Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

23 Mei 2008

Pulau Warisan akan diteruskan


MARANG 22 Mei - Kerajaan negeri akan meneruskan projek pembangunan pulau buatan manusia yang dikenali sebagai Pulau Warisan di muara Sungai Terengganu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, tiada sebab mengapa projek itu harus dihentikan kerana pembangunan pulau itu boleh menarik minat pelancong ke negeri ini.

''Walaupun begitu, kerajaan negeri akan membuat pengubahsuaian mengenai pelan asal projek itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Guru di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Wakaf Tapai di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar baru-baru ini yang menyebut tentang projek pembangunan Pulau Warisan di sini yang kosnya mencecah RM30 juta dan dikatakan terlalu perlahan.

Menurut perancangan asal, pulau buatan itu yang terletak antara Kampung Cina dan Pulau Duyong dijangka siap sepenuhnya akhir tahun ini.

Apabila siap, Terengganu bakal mempunyai keunikan tersendiri kerana selain mempunyai Taman Tamadun Islam (TTI) dan Masjid Kristal yang berharga lebih RM300 juta, negeri ini juga mempunyai sebuah pulau buatan manusia yang belum terdapat di negeri lain.

Kerajaan negeri di bawah bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh pernah mengumumkan bahawa proses mewujudkan pulau buatan manusia itu akan dilakukan dalam tiga fasa bermula tahun 2007.

Apabila menjadi kenyataan, ia akan menempatkan bangunan yang mempunyai seni bina tradisional Melayu, pentas persembahan kebudayaan dan bazar barangan tradisional Terengganu.

Selain itu, pulau itu juga menyediakan tempat riadah, pusat makanan tradisional Melayu Terengganu, pusat permainan tradisional dan rumah-rumah Terengganu.