Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

28 Disember 2007

Wujudkan perpaduan kaum melalui bidang seni


DUNIA seni yang mencakupi bidang muzik, lakonan, nyanyian, drama, teater, filem dan sebagainya merupakan elemen-elemen berunsur subjektif yang mampu untuk dihayati oleh sesiapa juga tanpa mengira usia dan warna kulit.

Justeru, bidang seni merupakan jambatan yang mudah untuk menghubungkan sesiapa juga di dunia ini mengikut daya penghayatan masing-masing.

Penyanyi legenda dari Jamaica, Bob Marley misalnya, berjaya mempopularkan muzik reggae yang diadun daripada intipati muzik ska di negaranya pada sekitar awal tahun 1970-an.

Hasilnya, lirik lagu-lagu penyanyi kulit hitam itu yang sarat dengan mesej keamanan serta perpaduan tanpa mengira kaum selain alunan lagu-lagunya yang menawan kalbu berjaya menyentuh hati dan menyatukan para peminatnya tanpa mengira warna kulit di seluruh dunia.

Negara kita juga tidak terkecuali apabila ramai penyanyi bukan Melayu seperti kumpulan Alleycats yang terkenal kerana menyanyikan lagu-lagu Melayu tetapi mereka diterima baik oleh kalangan peminat Melayu mahupun bukan Melayu.

Malah, banyak lagi kumpulan muzik kita ataupun penyanyi yang dianggotai oleh pelbagai bangsa seperti kumpulan Old Automatic Garbage (OAG), Pop Shuvit, Jaclyn Victor, Estranged, Flybaits, Revolvers dan sebagainya yang menggunakan formula tersebut.

Begitu juga dengan pelakon, pelawak, pengacara, penyampai radio dan pemuzik di mana kita mempunyai ramai bakat bukan Melayu yang sudah lama terbabit sama dalam memeriahkan lagi dunia hiburan tempatan.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) misalnya, sejak dari dulu lagi seakan-akan telah mewajibkan pembabitan artis-artis daripada kaum Cina dan India dalam setiap rancangan hiburan TV yang mereka terbitkan.

Pendekatan itu bukan sahaja memberi peluang kepada kaum lain mempamerkan bakat seni mereka tetapi secara tidak langsung ia juga akan merapatkan lagi hubungan antara rakyat berbilang kaum di negara ini.

Sayangnya, sejak kebelakangan ini pembabitan kalangan orang seni daripada pelbagai kaum dalam kebanyakan aktiviti seni sama ada menerusi radio, TV ataupun persembahan pentas dilihat semakin berkurangan.

Fenomena itu tanpa disedari boleh melebarkan lagi jurang perpaduan antara kaum, apatah lagi dunia hiburan kita sejak kebelakangan ini mempunyai medium-medium yang dicipta khusus untuk kaum-kaum tertentu.

Sebagai contohnya, ada saluran TV kita yang lebih memberi tumpuan siaran mereka kepada sesuatu kaum dalam kandungan rancangan-rancangan siaran mereka sejak kebelakangan ini yang jelas 100 peratus bermatlamatkan keuntungan semata-mata.

Jika keadaan itu dibiarkan berterusan matlamat kita untuk menyatukan rakyat negara ini menerusi wadah seni dan hiburan sukar untuk direalisasikan.

Semua itu secara tidak langsung akan menyumbang kepada sikap individualistik di kalangan rakyat berbilang bangsa di negara ini.

Ini kerana, terdapat banyak pendekatan lain bagi mengeratkan lagi perpaduan antara kaum di negara ini termasuklah pembabitan karyawan seni tanpa mengira warna kulit dan agama dalam semua aktiviti seni yang akan kita adakan pada masa depan.

Pihak-pihak tertentu seperti stesen TV misalnya, boleh mensyaratkan supaya pembabitan kaum bukan Melayu wajib dalam rancangan-rancangan terbitan mereka seperti pertandingan nyanyian, drama dan sebagainya.

Semoga pendekatan itu boleh mengurangkan rasa terpinggir kaum-kaum lain di negara ini dalam apa juga aktiviti-aktiviti seni dan hiburan sama ada menerusi TV, radio mahupun persembahan pentas.

Di harap sumbangan atas faktor perpaduan dalam bidang seni dan hiburan itu sedikit sebanyak dapat menyumbang kepada perpaduan rakyat berbilang bangsa di negara ini.