Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

03 Mei 2008

Kesan ambil mudah krisis kekurangan bekalan beras


SATU ketika dahulu petani-petani di Kedah mengeluh kerana hasil padi mereka tidak dapat dijual atau perlu dijual pada harga ren- dah ekoran lambakan padi di kilang-kilang milik bukan Melayu.

Tetapi, baru-baru ini keadaan berbeza apabila penduduk di negeri jelapang padi itu ber- hadapan dengan harga beras yang tinggi. Me- lebihi daripada harga yang ditetapkan kerajaan.

Masalah harga beras itu tidak terhad di Kedah sahaja. Ia turut melibatkan negeri-negeri lain. Fenomena ini sudah tentu meresahkan penduduk terutama yang berpendapatan rendah.

Sudahlah ketika ini mereka berhadapan dengan pelbagai kenaikan kos sara hidup, ke- naikan harga beras yang seolah-olah tidak terkawal ini cukup memeritkan.

Sebelum ini Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memberitahu bahawa mereka tidak ada kuasa untuk mengawal harga beras import, tetapi bagi keluaran tempatan ia terkawal.

Malah perkara itu turut disahkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna baru-baru ini bahawa harga beras super tempatan 15 peratus hancur dikawal oleh kerajaan.

Oleh itu harganya tidak boleh dinaikkan sewenang-wenangnya.

Harga yang ditetapkan itu ialah antara RM16.50 dan RM17.50 bagi 10 kilogram.

Tetapi maklum balas yang diterima daripada pengguna lain pula ceritanya. Menurut mereka harga beras tempatan dijual jauh le- bih mahal.

Malah tinjauan di Kedah kelmarin mendapati penduduk di negeri ini berhadapan de- ngan kenaikan harga antara 15 hingga 40 pe- ratus walaupun kerajaan memberi jaminan harga beras super tempatan dikawal dan ti- dak boleh dinaikkan.

Misalnya beras tempatan Jati Special yang biasanya dijual pada harga RM18.50 sekampit seberat 10 kilogram (kg) kini dijual antara RM23.90 dan RM26.

Beras import seperti beras wangi Siam naik antara RM8 dan RM10 sekampit seberat 10 kg mengikut gred.

Persoalannya sekarang kenapa ia berlaku seperti ini? Kenapa jaminan kerajaan lain te- tapi harga yang dijual di kedai lain?

Sehingga kini kedua-dua kementerian itu telah memberikan bermacam pandangan dan pelan untuk mengatasi masalah bekalan dan kenaikan harga beras.

Ia termasuk peruntukan berbilion ringgit bagi mengwujudkan stok penimbal beras. Te- tapi setakat ini rakyat belum nampak hasilnya.

Setakat ini rakyat masih perlu membayar harga lebih daripada biasa, lebih daripada harga yang kononnya di kawal oleh kerajaan.

Kenapa perkara seperti ini berlaku? Di ma- na silapnya? Adakah pihak yang bertanggung- jawab terhadap masalah ini tidak sedar apa yang sebenarnya berlaku?

Turut ditimbulkan ialah apa jadi dengan penguatkuasa dan pasukan pemantau harga barang yang diwujudkan sebelum ini jika mereka gagal mengesan penyelewengan harga beras yang membebankan rakyat itu?

Memang tidak dapat dinafikan bahawa kenaikan harga beras global terutama di Thailand, Vietnam dan Kemboja turut memberi kesan kepada harga dan bekalan bahan asas itu di negara ini.

Tetapi ia tidak membabitkan beras tempatan seperti yang ditegaskan berkali-kali oleh kedua-dua kementerian itu.

Adalah sesuatu yang mendukacitakan apabila negeri jelapang padi seperti Kedah turut berhadapan dengan masalah ini.

Sehubungan itu, kerajaan terutama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna perlu memperkemas dan memperketatkan jentera penguatkuasaannya supaya isu harga beras ini tidak terus membelenggu rakyat.

Bagi para peniaga termasuk pengilang, mereka seboleh mungkin mahu memaksimumkan keuntungan mereka.

Golongan ini akan melakukan apa sahaja termasuk memanipulasi isu bekalan beras global asalkan dapat menikmati untung yang besar. Sebab itu penguatkuasaan penting. Jangan tunggu musim perayaan baru hendak turun padang.

Pegawai kementerian terbabit dari setiap peringkat sama terutama di negeri dan daerah perlu dipastikan sentiasa peka dengan setiap perubahan harga.

Jika ini berlaku, tentu tidak timbul isu harga beras super tempatan dijual melebihi harga yang dibenarkan.

Malah, ada sesetengah tempat bekalan beras tempatan itu langsung tidak ada kerana peniaga lebih suka menjual beras import un- tuk mendapatkan untung lebih.

Jika para pegawai penguatkuasa itu turun padang dan mengambil tindakan terhadap golongan peniaga, pemborong dan pengilang yang tamak itu, orang ramai tentu tidak ter- beban.

Persepsi yang ada pada orang ramai kini ialah pihak berkuasa tidak melakukan apa- apa bagi mengatasi kenaikan tersebut.

Saban hari kenyataan demi kenyataan dibuat oleh pihak terbabit tetapi masalah tetap tidak selesai.

Apa yang diperkatakan itu ibarat mencurahkan air ke daun keladi atau macam anjing menyalak bukit. Sampai bilapun bukitnya tidak akan runtuh. Rakyatlah yang menanggung bebannya.