Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

23 Julai 2008

Singapura tuntut perairan Batu Puteh

SINGAPURA: Singapura menuntut kawasan perairan wilayah dan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) di sekitar Batu Puteh, yang diberikan kepada republik itu oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), Mei lalu.

Menteri Kanannya, Balaji Sadasivan, berkata Singapura mempunyai kawasan perairan wilayah sehingga maksimum 12 batu nautika dan EEZ yang konsisten dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) pada 10 Disember 1982.

Penyelarasan perairan wilayah Singapura dan EEZ itu akan diumumkan apabila tiba masanya, katanya menjawab satu soalan di Parlimen.

Transkrip sesi soalan dan jawapan itu dikeluarkan kepada media oleh Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura, semalam.

Balaji berkata, jika had perairan wilayah atau EEZ bertindih dengan tuntutan negara jiran, Singapura akan berunding dengan negara itu untuk mencapai persetujuan bagi menetapkan had atau batasan mengikut undang-undang antarabangsa.

Pada 23 Mei lalu, ICJ dalam penghakimannya berhubung tuntutan bertindih Malaysia-Singapura, memutuskan Batu Puteh dimiliki Singapura, manakala Malaysia mempunyai hak kedaulatan terhadap Batuan Tengah yang terletak berhampirannya. Kedaulatan Tubir Selatan pula akan menjadi milik negara yang menguasai perairannya.

Bagaimanapun, Malaysia menegaskan ia akan terus mencari bukti mengenai kes Batu Puteh dengan pandangan untuk mendapatkan satu semakan penghakiman ICJ.

Mengulas perkara itu, Balaji berkata, di bawah statut ICJ, sesebuah pihak boleh memohon kajian penghakiman jika 'ia berdasarkan penemuan sesetengah fakta seperti ini menjadi satu faktor muktamad, yang pada hakikatnya ketika penghakiman diberikan, yang tidak diketahui oleh mahkamah itu dan juga kepada parti yang menuntut semakan, sentiasa menyediakan bahawa kejahilan seperti itu bukan disebabkan kecuaian."

Balaji berkata, penyelesaian melalui penghakiman pihak ketiga itu menunjukkan kedua-dua negara menghormati undang-undang antarabangsa dan komited untuk menyelesaikan pertikaian itu dalam cara aman.

Katanya, kes itu memberi contoh mengenai penggunaan mekanisme penyelesaian pertikaian pihak ketiga dan boleh menjadi satu contoh untuk menyelesaikan pertikaian dua hala lain.