai pemandu Q Besar yang berada di puncak bukit iaitu mengawasi semua laluan ke terowong termasuk lif yang dikawal Mohamadd Din. Q Besar dikhaskan untuk mengangkut bijih timah keluar dari kolong sebelum dihantar ke kilang.

Kini, rumahnya dijadikan mini muzium menyimpan pelbagai koleksi berkaitan lombong Sungai Lembing termasuk sebuah mini lokomotif, serbuk bijih timah, kasut pelombong, kerusi pegawai, beberapa batu uji kaji geoglogi yang digunakan untuk mengkaji tahap matang bijih di lombong baru.

Mengimbas kenangan lalu, tegasnya, walaupun sibuk bekerja selama dua syif sehari, beliau aktif bersukan di kompleks sukan khas untuk buruh.

"Saya sempat beraksi untuk mewakili Pahang. Ketika ini kami di sini sangat aktif, kami bukan hanya bekerja tetapi digalakkan bersukan yang berpangkalan di rumah kelab buruh. British sudah sediakan semuanya, sukan dan rekreasi bagi memastikan kami tidak tertekan ketika bekerja.

"Pada zaman itu, saya adalah rakan sepasukan dengan Datuk Jamal Nasir (Pengurus Bola Sepak Pahang) dan Tajuddin Noor (Jurulatih)," katanya.

Sabariah Ismail, 69, pula adalah satu-satunya anak perempuan Melayu yang diterima bekerja sebagai jururawat di hospital khas kendalian British ketika beliau berusia 17 tahun. Walaupun tidak menerima latihan khas sebagai jururawat, kebolehannya bertutur Bahasa Inggeris dengan baik membolehkannya layak ke jawatan itu.

"Sangat seronok bekerja di hospital itu. Kebersihannya cukup dijaga, kemas dan saya diajar asas kejururawatan oleh Dr Freeman hinggakan saya mampu jalankan tugas menjahit luka dan pemindahan darah.

"Hanya saya seorang perempuan Melayu yang bekerja di situ, rakan lain semuanya berbangsa Cina. Menerima gaji RM60 sebulan hinggalah kepada RM1,000 cukup besar. Dulu, di sini, sangat meriah, sentiasa ada pergerakan sebab pekerja lombong bekerja mengikut syif," katanya kini yang mengusahakan kedai makan berhampiran Muzium Sungai Lembing.

Perketat disiplin tangani gejala pelajar samseng



ISU mengenai pelajar samseng atau gengsterisme di sekolah bukan baru. Malah, kes pergaduhan membabitkan pelajar berlaku saban tahun. Apa yang lebih menyedihkan ialah apabila mangsa dipukul itu akhirnya menemui maut seperti berlaku ke atas Muhd Hadzrin Mohamad, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besi, yang cedera parah di kepala dan meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), kira-kira jam 1 pagi kelmarin di sisi ahli keluarganya. Mangsa dibelasah sekumpulan 24 lelaki dipercayai juga pelajar pada jam 9.30 malam 13 Februari lalu didakwa berikutan perebutan teman wanita. Muhd Hadzrin tidak sedarkan diri selepas menjalani pembedahan mengeluarkan darah beku di kepalanya akibat dipukul dengan besi dan topi keledar. Kita bersetuju dengan pendapat Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Peng bahawa sudah sampai masanya peraturan atau pendidikan mengenai undang-undang diperkenalkan di sekolah terutama sekolah menengah supaya masalah disiplin tidak menjadi lebih serius. Di samping itu, Kementerian Pelajaran juga harus memperkemas segala bentuk peraturan di sekolah dengan memberi kefahaman mengenai matlamat, kesan dan usaha mengemaskini peraturan sedia ada perlu dilakukan secepat mungkin untuk disesuaikan dengan keadaan semasa. Kelonggaran disiplin di sekolah menjadi penggalak kepada tindakan drastik pelajar dan lebih mendukacitakan apabila mereka berada di luar sekolah, mereka membawa budaya yang diamalkan di sekolah untuk mereka melebarkan pengaruh di dalam masyarakat.

Pernah satu kajian dibuat pada September 2006 yang mendapati ada antara pelajar direkrut oleh kumpulan samseng di luar dan selepas mereka tamat persekolahan, mereka inilah yang menjadi 'raja' di luar. Kita juga menyokong saranan Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, supaya ditubuhkan jawatankuasa khas di setiap sekolah, dianggotai wakil guru, Jabatan Pelajaran Negeri dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru bagi menyiasat secara terperinci sama ada pelajar mereka terbabit dalam kegiatan kumpulan samseng yang berkemungkinan boleh menjurus kepada perlakuan jenayah. Kita berpendapat, penyertaan cergas ibu bapa dan guru, berupaya membendung gejala jenayah di sekolah kerana guru lebih tahu tingkah laku muridnya dan ibu bapa lebih arif sikap anak mereka. Kerjasama erat kedua-dua pihak ini amat penting terutama ibu bapa yang tidak boleh lagi menyerahkan kepada pihak sekolah untuk menjaga disiplin anak mereka. Kita sudah sedia maklum bahawa tindakan gantung sekolah dan buang sekolah dianggap tidak relevan kerana ramai berpendapat bahawa kalangan pelajar yang dibuang sekolah inilah yang bakal menjadi sampah masyarakat. Mereka yang terumbang-ambing di luar inilah yang bakal menambah jumlah pesalah sosial seperti melepak, ragut, mencuri dan sebagainya.

Ubat kasih






Damba belaian: Pesakit kronik perlukan simpati penjagaan penuh sayang anggota masyarakat bagi meneruskan saki-baki kehidupan

BELAIAN, perhatian dan penjagaan. Inilah perkara asas diperlukan pesakit kronik, tetapi malangnya sukar diperoleh akibat sikap anggota keluarga mahu pun petugas yang merawatnya.

Ibarat pepatah berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, sukar sebenarnya menyelami isi hati pesakit ini yang diselubungi keresahan selepas mengetahui penyakit dialami serta pelbagai proses rawatan susulan. Lebih sukar, bagaimana menempuh hari mendatang serta penerimaan anggota keluarga sendiri dan masyarakat sekeliling.


"Pelbagai persoalan yang bermain dalam kotak fikiran mereka sebenarnya. Malangnya, ramai yang salah tanggapan terhadap pesakit ini yang menganggap usaha memberi ubat serta rawatan saja sudah memadai.

"Tidak ramai yang mengendahkan aspek yang tidak kurang pentingnya iaitu soal hati dan perasaan mereka. Pada peringkat ini, aspek simpati, belaian, perhatian dan penjagaan daripada orang tersayang serta petugas kesihatan boleh memberi kekuatan kepada mereka berdepan hari-hari mendatang," kata Ketua Pegawai Eksekutif Hospis, Dr Ednin Hamzah.

Katanya, pesakit yang dirujuk kepada Hospis Malaysia lazimnya berada dalam keadaan yang terlalu tenat dan tiada harapan sembuh. Lebih sedih lagi, ada anggota keluarga yang tidak tahu apa perlu dilakukan.



"Kita memberi tunjuk ajar seperti rawatan serta sokongan. Keluarga tidak harus menyisihkan mereka, sebaliknya perlu lebih prihatin terhadap keinginannya. Sokongan psikologi amat penting bagi mengelak pesakit berasa lebih tenat dan tertekan dengan keadaan di sekeliling."

Katanya, anggota keluarga juga perlu lebih peka, termasuk melakukan penyelidikan sendiri berhubung penyakit dialami dan tidak menyerahkan bulat-bulat kepada petugas perubatan.

Lebih sukar lagi apabila petugas perubatan seperti pakar dan jururawat hospital tidak berkomunikasi dengan pesakit dan menyifatkan pemberian ubat dan rawatan sebagai memadai.

"Di sinilah kepincangan sistem penjagaan kesihatan negara yang tidak memberi tumpuan kepada aspek psikologi pesakit. Kita juga tidak memberi penekanan soal latihan bagi melahirkan barisan jururawat yang cekap," katanya.

Hubungan akrab Noridayu dan Siti Hajar lebih kepada ikatan persahabatan.

Kekurangan jururawat di bidang paliatif itu menyebabkan institusi seperti Hospis Malaysia terpaksa berusaha bersendiri bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

"Tiga perkara diberi keutamaan di sini iaitu sikap, pengetahuan dan kemahiran. Jururawat kami sentiasa diberi pendedahan serta sesi latihan bersesuaian dengan keperluan semasa. Mereka bukan saja menjadi jururawat, tetapi juga doktor, pakar, ahli farmasi, psikologi serta sahabat pada satu masa," katanya.

Malangnya, Hospis Malaysia berdepan kekangan seperti masalah kekurangan jururawat mahir yang agak kronik.

"Kami cuma mempunyai 10 jururawat yang perlu mengendalikan kira-kira 1,500 pesakit. Ini bermakna seorang jururawat itu perlu mengendalikan antara 50 hingga 60 pesakit pada satu-satu masa. Ini menyebabkan kami terpaksa mengagihkan mereka mengikut kawasan di sekitar Lembah Klang ini."

Selain kekurangan tenaga, Hospis Malaysia juga memerlukan pembiayaan kira-kira RM1.8 juta setahun bagi operasi serta mengendalikan pesakitnya.

INFO: Hospis Malaysia

  • Badan kebajikan ditubuhkan pada 1991

  • Terletak di Taman Sri Bahtera, Cheras

  • Menerima pesakit kronik seperti barah, HIV/Aids serta kegagalan organ badan

  • Majoriti pesakit adalah penghidap barah

  • Hanya menerima pesakit yang dirujuk hospital serta masih berkeluarga

  • Perkhidmatan termasuk penjagaan Paliatif dari rumah ke rumah dengan menghantar doktor atau jururawat terlatih bagi merawat pesakit di rumah serta tunjuk ajar keluarga

  • Khidmat lain termasuk penjagaan harian kepada pesakit yang mana mereka akan dibawa ke bangunan Hospis

  • Mempunyai 10 jururawat yang mengendalikan 1,500 pesakit

  • Maklumat lanjut hubungi talian 03-9133 9936

21 Februari 2009

Mandian cahaya Jonker Walk


Oleh Badrul Hizar Ab Jabar


Jonker Walk di waktu malam.

Budaya kuno tanglung serlah keunikan Melaka

BAYANGKAN anda dikelilingi kerlipan ribuan lampu tanglung aneka warna terutama rona merah dalam pelbagai bentuk. Hati siapa yang tidak teruja? Sejak mula diamalkan, dipercayai pada abad 250 masihi, budaya memasang tanglung setiap kali tibanya tahun baru terus dipertahankan masyarakat cina. Begitulah senario yang dilihat di bandar raya bersejarah, Melaka.

Jika anda teringin menikmati 'mandian' cahaya tanglung, apa kata berkunjung ke Jonker Walk di Melaka. Di sepanjang lokasi popular ini, anda akan melihat lebih 10,000 tanglung digantung di sepanjang 52 jalan melingkari zon ini. Perhatikan saja visual yang dirakamkan jurugambar pada halaman ini, menarik bukan?


Pemasangan lebih 10,000 tanglung dan lampu neon ini adalah inisiatif Persatuan Jonker Walk dengan kerjasama Majlis Tindakan Pelancongan Melaka sempena sambutan Karnival Tahun Baru Cina 2009.

Karnival Tahun Baru Cina 2009 bukan saja menambah kemeriahan sambutan tahun baru di kalangan masyarakat Cina, malah memberi peluang kepada rakyat Malaysia pelbagai bangsa dan agama untuk berkongsi keunikan perayaan ini. Program ini yang disokong kerajaan Melaka dan Kementerian Pelancongan, dirasmikan Menteri Pengangkutan yang juga Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Sepanjang karnival ini, pelbagai acara menarik seperti malam wushu Melaka; persembahan kebudayaan; kutipan dana; pesta lagu Mandarin; tarian moden; pertandingan catur; pertunjukan tarian singa; tarian naga dan malam amal bersama anak yatim dianjurkan.

BERANEKA bentuk tanglung terdapat di Jonker Walk

Walaupun pada zahirnya, Tahun Baru Cina disambut masyarakat Cina, namun pengisian acara karnival di Jonker Walk ini menjadikan negeri kelahiran Hang Tuah ini sebagai tempat tumpuan ramai termasuk pelancong asing. Ini dapat dilihat sepanjang dua minggu lalu apabila kawasan ini sentiasa dipenuhi pengunjung, termasuk pada malam hari.

Suasana di Jonker Walk dijangka lebih meriah mulai malam ini hingga lusa ketika Tahun Baru Cina diraikan dengan cuti panjang.

Menyusuri tapak karnival yang disinari kerlipan lampu tanglung memberi peluang kepada pengunjung meninjau setiap kedai. Premis perniagaan menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan menarik seperti barangan antik, galeri seni, kraftangan hinggalah tukang emas.

Pengunjung pasti leka dengan pelbagai barangan antik hingga tidak sedar masa terus berlalu. Jika rajin menjelajah, pengunjung boleh berjumpa kedai menjual terompah buatan tangan iaitu seni yang diperturunkan dari satu generasi ke generasi lain. Terompah Melaka menjadi antara cenderamata utama yang dicari pelancong setiap kali berkunjung ke Jonker Walk.


Selain menjual pelbagai barangan, variasi juadah tempatan serta deretan restoran menambah tarikan Jonker Walk. Hidangan Laksa Nyonya, gula ketuk, cendol dan sotong bakar boleh mendekatkan lagi pengunjung dengan cita rasa tempatan.

Pengerusi Pengelola Karnival Tahun Baru Cina 2009, Datuk Gan Tian Loo, berkata Karnival Tahun Baru Cina 2009 mensasarkan kunjungan lebih 100,000 pelancong tempatan dan luar negara.

Gan berkata, kerajaan Melaka memasang kira-kira 50,000 lampu tanglung di seluruh negeri termasuk Joker Walk bagi memeriahkan kedatangan Tahun Baru Cina.

Menurutnya, karnival ini bermula 3 Januari lalu dan akan melabuhkan tirainya pada 21 Februari depan.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam pula berkata, lebih 500 lampu hiasan termasuk tanglung bernilai RM1.8 juta dipasang di sepanjang pesisir Sungai Melaka bagi menerangi dan mengindahkan kawasan itu sempena Tahun Baru Cina kali ini.

Langkah itu, katanya, bertujuan menggalakkan penduduk tempatan serta pelancong membawa keluarga bersiar-siar menikmati keunikan tanglung pada waktu malam.

"Pelbagai jenis bentuk hiasan cahaya lampu seperti replika naga, rusa, ayam, itik, gajah, burung, pintu gerbang, kereta lembu, bangunan, jam besar dan beca dipasang di sepanjang Sungai Melaka sejauh 4.5 kilometer.

"Beberapa hiasan juga diletakkan di kawasan sama secara tetap sebagai tarikan waktu malam," katanya.

Mohd Ali berkata, sebanyak 420 lampu hiasan pelbagai motif dan bentuk yang setiap satunya menggunakan lampu jenis LED serta 120 tanglung dipasang di sepanjang Sungai Melaka bertujuan menyerlahkan seni bina bangunan bersejarah berhampiran.

Program : Karnival Tahun Baru Cina 2009
Lokasi : 52 Jalan di sekitar Jonker Walk dan bandar raya Melaka
Tarikh : Mulai 3 Januari hingga 21 Februari 2009.

INFO: Jonker Walk

  • Jonker Walk atau Jalan Hang Jebat yang merangkumi laluan sepanjang 400 meter adalah lokasi wajib dikunjungi di Melaka.

  • Jonker Walk menjadi lubuk barangan antik, galeri seni, barangan kraf serta deretan bangunan lama zaman penjajah. Pengaruh dan gaya seni bina mencerminkan interaksi budaya pada era itu hingga mewujudkan pengaruh serta budaya peranakan atau Baba dan Nyonya serta Serani.

  • Jonker Walk merujuk laluan pejalan kaki di Jalan Hang Jebat dan di Jalan Tun Tan Cheng Lock (dulu dikenali sebagai Heeren Street) di pusat bandar Melaka.

  • Mengikut fakta, kedai barangan antik dan seni yang di Jonker Walk wujud sejak awal 1950-an. Dua peniaga barang antik terawal termasuk TK Kutty dan Haji Abu Bakar.

  • Perniagaan di Jonker Walk bermula jam 10 pagi hingga 6 petang pada hari biasa dengan waktu perniagaan dilanjutkan hingga jam 10 malam pada hujung minggu. Malah, pada hujung minggu, jalan berkenaan ditutup kepada lalu lintas bagi membolehkan pengunjung berjalan kaki sambil menikmati keindahan seni bina serta 'mencuci mata' dengan pelbagai barangan jualan.
  • Inspirasi seni bina Islam


    Oleh Shamshul Azree Samshir


    ANTARA keunikan dan keindahan seni bina dan khat Islam.

    Tujuh asas agama jadi falsafah, paksi rekaan arkitek Muslim

    PAMERAN Ilham Suci: Tujuh Prinsip Seni Bina Islam di Muzium Kesenian Islam di Kuala Lumpur pasti membuka minda pengunjung terhadap keindahan dan keunikan ajaran Islam serta falsafah di sebalik Islam sebagai gaya hidup.

    Bukan sekadar melafaz cinta dan percaya terhadap kewujudan Allah serta amal ibadat yang mengiringinya, Islam mempunyai pengaruh besar dalam pelbagai aspek kehidupan. Ini termasuk bidang sains dan teknologi (S&T), seni dan kemanusiaan yang menyaksikan banyak ciptaan dan idea pemikir Islam mencetus gelombang evolusi sejagat.


    Seni bina Islam sudah lama diangkat sebagai cabang seni yang tinggi martabatnya. Malah seni bina Islam menjadi ikutan kerana faktor keseimbangan dan ketahanan rekaan serta daya penariknya. Bermula pada ciptaan masjid, makam, istana dan kubu, seni bina Islam terus berkembang hingga dapat dikategorikan secara jelas pada zaman awal kemunculannya.

    Antara contoh seni bina Islam ialah Moor (Moorish) yang banyak kelihatan di Semenanjung Iberia dan Utara Afrika. Seni bina Timurid yang dilihat di Asia Tengah; seni bina Turki; seni bina era Empayar Ottomaniah; seni bina zaman Fatimiad di Kaherah seperti di Masjid Al Az har; seni bina Mamluk di Kaherah Lama dan seni bina Mughal.

    Identiti seni bila Islam juga menonjol dalam aspek penggunaan air dan cahaya yang menimbulkan kesan dari segi penampilan ruang. Jika dunia seni barat dipelbagaikan dengan variasi gaya roccoco, baroque, cubism atau art deco, prinsip seni bina Islam amat mudah, indah dan bercirikan kontemporari.

    KESERASIAN elemen alam dan ibadat disatukan dalam perancangan bandar Islam.

    Ia bersifat geometrik dan bersulam dekorasi khat yang berasaskan keabadian kekuasaan Allah. Manusia atau haiwan pula digambarkan secara dekoratif.

    Inilah keunikan seni bina Islam yang dipaparkan pada Pameran Ilham Suci: Tujuh Prinsip Seni Bina Islam di Muzium Kesenian Islam sekarang. Pameran ini yang bertujuan menzahirkan hubungan intrinsik antara umat Islam, kepercayaan dan bagaimana ia dimanifestasikan dalam bidang seni bina atau architecture - mampu membawa pengunjung mendekati kreativiti arkitek Islam.

    Pameran ini mendekati tujuh elemen atau prinsip seni bina Islam yang menjadi inspirasi kepada rekaan struktur fizikal seperti masjid dan bangunan. Apa yang menarik, falsafah bagi setiap prinsip iaitu ihtiram (hormat); ikhlas; iqtisad (kesederhaan atau keseimbangan); tawhid (penyatuan); ilm (ilmu); dhikir (zikir) dan haya (memelihara kehormatan) jelas diperlihatkan bagi setiap rekaan seni bina.

    Setiap prinsip mendasari rekaan sebagaimana dalamnya pegangan dan kecintaan pereka terhadap kuasa Allah. Ciri ihtiram (hormat) mahupun dhikir (zikir), misalnya jelas digambarkan secara simbolik pada rekaan seni bina mahupun motif ukiran yang diadun secara harmoni. Unsur ketaatan kepada Allah dan Nabi Muhammad SAW juga terserlah dalam rekaan masjid yang menjadi tempat suci umat Islam.

    LUCIEN de Guise menerangkan teknik seni bina Islam pada model bangunan yang dipamerkan.

    Pemangku Ketua Jabatan Hal Ehwal Kurator Muzium Kesenian Islam, Lucien de Guise, berkata hubungan antara umat Islam, kepercayaan mereka dan bagaimana ia dizahirkan dalam seni bina dapat dilihat melalui seni bina Islam.

    “Dengan memeriksa setiap bentuk atau jenis seni bina, gambaran sebenar mengenai hubungan dan faktor pengaruh Islam dalam seni bina dapat dilihat.

    “Tanpa mengira sesebuah bangunan itu tempat suci atau sekular, inspirasi merekabentuk struktur itu datang dari Tuhan. Bagi umat Islam, Allah adalah sumber segala-galanya.

    “Ini dianggap fenomena universal di kalangan dunia Islam biarpun diperhatikan makin berkurangan pegangan ini dalam dunia moden,” katanya ketika ditemui Sabtu di Pameran Ilham Suci: Tujuh Prinsip Seni Bina Islam di Muzium Kesenian Islam di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    de Guise berkata, kurator pameran, Nisreen Moustafa menggariskan tujuh prinsip asas dalam seni bina Islam yang setiap satunya menceritakan dengan terperinci penghayatan penciptanya terhadap setiap falsafah.

    Beliau berkata, sejak beradab-abad lamanya, seni bina Islam menggambarkan Islam sebagai cara hidup.

    “Daripada kepentingan kebersihan dan solat, keperluan spiritual umat Islam diterjemahkan dalam bangunan atau struktur fizikal yang mengelilingi mereka.

    “Namun, corak kehidupan tradisional di kalangan dunia Islam makin berubah dan ini memberi kesan terhadap faktor kepentingan dalam seni bina Islam,” katanya.

    de Guise berkata, selain penjelasan bagi setiap prinsip, pengunjung juga boleh melihat hasil kerja penuntut Prince’s School of Traditional Arts (PSTA) di London dipamerkan. Institusi ini yang mungkin kurang dikenali di Malaysia, menjadi institusi khusus mengkaji pelbagai aspek seni tradisional termasuk seni bina Islam yang direka melalui pendekatan lebih kontemporari.

    Lebih menarik, beberapa siri bengkel dan seminar bersama pakar dari PSTA dijadualkan berlangsung di Muzium Kesenian Islam pada 12 hingga 14 Februari depan mulai jam 10 pagi. Manakala siri kedua akan diadakan pada 17 hingga 19 Februari mulai jam 10 pagi. Selain itu, bengkel bagi kanak-kanak akan diadakan pada 21 Februari depan mulai jam 10 pagi.

    Maklumat lanjut mengenai Pameran Ilham Suci: Tujuh Prinsip Seni Bina Islam, bengkel dan seminar boleh didapati di laman web www.iamm.org.my.



    Asas dalam seni bina Islam

    1. Ihtiram (hormat).

    MENGIKUT perspektif Islam, hormat adalah suatu tahap kesopanan atau adab terhadap Allah, sesama manusia dan diri sendiri. Komponen kesopanan ini terkandung dalam ajaran asas Islam. Ia dijelmakan dalam lima rukun iaitu syahada (pengakuan keimanan); salat (solat); zakat (sedekah); sawm (puasa) dan hajj (menunaikan ibadat haji di Makkah). Penerimaan dan pelaksanaan kelima-lima rukun Islam ini menimbulkan rasa hormat hamba kepada Tuhan.

    Daripada lima rukun, solat dianggap tiang agama yang mendasari pengakuan dan ketaatan tidak berbelah bagi. Solat yang didirikan lima kali sehari adalah perbuatan menyucikan diri serta melahirkan rasa kesyukuran dan mengagungkan kebesaran Tuhan. Dengan mengekalkan kestabilan dalam pekerjaan harian individu dan amalan kerohanian, arkitek Muslim mendapat ilham untuk menggambarkan ketaatan kepada Tuhan dan sunnah Nabi Muhammad SAW.

    Tiada hasil kerja seni bina lain yang meletakkan sanjungan ini lebih daripada seni bina masjid yang didirikan bagi menegakkan tiang agama dan menjadi nadi serta simbol penyatuan umat Muslim.

    2. Ikhlas.

    BAGI umat Islam, perbuatan atas jalan Tuhan mempunyai dua bentuk. Ini merangkumi perbuatan bersifat dalaman yang berkait dengan hati serta luaran yang lebih bersifat fizikal seperti mengerjakan solat.

    Bagi hati, ada dua perkara yang berkait iaitu kepercayaan (aqidah) dan keikhlasan (ikhlas). Kepercayaan dapat dicapai dengan menghindari keraguan manakala keikhlasan membabitkan kerohanian manusia.

    Tiga abjad asas perkataan Arab yang membentuk perkataan ikhlas ialah kh, l dan s - abjad asas yang juga membentuk perkataan kesucian (khulus). Kesatuan sifat keikhlasan dan kesucian dapat diterjemah dalam konteks seni bina melalui dorongan untuk merekabentuk binaan yang bersesuaian dengan kehendak Tuhan. Keadaan ini tampak jelas dengan ketiadaan unsur paparan dalam bentuk gambar dalam seni bina Islam.

    Ekspresi keikhlasan terhadap Tuhan ini juga boleh ditemui dalam pembinaan ruang yang tiada figuratif manusia dan patung. Ketiadaan imej ini membenarkan umat Islam memberi lebih tumpuan terhadap keadaan luaran mereka serta mengarahkan jiwa mereka merenung atau berfikir.

    Perlu diingat, ruang dan permukaan seni bina Islam adalah percantuman penggunaan geometri, pembahagian, garisan dan keluasan. Ini berkait dengan peraturan matematik yang tepat dari Tuhan.

    3. Iqtisad (kesederhaan atau keseimbangan)

    INTIPATI utama dalam seni bina Islam ialah kejayaan memperhalusi keseimbangan antara semua elemen praktikal dan rohaniah. Bagi umat Islam, kesederhanaan dan keseimbangan dalam unsur estetik adalah pertimbangan yang perlu dititikberatkan.

    Elemen ini mempunyai kesan cukup mendalam terhadap seni bina Islam. Tubuh manusia umpama bekas bagi jiwa yang suci (nafs) dengan jantung sebagai teras utama. Ini dilihat sebagai simbol metafora di sebalik binaan rumah Islam. Idea bahawa jantung mempunyai kaitan dari segi seni binanya dengan mana-mana permukaan luaran bangunan Islam, dicipta untuk memelihara kesucian manusia. Ini berbeza dengan reka bentuk dalamannya.

    Wujud persepsi mengenai keseimbangan sekata pada seni bina Islam yang dapat dirasai pengunjung. Ini memberi gambaran wujudnya keseimbangan yang sama dalam diri manusia dan pancaindera kita mengakuinya dalam bentuk seni bina. Sebagai contoh, sebuah anjung yang ringkas dibina dengan penuh keselarasan dan keseimbangan, mengubah sebuah ruang yang pada asalnya menzahirkan keluasan kepada sesuatu yang lebih berkualiti.

    Umat Islam percaya untuk mencapai keseimbangan pada persekitaran seni bina bermaksud mengambil kira fenomena alam semula jadi dan memahami sifat-sifatnya.

    Ini dapat dilihat pada beberapa struktur binaan lumpur bakar yang mengagumkan di Afrika dan selatan Arab. Namun, tanpa diduga, bandar purba Shibam di Yemen yang telah wujud berkurun lamanya mengalami kerosakan teruk akibat banjir yang melanda, baru-baru ini.

    4. Tawhid (penyatuan)

    ASAS penyatuan di dalam Islam ialah syahada (pengakuan keimanan) - aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad SAW Pesuruh Allah. Melalui pengakuan ini seluruh umat Islam disatukan serta sebuah masyarakat majmuk yang melangkaui jenis bangsa, kedudukan dan harta diwujudkan. Semangat penyatuan yang wujud ini menembusi bandar Islam, menyingkap keperibadian dan menyatukan penduduknya.

    Perancangan bandar adalah cabang seni tersendiri. Ini menjadikan seni bina bertanggungjawab sebagai penyatu kehidupan sosial. Ini adalah perbuatan yang dikira sebagai sunnah dalam Islam, menyatukan seni bina dengan perlakuan dan sifat umum masyarakat Islam itu sendiri.

    Ia menjadi asas yang sepatutnya membentuk struktur bandar Islam yang mengekalkan sifat keberkesanan dan kerohanian yang bertindak balas terhadap keperluan praktikal, tetapi tidak berlawan dengan tuntutan kejadiannya.

    5. Ilm (ilmu).

    PENCAPAIAN cemerlang seni bina dunia Islam adalah hasil usaha pewarisan minda kreatif. Kebanyakan arkitek Islam bermula dengan pengkhususan dalam satu atau beberapa bidang dalam kerja tangan seperti pertukangan batu dan kayu.

    Walaupun dianggap bertaraf rendah dalam hierarki seni, ia tidak melambangkan tahap pemikiran dan ilmu arkitek Islam atau seniman yang mengambil berat mengenai diri mereka dengan menyempurnakan cara mereka berkerja.

    Matematik adalah bahagian paling asas dalam program pendidikan selain geometri yang membantu dalam proses muhasabah diri. Ia bukan saja dilihat sebagai alat praktikal untuk rekaan dan hiasan seni bina, malah dianggap cara menghargai nilai rohani, keunikan dan corak yang menguruskan perjalanan sistem kosmos.

    Antara pencapaian terbaik tamadun Islam pada abad kelapan Masihi atau kedua Hijrah ialah Masjid Jami’ di Cordoba. Keunikan masjid ini terletak pada kesan bunyi yang jelas dan mengagumkan pada ruang dalaman dewan sembahyangnya. Penggunaan tiang yang menampung gerbang dan tembok arked berkembar adalah olahan baru dalam seni bina Islam.

    6. Dhikr (zikir).

    ARKITEK Islam tidak bimbang dengan pengulangan seperti binaan tiang atas tiang, anjung atas anjung dengan ketepatan irama yang dicerminkan dalam alunan pujian sifat Allah. Berpandukan alunan irama ini, tradisi hiasan arabes dan muqarnas disatukan seiring dengan keseluruhan ciri seni bina Islam. Terutama arabes, dengan sifatnya yang tidak terbuka dan berjalin - adalah luahan susunan visual paling ketara.

    Meditasi pemikiran seni bina mengekalkan sentuhan penyatuan melalui iramanya yang boleh dilihat sebagai sifat-sifat Allah yang kekal dan tiada penghujungnya. Hiasan arabes di seluruh dunia Islam memperlihatkan konsep penyatuan bentuk kejadian. Lingkaran arabes pada kepingan jubin dan panel berukir tingkap masjid dan istana menarik pandangan mata mengekorinya.

    7. Haya (memelihara kehormatan).

    Seni bina Islam adalah berkisar dengan titik teras dengan bahagian halaman yang bersifat terbuka di mana ia tidak hanya bertujuan bagi keperluan persekitaran binaan semata-mata, sebaliknya menitik beratkan tanggungjawab antara gender.

    Privasi dan kehormatan menjadi nadi utama bagi susun atur dan pembahagian dalam seni bina Islam. Ini merangkumi keperluan memelihara kehormatan dan memartabatkan nilai murni bagi umat Islam; memelihara perilaku mulia serta kehidupan sekeluarga.

    Tiga perkataan Arab yang menyimpul maksud memelihara kehormatan adalah tawado (kerendahan hati); ih 'tesham (kesopanan) dan istehyah (keinsafan atau kesedaran). Kemuliaan sifat ini sebagai contoh, dapat dimanifestasi dalam penerapan pemakaian kelubung oleh wanita Islam.

    INFO

    Program: Pameran Ilham Suci: Tujuh Prinsip Seni Bina Islam

    Tempat: Muzium Kesenian Islam, Jalan Lembah Perdana, Kuala Lumpur.

    Tarikh: Hingga 28 Februari 2009

    Waktu: Mulai 10 pagi hingga 6 petang (setiap hari termasuk cuti am)

    Bayaran: Dewasa (RM12), Pelajar dengan kad pelajar serta warga emas berusia lebih 55 tahun (RM6), Kanak-kanak bawah enam tahun (Percuma)

    Santai di bawah satu bumbung


    Oleh Fadzlena Jafar


    ANTARA kolam untuk bermandi-manda bersama keluarga.

    Tiara Beach Resort janji percutian indah untuk sekeluarga

    CUTI hujung minggu lazimnya dimanfaatkan sepenuhnya untuk diluangkan bersama keluarga. Ada yang berhujung minggu bersama keluarga sekadar di rumah sambil menikmati hidangan dan menonton televisyen, tetapi ada juga yang mungkin memanfaatkannya dengan membawa anak makan angin di kawasan peranginan atau taman tema yang lazimnya sesuai untuk percutian sekeluarga.

    Jika anda mencari destinasi yang menyediakan kegiatan menarik untuk si kecil seperti taman tema yang mempunyai pelbagai kemudahan, kunjungi Tiara Beach Resort yang terletak di Port Dickson, Negeri Sembilan. Walaupun kedudukannya berhampiran pantai, dua kolam rekreasi yang disediakan di situ khusus untuk pengunjung sudah mencukupi untuk bermandi-manda.


    Jika membawa anak kecil, mungkin kolam cetek yang menyediakan beberapa permainan khusus untuk si kecil seperti buaian dan gelungsur sesuai dituju, atau jika anak sudah meningkat remaja pilih ke kolam satu lagi yang lebih luas, tetapi agak dalam.

    Apa yang penting, anda tidak perlu bimbang memikirkan keselamatan anak kerana pengusaha menyediakan penyelamat yang sentiasa memantau kegiatan di kedua-dua kolam.

    Beberapa kegiatan lain turut disediakan seperti basikal yang disewakan untuk pengunjung sama ada dewasa mahupun kanak-kanak. Ada juga disediakan bilik permainan untuk kanak-kanak kecil dan juga bilik permainan video yang menarik.

    DATARAN di tengah blok penginapan untuk kegiatan seperti berbasikal dan menonton wayang.

    Istimewa di pusat peranginan itu, ada beberapa kegiatan disediakan seperti permainan untuk kanak-kanak di tepi kolam dan juga senamrobik yang dikendali pihak pengurusan. Pada malam hari pula anda pasti tidak bosan kerana ada disediakan panggung wayang terbuka di kawasan dataran yang mengingatkan anda kepada suasana di kampung satu ketika dulu.

    Ringkasnya, kunjungan anda ke situ tidak membosankan kerana ada pelbagai aktiviti disediakan setiap masa. Malah, unit penginapan yang disediakan membolehkan anda membawa keluarga bersama untuk bercuti.

    Ada dua bilik disediakan dalam setiap unit (yang dikunjungi penulis, baru-baru ini) dan dua bilik air. Kemudahannya menyeluruh walaupun tiada disediakan sarapan seperti hotel kerana ada beberapa kedai di situ yang menyediakan pelbagai hidangan atau jika inginkan kelainan, kunjungi pelbagai restoran di sekitar Port Dickson.

    Apa yang penting, percutian di pusat peranginan ini cukup menarik kerana semua kegiatan berada dekat dengan blok unit penginapan, sekali gus memudahkan anda memantau kegiatan setiap ahli keluarga.

    RUANG luas di unit penginapan dengan dua bilik.

    Menjulang damai


    Oleh Azida Shaharuddin




    Festival himpun layang-layang unik seluruh dunia, sebar mesej cinta damai

    OBJEK ringan aneka warna dan bentuk yang melayang ditiup angin sambil dikemudi tali panjang ini tidak pernah hilang pesona. Sejak dicipta manusia hingga mencetus inovasi kapal terbang, layang-layang terus menghiasi ruang udara tidak kira di mana saja.

    Setiap kali dinaikkan ke udara, layang-layang yang suatu ketika dulu pernah digunakan sebagai medium menghantar isyarat atau memerhati ruang udara, mencuri tumpuan setiap mata yang memandang.


    Tidak kiralah sama ada bentuknya ringkas, moden atau berunsur tradisional seperti wau, layang-layang menjadi mainan semua peringkat umur, tua atau muda. Siapa saja pasti leka melihat liuk lentuk layang-layang dipukul angin dan membelah ruang angkasa bagai sang helang mencari mangsa.

    Jika anda peminat layang-layang, apa kata berkampung di Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang, Johor, mulai Selasa ini.

    Selama enam hari, seramai 185 pelayang dari 28 negara di seluruh dunia akan menyertai Festival Layang-layang Antarabangsa Pasir Gudang 2009 yang tentunya menjanjikan keseronokan seisi keluarga.



    Festival ini yang dianjurkan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) akan meneruskan tradisi program dengan menampilkan keunikan dan kehebatan layang-layang dari serata dunia.

    Sesuai dengan kematangannya sejak kali pertama dianjurkan pada 1995, Festival Layang-Layang Antarabangsa Pasir Gudang Ke-14 menarik perhatian peserta luar negara yang mengiktiraf program ini sebagai acara wajib disertai pelayang dunia.

    Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Lukman Abu Bakar, berkata pelayang antarabangsa dari Australia, New Zealand, Jepun, Perancis, Jerman, China, India, England serta negara anggota Asean sudah mengesahkan penyertaan mereka pada festival ini.

    Lebih menarik, untuk pertama kalinya, pelayang dari Portugal dan Brazil akan mempamerkan keunikan layang-layang dan skil mereka pada festival ini.

    Lukman berkata, seperti tahun-tahun sebelum ini, Festival Layang-Layang Antarabangsa Pasir Gudang mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta luar negara.

    "Menariknya, seramai kira-kira 518 pelayang tempatan termasuk pelajar sekolah, kakitangan korporat sehingga pelayang bebas juga tidak mahu melepaskan peluang menunjukkan bakat dan kreativiti masing-masing pada festival ini,” katanya kepada Sabtu.

    Difahamkan, peserta dari lebih 12 negeri dan 18 sekolah dari empat negeri termasuk Kelantan, Perlis, Selangor dan Johor juga akan menyertai pertandingan pelbagai kategori pada festival ini.

    "Kita juga menerima penyertaan dari 23 pasukan sektor korporat antaranya Johor Land Bhd; Felda Oil Products Sdn Bhd; MMHE Sdn Bhd dan Natural Oleochemicals," katanya.

    Lukman berkata, Festival Layang-Layang Antarabangsa 2009 bertemakan 'Layang-layang Merintis Keamanan' bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kehidupan aman.

    Beliau berkata, beberapa pertandingan dianjurkan sepanjang festival enam hari ini antaranya merekabentuk wau cantik, pertandingan layang-layang sekolah, pertandingan 'Malay Kite' dan Rokaku korporat.

    “Selain itu, persembahan kebudayaan dan kesenian, bengkel layang-layang awam, pertandingan melukis dan mewarna kanak-kanak, bengkel kanak-kanak peringkat sekolah dan kempen derma darah juga akan mengisi segmen festival.

    "Menariknya, festival kali ini juga menyaksikan persembahan pelayang antarabangsa berkonsep 'layang-layang naga' selain persembahan layang-layang tradisional dari China seperti layang-layang burung, itik, merpati, ayam dan lain-lain," katanya.

    Perasmian Festival Layang-Layang Antarabangsa 2009 akan berlangsung pada Sabtu depan manakala majlis penutup akan diadakan jam 8 malam keesokannya.

    Lukman berkata, negara yang dianggap peserta tetap festival ini terus setia beraksi dan menaikkan layang-layang mereka kali ini.

    "Mereka nampaknya begitu setia dan sentiasa menanti peluang untuk bersama memeriahkan festival ini. Seperti biasa, pelayang utama kami ialah Peter Lynn dari New Zealand sudah mengesahkan penyertaan.

    “Sememangnya festival ini dianggap acara layang-layang terbesar di Malaysia dan antara yang terkenal di seluruh dunia. Sehubungan itu, ia sentiasa dinantikan pelayang tempatan dan antarabangsa," katanya.

    Lukman berkata, selain Pasir Gudang, acara layang-layang juga dianjurkan di Bintulu, Sarawak dan Kota Bharu, Kelantan.

    Festival Layang-Layang Antarabangsa Pasir Gudang 2009 dianjurkan bersama oleh MPPG dan Johor Corporation (JCorp) dengan kerjasama kerajaan negeri Johor; Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Johor; Persatuan Pelayang Johor; Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Johor; Jabatan Pelajaran Negeri Johor serta Majlis Pelayang Malaysia.

    Mereka yang ingin mendapatkan keterangan lanjut dan acara program boleh menghubungi talian 07-2513720 atau 07-2510862 dan melayari www.kitefestpasirgudang.com.

    Info

    Acara : Festival Layang-Layang Antarabangsa Pasir Gudang 2009

    Tempat : Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang, Johor.

    Tarikh : Selasa ini hingga Ahad depan.

    Bayaran : Percuma

    Antara kategori pertandingan:

  • Wau Tradisi Kebangsaan Naik (Wau Bulan)

  • Wau Tradisi Kebangsaan Naik (Wau Kucing)

  • Wau Tradisi Kebangsaan Naik (Wau Jala budi)

  • Wau Tradisi Johor Naik (Wau Merak)

  • Wau Sobek/Cantik Kebangsaan (Wau Bulan)

  • Wau Sobek/Cantik Kebangsaan (Wau Kucing)

  • Wau Sobek/Cantik Kebangsaan (Wau Jalabudi)

  • Wau Sobek/Cantik Tradisi Johor (Wau Merak)



    Kategori peringkat antarabangsa:

  • Layang-Layang Paling Kreatif/Unik

  • Layang-Layang Paling Harmoni/Berwarna-warni

  • Cabaran Rokkaku
  • Seribu makna


    Oleh Shamshul Azree Samshir | Foto Ihsan The History Channel


    FOTO nostalgia Zaharah Routin Ibrahim (tiga dari kanan) menganggotai pasukan polis wanita pertama negara pada 1956. Foto ini memenangi hadiah terbaik keseluruhan.

    Himpunan foto rakam kisah kehidupan, nilai sentimental

    SEJAK kamera mula dicipta, manusia tidak pernah berhenti beraksi di depannya. Melangkah ke era digital sekarang, keseronokan merakam detik manis bersama keluarga dan teman boleh dilihat di mana saja. Fungsi mudah kamera digital dalam merakamkan aksi pegun mahupun video, menjadikan aktiviti ini cukup digemari biar si tua atau muda.

    Lebih menyeronokkan, gambar yang dilihat spontan boleh dimuat turun ke medium lain seperti dihantar melalui khidmat pesanan multimedia (MMS), e-mel atau dimuatkan dalam Facebook untuk ditonton lebih ramai kenalan.


    Begitulah kesan evolusi terhadap gajet ini yang bermula daripada sebongkah kotak kayu hinggalah kamera digital canggih yang dipasang pada telefon bimbit.

    Biar apapun era mendatang, elemen sentimental pada sekeping gambar tidak pernah hilang. Sedar atau tidak, setiap keping gambar yang dirakamkan sarat elemen nostalgia atau kenangan tersendiri. Dalam setiap rumah, pasti ada gambar istimewa yang menyimpan sejarah tersendiri sebuah keluarga.

    Foto menyambut kelahiran bayi, berlari di acara sukan sekolah atau mungkin insiden malang terjatuh dari basikal, mengundang nostagia dan makna tersendiri.

    ANTARA 20 foto terbaik yang dihantar rakyat Malaysia ke program Foto Untuk Masa Depan.

    Atas kesedaran ini, program istimewa Foto Untuk Masa Depan anjuran The History Channel yang boleh ditonton di saluran Astro 555, mengajak rakyat Malaysia berkongsi kenangan dengan mengabadikan melalui foto. Sejak dilancarkan November lalu, rakyat Malaysia yang masing-masing punya cerita tersendiri terhadap gambar yang dirakamkan, menghantar beratus-ratus penyertaan serta berkongsi sejarah.

    Mendekati penganjur program Foto Untuk Masa Depan, acara istimewa ini yang dianjurkan bersama Badan Warisan Malaysia diadakan untuk mengajak rakyat Malaysia menyimpan rekod visual kehidupan di Asia sejak lebih seabad lalu.

    Koleksi gambar dan kisah peribadi yang dihantar akan diabadikan untuk generasi masa depan serta diakses melalui arkib maya yang disediakan penganjur untuk tatapan ramai.

    The History Channel yang menganjurkan pertandingan ini di seluruh dunia tidak mengehadkan penyertaan terhadap sebarang jenis foto. Sama ada foto yang dirakamkan 80 tahun lalu atau mungkin lapan bulan lalu, apa saja foto yang mempunyai cerita di sebaliknya diterima.


    Dalam hubungan ini, The History Channel mencari gambar yang boleh menjadi perakam sejarah atau penanda aras bagi detik tertentu, masa atau acara bersejarah. Misalnya, foto yang merakamkan perubahan wajah pada sebatang jalan; aliran fesyen atau budaya lama; set televisyen pertama dimiliki keluarga atau pengembaraan di wilayah asing.

    Pencarian foto nostalgia itu berakhir apabila penganjur sepakat memilih 20 foto terbaik yang sarat dengan mesej dan elemen sejarah tersendiri. Foto yang merakamkan aksi keluarga berkumpul, terompah usang, kedai gunting rambut dan mesin ais kacang biarpun nampak ringkas dan mudah, namun memiliki kekuatan tersendiri hingga diangkat menjadi karya foto terbaik.

    Kemenangan ini melayakkan mereka memenangi bingkai foto digital bernilai RM500 daripada penganjur.

    Jika anda mahu melihat 20 gambar terbaik berserta foto lain yang diperoleh dari seluruh negara dan rantau ini, apa kata luangkan masa di kompleks beli-belah One Utama di Petaling Jaya, Selangor. Himpunan foto ini akan dipamerkan di kompleks beli-belah ini sehingga esok. Selepas ini, pameran akan beralih ke bangunan Badan Warisan Malaysia di Jalan Stonor mulai Isnin ini hingga minggu pertama Mac.

    Pengurus Besar AETN All Asia Networks, Louis Boswell berkata, program Foto Untuk Masa Depan adalah inisiatif penting The History Channel.

    “Program ini adalah sebahagian daripada kempen global yang diadakan di serata dunia termasuk Malaysia. Kami menggalakkan rakyat Malaysia menyumbang sedikit detik kehidupan yang dirakam sebagai antara koleksi untuk generasi akan datang.

    “Kami harap ia menunjukkan ‘wajah’ sebenar Malaysia yang boleh dinikmati zaman-berzaman,” katanya kepada Sabtu.

    Boswell berkata, sejarah bukanlah sesuatu yang hanya diperoleh melalui buku teks.

    “Setiap insan mempunyai sejarah sendiri. Dengan kepelbagaian serta kekayaan budaya, Malaysia mempunyai banyak cerita untuk dipaparkan menerusi gambar.

    “Photos for the Future membolehkan penonton kami berkongsi sejarah mereka seterusnya menghubungkan mereka dengan masa lampau, kini dan masa depan,”

    katanya,

    Pengarah Eksekutif Badan Warisan Malaysia, Elizabeth Cardosa berkata, pihaknya gembira The History Channel mengambil inisiatif menganjurkan program Foto Untuk Masa Depan.

    “Misi ini sama rentaknya dengan Badan Warisan Malaysia. Program ini mendidik dan memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia menghargai sejarah melalui pendekatan yang menggembirakan,” katanya.

    Acara

    Program: Foto Untuk Masa Depan

    Aktiviti: Pameran 20 foto terbaik yang dihantar rakyat Malaysia dan koleksi rantau ini.

    Anjuran: The History Channel dan Badan Warisan Malaysia

    Tempat:

  • Pusat Beli-belah One Utama, Petaling Jaya (sehingga esok)

  • Badan Warisan Malaysia (mulai lusa hingga minggu pertama Mac)

    Mengenali The History Channel:

  • Boleh diikuti di lebih 140 negara dengan lebih 250 juta isi rumah.

  • Menjadi peneraju maklumat, pemenang anugerah, siri bukan fiksyen dan menghubungkan sejarah dengan penonton secara informatif, terperinci dan menghiburkan melalui pelbagai landasan.

  • Program meliputi pelbagai genre sejarah membabitkan sejarah era lampau hingga sejarah kontemporari, teknologi hingga sejarah lalu, tidak ketinggalan sains, arkeologi dan budaya pop.

  • Antara rangkaian program yang menjadi siri popular adalah Battle 360, The Universe, Cities of the Underworld, Monster Quest, serta Life After People, China’s First Emperor, Behind Forgotten Eyes.

  • Saluran History dilancarkan di Amerika Syarikat (AS) pada Januari 1995.

  • Saluran History boleh diikuti di Saluran Astro 555. Ia adalah rangkaian 24 jam dengan sari kata Bahasa Malaysia dan Bahasa Cina.



    Pemenang keseluruhan Foto Untuk Masa Depan

  • Azul Sidek Adnan, 45, dari Ampang, Selangor.

    "Saya mengirim foto ibu, Zaharah Routin Ibrahim ketika beliau bersama enam lagi anggota polis wanita pertama sedang berbaris di Depot Polis di Jalan Gurney, Kuala Lumpur. Gambar ini dirakamkan pada Januari 1956 ketika ibu berusia 23 tahun.

    Bagi saya gambar ini amat penting kerana ia ada nilai sejarah. Jika difikirkan, lebih 50 tahun berlalu dan begitulah usia pasukan polis wanita di Malaysia. Tetapi hingga hari ini, tidak ramai wanita menyertai pasukan polis.

    Dulu, wanita bersemangat dan berani menyertai pasukan polis kerana hendak mempertahankan negara."

  • Zaharah Routin Ibrahim, 76.

    "Saya masih teringat detik gambar dirakamkan lebih separuh abad lalu. Saya sertai pasukan polis wanita pada 1955 dan ketika itu, kelengkapan tidak banyak. Malah, pada hari pertama kami tidak diberi pakaian seragam. Beberapa bulan selepas itu barulah kami mendapat persalinan polis wanita.

    Saya masih berjumpa rakan-rakan sepasukan seperti yang dirakamkan dalam foto itu kecuali dua orang yang sudah meninggal dunia. Kebetulan, kami semua menetap di Kuala Lumpur jadi senanglah untuk bertemu dan bercerita kisah lama."
  • Sistem demokrasi Bangladesh ujian politik dunia Islam


    Oleh Charles Tannock

    KETIKA kebimbangan mengenai politik Islamisasi dalam dunia Islam semakin berkembang, Bangladesh, negara keempat paling ramai didiami umat Islam iaitu 126 juta, sebaliknya kini secara dramatik bergerak ke arah bertentangan.

    Kita selalunya hanya mendengar mengenai Bangladesh apabila taufan atau tsunami melanda kawasan pantainya yang rendah, tetapi apa yang tidak diketahui masyarakat antarabangsa ialah mengenai kepentingan strategiknya pada pentas antarabangsa.

    Kemampuan ahli politiknya yang berhaluan sekular untuk menewaskan golongan berhaluan Islam dalam pilihan raya Parlimen baru-baru ini, sebenarnya menyemarakkan 'demokrasi Muslim' di seluruh dunia.


    Dalam kejayaan besar (dengan pengundi paling ramai) Parti Liga Awami pada pilihan raya pertama Bangladesh bagi tempoh tujuh tahun, selepas dua tahun diperintah sementara kerajaan yang disokong tentera, meletakkan negara itu dalam 'perang' antara golongan demokrat sekular dan parti Islam dan kini menular ke seluruh Asia Tenggara.

    Pilihan raya yang berlaku adalah hasil keinginan memuncak untuk mewujudkan demokrasi di negara itu dan saya berkata, begitu selaku Pengerusi Parlimen Eropah yang dihantar untuk misi pemerhatian jangka pendek ketika pilihan raya di Bangladesh.

    Pengundi baru ternyata lebih berani daripada kebanyakan negara Barat kerana masing-masing mempunyai kad bergambar untuk mengundi. Keganasan yang sering berlaku pada pilihan raya umum Bangladesh sebelum ini langsung tidak berlaku, sebaliknya pemilihan dikawal oleh perkhidmatan keselamatan profesional.

    Persetujuan tentera secara sukarela kembali ke kem masing-masing, turut memainkan peranan utama.

    Justeru, kemenangan Perdana Menteri, Sheikh Hasina Wajed, menyaksikan Bangladesh hari ini mempunyai seorang pemimpin berkarisma selepas menerima mandat cukup kukuh untuk membentuk sebuah kerajaan sekular yang diperlukan negara itu.

    Beliau kembali ke Bangladesh daripada buangan � yang dikenakan pemerintahan tentera sebelum ini. Selepas kembali, Hasina terpaksa ke penjara dan menghadapi dakwaan membunuh.

    Populariti Hasina yang begitu cemerlang sebagai bekas Perdana Menteri dan statusnya sebagai seorang daripada dua anak perempuan pengasas Bangladesh, Sheikh Mujibur Rahman, adalah faktor yang memastikan beliau menjadi pilihan utama pada pilihan raya negara itu.

    Kejayaan besar membuktikan pendiriannya bahawa rakyat biasa Bangladesh memang inginkan sebuah negara sekular dan stabil � sebuah negara yang bertentangan dengan Pakistan, sebaliknya mempunyai hubungan baik dengan satu lagi jirannya, India.

    Kekalahan mutlak parti Islam, secara langsung akan menyekat Bangladesh daripada bercambah sebagai sebuah negara demokratik dan sekular dan sejak 1971 mendesak Urdu dijadikan bahasa kebangsaan dan menyekat kebebasan berbahasa dan budaya Benggali � adalah antara faktor utama pada pilihan raya lalu.

    Undian membuktikan bahawa 153 juta rakyat Bangladesh kini semakin tidak berselera untuk membawa Islamisasi ke dalam politik.

    Tetapi sekiranya Hasina ingin berjaya melunturkan Islamisasi, beliau mesti menangani masalah asas yang memporakperandakan masyarakat Bangladesh selama berdekad-dekad. Antara yang paling serius ialah isu kemiskinan yang dialami majoriti rakyat negara itu.

    Sebenarnya pada suatu tahap, adalah agak mengejutkan apabila parti Islam sebelum ini gagal melaksanakan tugas lebih baik, selepas mengambil kira kejayaan mereka dalam bidang lain untuk menggerakkan masyarakat negara itu.

    Sekiranya Liga Awami gagal menangani isu kemiskinan dan ketidakadilan sosial negara itu, puak berhaluan Islam mungkin akan berjaya menyemarakkan semula agenda itu di dalam kempen mereka.

    Parti Jamaat-e-Islami, pernah memberitahu saya bahawa mereka mempunyai agenda 30 tahun untuk memperkenalkan undang-undang syariah kepada rakyat Bangladesh.

    Contoh daripada Hamas dan Hizbullah memberi peringatan terbaik mengenai cabaran baru yang bakal dihadapi kerajaan baru Bangladesh ini. Walaupun kumpulan ini terkenal dengan tindakan agresif ke atas Israel, mereka mewujudkan sokongan politik kukuh dengan menyediakan perkhidmatan sosial yang terancang seperti sekolah dan klinik untuk orang miskin.

    Hamas dan Hizbullah menjadi kukuh kerana pihak berkuasa negara itu sama gagal atau tidak mahu menangani kemiskinan akar umbi.

    Melihat kepada wabak rasuah di Bangladesh adalah halangan utama kepada usaha menyediakan perkhidmatan yang diperlukan rakyat miskin, kerana itu adalah penting bagi Hasina untuk mengadakan pendekatan lebih tegas ke atas isu rasuah ini.

    Rasuah juga boleh menjadi pencetus kepada campur tangan tentera, satu peristiwa yang kelihatan sentiasa berulang dalam sejarah Bangladesh yang secara konsisten menggugat pembangunan negara itu.

    Melampaui menangani isu rasuah, Hasina juga perlu mengharamkan semua derma antarabangsa kepada parti politik, terutama 'dinar emas Wahhabi' yang sering digunakan Arab Saudi dan negara Teluk untuk membantu membiaya dana parti Islam.

    Cabaran yang bakal dihadapi Liga Awami adalah pelbagai, tetapi ia mempunyai kekuatan sumber tersendiri. Bangladesh mempunyai kedudukan lebih baik untuk berdepan dengan taufan kewangan global berbanding kebanyakan negara Asia lain, berikutan sistem perbankannya tidak terlalu terdedah dan industri tekstilnya memberi tumpuan kepada pasaran hiliran yang setakat ini masih belum tergugat.

    Tetapi mengetuai semua peluang Bangladesh ini adalah peluang untuk menunjukkan kepada dunia bahawa negara yang majoriti penduduknya beragama Islam boleh secara bebas mendokong demokrasi liberal dan memastikan ia berfungsi dengan baik.

    Dengan majoriti cukup besar, kerajaan baru ini boleh memastikan pemulihan Perlembagaan 1972, yang menegaskan bahawa Bangladesh adalah sebuah negara demokratik sekular.

    Bangladesh adalah sebuah negara kaya dengan potensi sumber manusia, tetapi potensi itu hanya boleh direalisasikan dengan menjadikan rakyatnya miskin sebagai aset penting � di mana parti Islam seluruh dunia sudah menjadikan wilayah politik mereka - tetapi hari ini menjadi keutamaan kerajaan baru Hasina.

    Penulis ialah jurucakap Hal Ehwal Luar Parti Konservatif United Kingdom di Parlimen Eropah dan mengetuai delegasi Ahli Parlimen Kesatuan Eropah sebagai pemerhati pilihan raya Bangladesh baru-baru ini

    Bidang arkeologi tak boleh terkubur


    Oleh Siti Suriani Othman dari Notthingham, England

    BARU-BARU ini saintis menemui fosil ular yang amat besar di Columbia, Amerika Tengah. Saiznya sepanjang dinosaur terbesar, Tyrannosaurus Rex dengan panjang 13 meter, berat melebihi 1,000 kilogram dan lebar badan melebihi satu meter seperti dilapor agensi berita Reuters yang memetik daripada jurnal Nature.

    Berdasarkan jurnal itu, fosil yang digelar Titanoboa itu hidup lebih 60 juta tahun dulu, apabila dunia binatang sedang cuba mengadaptasi dengan kepupusan dinosaur dan makhluk lain apabila asteroid dari angkasa lepas jatuh di Mexico. Bayangkan saiznya jika Titanoboa boleh makan buaya, ikan besar dan penyu.

    Penemuan seperti ini menarik kerana tanpa cabang ilmu yang dikenali sebagai arkeologi, kita tidak akan dapat belajar berkaitan makhluk yang sudah pupus dan tidak dapat mengenali sejarah dunia amnya. Selain kajian mengenai binatang purba, kajian arkeologi juga membabitkan kajian mengenai tempat bersejarah seperti penemuan pelbagai cerita sejarah dalam tamadun Mesir, Iran, Amerika Syarikat, Austria dan tamadun di Eropah.


    Arkeologi yang berasal daripada perkataan Greek, archiologia membawa maksud purba atau lama adalah satu bidang sains yang mengkaji budaya manusia melalui penemuan, dokumentasi, analisis dan tafsiran bahan serta data persekitaran termasuk dalam bidang pembinaan, artifak dan landskap.

    Tujuan bidang arkeologi ini pelbagai, antaranya untuk dokumentasi dan penerangan mengenai asal dan pembangunan budaya manusia, memahami sejarah budaya, menganalisis evolusi budaya dan mempelajari sikap manusia serta ekologinya berkaitan masyarakat lampau.

    Berbanding negara lain di dunia, Mesir adalah antara kawasan yang paling banyak meninggalkan kesan sejarah dan begitu banyak kajian dijalankan dalam bidang arkeologi untuk mengkaji peninggalan sejarahnya. Sehinggakan ada cabang ilmu dalam arkeologi yang juga satu cabang utama arkeologi yang digelar 'egyptologi' khusus mengkaji arkeologi di Mesir.

    Pengkaji dalam ilmu egyptologi digelar egyptologis. Egyptologis pertama di dunia adalah orang Mesir � Putera Thutmosis, iaitu Thutmosis IV yang memelihara dan memulihara Sphinx, sejenis binaan berbentuk singa dengan kepala manusia. Satu daripadanya yang terkenal terletak berdekatan piramid Khafre di Mesir.

    Yang terbaru, amalan Penilaian Kajian (RAE) mengumumkan University of Durham di United Kingdom (UK) sebagai universiti yang menawarkan pengajian terbaik dalam bidang arkeologi di UK. Selain itu, University of Cambridge, University of Oxford, University College of London dan University of Sheffield adalah antara universiti terbaik yang menawarkan pengajian pada peringkat universiti dalam bidang ini.

    Internet Archeology adalah jurnal elektronik antarabangsa untuk bidang arkeologi yang diterbitkan di web sejak 1996. Jurnal ini adalah terbitan Majlis Arkeologi Britain (CBA) dan diuruskan University of Durham.

    CBA adalah badan kebajikan berbentuk pendidikan yang melaksanakan kajian di seluruh UK, mendidik dan membabitkan masyarakat dengan kegiatan arkeologi dan memperkenalkan penghargaan kepada persekitaran sejarah untuk generasi kini dan akan datang. Penerbitannya yang popular ialah majalah British Archeology yang diterbitkan dua bulan sekali melaporkan berita terbaru penemuan bidang ini daripada perspektif akademia dan pembaca.

    Wujudnya badan seperti ini menjadi antara faktor pendorong yang mendekatkan masyarakat dengan bidang kajian yang kurang mendapat perhatian ini. Benar bidang arkeologi lebih mendapat perhatian di negara Barat berbanding kebanyakan negara Timur. Hal ini mungkin sekali dipengaruhi oleh faktor kos mengkaji yang tinggi.

    Kos penerokaan tinggalan sejarah membabitkan kos sehingga berjuta-juta ringgit. Misalnya, satu kajian di Vietnam yang dijalankan oleh Barat menjadi antara penerokaan arkeologi termahal pernah dijalankan membabitkan kajian arkeologi di lautan. Farkland Islander, 53, adalah ahli arkeologi terkenal dan aktif yang khusus mengkaji tinggalan sejarah dalam laut yang menjalankan kajian ini selama 26 tahun.

    Selain kos tinggi, kajian arkeologi juga membabitkan komitmen yang kadang-kala menuntut pengorbanan besar. Misalnya, pengkaji perlu menghabiskan masa berbulan-bulan, malah berpuluh-puluh tahun untuk mengkaji sesuatu dan berada jauh daripada keluarga.

    Saintis yang mengkaji sejarah Mesir misalnya, meninggalkan keluarga di UK dan perlu menetap di Mesir untuk seberapa lama bagi menjalani proses meninjau (survey), meneroka dan menggali (excavate) serta menganalisis artifak atau penemuan lain yang dijumpai.

    Sungguhpun banyak faktor lain mempengaruhi perkembangan bidang arkeologi di kebanyakan negara seperti keyakinan pihak pemerintah, kecenderungan politik, ekonomi dan budaya tempatan, ganjaran yang kadang-kala tidak setimpal dengan usaha dan lain-lain, mengurangkan semangat ahli arkeologi untuk bergerak aktif dalam bidang ini.

    Ada yang mengambil ijazah pertama dan kemudian tidak berpeluang belajar dengan lebih mendalam atau bekerja dalam bidang ini, akhirnya menjadi guru sejarah. Sayang sebenarnya jika kita tidak mula perlahan-lahan meneroka zaman silam untuk dipelajari generasi hari ini.

    Sungguhpun menyedari pelbagai faktor yang mungkin memperlahankan langkah kita usaha yang sedikit, tetapi berterusan boleh menghidupkan cabang ilmu ini, agar ia tidak mati serta tidak mampu berfungsi sepatutnya.

    Apa yang kita lakukan di Malaysia sekarang adalah usaha yang perlu disokong semua pihak, bantuan dalam bentuk material serta promosi kepada masyarakat untuk menarik pembabitan ramai perlu digiatkan dari semasa ke semasa. Jangan lemahkan semangat ahli arkeologi kita.

    Penulis ialah pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), kini melanjutkan pelajaran peringkat doktor falsafah di Nottingham Trent University, United Kingdom

    11 Februari 2009

    Simpan 500,000 naskhah


    Di Junk Book Store, jika anda menemui buku-buku lama yang dicari sejak sekian lama, ia merupakan satu pengalaman yang sukar digambarkan dengan kata-kata.


    JUNK BOOK STORE cukup popular di kalangan mereka yang ingin mencari buku-buku baru dan lama.


    DI DALAM kedai yang terletak di hujung Jalan Tun H.S Lee, Kuala Lumpur, bau buku lama yang 'harum' menusuk ke hidung. Mungkin ada segelintir yang berasa 'lemas', tetapi ramai juga yang hanyut dengan ilmu yang disimpan di helaian naskhah-naskhah di kedai tersebut.

    Gabungan buku baru dan lama yang disusun rapi boleh dilihat hampir di setiap inci premis sederhana besar itu. Beroperasi sejak tahun 1990 di sebuah kedai kecil di Jalan Ampang, Junk Book Store kemudiannya berpindah ke lokasi sekarang sejak tahun 1996, kerana buku yang diterima semakin banyak.

    "Bagi seseorang individu, buku mungkin hanya sebuah buku yang berharga RM1 atau sampah yang perlu dibuang. Namun, bagi sesetengah orang ia tidak ternilai harganya.

    "Bergantung bagaimana anda menilai sebuah buku dan sejauh mana ia memberi makna kepada anda," jelas pemilik Junk Book Store, Adelyn Koh.

    Memegang rekod kedai buku terpakai terbesar di Malaysia seperti yang disahkan oleh pihak Malaysia Book of Records, Junk Book Store menyimpan lebih 500,000 naskhah buku dan majalah.

    "Yalah, buku dan majalah bukannya tebal sangat. Jika disusun sebegini dan dikira, jumlahnya memang boleh mencecah beribu-ribu naskhah," kata Adelyn sambil menyentuh susunan buku berhampirannya.

    Benar, tidak ramai yang mengumpul buku. Biasanya, buku lama akan dibuang atau dibiarkan hilang begitu sahaja.

    Cuma mungkin apabila umur mencecah 40-an atau 50-an, kita mula teringat dan menyedari buku dahulu sangat berbeza dengan buku yang ada sekarang. Terutamanya dari aspek grafik dan reka letak muka suratnya.

    Justeru, kita akan fikir bahawa alangkah gembiranya jika boleh membaca semula buku-buku lama.

    "Itulah antara sebab kenapa pelanggan datang ke sini. Malah, apabila berjaya menjumpai buku yang dicari sejak sekian lama, kegembiraan yang terpancar di wajah mereka sukar untuk digambarkan.

    "Saya boleh lihat keterujaan itu dan berkongsi rasa gembira kerana boleh membawa kembali memori kepada setiap pelanggan Junk Book Store. Jadi, ia bukan sekadar satu perniagaan yang mementingkan kepada keuntungan semata-mata, tetapi turut memberikan kebahagiaan kepada orang lain," ujarnya.


    ADELYN (kanan) cukup mahir untuk mencari buku yang diingini oleh pelanggannya.


    Lazimnya, pelanggan akan memberikan senarai buku yang dicari. Jika berjaya mendapatkan tujuh daripada 10 buah buku yang diminta, Adelyn sudah cukup gembira.

    Bagaimana dia mencari buku yang diminta pelanggan? Pemilik Junk Book Store, Adelyn hanya tersenyum.

    Dia memberitahu, apabila seseorang seperti dia yang sudah lama berada dalam 'kerja' ini mendapatkan buku yang dimahukan, itu bukanlah masalah besar.

    Tidak terhad kepada buku bahasa Melayu dan Inggeris, kedai itu turut menjual buku berbahasa Belanda, Jerman dan Perancis. Maka tidak hairanlah jika ramai pelancong asing datang ke kedainya untuk mendapatkan buku kegemaran masing-masing.

    Di tingkat atas bangunan lama itu pula, tersimpan buku-buku, majalah dan komik yang disifatkan oleh Adelyn sebagai eksklusif.

    Benar, anda boleh mendapatkan buku pelbagai genre termasuklah biografi, sains fiksyen, sejarah, keagamaan dan politik yang diterbitkan seawal tahun 1800-an.

    Junk Book Store mendapatkan buku-buku klasik ini daripada pelbagai sumber. Sebelum ini, Adelyn pernah mendapatkan bekalan buku dari Australia.

    Namun, lama kelamaan kebanyakan buku-buku dibeli daripada orang tempatan yang sering keluar negara dan membawa pulang banyak buku dari negara yang dilawati.

    "Mereka berpindah rumah atau berhijrah ke luar negara selalunya mahu menjual buku lama yang ada. Adakalanya, orang ramai yang mahu menjual buku-buku lama itu akan menghubungi Junk Book Store atau mengiklankannya di dalam akhbar atau majalah.

    "Jadi, saya akan menghubungi mereka dan melihat sama ada buku yang hendak dijual itu sesuai atau sebaliknya," tambahnya.




    Harganya? Harga buku yang baru tidak jauh bezanya dengan di kedai-kedai buku lain. Harga buku-buku yang eksklusif pula bermula daripada RM50 dan boleh mencecah ribuan ringgit senaskhah.

    "Ada buku yang berharga lebih RM20,000 sebuah. Saya pernah menjual sebuah buku berkaitan sejarah Malaya dan zaman kolonial British pada harga RM8,000.

    "Untuk menetapkan harga sesebuah buku, saya perlu tahu sejauh mana sukarnya buku itu boleh didapati semula. Misalnya, mungkin buku itu tidak lagi diterbitkan," cerita Adelyn.

    Mungkin ramai yang masih belum tahu tentang kewujudan Junk Book Store. Sesiapa yang ingin mencari buku lama, anda mungkin perlu datang ke sini. Lebih menarik lagi, kebarangkalian untuk menemuinya adalah tinggi. - AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN