PADA 23 hingga 30 Januari ini bakal berlangsung Minggu Bahasa Antarabangsa di Prince of Songkla University (PSU), Hatyai, Thailand. Selama tempoh itu akan diadakan forum dan pelbagai aktiviti kebahasaan melibatkan bahasa Melayu, Inggeris, Thailand, Korea, Jepun dan Indonesia.
Malaysia akan diwakili oleh Persatuan Penulis Nasional (Pena). Ia juga akan bertanggungjawab mengadakan aktiviti untuk lebih 100 mahasiswa program bahasa dan sastera Melayu di universiti tersebut.
Aktiviti yang akan diadakan pada 29 akan membabitkan pengenalan tentang pelbagai genre kesusasteraan termasuk sastera tradisional yang berkembang dalam masyarakat Melayu. Antaranya gurindam dan syair.
Selain itu, Pena juga akan memberi pendedahan dan perkongsian pengalaman tentang metodologi pengajaran serta penerapan bahasa serta sastera Melayu di peringkat sekolah serta institusi pengajian tinggi.
Pada umumnya, mahasiswa-mahasiswa program Ijazah Sarjana Muda tersebut membuat pengkhususan dalam bidang bahasa, linguistik, kesusasteraan dan sosiobudaya Melayu.
Di PSU, pengajian bahasa Melayu diletakkan di bawah Jabatan Bahasa dan Linguistik bersama bahasa-bahasa lain iaitu Inggeris, Perancis, Jepun, Cina dan Kemboja.
Jabatan tersebut merupakan salah satu daripada dua jabatan (jabatan lain ialah Pendidikan) yang ditawarkan oleh Fakulti Seni Liberal, kampus PSU cawangan Hatyai.
Sementara itu, empat wakil Pena iaitu Mohamad Saleeh Rahamad (Universiti Malaya), Ghaffar Abdullah (Dewan Bahasa dan Pustaka), Nassury Ibrahim (Maktab Perguruan Kota Bahru) dan Shamsuddin Othman (Universiti Putra Malaysia) akan membentangkan kertas kerja masing-masing mengenai bahasa dan sastera Melayu mutakhir.
Antara lain kertas-kertas kerja tersebut akan memperkatakan pendekatan untuk mewujudkan hubungan yang lebih erat antara Pena dan Jabatan Bahasa Melayu di PSU.
Sebenarnya Pena telah merintis kerjasama dalam bidang kesusasteraan dan penerbiatan dengan Persatuan Penulis Thailand atau Semakhom Nakhian Thai (Writers Association of Thailand - WAT).
Pertemuan itu berlangsung di Universiti Rajabhat Nakhon Si Thammarat (URN) pada 26 hingga 29 Julai tahun lalu. Ia merupakan susulan daripada hubungan Pena dengan beberapa aktivis sastera Melayu Selatan Thai seperti pensyarah di Sekolah Pengajian Seni, Universiti Walailak, Abdul Razak Pandangmalam.