Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

23 Ogos 2008

Lelaki moden lebih emosi dan bervisi


Oleh Diyanah Anuar


KREATIF: Pereka terkenal Bernard Chandran mewakili karektor lelaki era moden.

Transisi gaya hidup tradisional dan maju ubah personaliti jejaka

DALAM transisi gaya hidup dan mentaliti daripada tradisional kepada moden, generasi kedua lelaki tempatan banyak dipengaruhi pelbagai jenis media terutamanya dari Barat.

Kajian agensi pengiklanan, McCann Erickson mendapati penampilan bintang terkenal Hollywood dan Bollywood mempengaruhi pembawaan lelaki era itu. Antara gambaran yang sering ditampilkan adalah kekuatan yang dimiliki aktor dengan susuk tubuh gagah mereka mencetus ikutan.


Kesan pengaruh itu, aktiviti kecergasan di gimnasium mula popular sedangkan pusat seumpama itu hanya dikunjungi atlit serta ahli bina badan saja. Golongan lelaki mula mengunjungi gimnasium untuk mendapatkan bentuk badan sasa seperti bintang terkenal yang dipuja. Bayaran bulanan yang mahal tidak menjadi soal kepada mereka asalkan mengikut aliran ketika itu.

“Tapi, tubuh yang sasa saja tidak mencukupi. Untuk kelihatan menarik, mereka harus mempunyai pakej lengkap. Mereka perlukan penampilan baru yang rapi dan bergaya dan sumber rujukan bagi semua ini adalah daripada paparan fesyen di media serta koleksi fesyen yang ditonjolkan jenama fesyen terkenal luar negara.

“Istilah ‘grooming’ (perapian penampilan) yang cukup asing pada zaman bapa mereka dulu kini lebih diterima dan digalakkan. Grooming tidak dilihat khusus untuk wanita saja tapi sebagai suatu usaha mencapai kejayaan.


“Penampilan rapi ini seiring dengan tubuh sasa yang diusahakan, barulah dikatakan ‘pakej’ yang lengkap serta keyakinan yang harus ada pada seseorang lelaki,” kata Pengarah Perancangan Strategik McCann Erickson, Abhinav Sharma.

Kata Abhinav lagi, pembabitan wanita dalam sektor pekerjaan juga mendorong kaum lelaki memperbaiki penampilan. Tabiat semula jadi wanita yang suka berhias sedikit sebanyak membuka minat lelaki untuk mengambil tahu mengenai fesyen dan mula mengunjungi butik fesyen berjenama. Industri penghasilan produk fesyen dan penjagaan diri untuk lelaki pun mula berkembang.

“Kita dapat lihat ‘pertembungan’ pemikiran yang berbeza antara dua kumpulan ini (tradisional dan moden) dalam situasi yang mungkin pernah berlaku pada sebahagian besar antara kita.

“Anak lelaki moden mungkin biasa membeli barangan mewah, atas dasar jenama dan kualitinya. Tapi perasan atau tidak, bila bapa tahu mengenainya atau bila kita hadiahkan barangan mahal ini kepada mereka, akan ada riak tidak setuju yang diberikan. Jelas terlihat lelaki moden lebih prihatin kepada fesyen dan penampilan,” tambah Abhinav.

Dari kajian yang dilakukan ini, beberapa perbezaan sifat antara golongan bapa tradisional dengan anak lelaki berjiwa moden dapat dikesan. Bapa tradisional keras hati, mudah reda, diktator, sukar berkomunikasi dan berjiwa kekeluargaan manakala anak lelakinya yang dibesarkan bersifat sedikit acuh tak acuh, berwawasan, berdaya saing, mampu mengawal, memendam dan agak mementingkan diri sendiri.

“Mereka biasanya kurang risau mengenai masa depan sendiri tapi lebih risau jika tidak menepati apa yang bapa mereka mahukan.

“Di samping itu, mereka membesar dalam persekitaran yang tinggi persaingan. Ada kalanya, mereka tidak sependapat dengan bapa namun tidak tergamak untuk mengingkari.

“Walaupun dididik dengan kata-kata ‘lelaki tidak menangis’, anak lelaki moden sebenarnya lebih emosional. Berbanding bapa, si anak lebih suka meluah dan melayan perasaan. Mereka kerap berdepan dengan konflik untuk menyenangkan hati bapa mereka dan pada masa yang sama mencari identiti sendiri,” katanya lagi.

Secara tidak langsung, karakter kelelakian sedikit berubah. Jika dulu lelaki dianggap tidak sepatutnya menangis, kini perbuatan itu boleh diterima tapi perlu kena pada masa dan tempat.

“Suatu contoh penerimaan sebahagian masyarakat terhadap lelaki menangis ini adalah ketika program realiti ‘What Women Want’ yang disiarkan di saluran 8TV tidak lama dulu.

“Peserta Mohd Hafiz Adnan, seorang yang disifatkan paling sensitif, menjuarinya atas undian penonton. Beliau mengalahkan 12 peserta lain yang sifat kelelakian mereka lebih terserlah,” ujar beliau.

Lelaki baru, kata Abhinav, lebih sensitif, kurang sikap memerintah dan lebih terbuka untuk mencuba perkara baru termasuklah apa yang sebelum ini dianggap profesion wanita.

Beliau menamakan personaliti yang berjaya dalam bidang yang suatu masa dulu lebih sinonim dengan wanita, antaranya pereka fesyen, Datuk Bernard Chandran dan chef terkenal, Chef Wan yang masing-masing menempa nama dalam bidang yang diceburi.

Dalam aspek kekeluargaan, sifat seorang bapa yang bertanggungjawab menyara dan melindungi keluarga masih kekal dalam generasi lelaki moden.

“Apa yang berubah cuma bapa moden tidak lagi kekok menyalinkan lampin, menjaga anak atau melakukan tanggungjawab yang selama ini digalas golongan ibu memandangkan isteri mereka juga mempunyai komitmen kerjaya.

“Dari bapa (lelaki tradisional) yang tegas, tidak banyak bercakap dan berkuasa penuh membuat keputusan dalam keluarga, bapa yang moden dikatakan lebih emosional, kurang memerintah dan berusaha menyediakan yang terbaik untuk keluarga,” tambah Abhinav.

Akhir sekali, pemerhatian dari segi gaya hidup lelaki dalam kajian yang dilakukan McCann Erickson ini mendapati, lelaki Malaysia zaman kini rata-ratanya cenderung membeli-belah sebagai ganjaran kepada kesungguhan yang sudah dicurahkan ketika bekerja.

“Mereka akan berbelanja barangan yang mahal harganya, bukan saja sebagai ganjaran kepada diri sendiri, tapi juga untuk menunjukkan yang mereka mampu memilikinya,” katanya.