Maju Melayu Perkasa!

18 Ogos 2008

Pencinta alam kemuka syor warta hutan simpan


Oleh Azmi Md Deros





MB cadang lakukan pembalakan jika pampasan tak dibayar


ALOR STAR: Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan Pas Kedah supaya mewartakan Hutan Simpan Ulu Muda yang membabitkan tiga daerah iaitu Padang Terap, Sik dan Baling sebagai taman negara.

Pengerusi MNS Kedah, Phang Fatt Kow, berkata pihaknya akan mendapatkan bantuan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Derga, Dr Chia Soon Hai untuk mengemukakan usul itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri akan datang.

Katanya, langkah mewartakan hutan simpan itu sebagai taman negara bagi membolehkan hutan berkenaan terpelihara daripada sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan alam sekitar.

"MNS dan Dr Chia mencapai persetujuan supaya sesuatu yang konkrit perlu dilakukan untuk menyelamatkan Hutan Simpan Ulu Muda daripada dicerobohi dengan aktiviti yang boleh merosakkan keaslian kawasan itu, termasuk pembalakan lebih-lebih lagi ia adalah kawasan tadahan air yang penting bagi Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

"Langkah mewartakannya sebagai taman negara juga boleh menjadi sumber pendapatan alternatif kepada kerajaan negeri, bukan hanya pembalakan," katanya selepas Forum Selamatkan Hutan Simpan Ulu Muda di sini, kelmarin.

Kira-kira 50 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyertai forum berkenaan.

Pada Jun lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dilaporkan berkata, kerajaan negeri bercadang melakukan kegiatan pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda jika kerajaan Pusat tidak mahu membayar pampasan RM100 juta sebagai balasan hutan itu tidak ditebang.

Sebuah syarikat pembalakan dari Sarawak dikatakan sudah menyatakan minat untuk melakukan kerja pembalakan itu dengan kaedah mengangkut balak yang ditebang menggunakan helikopter supaya ia tidak menghempap pokok lain.

Azizan juga memberi jaminan pembalakan dicadang itu adalah terkawal iaitu hanya membabitkan penebangan tiga batang pokok bagi setiap hektar dan cadangan itu tertakluk kepada kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain, juga dilaporkan pernah bercadang melakukan pembalakan menggunakan kaedah helikopter sebelum ini, tetapi tidak diteruskan kerana dibantah pelbagai pihak, termasuk Pas sendiri.

Sementara itu, Dr Chia berkata, hutan simpan itu yang kaya dengan kepelbagaian biologi perlu dipulihara kerana ia adalah aset amat berharga untuk sektor pelancongan.

"Kami khuatir pembalakan itu bukan hanya menyebabkan sumber air tercemar, malah pelbagai jenis hidupan liar yang menghuni hutan berkenaan, termasuk gajah akan terancam.

"Jika diwartakan, ia akan muncul sebagai taman negara terbesar di utara Semenanjung," katanya.