Maju Melayu Perkasa!

28 Disember 2007

Jangan pinggirkan Melayu minoriti


SEMALAM, ketika di Pulau Pinang, penulis sempat berkunjung ke Jalan Penang. Bagi yang tidak tahu apa istimewanya Jalan Penang ini, ia lebih kurang macam Jalan Tuanku Abdul Rahman atau Jalan Chow Kit di Kuala Lumpur. Di situ tempat kebanyakan orang membeli-belah daripada pakaian hinggalah buah jeruk.

Begitu juga dengan makanan. Disebabkan jalan yang sedia sempit, maka bertambah sempit lagi apabila kerja-kerja menaik taraf jalan dilakukan. Akibatnya jalan bertambah sesak kerana hanya satu lorong dibuka. Difahamkan warga Tanjong atau para pelancong yang ke situ akan merasai kesesakan ini sehingga tahun depan.

Jalan Penang menjadi kunjungan para pelancong dari dalam dan luar negara. Di situlah mereka jalan-jalan cari makan. Semalam, ketika melalui warung mamak Line Clear, ramai beratur panjang untuk makan tengah hari di gerai yang terletak di satu lorong di situ. Ia mengalahkan restoran atau kedai mamak yang lebih selesa di jalan yang sama. Begitulah sambutan terhadap gerai Line Clear walaupun berada di celah-celah bangunan. Itu kisah di Line Clear, Jalan Penang.

Ketika di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) pula, penulis terkejut melihat kemuraman kompleks itu. Komtar bagaikan gajah putih. Tidak lagi semeriah dulu. Kata seorang peniaga di situ, keadaan ini sudah berlaku sejak tiga tahun lalu. Sudah banyak yang ‘hilang’. Kalaulah tidak ada pejabat kerajaan di situ, Komtar akan ‘mati’.

Sama ada di Jalan Penang atau Komtar, persoalannya berapa kerat peniaga Melayu yang bertahan di tengah-tengah bandar itu? Hanya seorang dua yang masih kekal. Tetapi perniagaan kebanyakan mereka sudah ‘mati’. Kedai atau gerai mereka tidak semeriah gerai nasi kandar Line Clear. Jika pada tahun-tahun 80-an dan 90-an, orang Melayu berjuang untuk mendapatkan tempat atau premis perniagaan di Komtar, kini tidak perlu diperjuangkan semua itu kerana tidak ada maknanya berniaga di situ.

Sesuatu harus dilakukan bagi memastikan kepentingan Melayu atau bumiputera di tengah-tengah Pulau Mutiara itu terus dijaga.

Dipinggirkan

Walaupun Wilayah Ekonomi Koridor Utara (Koridor Utara) lebih melibatkan tanah besar dan negeri-negeri di utara tetapi masih ada projek besar di sebelah pulau. Maka, Melayu Pulau Pinang di sebelah pulau tidak seharusnya dipinggirkan.

Dalam politik, kedudukan Melayu di sebelah pulau masih memainkan peranan. Ia sama dengan kedudukan minoriti bukan Melayu di kawasan majoriti Melayu. Memang di sebelah pulau, kerusi Melayu amat kecil – empat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu Parlimen. Kesemuanya di Balik Pulau dan Bayan Baru. Tetapi selama mana undi Melayu di situ mampu bertahan?

Walaupun di kawasan bandar, majoritinya penduduk Cina tetapi masih ada kawasan Melayu yang mampu menyokong calon kerajaan sekiranya undi tidak dipecahkan oleh parti pembangkang. Ini termasuklah di kawasan Parlimen Bukit Bendera yang diwakili Barisan Nasional (BN), Jelutong (BN), Bukit Gelugor (DAP) dan Bayan Baru (BN). Begitu juga di beberapa kawasan DUN di mana undi Melayu masih dapat membantu calon-calon kerajaan.

Justeru, dalam menjaga hati pengundi-pengundi ini, kerajaan pimpinan Gerakan di Pulau Pinang perlu memberi perhatian terhadap isu-isu yang dibangkitkan oleh penduduk tanpa mengira kaum supaya ia selari dengan moto Gerakan – Satu Hati.

Masih ada waktu menjelang pilihan raya umum, kerajaan negeri mengambil langkah menerangkan kepada rakyat isu-isu yang boleh menimbulkan salah faham di kalangan para pengundi.

Ingatlah seperti kata bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin bahawa Pulau Pinang antara negeri yang dianggap ‘panas’ pada pilihan raya umum akan datang di samping Selangor dan Kedah.

Kenyataan Daim yang dipetik akhbar Star hasil interviu eksklusif dengan China Press itu tidak boleh dipandang sepi. Kerajaan perlu memberi perhatian yang lebih bagi menyelesaikan beberapa isu di negeri-negeri berkenaan.

Mungkin tidak berlaku DAP menguasai kerajaan Pulau Pinang atau Pas memerintah Kedah tetapi setidak-tidaknya DAP boleh menggugat kerajaan negeri. Ini bukan dongengan kerana DAP sudah membuktikannya tidak lama dulu. Begitu juga dengan Pas di Kedah. Maka dalam hal ini, rungutan serta rasa tidak puas hati pengundi perlu diberi perhatian. Dan yang lebih penting, janji kepada rakyat harus ditunaikan. Bukan sahaja seperti kata Daim tetapi Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi sudah berkali-kali mahu janji kepada rakyat ditunaikan. Dan Jumaat lalu, beliau sekali lagi mengingatkan perkara yang sama berhubung janji pembangunan koridor ekonomi wilayah. Katanya: “Rakyat tidak mahu hanya pada janji, sebaliknya mahu melihat apa yang ada dan diusahakan.”

Masih ada waktu untuk menunaikan janji pilihan raya 2004. Mungkin dalam tempoh selepas pilihan raya umum lalu, pihak-pihak berkenaan tidak mampu menunaikan segala janji sebaliknya, janji-janji itu boleh dilaksanakan secara berperingkat.

Biarlah ada daripada tidak ada.

– HASSAN MOHD. NOOR