Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

16 Jun 2008

Rahsia mamak bertahan

Penulis bersama buku Rahsia Bisnes Mamak, Muhammad Faisal Sharbudin (kiri) dan Zamri Mohamad.

Dalam blog rasmi Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) terdapat dakwaan dan serangan ke atas rangkaian bisnes India Muslim atau mamak mengenai isu-isu makanan halal dan penipuan hingga menimbulkan persepsi kurang positif terhadap perniagaan kaum ini.

Menurut lidah rasmi laman web ini, "beberapa penjelasan terperinci mengenai perkara seumpama ini telah dibuat sebelum ini, namun masih belum difahami dan diterima oleh segolongan masyarakat khususnya masyarakat Melayu yang menjalankan perniagaan restoran."

Menurut Presiden KIMMA Kebangsaan, Syed Ibrahim Kader, "restoran India Muslim mempunyai pengaruh yang besar dalam menguasai perniagaan restoran. Semua ini adalah hasil kerja keras dan sikap tidak putus asa serta semangat juang dalam menguruskan serta memperkembangkan empayar perniagaan kami."

Selain itu isu mandrem atau penggunaan sihir sebagai pelaris dilihat sebagai senjata sebahagian peniaga bagi membantutkan kerancakan perniagaan India Muslim di Malaysia.

Cabaran peniaga India Muslim adalah isu penggunaan ilmu sihir sebagai pelaris perniagaan mereka.

Kisah sihir dan ilmu hitam ini direka dan disebarkan secara konsisten dari mulut ke mulut atau melalui sebaran elektronik seperti e-mel.

Sehingga ke hari ini, isu pengamalan ilmu hitam oleh peniaga-peniaga India Muslim masih berlegar dan sukar dibendung penyebarannya.

Punca utama tersebarnya kisah penggunaan ilmu hitam sebagai pelaris bisnes India Muslim kerana faktor ia mampu menarik pelanggan yang ramai dan tetap pada satu-satu masa.

Selain itu, kecepatan perkembangan perniagaan India Muslim berbanding pesaing-pesaingnya menjadikan isu sihir dan ilmu hitam menjadi bahan cerita yang digunakan untuk melambatkan atau membantutkan bisnes tersebut.

Bercakap di hadapan hadirin ketika program bicara Rahsia Bisnes Mamak di ruang legar Mahkota Parade, Melaka sempena ulang tahun ke-60 syarikat Buku Thai Kuang baru-baru ini, penulisnya Muhammad Faisal Sharbuddin menjelaskan perniagaan India Muslim sentiasa menjadikan ibadah sebagai formula nombor satu dalam apa jua perniagaan yang diceburi kaum India Muslim.

Perniagaan India Muslim dan ibadah dimanifestasikan melalui pembinaan masjid dalam komuniti yang bertahan sehingga kini.

Faisal merujuk kepada Kewujudan Masjid Malabar di Beach Street, Pulau Pinang sebelum musnah akibat bom Perang Dunia Kedua dan perkampungan Malabar di Transfer Road menjadi bukti kewujudan mereka di Pulau Pinang.

Selain itu kewujudan Masjid Bengali di Leith Street dan Kampung Bengali di Butterworth menandakan kehadiran mereka ke sini.

Buku bisnes yang pertama membincangkan rahsia perniagaan India Muslim di Malaysia adalah sekuel kepada buku Rahsia Bisnes Orang Cina karangan Ann Wan Seng yang dibaca oleh 30,000 pembaca di Malaysia dan 40,000 pembaca di Indonesia.

Kemunculan Rahsia Bisnes Mamak juga membongkar survival bisnes peniaga India Muslim dalam berhadapan krisis ekonomi termasuk kenaikan harga barang kesan daripada kenaikan harga minyak dunia melangkaui harga sebelum ini.

Kewujudan blog Bisnes Mamak menjadikan buku ini antara buku terawal yang menggandingkan konsep blog dan buku secara konsisten.

Bercakap selama satu jam di hadapan para pengunjung yang memenuhi ruang hadapan pentas, Faisal merungkai misteri nombor 786 yang dianggap mistik dan tangkal oleh sebahagian besar pelanggan dan peniaga setempat.

Faisal yang berketurunan India Muslim dan berpengalaman dalam perniagaan keluarga sejak usia sepuluh tahun berkata, terdapat dua pandangan dalam menjelaskan maksud dan misteri di sebalik penggunaan nombor 786 yang jelas kelihatan di setiap papan tanda perniagaan restoran India Muslim.

Pandangan pertama merujuk kepada kaedah memberi nilai angka kepada huruf-huruf Arab. Ia bukanlah diperkenalkan oleh India Muslim. Penggunaan nilai nombor kepada huruf-huruf Arab sudah lama dipraktikkan dan dalam perubatan kuno tempatan yang menjadikan ia sebagai bahan perubatan alternatif.

Setiap huruf dalam bahasa Arab diberikan nilai nombor yang berbeza. Perubatan tradisional kuno pernah menjadikan nilai-nilai nombor ini sebagai susunan kombinasi yang digabung menjadi tangkal. Melalui inisiatif penjelasan pendidikan agama kepada masyarakat secara berterusan, ia tidak diamalkan pada hari ini.

Nombor 786 menjadi ingatan kepada peniaga agar memulakan perniagaan dengan bacaan bismillah. Ia melambangkan proses pendidikan bisnes bermatlamat ibadah. Penggunaan nombor 786 sangat ketara digunakan oleh peniaga-peniaga India Muslim.

Ada juga yang menamakan perniagaan percetakan milik mereka dengan nama Percetakan 786. Tidak kurang ada yang menjadikan 786 sebagai identiti dan tersilap mentafsir ia sebagai nombor tuah sehinggakan mempunyai nombor plat kenderaan dan nombor telefon dengan angka-angka ini.

Ia melambangkan proses penciptaan keuntungan dalam perniagaan dan pengurusan modal pusingan bagi sebarang perniagaan yang diceburi. Formulanya ialah jika modal berjumlah tujuh ringgit, jual pada nilai lapan ringgit. Pusingkan modal semula sebanyak enam ringgit.

Ia memberi gambaran peniaga mesti mendapatkan harga bahan mentah lebih murah daripada pembekal selepas berlaku transaksi dan pembelian bahan mentah kali kedua bagi terus bertahan dalam pasaran.

Dilihat dari kaca mata ibadah, nombor 786 menjadi ingatan kepada peniaga agar memulakan perniagaan dengan bacaan bismillah. Ia melambangkan proses pendidikan bisnes bermatlamat ibadah.

Ibadah menjadi kata kunci dan saringan bagi memastikan perniagaan India Muslim kekal relevan dalam industri. Ia menjadi tunjang kepada stabiliti perniagaan meskipun dihimpit krisis kenaikan harga yang semakin meruncing.