APABILA mendengar berita mengatakan Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan pada 18-22 Disember 2008, pemikiran saya tidaklah tertarik sangat dengan pemilihan pucuk pimpinan yang bakal dijalankan pada perhimpunan itu nanti.
Pemilihan bukanlah sesuatu yang luar biasa, apatah lagi bagi UMNO yang mengamalkan kebebasan dan demokrasi. Kalau berlaku jawatan presiden dan timbalan presiden dipertandingkan, juga bukanlah perkara luar biasa.
UMNO sudah mengalami semua ini hingga ke peristiwa paling getir pada tahun 1987 apabila Tengku Razaleigh Hamzah mencabar Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk jawatan presiden, di mana berlaku perpecahan di dalam parti apabila wujudnya Team A dan Team B.
Lebih tragik lagi UMNO akhirnya diharamkan. Sebagai parti yang menunjang kepimpinan Melayu dan memperjuangkan nasib bangsa Melayu di negara ini, perpecahan dalam UMNO dilihat sebagai perpecahan Melayu seluruhnya. UMNO itu Melayu, Melayu itu UMNO.
Sesiapa pun tidak boleh menafikan hakikat bahawa nikmat kemakmuran yang dirasai oleh umat Melayu di negara ini, tidak kira mereka itu Melayu yang menyokong UMNO atau parti pembangkang, semuanya dilakukan oleh UMNO secara berterusan sejak negara mencapai kemerdekaan 50 tahun lalu.
Itu sebabnya bila berlaku perpecahan dalam UMNO ia sekali gus memperlihatkan juga perpecahan bangsa Melayu. Apakah Perhimpunan Agung UMNO pada Disember ini akan membawa malapetaka yang sama seperti 1987? Atau lebih teruk daripada itu?
Melihat kepada beberapa reaksi pemimpin dan ahli UMNO yang tersiar di media massa, masing-masing cukup seronok kerana akan berlaku pemilihan. Keghairahan hendak bertanding sudah mula dirasa. Mereka tidak peduli parti sedang berada dalam keadaan tenat.
Apa yang mereka mahu daripada pemilihan itu? Menukar pemimpin?
Menukar pemimpin tidak semudah menukar baju. Pemilihan jika dijalankan secara gentlemen tidak mengapa. Tetapi jika berlaku faction atau berpuak-puak, saya yakin akan berlaku perpecahan. Lebih-lebih jika yang kalah tidak dapat menerima kekalahan.
Jika berlaku perpecahan, ia mungkin lebih parah daripada tahun 1987. Kononnya untuk mempertahankan prinsip. Sedangkan sebenarnya adalah keangkuhan yang mengutamakan kepentingan diri. Perpecahan akibat pemilihan boleh merosakkan parti.
Kesannya cukup dahsyat. Mungkin bagi Pemuda dan Puteri UMNO yang ada pada hari ini tidak tahu dan tidak merasa kesannya. Mungkin juga mereka belum lahir ketika UMNO dirundung malang dulu.
Sebab itu, sebagai contoh, apabila beberapa pemimpin muda UMNO berkata pemilihan mesti dilakukan pada tahun ini sebagai satu amalan demokrasi, pada saya itu adalah kenyataan retorik yang tidak berpijak di bumi. Mereka sebenarnya tidak merasai kepahitan pemilihan 1987.
Mungkin mereka terkhayal dengan kedudukan yang diperoleh dengan mudah, tanpa melalui perjalanan politik yang panjang seperti dilalui oleh kebanyakan ahli UMNO yang berjuang lebih 20 tahun dalam parti. Walaupun tanpa mendapat apa-apa kedudukan daripada perjuangan politik, mereka adalah ahli parti yang tulen.
Sebab itu, pemikiran saya langsung tidak terangsang atau tertarik dengan perhimpunan agung dan pemilihan parti pada Disember 2008. Bagi saya bukan pemilihan itu yang penting tetapi bagaimana pemilihan itu berlangsung dan implikasi daripadanya. Lebih-lebih jika berlaku pertarungan merebut jawatan presiden dan timbalannya.
Justeru, hati dan fikiran saya masih terpahat pada peristiwa 30 tahun lalu, khususnya pada 18 Disember 1988, iaitu Perhimpunan Melayu Johor (PMJ).
Pemilihan UMNO 1987 meninggalkan kesan cukup mendalam kepada orang Melayu, khususnya di Johor yang menjadi kubu kuat UMNO. Pilihan raya kecil di Parit Raja dan Johor Bahru bagaikan perang saudara. Tidak ada apa-apa yang jelas diperjuangkan dalam pilihan raya itu kecuali hanya protes terhadap kepimpinan UMNO.
Lebih-lebih lagi apabila mereka yang kecewa dan dianggap sebagai serpihan UMNO menubuhkan parti Semangat 46. Namun hasil daripada PMJ, Semangat 46 tidak mampu bertahan lama. Malah paling menarik PMJ melahirkan Resolusi Melayu Johor yang diterima oleh Majlis Tertinggi UMNO telah membawa pulang ramai tokoh UMNO termasuk Tun Musa Hitam kembali ke pangkuan UMNO.
PMJ yang diinisiatifkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu menjadi Menteri Besar Johor adalah suatu happening. Ia adalah peristiwa yang sangat luar biasa dalam sejarah moden bangsa Melayu kerana ia telah berjaya menyatukan bangsa Melayu tanpa mengira fahaman politik.
Perpaduan
Bersama pelbagai tokoh politik, budaya, akademik, agama, sosial dan profesional Melayu di peringkat negeri dan Persekutuan berpadu tenaga bagi merealisasikan kegemilangan perpaduan Melayu Johor.
Di samping pelbagai pertubuhan dan NGO Melayu termasuk persatuan yang mewakili imam, guru agama, petani, buruh, pemandu teksi hingga penarik beca. Tidak ada yang terkecuali. Apa saja persatuan Melayu semuanya digabungkan. Anak Melayu Johor di perantauan juga turut pulang menyertai perhimpunan ini.
Perhimpunan itu cukup emosional dan sentimental kerana pada hari itu bangsa Melayu dari seluruh Johor, dan disertai juga oleh mereka yang datang dari negeri-negeri lain menyatukan diri dalam satu kabilah-kabilah Melayu.
Saya berada di tengah-tengah perhimpunan itu. Seumur hidup saya tidak merasa detik kesyahduan sebegini rupa, umat Melayu tanpa mengira darjat dan keturunan berhimpun dengan satu tekad untuk bersatu padu. Mereka tahu apa itu erti perpecahan. Dan mereka amat mengerti pentingnya perpaduan.
Sebab itu, saya berpendapat generasi muda Melayu hari ini patut diingatkan dengan peristiwa ini, betapa ibu bapa mereka begitu sukar untuk menyatukan bangsa, sedangkan hari ini mereka hanya pandai berkata, “negara ini bebas, itulah demokrasi.”
Bukan mudah untuk bersatu apabila sudah berpecah. Namun dengan semangat tidak mahu melihat bangsa Melayu terus berpecah yang tentunya membawa kehancuran dan kemusnahan, Muhyiddin telah melakukan satu turning point kepada perpaduan Melayu di seluruh negara.
Orang Melayu tidak harus berpecah lagi. Jangan khianati masa depan anak cucu-cicit kita di bumi bertuah ini semata-mata kerana kepentingan diri jangka pendek. Kita bukan bersifat perkauman dalam soal bangsa, tetapi kita harus bertanya kepada diri sendiri, hendak ke mana kita di tanah air sendiri?
Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu memberi petunjuk jelas betapa kacaunya bangsa Melayu. Perpecahan yang berlaku sekarang hanya menanti pecah menjadi belah. Ini akan diikuti dengan perpecahan selepas pemilihan 2008. Tahun 2008 akan menjadi tahun bermulanya malapetaka kepada bangsa Melayu. Jangan anggap mudah.
Kita harap pemimpin Melayu mesti mengingatkan diri, bukan saja tidak bertelagah sesama sendiri, tetapi mereka jangan lalai, hanya mementingkan diri, mengaut kekayaan dan mengejar kemewahan tanpa mempedulikan nasib bangsa.
Semua ini diperhatikan. Lihat pada pilihan raya lalu, betapa bangsa sendiri mula menolak mereka. Masih tak percaya?
Oleh itu, suatu usaha yang drastik dan komprehensif perlu dilakukan. Apakah satu perhimpunan nasional seperti Perhimpunan Melayu Johor perlu dilakukan, terpulang pada kebijaksanaan pemimpin Melayu.
Kalau diadakan, penyertaan perhimpunan itu mesti menyeluruh merangkumi setiap lapisan masyarakat Melayu.
Yang jelas orang Melayu kini di ambang perpecahan. Mereka menghadapi krisis keyakinan dan kepercayaan. Mereka mula hilang arah. Siapa yang memulakannya?
– M. HANAFIAH A. SAMAD,
Kuala Lumpur.