Maju Melayu Perkasa!

18 Ogos 2008

Replika Masjid Quba hiasi astaka


Oleh Baharom Bakar


PENUH KREATIVITI: Mohd Annuar (dua dari kiri) memberi penerangan mengenai astaka Tilawah Al-Quran ke-50 sambil diperhatikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong di Taman Tamadun Islam Terengganu.

80 peserta tilawah al-Quran antarabangsa mula perdengar bacaan malam ini

KUALA TERENGGANU: Replika masjid Quba di Madinah, Gua Hira dan bangunan berbumbung tradisonal Terengganu serta berlatarbelakangkan alam semula jadi menjadi pentas 80 qari dan qariah pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-50 di Taman Taman Islam, di sini, memperdengarkan bacaan.

Astaka bertemakan `Menjana Ummah Gemilang' diilhamkan Ketua Penolong Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri (Bahagian Arkitek), Mohd Annuar Ngah dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan kerajaan negeri.

Turut menghiasi reka bentuk astaka ialah empat batang tiang dengan lilitan pelepah dan daun kurma serta satu jambatan yang merentasi kawasan berair dan persekitaran berbentuk gurun dipenuhi dengan pokok kurma.


Konsep reka bentuk astaka yang dicipta dalam masa tiga minggu itu dibahagikan kepada tiga kompenan iaitu binaan berkubah di sebelah kanan pentas, binaan berbentuk gua di sebelah kiri serta bangunan berbumbung berbentuk tradisonal Terengganu.

Mohd Annuar berkata, tiga binaan pada pentas itu melambangkan secara simbolis tiga perkara penting dalam konsep mereka bentuk astaka iaitu Allah, Muhammad dan syiar Islam.

Katanya, proses mereka bentuk astaka termasuk penghasilan model dilakukan dalam tempoh tiga minggu sebelum mendapat kelulusan jawatankuasa tilawah al-Quran peringkat antarabangsa yang terdiri daripada pegawai Jakim dan kerajaan negeri.

"Pada mulanya, kita mereka bentuk tiga model pentas untuk majlis tilawah tetapi jawatankuasa memutuskan menerima model astaka yang menggabungkan seni bina berlatarbelakangkan alam semula jadi seperti berada di gurun," katanya.

Kerja pembinaan astaka di dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man, di sini, mula dilakukan 3 Ogos lalu, manakala replika Gua Hira dan Masjid Quba dilakukan di bengkel JKR negeri di Jalan Bukut Kecil, akhir Julai lalu.

Mohd Annuar berkata, Gua Hira melambangkan secara simbolis bagaimana Nabi Muhammad SAW memulakan dakwah selepas menerima wahyu daripada Allah melalui Jibril dan selepas baginda wafat perjuangan itu diteruskan sahabat sehinggalah Islam mencapai kegemilangan dan mencipta tamadun sehingga kini.

"Persekitaran pentas berbentuk gurun dan dipenuhi pokok kurma melambangkan Nabi Muhammad memulakan dakwah di Makkah manakala gurun yang dibentuk 13 lapis melambangkan seruan dakwah dilakukan selama 13 tahun sebelum baginda berhijrah ke Madinah.

"Empat batang tiang dengan lilitan pelepah serta daun kurma di tengah pentas astaka itu melambangkan Masjid Quba iaitu masjid pertama dibina Rasullullah ketika baginda singgah dalam perjalanan dari Makkah ke Madinah," katanya.

Beliau berkata, empat tiang itu melambangkan secara sembolis Masjid Nabawi yang didirikan baginda apabila sampai di Madinah dan tapak masjid itu dibina selepas unta ditungganginya berhenti rehat.

"Di antara binaan berkubah dengan binaan gua terdapat satu lagi arca yang melambangkan Hajarul Aswad yang melambangkan penghubung alam syurga dengan dunia.

"Di sebelah kiri binaan berkubah terdapat satu jambatan yang merentasi satu kawasan berair dan ianya melambangkan secara sembolis bahawa Islam dibawa dan dikembangkan keseluruh dunia merentasi tujuh benua dan lautan," katanya.

Mohd Annuar berkata, jika diimbau sejarah, umat Islam terdahulu patuh dan melaksanakan kehidupan dengan penuh taqwa berjaya mewujudkan satu tamadun geliang gemilang dalam pelbagai bidang seperti matematik, perubatan, astronomi, kejuruteraan, falsafah dan senibina.

Secara keseluruhan, katanya, pembinaan pentas yang akan menjadi tumpuan utama pengunjung bertepatan dengan tema tilawah iaitu Menjana Ummah Gemilang bersesuaian dan bertepatan dengan kehidupan umat Islam.