Maju Melayu Perkasa!

21 September 2008

Bagaimana inovasi mengubah dunia


Oleh Johan Jaafar

Inovasi menurut Kamus Dewan bermakna 'sesuatu yang baru diperkenalkan atau dimulakan'. Ia juga bermaksud 'memulakan sesuatu yang baru'. Perkataan ini ada kaitannya dengan ciptaan, kreativiti dan imaginasi. Maka itu dalam konteks yang lebih luas ia bermaksud menghasilkan sesuatu ciptaan yang berbeza daripada kebiasaan, dengan idea baru yang mencorakkan perubahan.

Hari ini inovasi menentukan siapa yang berjaya dan tidak. Produk dan barangan yang inovatif mendahului yang lain. Kelebihan sesuatu idea yang inovatif boleh mengubah sesuatu industri. Idea yang kadangkala kecil dan dipandang ringan tetapi melalui inovasi yang betul menjadikannya hebat dan berkesan.

Bayangkan bagaimana industri pengangkutan yang satu waktu dulu dicorakkan oleh kereta api tetapi berubah dengan inovasi dalam pengangkutan bentuk yang lain. Industri kapal terbang yang selalunya kental dengan cara dan peraturan lama diubah dengan inovasi melalui penerbangan tambang murah. Komputer yang sebelumnya berat dan kompleks dipermudahkan menjadi komputer peribadi (PC) dan komputer bimbit. Telefon bimbit menjadi ciri penting dalam kehidupan moden, tetapi dengan masuknya elemen sistem pesanan ringkas (SMS) dan teknologi kamera dan simpanan muzik, menjadikan peralatan itu boleh memainkan fungsi yang lebih luas.


Inovasi dalam dunia perfileman mengubah cara kita berhibur. Konsep makanan segera merupakan inovasi sistem makanan untuk umum. Starbucks dan Coffee Bean menulis semula hukum hakam generasi baru berkumpul sambil minum-minum atau melayari dunia siber. Google mengubah cara kita mencari maklumat melalui sistem cariannya yang unik. Microsoft sebelum ini melalui inovasi perisian komputer memudahkan pengguna mengendalikan peralatan moden itu.

Internet merupakan sungai besar yang mengalir membawa bersama-samanya ilmu, maklumat selain segala sampah-sarap. Sebelum ini kita berkenalan dan berinteraksi melalui cara tradisional di dalam majalah hiburan atau kelab peminat. Hari ini Friendster, Myspace dan Facebook mengubah cara kita berhubungan di alam siber. Inovasi itu membawa pulangan berbilion ringgit pada penciptanya.

Sistem perbankan selalunya konservatif. Bank dikatakan hanya melayan mereka yang berwang dan mampu menyimpan. Tetapi ahli ekonomi Profesor Muhammad Yamin memulakan sistem pinjaman mikro-kredit untuk rakyat termiskin. Dengan memberikan AS$27 atau kira-kira RM86.4 kepada seorang wanita untuk memulakan pembuatan perabot dari buluh pada tahun 1974, beliau merevolusikan sistem perbankan. Hari ini Bank Grameen di Bangladesh memberikan pinjaman mikro-kredit bernilai RM192 bilion kepada lebih tujuh juta peminjam. Inovasi seperti inilah yang mengubah kehidupan jutaan manusia.

Pemenang Anugerah Merdeka untuk Pendidikan dan Kemasyarakatan, Profesor Diraja Ungku Aziz melihat bagaimana kaedah ribuan jemaah haji menunaikan rukun Islam yang kelima. Beliau mencadangkan konsep sebuah institusi yang dikenal sebagai Tabung Haji. Tabung Haji ialah inovasi luar biasa yang mengubah cara jutaan umat Islam menunaikan tanggungjawab mereka dengan baik melalui sistem terancang dan sistematis.

Pada 1973, beliau membawakan cadangan radikal masa itu untuk mengubah pemberian biasiswa pada satu sistem pinjaman yang mencukupi. Pelajar akan membayar balik pinjaman itu dengan cara yang tidak membebankan. Beliau memberikan empat alasan mengapa perubahan itu perlu: Biasiswa yang tidak akan mencukupi, mereka yang tidak memerlukan mendapat biasiswa, sikap terhadap pemberian percuma dan keperluan kerajaan menjimatkan wang.

Tidak banyak orang yang memberikan perhatian serius pada cadangan beliau masa itu. Sebagai pelajar di Universiti Malaya pada 1975, saya melihat cadangan itu sebagai munasabah dan praktikal. Saya menulis sebuah rencana dalam Mingguan Malaysia pada 15 Jun 1975 dengan judul "Gantikan sistem biasiswa kepada sistem pinjaman." Hari ini kita tahu cadangan Ungku Aziz dijelmakan sebagai Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) yang semangatnya masih merupakan cadangan Ungku Aziz 35 tahun yang lalu. Inilah inovasi yang dimaksudkan, yang datang daripada pemikiran kreatif.

Hari ini inovasi menjadi kunci dan rahsia kejayaan bukan saja bagi syarikat tetapi negara yang berdaulat. Negara seperti Finland, Ireland, Singapura dan Denmark adalah negara yang kecil dan pernah mundur tetapi berada di tahap teratas dalam keupayaan inovasi. Bukan bahan mentah lagi yang menentukan kelebihan kompetitif sesebuah negara tetapi juga kelebihan penyelidikan dan pembangunannya (R&D) dan inovasinya.

Cabaran bagi negara membangun khususnya ialah untuk memastikan inovasi berada pada tahap dan kedudukannya yang terbaik. Inovasi harus menjadi falsafah yang merubah sistem pentadbiran, hala tuju teknologi dan kemampuan saintisnya. Masa depan dunia ditentukan oleh persaingan untuk menjadi lebih inovatif.

Negara kita tidak terkecuali. Usaha membangunkan modal insan adalah langkah yang betul ke arah melahirkan generasi masa depan yang dilengkapkan dengan skil dan ketrampilan yang sesuai. Pada waktu yang sama kita juga harus melahirkan masyarakat yang kreatif dan inovatif bagi memungkinkan penggunaan sumber sedia ada secara berkesan dan produktif bagi tujuan bersaing. Globalisasi dan dunia tanpa sempadan tidak menunggu mana-mana negara dan komuniti yang lembap dan lemah.

Ketika membentangkan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di Dewan Rakyat pada 31 Mac 2006, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan Teras Kedua Misi Nasional sebagai 'Meningkatkan keupayaan pengetahuan, kreativiti dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama'. Dua aspek penting yang dikaitkan dengan teras ini ialah meningkatkan keupayaan dan penguasaan ilmu pengetahuan dan memperkukuh keupayaan sains, R & D, dan inovasi.

Negara tidak mungkin menjadi negara maju tanpa kapasiti sains dan teknologi yang jelas, kata beliau. Salah satu matlamatnya ialah memastikan pencapaian sasaran R&D negara sebanyak 1.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2010. Satu lagi sasaran utama ialah 'menyepadukan usaha R&D serta memberi perhatian yang lebih terhadap pengkomersialan penemuan R&D'.

John Kao menghasilkan Innovation Nation: How America Is Losing Its Innovative Edge, Why It Matters, and What We Can Do To Get It Back. Buku ini patut menjadi bacaan wajib bagi semua orang yang berminat untuk melihat bagaimana inovasi mengubah dunia. Walaupun tumpuan beliau ialah pada kegagalan Amerika Syarikat (AS) dalam mempertahankan tradisi inovasi dan kreativitinya, tetapi ia relevan untuk negara lain juga, termasuk Malaysia.

John Kao menanyakan apakah rahsia yang membolehkan Finland menjadi negara teratas sebagai ekonomi yang paling kompetitif. Mengapakah pelajar AS kini berada di tangga ke-24 dari segi penguasaan Matematik dan di tangga ke-26 dalam kebolehan menyelesaikan masalah? Mengapakah lebih 30,000 profesional yang cukup terlatih dalam bidang teknologi maklumat berpindah ke Bangalore, India? AS selama ini menjuarai inovasi dalam pelbagai lapangan � daripada filem hingga sistem perbankan. Tetapi kekuatan itu semakin berkurang menjadikan AS ketinggalan dalam banyak hal.

Beliau mencadangkan antara lain Agenda Inovasi Kebangsaan (National Innovation Agenda) bagi AS untuk mengembalikan kekuatan itu. Ia harus bertolak dari 20 hub inovasi yang menjadi penjana bagi menjadikan AS negara yang inovatif semula. Buku ini mengingatkan rakyat AS bahawa the next big idea tidak semestinya datang dari negara maju. Bakat tidak ditentukan oleh mana-mana budaya atau kedudukan geografi. Tidak ada siapa yang mempunyai monopoli idea.

Inovasi juga akan menentukan di mana kita pada masa akan datang.