Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

28 Disember 2007

Hasilkan filem sejarah lebih realistik


KITA sering mendengar rungutan daripada pembikin-pembikin filem atau drama tempatan yang sesekali cuba mengangkat topik atau individu sejarah di layar perak ataupun juga dipanggil filem period (fiksyen yang berlatarbelakangkan sejarah ataupun suasana masa silam) mengenai kurangnya sambutan ataupun sokongan dari kalangan masyarakat Malaysia terhadap hasil kerja mereka.

Maka ia menjadi alasan kepada pembikin-pembikin filem yang lain untuk mengelak daripada mengeluarkan filem-filem berunsur sejarah lagi di masa yang lain.

Filem sejarah bagi masyarakat di negara maju atau besar di Barat, Jepun, China, India, waima negara jiran kita Thailand amatlah penting bagi mereka dengan niat untuk dijadikan rujukan, ataupun untuk mengangkat sejarah tamadun mereka, atau juga untuk menceritakan kepada dunia betapa hebatnya sejarah atau tamadun mereka dan juga untuk hiburan.

Maka mereka menghasilkannya dengan penuh teliti, terperinci, imaginatif dan realistik, walaupun filem itu dihasilkan untuk komersial atau tidak semestinya perlu terlalu bercorak ilmiah dan dokumentari.

Sebagaimana contoh, walaupun filem Kingdom of Heaven diarah dan diterbitkan oleh Hollywood, tetapi mereka tidak meminggirkan elemen-elemen peribadi mulia Salahudin Al Ayubi dan kehebatan teknik dan peralatan perang beliau meskipun filem itu diterbitkan oleh orang bukan Arab.

Mereka cuba mengekalkan elemen fakta sebaik-baiknya walaupun fakta itu menyakitkan mereka.

Dalam kaitan ini, adakah pembikin atau penggiat filem tempatan benar-benar memahami mengapa khalayak keberatan menonton filem sejarah tempatan? Sedangkan khalayak yang sama inilah yang membanjiri pawagam jika ditayangkan filem-filem sejarah atau period asing seperti Kingdom of Heaven, Troy, Alexander The Great, The Last Emperor, Gandhi, Gladiator, The Assassin and The Emperor dan banyak lagi.

Adakah mereka ini terlalu mengagumi sejarah asing ataupun terlalu mengagumi hasil kerja asing? Tidakkah kita cuba mengetahui atau memahami betapa kecewanya sesetengah khalayak tempatan yang masih cuba memberi sokongan kepada filem sejarah tempatan tetapi pulang dengan dahi berkerut kecewa dengan seribu persoalan seperti “...besar itu sajakah kota raya pelabuhan (port-city sebagaimana dirujuk oleh penulis Portugis mengenai bandar Melaka dahulu) Melaka?, Macam jeti nelayan yang hanya disinggahi sampan-sampan biasa aje?” “...macam itu ajekah gedung-gedung, kedai-kedai dan pedagang yang ada di pelabuhan Melaka, kecilnya macam bangsal sahaja?”, “...seramai itu sahajakah tentera-tentera atau kapal-kapal yang ada oleh kerajaan-kerajaan Melayu lampau” apabila menonton filem seperti Puteri Gunung Ledang, Raja Melewar dan Lang Buana.

Sering kita melihat adegan pertempuran yang hanya dilakonkan dengan pelakon tangkap muat yang boleh dibilang dengan jari.

Adakah patut satu adegan perang Melaka dengan Siam yang pernah ditayang di televisyen dahulu bertajuk Tun Perak dengan askar berjumlah 60 – 70 orang sahaja, atau paling ramai pun 200 orang?

Tidak masuk akal dan melucukan. Tiada jiwa dan ia hanya seperti pergaduhan antara samseng-samseng kampung sahaja?

Ia benar, mungkin mereka mempunyai cerita yang digarap baik tetapi pembikin- pembikin filem tempatan seperti tidak imaginatif dan tidak berjiwa besar untuk menterjemahkan kebesaran atau kehebatan sesebuah kerajaan silam atau ketinggian darjat seseorang tokoh sejarah yang hendak diangkat itu, dengan tepat dan terperinci.

Mereka seperti tidak dapat menggambarkan sebagaimana yang diceritakan oleh sejarawan yang telah berusaha menceritakan kehebatan bangsa kita di masa silam dengan terperinci dan tepat seperti Tun Sri Lanang dan Raja Ali Haji yang menulis Sulalatus Salatin dan Tuhfat Al Nafis.

Saya sentiasa bertanya kepada diri sendiri adakah pembikin filem tempatan ini tidak membaca naskhah-naskhah lama ini dan hanya bergantung kepada skrip-skrip longgar yang ditulis tanpa membuat kaji selidik yang rapi, mengapa mereka tidak mahu berusaha lebih sedikit secara terperinci (detailing) dalam menghasilkan filem sejarah atau period tempatan supaya khalayak tempatan tidak malu dan kecewa apabila menonton filem mereka ini?

Apatah lagi hendak menyarankan kepada rakan-rakan kaum asing untuk menonton bersama? Fikir-fikirkanlah.

– FAIRUZ KAMARULZAMAN,

Banting, Selangor.