Maju Melayu Perkasa!

28 Jun 2008

Suara hati 3 papa


Oleh Fairuz Zaidan


DARI (kiri), Rashidi, Sazali dan Ahmad al Khusairi bersama permata hati masing-masing.

Rashidi, Sazali dan Ahmad al Khusairi kongsi cerita bergelar bapa

ESOK, setiap insan bergelar ayah, abah, papa, bapak, daddy, father mahupun walid seharusnya diberi layanan paling istimewa. Tunaikan apa saja kemahuan bapa, apakah keinginannya, selami hajat yang tersimpan dalam hati lelaki ini, sekalipun ia semudah menyajikan hidangan enak di rumah untuk dinikmatinya bersama keluarga.

Hari Bapa datang lagi. Jika diikutkan, mengapa perlu hari khusus meraikan bapa? Bukankah hari-hari yang dilalui sewajarnya kita mengenang bapa? Namun sudah lumrah manusia gemarkan sesuatu istimewa, maka esok diterima ramai sebagai hari khas mengenang dan menyanjung insan istimewa ini. Seluruh dunia mengenang pengorbanan dan tanggungjawab ketua keluarga ini.


Menghangatkan mood sambutan Hari Bapa, i-Kon memilih tiga jejaka bergelar bapa dari pelbagai latar belakang kerjaya, personaliti dan usia untuk berkongsi kisah seorang bapa. Dua bapa alaf moden, pelakon popular, Rashidi Ishak; jaguh bina badan negara, Sazali Samad, sudi berkongsi cerita termasuk bapa muda berusia 21 tahun, Ahmad al Khuasairi Mohd Nasir yang baru menimang cahaya mata sulung, 1 Jun lalu.

Bukan mudah mendapatkan tiga bapa ini kerana masing-masing sibuk dengan tugasan, komitmen dan tanggungjawab sendiri. Inilah cabaran bapa moden!

Episod pencarian bapa bermula dengan percubaan beberapa kali i-Kon mengadakan temu janji dengan pelakon utama 'Mr Mama' yang sedang hangat ditayangkan di TV3. Kebetulan, Rashidi yang juga suami kepada Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) ke-20, Vanidah Imran, masih lagi dalam tempoh berpantang kerana menjalani pembedahan kecil paru-paru.

Namun sudah dikatakan 'jodoh', i-Kon bertemu juga Rashidi selepas beberapa masalah seperti kesukaran menentukan tarikh temu janji, lokasi dan faktor kesihatannya diselesaikan demi merakamkan aksi beliau dan dua anaknya yang comel.

Akhirnya, hujung minggu lalu, Rashidi atau lebih mesra dipanggil Shidi bersetuju bertemu dan menjayakan sesi fotografi di Balai Berita, Bangsar, sekali gus bercerita kisah hidupnya sebagai suami dan bapa kepada Mikail, tujuh tahun, dan Maryam, empat tahun.

"Beginilah rutin saya hujung minggu bersama anak-anak. Saya dan Vee (panggilan buat Vanidah) sebolehnya akan menghabiskan masa dengan Mikail dan Maryam. Jika Vee sibuk, saya yang mengambil alih tugas menjaga dan begitu juga sebaliknya.

"Tetapi sebolehnya kami ingin bersama-sama setiap hujung minggu. Sabtu biasanya memang hari wajib untuk kami sekeluarga berkumpul, keluar bersama-sama mahupun beriadah.

"Malah, produksi kami sendiri sedia maklum dengan memberi kelonggaran setiap Sabtu sebagai waktu rehat dan dikecualikan daripada penggambaran untuk memberi perhatian kepada keluarga," kata Shidi yang kelihatan segak pada usia 35 tahun.

Sebelum sesi fotografi yang diaturkan petang itu, Shidi menemani Maryam mengikuti kelas kaedah pemahaman Jepun selama sejam setengah pada sebelah pagi. Kelas itu memerlukan ibu bapa turut serta dengan anak sepanjang tempoh pembelajaran.

Jam tiga petang pula, Shidi membawa Mikail dan Maryam berjumpa doktor gigi bagi menjalani rutin pemeriksaan gigi setiap enam bulan. Melihatkan rutin yang dilalui Shidi, ia amat secocok dengan karektornya dalam slot drama, Mr Mama.

Kebetulan pada hari minggu lalu, Shidi tidak ditemani Vee yang perlu menjalani penggambaran drama, ini meletakkan tanggungjawab bapa dan ibu di bahu Shidi. Nasib baik mereka mempunyai seorang pembantu yang sedikit sebanyak melicinkan urusan seharian menjaga telatah Mikail dan Maryam.

Shidi ditanya bagaimana pengalamannya menjadi bapa selepas lapan tahun mendirikan mahligai bersama Vee.

"Wow... seronok," kata Shidi memberi senyuman penuh makna. Sambil menyambung bait-bait ayat, Shidi menyifatkan tempoh lapan tahun berumahtangga adalah suatu perjalanan yang amat menarik, bermula daripada zaman bujang, bercinta, berkahwin dan memiliki anak.

Kata Shidi, saat ini dia cukup bahagia dan seakan tidak percaya kerana mampu melalui detik itu sambil menggalas tanggungjawab besar selaku ketua keluarga.

Beliau berkata, pengalaman yang ditempuh cukup menyeronokkan, sekali gus mematangkan naluri lelakinya sebagai seorang kekasih, suami dan bapa.

"Kalau nak dikata bersediakah saya untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang bapa, terus terang saya katakan masih ada kekurangan. Ini kerana, sesiapa saja sebenarnya belum layak bergelar bapa dan harus sentiasa belajar untuk menjadi seorang bapa yang baik.

"Pada ketika ini, saya masih lagi berusaha menjadi ketua keluarga dan bapa yang baik untuk kami sekeluarga dan proses ini takkan berhenti," ujar Shidi sambil sibuk melayani kerenah dua cahaya matanya.

Walaupun tidak boleh renyah kerana perlu berehat panjang selama tiga bulan, naluri kebapaan yang menebal membuatkan Shidi tidak senang duduk sebaliknya sentiasa memerhati gelagat dua permata hatinya. Hubungan rapat mereka menampakkan kemesraan cukup ketara.

Kata Shidi, anak-anaknya terlalu rapat dan manja namun sambil merendah diri, mengakui Vee lebih rapat dengan anak-anak berbanding dirinya.

Membuktikan lagi kata-katanya, Shidee berkata, mereka masih tidur sekatil berempat kerana mahukan kemesraan dan ikatan kekeluargaan terjalin buat detik ini.

"Mungkin ada pro dan kontranya kerana memanjakan mereka. Namun, dalam pada manja sebegini, saya dan Vee tetap garang dengan anak-anak. Malah, ada batasannya hubungan antara ibu bapa dan anak-anak.

"Bagaimanapun, kami akan menerangkan mengapa mereka dimarahi untuk memastikan yang perkara sama tidak berulang," kata Shidi yang bakal membuat 'reunion' bersama kumpulan Deadmushroom sempena KL Indie Fest di Menara Kuala Lumpur pada 5 Julai nanti.

Ditanya adakah beliau meraikan sambutan Hari Bapa, jelas Shidi beliau tidak pernah menyambutnya apatah lagi meraikannya kerana baginya hari lain juga amat bererti. Cuma, mereka sekeluarga hanya akan meraikan hari jadi untuk setiap anggota keluarga.

"Banyak lagi cara boleh dilakukan selain meraikan keluarga kerana tidak semestinya tunggu waktunya untuk meraikan dengan sambutan istimewa. Hari lain pun boleh juga," kata Shidi.

Walau apa juga pandangan serta sambutan meraikan Hari Bapa, pucuk pangkalnya terletak pada diri kita dan bagaimana kita melihat dan menghargai pengorbanan seorang bapa. Sekiranya kita masih memiliki bapa, luangkan sedikit masa bersama mereka selagi mereka ada di dunia ini. Selamat Hari Bapa!

Anak-anak permata hati Sazali Samad

PADA usia menjangkau 41 tahun, jaguh bina badan negara, Sazali Samad boleh berbangga dengan apa yang dikecapinya. Bukan saja pencapaian cemerlangnya mempertahankan status Mr Universe selama empat tahun berturut-turut, Sazali juga puas kerana mempunyai 'hero' dan 'heroin' yang melengkapi hidupnya.

Kata Sazali, empat cahaya mata berusia antara 10 tahun hingga dua tahun adalah permata hati paling berharga. Biar penat manapun rutin hariannya, anak-anak adalah penghibur terbaik, kuasa ajaib membolehkan fikirannya kembali ceria.

"Telatah mereka mengubat penat lelah saya selama ini. Dengar saja suara mereka, bagai terubat keletihan sepanjang hari. Malah, saya juga bersyukur kerana memiliki isteri yang memahami karier saya sebagai atlit negara. Isteri saya cukup sabar dan menyokong saya selama ini," kata Sazali yang mendirikan rumah tangga pada usia 30 tahun.

Kata Sazali, pengalaman bergelar bapa berbeza berbanding zaman bujang, bercinta dan kemudian mendirikan rumah tangga. Walaupun berkahwin agak lewat, tetapi itu bukan penghalang untuknya memberi tumpuan dan kasih sayang kepada Muhammad Syahmi, 10; Muhammad Hazim, lapan tahun, dan Muhammad Hishyamuddin, empat tahun, dan Nur Sabrina Hani, dua tahun.

Ditanya cabaran bergelar ayah, Sazali berkata, beliau tidak merasa sukar menguruskan anak-anak walaupun terpaksa bangun seawal 5 pagi untuk memandikan mereka, menguruskan pakaian dan menikmati sarapan bersama sebelum anak-anak ke sekolah.

Sazali berkata, beliau dan isteri, Hashrine Hashim, 38, sudah biasa dan tahu dengan tugas masing-masing dalam menguruskan anak-anak.

"Walau sibuk mana sekali pun tugas saya dan rutin latihan di gimnasium, anak-anak dan keluarga tetap menjadi keutamaan. Jika ada kelapangan dan kebetulan cuti sekolah, saya akan pastikan membawa keluarga bercuti bagi mengeratkan ikatan kekeluargaan," kata Sazali yang sedang memfokuskan misi memburu gelaran kelima Mr Universi bagi kategori 70 kilogram lightweight, Oktober depan di Bahrain.

Ditanya sejauh mana keakraban hubungannya dengan anak-anak, Sazali berkata, semua anak-anaknya cukup rapat dan mesra hinggakan pada satu tahap, mereka berebut-rebut mahu menyuapkan sendiri pil makanan tambahan ke mulutnya.

"Suara dan hilai tawa mereka menjadi teman setia saya. Saya memang cukup bahagia kerana memiliki keluarga yang membahagiakan saya selama ini.

"Tiada apa yang saya inginkan termasuklah sambutan Hari Bapa kerana gelagat anak-anak dan isteri sudah cukup menggembirakan saya," kata Sazali.

Seronok jadi ayah pada usia muda

SUSUK tubuh dan personaliti jejaka ini langsung tidak menampakkan usianya yang baru mencecah 21 tahun. Pada usia semuda itu, Ahmad al Khusairi Mohd Nasir sudah bergelar ayah kepada Nurshasha Aidilya yang lahir pada 1 Jun lalu. Namun, anak muda ini mempunyai alasan sendiri untuk menjadi bapa ketika rakan-rakan yang lain masih meneruskan pengajian di kolej atau mula bekerja.

"Pada pendapat saya, tidak salah bergelar bapa pada usia muda asalkan sudah bersedia dan bertanggungjawab ke atas keluarga dan masa depan anak-anak.

"Tidak semestinya seseorang lelaki itu akan lebih matang jika berkahwin lewat kerana pucuk pangkal terletak pada diri sendiri," kata Ahmad al Khusairi yang menetap di Petaling Jaya, Selangor.

Ahmad al-Khusairi yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan mendirikan rumah tangga tahun lalu dengan calon pilihan hati, Nurashikin Ahmad, 19, selepas enam bulan berkenalan.

Kata Ahmad al Khusairi, beliau memang bercita-cita berkahwin awal dan memiliki cahaya mata kerana sudah cukup bersedia menempuh alam baru.

"Saya bersyukur kerana keluarga kedua belah pihak menerima hasrat kami berdua untuk mendirikan rumah tangga. Selepas beberapa bulan berkahwin, tidak sangka pula yang isteri saya disahkan mengandung," katanya.

Ditanya perasaan bergelar seorang bapa pada usia begitu muda, tanpa berselindung Ahmad al Khusairi berkata, beliau gembira kerana berpeluang menjadi seorang ketua keluarga pada usia remaja dan menyedari tanggungjawab makin bertambah selain perlu bekerja keras.

Katanya, beliau tidak menolak mendapat lebih ramai cahaya mata pada masa depan kerana mahukan keluarga besar.

"Namun, itu semua hanyalah perancangan jangka masa panjang dan tidaklah sehingga mengikut kata hati saja kerana saya juga perlu memikirkan bajet dan keperluan semasa.

"Isteri pula tidak bekerja membuatkan kami harus merancang masa depan bersama," katanya.

Ahmad al Khusairi berkata, beliau seakan tidak percaya bergelar bapa ketika melihat seraut wajah kecil bayi perempuannya seberat 2.5 kilogram, malah merasakan ia sebuah mimpi.

INFO: Hari Bapa

  • Mengikut sejarah, Hari Bapa direkodkan seawal 1839 bagi mengenang kematian 123 lelaki dalam peperangan Iransop. Hari Bapa zaman moden mula diadakan pada 5 Julai 1908 di Fairmont, West Virginia, Amerika Syarikat (AS).

  • Hari Bapa digerakkan sebagai sambutan sedunia apabila Sonora Smart Dodd mengadakan sambutan ulang tahun pada 1910 bagi mengenang bapanya, William Jackson Smart, seorang veteran Perang Saudara AS yang secara bersendirian membesarkan enam orang anaknya. Tarikh yang dipilih sebagai Hari Bapa pertama diadakan secara rasmi ialah pada 19 Jun 1910.

  • Bunga ros diiktiraf sebagai bunga rasmi Hari Bapa. Warna merah dipilih untuk bapa yang masih hidup, sementara warna putih untuk bapa yang sudah meninggal dunia.

  • Hari Bapa bukan tradisi masyarakat Melayu. Hari Bapa juga bukan tuntutan dalam agama Islam. Namun begitu, umat Islam sentiasa diajar untuk terus mentaati, menghormati dan menghargai ibu dan bapa sepanjang masa tanpa mengira hari dan waktu.