Maju Melayu Perkasa!

25 Disember 2007

Bahasa bukan lagi halangan di Perancis


Oleh Zulkofli Jamaludin (yang berkunjung ke Perancis baru-baru ini)

Penduduk mula bertutur bahasa Inggeris tanpa meminggirkan bahasa ibunda

ORANG Perancis dikatakan terlalu mengagungkan bahasa ibunda sehingga tidak melayan pelancong asing yang melawat negara itu jika bertanya dalam bahasa Inggeris.

Penulis berada di sana baru-baru ini kerana membuat liputan lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Justeru, beberapa rakan menasihati penulis supaya belajar perkataan penting dalam bahasa Perancis bagi mengelak menghadapi kesulitan.

Selepas seminggu di Paris, rupa-rupanya tanggapan itu tidak tepat apabila mendapati orang Perancis sudah tidak lagi bersikap sedemikian. Malah, ramai pelancong asing berkomunikasi dengan penduduk tempatan menggunakan bahasa antarabangsa itu.


Daripada jurujual di gedung beli-belah ternama, penjawat awam, pegawai tentera, pekerja hotel, pemandu atau peniaga jalanan, mereka melayan dengan baik apabila pelancong bertanya dan bercakap dalam bahasa Inggeris.

Penulis yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Charles de Gaulle seorang diri tidak menghadapi sebarang masalah ketika bertanya dalam bahasa Inggeris bagi mendapatkan teksi untuk ke hotel.

Malah, sepanjang perjalanan ke hotel, pemandu yang dikenali Gary menceritakan mengenai kesesakan yang terpaksa dihadapi rakyat negara itu berikutan tindakan mogok pengangkutan awam membabitkan pekerja kereta api dan bas.

Perjalanan yang sepatutnya hanya 30 minit untuk sampai ke pusat bandar, mengambil masa hampir dua jam gara-gara mogok awam sehingga memaksa warga kota Paris memandu sendiri ke tempat kerja, menyebabkan kesesakan teruk di kota metropolitan yang terkenal dengan dunia fesyen itu.

Apa yang penulis perhatikan, rakyat Perancis melayan pelancong dengan baik menerusi penyediaan perkhidmatan bermutu, dan tidak hairanlah apabila lebih 79.1 juta pelancong melawat negara itu setiap tahun, melebihi jumlah penduduk Perancis seramai 61.5 juta (perangkaan Januari 2007).

Malah, kebanyakan rakyat Perancis yang bekerja dalam sektor pelancongan khususnya petugas di barisan hadapan menguasai lebih daripada dua bahasa utama dunia.

Penulis ketika dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Cherbourg ke dermaga pembinaan kapal selam pertama milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dirasmikan oleh isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor sempat berbual dengan pegawai kanan tentera laut Perancis.

Beliau yang melatih pegawai dan anggota TLDM di Brest, pernah berkunjung ke Malaysia sebanyak tiga kali dan turut mempelajari bahasa Melayu.

Tidak hairanlah apabila sampai di tempat perasmian kapal selam, beliau mengucapkan terima kasih kerana dapat berbual dengan penulis yang disusuli ucapan jumpa lagi.

Peristiwa yang dianggap boleh dicontohi ialah apabila penulis meminta pekerja Hotel Prince de Galles menghantar soket elektrik tiga pin untuk menyambung wayar komputer riba dan diberitahu alat itu akan dihantar dalam masa terdekat.

Selepas beberapa minit pekerja itu menghubungi penulis dan memberitahu beliau baru memahami alat yang diperlukan selepas merujuk kepada kamus dan akan menghantarnya ke bilik.

Kesediaan pekerja terbabit merujuk kepada kamus untuk mengetahui apa yang diperlukan pelanggan, sebenarnya menunjukkan kesungguhan pekerja di negara itu belajar kerana selain menguasai bahasa ibunda, pekerja terbabit menguasai bahasa Arab.

Tidak hairanlah Perancis yang menerima kunjungan pelancong dari seluruh dunia setiap tahun, menggunakan bahasa Inggeris dan Arab secara meluas dalam risalah disediakan di hotel dan tempat awam khususnya di destinasi tumpuan pelancong.

Bagaimanapun, pada majlis rasmi seperti perasmian kapal selam, bahasa Perancis tetap menjadi keutamaan.

Menteri Pertahanan Perancis, Herve Morin, yang bertutur dalam bahasa Inggeris, tetap menyampaikan ucapan pada majlis menamakan kapal selam pertama � KD Tunku Abdul Rahman sempena nama Perdana Menteri pertama, menggunakan bahasa Perancis, sebelum ucapannya diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris.

Walaupun cara itu mengambil masa, tetapi rakyat Perancis dilihat tetap mengutamakan bahasa ibunda mereka bagi menggambarkan kepada dunia bahawa bahasa mereka itu juga setanding bahasa Inggeris.

Pada majlis bersejarah itu, kita patut berbangga kerana pengacara majlis � Mahathir Lokman menggunakan tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Perancis dan Inggeris yang menggambarkan bahasa kita juga mampu digunakan pada peringkat antarabangsa.

Kita wajar berbangga dengan bahasa Melayu dan mencontohi rakyat Perancis yang tetap mengutamakan bahasa ibunda mereka pada majlis rasmi malah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa Bersatu (Unesco) yang beribu pejabat di Paris menggunakan bahasa Perancis sebagai bahasa utama.

Apa yang pasti, bahasa Melayu juga mampu menjadi alat perhubungan antarabangsa, sekiranya kita tidak malu menggunakan bahasa ibunda tanpa mengetepikan keperluan menguasai bahasa asing untuk berjaya pada peringkat global.

Penulis ialah Ketua Biro, Berita Harian Terengganu