Maju Melayu Perkasa!

28 Jun 2008

Buru musuh di dalam bangunan


Oleh Fairuz Zaidan




Kompleks Paintball Tag janjikan pengalaman menakjubkan

SELALUNYA aktiviti paintball dimainkan di kawasan padang luas yang dikelilingi jaring besar atau setidaknya pun diadakan di dalam kawasan hutan. Berlainan pula dengan lokasi sukan paintball di Kompleks Paintball Tag di Taman Danau Desa, Off Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur. Pengunjungnya berpeluang menikmati permainan ekstrim itu.

Biarpun pusat itu sendiri menawarkan aktiviti paintball di kawasan padang dan di dalam hutan, pastinya lebih menyeronokkan jika berpeluang mencuba aktiviti berbeza dengan perlawanan di dalam bangunan. Apa yang membuatkan permainan itu lebih dramatik ialah kerana aktiviti itu sendiri berlangsung di bekas tapak bangunan tempat letak kenderaan setinggi empat tingkat. Atas faktor itulah yang membuatkan permainan itu lebih mencabar khususnya dalam misi mencari ‘musuh’.


Penyelia Kompleks Paintball Tag, Mohd Norizan Mat Razali, berkata pusat paintball yang mula beroperasi sejak awal 2004 itu menjanjikan pengalaman menyeronokkan bagi mereka yang menggemari sukan ekstrim, apatah lagi berpeluang pengalaman berbeza dalam aktiviti sukan lasak.

Beliau berkata, empat aras di dalam bangunan yang menjadi lokasi sukan berkenaan pastinya memberikan cabaran tersendiri buat pengunjung kerana setiap aras menampilkan suasana cukup berbeza dalam misi memburu lawan.

“Apa yang membuatkan cabaran di sini lebih dramatik adalah kerana setiap aras di dalam bangunan ini menampilkan set persembahan yang menonjolkan efek khas sebagai sebahagian daripada tarikan buat permainan paintball sendiri.



“Efek yang diterapkan ini memastikan pengunjung mendapat pengalaman berbeza yang tidak diperoleh dalam permainan paintball di lapangan luar,” katanya.

Tingkat pertama di Kompleks Paintball Tag menampilkan set binaan menyerupai sebuah stor barangan dengan suasana suram. Tingkat kedua pula menonjolkan set binaan pejabat dengan ruang khas lengkap dengan meja dan kerusi seperti dalam bangunan pejabat; aras ketiga pula menampilkan suasana seperti dalam gudang tayar pelbagai saiz yang menimbun manakala aras tertinggi pula menampilkan set seperti bengkel kenderaan yang tentunya membuatkan pengembaraan dan acara sukan paintball lebih menyeronokkan.

Ditanya mengenai bentuk aktiviti perlawanan yang ditawarkan untuk acara paintball di dalam bangunan, Mohd Norizan berkata, pihaknya memberi peluang kepada peserta untuk menentukan bentuk permainan yang digemari seperti mengumpulkan bendera, misi menembak ketua pasukan lawan, mahupun sekadar misi memburu pasukan lawan.

Berbanding aktiviti paintball di padang mahupun di dalam hutan, aktiviti di dalam bangunan mungkin lebih menyeronokkan kerana ia boleh dilangsungkan bila-bila masa, termasuk ketika hujan mahupun pada waktu malam.

“Ada ketika itu, pelanggan sendiri mahukan perlawanan paintball diadakan di sebelah malam sebaik tamat waktu pejabat sebagai aktiviti riadah.

“Sudahlah begitu, ada pelanggan yang sengaja inginkan kelainan dengan beraksi tanpa bantuan cahaya lampu elektrik, sebaliknya hanya menggunakan lampu suluh bagi menambahkan lagi debaran perlawanan di tengah malam,” katanya.

Beliau berkata, perlawanan paintball boleh dilangsungkan jika mempunyai sekurang-kurangnya enam peserta menerusi konsep tiga lawan tiga sehinggalah kepada 10 peserta melawan 10 peserta.

Katanya, sukan berkenaan boleh dimainkan semua orang asalkan mengikut peraturan dan memahami konsep perlawanan tanpa memberi risiko kecederaan.

“Jika mereka mengamalkan peraturan yang ditetapkan, pasti tidak akan berlaku perkara yang tidak diingini. Paling penting, setiap peserta harus mematuhi arahan iaitu memakai topi keselamatan dan jaket penghadang untuk mengelak daripada terkena peluru yang dipanggil sebagai krono.

“Topi keselamatan dan jaket ini wajib dipakai sebaik peserta memasuki gelanggang perlawanan bagi memastikan keselamatan peserta terjamin,” katanya menjelaskan peraturan asas permainan paintball.

Namun, masih ramai yang takut untuk mencuba permainan ini kerana beranggapan ia membahayakan. Tidak harus berprasangka begitu, kata Mohd Norizan.

“Sukan ini sesuai untuk semua, bukan hanya untuk mereka yang berjiwa ekstrim.

“Kalau nak diikutkan, wanita juga semakin ramai menyertai sukan paintball ini kerana aktiviti ini sememangnya menyeronokkan apatah lagi ia membabitkan kemahiran dan taktik individu dalam setiap pasukan,” katanya.

Mengenai kelajuan tembakan daripada pistol yang dikenali sebagai marker gun, Mohd Norizan berkata, pihaknya sendiri menetapkan kelajuan daripada kelongsong marker gun iaitu pada jarak kelajuan kira-kira 8.3 meter untuk setiap saat. Kelajuan itu katanya mengikut standard biasa iaitu tembakan selamat untuk setiap peserta.

Bagi peserta yang ingin merasai pengalaman bermain paintball di dalam bangunan, apa kata berkunjung saja ke Kompleks Paintball Tag di Taman Danau Desa Kuala Lumpur yang dibuka setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 7 malam. Pengunjung juga boleh membuat tempahan untuk aktiviti pada tengah malam.

Untuk aktiviti paintball di dalam bangunan, bayaran serendah RM55 dikenakan setiap seorang, termasuklah kelengkapan aktiviti paintball seperti topeng muka keselamatan, marker gun dan botol gas karbon dioksida, 50 biji bola paintball dan jaket keselamatan.


Kenali sukan paintball

SEJAK dua dekad lalu, sukan paintball mula diperkenalkan di Amerika Syarikat sebagai Nasional Survival Games (NSG). Pada waktu itu, permainan paintball lebih cenderung kepada simulasi peperangan dengan ciri-ciri ketenteraan seperti pakaian celoreng, taktik dan terminologi tentera dan juga penggunaan 'paint marker' yang mirip seperti senjata api.

Daripada imej ketenteraan, paintball kini berubah wajah menjadi lebih kepada konsep pertandingan sukan. Sukan Paintball kini merupakan sukan 'outdoor' yang pesat berkembang serta mendapat tarikan yang hebat daripada peminat sukan ekstrim.

Tahukah anda yang sukan paintball diundi di tangga ketiga sebagai sukan ekstrim paling popular di Eropah dan Amerika Syarikat dan kini dimainkan lebih 100 negara dengan pemain lebih dari 12 juta orang.

Permainan paintball dimainkan secara berkumpulan di mana dua kumpulan akan bertanding di dalam satu perlawanan. Setiap kumpulan mempunyai bilangan ahli yang sama iaitu seramai 5 peserta atau lebih (sehingga 100 peserta).

Secara umumnya, kedua-dua kumpulan akan ditempatkan di kawasan bertentangan di dalam sebuah kawasan terbuka, seperti padang bola. Semua peserta dilengkapi peralatan asas seperti 'Paint Marker' atau ' Paint Gun' dan peralatan keselamatan utama seperti pelindung muka(face mask).

Objektif permainan ialah penguasaan kawasan dn kubu lawan ditawan. Objektif juga dicapai melalui proses penyingkiran iaitu dengan menumpaskan peserta dari kumpulan lawan dengan menembak bola mengandungi cecair ke anggota badan lawan menggunakan paintgun.

Apabila terdapat kesan warna akibat terkena tembakan paintball, peserta akan terkeluar dari gelanggang perlawanan. Kebiasaannya, sesuatu perlawanan itu mengambil masa di antara lima minit hingga 20 minit, bergantung kepada saiz padang dan modul permainan.


Senarai harga:

  • Padang dalam bangunan - RM55 setiap seorang
  • Padang luar - RM75 setiap seorang
  • Padang pertandingan - RM50 setiap seorang (hari minggu)
  • RM40 setiap seorang (hari biasa)



LOKASI:

  • Kompleks Paintball Tag,
    Taman Danau Desa,
    Off Jalan Klang Lama,
    58100, Kuala Lumpur.
    Tel: 03-2149 1837/ 1839/ 1847
    Faks: 2144 3182
    Emel: paintball@hr.berjaya.com.my


Laman web: www.paintball-tag.com