Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

23 Mei 2008

Cara orang dulu pertahankan UMNO


BAPA saya tinggal di rancangan tanah Felda. Walau pun hidupnya susah satu ketika dulu, dia sangat percaya bahawa kerajaan Barisan Nasional atau Perikatan yang berteraskan UMNO, sudah berusaha memajukan rakyat jelata.

Dia yakin bahawa Almarhum Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj, Allahyarham Tun Razak dan pemimpin-pemimpin lain telah berusaha memajukan bangsa khususnya orang Melayu ke tahap hidup yang lebih baik.

Usaha mendidik anak bangsa dipergiatkan dari semasa ke semasa, hingga mereka dapat sampai ke menara gading dan membina hidup yang gemilang. Slogan Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat sentiasa tertanam di sanubarinya.

Tidak terlintas di dalam pemikirannya bahawa dia akan mengisytiharkan dirinya keluar daripada UMNO walaupun dia tidak hidup senang-lenang atau memiliki harta yang boleh dinikmati hingga tiga generasi seperti yang diceritakan sejak akhir-akhir ini.

Itulah gambaran hidup bapa saya seorang veteran UMNO yang berusia lebih 80 tahun. Itu juga adalah gambaran sebahagian besar orang-orang tua dalam UMNO di kampung-kampung di negeri Johor atau di negeri-negeri lain juga. Pergilah dan tanyalah kepada mereka, apakah mereka sanggup meninggalkan UMNO? Jawapannya tentulah tidak?

Hasutlah mereka, provoklah mereka dan taburlah apa jua fitnah terhadap pemimpin-pemimpin UMNO dari dulu hingga hari ini. Mereka tidak akan termakan hasutan dan pujukan meninggalkan UMNO kerana kepercayaan dan keyakinan bahawa UMNO telah memerdekakan negara ini dan membangunkan hingga kehidupan mereka bertambah baik. Mereka percaya jika ada keburukan-keburukan yang berlaku, kesalahan harus diletakkan kepada individu yang melakukannya dan bukan kepada UMNO.

Meninggalkan UMNO bermakna memusnahkan sejarah yang telah terbina lebih 50 tahun! Amatlah sedih dan dukacita jika orang-orang Melayu termakan hasutan dan pujukan meninggalkan UMNO. Parti yang menjadi nadi bangsa Melayu.

Jangan kita abaikan kesetiaan dan pengabdian bangsa Melayu kepada UMNO. Pemimpin UMNO mana yang tidak pernah dikritik? Almarhum Tunku dan Allahyarham Tun Razak dikritik, malah Tun Mahatihir sendiri telah dikritik hebat selama lebih dua puluh tahun dengan pelbagai ejekan, tohmahan dan gelaran-gelaran buruk.

Antara yang terburuk ialah Mahafiraun, Diktator dan Mahazalim. Tetapi siapakah yang mempertahankannya? Tentulah ahli-ahli UMNO dan juak-juak UMNO yang mempertahankannya hingga berkuasa 22 tahun.

Tun Mahathir bukan berdiri sendiri melainkan disokong dan didukung oleh rakan-rakan dalam UMNO, Barisan Nasional, pegawai-pegawai kerajaan, pemimpin akar umbi sehingga kepada orang-orang kampung yang menyokongnya dari jauh dan dekat.

Hingga kini mereka masih berada dalam UMNO dengan taat, setia dan tabah. Mereka yakin perjuangan mereka benar. Tidak tergugat setianya kepada UMNO, walaupun Tun Mahathir sudah keluar daripada UMNO.

Itulah bapak-bapak kita yang berjuang dalam UMNO. Mereka puas melihat UMNO/BN memajukan negara. Mereka gembira apabila UMNO/BN menang dan berdukacita apabila UMNO/BN mengalami kemerosotan.

Mereka puas melihat kejayaan anak-anak mereka yang melangkau dunia lebih jauh dari yang mereka sudah alami. Walaupun mereka tidak punya kereta besar dan harta untuk dinikmati hingga tiga generasi. Sokongannya kepada UMNO/BN cukup ikhlas.

Inilah pendirian rata-rata masyarakat tua yang berada di Johor atau di negeri-negeri lain khususnya di kampung-kampung. Mereka melihat UMNO sebagai 'satu pakej perjuangan bangsa' , bukan melihat UMNO sebagai sesuatu yang terpisah-pisah atau serpihan. Pakej inilah yang membawa bangsa ke arah yang gemilang.

Oleh yang demikian, hargailah perjuangan orang-orang tua kita. Kalau ada seorang dua yang mahu keluar UMNO, bermuhasabah dan berfikirlah. Pandang dan lihatlah perjuangan veteran UMNO di kampung-kampung yang tidak kenal makna 'keluar parti' kerana mereka merasai duri-duri perjuangan dari dulu hingga kini.

Ingatlah slogan 'UMNO dulu, kini dan selamanya.' Jangan biarkan slogan tinggal slogan. Slogan bukan untuk ditampal pada kereta tetapi untuk ditampal di otak atau pemikiran agar perjuangan kita terus mekar, segar dan kekar.

Bagi generasi pemuda UMNO, kitalah pewaris kepimpinan bangsa. Kalau kita kerja 'keluar masuk' parti, sampai bila pun kita tidak dapat berkhidmat dengan sempurna. Kita seperti tiada pendirian dan 'lalok politik'. Marilah kita kekalkan perjuangan UMNO di saat-saat parti memerlukan khidmat kita.

GUNAWAN MAHMOOD

Johor Bahru