Maju Melayu Perkasa!

16 September 2008

Penuhi kemudahan ICT setempat


BUKAN mudah menceburi bidang perniagaan tanpa sebarang pengalaman dan jaringan kenalan. Ia juga tidak memadai hanya mempunyai idea perniagaan yang menarik dan mampu mengeluarkan produk atau perkhidmatan tetapi tidak tahu mengenai saiz pasaran. Namun cabaran itu disambut sebagai sesuatu yang positif oleh Datin Norhayati Md. Haniff, 30, untuk meletakkan diri jika tidak melebihi sekalipun, tetapi setanding dengan orang lain.

Prinsip 'kerja keras dan sentiasa cuba merebut peluang' menjadi iltizam yang menguatkan keinginan wanita kelahiran Sungai Petani, Kedah ini meneruskan impian untuk berjaya dalam perniagaan yang selama ini dikuasai bangsa asing.

Penubuhan Super Arrow (M) Sdn. Bhd., bukti kepada kesungguhan wanita ini untuk meneruskan minatnya dalam bidang perniagaan berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dengan pembukaan In (teleca ) Shoppe, baru-baru ini khusus bagi penjualan produk telekomunikasi dan multimedia.

"Saya bersyukur dengan apa yang dikurniakan Allah Taala kepada saya hari ini. Saya menganggapnya sebagai kurniaan dan peluang yang tidak seharusnya dilepaskan begitu sahaja. Kenapa saya memilih bidang ini, jawapannya mudah kerana permintaan dan peluang pasarannya yang cukup tinggi ketika ini dan juga pada masa akan datang,'' ujarnya dengan nada perlahan tetapi penuh makna ketika ditemui di In (teleca) Shoppe di Jalan Diplomatik, Presint 15, Putrajaya, baru-baru ini.

Bercerita lanjut kata pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Perakaunan di salah sebuah institusi pengajian tinggi awam di utara tanah air ini, biarpun tidak kaya pengalaman dalam bidang ICT seperti orang lain, keinginannya untuk sentiasa belajar, tidak takut kepada cabaran antara faktor yang menguatkan keyakinan untuk membawa syarikatnya ke tahap membanggakan satu hari nanti.

Malah pembukaan kedai telekomunikasi dan multimedia yang pertama seumpamanya di Putrajaya, baru-baru ini juga memberi keyakinan kepada beliau yang juga Pengarah Urusan Super Arrow Sdn. Bhd. itu untuk menawan pasaran di kawasan tersebut.

Ini berdasarkan kepada beberapa faktor termasuk kedudukan strategik kedai Telekom Malaysia (TM) di kawasan kedai baru yang terletak di Presint 15 itu.

"Ia juga tepat dengan masanya sebagai alternatif untuk berurusan dengan mudah kepada penduduk setempat yang selama ini terpaksa pergi ke Cyberjaya. Apa yang lebih menggembirakan ia juga pelengkap kepada kemudahan berkaitan dengan telekomunikasi dan multimedia di Putrajaya yang seharusnya wajar dimanfaatkan penduduk setempat,'' ujarnya sambil mengakui operasi In (teleca) Shoppe menepati sasarannya bagi memenuhi permintaan pengguna di kawasan Putrajaya dan sekitarnya yang pesat berkembang sejajar dengan tuntutan era ICT.

Pelanggan katanya, bukan sahaja dapat memanfaatkan kemudahan di In(teleca) Shoppe bagi urusan mendapatkan Streamyx, pendaftaran Broadband, membayar bil dan perkara- perkara lain berkaitan dengan produk TM, tetapi juga produk Celcom.

Dalam pada itu beliau melahirkan rasa bangga kerana sasaran syarikat untuk melantik sekurang-kurangnya 50 ejen dalam tempoh dalam tiga bulan pertama operasinya sudah melebihi sasaran sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada mereka yang berkelayakan bagi meluaskan operasi pemasarannya.

Selain melantik ejen, syarikatnya juga turut merancang membuka kiosk-kiosk di beberapa kementerian bagi membantu pelanggan menyelesaikan urusan mereka.

"Saya merancang untuk mempelbagaikan lagi perkhidmatan dengan menawarkan apa sahaja produk dan perkhidmatan berkaitan. Ini termasuklah menjual peralatan telekomunikasi, termasuk telefon, aksesori berkaitan dan sebagainya. Hasrat saya mahu menjadikan In (teleca) Shoppe sebagai pusat sehenti yang menyediakan pelbagai perkhidmatan di bawah satu bumbung,'' ujarnya sambil tersenyum penuh makna.

Bagaimana bersemangatnya beliau ketika bercerita mengenai perniagaannya itu, begitulah juga ketika ditanya harapan dan masa depannya. Sifat bersungguh itu mungkin lahir daripada keperibadian beliau sendiri yang menggambarkan dirinya seorang bersemangat tinggi dan fokus dalam mencapai apa yang diingini.

Menceritakan pengalaman dalam dunia perniagaan kata Norhayati, hanya menceburi bidang tersebut pada tahun 2003 iaitu setahun selepas berumahtangga. Sebelum itu beliau pernah bertugas sebagai juruaudit beberapa tahun di salah sebuah syarikat insurans terkemuka di ibu negara.

Jika sebelum ini beliau hanya dilantik sebagai rakan kongsi kini setelah memiliki syarikat sendiri, kini segala-galanya perlu diuruskan sendiri, terutama bertemu pelanggan.

"Ia antara cabaran besar yang perlu saya hadapi. Saya percaya apa yang saya lalu setiap hari adalah proses pembelajaran terbaik buat saya. Saya percaya kejayaan tidak datang bergolek, sebaliknya memerlukan kemahuan dan usaha sendiri,'' ujarnya yang mengakui cukup bertuah kerana mempunyai individu iaitu suaminya sendiri, Datuk Ismail Kijo sebagai pendorong kepada penglibatannya dalam dunia perniagaan selama ini.

Sebagai ibu kepada tiga anak kembar masing-masing berusia 2 1/2 tahun, Farid Danish, Faris Danial dan Fasha Dania, beliau tidak menafikan masa bersama anak-anak sudah semestinya cukup terhad.

Namun beliau tidak pernah menjadikan semua itu sebagai alasan kerana bagi wanita ini keluarga adalah segala-galanya. Oleh kerana ini sesibuk mana sekalipun, beliau sentiasa memastikan masa diperuntukkan terutama pada malam hari dan hujung minggu bersama-sama suami dan anak-anak.

Ditanya harapan, kata wanita gigih ini, sudah pasti mengharapkan kebahagiaan berkekalan dalam rumahtangga, selain mempelbagaikan lagi cabang perniagaan terutama membuka restoran makanan segera dalam tempoh terdekat.