Maju Melayu Perkasa!

18 Mac 2008

Mahu ke mana Melayu Pulau Pinang?

BALIK Pulau Bayan Lepas, sana terpelau, sini terlepas. Itulah antara kesimpulan yang boleh dibuat apabila melihat keputusan pilihan raya umum kali ini khususnya di Pulau Pinang. Ketika BN khususnya UMNO mengharapkan Parlimen Permatang Pauh kembali ke pangkuannya tetapi perkara sebaliknya berlaku. BN akhirnya kehilangan dua kawasan Parlimen iaitu Balik Pulau dan Nibong Tebal yang secara tradisinya menjadi milik BN lebih-lebih lagi bagi Balik Pulau.

Dan calon yang kalah pula bukannya calang-calang orang. Di Balik Pulau, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Dr. Norraesah Mohamad manakala di Nibong Tebal, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Zainal Abidin Osman. Lebih mengejutkan, Zainal kalah kepada calon PKR Tan Tee Beng, anak bekas pemimpin Gerakan Pulau Pinang. Di kawasan majoriti pengundi Melayu itu, calon PKR menang selesa dengan kelebihan 3,087 undi manakala Norraesah yang bertanding di kawasan hampir 61 peratus pengundi Melayu kalah dengan majoriti 708 undi kepada calon PKR.

Di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, UMNO hilang tiga kerusi berbanding sebelum ini hanya satu kerusi. UMNO pernah menjadi penyelamat kepada penubuhan kerajaan BN apabila Gerakan dan MCA tewas banyak kerusi DUN sementara UMNO menang semua kerusi yang ditandingi sehingga mewujudkan jawatan Timbalan Ketua Menteri untuk UMNO.

Kini keadaan sudah berubah. Ramai yang bertanya apa sudah jadi dengan Melayu Pulau Pinang?

Apa yang pasti undi Melayu di pulau itu sudah berpecah. Mereka tidak peduli lagi siapa yang bertanding asalkan calon berkenaan mewakili pembangkang. Sama ada calonnya DAP, PKR atau Pas, banyak undi Melayu sudah terlepas ke tangan pembangkang yang kini berjaya membentuk kerajaan negeri.

Dan ada yang berkata, nasib baik Melayu Pas menang satu dan Melayu PKR menang tiga kerusi di DUN. Maka ada juga wakil Melayu di dalam kerajaan negeri termasuklah Timbalan Ketua Menteri dari kawasan Parlimen Permatang Pauh dan seorang anggota Exco kerajaan negeri. Betul juga kata mereka ini. Tetapi hakikatnya, lebih ramai Melayu Pulau Pinang kini berada di sebelah pembangkang – kesemuanya 11 orang, dari UMNO.

Rakan-rakan UMNO dari parti komponen lain yang bertanding iaitu Gerakan, MCA dan MIC semuanya kecundang. Tetapi bagi kawasan Parlimen, jumlah wakil Melayu bertambah seorang apabila Zahrain Hashim yang dulunya orang kuat UMNO Tanjong memenangi kerusi Parlimen Bayan Baru yang sebelum ini diwakili MCA. Tiada siapa yang menduga pada satu hari nanti Zahrain yang kini Pengerusi PKR Pulau Pinang mampu menjadi wakil rakyat di negeri itu. Ini kerana tidak ada satu kerusi pun di Tanjong yang selamat untuk calon daripada UMNO. Tetapi perubahan politik telah mengubah nasib Zahrain. Bayan Baru sebelum ini juga pernah diwakili orang Melayu melalui Ahmad Nor dari DAP.

Persaingan

Melihat semula kawasan yang majoriti pengundinya terdiri daripada orang Melayu, ternyata berlaku persaingan yang amat hebat antara UMNO dan PKR. Ini berdasarkan jumlah majoriti undi yang diperoleh oleh calon-calon yang menang di peringkat DUN kecuali di lima kawasan, masing-masing tiga di Parlimen Kepala Batas dan dua di Tasek Gelugor.

Kebanyakan kawasan yang dimenangi oleh calon-calon PKR memperoleh undi lebih besar berbanding kemenangan calon-calon UMNO yang menang dengan majoriti undi kecil ke atas calon PKR.

Di DUN Bayan Lepas, UMNO menang dengan majoriti 399 undi, Pulau Betong (294), Telok Bahang (465), Seberang Jaya (533), Sungai Dua (535) dan Sungai Acheh (250). Sebaliknya di tiga kerusi yang dimenangi pembangkang, Pas menang dengan majoriti lebih besar di Permatang Pasir iaitu 5,433 undi manakala PKR menang kerusi DUN Penanti dengan 2,219 undi dan Sungai Bakap dengan majoriti 2,067 undi.

Begitulah corak pengundian yang melibatkan pertembungan antara dua calon Melayu di negeri itu. Sampai bila keadaan ini akan berterusan? Sebagai minoriti di pulau itu, orang Melayu tidak seharusnya mengalami perpecahan yang berterusan sehingga mereka terbahagi kepada dua – pembangkang dan penyokong kerajaan yang akhirnya tidak memberi sebarang makna kepada perjuangan politik mereka.

Pulau Pinang tidak boleh disamakan dengan Kelantan atau Terengganu. Melayu Pulau Pinang dalam apa keadaan sekalipun perlu menunjukkan kesepaduan mereka supaya yang kalah tidak menjadi abu dan yang menang tidak menjadi arang. Lebih mudah jika tidak faham, Melayu rugi sama ada mereka menang atau kalah. Begitu juga dengan peringatan orang Melayu dulu-dulu supaya jangan sampai menang sorak kampung tergadai.

Semoga Melayu Pulau Pinang tidak terpinggir dan terabai seperti yang mula dikeluh kesahkan oleh masyarakat Melayu di Pulau Mutiara itu sejak kebelakangan ini setelah kerajaan gabungan DAP-PKR-Pas dibentuk.

– HASSAN MOHD NOOR