JOHOR BAHRU 15 Jun - Penghuni rumah setinggan di 18 buah kampung di sekitar Kempas mendesak kerajaan negeri menyusun semula penempatan mereka.
Sehubungan itu, mereka mahu kerajaan mengurniakan tanah-tanah yang telah diduduki sejak 30 tahun lalu menjadi hak milik mereka.
Antara kampung yang terbabit ialah Kampung Sri Jaya Baru, Kampung Sri Serdang Baru, Kampung Pasir, Perling, Kampung Permatang 5, Kampung Sri Rahmat 1 dan 2.
Pada Himpunan Setinggan Ke-2 yang diadakan di Kampung Permatang 5, di sini hari ini, kira-kira 1,000 penduduk hadir dan berjaya mengumpul hampir 2,000 tandatangan menyokong perkara itu.
Sebelum ini, Jawatankuasa Bertindak Setinggan Kempas telah berjaya mengumpul 800 tandatangan.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahudin Ayub yang juga Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Setinggan Kempas, Ramli Ibrahim berkata, jika kerajaan tidak memberi hak milik tanah kepada mereka, maka orang Melayu akan terpinggir di negeri sendiri.
Katanya, daripada 18 buah kampung itu, terdapat lebih kurang 9,624 penduduk daripada 2,000 buah keluarga.
"Perhimpunan ini adalah untuk mendesak kerajaan agar membuka mata dan melihat masalah penduduk setinggan. Kita hanya mohon tanah yang telah lama kita duduki, bukannya minta tanah berekar," katanya.
Katanya, jika kerajaan boleh memberi peluang kepada warga asing khususnya Singapura membeli rumah dan tanah bernilai lebih RM250,000 di negeri ini, mengapa tidak boleh menganugerahkan tanah kepada rakyat sendiri.
Ramli mendakwa, orang Melayu akan terus terpinggir jika mereka terus menyewa di rumah pangsa yang disediakan oleh kerajaan.
"Kalau penganugerahan tanah diberikan kepada orang Melayu, sudah pasti ia boleh membantu usaha pihak kerajaan untuk menambahkan aset orang Mealyu," katanya.